Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Mandi yang dianjurkan (Sunat Mustahab)

Thaharah: Mandi yang dianjurkan (Sunat Mustahab)

330
0
Iklan

Kitab : Thaharah
Bab: Mandi
Bahagian: Bahagian: Mandi Yang Dianjurkan
Tajuk:
🔘Mandi Dua Hari Raya
🔘 Mandi Hari Arafah
🔘 Mandi Ihram
🔘 Mandi Ketika Memasuki Mekah
🔘 Mandi Orang Memandikan Jenazah
🔘 Mandi Setiap Kali hendak Berjimak
🔘 Mandi Bagi Wanita Istihadah, Mandi Setiap Kali Hendak Solat. Atau Gabungkan Mandi Zuhur/Asar, Maghrib/Isyak
🔘 Mandi Kerana Menguburkan Musyrik
🔘 Mandi Setelah Sedar Dari Pengsan

Sebelum ini kita telah bentangkan bilakah seorang Muslim itu diwajibkan mandi junub. Sekarang kita bentangkan pula bilakan seorang Muslim itu disunatkan untuk mandi.

1. Mandi Dua Hari Raya

Disunatkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Tiada dalil khusus dari hadith tentang perkara ini, melainkan atsar dari Saidina Ali:

✍🏻Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” Atsar riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119. Diriwayatkan juga oleh Baihaqi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya Sahih].

✍🏻Hujah yang lain:

عن سعيد بن المسيب أَنَّهُ قَالَ: سُنَّةُ اْلفِطْرِ ثَلاَثٌ اْلمـَشْيُ إِلىَ اْلمـُصَلَّى وَ اْلأَكْلُ قَبْلَ اْلخُرُوْجِ وَ اْلاغْتِسَالُ

Daripada Sa’id bin al-Musayyab رضي الله عنه, bahawasanya dia berkata, “Sunnah di dalam Iedul Fitri itu ada tiga, iaitu berjalan menuju lapangan (padang), makan sebelum keluar (rumah) dan mandi”. [Telah mengeluarkan atsar ini Al-Furyabi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya sahih].

2. Mandi Hari Arafah

Maksudnya ketika wukuf di Arafah. Maka mandi untuk hari Arafah bukan untuk setiap muslim, akan tetapi hanya untuk jemaah haji sahaja. Tidak disyaratkan bersuci ketika wukuf di Arafah. Para ulama’ sepakat sahnya wukuf orang yang haidh dan dalam junub.

Akan tetapi dianjurkan berwukuf dalam keadaan suci dari dua hadas, sama ada besar atau kecil. Ini adalah kerana semasa wukuf di Arafah itu, para Haji sedang berzikir kepada Allah عز وجل, dan kita telah tahu bahawa kita dianjurkan dalam keadaan suci ketika mengingat Allah عز وجل.

Dalil sunat mandi ini adalah seperti atsar Saidina Ali yang telah disebut di atas. Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.

Telah diketahui bahawa empat mazhab yang terkenal sepakat berpendapat dianjurkan mandi pada hari Arafah, siapa yang melaksanakannya diberi pahala.

✍🏻Dalil anjurannya adalah perbuatan para sahabat رضي الله عنهم.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله mengatakan, “Tidak dinukil baik daripada Nabi صلى الله عليه وسلم mahupun dari para sahabat dalam haji kecuali tiga mandi mandi ihram, mandi ketika masuk Mekah dan mandi hari Arafah.”‘Majmu’ Fatawa, (26/132).

3. Mandi Ihram

✍🏻Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga mandi di Dzulhulaifah (salah satu dari miqat Ihram). Terdapat riwayat dari Kharijah bin Zaid bin Tsabit daripada ayahnya bahawa dia (ayahnya) melihat Nabi صلى الله عليه وسلم berihram dengan melepaskan pakaian baginda yang berjahit lalu mandi.
[Hadits Riwayat Tirmidzi no.760 cetakan Al-Alamiyah]

Syarah:
Baginda mandi di Dzulhulaifah kerana baginda berihram dari situ. Nabi صلى الله عليه وسلم menjadikan Dzulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah. Maka kita mandi di Miqat kita. Di manakah miqat itu boleh rujuk kepada Mutawwif.

✍🏻Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله mengatakan, “Tidak dinukil baik daripada Nabi صلى الله عليه وسلم mahupun dari para sahabat dalam haji kecuali tiga mandi. Mandi ihram, mandi ketika masuk Mekah dan mandi hari Arafah.” Majmu’ Fatawa, (26/132).

✍🏻Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz pernah menjawab ketika ditanya tentang hal ini: “Jika seorang berihram tanpa mandi, maka dia tidak berdosa. Lalu jika mandi di Mina ketika dia telah berihram maka juga tidak mengapa. Tetapi yang utama dan sunnah adalah jika dia mandi sebelum ihram. Jika tidak mandi (ihram tanpa mandi) atau hanya berwudhu’ sahaja, maka dia tidak berdosa dalam demikian itu sebab mandi ketika ihram hukumnya sunnah, demikian juga wudhu.”
[Disalin dari Buku Fatwa-Fatwa Haji dan Umrah oleh Ulama’-Ulama’ Besar Saudi Arabia]

4. Mandi ketika masuk Makkah

Selanjutnya yang dianjurkan untuk mandi adalah ketika memasuki kota Makkah untuk menunaikan tawaf ketika umrah atau haji.

عن نافع أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ لاَ يَقْدِمُ مَكَّةَ إِلاَّ بَاتَ بِذِي طُوًى حَتىَّ يُصْبِحَ وَ يَغْتَسِلَ ثُمَّ يَدْخُلُ مَكَّةَ نَهَارًا وَ يَذْكُرُ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم أَنَّهُ فَعَلَهُ

Daripada Nafi’ bahawasanya Ibnu Umar رضي الله عنهما tidaklah memasuki kota Makkah melainkan dia bermalam di Dzu Thuwa sampai subuh dan mandi kemudian masuk kota Makkah di waktu siang hari. Dia menyebutkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bahawasanya baginda juga melakukannya.
[HR Muslim: 1259 (227) dan Bukhari: 1553, 1573. Berkata Asy-Syaikh Al-Albaniy: Sahih].

Berkata Ibnu Al-Mundzir رحمه الله, “Mandi ketika masuk ke kota Makkah adalah dianjurkan menurut seluruh ulama’ dan meninggalkannya menurut mereka tidaklah menyebabkan membayar fidyah. Majoriti mereka mengatakan wudhu’ itu cukup darinya”.

5. Setelah memandikan jenazah

Jika seorang muslim turut memandikan jenazah saudaranya maka dianjurkan untuk mandi setelah memandikannya.

✍🏻Hal ini telah disebutkan di dalam beberapa riwayat antaranya hadith berikut ini,

عن أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: مَنْ غَسَلَ اْلمـَيِّتَ فَلْيَغْتَسِلْ وَ مَنْ حَمَلَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Barangsiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi dan barangsiapa yang mengusungnya, maka hendaklah berwudhu”
[HR Abu Dawud: 3161, at-Tirmidzi: 993 dan Ahmad: II/ 280, 433, 454, 472. Berkata Asy-Syaikh Al-Albaniy: Sahih].

Syarah:
Zahir hadith ini nampaknya seolah-olah ia wajib, tetapi ulama’ tidak mewajibkannya kerana ada lagi hadith-hadith lain yang memberi isyarat bahawa ia sunat sahaja.

✍🏻Lihat hadith di bawah:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قَالَ: لَيْسَ عَلَيْكُمْ فىِ غَسْلِ مَيِّتِكُمْ غُسْلٌ إِذَا غَسَلْتُمُوْهُ فَإِنَّ مَيِّتَكُمْ لَيْسَ بِنَجَسٍ فَحَسْبُكُمْ أَنْ تَغْسِلُوْا أَيْدِيَكُمْ

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata, “Tidak ada kewajiban atas kalian di dalam memandikan mayat di antara kalian apabila kalian memandikannya kerana sesungguhnya mayat kalian itu bukanlah najis. Maka cukuplah bagi kalian untuk mencuci tangan-tangan kalian”.
[Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Telah mengeluarkan atsar ini Al-Hakim: 1466 dan Al-Baihaqi. Berkata Al-Hakim: Shahih berdasarkan syarat Al-Bukhari dan Al-Imam Adz-Dzahabi pun menyepakatinya.].

