Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-28 dan Ke-29

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-28 dan Ke-29

530
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Kita lihat ringkasan pengajaran dalam ayat sebelum ini:

Ayat 26: Ada orang yang menghalang pengajaran Al-Quran disampaikan kepada manusia.

Ayat 27: Mereka yang menghalang itu akan dikenakan dengan azab yang amat keras.

Tafsir Ayat Ke-28

ذٰلِكَ جَزاءُ أَعداءِ اللهِ النّارُ ۖ لَهُم فيها دارُ الخُلدِ ۖ جَزاءً بِما كانوا بِآياتِنا يَجحَدونَ

Demikianlah keadaannya balasan musuh-musuh Allah iaitu neraka; disediakan untuk mereka tempat tinggal yang kekal di dalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Kami.

ذَٰلِكَ جَزَاءُ أَعْدَاءِ اللهِ النَّارُ

Itulah balasan bagi musuh-musuh Allah, iaitu api neraka

Kalimah جَزَاءُ adalah balasan yang mereka akan terima, tetapi maksud perkataan itu ada elemen yang ia akan berterusan diterima oleh mereka. Oleh itu, bukan sahaja mereka akan kena azab, tetapi mereka akan terus menerima azab itu.

Jika di dunia, seseorang membunuh ramai orang, paling banyak dia boleh dibunuh balas adalah sekali sahaja kerana dia hanya ada satu nyawa sahaja. Tetapi kalau di akhirat nanti, Allah SWT boleh ‘bunuh’ dia berkali-kali. Tetapi tidaklah bunuh sebenarnya, kerana dia tidak akan mati-mati sampai bila-bila.

Teruk sekali gelaran yang diberikan kepada mereka: ‘musuh-musuh Allah’. Ini kerana teruk sangat kesalahan yang mereka telah lakukan – menghalang wahyu dari disampaikan kepada manusia. Kalau bermusuh dengan Allah SWT, bolehkah mereka selamat lagi? Memang tidak ada harapan langsung.

لَهُمْ فِيهَا دَارُ الْخُلْدِ

Bagi mereka dalam neraka itu, negeri yang kekal abadi.

Apabila digunakan perkataan فِيهَا, itu bermaksud mereka akan tinggal tetap di dalamnya, mereka tidak akan dapat keluar. Kalau orang beriman, ada juga yang akan masuk dalam neraka kerana mereka ada dosa yang perlu dibersihkan. Tetapi, akhirnya mereka akan keluar neraka dan masuk syurga. Mereka itu dikenali sebagai jahannamiyyun.

Tetapi mereka yang disebut dalam ayat ini, mereka tidak ada peluang untuk keluar langsung. Mereka akan kekal abadi dalam neraka. Adakah ini berbaloi?

Kesalahan mereka buat semasa di dunia, bukannya sepanjang masa. Ada waktu tertentu sahaja yang mereka buat dosa. Kadangkala mereka mengalah juga. Tetapi di akhirat akan diazab sentiasa, tiada cuti langsung. Maka kena berhati-hatilah dengan apa yang kita lakukan.

Kenapa mereka dikenakan dengan azab yg teruk itu?

جَزَاءً بِمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Ini sebagai balasan terhadap apa yang mereka dulu tentang ayat-ayat Kami bila dibaca dulu, mereka membantah.

Apabila ada perkataan كَانُوا, itu bermaksud mereka berkali-kali membantah. Bukan sekali dua sahaja.

Ini adalah kerana bukan sekali dua sahaja Nabi Muhammad SAW berdakwah kepada mereka dan membacakan ayat Al-Quran kepada mereka – banyak kali.

Tetapi setiap kali, mereka akan bantah. Dan yang paling mereka bantah itu adalah ayat-ayat Tauhid. Itu yang mereka paling susah untuk terima.

Mereka jadi kufur kerana apabila ayat Al-Quran dibacakan, mereka faham tetapi enggan terima. Mereka bantah di khalayak ramai, tetapi dalam hati mereka, mereka tahu bahawa ia adalah benar. Jadi, maksud يَجْحَدُونَ adalah ‘membantah dalam faham’. Oleh itu, mereka ini adalah jenis ‘kafir degil’, bukan ‘kafir jahil’.

Abu Jahal dan sahabat-sahabatnya sebenarnya selalu mendengar ayat Al-Quran dibacakan pada malam hari secara senyap-senyap. Kerana mereka tahu bahawa ia benar dan mereka pun terhibur apabila mendengar bacaannya. Mereka tahu dalam hati mereka bahawa ia adalah benar, tetapi kerana mereka sombong dan mereka takut kedudukan mereka akan tergugat, mereka tidak terima dan mereka tentang.

Tafsir Ayat Ke-29

Sebelum ini telah disebut tentang ketua-ketua masyarakat yang menentang dakwah tauhid. Apabila mereka menentang, orang-orang bawahan mereka akan ikut sahaja. Mereka pun tidak tahu sama ada benar atau tidak, tetapi kerana ketua atau ahli agamawan mereka buat keputusan, mereka ikut sahaja (taqlid).

Memang bahaya kalau ikut pemimpin sahaja tanpa usul periksa. Kerana kalau mereka salah, kita pun akan terpalit lagi. Tetapi dalam ayat ini, Allah SWT mengingatkan kita bahawa ada golongan-golongan yang bukan dari kalangan pemimpin-pemimpin. Mereka itulah golongan yang biasa sahaja. Mereka itu mengikut sahaja kerana mereka kurang ilmu. Kurang ilmu kerana malas belajar dan enggan belajar.

Maka, kita hendaklah beri perhatian kepada mereka. Kita kena dakwah kepada mereka dengan memberikan dakwah Al-Quran dengan sejelas-jelasnya kepada mereka. Kena ajak mereka datang belajar agama yang benar. Mungkin mereka akan dapat terima dakwah kita kalau Allah SWT beri hidayah dan mereka akan tinggalkan kesesatan yang diajar oleh guru-guru mereka itu.

Ini adalah kata-kata penyesalan mereka:

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا رَبَّنا أَرِنَا اللَّذَينِ أَضَلّانا مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ نَجعَلهُما تَحتَ أَقدامِنا لِيَكونا مِنَ الأَسفَلينَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia, untuk kami meletakkan mereka di bawah tapak kaki kami, supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan”.

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

Dan berkata orang-orang yang kafir yang ingkar itu.

Mana-mana golongan yang seru tok wali, seru malaikat, seru Nabi, semua mereka dipanggil kafir belaka. Sedangkan mereka pakai serban, jubah dan janggut panjang kerana maksud ‘kafir’ itu adalah ‘ingkar’; jangan kita sempitkan kepada maksud ‘bukan Islam’ sahaja. Sesiapa sahaja boleh jadi ‘kafir’ jika dia menentang ajaran Islam yang benar.

Ini adalah jenis kafir yang lain dengan mereka yang sebelum ini menyuruh supaya buat bising apabila dibacakan ayat Al-Quran. Kafir dalam ayat ini adalah ‘kafir pengikut’. Mereka jadi pak turut sahaja dengan apa kata orang, tanpa mereka usul periksa lagi.

Memang ramai dalam dunia orang yang sebegini. Mereka akan kata: “ustaz ini kata macam ini”, “ustaz itu kata benda ni baik untuk dilakukan”, “ustaz itu kata ini adalah bidaah hasanah”, dan macam-macam lagi. Allah SWT telah berikan mereka akal, tetapi mereka tidak mahu gunakan.

Mereka semasa di dunia hanya mengikut sahaja kata orang. Orang yang mengajak kepada kesesatan itu selalunya pandai dalam hujah mereka, ada kelebihan yang menyebabkan ramai orang ikut mereka. Kerana itu ada hadis: “kata-kata itu adalah sihir”. Disebabkan mengikut orang itu, mereka telah melakukan kekufuran.

إِنَّ مِنَ الْبَيَانِ لَسِحْرًا

“Sesungguhnya sebahagian dari albayan itu adalah sihir.”

(HR al-Bukhari dan Muslim).

Mereka juga akan dimasukkan ke dalam neraka. Sebab walaupun mereka ikut orang, mereka pun buat salah juga. Mereka tidak akan terlepas dengan mereka berkata: “Tetapi kami ikut si fulan dan si fulan.”. Tidaklah hujah ini boleh melepaskan mereka dari azab Allah SWT.

Bidaah amalan ini kerana salah belajar. Hendak beramal tetapi tidak tahu di mana hendak ambil amalan yang sahih. Takut boleh terjatuh dalam kafir jahil juga. Ada kemungkinan juga. Jika mereka iktikad, selain Allah SWT pun boleh buat syariat. Kalau begini, telah jatuh kafir kerana syariat hanya dari Allah SWT dan disampaikan oleh Nabi SAW.

Maka, apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak puas hati. Lihatlah apa kata mereka kepada Allah SWT:

رَبَّنَا أَرِنَا اللَّذَيْنِ أَضَلَّانَا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ

Wahai Tuhan kami, tunjukkan kepada kami dua puak yang menyesatkan kami dari kalangan jin dan manusia

Yang berkata dalam ayat ini adalah anak-anak murid yang belajar dengan tok guru mereka yang mengajar ajaran yang salah. Mereka itu mengikut sahaja kata-kata pemimpin, guru mereka tanpa mereka buat kerja lebih sikit untuk memastikan mereka itu benar atau tidak. Mereka malas hendak fikir. Tetapi, disebabkan mereka ikut ajaran salah guru dan pemimpin mereka, mereka telah masuk ke dalam neraka.

Sekarang, mereka telah masuk neraka, mereka berasa marah. Mereka hendak tengok siapa yang telah menyesatkan mereka itu. Iaitu dua puak: dari puak jin dan puak manusia. “Kami nak tengok mereka. Tolong bawa mereka kepada kami.” Mereka hendak panggil manakah syaitan-syaitan yang ramai itu, manakah yang telah menyesatkan dia semasa di dunia dulu.

Dalam golongan manusia pula adalah ketua-ketua mereka, Tok-Tok guru, ustaz-ustaz yang mana telah mengajar mereka ajaran-ajaran sesat, ajaran-ajaran salah, ajaran-ajaran bidaah semasa mereka di dunia. Mereka dulu percaya kepada guru-guru mereka itu. Mereka ikut sahaja apa yang guru mereka kata dan ajar. Mereka tidak buka minda dan iman mereka untuk belajar Al-Quran dan Sunnah.

Kalau mereka belajar tafsir Al-Quran, mereka akan nampak kesalahan yang telah diajar oleh guru mereka itu. Kalau mereka belajar tafsir Al-Quran dan hadis yang sahih, mereka tidak akan mudah hendak terima kata-kata guru mereka itu kerana dalil yang diberikan oleh guru-guru itu adalah amat lemah sekali.

Kenapa mereka hendak tengok dua puak jin dan manusia itu?

نَجْعَلْهُمَا تَحْتَ أَقْدَامِنَا

Supaya kami jadikan mereka (jin dan manusia itu) di bawah tapak kaki kami.

Sekarang mereka telah menyesal. Mereka hendak balas dendam kepada guru-guru mereka itu dan jin syaitan yang mereka puja dulu semasa di dunia tanpa sedar. Mereka hendak pijak-pijak mereka itu dengan tapak kaki mereka kerana guru-guru dan jin syaitan itulah yang ajar kepada mereka fahaman dan ajaran yang salah dulu.

Mereka yang ikut pun salah juga sebab ikut sahaja tanpa usul periksa – dua-dua memang salah. Jangan salahkan mereka yang mengajar sahaja, yang mengikut pun salah juga kerana mengikut. [Siapa suruh kau ikut?] Yang mengajar amalan bidaah sekarang, senang sahaja mereka ajar kerana masyarakat kita hanya terima sahaja, tanpa usul periksa. Kalaulah masyarakat kita pandai tanya dalil – “dari mana amalan ini ustaz?” – tentulah guru-guru itu tidak berani hendak ajar perkara bidaah kerana mereka akan pastikan bahawa mereka boleh jawab apabila anak murid tanya.

Masyarakat kita juga mudah sangat terima kisah-kisah mengarut dari ustaz tukang cerita karut dalam Malaysia ini. Tidak pernah hendak tanya: “betul ke kisah ini ustaz? Lain macam sahaja saya dengar, macam tak masuk akal sahaja…ustaz dapat dari mana kisah ni? Kitab mana ustaz pakai?”. Maka tukang-tukang cerita karut itu sedap mulut sahaja hendak sampaikan. Mereka pun rasa hebat sahaja bila sampaikan kisah-kisah karut itu.

Alhamdulillah, boleh dikatakan ada sedikit pembaharuan dari dulu. Kalau dulu, langsung tidak ada yang berani tanya. Sekarang, sudah ada yang mula tanya. Cuma sekarang, masih lagi yang ditanya pula kena marah kerana dikatakan ‘kurang ajar’. Yang marah-marah itu adalah mereka yang jahil, yang senang percaya, yang hormat guru tidak tentu pasal.

Para pengikut rasa tidak puas hati.

لِيَكُونَا مِنَ الْأَسْفَلِينَ

supaya mereka betul-betul terkebawah dalam kehinaan.

Para pentaqlid itu hendak tengok sangat: “Supaya mereka itu jadi lebih hina dari kami. Supaya mereka kena lebih teruk dari kami. Lebih dimalukan dari kami. Kerana merekalah sebabnya kami jadi begini.”

Tidaklah berguna langsung permintaan mereka ini. Tidak akan diberikan kelulusan oleh Allah SWT. Adakah Allah SWT hendak beri kejadian seperti ini berlaku di hadapan-Nya nanti? Sedangkan segala manusia lain, segala malaikat dan makhluk lain akan berdiri bersaf-saf di hadapan Allah SWT waktu itu?

Ini cerita hendak pukul mereka dalam neraka kerana hendak balas dendam sahaja. Sebab masa itu baru zahir, siapakah tok guru dia yang sebenarnya. Baru mereka nampak kesalahan yang guru mereka ajar dan amalkan dulu. Dulu semasa di dunia, mereka nampak hebat apa yang guru mereka buat. Mereka sangka guru mereka sangat alim.

Kalau guru mereka kena tegur dengan mereka yang belajar, mereka akan pertahan guru-guru mereka, siap hendak pukul pun ada. (Kau siapa yang nak tegur guru A ini? Dia belajar di sini, di situ kau tahu tak?)

Walaupun apa yang guru mereka buat itu tidak ada asas dalam agama, tetapi mereka nampak molek sahaja perbuatan guru itu. Tetapi, hakikatnya, dua-dua berada dalam neraka pada waktu itu. Hendak panggil guru mereka itu, kerana hendak balas dendam sahaja, bukan boleh keluarkan dia dari neraka pun.

Bermacam contoh ajaran guru yang karut. Kita ceritalah sikit. Ada guru yang baca wirid pada batu kerikil dan dia tandakan pada batu kerikil itu. Setiap seribu kali baca wirid, dia simpan satu batu. Dia siap pesan, bila dia mati, suruh ditanam dengan batu-batu itu sebagai bukti amalan dia. Dia kata batu itulah nanti yang akan berzikir untuk dia nanti.

Anak-anak murid sangka hebat benar guru mereka itu. Mereka tidak tahu bahawa itu adalah amalan yang salah, tidak ada asas dalam agama. Pada hal semua makhluk seperti batu, burung dan lain-lain, memang telah berzikir, tetapi berzikir KEPADA Allah SWT – bukan untuk manusia.

Malaikat ada yang berdoa untuk manusia dalam keadaan tertentu. Contohnya, di dalam Al-Quran diberitahu bahawa Malaikat akan mendoakan kepada orang yang beriman (kita sudah belajar dalam Surah Ghafir). Dan kita juga diberitahu di dalam Hadis, bahawa sesiapa yang ziarah orang sakit, 70 ribu malaikat akan istighfar untuk dia. Walaupun yang dia ziarah itu sakit mata sahaja. Itu semua disebut dalam hadis yang sahih.

Jika ia hadis sahih, barulah kita boleh terima kerana perkara-perkara ini adalah perkara-perkara ghaib, yang kita sendiri tidak dapat tahu tentangnya kalau Nabi tidak beritahu. Jadi, memang malaikat ada yang tolong doakan untuk kita dengan syarat-syarat tertentu. Tetapi kalau kata batu ada yang tolong doakan, itu tidak ada dalil.

Ini adalah satu contoh sahaja. Banyak lagi contoh-contoh lain yang ada dalam amalan masyarakat kita. Kita harap dengan pembelajaran tafsir Al-Quran ini, anda boleh bezakan mana yang betul dan mana yang salah.

Inilah dalil yang kukuh supaya kita jangan ikut orang sahaja. Jangan ikut tanpa periksa. Selalu kita jumpa, apabila dibawakan ayat Al-Quran dan hadis Nabi sebagai dalil, ada antara manusia yang akan berkata: “perkara ini dah lama dah ustaz-ustaz dulu bincangkan, kita ikut mereka sahaja”, “takkan ulama-ulama dulu salah”, “takkan tok nenek kita dulu nak masuk neraka semuanya” dan lain-lain lagi kata-kata mereka.

Allah SWT ingatkan kepada kita supaya jangan jadi begini. Nanti kita akan menyesal kalau kita berfikiran begitu. Takut nanti kita jadi seperti orang yang Allah SWT ceritakan dalam ayat ini. Waktu itu akan rasa menyesal sangat. Mereka itulah nanti yang akan cari balik tok guru mereka kerana marah. Waktu itu, menyesal air mata darah pun tidak berguna.

وَذَرِ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِۦٓ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌۢ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِىٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَآ ۗ أُو۟لَٰئِكَ ٱلَّذِينَ أُبْسِلُوا۟ بِمَا كَسَبُوا۟ ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ

Dan tinggalkan lah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringat kan lah (mereka) dengan Al-Quran itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka, kerana perbuatannya sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak pula pemberi syafa´at selain daripada Allah SWT. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusan pun, niscaya tidak akan diterima itu daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan ke dalam neraka. Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu. [ Al-An’am: 70 ].

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan