Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah – Bab Mandi: Rukun Mandi & Hal-Hal yang Wajib

Thaharah – Bab Mandi: Rukun Mandi & Hal-Hal yang Wajib

1681
0
Iklan

Kitab : Thaharah
Bab: Mandi
Bahagian: Rukun-rukun Mandi dan Hal-hal Yang Wajib Dilakukan
Tajuk:
👁‍🗨 Niat
👁‍🗨 Tasmiyah (Baca Basmalah)
👁‍🗨 Membasuh Seluruh Anggota Tubuh

RUKUN-RUKUN MANDI DAN HAL YANG WAJIB

1. Niat

Kita memang sudah hari-hari mandi, jadi adakah dikira setiap pagi mandi junub? Tidak, kerana yang membezakan mandi biasa dan mandi junub adalah ‘niat’.

✍🏻Dalam hadis dari ‘Umar bin Al Khattab, Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda,

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

“Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya.”
(HR. Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907)

Perbuatan mandi itu mungkin sahaja sama, tetapi yang membezakan adalah niat. Amal ibadat tidak sah jika tiada niat. Ini berdasarkan hadith yang masyhur di atas. Tentang tajuk niat ini kita telah bincangkan di bab Wudhu’ tempoh hari dan kita ulang sahaja sebagai penekanan dan peringatan sahaja.

Kita telah bentangkan sebelum ini yang niat ini tidak perlu disebut-sebut (lafaz) seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Islam kita sekarang. Kalau sekarang diajar di sekolah-sekolah adalah dengan menyebut:

“Nawaitu Raf-‘Al Ĥadathil-‘Akbari Li-LLâhi Ta-‘âlâ“
Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana ALLâh Ta‘âlâ

Atau lafaz-lafaz niat lain. Ketahuilah bahawa ini adalah tambahan dalam agama dan tidak pernah diajar oleh Nabi dan tidak pernah diamalkan oleh para sahabat dan golongan salaf. Ia sesuatu yang baru dan bid’ah. Ini bukannya bid’ah hasanah.

✍🏻Imam Syafie sendiri tidak ajar lafaz niat:

Imam Asy-Syafi’i رحمه الله berkata,

الوسوسة في النية الصلاة و الطهارة من جهل بالشرع أو خبل بالعقل

Terjemahan: “Was-was dalam niat solat dan thaharah itu adalah kebodohan terhadap syariat atau kekurangan warasan dalam akal”
(Al Amru Bil Ittiba’ Wan Nahyu ‘Anil Ibtida’, 28)

Kasihan anak-anak di sekolah kena hafal dan amalkan lafaz niat ini. Kemudian diajar pula ada masa tertentu hendak baca niat. Ada kata masa hendak buka pili air, masa mula cebok air, ada kata masa basuh tangan, ada pula kata masa air kena di muka.

Cubalah cari lafaz niat ini di dalam hadith, memang tidak akan jumpa. Ia adalah salah faham dari hadith riwayat Umar yang disebut di atas. Niat ini tidak perlu dilafazkan dan tidak perlu disusun dalam kepala. Ia memang sudah ada kalau kita hendak mandi junub. Maka, tidak perlu disebut sebab ia memang sudah ada.

Memang sudah terdetik di dalam hati yang waktu itu bukan mandi biasa tapi mandi wajib. Kenapa disebut kena ada niat dalam syarat mandi junub ini? Ini kerana kita memang sudah setiap hari mandi, tetapi yang menjadikan mandi itu sebagai ibadah adalah apabila ia disertai dengan niat.

2. Tasmiyah (membaca بسم الله)

Kewajipan membaca Tasmiyah juga kita telah sentuh di dalam bab Wudhu’ tempoh hari dan kita ulang sahaja di sini. Ini kerana syarat yang sama juga diletakkan pada mandi junub. Bagaimana hukum membaca بسم الله di awal mandi junub’? Apakah ia wajib atau sunnah? Khilaf ulama’ tentang hal ini.