عن ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ: كُنَّا نَغْسِلُ اْلمـَيِّتَ فَمِنَّا مَنْ يَغْتَسِلُ وَ مِنَّا مَنْ لاَ يَغْتَسِلَ

Daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما berkata, “Kami pernah memandikan mayat, lalu di antara kami ada yang mandi dan di antara kami ada juga yang tidak mandi”.
[Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Telah mengeluarkan atsar ini Ad-Daruquthni: 1802 dan Al-Khathib dengan sanad yang sahih sebagaimana dikatakan oleh Al-Hafiz].

Hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه di atas menunjukkan perintah untuk mandi bagi yang telah memandikan mayat dan berwudhu’ bagi yang mengusungnya. Tetapi perintah tersebut hanyalah mengandungi penganjuran dan tidak wajib kerana hadith daripada Ibnu Abbas dan Ibnu Umar رضي الله عنهما berikutnya menerangkan di antara para sahabat رضي الله عنهم ada yang tidak melakukannya. Sekiranya ia wajib, tentulah mereka telah melakukannya.

6. Setiap kali hendak jimak

Islam adalah agama yang bersih dan sangat menyukai kebersihan. Ini termasuklah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah rumah tangga. Jimak merupakan salah satu dari beberapa keperluan suami dan isteri.

Namun ketika mereka melakukan hubungan seksual ini dalam keadaan yang tidak menyenangkan dari segi fizikal (bau badan dan sebagainya), akan dapat mengganggu hubungan seksual tersebut. Jangan main-main kerana dengan perkara ini boleh menyebabkan hubungan keduanya boleh menjadi menjadi renggang dan malah boleh terjadi perceraian.

Oleh sebab itu setiap muslim, bukan hanya berusaha menunaikan kewajibannya sebagai suami yang menggauli isterinya dengan cara ma’ruf atau sebagai isteri yang berusaha memenuhi kehendak suaminya yang mengajaknya ke tempat tidur untuk berhubungan intim.

Selain itu mereka juga hendaklah berusaha untuk memperhatikan hal-hal yang dapat menimbulkan keinginan, ghairah dan kepuasan kepada pasangannya. Usaha itu di antaranya adalah dengan memperhatikan kebersihan tubuh, maka dianjurkan apabila seseorang di antara mereka ketika akan mendatangi pasangannya, hendaklah dalam keadaan bersih dan harum.

Mandi adalah jalan termudah kerana dengan mandi, tubuh akan menjadi segar, hilang kotoran dan bau-bauan yang tidak menyenangkan dan pasangannya pun akan lebih senang dan lebih bersemangat. Apalagi jika kedua pasangan tersebut hendak mengulanginya kembali setelah cukup rehat.

Hal ini telah dikerjakan oleh Rasulullah ﷺ yang pernah menggilir semua isteri-isterinya dalam satu malam. Setiap kali hendak menggilir salah seorang dari mereka, baginda mandi terlebih dahulu.

✍🏻Hal ini berdasarkan dalil hadith di bawah ini,

عن أبي رافع أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم طَافَ ذَاتَ يَوْمٍ عَلَى نِسَائِهِ يَغْتَسِلُ عِنْدَ هَذِهِ وَ عِنْدَ هَذِهِ قَالَ: فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَلاَ تَجْعَلُهُ غُسْلاً وَاحِدًا؟ قَالَ: هَذَا أَزْكَى وَ أَطْيَبُ وَ أَطْهَرُ

Daripada Abu Rafi’ رضي الله عنه bahawasanya Nabi صلى الله عليه وسلم suatu hari pernah berkeliling (menjimak) isteri-isterinya dan baginda mandi di sisi yang ini dan di sisi yang itu. Berkata (Abu Rafi’), “aku bertanya, “Wahai Rasulullah tidakkah engkau menjadikannya satu kali mandi sahaja?”. Beliau menjawab, “Ini lebih suci, lebih harum dan lebih bersih”.
[HR Abu Dawud: 219, Ibnu Majah: 590 dan Ahmad: VI/ 8. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Syarah:
Daripada hadith ini, menceritakan kepada kita yang setiap kali baginda jimak seorang isteri, baginda akan mandi dahulu sebelum menjimak isterinya yang lain. Mandi setiap kali hendak mengulangi jimak adalah lebih suci, lebih harum dan lebih bersih. Hal inipun disukai oleh suami isteri yang melakukannya meskipun mencuci faraj dan berwudhu’ itu sudah memadai.

7. Bagi wanita yang istihadhah, mandi setiap kali hendak solat. Atau gabungkan mandi Zuhur/Asar, Maghrib/Isya’

Perempuan yang mengalami istihadhah dianjurkan mandi setiap kali hendak melakukan salat. Dalilnya seperti berikut:

✍🏻Pertama

عن عدي بن ثابت عن أبيه عن جده عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم قَالَ: اْلمـُسْتَحَاضَةُ تَدَعُ الصَّلاَةَ أَيَّامَ أَقْرَائِهَا ثُمَّ تَغْتَسِلُ وَ تَتَوَضَّأُ لِكُلِّ صَلاَةٍ وَ تَصُوْمُ وَ تُصَلِّي

Daripada Adi bin Tsabit daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Orang yang istihadhah meninggalkan salat beberapa hari kebiasaan haidhnya kemudian dia mandi dan wudhu’ untuk setiap kali solat. Dia juga mengerjakan puasa dan solat”.
[HR Ibnu Majah: 625, At-Tirmizi: 126, Abu Daud: 297 dan Ad-Darimi: I/ 202. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih]

Syarah:
Hadith ini menunjukkan atas wajibnya berwudhu’ (bagi orang yang istihadhah) untuk setiap kali salat. Namun disunatkan untuk mandi. Maka kena dipastikan sama ada itu adalah darah haidh atau darah istihadhah (darah penyakit).Ini kerana jika memang darah haidh maka tidak boleh salat dan berpuasa.

✍🏻Kedua

عن عائشة قَالَتْ: اسْتُحِيْضَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبيِ حُبَيْشٍ فَسَأَلَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه و سلم فَقَالَتْ: يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنيِّ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ ؟ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم : إِنمَّاَ ذَلِكَ عِرْقٌ وَ لَيْسَتْ بِاْلحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتِ اْلحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلاَةَ وَ إِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِيْ عَنْكِ أَثَرَ الدَّمِ وَ تَوَضَّئِيْ فَإِنمَّاَ ذَلِكَ عِرْقٌ وَ لَيْسَتْ بِاْلحَيْضَةِ قِيْلَ لَهُ: فَاْلغُسْلُ؟ قَالَ: ذَلِكَ لاَ يَشُكُّ فِيْهِ أَحَدٌ

Daripada Aisyah رضي الله عنها berkata, “Fatimah binti Hubaisy pernah mengalami istihadhah, lalu dia bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, dia berkata, “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengalami istihadhah, maka aku tidak suci, bolehkah aku meninggalkan salat?”. Rasulullah ﷺ menjawab, “Yang demikian itu adalah cairan penyakit bukannya haidh, maka jika datang waktu haidh tinggalkanlah salat dan apabila telah berlalu maka cucilah kesan darah darimu dan berwudhu’lah. Yang demikian itu hanyalah cairan penyakit dan bukannya haidh”. Ditanyakan kepadanya, “Kalau mandi bagaimana?”. Beliau menjawab, “hal tersebut, tiada seseorangpun yang ragu tentangnya”.
[HR An-Nasa’i: I/ 124. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih isnadnya].

✍🏻Ketiga

عن حمنة بنت جحش قَالَتْ: كُنْتُ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَأَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم أَسْتَفْتِيْهِ وَ أُخْبِرُهُ فَوَجَدْتُهُ فىِ بَيْتِ أُخْتىِ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنيِّ امْرَأَةٌ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَمَا تَرَى فِيْهَا قَدْ مَنَعَتْنىِ الصَّلاَةُ وَ الصَّوْمُ؟ فَقَالَ: أَنْعَتُ لَكِ اْلكُرْسُفَ فَإِنَّهُ يُذْهِبُ الدَّمَ قَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ: فَاتَّخِذِيْ ثَوْبًا فَقَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ إِنمَّاَ أَثُجُّ ثَجًّا قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم : سَآمُرُكِ بِأَمْرَيْنِ أَيَّهُمَا فَعَلْتِ أَجْزَأَ عَنْكِ مِنَ اْلآخَرِ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَيْهِمَا فَأَنْتِ أَعْلَمُ فَقَالَ لَهَا: إِنمَّاَ هَذِهِ رَكْضَةٌ مِنْ رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ فَتَحَيَّضِيْ سِتَّةَ أَيَّامٍ أَوْ سَبْعَةَ أَيَّامٍ فىِ عِلْمِ اللهِ ثُمَّ اغْتَسِلِيْ حَتىَّ إِذَا رَأَيْتِ أَنَّكِ قَدْ طَهُرْتِ وَ اسْتَنْقَأْتِ فَصَلِّي ثَلاَثًا وَ عِشْرِيْنَ لَيْلَةً أَوْ أَرْبَعًا وَ عِشْرِيْنِ لَيْلَةً وَ أَيَّامَهَا وَ صُوْمِيْ فَإِنَّ ذَلِكَ يُجْزِيْكَ وَ كَذَلِكَ فَافْعَلِيْ كُلَّ شَهْرٍ كَمَا َتحِيْضُ النِّسَاءُ وَ كَمَا يَطْهُرْنَ مِيْقَاتَ حَيْضِهِنَّ وَ طُهْرِهِنَّ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَى أَنْ تُؤَخِّرِي الظُّهْرَ وَ تُعَجِّلَ اْلعَصْرَ فَتَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ الظُّهْرِ وَ اْلعَصْرِ وَ تُؤَخِّرِيْنَ اْلمـَغْرِبَ وَ تُعَجِّلِيْنَ اْلعِشَاءَ ثُمَّ تَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فَافْعَلِيْ وَ تَغْتَسِلِيْنَ مَعَ اْلفَجْرِ فَافْعَلِيْ وَ صُوْمِيْ إِنْ قَدِرْتِ عَلَى ذَلِكَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هَذَا أَعْجَبُ اْلأَمْرَيْنِ إِلَيَّ

Daripada Hamnah binti Jahsyi berkata, “Aku pernah mengalami istihadhah yang deras sekali, lalu aku mendatangi Rasulullah ﷺ untuk meminta fatwa kepadanya. Aku mendapatkan berita tentangnya lalu aku menjumpai baginda di rumah saudariku Zainab binti Jahsyi”. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengalami istihadhah yang deras sekali, bagaimana pendapatmu, apakah ia mencegahku dari salat dan puasa?”. Baginda menjawab, “Aku akan terangkan kepadamu, kain kapas (yang engkau lekatkan pada farji) dapat menghilangkan (atau menyerap) darah”. Hamnah berkata, “darahku lebih banyak dari itu”. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab, “Ambillah kain”. Hamnah berkata lagi, ”Darahku lebih banyak lagi dari itu kerana ia adalah darah yang mengalir”. Maka bersabdalah Rasulullah ﷺ, ”Aku akan perintahkan kepadamu dua hal, manapun yang engkau kerjakan nescaya mencukupimu dari yang lain, tetapi jikalau engkau mampu keduanya engkaulah yang lebih tahu”. Baginda bersabda kepadanya, ”Itu hanyalah satu gangguan dari beberapa gangguan syaitan, maka berhaidlah engkau enam atau tujuh hari di dalam ilmu Allah kemudian mandilah sehingga apabila engkau lihat (atau yakin) bahawa engkau telah suci dan telah sampai masa suci maka salatlah selama dua puluh tiga atau dua puluh empat hari dan puasalah. Maka sesungguhnya yang demikian itu cukup bagimu dan demikian pula hendaknya engkau lakukan setiap bulan sebagaimana perempuan haidh dan suci pada waktu haidh dan sucinya mereka. Jikalah engkau masih mampu maka hendaknya engkau mengakhiri salat Zuhur dan menyegerakan salat Asar lalu engkau mandi dan menjamak antara dua salat iaitu Zuhur dan Asar, dan engkau mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isya’ kemudian engkau mandi dan menjamak antara dua salat yaitu Maghrib dan Isya’, maka tunaikanlah. Engkau mandi bersama salat fajar maka tunaikanlah dan puasalah jika engkau mampu”. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, ”Cara yang terakhir inilah yang lebih aku sukai.”.
[HR Abu Daud: 287, At-Tirmizi: 128, Ibnu Majah: 627 dan Ahmad: VI/ 381-382, 439, 439-440. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Syarah:
Seperti yang telah disebut, dianjurkan untuk mandi setiap kali salat atau pun, boleh juga mandi sekali untuk salat Zuhur dan Asar; kemudian mandi sekali lagi untuk Maghrib dan Isya’; mandi sekali lagi untuk salat Subuh.

✍🏻Keempat

عن عائشة قَالَتْ: اسْتُحِيْضَتِ امْرَأَةٌ عَلَى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه و سلم فَأُمِرَتْ أَنْ تُعَجِّلَ اْلعَصْرَ وَ تُؤَخِّرَ الظُّهْرَ وَ تَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلاً وَ أَنْ تُؤَخِّرَ اْلمـَغْرِبَ وَ تُعَجِّلَ اْلعِشَاءَ وَ تَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلاً وَ تَغْتَسِلُ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ غُسْلاً فَقُلْتُ (يَعْنيِ شُعْبَةَ) لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ: عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم ؟ فَقَالَ: لاَ أُحَدِّثُكَ إِلاَّ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم بِشَيْءٍ

Daripada Aisyah رضي الله عنها berkata, “Pernah seorang perempuan mengalami istihadhah di masa Rasulullah صلى الله عليه وسلم”. Lalu dia disuruh untuk menyegerakan Asar dan mengakhirkan Zuhur dan mandi dengan sekali mandi untuk keduanya. Dan juga untuk mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isya’ dan mandi dengan sekali mandi untuk keduanya. Dan juga mandi dengan sekali mandi untuk menunaikan salat subuh. Aku (yaitu Syu’bah) berkata kepada Abdurrahman, ”(Apakah itu) dari Nabi صلى الله عليه وسلم ?”. Dia menjawab, ”Aku tidak akan menceritakannya kepadamu tentang sesuatu melainkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم”.
[HR Abu Daud: 294 dan An-Nasa’i: I/ 122. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih].

عن أُمِّ حَبِيْبَةَ بِنْتِ جَحْشٍ اسْتُحِيْضَتْ سَبْعَ سِنِيْنَ فَأَمَرَهَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم أَنْ تَغْتَسِلَ فَكَانَتْ تَغْتَسِلُ لِكُلِّ صَلاَةٍ

Daripada Ummu Habibah binti Jahsyi رضي الله عنها, dia mengalami istihadhah selama tujuh tahun. Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyuruhnya untuk mandi. Maka dia selalu mandi untuk setiap kali salat.
[HR Abu Daud: 291, 292. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Sahih].

Istihadhah adalah darah perempuan yang keluar terus menerus tanpa berhenti atau berhenti sebentar (satu atau dua hari) dalam sebulan.

Hal ini dimanfaatkan oleh syaitan untuk menggoda kaum perempuan sehingga ada di antara mereka yang tidak melakukan salat, puasa dan tidak pula menerima ajakan suaminya untuk berjimak. Padahal ini adalah perilaku yang keliru dan tidak dapat dibenarkan oleh syari’at.

Jika ada seorang perempuan mengalami istihadhah maka hendaklah dia memperhatikan beberapa perkara di bawah ini:

1. Apabila dia pernah datang haidh lalu sekarang baru dia mengalami istihadhah, maka hendaklah dia tengok jadual haidh dia yang pernah terjadi kepadanya dalam sebulan. Maka tunggulah masa tanpa salat seperti biasanya dia ada haidh, dan hendaklah dia menganggap selainnya adalah darah istihadhah dan bolehlah dia salat dan puasa, juga boleh berjimak dengan suaminya.

2. Atau apabila dia baru pertama kali mengalami haidh lalu langsung mengalami istihadhah namun dia dapat membezakan warna darah haidhnya yang kental, berwarna hitam atau bau yang khas. Di saat itulah dia menghitung waktu haidhnya dalam sebulan dan selebihnya adalah darah istihadhah.

3. Atau seperti yang kedua, yakni dia baru mengalami haidh lalu dia terus mengalami istihadhah dan kerana itu dia tidak dapat membezakan antara darah haidh dan darah istihadhah maka dia mesti berketetapan untuk berhaidh selama enam atau tujuh hari dalam sebulan seperti umumnya perempuan lain mengalami haidh, lalu dia menganggap sisanya adalah darah istihadhah.

📌Dianjurkan baginya untuk mandi setiap kali hendak salat, atau menjadikan satu mandi untuk dua salat yang dijamak misalnya; Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isya’ sedangkan Subuh sekali mandi. Tetapi jika tidak, ia wajib berwudhu’ setiap kali salat yang dilakukan sesudah masuknya waktu salat.

Nota tambahan:
Ada ulama’ berkata mandi ini juga mungkin sebagai salah satu cara untuk mengubati sakit yang menyebabkan darah itu keluar. Boleh diamalkan sebagai usaha kita.

8. Mandi kerana menguburkan orang musyrik

Jika ada seorang muslim ikut menguburkan jenazah orang kafir atau musyrik, maka hendaklah dia mandi dengan mandi junub. Pada dasarnya, seorang muslim itu dilarang menguburkan jenazah orang kafir atau musyrik.

Namun ketika jenazah itu tidak ada yang menguburkan kerana suatu hal, maka mereka wajib menguburkannya tanpa memandikan, mengkafani, menyolatkan dan mendoakannya.

✍🏻Hal ini sebagaimana telah diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ kepada Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه di dalam hadith berikut,

عن علي رضي الله عنه قَالَ: َلمــَّا تُوُفِّيَ أَبُوْ طَالِبٍ أَتَيْتُ النَّبيَّ صلى الله عليه و سلم فَقُلْتُ: إِنَّ عَمَّكَ الشَّيْخَ الضَّالَّ قَدْ مَاتَ فَمَنْ يُوَارِيْهِ قَالَ: اذْهَبْ فَوَارِهِ ثُمَّ لاَ تُحَدِّثْ شَيْئًا حَتىَّ تَأْتِيَنيِ فَقَالَ: إِنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا فَقَالَ: اذْهَبْ فَوَارِهِ قَالَ: فَوَارَيْتُهُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ قَالَ: اذْهَبْ فَاغْتَسِلْ ثُمَّ لاَ تُحَدِّثْ شَيْئًا حَتىَّ تَأْتِيَنيِ قَالَ: فَاغْتَسَلْتُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ قَالَ: فَدَعَا لىِ بِدَعَوَاتٍ مَا يَسُرُّنيِ أَنَّ ليِ بِهَا حُمُرَ النَّعَمِ وَ سُوْدَهَا قَالَ: وَ كَانَ عَلِيٌّ إِذَا غَسَلَ اْلمـَيِّتَ اغْتَسَلَ

Dari Ali رضي الله عنه berkata, “Ketika Abu Thalib wafat, aku datang kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan berkata, “Sesungguhnya bapa saudaramu yaitu seorang tua yang sesat, sesungguhnya telah mati, maka siapakah yang akan menguburkannya?”. Baginda bersabda, “Pergi dan kuburkanlah lalu janganlah engkau berkata sesuatupun sehingga engkau mendatangiku”. Ali berkata, “Sesungguhnya dia telah mati dalam keadaan musyrik”. Beliau bersabda, “Pergi dan kuburkanlah”. Ali berkata, “Kemudian akupun menguburkannya lalu mendatanginya”. Baginda bersabda, ”Pergi dan mandilah lalu janganlah engkau berkata sesuatupun sehingga engkau mendatangiku”. Ali berkata, ”Lalu akupun mandi kemudian mendatanginya”. Ali berkata, ”Maka baginda mendoakan kebaikan kepadaku dengan beberapa doa yang membuatku bahagia seakan aku memiliki unta merah dan hitamnya”. Dia (iaitu Abdurrahman As-Silmiy) berkata, ”Ali biasanya mandi apabila memandikan mayat”.
[HR Ahmad: I/ 97, 103, Abu Daud: 3214, An-Nasa’i: I/ 110, IV/ 79-80 dan Al-Baihaqi. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: sanadnya Sahih].

Syarah:
Perintah Nabi ﷺ kepada Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه di atas menerangkan tentang penganjuran mandi baginya ketika selesai dari menguburkan Abu Thalib ayahnya yang mati dalam keadaan kafir. Dan hal inipun berlaku bagi semua umatnya kerana hadith tersebut tidak ada pengkhususan hanya bagi Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه sahaja.

9. Mandi setelah sedar dari pengsan

Masalah mandi selepas sembuh daripada penyakit gila ada disebutkan oleh ulama’.

Jumhur ulama’ mengatakan hukum mandi ini adalah sunat dan ijma’ ulama’ bahawa mandi tersebut tidak wajib.

✍🏻Antara yang menyebut masalah ini ialah An-Nawawi dalam Al-Majmuk, kata beliau :
“Berkata (ashab) ulama’ kami: dan disunatkan bagi orang yang pengsan mandi apabila telah sedar kerana mengikut Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

✍🏻Ibn Munzir, Ibn Al-Sabbagh dan lain-lain berkata: Ijma’ ulama’ bahawa mandi tidak wajib ke atasnya.

✍🏻Ibn Qudamah juga berkata :
“Fasal: Dan tidak wajib mandi ke atas orang gila dan orang pengsan apabila dia sedar daripadanya tanpa ada mimpi basah. Dan aku tidak mengetahui khilaf dalam permasalahan ini.

✍🏻Ibn al-Munzir berkata: sabit bahawa Rasulullah ﷺ mandi kerana sebab pengsan, dan mereka bersepakat bahawasanya ia tidak wajib, dan kerana hilang akal itu sendiri tidak mewajibkan mandi.

Sedangkan berlaku inzal adalah disyaki sahaja. Maka kita tidak menghilangkan keyakinan dengan sebab syak. Namun jika yakin berlaku inzal maka wajib mandi atas kedua-duanya, kerana disebabkan oleh mimpi basah.
(al-Mughni 1/357)

✍🏻Para ulama’ berdalilkan dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:

Ahmad bin Yunus menceritakan, katanya Za’idah daripada Musa bin Abi Aisyah daripada Ubaidillah bin Abdillah bin Utbah, katanya aku masuk berjumpa Aisyah maka aku berkata: Tidakkah mahu kamu ceritakan kepadaku tentang sakit Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Jawabnya: Ya, tatkala Nabi صلى الله عليه وسلم sakit baginda bersabda : “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab: Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda: “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab: Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda : “Adakah orang ramai sudah salat?”. Kami (sahabat) menjawab : Tidak, mereka sedang menunggumu. Nabi bersabda: “Letakkan kepada aku air dalam bekas”. Lantas kami lakukan, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun mandi dan cuba untuk bangun tiba-tiba baginda pengsan. Kemudian baginda sedar dan bersabda: Adakah orang ramai telah salat?
(Al-Bukhari:687 dan Muslim:418)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan