Utama Blog Halaman 88

Thaharah – Bab Mandi: Rukun Mandi & Hal-Hal yang Wajib

0

Kitab : Thaharah
Bab: Mandi
Bahagian: Rukun-rukun Mandi dan Hal-hal Yang Wajib Dilakukan
Tajuk:
👁‍🗨 Niat
👁‍🗨 Tasmiyah (Baca Basmalah)
👁‍🗨 Membasuh Seluruh Anggota Tubuh

RUKUN-RUKUN MANDI DAN HAL YANG WAJIB

1. Niat

Kita memang sudah hari-hari mandi, jadi adakah dikira setiap pagi mandi junub? Tidak, kerana yang membezakan mandi biasa dan mandi junub adalah ‘niat’.

✍🏻Dalam hadis dari ‘Umar bin Al Khattab, Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda,

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

“Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya.”
(HR. Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907)

Perbuatan mandi itu mungkin sahaja sama, tetapi yang membezakan adalah niat. Amal ibadat tidak sah jika tiada niat. Ini berdasarkan hadith yang masyhur di atas. Tentang tajuk niat ini kita telah bincangkan di bab Wudhu’ tempoh hari dan kita ulang sahaja sebagai penekanan dan peringatan sahaja.

Kita telah bentangkan sebelum ini yang niat ini tidak perlu disebut-sebut (lafaz) seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Islam kita sekarang. Kalau sekarang diajar di sekolah-sekolah adalah dengan menyebut:

“Nawaitu Raf-‘Al Ĥadathil-‘Akbari Li-LLâhi Ta-‘âlâ“
Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana ALLâh Ta‘âlâ

Atau lafaz-lafaz niat lain. Ketahuilah bahawa ini adalah tambahan dalam agama dan tidak pernah diajar oleh Nabi dan tidak pernah diamalkan oleh para sahabat dan golongan salaf. Ia sesuatu yang baru dan bid’ah. Ini bukannya bid’ah hasanah.

✍🏻Imam Syafie sendiri tidak ajar lafaz niat:

Imam Asy-Syafi’i رحمه الله berkata,

الوسوسة في النية الصلاة و الطهارة من جهل بالشرع أو خبل بالعقل

Terjemahan: “Was-was dalam niat solat dan thaharah itu adalah kebodohan terhadap syariat atau kekurangan warasan dalam akal”
(Al Amru Bil Ittiba’ Wan Nahyu ‘Anil Ibtida’, 28)

Kasihan anak-anak di sekolah kena hafal dan amalkan lafaz niat ini. Kemudian diajar pula ada masa tertentu hendak baca niat. Ada kata masa hendak buka pili air, masa mula cebok air, ada kata masa basuh tangan, ada pula kata masa air kena di muka.

Cubalah cari lafaz niat ini di dalam hadith, memang tidak akan jumpa. Ia adalah salah faham dari hadith riwayat Umar yang disebut di atas. Niat ini tidak perlu dilafazkan dan tidak perlu disusun dalam kepala. Ia memang sudah ada kalau kita hendak mandi junub. Maka, tidak perlu disebut sebab ia memang sudah ada.

Memang sudah terdetik di dalam hati yang waktu itu bukan mandi biasa tapi mandi wajib. Kenapa disebut kena ada niat dalam syarat mandi junub ini? Ini kerana kita memang sudah setiap hari mandi, tetapi yang menjadikan mandi itu sebagai ibadah adalah apabila ia disertai dengan niat.

2. Tasmiyah (membaca بسم الله)

Kewajipan membaca Tasmiyah juga kita telah sentuh di dalam bab Wudhu’ tempoh hari dan kita ulang sahaja di sini. Ini kerana syarat yang sama juga diletakkan pada mandi junub. Bagaimana hukum membaca بسم الله di awal mandi junub’? Apakah ia wajib atau sunnah? Khilaf ulama’ tentang hal ini.

Maknanya, paling kurang dibaca semasa mengambil wudhu’ adalah membaca tasmiyah. Menurut pendapat majoriti ulama, iaitu ulama’ Hanafiyah, ulama’ Syafi’iyah, dan salah satu pendapat dari Imam Ahmad, membaca bismillah ketika wudhu’ (termasuk Mandi Junub) dihukumi sunat (tidak wajib).

Akan tetapi ada ulama’ seperti penulis kitab Fiqh Praktis (Syaikh Husain bin ‘Audah Al-Awayisyah, anak murid Syeikh Albani) yang kita sedang gunakan ini, Imam Syaukani, Syeikh Al-Albani mengatakan ia wajib berdasarkan hadith yang akan kita berikan sebentar lagi. Oleh kerana itulah tasmiyah dimasukkan di dalam senarai kewajiban dalam mandi junub.

✍🏻Dalil yang digunakan sebagai sandaran adalah hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لاَ وُضُوءَ لَهُ وَلاَ وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى عَلَيْهِ

“Tidak ada solat bagi yang tidak ada wudhu’. Tidak ada wudhu’ bagi yang tidak membaca bismillah di dalamnya.”
(Abu Daud no. 101 dan Ibnu Majah no. 399. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahawa hadith ini hasan).

Sebahagian ulama’ mendhaifkan hadith ini, namun dari berbagai jalur, hadith ini menjadi kuat. Jadi kerana itu, ada yang mengatakan membaca bismillah adalah wajib. Sekiranya terlupa, perlu mengulang semula wudhu. Kalau dalam wudhu’ ia wajib, maka dalam mandi junub pun ia wajib juga.

Kita hendak memberikan pandangan yang lain, iaitu ia sunat. Ini kerana ada juga pendapat yang mengatakan penafian (tidak ada wudhu’ bagi yang tidak membaca bismillah) yang disebutkan dalam hadith adalah menidakkan kesempurnaan.

📍Jadi ia bermaksud wudhu’ yang tidak disertai dengan Tasmiyah adalah tidak sempurna wudhu’nya. Bukanlah tidak sah wudhu’ itu. Maka begitulah juga dengan mandi junub.

Satu lagi hujah yang mengatakan bacaan Tasmiyah tidak wajib adalah berdasarkan pembacaan terhadap hadith-hadith berkenaan wudhu’. Apabila disebut langkah-langkah berwudhu’ itu tidaklah disebut bacaan Tasmiyah di dalamnya.

✍🏻Sebagai contoh, mari kita lihat hadith dari ‘Abdullah bin Zaid,

عَنْ عَمْرٍو عَنْ أَبِيهِ شَهِدْتُ عَمْرَو بْنَ أَبِى حَسَنٍ سَأَلَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ زَيْدٍ عَنْ وُضُوءِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَدَعَا بِتَوْرٍ مِنْ مَاءٍ ، فَتَوَضَّأَ لَهُمْ وُضُوءَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَأَكْفَأَ عَلَى يَدِهِ مِنَ التَّوْرِ ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثَلاَثًا ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فِى التَّوْرِ ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ ثَلاَثَ غَرَفَاتٍ ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ مَرَّتَيْنِ ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَمَسَحَ رَأْسَهُ ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ مَرَّةً وَاحِدَةً ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Amr bin Yahya Al Mazini menuturkan dari bapanya bahawa dia mengatakan, “Aku menyaksikan Amr bin Abi Hasan bertanya kepada Abdullah bin Zaid tentang tata cara wudhu’ Rasulullah صلى الله عليه وسلم. ‘Abdullah lantas meminta sebekas air, dan memberikan contoh berwudhu’ kepada orang-orang sesuai yang diamalkan oleh Rasulullah ﷺ. Beliau menuangkan air dari bekas tersebut pada kedua telapak tangannya, lalu membasuhnya tiga kali. Beliau lantas mencelupkan kedua tangannya ke dalam bekas lalu berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya tiga kali menggunakan tiga cedokan tangan. Beliau lantas mencelupkan tangannya ke dalam bekas tersebut dan membasuh wajahnya tiga kali. Beliau lalu mencelupkan tangannya ke dalam bekas dan membasuh tangannya itu sampai ke siku sebanyak dua kali. Beliau kemudian mencelupkan tangannya dan menggunakannya untuk mengusap kepala sekali dari belakang ke depan dan kembali dari depan ke belakang. Beliau lalu membasuh kedua kakinya hingga mata kaki.”
(Bukhari no. 185 dan Muslim no. 18).

Syarah:
Dalam hadith ini tidak disebutkan bacaan bismillah, walhal Abdullah bin Zaid sedang mencontohkan cara wudhu’ Nabi صلى الله عليه وسلم.

Kesimpulan:
Bacaan Tasmiyah sebelum berwudhu’ adalah sunnah yang kuat. Maka, janganlah kita tinggalkan dengan sengaja. Cuma sekiranya terlupa, maka tidaklah perlu mengulangi semula wudhu’.

3. Membasuh seluruh anggota tubuh

Mandi junub hendaklah meratakan air ke seluruh tubuh. Ini sebagaimana telah terdapat dalam hadith ini.

✍🏻Hadith Riwayat ‘Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan tata cara mandi Nabi صلى الله عليه وسلم,

ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جَسَدِهِ كُلِّهِ

“Kemudian baginda menyiram air pada seluruh badannya.”
(HR. An Nasa-i no. 247. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadith ini shahih)

✍🏻Dari Jubair bin Muth’im berkata, “Kami saling memperbincangkan tentang mandi janabah di sisi Nabi صلى الله عليه وسلم, lalu baginda bersabda,

أَمَّا أَنَا فَآخُذُ مِلْءَ كَفِّى ثَلاَثاً فَأَصُبُّ عَلَى رَأْسِى ثُمَّ أُفِيضُهُ بَعْدُ عَلَى سَائِرِ جَسَدِى

“Aku mengambil dua telapak tangan, tiga kali lalu saya siramkan pada kepalaku, kemudian aku tuangkan selebihnya pada semua tubuhku.”
(HR. Ahmad 4/81. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahawa sanad hadith ini sahih sesuai syarat Bukhari Muslim)

Perlu diingatkan bahawa membasahkan itu hanya pada bahagian tubuh sahaja.

Dalil yang menunjukkan bahawa hanya membasahi seluruh badan dengan air itu merupakan rukun (fardhu) mandi dan bukan selainnya.

✍🏻Sandaran pendapat ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah. Dia mengatakan,

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أَشُدُّ ضَفْرَ رَأْسِى فَأَنْقُضُهُ لِغُسْلِ الْجَنَابَةِ قَالَ « لاَ إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِى عَلَى رَأْسِكِ ثَلاَثَ حَثَيَاتٍ ثُمَّ تُفِيضِينَ عَلَيْكِ الْمَاءَ فَتَطْهُرِينَ ».

“Aku berkata, wahai Rasulullah, aku seorang wanita yang sanggul rambut kepalaku, apakah aku harus membuka sanggulku ketika mandi junub?” Baginda bersabda, “Jangan (kamu buka). Cukuplah kamu menyiram air pada kepalamu tiga kali, kemudian siramlah yang lainnya dengan air, maka kamu telah suci.”
(HR. Muslim no. 330)

Syarah:
Maknanya, seorang wanita yang berambut panjang dan membuat sanggul pada rambutnya, dia tidak perlu membuka sanggulnya itu.

Dia tidak perlu membasuh rambut dia pun. Dia cuma siram sedikit air pada kepalanya dan menggosok kepala supaya air itu kena kepada kulit kepala. Bahagian yang perlu dikenakan air adalah kulit kepala dan bukannya rambut. Maka rambut tidaklah basah.