Maknanya, paling kurang dibaca semasa mengambil wudhu’ adalah membaca tasmiyah. Menurut pendapat majoriti ulama, iaitu ulama’ Hanafiyah, ulama’ Syafi’iyah, dan salah satu pendapat dari Imam Ahmad, membaca bismillah ketika wudhu’ (termasuk Mandi Junub) dihukumi sunat (tidak wajib).

Akan tetapi ada ulama’ seperti penulis kitab Fiqh Praktis (Syaikh Husain bin ‘Audah Al-Awayisyah, anak murid Syeikh Albani) yang kita sedang gunakan ini, Imam Syaukani, Syeikh Al-Albani mengatakan ia wajib berdasarkan hadith yang akan kita berikan sebentar lagi. Oleh kerana itulah tasmiyah dimasukkan di dalam senarai kewajiban dalam mandi junub.

✍🏻Dalil yang digunakan sebagai sandaran adalah hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لاَ وُضُوءَ لَهُ وَلاَ وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى عَلَيْهِ

“Tidak ada solat bagi yang tidak ada wudhu’. Tidak ada wudhu’ bagi yang tidak membaca bismillah di dalamnya.”
(Abu Daud no. 101 dan Ibnu Majah no. 399. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahawa hadith ini hasan).

Sebahagian ulama’ mendhaifkan hadith ini, namun dari berbagai jalur, hadith ini menjadi kuat. Jadi kerana itu, ada yang mengatakan membaca bismillah adalah wajib. Sekiranya terlupa, perlu mengulang semula wudhu. Kalau dalam wudhu’ ia wajib, maka dalam mandi junub pun ia wajib juga.

Kita hendak memberikan pandangan yang lain, iaitu ia sunat. Ini kerana ada juga pendapat yang mengatakan penafian (tidak ada wudhu’ bagi yang tidak membaca bismillah) yang disebutkan dalam hadith adalah menidakkan kesempurnaan.

📍Jadi ia bermaksud wudhu’ yang tidak disertai dengan Tasmiyah adalah tidak sempurna wudhu’nya. Bukanlah tidak sah wudhu’ itu. Maka begitulah juga dengan mandi junub.

Satu lagi hujah yang mengatakan bacaan Tasmiyah tidak wajib adalah berdasarkan pembacaan terhadap hadith-hadith berkenaan wudhu’. Apabila disebut langkah-langkah berwudhu’ itu tidaklah disebut bacaan Tasmiyah di dalamnya.

✍🏻Sebagai contoh, mari kita lihat hadith dari ‘Abdullah bin Zaid,

عَنْ عَمْرٍو عَنْ أَبِيهِ شَهِدْتُ عَمْرَو بْنَ أَبِى حَسَنٍ سَأَلَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ زَيْدٍ عَنْ وُضُوءِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَدَعَا بِتَوْرٍ مِنْ مَاءٍ ، فَتَوَضَّأَ لَهُمْ وُضُوءَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَأَكْفَأَ عَلَى يَدِهِ مِنَ التَّوْرِ ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثَلاَثًا ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فِى التَّوْرِ ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ ثَلاَثَ غَرَفَاتٍ ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ مَرَّتَيْنِ ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَمَسَحَ رَأْسَهُ ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ مَرَّةً وَاحِدَةً ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Amr bin Yahya Al Mazini menuturkan dari bapanya bahawa dia mengatakan, “Aku menyaksikan Amr bin Abi Hasan bertanya kepada Abdullah bin Zaid tentang tata cara wudhu’ Rasulullah صلى الله عليه وسلم. ‘Abdullah lantas meminta sebekas air, dan memberikan contoh berwudhu’ kepada orang-orang sesuai yang diamalkan oleh Rasulullah ﷺ. Beliau menuangkan air dari bekas tersebut pada kedua telapak tangannya, lalu membasuhnya tiga kali. Beliau lantas mencelupkan kedua tangannya ke dalam bekas lalu berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya tiga kali menggunakan tiga cedokan tangan. Beliau lantas mencelupkan tangannya ke dalam bekas tersebut dan membasuh wajahnya tiga kali. Beliau lalu mencelupkan tangannya ke dalam bekas dan membasuh tangannya itu sampai ke siku sebanyak dua kali. Beliau kemudian mencelupkan tangannya dan menggunakannya untuk mengusap kepala sekali dari belakang ke depan dan kembali dari depan ke belakang. Beliau lalu membasuh kedua kakinya hingga mata kaki.”
(Bukhari no. 185 dan Muslim no. 18).

Syarah:
Dalam hadith ini tidak disebutkan bacaan bismillah, walhal Abdullah bin Zaid sedang mencontohkan cara wudhu’ Nabi صلى الله عليه وسلم.

Kesimpulan:
Bacaan Tasmiyah sebelum berwudhu’ adalah sunnah yang kuat. Maka, janganlah kita tinggalkan dengan sengaja. Cuma sekiranya terlupa, maka tidaklah perlu mengulangi semula wudhu’.

3. Membasuh seluruh anggota tubuh

Mandi junub hendaklah meratakan air ke seluruh tubuh. Ini sebagaimana telah terdapat dalam hadith ini.

✍🏻Hadith Riwayat ‘Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan tata cara mandi Nabi صلى الله عليه وسلم,

ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جَسَدِهِ كُلِّهِ

“Kemudian baginda menyiram air pada seluruh badannya.”
(HR. An Nasa-i no. 247. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadith ini shahih)

✍🏻Dari Jubair bin Muth’im berkata, “Kami saling memperbincangkan tentang mandi janabah di sisi Nabi صلى الله عليه وسلم, lalu baginda bersabda,

أَمَّا أَنَا فَآخُذُ مِلْءَ كَفِّى ثَلاَثاً فَأَصُبُّ عَلَى رَأْسِى ثُمَّ أُفِيضُهُ بَعْدُ عَلَى سَائِرِ جَسَدِى

“Aku mengambil dua telapak tangan, tiga kali lalu saya siramkan pada kepalaku, kemudian aku tuangkan selebihnya pada semua tubuhku.”
(HR. Ahmad 4/81. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahawa sanad hadith ini sahih sesuai syarat Bukhari Muslim)

Perlu diingatkan bahawa membasahkan itu hanya pada bahagian tubuh sahaja.

Dalil yang menunjukkan bahawa hanya membasahi seluruh badan dengan air itu merupakan rukun (fardhu) mandi dan bukan selainnya.

✍🏻Sandaran pendapat ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah. Dia mengatakan,

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أَشُدُّ ضَفْرَ رَأْسِى فَأَنْقُضُهُ لِغُسْلِ الْجَنَابَةِ قَالَ « لاَ إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِى عَلَى رَأْسِكِ ثَلاَثَ حَثَيَاتٍ ثُمَّ تُفِيضِينَ عَلَيْكِ الْمَاءَ فَتَطْهُرِينَ ».

“Aku berkata, wahai Rasulullah, aku seorang wanita yang sanggul rambut kepalaku, apakah aku harus membuka sanggulku ketika mandi junub?” Baginda bersabda, “Jangan (kamu buka). Cukuplah kamu menyiram air pada kepalamu tiga kali, kemudian siramlah yang lainnya dengan air, maka kamu telah suci.”
(HR. Muslim no. 330)

Syarah:
Maknanya, seorang wanita yang berambut panjang dan membuat sanggul pada rambutnya, dia tidak perlu membuka sanggulnya itu.

Dia tidak perlu membasuh rambut dia pun. Dia cuma siram sedikit air pada kepalanya dan menggosok kepala supaya air itu kena kepada kulit kepala. Bahagian yang perlu dikenakan air adalah kulit kepala dan bukannya rambut. Maka rambut tidaklah basah.

Ini menjadi jalan penyelesaian kepada para wanita yang keberatan untuk mandi wajib kerana rambut mereka panjang dan mereka takut tidak sempat kering dan kemudian hendak memakai tudung pula. Maka cara begitu tentunya akan memudahkan mereka.

Dengan seseorang memenuhi rukun-rukun mandi ini, maka mandinya dianggap sah, asalkan disertai niat untuk mandi wajib (al ghuslu). Jadi seseorang yang mandi di pancuran atau shower dan air mengenai seluruh tubuhnya, maka mandinya sudah dianggap sah.

Cara-cara dan langkah-langkah untuk mandi junub nanti kita akan bincangkan satu perkara di dalam kelas seterusnya nanti.

Perbincangan:
Selalu soalan yang timbul adalah dari kalangan orang yang ada penyakit was-was. Mereka takut sangat yang air tidak sampai ke seluruh tubuh , jadi akan diperiksa tubuh mereka. Kadangkala selepas pergi kerja, mereka masih lagi terfikir: “bahagian itu dan ini ada tak kena air?”

Maka sampai tidak keruanlah mereka di tempat kerja dan mula teringat hendak ulang semula mandi wajib itu.Ketahuilah yang itu adalah syak atau penyakit was-was sahaja. Tidak perlu dilayan. Kalau semasa kita mandi kita sudah rasa yang air sudah kena pada keseluruhan badan, maka mandi itu telah sah.

📍Kaedah fiqh mengatakan “al-yakin la uzaalu bil-syak” iaitu ‘yakin tidak dibatalkan dengan keraguan’. Imam Suyuthi menyebut bahawa kaedah ini menjadi 3/4 dari hukum fiqh.

Keraguan tidak boleh memberi apa-apa impak ke atas satu-satu ibadah yang telah yakin telah dilakukan. Maka apabila sudah selesai sahaja dari mandi, maka jangan fikirkan lagi tentang mandi itu. Teruskan dengan kehidupan anda. Tidak perlu hendak periksa teruk sangat, hendak masukkan air keseluruhan ceruk tubuh kita. Cukup bahagian yang nampak sahaja. Hanya yang wajib terkena air saat mandi junub adalah seluruh tubuh bahagian luar.

✍🏻Ulama’ bernama Al-Ghazi dalam Fathul Qorib menjelaskan tentang bahagian yang wajib dibasuh:

“Yang dikehendaki dengan kulit adalah kulit bahagian luar. Wajib membasuh bahagian-bahagian yang nampak dari lubang kedua telinga, hidung yang terpotong dan celah-celah badan. Wajib mengalirkan air ke bahagian di bawah kulupnya orang yang memiliki kulup (belum disunnat). Mengalirkan air ke bahagian farji perempuan yang nampak ketika dia duduk untuk buang hajat.

Di antara bahagian badan yang wajib dibasuh adalah masrabah (tempat keluarnya kotoran). Ini kerana sesungguhnya bahagian itu nampak ketika buang hajat sehingga termasuk dari badan bahagian luar.” Jadi, kalau sampai hendak masukkan air ke telinga, dalam mata, bawah kuku, itu sudah berlebihan sangat. Kalau kita ratakan air ke seluruh badan, itupun sudah cukup. Air itu sifatnya memang akan masuk ke semua tempat.

✍🏻Al-Bakri dalam I’anah Al-Talibin, hlm. 1/54, menyatakan:

ولا يجب تيقن عموم الماء جميع العضو، بل يكفي غلبة الظن به

Artinya: Tidak wajib meyakini meratanya air ke seluruh anggota badan. Cukup sahaja dengan agakan yang kuat akan sampainya air.

Maksudnya cukup dengan agakan sahaja, adalah asalkan anda sudah menyiramkan air ke seluruh tubuh, maka itu dianggap air sudah sampai ke seluruh tubuh. Tidak perlu dipastikan atau dilihat secara terperinci (detail) dan pasti akan sampainya air tersebut.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan