Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits MUDRAJ Bhg. 02

MUDRAJ Bhg. 02

329
0
Iklan

Panel: BroSyarief
#180107 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.13.02 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

MUDRAJ (المدرج) Bhg. 02

Bentuk-bentuk Idraj pada Sanad (sambungan):

3. Bentuk ke-3, seorang periwayat Z memiliki dua riwayat yang berbeza. Sanad A dengan matan A, dan sanad B dengan matan B. Lalu datang seorang periwayat Y meriwayatkan kedua-kedua riwayat itu dari Z berpegang hanya kepada salah satu sanad, atau dia riwayatkan kedua-dua riwayat itu dengan sanad yang khas dan ditambahkan dari matan B kepada matan A menjadi satu riwayat.

Contohnya seperti hadits yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la di dalam Musnadnya, dari jalan periwayatkan Malik, dari az-Zuhri, dari Anas, bahawa RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَدَابَرُوا وَلاَ تَنَافَسُوا

“Janganlah kalian saling membenci, jangan juga saling mendengki, jangan juga saling memotong, jangan juga saling berlumba (secara tidak sihat)..”

Dan perkataan لاَ تَنَافَسُوا merupakan tambahan (Idraj) dari hadits lain yang diriwayatkan dengan sanad lain dari jalan Abu Zinad, dari al-A’raj, dari Abu Hurayrah.

4. Bentuk terakhir, seorang periwayat sedang menyampaikan satu sanad hadits, kemudian pada masa yang sama berlaku sesuatu, dan dia menyampaikan kata-kata dari dirinya sendiri yang sebenarnya tiada kaitan dengan sanad yang baru disebutnya; kemudian salah seorang pendengar menyalin atau menghafalnya dengan sangkaan ianya adalah matan bagi sanad tersebut.

Contohnya seperti kes di mana Tsabit ibn Musa baru tiba di majlis Syuraik ibn ‘Abdillah al-Qaadhi, dan pada ketika itu dia sedang membacakan sanad berikut:

حَدَّثَنَا شريك، عَن الأعمش، عَن أَبِي سفيان، عَن جابر بْن عبد اللَّه،

‘Telah menceritakan kepada kami, Syuraik; dari al-A’masy, dari Abu Sufyan, dari Jaabir’

Kemudian dia terlihat Tsabit ibn Musa (sedang masuk), lalu berkata:

مَنْ كَثُرَتْ صَلاتُهُ بِاللَّيْلِ حَسُنَ وَجْهُهُ بِالنَّهَارِ

“Sesiapa yang banyak solatnya di waktu malam, wajahnya akan terlihat indah di waktu pagi”

Dalam keadaan sebenarnya dia menyebutkan itu untuk memuji Tsabit, kerana kesolehannya, tetapi Tsabit menyangkakan kata-kata itu merupakan matan bagi sanad yang baru sebentar tadi disebutkan oleh Syuraik.

[Tadrib ar-Raawi]

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.
__

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Komen dan Soalan