Ini menjadi jalan penyelesaian kepada para wanita yang keberatan untuk mandi wajib kerana rambut mereka panjang dan mereka takut tidak sempat kering dan kemudian hendak memakai tudung pula. Maka cara begitu tentunya akan memudahkan mereka.

Dengan seseorang memenuhi rukun-rukun mandi ini, maka mandinya dianggap sah, asalkan disertai niat untuk mandi wajib (al ghuslu). Jadi seseorang yang mandi di pancuran atau shower dan air mengenai seluruh tubuhnya, maka mandinya sudah dianggap sah.

Cara-cara dan langkah-langkah untuk mandi junub nanti kita akan bincangkan satu perkara di dalam kelas seterusnya nanti.

Perbincangan:
Selalu soalan yang timbul adalah dari kalangan orang yang ada penyakit was-was. Mereka takut sangat yang air tidak sampai ke seluruh tubuh , jadi akan diperiksa tubuh mereka. Kadangkala selepas pergi kerja, mereka masih lagi terfikir: “bahagian itu dan ini ada tak kena air?”

Maka sampai tidak keruanlah mereka di tempat kerja dan mula teringat hendak ulang semula mandi wajib itu.Ketahuilah yang itu adalah syak atau penyakit was-was sahaja. Tidak perlu dilayan. Kalau semasa kita mandi kita sudah rasa yang air sudah kena pada keseluruhan badan, maka mandi itu telah sah.

📍Kaedah fiqh mengatakan “al-yakin la uzaalu bil-syak” iaitu ‘yakin tidak dibatalkan dengan keraguan’. Imam Suyuthi menyebut bahawa kaedah ini menjadi 3/4 dari hukum fiqh.

Keraguan tidak boleh memberi apa-apa impak ke atas satu-satu ibadah yang telah yakin telah dilakukan. Maka apabila sudah selesai sahaja dari mandi, maka jangan fikirkan lagi tentang mandi itu. Teruskan dengan kehidupan anda. Tidak perlu hendak periksa teruk sangat, hendak masukkan air keseluruhan ceruk tubuh kita. Cukup bahagian yang nampak sahaja. Hanya yang wajib terkena air saat mandi junub adalah seluruh tubuh bahagian luar.

✍🏻Ulama’ bernama Al-Ghazi dalam Fathul Qorib menjelaskan tentang bahagian yang wajib dibasuh:

“Yang dikehendaki dengan kulit adalah kulit bahagian luar. Wajib membasuh bahagian-bahagian yang nampak dari lubang kedua telinga, hidung yang terpotong dan celah-celah badan. Wajib mengalirkan air ke bahagian di bawah kulupnya orang yang memiliki kulup (belum disunnat). Mengalirkan air ke bahagian farji perempuan yang nampak ketika dia duduk untuk buang hajat.

Di antara bahagian badan yang wajib dibasuh adalah masrabah (tempat keluarnya kotoran). Ini kerana sesungguhnya bahagian itu nampak ketika buang hajat sehingga termasuk dari badan bahagian luar.” Jadi, kalau sampai hendak masukkan air ke telinga, dalam mata, bawah kuku, itu sudah berlebihan sangat. Kalau kita ratakan air ke seluruh badan, itupun sudah cukup. Air itu sifatnya memang akan masuk ke semua tempat.

✍🏻Al-Bakri dalam I’anah Al-Talibin, hlm. 1/54, menyatakan:

ولا يجب تيقن عموم الماء جميع العضو، بل يكفي غلبة الظن به

Artinya: Tidak wajib meyakini meratanya air ke seluruh anggota badan. Cukup sahaja dengan agakan yang kuat akan sampainya air.

Maksudnya cukup dengan agakan sahaja, adalah asalkan anda sudah menyiramkan air ke seluruh tubuh, maka itu dianggap air sudah sampai ke seluruh tubuh. Tidak perlu dipastikan atau dilihat secara terperinci (detail) dan pasti akan sampainya air tersebut.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Az-Zumar -Tafsir Ayat ke-43 hingga ke-45

0

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat ke-43

Ayat Zajrun berkenaan syafaat. Ini adalah ayat ancaman. Berkenaan kesalahan mereka yang selalu meminta syafaat kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu masalah yang besar dalam negara kita iaitu tentang syafaat dan ini adalah kerana salah faham tentang syafaat.

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ شُفَعاءَ ۚ قُل أَوَلَو كانوا لا يَملِكونَ شَيئًا وَلا يَعقِلونَ

Patutkah mereka mengambil yang lain dari Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain dari Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”

أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللهِ شُفَعَاءَ

Patutkah mereka mengambil selain dari Allah sebagai pemberi syafaat?

Musyrikin Mekah telah ditegur kerana mereka puja roh-roh yang tidak ada kuasa, tidak dapat membantu apa-apa dan tidak boleh beri mudharat. Maka bila ditegur begitu, mereka pun menukar cerita. Musyrikin Mekah berkata mereka bukan puja selain Allah ‎ﷻ sebagai tuhan. Mereka cuma ambil mereka sebagai pemberi syafaat sahaja.

Mereka berkata mereka tahu yang roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada kuasa, jadi mereka sebagai pemberi syafaat sahaja. Itu adalah dalihan mereka.

Kebanyakan orang sekarang pun seperti itu juga. Ramai manusia yang rasa selamat kerana mereka berasa akan diselamatkan oleh pemberi-pemberi syafaat. Mereka sangka sembahan-sembahan itu akan datang pada Hari Kiamat dan membantu ketika berurusan dengan Tuhan bagi pihak mereka.

Salah satu di antaranya, orang Buddha sangka Gautama Buddha itu sendiri akan datang menolong mereka dan berhujah dengan Allah ‎ﷻ bagi pihak mereka. Begitu juga dengan agama-agama yang lain tetapi bagaimana pula dengan masyarakat Islam kita?

Masyarat kita pula, sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat kepada mereka kerana mereka selalu bertawassul dengan baginda, mereka selalu selawat kepada baginda beribu kali dalam sehari, termasuklah mereka telah ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ tanpa sedar (mereka sangka mereka memuji, tetapi apabila ia sudah berlebihan, itu sudah sampai kepada tahap ‘memuja’).

Mereka sangka mereka buat perkara yang baik, namun sebaliknya ia adalah perkara yang buruk sekali. Mereka sangka, apabila mereka membaca selawat yang direka oleh manusia (seperti Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah) itu, mereka akan selamat. Mereka sangka, dengan mereka sambut Maulidur Rasul setiap tahun itu akan menyebabkan mereka selamat kerana mereka sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan suka dengan perbuatan mereka itu dan sebagai balasan, memberi syafaat kepada mereka.

Malangnya, semua perbuatan itu adalah sia-sia belaka kerana perbuatan mereka itu adalah perbuatan bid’ah. Malah lebih malang lagi, Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu mengandungi elemen syirik di dalamnya.

.
قُلْ أَوَلَوْ كَانُوا لَا يَمْلِكُونَ شَيْئًا وَلَا يَعْقِلُونَ

Katakan kepada mereka: padahal mereka tidak memiliki kekuasaan apapun dan tidak faham apa-apapun?

Mereka yang meminta syafaat kepada selain Allah ‎ﷻ itu menyangka yang ilah yang mereka puja dan sembah itu mempunyai kuasa untuk menolong mereka. Contohnya Hindu yang menyembah berhala. Mereka sangkakan berhala itu boleh memberikan syafaat (pertolongan) kepada mereka.

Ini adalah pemahaman yang bahaya kerana dengan salah faham ini, mereka yang melakukan syirik dan dosa itu berani berbuat dosa. Mereka merasakan ada yang akan memberikan syafaat kepada mereka dan menyelamatkan mereka.

Ini sebenarnya menanam fahaman yang boleh menjuruskan kepada derhaka. Mereka seolah-olah tidak takut dan mengambil mudah sahaja dengan hukum Allah ‎ﷻ. Contoh seperti orang kaya yang berani bawa kereta dengan laju, kerana mereka tahu yang mereka ada wang untuk membayar saman, atau ada orang yang mereka kenal di balai polis atau mahkamah yang akan menyelamatkan mereka dari memasuki lokap atau dikenakan saman naik mahkamah.

Selain dari jenis berhala, orang-orang musyrik itu juga meminta syafaat dari entiti yang hidup. Namun, patutkah kita melakukan sedemikian, padahal roh-roh itu tidak memiliki kuasa apa pun dan tidak memahami apa-apa melainkan apa yang diberitahu oleh Allah ‎ﷻ. Contohnya, Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Semasa Nabi ﷺ hidup, adakah Nabi ﷺ mempunyai kuasa sendiri? Adakah Nabi ﷺ tahu selain dari apa yang diajar oleh Allah ‎ﷻ?

Kalau semasa mereka hidup pun, usaha mereka terhad kerana keterbatasan yang ada pada mereka, apatah lagi kalau mereka sudah mati? Tentu mereka lebih lagi tidak dapat memberikan pertolongan, kerana mereka bukan lagi di alam ini.

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita dalam ayat ini, selain daripada Allah ‎ﷻ, tiada sesiapa pun yang mempunyai kuasa untuk memberikan syafaat kerana mereka yang diminta itu pun tidak ada kuasa. Mereka tidak tahu menahu pun yang kita ada meminta syafaat kepada mereka kerana mereka di alam yang lain. Mereka yang sibuk meminta syafaat itu hanyalah membuang masa sahaja kerana mereka seumpama bertepuk sebelah tangan sahaja.

Kita kena faham apakah tugas pemberi syafaat itu. Mari kita buat perbandingan tentang Malaikat Maut. Kita tahu bahawa dialah yang ditugaskan oleh Allah ‎ﷻ untuk mengambil nyawa tetapi adakah kita bermohon untuk dipanjangkan umur dengan Malaikat Maut?

Tentu tidak, sebab kita tahu bahawa dia bukanlah bertanggungjawab menentukan siapakah yang panjang umur ataupun tidak; begitu juga, kita tahu bahawa Malaikat Mikail ditugaskan menurunkan rezeki tetapi adakah kita memohon rezeki kepadanya? Tentu tidak kerana kita tahu Allah ‎ﷻlah yang menentukan rezeki.

Maka begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Baginda ditugaskan untuk memberi syafaat tetapi bukanlah baginda yang menentukan siapakah yang layak menerima syafaat ataupun tidak. Baginda hanya menyampaikan syafaat kepada mereka yang telah ditentukan layak menerima syafaat. Baginda diberikan tugas menyampaikan syafaat sebagai penghormatan kepada baginda.

Sebagai contoh, katakanlah Pejabat Tanah sesebuah daerah memberikan tanah kepada penduduk satu kampung. Ketika dalam majlis pemberian geran tanah itu, Pejabat Tanah menjemput DO (District Officer — Pegawai Daerah) untuk memberikan geran tanah itu. Namun, adakah tuan DO itu yang menentukan siapa yang mendapat geran tanah itu?

Tentulah bukan, kerana beliau hanya menyampaikan sahaja geran tanah itu sebagai penghormatan kepada beliau sebagai DO kawasan itu. Begitu jugalah dengan Nabi Muhammad ﷺ – baginda memang menyampaikan syafaat, tetapi pemberian syafaat itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ sendiri, bukan Nabi Muhammad ﷺ. Maka, kenapa minta daripada baginda?

Bukan sahaja roh-roh itu tidak ada kuasa memberikan syafaat, mereka وَلَا يَعْقِلُونَ tidak tahu menahu seruan orang yang menyeru kepada mereka. Ini kerana mereka duduk di alam yang lain: alam barzakh. Mereka yang menyeru itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Tafsir Ayat ke-44

Kalau mereka yang diseru itu tidak ada kuasa memberi syafaat, maka siapa yang ada kuasa untuk memberi syafaat?

قُل ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَميعًا ۖ لَّهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan).”

قُلْ ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَمِيعًا

Katakanlah: milik Allahlah segala syafaat semua sekali.

Dengan jelas dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang Dia sahaja yang memiliki kesemua syafaat. Nabi Muhammad ﷺ tidak memiliki syafaat yang boleh diberikan kepada sesiapa yang meminta darinya. Baginda hanya diberikan kuasa untuk ‘menyampaikan’ syafaat seperti yang kita telah jelaskan dalam ayat sebelum ini. Namun baginda tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan siapa yang boleh diberikan syafaat itu.

Ia sama seperti juga Malaikat Maut diberikan kuasa untuk mencabut nyawa. Soalan untuk mudah memahami konsep ini: bila ditiup sangkakala, dan semua makhluk sudah mati, adakah malaikat maut yang mencabut nyawa semua makhluk ketika itu? Jawabnya, tidak. Waktu itu, tiupan sangkakala itulah yang mengambil nyawa. Semua makhluk akan mati, termasuk jin dan makhluk-makhluk lain sekali.

Dalam surah Baqarah, Allah ‎ﷻ pernah berkata ‘mati kamu’ kepada sekumpulan manusia. Allah ‎ﷻ katakan kepada 70 orang wakil dari Bani Israil yang hendak lihat Allah ‎ﷻ secara terang-terang. Allah ‎ﷻ berkata ‘mati kamu’ kerana kesalahan mereka meminta sebegitu. Semua sekali mati terus. Jadi, waktu itu bukan Malaikat Maut yang mengambil nyawa mereka.

Namun begitu, kita memang mengharapkan syafaat yang disampaikan oleh Nabi ﷺ itu. Semoga kita semua mendapat syafaat nanti di akhirat kelak. Namun, hendaklah kita ingat bahawa bukan baginda yang mempunyai kuasa beri syafaat itu. Kalaulah Nabi ﷺ boleh memilih siapa yang baginda boleh beri syafaat, tentulah baginda akan memilih untuk berikan syafaat kepada Abu Talib. Ini kerana baginda sangat sayangkan Abu Talib dan Abu Talib telah banyak membantu baginda. Namun, kita semua tahu bahawa Abu Talib mati sebagai orang kafir dan dia akan masuk neraka.

Allah ‎ﷻ yang menentukan siapa yang Nabi ﷺ boleh beri syafaat. Kemudian, Nabi ﷺ boleh turunkan kuasa memberi syafaat itu kepada orang lain pula. Contohnya kepada sahabat, sahabat pula turunkan kepada anak murid mereka dan murid mereka kepada anak murid mereka pula. Akhir sekali kuasa ‘sementara’ memberi syafaat akan diberikan kepada muslim yang menghafal Qur’an. Dia boleh berikan syafaat kepada sepuluh orang (Walaupun begitu, ada masalah dengan hadis berkenaan perkara ini).

Namun, tidak boleh meminta syafaat daripada mereka sekarang kerana mereka belum mendapat kuasa itu lagi. Bagi yang menghafal Qur’an itu sendiri belum tentu boleh memasuki syurga. Ini kerana kalau dia hanya menghafal Qur’an dan tidak mengetahui isi kandungannya, ia tidak menghalang dia dari melakukan dosa atau melakukan perbuatan syirik, maka dia pun belum tentu dapat memasuki syurga. Kalau dia pun tidak masuk syurga, bagaimana pula dia hendak berikan syafaat kepada orang lain?

Jadi untuk mendapat syafaat, kita minta terus dengan Allah ‎ﷻ.

لَهُ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

bagiNya kerajaan langit dan bumi.

Allah ‎ﷻ boleh berikan syafaat itu kerana Dia lah memiliki segala kerajaan langit dan bumi. Kuasa penuh hanya ada pada Dia sahaja. Sembahan yang selain dari Dia, tidak ada kuasa-kuasa apa pun. Oleh itu, hanya Dia sahaja boleh memberikan syafaat.

ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kemudian kepada Dialah tempat dikembalikan (untuk menerima balasan).”

Sama ada kamu taat kepada Allah ‎ﷻ ataupun tidak, kamu akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Tidak ada satu makhluk pun yang akan terselamat. Mereka akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ dan bukan kepada ‘tuhan-tuhan kecil’ mereka. Mereka sangka sembahan-sembahan itu yang akan menjadi ‘peguam’ untuk mereka nanti.

Mereka sangka mereka tidak terus berjumpa dengan Allah ‎ﷻ tetapi ayat ini menegaskan bahawa mereka akan terus bertemu dan menghadap Allah ‎ﷻ. Maka, bagaimana mungkin ada pemberi syafaat yang dapat menghalang orang itu dari menerima azab Allah ‎ﷻ? Bilakah pula dia hendak berikan syafaat untuk membantu orang itu, kalau benar dia boleh berikan syafaat?

Tafsir Ayat ke-45

Ini adalah alamat yang kita boleh gunakan untuk kenal seseorang, sama ada dia syirik ataupun tauhid. Boleh kenal sebenarnya. Namun, sebenarnya, lebih elok kalau kita gunakan kayu ukur ayat ini untuk memeriksa diri kita sendiri. Ini kerana kita kena tahu bahawa syirik tidak boleh ada walau sedikit pun dalam hati kita. Maka kena keluarkan semua sekali. Ayat ini adalah tanda kalau terdapat fahaman syirik itu ataupun tidak.

Jadi ayat ini adalah tentang orang musyrikin, tidak kira di mana dan bilakah mereka itu. Mereka percaya Allah ‎ﷻ itu Tuhan tetapi mereka ada berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana mereka berasa ada lagi ilah-lain yang ada kuasa Allah ‎ﷻ. Oleh sebab itulah mereka mensyirikkan Allah ‎ﷻ dalam ibadah dan seruan mereka.

وَإِذا ذُكِرَ اللَهُ وَحدَهُ اشمَأَزَّت قُلوبُ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ ۖ وَإِذا ذُكِرَ الَّذينَ مِن دونِهِ إِذا هُم يَستَبشِرونَ

Dan apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta gembira.

وَإِذَا ذُكِرَ اللَهُ وَحْدَهُ

Dan apabila diajak seru/doa/ibadat kepada Allah sahaja,

Iaitu apabila dikatakan: tiada ilah melainkan Allah ‎ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan – kena ibadah dan seru Allah ‎ﷻ sahaja dan kena berzikir semata-mata kepada Allah ‎ﷻ sahaja, tidak boleh seru kepada selain Allah ‎ﷻ. Inilah konsep tauhid yang perlu diamalkan oleh orang Islam.

اشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ

gelisah hati-hati orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat,

Namun, apabila diajak hanya seru dan ibadah kepada Allah ‎ﷻ sahaja, gelisah hati mereka yang ada fahaman syirik dalam hati mereka. Kita boleh lihat, apabila kita ajak beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja, berubah airmuka mereka kerana mereka tidak suka. Apabila disebut Allah ‎ﷻ sahaja berkuasa, hanya Dia sahaja sebagai penyempurnaan hajat, mereka akan gelisah. Perasaan mereka itu tidak boleh disorokkan dari wajah mereka.

Kalau kita seperti itu, maka kita juga wajar dipanggil ‘musyrikin’. Cuma dinamakan dengan ‘Musyrikin Malaysia’. Hendak kenal mereka, senang sahaja. Apabila dibacakan ayat Qur’an yang menegur mereka, mereka tidak suka dan tidak senang. Mereka tidak suka mendengar hujjah dari Qur’an. Malah yang mereka suka adalah mendengar hujjah dari guru-guru mereka. Apabila dalam majlis itu hanya memperkatakan tentang Allah ‎ﷻ sahaja, mereka tidak selesa.

Ada orang yang berkata mereka tidak mengamalkan tawassul pun tetapi apabila disebutkan ayat-ayat tauhid kepada mereka, mereka gelisah. Ini kerana dalam hati mereka ada fahaman syirik. Dia tidak mengamalkannya, tetapi dia berasa yang ia tidak salah.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sebut mereka sebagai orang yang tidak beriman. Allah ‎ﷻ sebut terang-terangan bahawa mereka tidak beriman. Jadi jangan marah kepada pembawa cerita ini. Bukan kita yang kata mereka tidak beriman, tetapi Allah ‎ﷻ sendiri.

Ketika di dalam majlis, mereka ingin mengadakan benda-benda lain, cerita-cerita, nasyid dan sebagainya. Mereka berasa bosan kalau hanya bercakap tentang Allah ‎ﷻ sahaja. Ayat ini bukan hanya tentang syirik sahaja. Ini adalah tentang segala perjumpaan. Kalau sesuatu perjumpaan itu, yang terbaik adalah memperkatakan tentang Allah ‎ﷻ. Namun, untuk orang-orang yang tidak ada tauhid, mereka tidak selesa kalau percakapan bukan hanya tentang Allah ‎ﷻ sahaja.

وَإِذَا ذُكِرَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

dan apabila diajak mereka seru kepada roh selain dari Allah, tiba-tiba mereka suka.

Apabila diajak kepada menyeru selain Allah ‎ﷻ, mereka akan terus sokong dan suka kerana ia bertepatan dengan fahaman mereka yang syirik. Contohnya, kalau kita kata boleh untuk berdoa/beribadat kepada tok wali, para Nabi, malaikat dan sebagainya, mereka pun suka. Mereka jadi suka kalau kita kata boleh buat begitu.

Mereka itu tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu Tuhan, dan Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul, tetapi mereka suka pakai hujjah guru-guru mereka. Mereka juga tidak suka bercerita tentang Allah ‎ﷻ dan tentang agama. Kalau dalam perjumpaan itu, mereka bersembang tentang politik, tentang sukan, tentang wayang, tentang perkara lain selain Allah ‎ﷻ barulah mereka suka. Namun, bagi orang yang beriman, mereka akan suka bercakap tentang Allah ‎ﷻ.

Allahu a’lam.

10 Malam terakhir – Carilah Lailatul Qadarmu

0

Carilah Lailatul Qadar Di 10 Malam Terakhir

BERUNTUNGLAH sesiapa yang dapat bertemu dan menghidupkan malam ketika berlakunya Lailatul Qadar. Seluruh masanya, solatnya, ibadahnya, sedekahnya, zikirnya, bacaan al-Qurannya lebih baik daripada 1000 bulan ( 83 tahun 4 bulan).

Allah SWT berfirman,

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)

Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” [ Al Qadr: 1-5 ].

Nabi SAW memerintahkan umatnya untuk mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yang terakhir iaitu malam ganjil atau genap kerana Lailatul Qadar boleh berlaku pada malam ganjil atau genap.

Kebiasaannya ianya terjadi pada malam- malam ganjil.

Baginda berkata utamakan pada malam- malam ganjil. Pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29

Rasulullah SAW bersabda:

الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا

Maksudnya: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil”.

(Hadis Riwayat Ahmad, no.Hadith 85)

Di antara malam- malam ganjil utamakan malam 27.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a yang bermaksud:

“Sesiapa yang mencari malam al-Qadar, hendaklah dia mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam al-Qadar pada malam yang ke-27”.

Adakah Lailatul Qadar terjadi sepanjang malam masuk waktu magrib sehingga terbit fajar atau Lailatul Qadar itu ada saatnya?

Ulama menjelaskan bahawa Lailatul Qadar itu adalah berlaku sepanjang malam tersebut bermula terbenam matahari sehingga terbit fajar.

Amal ibadah dan amal soleh yang dikerjakan pada malam tersebut adalah dikira lebih baik daripada 1000 bulan. Tetapi pada malam tersebut wujud saatnya ( beberapa minit sahaja) yang cukup berharga, doa- doa ketika itu sungguh mustajab di sisi Allah dan turun malaikat – malaikat dan malaikat Jibril membawa rahmat, rezeki dan ketenangan kepada mukmin yang sedang beribadah . Hati orang- orang ketika itu cukup tenang, gembira kesan daripada kehadiran para malaikat yang mulia disisi Allah SWT.

Waktunya berlaku pada 1/3 akhir malam (jam 3.30 pagi – 5.30 pagi) Termasuk waktu mustajab doa

Tidak semua orang mukmin di beri rezeki dapat bertemu saat Lailatul Qadar. Hanya mukmin pilihan Allah sahaja iaitu mukmin yang bersih hati dan jiwanya daripada sifat riyak , sombong, sum’ah, ujub atau hasad dengki.

Orang yang suka memutuskan silaturahim dan ukhuwah Islamiah dan suka menabur fitnah sukar untuk bertemu saat Lailatul Qadar kerana Allah SWT murka kepada mereka yang ada sifat- sifat tercela seperti ini.

Apakah amalan – amalan yang perlu dilakukan sekiranya Lailatul Qadar berlaku pada malam tersebut?

1. Solat malam dan qiyamulail

2. Membaca al Quran.

3. Berzikir , berselawat dan beristighfar

4. Berdoa :

Ada doa yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam jikalau kita bertemu dengan malam kemuliaan tersebut iaitu doa:

Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni

(Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan Engkau mencintai orang yang meminta maaf, kerananya maafkanlah aku).

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَىُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِى اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

Dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha-, ia berkata,

“Aku pernah bertanya pada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam, yaitu jika saja ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, lantas apa doa yang mesti kuucapkan?”

Jawab Rasululullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam,

“Berdo’alah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni”

(Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan Engkau mencintai orang yang meminta maaf, kerananya maafkanlah aku).”

(HR. Tirmidzi no. 3513 dan Ibnu Majah no. 3850. Abu ‘Isa At Tirmidzi mengatakan bahawa hadits ini hasan sahih. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa hadits ini sahih).

Para ulama menyimpulkan dari hadis di atas tentang anjuran memperbanyak doa :

“Allahumma innaka ‘afuwwun …” pada malam yang diharap terdapat Lailatul Qadar. Doa di atas begitu jaami’ (lengkap dan syarat makna) walau terlihat singkat.

Doa tersebut mengandung ketundukan hamba pada Allah dan pernyataan bahawa dia tidak boleh luput dari dosa. Namun sekali lagi meminta ampunan seperti ini tidaklah terbatas pada bulan Ramadhan saja.

Ibnu Rajab rahimahullah juga memberi penjelasan menarik,

و إنما أمر بسؤال العفو في ليلة القدر بعد الإجتهاد في الأعمال فيها و في ليالي العشر لأن العارفين يجتهدون في الأعمال ثم لا يرون لأنفسهم عملا صالحا و لا حالا و لا مقالا فيرجعون إلى سؤال العفو كحال المذنب المقصر

“Dianjurkan banyak meminta maaf atau ampunan pada Allah di malam Lailatul Qadar setelah sebelumnya giat beramal di malam-malam Ramadan dan juga di sepuluh malam terakhir.

Oleh kerana orang yang arif adalah yang bersungguh-sungguh dalam beramal, namun dia masih menganggap bahawa amalan yang ia lakukan bukanlah amalan, keadaan atau ucapan yang baik (soleh). Oleh itu, ia banyak meminta ampun pada Allah seperti orang yang penuh kekurangan kerana dosa.”

Yahya bin Mu’adz pernah berkata,

ليس بعارف من لم يكن غاية أمله من الله العفو

“Bukanlah orang yang arif jika ia tidak pernah mengharap ampunan Allah.” (Lathoiful Ma’arif, hal. 362-363).

Oleh itu marilah sama- sama persiapkan diri kita mencari Lailatul Qadar ruangkan masa berikhtikaf di masjid kerana berikhtikaf adalah ibadah sunat dan menjadi amalan sunah kerana baginda menganjurkan umatnya berikhtikaf di 10 malam terakhir.

Teruskan pecutan sehingga sampai kepenamatnya dan berjaya mendapat Lailatul Qadar, keampunan daripada Allah SWT dan mendapat pangkat “orang bertakwa” insya Allah. Aamiin.

🥦 Wassalam 🥦

Makmum Sundari
24.5.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Salat Tarawih – 8 dan 20 Rakaat

1

🌺🍂🌺🍂🌺🍂

🔴 Berapakah rakaat tarawih sebenarnya mengikut sunnah Nabi SAW dan ada dalilkah?

🔴 Witir yang sebaiknya selepas tarawih berapa rakaat?

❇️
1. Tarawih mengikut sunnah Nabi SAW adalah 8 rakaat. Sunnah pada zaman Umar RA juga adalah 8 rakaat. Apabila tiba zaman mazhab, menjadi 20 rakaat.

Sebab utama 8 rakaat zaman salaf adalah terlalu lama dan umat zaman dahulu kuat. Tiba zaman mazhab umat tidak lagi kuat, mereka memendekkan rakaat dan menambah rakaat menjadi 20 supaya lebih rehat. itu maksud tarawih.

Lenguh menjadi punca salat tarawih diubah dari 8 rakaat kepada kepada 20 rakaat.

Di Masjidil Haram, tradisi 20 rakaat diteruskan hingga kini. Jika anda umrah Ramadhan, ia dilaksanakan sebanyak 20 rakaat.

2. Solat witir Ramadhan adalah sebanyak 3 rakaat seperti yang dilakukan oleh imam sekarang.

🔴 Semasa Umar RA memerintah, Umar RA telah menghimpunkan orang ramai supaya mendirikan solat sunat tarawih secara berjemaah tetapi rakaatnya tetap 8 rakaat bukan 20 rakaat. Benarkah begitu?

✳️
Ada dua versi mengenai solat tarawih di zaman Umar al-Khattab. Dalam Muwatta Malik, dinyatakan Umar melakukan 8 rakaat sebagaimana asal di zaman Nabi SAW dan Abu Bakar RA. Dalam Riwayat Baihaqi, Umar RA memerintahkan salat tarawih dilakukan 20 rakaat.

Kedua versi ini sahih. Maka dikompromikan keduanya sahih dan boleh dilakukan 8 rakaat atau 20 rakaat dengan kualiti solat yang sama yakni, habis serentak. Masjid yang buat 8 rakaat habis jam 11 malam, masjid yang buat 20 rakaat pun habis jam 11 malam juga.

Perlu dilakukan seperti itu kalau kita hendak kompromi dua riwayat Umar RA tersebut.

✳️ NOTA TAMBAHAN
——————————–

~Secara umum, empat mazhab memang lakukan 20 rakaat. Terbukti, kerajaan Saudi mengekalkan format salat tarawih 20 rakaat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

~8 rakaat pula adalah pendapat Muhaqqiqin, seperti Ibnu Taymiyah RH dalam Fatawa al Kubra.

Asalnya pada zaman Nabi SAW cuma 8 rakaat dengan panjangnya bacaan. Umar RA yang menjadikan 20 rakaat untuk menghilangkan lenguh dengan banyakkan rakaat, kemudian penduduk Madinah menambah 36 rakaat.

~Pendapat yang sahih ia tidak ditentukan jumlah rakaat.

~Muhaqqiq lain seperti al- Syun’ani, AlBani, al- Mubarakfuri, dibolehkan 8 rakaat.

~Bila empat mazhab ittifa’, bersetuju dengan 20 rakaat, bukanlah maksudnya ia wajib dilakukan 20 rakaat.
Cuma sebagai makmum, jika masjid lakukan 20 rakaat, kena ikutilah tanda kerjasama dan muafakat.

~Jika masjid buat 8 rakaat, maka ikutlah sampai witir dan balik ke rumah buat lagi setakat yang mampu dilakukan sebab salafussoleh lakukan 20 rakaat, 36 rakaat dan 40 rakaat.

✳️ RUMUSAN:
BILANGAN TARAWIH
————————————
1. Asal 8 rakaat.
Ia tidak muktamad, zaman Nabi SAW dan Abu Bakar RA tiada solat berjamaah, maka ikut Hadith Bukhari Muslim, memang Nabi SAW lakukan 8 rakaat.

2. Umar al Khattab RA lakukan 8 rakaat atau 20 rakaat, keduanya sahih, tetapi lebih banyak Riwayat atsar kata 20 rakaat.

3. 4 mazhab menetapkan 20 rakaat.

4. Masjidil Haram kiblat umat Islam di bawah Hanbali Saudi, melakukan salat tarawih 20 rakaat.

5. Muhaqiqiqin seperti al Albani, Syun’ani, al-Mubarakfuri, Ibn Taimiyyah berhujah yang asal adalah 8 rakaat.

6. Perlu dan yang kurang diberi perhatian ialah kualiti solat. Bacaan kena panjang, ada rehat, tanpa selawat, doa jamaiy dan menjerit-jerit antara dua rakaat.

Masjid yang lakukan 8 rakaat perlu bacaan yang panjang dan sepatutnya habis solat hampir sama dengan masjid yang lakukan 20 rakaat.

Lakukan salat tarawih 8 rakaat bukan alasan untuk balik awal ke rumah dan menonton televisyen.

✳️ MUKTAMAD:
———————–
Tiada batas minima dan maksima. Sebagai makmum, kena ikuti masjid dan ahli kariah. Jika mereka lakukan 20 rakaat, maka lakukan 20 rakaat.

#SolatTarawih

Banyakkan Amal atau Tinggalkan yang Haram?

0

📚📝

🔴 Betulkah kalau kita mahu tingkatkan iman, keutamaannya bukanlah terletak pada perbanyakkan amal, tetapi keutamaanya adalah meninggalkan yang haram. Alasannya kalau seseorang itu banyak beramal pun, tetapi masih melakukan benda haram, benda amal itu akan jadi sia-sia dan terhapus.

Meninggalkan haram lebih utama dari perbanyakan amal betulkah?

♻️ Tidak betul, sebab sifat manusia akan melakukan yang haram dan berbuat dosa. Maka, perbanyakkan amal soleh agar timbangan menjadi berat.

Dalil:
1. Amal soleh menghapuskan kejahatan/dosa
“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka diganti dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [ Furqan: 70 ]

Fiqh ayat: Iman dan amal soleh yang konsisten akan menghapuskan dosa.

2. Sedekah menghapuskan kejahatan
“Jika kamu menampakkan sedekah(mu) maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagi kamu. Dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [ al-Baqarah: 271 ].

3. Jihad menghapuskan dosa
“…(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan ke dalam syurga…” [ as-Shaff: 11-12].

4. Puasa
“Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan iman dan ikhlas (mencari pahala kerana Allah) maka diampunilah dosanya yang lampau.” [ HR Bukhari & Muslim).

5. Haji
Sesiapa yang melaksanakan haji, lalu tidak berbicara kotor dan tidak fasik, dia akan kembali (diampuni) dari dosanya sebagai mana ia dilahirkan ibunya,” (HR Bukhari & Muslim).

♻️ manusia sudah diprogramkan melakukan dosa, dalil:

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kalau kalian tidak berdosa maka Allah akan menjadikan kalian lesap, lalu Allah akan mendatangkan suatu kaum yang mereka berdosa lalu mereka bertaubat kepada Allah lalu Allah mengampuni mereka” (HR Muslim no 7141)

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri” [ Al-Baqarah: 222 ]

Fiqh ayat:
Allah suka, orang yang buat dosa kemudian taubat, buat yang haram kemudian menyucikan dirinya.

♻️ dalil yang akan menguatkan manusia yang berlumuran dosa supaya sentiasa “strong”:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53) وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ (54)

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” [ Az Zumar: 53-54 ]

Allahu a’lam.

Ramadhan: Amalan khatam Al-Quran

0

📚✍

🔴 Sahihkah Imam Asy Syafi’iy rhm mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali di bulan Ramadhan?

كَانَ الشَّافِعِيُّ يَخْتِمُ القُرْآنَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ سِتِّيْنَ خَتْمَةً

“Imam Asy Syafi’i rhm biasa mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadhan sebanyak 60 kali”
Ditambahkan oleh Ibnu Abi Hatim bahawa khataman tersebut dilakukan di dalam solat.
(Siyar A’lam An-Nubala’, 10: 36).

Ini menjelaskan Imam Asy Syafi’i rhm mengkhatamkan Al-Quran dua kali dalam sehari.

🔴 Bagi orang awam pula, bagaimana kaedah mengkhatamkan Al-Quran sesuai sunnah?


Panduan dari sunnah berkaitan mengkhatamkan Al-Quran.

Mengkhatamkan Al-Quran dalam masa seminggu sekali sahaja.

Dalil hadith:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي شَهْرٍ. قُلْتُ: إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً حَتَّى قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي سَبْعٍ ، وَلاَ تَزِدْ عَلَى ذَلِكَ

Terjemahan:
Abdullah bin ‘Amru ra berkata, Rasulullah saw bersabda: “Bacalah (khatamlah) Al-Quran dalam masa sebulan. saya menjawab: Sesungguhnya saya mampu (lebih daripada itu) sehinggalah baginda berkata: (khatamlah al-Quran) dalam masa seminggu, jangan engkau tambah melebihi itu”
(Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhail al-Quran, hadith no: 5054)

Mengkhatamkan Al-Quran dalam masa 3 hari.

Dalil hadith:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلًّمَ ، قَالَ : ” لَمْ يَفْقَهْ مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي أَقَلَّ مِنْ ثَلاثٍ

Terjemahan:
‘Abdullah bin ‘Amru meriwayatkan Nabi SAW bersabda:
“Tidak akan mendapat kefahaman sesiapa yang membaca (khatam) Al-Quran kurang daripada tiga hari”
(Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Qiraat, Hadis no: 2949, menurut Imam Abu Isa rhm: hadith ini hasan sahih)

Maka, petunjuk dari as-sunnah, Nabi SAW dengan jelas menyebut dalam masa ketiga hingga ketujuh hari untuk mengkhatamkan Al-Quran.

Mana-mana sahabat atau tabi’in yang mengkhatamkan Al-Quran kurang dari tiga hari, ianya tidak patut di contohi atau di ikuti.

Contoh:
Imam Asy Syafi’iy mengkhatamkan Al-Quran sebanyak dua kali sehari.

Sekiranya berlaku perselisihan atau kekeliruan, ikutilah saranan dari Nabi SAW iaitu anjuran kembali kepada as-sunnah.
Barang siapa yang berbuat melebihi anjuran daripada Nabi SAW, boleh dikatakan tidak ittiba’ terhadap Nabi SAW.

Siapa yang kita perlu ikuti, Nabi SAW atau pun Imam Mazhab?

Kaedah Emas:
Amalan sedikit tetapi berterusan.

Dalil hadith:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : صُمْ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ .قَالَ: أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ فَمَا زَالَ حَتَّى قَالَ :صُمْ يَوْمًا وَأَفْطِرْ يَوْمًا فَقَالَ اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي شَهْرٍ قَالَ إِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ فَمَا زَالَ حَتَّى قَالَ فِي ثَلاَثٍ

Terjemahan:
‘Abdullah bin ‘Amru ra, meriwayatkan Nabi SAW bersabda:
“Puasalah setiap bulan tiga hari. ‘Abdullah menjawab: Aku mampu melakukan lebih daripada itu. Hal itu berterusan sehinggalah baginda berkata: Puasalah sehari, dan tidak berpuasa sehari. Lalu baginda berkata pula: Bacalah (khatamlah) Al-Quran dalam masa sebulan. ‘Abdullah menjawab: Aku mampu melakukan lebih daripada itu. Hal itu berterusan sehingga baginda berkata (khatamlah al-Quran) dalam masa tiga hari”
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Hadith no: 1978)

Amalan sedikit tetapi berterusan:

1. Berpuasa sunat, 3 hari dalam satu bulan.

2. Mengkhatamkan Al-Qur
an, dalam satu bulan sekali sahaja.

Ulasan:
Amalan inilah yang terbaik. Sedikit tetapi konsisten untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Allahu a’lam.

Ramadhan – Salat Tarawih 20 Rakaat

0

📚📖✍

🔴 Mohon Syaikh beri pendapat berdasarkan kenyataan di bawah.

“Salat tarawih 20 rakaat itu tiada zaman Nabi dan Nabi berjamaah berdasarkan Riwayat adalah 3 atau 4 malam sahaja. Apa yang di lakukan oleh Saidina Umar itu selepas nabi ﷺ sudah pun wafat.
Hadith tentang bid’ah di syarahkan oleh Imam An-Nawawi sebagai am makhsus yakni ghalib atau kebiasaannya dholalah dan mafhum sebaliknya ada yang hasanah.”


Kita tidak tahu bagaimana mahu bidas atau sangkal dakwaan tersebut. Ini kerana mereka tidak mengerti fiqh dalil atau fiqh sunnah.

Isu seputar salat tarawih atau qiam malam Ramadhan.

1. Zaman Nabi ﷺ sudah ada pada 3 atau 4 malam pertama. Cuma baginda ﷺ hentikan kerana syariat sedang turun, dikhuatiri salat tarawih menjadi wajib.

Sekiranya Nabi ﷺ teruskan melakukan saban malam, ditakuti wahyu akan turun mewajibkan atau sahabat beranggapan ia termasuk hukumnya wajib.

Dalil hadith:

لنبي، صلى الله عليه وسلم، في المسجد ذات ليلة، فصلى بصلاته ناس، ثم صلى من القابلة، وكثر الناس، ثم اجتمعوا من الليلة الثالثة أوالرابعة، فلم يخرج إليهم رسول الله صلى الله عليه وسلم، فلما أصبح قال
قد رأيت الذي صنعتم، فلم يمنعني من الخروج إليكم إلا أنني خشيت أن تفرض عليكم وذلك في رمضان

“Nabi ﷺ salat di masjid pada suatu malam. Maka orang-orang pun salat bermakmum kepada baginda ﷺ. Kemudian kabilah-kabilah pun ikut salat bersama baginda ﷺ sehingga jumlahnya sangat banyak. Kemudian pada malam yang ketiga atau keempat mereka sudah berkumpul di masjid, namun baginda ﷺ tidak keluar. Ketika pagi hari tiba, baginda ﷺ bersabda: ‘Aku telah melihat apa yang kalian lakukan, tidaklah ada yang menghalangi aku untuk keluar kecuali aku khuatir salat tersebut diwajibkan atas kalian’. Itu ketika bulan Ramadan”.
[HR Muslim]

2. Umar رضي الله عنه mensyariatkan salat tarawih.

Sahih.

Dalil hadith:
Daripada Abdurrahman bin Abidin, ia berkata,

خرجت مع عمر -رضي الله عنه- ليلة في رمضان إلى المسجد، فإذا الناس أوزاع متفرقون، يُصلي الرجل لنفسه، ويصلي الرجل فيصلي بصلاته الرهط، فقال عمر: إني أرى لو جمعت هؤلاء على قارئ واحد لكان أمثل، ثم عزم فجمعهم على أُبي بن كعب

Terjemahan:
“Aku keluar bersama Umar pada suatu malam bulan Ramadhan ke masjid. Ketika itu orang-orang di masjid salat berkelompok-kelompok, terpisah-pisah. Ada yang salat sendiri-sendiri, ada juga yang membuat jamaah bersama beberapa orang. Umar berkata, ‘Menurutku jika aku satukan mereka ini untuk salat bermakmum di belakang satu orang qari’ itu akan lebih baik’. Maka Umar pun bertekad untuk mewujudkannya, dan ia pun menyatukan orang-orang untuk salat tarawih berjamaah bermakmum kepada Ubay bin Ka’ab”.
[HR Bukhari]

Khalifah yang 4 (khulafa’ arrasyidin) tidak melakukan bid’ah sebab mereka ada kuasa untuk melakukan sunnah juga. khususnya sunnah yang tersembunyi.

Dalil hadith:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ اْلأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Terjemahan:
“Wajib kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa arrasyidin mahdiyyin (para pemimpin yang menggantikan Rasulullah ﷺ, yang berada di atas jalan yang lurus, dan mendapatkan petunjuk). Berpegang teguhlah kalian padanya dan gigitlah ia dengan geraham-geraham kalian. Serta jauhilah perkara-perkara yang baru kerana setiap perkara yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.“
[HR Abu Daud dari Irbadh, Syaikh Al-Albani رحمه الله‎, hadith ini sahih].

Syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan

0
cof_vivid

📚✍

🔴 Bolehkah menguap tanpa menutup mulut kerana sepanjang bulan Ramadhan syaitan sudah diikat?


Rujuk syarah dari Ibnu Hajar al-Asqalani rhm berkaitan “syaitan dibelenggu”.

Syarah tersebut mengandungi dua maksud:

1. Kinayah

Kinayah atau metafora atau kiasan bermaksud banyaknya malaikat yang turun sehinggakan syaitan sukar menggoda manusia atau banyaknya pahala dan ramai manusia taat menyebabkan sempitnya peluang syaitan bekerja.

2. Hakikat

Di percayai syaitan benar-benar di belenggu.

Maka, hadith syaitan dipenjarakan membawa dua maksud sekaligus, maksud tekstual dan maksud metafora.

Orang yang mempunyai kecerdasan intelektual (intelligence quotient) yang tinggi kefahaman dan keilmuan memahami hadith ini sebagai kiasan.
Bagi orang yang kecerdasan intelektual (intelligence quotient) yang rendah akan memahami hadith ini bahawa syaitan dibelenggu.

Kefahaman kedua jenis kecerdasan intelektual ini boleh di terima.

🔴 Bolehkah diterima sekiranya ada tanggapan bahawa syaitan yang dibelenggu itu dari jenis syaitan yang berpangkat rendah tetapi ketua syaitan tidak dibelenggu?


Boleh pilih salah satu dari pendapat berikut:

Maksud syaitan yang dibelenggu di bulan Ramadhan:

1. Majazi (kiasan).
Syaitan tidak mampu menggoda kerana terdapat banyak keberkatan di bulan Ramadhan.

2. Hakiki (sebenar).
Bahawa kesemua syaitan dibelenggu.

3. Majazi dan hakiki.
Cuma sebahagian sahaja syaitan yang dibelenggu, sementara sebahagian lagi masih bebas.

وقد ذهب بعض أهل العلم إلى أن الذين يصفدون من الشياطين مردتهم، فعلى هذا فقد تقع المعصية بوسوسة من لم يصفد من الشياطين

Sebahagian ulama berpendapat bahawa syaitan yang dibelenggu hanyalah syaitan berpangkat tinggi. Berdasarkan pendapat ini, adanya maksiat, disebabkan bisikan syaitan yang tidak dibelenggu.
(Fatwa Syabakah Islamiyah, no. 40990).

Tidak ada ulama’ yang menyatakan hanya syaitan berpangkat rendah sahaja dibelenggu dan syaitan berpangkat tinggi masih tidak dibelenggu.

🔴 Bolehkah difahami yang kemaksiatan yang berlaku di bulan Ramadhan berpunca dari nafsu?


Itu pendapat hakiki.
Rujuk pendapat kedua di atas. Bermaksud nafsu masih bebas dan kesemua syaitan telah dibelenggu.

Boleh pilih tiga pendapat di atas, yang bersesuaian dengan tahap kecerdasan intektual(intelligence quotient) seseorang.

Ulasan:
Kelompok yang memahami hadith secara literal memahami bahawa syaitan kesemuanya dibelenggu atau sebahagian orang yang memahami hadith secara literal bahawa syaitan berpangkat tinggi sahaja yang dibelenggu.

Kelompok yang memilih atau memahami hadith secara maqasyid atau majaz atau kiasan, syaitan tidak berkemampuan menjalankan tugasan kerana hebatnya bulan Ramadhan.

Nota:
Kecerdasan Intelektual (intelligence quotient) adalah ukuran kemampuan intelektual, analisis, logika, dan rasio seseorang. Kecerdasan intelektual merupakan kecerdasan otak untuk menerima, menyimpan, dan mengolah informasi menjadi fakta.

Allahu a’lam.

Fatwa Pengebom Berani Mati

0

🔴 Mohon pandangan isu pengebom berani mati dan pandangan ulama’ berkaitan hal ini.


Pengebom berani mati.

Cara:
Pengebom akan memasang bom pada dirinya dan meledakkannya. Tindakan itu memusnahkan harta benda, ramai orang awam terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.

Ada tiga fatwa:

1. Haram

Ini pendapat Lajnah Fatwa Arab Saudi diluluskan oleh Syaikh Ibnu Baz رحمه الله‎.

Terdapat dua dosa besar di dalamnya;

◾️ Bunuh diri adalah dosa besar.

◾️ Membunuh wanita, orang tua dan kanak-kanak serta harta awam.

Membunuh manusia yang tidak berdosa adalah dosa besar, juga merosakkan harta awam.

2. Jihad tertinggi yakni Istisyhad

Ia adalah fatwa oleh Dr Yusof Al-Qardhawi dari Qatar dalam kitab Monumental Fiqhu Jihaad.

Alasan:

◾️ Ia bukan putus asa dan membunuh diri melainkan menuntut mati syahid yang amat besar pahalanya. Ia dilakukan kerana tiada lagi cara.

◾️ Ia khusus dalam situasi seperti Palestin kerana semua penduduk Israel dibekalkan senjata dan penduduk awam Israel sentiasa membunuh rakyat Palestin.

3. Merugikan umat Islam

Merugikan kerana tidak dapat meraih kemenangan dan nama Islam akan buruk.

Ini adalah pendapat Syaikh Al-Albani رحمه الله‎, Pertubuhan Negara-Negara Islam (Organisation Of Islamic Cooperation atau OIC) dan 7 Negara Teluk (Gulf Cooperation Council).

@bicarathtl
#SnJbicarasunnahC

Thaharah: Mandi yang dianjurkan (Sunat Mustahab)

0

Kitab : Thaharah
Bab: Mandi
Bahagian: Bahagian: Mandi Yang Dianjurkan
Tajuk:
🔘Mandi Dua Hari Raya
🔘 Mandi Hari Arafah
🔘 Mandi Ihram
🔘 Mandi Ketika Memasuki Mekah
🔘 Mandi Orang Memandikan Jenazah
🔘 Mandi Setiap Kali hendak Berjimak
🔘 Mandi Bagi Wanita Istihadah, Mandi Setiap Kali Hendak Solat. Atau Gabungkan Mandi Zuhur/Asar, Maghrib/Isyak
🔘 Mandi Kerana Menguburkan Musyrik
🔘 Mandi Setelah Sedar Dari Pengsan

Sebelum ini kita telah bentangkan bilakah seorang Muslim itu diwajibkan mandi junub. Sekarang kita bentangkan pula bilakan seorang Muslim itu disunatkan untuk mandi.

1. Mandi Dua Hari Raya

Disunatkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Tiada dalil khusus dari hadith tentang perkara ini, melainkan atsar dari Saidina Ali:

✍🏻Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” Atsar riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119. Diriwayatkan juga oleh Baihaqi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya Sahih].

✍🏻Hujah yang lain:

عن سعيد بن المسيب أَنَّهُ قَالَ: سُنَّةُ اْلفِطْرِ ثَلاَثٌ اْلمـَشْيُ إِلىَ اْلمـُصَلَّى وَ اْلأَكْلُ قَبْلَ اْلخُرُوْجِ وَ اْلاغْتِسَالُ

Daripada Sa’id bin al-Musayyab رضي الله عنه, bahawasanya dia berkata, “Sunnah di dalam Iedul Fitri itu ada tiga, iaitu berjalan menuju lapangan (padang), makan sebelum keluar (rumah) dan mandi”. [Telah mengeluarkan atsar ini Al-Furyabi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya sahih].

2. Mandi Hari Arafah

Maksudnya ketika wukuf di Arafah. Maka mandi untuk hari Arafah bukan untuk setiap muslim, akan tetapi hanya untuk jemaah haji sahaja. Tidak disyaratkan bersuci ketika wukuf di Arafah. Para ulama’ sepakat sahnya wukuf orang yang haidh dan dalam junub.

Akan tetapi dianjurkan berwukuf dalam keadaan suci dari dua hadas, sama ada besar atau kecil. Ini adalah kerana semasa wukuf di Arafah itu, para Haji sedang berzikir kepada Allah عز وجل, dan kita telah tahu bahawa kita dianjurkan dalam keadaan suci ketika mengingat Allah عز وجل.

Dalil sunat mandi ini adalah seperti atsar Saidina Ali yang telah disebut di atas. Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.

Telah diketahui bahawa empat mazhab yang terkenal sepakat berpendapat dianjurkan mandi pada hari Arafah, siapa yang melaksanakannya diberi pahala.

✍🏻Dalil anjurannya adalah perbuatan para sahabat رضي الله عنهم.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله mengatakan, “Tidak dinukil baik daripada Nabi صلى الله عليه وسلم mahupun dari para sahabat dalam haji kecuali tiga mandi mandi ihram, mandi ketika masuk Mekah dan mandi hari Arafah.”‘Majmu’ Fatawa, (26/132).

3. Mandi Ihram

✍🏻Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga mandi di Dzulhulaifah (salah satu dari miqat Ihram). Terdapat riwayat dari Kharijah bin Zaid bin Tsabit daripada ayahnya bahawa dia (ayahnya) melihat Nabi صلى الله عليه وسلم berihram dengan melepaskan pakaian baginda yang berjahit lalu mandi.
[Hadits Riwayat Tirmidzi no.760 cetakan Al-Alamiyah]

Syarah:
Baginda mandi di Dzulhulaifah kerana baginda berihram dari situ. Nabi صلى الله عليه وسلم menjadikan Dzulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah. Maka kita mandi di Miqat kita. Di manakah miqat itu boleh rujuk kepada Mutawwif.

✍🏻Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله mengatakan, “Tidak dinukil baik daripada Nabi صلى الله عليه وسلم mahupun dari para sahabat dalam haji kecuali tiga mandi. Mandi ihram, mandi ketika masuk Mekah dan mandi hari Arafah.” Majmu’ Fatawa, (26/132).

✍🏻Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz pernah menjawab ketika ditanya tentang hal ini: “Jika seorang berihram tanpa mandi, maka dia tidak berdosa. Lalu jika mandi di Mina ketika dia telah berihram maka juga tidak mengapa. Tetapi yang utama dan sunnah adalah jika dia mandi sebelum ihram. Jika tidak mandi (ihram tanpa mandi) atau hanya berwudhu’ sahaja, maka dia tidak berdosa dalam demikian itu sebab mandi ketika ihram hukumnya sunnah, demikian juga wudhu.”
[Disalin dari Buku Fatwa-Fatwa Haji dan Umrah oleh Ulama’-Ulama’ Besar Saudi Arabia]

4. Mandi ketika masuk Makkah

Selanjutnya yang dianjurkan untuk mandi adalah ketika memasuki kota Makkah untuk menunaikan tawaf ketika umrah atau haji.

عن نافع أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ لاَ يَقْدِمُ مَكَّةَ إِلاَّ بَاتَ بِذِي طُوًى حَتىَّ يُصْبِحَ وَ يَغْتَسِلَ ثُمَّ يَدْخُلُ مَكَّةَ نَهَارًا وَ يَذْكُرُ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم أَنَّهُ فَعَلَهُ

Daripada Nafi’ bahawasanya Ibnu Umar رضي الله عنهما tidaklah memasuki kota Makkah melainkan dia bermalam di Dzu Thuwa sampai subuh dan mandi kemudian masuk kota Makkah di waktu siang hari. Dia menyebutkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bahawasanya baginda juga melakukannya.
[HR Muslim: 1259 (227) dan Bukhari: 1553, 1573. Berkata Asy-Syaikh Al-Albaniy: Sahih].

Berkata Ibnu Al-Mundzir رحمه الله, “Mandi ketika masuk ke kota Makkah adalah dianjurkan menurut seluruh ulama’ dan meninggalkannya menurut mereka tidaklah menyebabkan membayar fidyah. Majoriti mereka mengatakan wudhu’ itu cukup darinya”.

5. Setelah memandikan jenazah

Jika seorang muslim turut memandikan jenazah saudaranya maka dianjurkan untuk mandi setelah memandikannya.

✍🏻Hal ini telah disebutkan di dalam beberapa riwayat antaranya hadith berikut ini,

عن أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: مَنْ غَسَلَ اْلمـَيِّتَ فَلْيَغْتَسِلْ وَ مَنْ حَمَلَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Barangsiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi dan barangsiapa yang mengusungnya, maka hendaklah berwudhu”
[HR Abu Dawud: 3161, at-Tirmidzi: 993 dan Ahmad: II/ 280, 433, 454, 472. Berkata Asy-Syaikh Al-Albaniy: Sahih].

Syarah:
Zahir hadith ini nampaknya seolah-olah ia wajib, tetapi ulama’ tidak mewajibkannya kerana ada lagi hadith-hadith lain yang memberi isyarat bahawa ia sunat sahaja.

✍🏻Lihat hadith di bawah:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قَالَ: لَيْسَ عَلَيْكُمْ فىِ غَسْلِ مَيِّتِكُمْ غُسْلٌ إِذَا غَسَلْتُمُوْهُ فَإِنَّ مَيِّتَكُمْ لَيْسَ بِنَجَسٍ فَحَسْبُكُمْ أَنْ تَغْسِلُوْا أَيْدِيَكُمْ

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata, “Tidak ada kewajiban atas kalian di dalam memandikan mayat di antara kalian apabila kalian memandikannya kerana sesungguhnya mayat kalian itu bukanlah najis. Maka cukuplah bagi kalian untuk mencuci tangan-tangan kalian”.
[Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Telah mengeluarkan atsar ini Al-Hakim: 1466 dan Al-Baihaqi. Berkata Al-Hakim: Shahih berdasarkan syarat Al-Bukhari dan Al-Imam Adz-Dzahabi pun menyepakatinya.].

عن ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ: كُنَّا نَغْسِلُ اْلمـَيِّتَ فَمِنَّا مَنْ يَغْتَسِلُ وَ مِنَّا مَنْ لاَ يَغْتَسِلَ

Daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما berkata, “Kami pernah memandikan mayat, lalu di antara kami ada yang mandi dan di antara kami ada juga yang tidak mandi”.
[Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Telah mengeluarkan atsar ini Ad-Daruquthni: 1802 dan Al-Khathib dengan sanad yang sahih sebagaimana dikatakan oleh Al-Hafiz].

Hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه di atas menunjukkan perintah untuk mandi bagi yang telah memandikan mayat dan berwudhu’ bagi yang mengusungnya. Tetapi perintah tersebut hanyalah mengandungi penganjuran dan tidak wajib kerana hadith daripada Ibnu Abbas dan Ibnu Umar رضي الله عنهما berikutnya menerangkan di antara para sahabat رضي الله عنهم ada yang tidak melakukannya. Sekiranya ia wajib, tentulah mereka telah melakukannya.

6. Setiap kali hendak jimak

Islam adalah agama yang bersih dan sangat menyukai kebersihan. Ini termasuklah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah rumah tangga. Jimak merupakan salah satu dari beberapa keperluan suami dan isteri.

Namun ketika mereka melakukan hubungan seksual ini dalam keadaan yang tidak menyenangkan dari segi fizikal (bau badan dan sebagainya), akan dapat mengganggu hubungan seksual tersebut. Jangan main-main kerana dengan perkara ini boleh menyebabkan hubungan keduanya boleh menjadi menjadi renggang dan malah boleh terjadi perceraian.

Oleh sebab itu setiap muslim, bukan hanya berusaha menunaikan kewajibannya sebagai suami yang menggauli isterinya dengan cara ma’ruf atau sebagai isteri yang berusaha memenuhi kehendak suaminya yang mengajaknya ke tempat tidur untuk berhubungan intim.

Selain itu mereka juga hendaklah berusaha untuk memperhatikan hal-hal yang dapat menimbulkan keinginan, ghairah dan kepuasan kepada pasangannya. Usaha itu di antaranya adalah dengan memperhatikan kebersihan tubuh, maka dianjurkan apabila seseorang di antara mereka ketika akan mendatangi pasangannya, hendaklah dalam keadaan bersih dan harum.

Mandi adalah jalan termudah kerana dengan mandi, tubuh akan menjadi segar, hilang kotoran dan bau-bauan yang tidak menyenangkan dan pasangannya pun akan lebih senang dan lebih bersemangat. Apalagi jika kedua pasangan tersebut hendak mengulanginya kembali setelah cukup rehat.

Hal ini telah dikerjakan oleh Rasulullah ﷺ yang pernah menggilir semua isteri-isterinya dalam satu malam. Setiap kali hendak menggilir salah seorang dari mereka, baginda mandi terlebih dahulu.

✍🏻Hal ini berdasarkan dalil hadith di bawah ini,

عن أبي رافع أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم طَافَ ذَاتَ يَوْمٍ عَلَى نِسَائِهِ يَغْتَسِلُ عِنْدَ هَذِهِ وَ عِنْدَ هَذِهِ قَالَ: فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَلاَ تَجْعَلُهُ غُسْلاً وَاحِدًا؟ قَالَ: هَذَا أَزْكَى وَ أَطْيَبُ وَ أَطْهَرُ

Daripada Abu Rafi’ رضي الله عنه bahawasanya Nabi صلى الله عليه وسلم suatu hari pernah berkeliling (menjimak) isteri-isterinya dan baginda mandi di sisi yang ini dan di sisi yang itu. Berkata (Abu Rafi’), “aku bertanya, “Wahai Rasulullah tidakkah engkau menjadikannya satu kali mandi sahaja?”. Beliau menjawab, “Ini lebih suci, lebih harum dan lebih bersih”.
[HR Abu Dawud: 219, Ibnu Majah: 590 dan Ahmad: VI/ 8. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Syarah:
Daripada hadith ini, menceritakan kepada kita yang setiap kali baginda jimak seorang isteri, baginda akan mandi dahulu sebelum menjimak isterinya yang lain. Mandi setiap kali hendak mengulangi jimak adalah lebih suci, lebih harum dan lebih bersih. Hal inipun disukai oleh suami isteri yang melakukannya meskipun mencuci faraj dan berwudhu’ itu sudah memadai.

7. Bagi wanita yang istihadhah, mandi setiap kali hendak solat. Atau gabungkan mandi Zuhur/Asar, Maghrib/Isya’

Perempuan yang mengalami istihadhah dianjurkan mandi setiap kali hendak melakukan salat. Dalilnya seperti berikut:

✍🏻Pertama

عن عدي بن ثابت عن أبيه عن جده عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم قَالَ: اْلمـُسْتَحَاضَةُ تَدَعُ الصَّلاَةَ أَيَّامَ أَقْرَائِهَا ثُمَّ تَغْتَسِلُ وَ تَتَوَضَّأُ لِكُلِّ صَلاَةٍ وَ تَصُوْمُ وَ تُصَلِّي

Daripada Adi bin Tsabit daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Orang yang istihadhah meninggalkan salat beberapa hari kebiasaan haidhnya kemudian dia mandi dan wudhu’ untuk setiap kali solat. Dia juga mengerjakan puasa dan solat”.
[HR Ibnu Majah: 625, At-Tirmizi: 126, Abu Daud: 297 dan Ad-Darimi: I/ 202. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih]

Syarah:
Hadith ini menunjukkan atas wajibnya berwudhu’ (bagi orang yang istihadhah) untuk setiap kali salat. Namun disunatkan untuk mandi. Maka kena dipastikan sama ada itu adalah darah haidh atau darah istihadhah (darah penyakit).Ini kerana jika memang darah haidh maka tidak boleh salat dan berpuasa.

✍🏻Kedua

عن عائشة قَالَتْ: اسْتُحِيْضَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبيِ حُبَيْشٍ فَسَأَلَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم فَقَالَتْ: يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنيِّ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ ؟ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم : إِنمَّاَ ذَلِكَ عِرْقٌ وَ لَيْسَتْ بِاْلحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتِ اْلحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلاَةَ وَ إِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِيْ عَنْكِ أَثَرَ الدَّمِ وَ تَوَضَّئِيْ فَإِنمَّاَ ذَلِكَ عِرْقٌ وَ لَيْسَتْ بِاْلحَيْضَةِ قِيْلَ لَهُ: فَاْلغُسْلُ؟ قَالَ: ذَلِكَ لاَ يَشُكُّ فِيْهِ أَحَدٌ

Daripada Aisyah رضي الله عنها berkata, “Fatimah binti Hubaisy pernah mengalami istihadhah, lalu dia bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, dia berkata, “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengalami istihadhah, maka aku tidak suci, bolehkah aku meninggalkan salat?”. Rasulullah ﷺ menjawab, “Yang demikian itu adalah cairan penyakit bukannya haidh, maka jika datang waktu haidh tinggalkanlah salat dan apabila telah berlalu maka cucilah kesan darah darimu dan berwudhu’lah. Yang demikian itu hanyalah cairan penyakit dan bukannya haidh”. Ditanyakan kepadanya, “Kalau mandi bagaimana?”. Beliau menjawab, “hal tersebut, tiada seseorangpun yang ragu tentangnya”.
[HR An-Nasa’i: I/ 124. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih isnadnya].

✍🏻Ketiga

عن حمنة بنت جحش قَالَتْ: كُنْتُ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَأَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم أَسْتَفْتِيْهِ وَ أُخْبِرُهُ فَوَجَدْتُهُ فىِ بَيْتِ أُخْتىِ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنيِّ امْرَأَةٌ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَمَا تَرَى فِيْهَا قَدْ مَنَعَتْنىِ الصَّلاَةُ وَ الصَّوْمُ؟ فَقَالَ: أَنْعَتُ لَكِ اْلكُرْسُفَ فَإِنَّهُ يُذْهِبُ الدَّمَ قَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ: فَاتَّخِذِيْ ثَوْبًا فَقَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ إِنمَّاَ أَثُجُّ ثَجًّا قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم : سَآمُرُكِ بِأَمْرَيْنِ أَيَّهُمَا فَعَلْتِ أَجْزَأَ عَنْكِ مِنَ اْلآخَرِ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَيْهِمَا فَأَنْتِ أَعْلَمُ فَقَالَ لَهَا: إِنمَّاَ هَذِهِ رَكْضَةٌ مِنْ رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ فَتَحَيَّضِيْ سِتَّةَ أَيَّامٍ أَوْ سَبْعَةَ أَيَّامٍ فىِ عِلْمِ اللهِ ثُمَّ اغْتَسِلِيْ حَتىَّ إِذَا رَأَيْتِ أَنَّكِ قَدْ طَهُرْتِ وَ اسْتَنْقَأْتِ فَصَلِّي ثَلاَثًا وَ عِشْرِيْنَ لَيْلَةً أَوْ أَرْبَعًا وَ عِشْرِيْنِ لَيْلَةً وَ أَيَّامَهَا وَ صُوْمِيْ فَإِنَّ ذَلِكَ يُجْزِيْكَ وَ كَذَلِكَ فَافْعَلِيْ كُلَّ شَهْرٍ كَمَا َتحِيْضُ النِّسَاءُ وَ كَمَا يَطْهُرْنَ مِيْقَاتَ حَيْضِهِنَّ وَ طُهْرِهِنَّ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَى أَنْ تُؤَخِّرِي الظُّهْرَ وَ تُعَجِّلَ اْلعَصْرَ فَتَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ الظُّهْرِ وَ اْلعَصْرِ وَ تُؤَخِّرِيْنَ اْلمـَغْرِبَ وَ تُعَجِّلِيْنَ اْلعِشَاءَ ثُمَّ تَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فَافْعَلِيْ وَ تَغْتَسِلِيْنَ مَعَ اْلفَجْرِ فَافْعَلِيْ وَ صُوْمِيْ إِنْ قَدِرْتِ عَلَى ذَلِكَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هَذَا أَعْجَبُ اْلأَمْرَيْنِ إِلَيَّ

Daripada Hamnah binti Jahsyi berkata, “Aku pernah mengalami istihadhah yang deras sekali, lalu aku mendatangi Rasulullah ﷺ untuk meminta fatwa kepadanya. Aku mendapatkan berita tentangnya lalu aku menjumpai baginda di rumah saudariku Zainab binti Jahsyi”. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengalami istihadhah yang deras sekali, bagaimana pendapatmu, apakah ia mencegahku dari salat dan puasa?”. Baginda menjawab, “Aku akan terangkan kepadamu, kain kapas (yang engkau lekatkan pada farji) dapat menghilangkan (atau menyerap) darah”. Hamnah berkata, “darahku lebih banyak dari itu”. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab, “Ambillah kain”. Hamnah berkata lagi, ”Darahku lebih banyak lagi dari itu kerana ia adalah darah yang mengalir”. Maka bersabdalah Rasulullah ﷺ, ”Aku akan perintahkan kepadamu dua hal, manapun yang engkau kerjakan nescaya mencukupimu dari yang lain, tetapi jikalau engkau mampu keduanya engkaulah yang lebih tahu”. Baginda bersabda kepadanya, ”Itu hanyalah satu gangguan dari beberapa gangguan syaitan, maka berhaidlah engkau enam atau tujuh hari di dalam ilmu Allah kemudian mandilah sehingga apabila engkau lihat (atau yakin) bahawa engkau telah suci dan telah sampai masa suci maka salatlah selama dua puluh tiga atau dua puluh empat hari dan puasalah. Maka sesungguhnya yang demikian itu cukup bagimu dan demikian pula hendaknya engkau lakukan setiap bulan sebagaimana perempuan haidh dan suci pada waktu haidh dan sucinya mereka. Jikalah engkau masih mampu maka hendaknya engkau mengakhiri salat Zuhur dan menyegerakan salat Asar lalu engkau mandi dan menjamak antara dua salat iaitu Zuhur dan Asar, dan engkau mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isya’ kemudian engkau mandi dan menjamak antara dua salat yaitu Maghrib dan Isya’, maka tunaikanlah. Engkau mandi bersama salat fajar maka tunaikanlah dan puasalah jika engkau mampu”. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, ”Cara yang terakhir inilah yang lebih aku sukai.”.
[HR Abu Daud: 287, At-Tirmizi: 128, Ibnu Majah: 627 dan Ahmad: VI/ 381-382, 439, 439-440. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Syarah:
Seperti yang telah disebut, dianjurkan untuk mandi setiap kali salat atau pun, boleh juga mandi sekali untuk salat Zuhur dan Asar; kemudian mandi sekali lagi untuk Maghrib dan Isya’; mandi sekali lagi untuk salat Subuh.

✍🏻Keempat

عن عائشة قَالَتْ: اسْتُحِيْضَتِ امْرَأَةٌ عَلَى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه و سلم فَأُمِرَتْ أَنْ تُعَجِّلَ اْلعَصْرَ وَ تُؤَخِّرَ الظُّهْرَ وَ تَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلاً وَ أَنْ تُؤَخِّرَ اْلمـَغْرِبَ وَ تُعَجِّلَ اْلعِشَاءَ وَ تَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلاً وَ تَغْتَسِلُ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ غُسْلاً فَقُلْتُ (يَعْنيِ شُعْبَةَ) لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ: عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم ؟ فَقَالَ: لاَ أُحَدِّثُكَ إِلاَّ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم بِشَيْءٍ

Daripada Aisyah رضي الله عنها berkata, “Pernah seorang perempuan mengalami istihadhah di masa Rasulullah صلى الله عليه وسلم”. Lalu dia disuruh untuk menyegerakan Asar dan mengakhirkan Zuhur dan mandi dengan sekali mandi untuk keduanya. Dan juga untuk mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isya’ dan mandi dengan sekali mandi untuk keduanya. Dan juga mandi dengan sekali mandi untuk menunaikan salat subuh. Aku (yaitu Syu’bah) berkata kepada Abdurrahman, ”(Apakah itu) dari Nabi صلى الله عليه وسلم ?”. Dia menjawab, ”Aku tidak akan menceritakannya kepadamu tentang sesuatu melainkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم”.
[HR Abu Daud: 294 dan An-Nasa’i: I/ 122. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih].

عن أُمِّ حَبِيْبَةَ بِنْتِ جَحْشٍ اسْتُحِيْضَتْ سَبْعَ سِنِيْنَ فَأَمَرَهَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم أَنْ تَغْتَسِلَ فَكَانَتْ تَغْتَسِلُ لِكُلِّ صَلاَةٍ

Daripada Ummu Habibah binti Jahsyi رضي الله عنها, dia mengalami istihadhah selama tujuh tahun. Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyuruhnya untuk mandi. Maka dia selalu mandi untuk setiap kali salat.
[HR Abu Daud: 291, 292. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih].

Istihadhah adalah darah perempuan yang keluar terus menerus tanpa berhenti atau berhenti sebentar (satu atau dua hari) dalam sebulan.

Hal ini dimanfaatkan oleh syaitan untuk menggoda kaum perempuan sehingga ada di antara mereka yang tidak melakukan salat, puasa dan tidak pula menerima ajakan suaminya untuk berjimak. Padahal ini adalah perilaku yang keliru dan tidak dapat dibenarkan oleh syari’at.

Jika ada seorang perempuan mengalami istihadhah maka hendaklah dia memperhatikan beberapa perkara di bawah ini:

1. Apabila dia pernah datang haidh lalu sekarang baru dia mengalami istihadhah, maka hendaklah dia tengok jadual haidh dia yang pernah terjadi kepadanya dalam sebulan. Maka tunggulah masa tanpa salat seperti biasanya dia ada haidh, dan hendaklah dia menganggap selainnya adalah darah istihadhah dan bolehlah dia salat dan puasa, juga boleh berjimak dengan suaminya.

2. Atau apabila dia baru pertama kali mengalami haidh lalu langsung mengalami istihadhah namun dia dapat membezakan warna darah haidhnya yang kental, berwarna hitam atau bau yang khas. Di saat itulah dia menghitung waktu haidhnya dalam sebulan dan selebihnya adalah darah istihadhah.

3. Atau seperti yang kedua, yakni dia baru mengalami haidh lalu dia terus mengalami istihadhah dan kerana itu dia tidak dapat membezakan antara darah haidh dan darah istihadhah maka dia mesti berketetapan untuk berhaidh selama enam atau tujuh hari dalam sebulan seperti umumnya perempuan lain mengalami haidh, lalu dia menganggap sisanya adalah darah istihadhah.

📌Dianjurkan baginya untuk mandi setiap kali hendak salat, atau menjadikan satu mandi untuk dua salat yang dijamak misalnya; Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isya’ sedangkan Subuh sekali mandi. Tetapi jika tidak, ia wajib berwudhu’ setiap kali salat yang dilakukan sesudah masuknya waktu salat.

Nota tambahan:
Ada ulama’ berkata mandi ini juga mungkin sebagai salah satu cara untuk mengubati sakit yang menyebabkan darah itu keluar. Boleh diamalkan sebagai usaha kita.

8. Mandi kerana menguburkan orang musyrik

Jika ada seorang muslim ikut menguburkan jenazah orang kafir atau musyrik, maka hendaklah dia mandi dengan mandi junub. Pada dasarnya, seorang muslim itu dilarang menguburkan jenazah orang kafir atau musyrik.

Namun ketika jenazah itu tidak ada yang menguburkan kerana suatu hal, maka mereka wajib menguburkannya tanpa memandikan, mengkafani, menyolatkan dan mendoakannya.

✍🏻Hal ini sebagaimana telah diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ kepada Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه di dalam hadith berikut,

عن علي رضي الله عنه قَالَ: َلمــَّا تُوُفِّيَ أَبُوْ طَالِبٍ أَتَيْتُ النَّبيَّ صلى الله عليه و سلم فَقُلْتُ: إِنَّ عَمَّكَ الشَّيْخَ الضَّالَّ قَدْ مَاتَ فَمَنْ يُوَارِيْهِ قَالَ: اذْهَبْ فَوَارِهِ ثُمَّ لاَ تُحَدِّثْ شَيْئًا حَتىَّ تَأْتِيَنيِ فَقَالَ: إِنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا فَقَالَ: اذْهَبْ فَوَارِهِ قَالَ: فَوَارَيْتُهُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ قَالَ: اذْهَبْ فَاغْتَسِلْ ثُمَّ لاَ تُحَدِّثْ شَيْئًا حَتىَّ تَأْتِيَنيِ قَالَ: فَاغْتَسَلْتُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ قَالَ: فَدَعَا لىِ بِدَعَوَاتٍ مَا يَسُرُّنيِ أَنَّ ليِ بِهَا حُمُرَ النَّعَمِ وَ سُوْدَهَا قَالَ: وَ كَانَ عَلِيٌّ إِذَا غَسَلَ اْلمـَيِّتَ اغْتَسَلَ

Dari Ali رضي الله عنه berkata, “Ketika Abu Thalib wafat, aku datang kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan berkata, “Sesungguhnya bapa saudaramu yaitu seorang tua yang sesat, sesungguhnya telah mati, maka siapakah yang akan menguburkannya?”. Baginda bersabda, “Pergi dan kuburkanlah lalu janganlah engkau berkata sesuatupun sehingga engkau mendatangiku”. Ali berkata, “Sesungguhnya dia telah mati dalam keadaan musyrik”. Beliau bersabda, “Pergi dan kuburkanlah”. Ali berkata, “Kemudian akupun menguburkannya lalu mendatanginya”. Baginda bersabda, ”Pergi dan mandilah lalu janganlah engkau berkata sesuatupun sehingga engkau mendatangiku”. Ali berkata, ”Lalu akupun mandi kemudian mendatanginya”. Ali berkata, ”Maka baginda mendoakan kebaikan kepadaku dengan beberapa doa yang membuatku bahagia seakan aku memiliki unta merah dan hitamnya”. Dia (iaitu Abdurrahman As-Silmiy) berkata, ”Ali biasanya mandi apabila memandikan mayat”.
[HR Ahmad: I/ 97, 103, Abu Daud: 3214, An-Nasa’i: I/ 110, IV/ 79-80 dan Al-Baihaqi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya Sahih].

Syarah:
Perintah Nabi ﷺ kepada Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه di atas menerangkan tentang penganjuran mandi baginya ketika selesai dari menguburkan Abu Thalib ayahnya yang mati dalam keadaan kafir. Dan hal inipun berlaku bagi semua umatnya kerana hadith tersebut tidak ada pengkhususan hanya bagi Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه sahaja.

9. Mandi setelah sedar dari pengsan

Masalah mandi selepas sembuh daripada penyakit gila ada disebutkan oleh ulama’.

Jumhur ulama’ mengatakan hukum mandi ini adalah sunat dan ijma’ ulama’ bahawa mandi tersebut tidak wajib.

✍🏻Antara yang menyebut masalah ini ialah An-Nawawi dalam Al-Majmuk, kata beliau :
“Berkata (ashab) ulama’ kami: dan disunatkan bagi orang yang pengsan mandi apabila telah sedar kerana mengikut Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

✍🏻Ibn Munzir, Ibn Al-Sabbagh dan lain-lain berkata: Ijma’ ulama’ bahawa mandi tidak wajib ke atasnya.

✍🏻Ibn Qudamah juga berkata :
“Fasal: Dan tidak wajib mandi ke atas orang gila dan orang pengsan apabila dia sedar daripadanya tanpa ada mimpi basah. Dan aku tidak mengetahui khilaf dalam permasalahan ini.

✍🏻Ibn al-Munzir berkata: sabit bahawa Rasulullah ﷺ mandi kerana sebab pengsan, dan mereka bersepakat bahawasanya ia tidak wajib, dan kerana hilang akal itu sendiri tidak mewajibkan mandi.

Sedangkan berlaku inzal adalah disyaki sahaja. Maka kita tidak menghilangkan keyakinan dengan sebab syak. Namun jika yakin berlaku inzal maka wajib mandi atas kedua-duanya, kerana disebabkan oleh mimpi basah.
(al-Mughni 1/357)

✍🏻Para ulama’ berdalilkan dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:

Ahmad bin Yunus menceritakan, katanya Za’idah daripada Musa bin Abi Aisyah daripada Ubaidillah bin Abdillah bin Utbah, katanya aku masuk berjumpa Aisyah maka aku berkata: Tidakkah mahu kamu ceritakan kepadaku tentang sakit Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Jawabnya: Ya, tatkala Nabi صلى الله عليه وسلم sakit baginda bersabda : “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab: Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda: “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab: Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda : “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab : Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda: Adakah orang ramai telah salat?
(Al-Bukhari:687 dan Muslim:418)

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan