Utama Blog Halaman 87

Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ke-48

0

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ke-48

Tafsir Ayat Ke-46

Inilah akidah tauhid yang sebenar. Apabila kita sudah memahami tauhid, inilah natijah kepada kefahaman kita. Inilah kata-kata seorang yang faham tauhid.

قُلِ اللَّهُمَّ فاطِرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ عٰلِمَ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ أَنتَ تَحكُمُ بَينَ عِبادِكَ في ما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hamba-Mu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya”.

قُلِ اللَّهُمَّ فَاطِرَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Katakanlah: Wahai Allah, zat yang mencipta langit dan bumi.

Allah ‎ﷻ mengajar kita cara berdoa, iaitu berdoa sahaja kepada Allah ‎ﷻ; berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ; bukannya minta kepada Nabi, wali dan malaikat untuk sampaikan doa itu seperti yang banyak dilakukan orang sekarang.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengajar yang doa itu dimulai dengan memuji-Nya.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang menjadikan langit dan bumi, maka kita kenalah berdoa dan seru Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan doa dan seru kepada selain Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak jadikan langit dan bumi.

عٰلِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mengetahui perkara yang ghaib. Manusia dan makhluk lain tidak tahu. Kalau ada para Nabi yang tahu perkara ghaib, itu hanya selepas diberitahu oleh Allah ‎ﷻ. Itu pun setakat yang diberitahu sahaja.

Kalau yang ghaib pun Allah ‎ﷻ tahu, apatah lagi perkara yang nyata. Perkara yang nyata itu walaupun nyata kepada kita, namun pemahaman kita pun tidak sepenuhnya. Masih ada perkara yang tersembunyi juga, tetapi tidak tersembunyi bagi Allah ‎ﷻ. Semuanya nyata bagi Allah ‎ﷻ.

أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِي مَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Engkaulah Allah yang membuat kehakiman antara hambaMu tentang apa yang mereka dulu mereka berselisih (tentang tauhid).

Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh membuat keputusan tentang perbezaan antara ahli tauhid dan ahli syirik. Satu pihak berkata boleh meminta syafaat daripada Nabi, satu pihak pula berkata tidak boleh. Jadi manakah yang betul? Sekarang ini masyarakat kita amat keliru antara satu fahaman dengan fahaman yang lain. Ada yang kata begini, ada yang kata begitu. Jadi, mereka sudah tidak tahu hendak mengikut yang mana satu.

Ada yang kata meminta syafaat daripada Nabi sekarang semasa kita hidup di dunia tidak boleh. Itulah yang sebetulnya kalau mengikut hadith. Tetapi ada pula yang berkata boleh minta syafaat di kubur Nabi. Ini semua adalah selisih yang besar. Bukan jenis selisih yang kecil-kecil. Jadi Allah ‎ﷻlah nanti yang akan mengadili di antara manusia nanti siapakah yang betul sebenarnya.

Di akhirat nanti, barulah kita tahu mana yang benar dan mana yang salah. Tetapi itulah masalahnya – kita hanya tahu apabila kita di akhirat kelak. Waktu itu sudah terlambat. Oleh itu bagaimana? Untuk selamat, kita kena lihat apakah dalil-dalil yang dibawa oleh pihak-pihak yang berlainan pendapat ini.

Allah ‎ﷻ telah ajar kepada kita – jikalau ada perselisihan, maka kembali rujuk kepada al-Al-Qur’an dan Hadith Nabi ﷺ. Maka, kita kena lihat siapakah yang membawa dalil dari al-Al-Qur’an dan Hadith.

Kita boleh lihat sendiri bagaimana yang mengatakan boleh meminta syafaat kepada Nabi ﷺ semasa di dunia ini lagi walaupun Nabi ﷺ sudah wafat, hujah yang mereka gunakan adalah hujah yang disebut oleh manusia, atau hujah akal sahaja. Padahal, yang mengatakan tidak boleh meminta syafaat daripada Nabi ﷺ adalah mereka yang membawakan hujah dari al-Al-Qur’an dan Hadith. Jadi, kita sebagai orang Islam, mana satu kita hendak ikut? Tepuk dada, tanya iman.

Oleh itu, keputusan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah keputusan secara amali. Keputusan secara teori dan penerangan telah ada dalam Al-Qur’an.  Hanya perlu untuk belajar sahaja. Janganlah menunggu keputusan amali baru hendak terima pula.

Allah ‎ﷻ mengajar cara berdoa dalam ayat ini. Ada Doa Iftitah yang menggunakan ayat Al-Qur’an ini. Imam Muslim رحمه الله di dalam kitab sahihnya mengatakan:

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ يُونُسَ، حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّارٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي كَثِيرٍ، حَدَّثَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا] بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْتَتِحُ صَلَاتَهُ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ؟ قَالَتْ: كَانَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ افْتَتَحَ صَلَاتَهُ: “اللَّهُمَّ رب جبريل وميكائيل وإسرافيل، فاطر السموات وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ”

Telah menceritakan kepada kami Abdu ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Yunus, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Amar, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Abu Kasir, telah menceritakan kepadaku Abu Salamah ibnu Abdur Rahman yang mengatakan bahwa ia pernah bertanya kepada Siti Aisyah رضي الله عنها tentang doa pembukaan yang selalu dibaca oleh Rasulullah ﷺ dalam salatnya di malam hari. Maka Siti Aisyah رضي الله عنها menjawab bahawa Rasulullah ﷺ apabila bangkit di malam harinya mengerjakan salat, baginda membukanya dengan bacaan berikut: Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil, Pencipta langit dan bumi, Yang mengetahui hal yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah Yang memutuskan antara hamba-hamba-Mu tentang apa yang selalu mereka memperselisihkannya. Tunjukilah aku kepada kebenaran dari apa yang diperselisihkan itu, dengan seizin-Mu, sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.

Oleh itu, kita boleh gunakan ayat ini untuk memulakan doa kita kerana ia menggunakan nama Allah ‎ﷻ dan memuji-muji-Nya. Permulaan doa elok dimulakan dengan memuji-muji Allah ‎ﷻ sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.

Tafsir Ayat Ke-47

Takhwif Ukhrawi. Penting untuk kita ketahui manakah jalan yang benar, kerana kalau tidak, kita akan bermasalah besar nanti di akhirat kelak kerana di akhirat kelak, tidak diterima segala tebusan atau rasuah.

وَلَو أَنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا ما فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ مِن سوءِ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ ۚ وَبَدا لَهُم مِنَ اللهِ ما لَم يَكونوا يَحتَسِبونَ

Dan sekiranya orang-orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat, setelah jelas nyata kepada mereka dari (hukum) Allah, azab yang mereka tidak pernah fikirkan.

وَلَوْ أَنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا وَمِثْلَهُ مَعَهُ

Dan kalaulah orang-orang yang menzalimi diri sendiri (dengan buat syirik) memiliki harta seluruh bumi atau sekali ganda lagi,

Maksud ‘menzalimi diri mereka sendiri’ adalah mereka melakukan syirik kerana syirik itu adalah zalim yang paling besar. Bagaimanakah keadaan mereka di akhirat kelak?

Kalaulah mereka ada banyak harta. Banyak mana? Sebanyak seluruh bumi, atau dua kali ganda dari itu. Tentulah tidak ada orang yang ada harta seperti. Tetapi, katakanlah mereka ada. Apa yang mereka akan buat?

لَافْتَدَوْا بِهِ مِنْ سُوءِ الْعَذَابِ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Nescaya mereka akan tebus dengan harta itu daripada keburukan azab api neraka pada hari kiamat.

Mereka rela mengeluarkan harta walau sebanyak mana pun, walaupun sebanyak dua kali ganda dunia itu, asalkan mereka boleh selamat dari azab api neraka itu. Waktu itu, mereka sudah tidak peduli dengan harta-harta yang banyak itu. Mereka akan sanggup berikan semua sekali apa yang mereka ada. Ini adalah kerana mereka sangka yang akhirat itu seperti dunia, yang mana di dunia dahulu boleh beri rasuah untuk selamatkan diri.

Malangnya, dalam ayat yang lain ada disebut yang segala apa yang mereka berikan itu tidak akan diterima. Ini disebut dalam [ Ali Imran: 91 ].

وَبَدَا لَهُمْ مِنَ اللهِ مَا لَمْ يَكُونُوا يَحْتَسِبُونَ

dan zahirlah bagi mereka daripada Allah, apa yang mereka tidak fikir akan kena pada mereka.

Dahulu mereka tidak sangka mereka akan dikenakan azab sebegini. Mereka tidak yakin kerana mereka tidak belajar. Sedangkan orang yang beriman, mereka belajar dan kerana itu mereka yakin tentang akhirat dan balasannya.

Orang yang zalim itu sangka mereka akan selamat kerana mereka senang di dunia, mereka sudah banyak meminta syafaat daripada Nabi ﷺ, telah banyak membuat amal (tetapi sebenarnya amal bid’ah), jadi mereka sangka mereka akan selamat.

Semasa di dunia mereka tidak nampak, namun di akhirat nanti, sudah zahir nyata kepada mereka apakah kesalahan yang mereka telah lakukan dan telah nyata apa yang akan dikenakan kepada mereka. Tetapi kalau waktu itu baru sedar, maka ia sudah terlambat kerana tidak boleh berbuat apa-apa lagi pada waktu itu.

Apa yang mereka lihat itu mereka tidak dapat bayangkan semasa di dunia. Apa sahaja azab yang kita cuba bayangkan, ia jauh lebih lagi dari apa yang dapat dibayangkan. Jadi, jangan kita sangka yang kita boleh hadap dan terima azab itu kerana ia adalah azab yang amat dahsyat sekali.

Termasuk mereka yang ditegur dalam ayat ini adalah orang yang beramal tetapi tidak ikhlas. Mereka tidak sangka yang amal mereka yang banyak itu tidak ada harga. Mereka sangka amal mereka banyak dan mereka pasti masuk syurga. Namun sebenarnya amalan mereka itu tidak ikhlas dan tidak laku sama sekali. Alangkah malangnya.

Tafsir Ayat Ke-48:

Allah ‎ﷻ beritahu azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana amalan salah mereka sendiri.

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Dan sudah tentu akan nyata kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah usahakan, dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَّا كَسَبُوا

Dan zahirlah kepada mereka kesalahan yang mereka telah buat,

Kesalahan yang mereka buat semasa di dunia dahulu telah bertukar menjadi azab kepada mereka. Dahulu, semasa di dunia, memanglah mereka tidak merasa apa-apa kesan dari dosa yang mereka lakukan. Tetapi apabila di akhirat kelak, perbuatan mereka semasa di dunia itu akan ada kesannya.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ telah mengirim wahyu sebanyak 30 juzuk kepada manusia seluruhnya. Namun kebanyakan manusia tidak mengambil inisiatif untuk belajar, walaupun dia seorang muslim.

Oleh kerana dia tidak tahu tentang ayat-ayat Quran, jadi ada kemungkinan dia telah melakukan syirik. Kerana dia telah melakukan syirik, dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sama juga seperti penganut Buddha yang tidak boleh menggunakan alasan ‘tidak tahu’, orang Islam yang tidak belajar Al-Qur’an juga tidak boleh menggunakan hujah itu. Orang jahil itu adalah ahli neraka, seperti yang telah disebut dalam hadith.

Jadi ‘tidak tahu’ bukanlah satu alasan untuk menyelamatkan diri seseorang dari memasuki neraka. Inilah bahayanya kalau jahil dalam perkara agama kerana dia membuat perkara yang menyebabkan dia masuk neraka sebab dia tidak tahu. Kalau tidak tahu dia ada salah, bagaimana hendak bertaubat?

Dia tidak akan bertaubat sebab dia tidak rasa dia berbuat salah. Dia rasa dia sudah buat banyak ibadat. Malangnya, segala amalannya itu tidak berguna untuknya. Baca ayat  [ al-Kahf: 102-104 ]:

أَفَحَسِبَ الَّذينَ كَفَروا أَن يَتَّخِذوا عِبادي مِن دوني أَولِياءَ ۚ إِنّا أَعتَدنا جَهَنَّمَ لِلكافِرينَ نُزُلًا

Apakah orang-orang kafir itu menyangka (sudah dipanggil orang kafir terus) boleh mengambil hamba-hamba Kami selain dari Kami, sebagai tempat perlindungan, sesungguhnya Kami sediakan bagi mereka neraka jahanam bagi orang kafir itu sebagai tempat tinggal.

قُل هَل نُنَبِّئُكُم بِالأَخسَرينَ أَعمالًا

Katakan kepada mereka: siapakah orang yang paling rugi amal ibadat mereka di bumi?

الَّذينَ ضَلَّ سَعيُهُم فِي الحَياةِ الدُّنيا وَهُم يَحسَبونَ أَنَّهُم يُحسِنونَ صُنعًا

Hilang lenyap segala amalan mereka. Orang-orang yang lenyap usaha gigih mereka yang mereka buat amal ibadat di bumi. Sedang mereka menyangka bahawa apa yang mereka buat adalah adalah betul.

Haji, umrah, zakat, sedekah dan sebagainya semua tidak diterima kerana mereka telah syirik kepada Tuhan. Kerana mereka mengambil makhluk lain sebagai aulia’, sebagai pelindung.

Paling ringan sekali tawassul ini adalah apabila bila mereka berkata: ila hadratin nabiy…Perkataan ini datang dari India, bukan dari bahasa Arab. Mereka itu adalah dari golongan yang sembah kubur iaitu, Brehlawi. Perkataan ‘Hadrat‘ itu maknanya ‘tuan’ atau ‘tok guru’ dalam bahasa mereka.

Tujuan mereka bertawassul itu adalah kerana mereka hendak meminta tolong daripada semua ahli keluarga Nabi ﷺ termasuklah isteri-isteri Nabi ﷺ, mertua-mertua Nabi ﷺ, ipar duai, anak cucu dan sebagainya dan termasuk juga daripada semua sahabat baginda. Terdapat seramai 124 ribu sahabat semasa haji akhir Nabi ﷺ. Daripada mereka itu, orang yang bertawasul itu hendakkan sesuatu dari Allah ‎ﷻ.

Sebenarnya, yang mereka hendakkan adalah ‘berkat’. Meminta berkat itu sebenarnya adalah syirik. Ini adalah kerana ‘keberkatan’ hanya ada pada Allah ‎ﷻ. Lafaz ini adalah sama seperti orang Kristian berkata kepada Isa: “O Jesus, bless me”. Adakah Tuhan “double standard”, bila Kristian berbuat salah, dia dihukum, tetapi apabila kita orang Islam yang buat, tidak menjadi kesalahan pula?

Dan mereka sendiri tahu yang mereka baca semasa majlis tahlil itu tidak berkat. Mereka sendiri tahu perbuatan itu tidak berkat sebab Nabi ﷺ dan para sahabat tidak pernah mengadakan majlis tahlil. Itulah sebabnya mereka meminta berkat dari Nabi ﷺ.

Oleh kerana majlis tahlil itu Nabi ﷺ tidak pernah buat, sahabat pun tidak buat, jadi mereka hendak meminta “endorsement” (pengendorsan/sokongan/kelulusan) dari mereka itu. Untuk mendapatkan “endorsement” itu, mereka menghadiahkan pula bacaan al-Fatihah kepada mereka. Sedarlah bahawa sedekah Fatihah itu adalah seumpama ‘sogokan’ yang diberikan kepada orang yang boleh menolong kita. Mereka fikir kerajaan Allah ‎ﷻ adalah seperti kerajaan dunia, tetapi sebenarnya tidak.

Selain dari itu, macam-macam lagi kesalahan yang mereka akan lakukan kerana mereka jahil. Di antaranya, segala wirid-wirid yang lain seperti amalan wirid yang dilakukan supaya badan kebal dan sebagainya yang dimulakan dengan bacaan ‘ila hadratin’ itu.

Apabila guru-guru sesat mengajar amalan-amalan yang salah, yang selalunya bermula dengan perkataan ‘ila hadratin’ itu, mereka tidak berasa salah sebab sudah biasa dalam kehidupan mereka kerana memang sudah selalu mereka dengar dalam Majlis Tahil dan lain-lain. Mereka sangka, apabila dibacakan perkataan ‘ila hadratin’ itu, ia adalah sebahagian dari agama. Tetapi ternyata sebenarnya, ia adalah jauh sama sekali.

Ada orang berselawat begini: “Assalamualaikum Ya Rasulullah“. Itu adalah perbuatan yang salah melainkan ada pendapat yang berkata boleh kalau berada di kubur Nabi Muhammad ﷺ. Kalau tidak ada, ia adalah amat salah sekali kerana ia mengibaratkan seperti Nabi ﷺ berada di hadapan kita, padahal tidak.

Mana boleh Nabi ﷺ berada di hadapan kita, kerana baginda sudah wafat. Tidak pernah ada dari mana-mana dalil, sama ada dalam Al-Qur’an atau pun dalam hadis yang mengatakan Nabi ﷺ masih hidup lagi. Dan ada yang memberi salam kepada Sheikh Qadir Jailani, Nabi Khidir, Nabi Ilyas dan lain-lain lagi. Ingatlah bahawa, setiap kali seru kepada selain dari Allah ‎ﷻ, jinlah yang akan datang mendampingi kita.

Dalil: Surah [ Yunus: 28-29 ]

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا

Pada hari Kami kumpul mereka semua sekali. Kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang buat syirik kepada Allah, (iaitu yang seru, puja dan beri salam kepada selain dari Allah).

مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ

Kamu duduk di sini, kamu dan orang-orang yang kamu seru, duduk di sini. Kemudian Kami pisahkan antara mereka berdua. Dan berkata orang-orang yang diseru dulu: “tidaklah kami dulu yang kamu puja”.

Maknanya, dari ayat ini kita dapat tahu bahawa orang-orang yang kita seru dulu, sama ada Nabi, wali ataupun malaikat, tidak tahu menahu pun pasal pemujaan kita terhadap mereka. Maka mereka akan sambung lagi:

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Maka cukuplah Allah ‎ﷻ sebagai saksi di antara kami dan kamu.

Sebab kami sudah lama mati. Malaikat pula duduk di langit, tidak tahu menahu pun apa ibadat yang kamu buat kepadanya. Yang seru Nabi Yusuf عليه السلام dan sebagainya pun banyak juga.

 إِنْ كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ

Kami terhadap segala ibadat kamu kepada kami, kami tidak tahu.

Untuk kita mendapat ilmu atau apa-apa maklumat, salah satu caranya adalah dengan mendengar dan melihat. Jadi, mereka telah lama mati maka, mereka tidak dapat mendengar. Seperti yang disebut di dalam [ Fathir: 22 ]. Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa orang dalam kubur, tidak dapat mendengar. Jadi kalau kita talqin kepada mereka pun, mereka tidak akan dapat mendengar.

وَما يَستَوِي الأَحياءُ وَلَا الأَمواتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُسمِعُ مَن يَشاءُ ۖ وَما أَنتَ بِمُسمِعٍ مَن فِي القُبورِ

Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ , (menurut undang-undang peraturan-Nya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah ‎ﷻ serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad ﷺ) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).

Jadi, daripada ayat di atas, kita dapat tahu bahawa yang diseru itu tidak tahu menahu pun kita telah menyeru mereka. Maka, persoalan di sini adalah, siapakah yang diseru itu? Jawapannya ada dalam [ Saba’: 40-41 ]:

وَيَومَ يَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ يَقولُ لِلمَلائِكَةِ أَهٰؤُلاءِ إِيّاكُم كانوا يَعبُدونَ

Pada hari Kami kumpul mereka semua sekali. Kemudian dikata kepada malaikat: Adakah mereka-mereka ini yang kamu dahulu suruh mereka sembah kamu?

قَالُوا سُبْحَانَكَ

Malaikat jawab: Maha Suci kamu, Tuhan.

Jadi kalau kita tengok orang lain buat syirik, kita kena kata ‘Subhanallah’.

 أَنْتَ وَلِيُّنَا مِنْ دُونِهِمْ ۖ بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ ۖ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَ

Kamulah pelindung dan pemelihara kami, bukan mereka-mereka itu, bahkan mereka bukan sembah kami tetapi jin. Kebanyakan mereka tentang jin ini beriman sungguh.

Maka, mereka sebenarnya menyeru jin. Orang yang buat perbuatan seru ini, selalunya ada jin di rumahnya. Caranya untuk selamat adalah dengan bertaubat. Bukan susah untuk meminta ampun dengan Tuhan. Untuk selamat, kita istighfar, kemudian berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Itu sahaja. Jangan degil kalau sudah tahu apa yang kita buat itu adalah salah.

Maknanya kalau kita seru selain daripada Allah ‎ﷻ, maka yang datang adalah jin. Jin-jin ini dipanggil juga dengan nama ‘syaitan’. Iblis pula adalah satu daripada bangsa jin. Bapa segala jin adalah iblis. Dan dia itu masih hidup lagi. Jin dalam dunia ini ada yang kafir dan ada yang Islam. Yang masih kafir itu adalah syaitan. Mereka itu adalah jin-jin yang engkar untuk menerima Islam.

Dalam surah lain, ada diceritakan bagaimana syaitan ini akan dibakar dengan bebola api apabila mencuri dengar perbualan malaikat di langit. Kalau api itu terkena sipi-sipi badan mereka, mereka bertukar menjadi langsuir atau pelbagai jenis hantu-hantu yang lain. Jin-jin yang terkena bebola api itu sudah menjadi mereng (gila), tetapi masih lagi hendak mengganggu manusia dengan cara menakut-nakutkan manusia seperti hantu raya dan sebagainya.

Tujuan mereka menakutkan kita adalah supaya kita pergi berjumpa bomoh dan meminta tolong kepada mereka. Ingatlah kisah semasa iblis ditangkap oleh Abu Hurairah رضي الله عنه, Abu Hurairah رضي الله عنه bertanyakan Iblis sendiri, selama tiga hari. Iblis telah mengajar Abu Hurairah رضي الله عنه satu cara yang boleh menghalang dari gangguan syaitan. Iaitu, sesiapa yang baca ayat Kursi, jin syaitan tidak akan ganggu dia sampai siang. Nabi ﷺ berkata: “Betullah kata-kata pendusta itu”. Semua yang dia kata adalah dusta, melainkan yang dia kata mengenai ayat kursi ini.

Bila kita berjumpa bomoh, bomoh akan membaca jampi serapah dengan beras kunyit. Kemudian tabur merata-rata. Sebenarnya jin adalah makhluk yang dibuat daripada api. Adakah berkesan menghalau jin syaitan dengan menggunakan beras kunyit? Padahal dia itu makhluk yang ghaib.

Tidak ada kesan pun sebenarnya, tetapi telah dipakat puak-puak jin, supaya membuat olok-olok sakit dan tinggalkan manusia yang mereka telah kacau kalau mereka menggunakan cara yang salah itu supaya manusia sangka bahawa beras kunyit itu berjaya menghalau mereka. Maka, apabila kita percaya benda-benda itu yang mengeluarkan mereka, maka kita telah mempunyai satu kepercayaan yang salah dan mungkin kita menjadi syirik.

Kebiasaannya semasa jin-jin itu hendak keluar, mereka akan minta disembelihkan ayam dan sebagainya sebagai syarat untuk keluar. Bila telah  berjaya menggoda manusia, dia akan pergi. Dia pergi sebab dia sudah berjaya menyesatkan manusia.

Macam-macam barang lagi digunakan seperti garam, jintan hitam dan sebagainya yang kadang-kadang tidak terfikir oleh kita. Syaitan akan menipu kita supaya menggunakan semua barang-barang itu kerana syaitan tidak mahu kita membaca ayat Kursi. Pada mereka, bacalah ayat lain asalkan bukan ayat Kursi.

Tetapi, ada juga kadang-kadang kita dengar apabila dibacakan ayat Kursi, jin syaitan masih lagi tidak keluar. Apabila dibaca ayat kursi kepada mereka dan mereka tidak lari, itu menunjukkan kita sendiri ada membuat syirik.  Mereka dia tidak takut sebab yang baca itu adalah ‘kawan’ dia juga. Sama-sama membuat syirik. Sebab itu, kadang-kadang kita pernah dengar ada orang Cina yang kafir pun boleh membaca ayat Kursi.

Jadi, kalau setakat baca sahaja, tetapi dalam masa yang sama ada membuat syirik, tidak akan memberi kesan kepada syaitan-syaitan itu. Syaitan akan lari kalau yang baca itu adalah seorang yang tidak berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Jadi, kalau kita baca dan syaitan tidak lari, maka kita kena istightar, solat dua rakaat dahulu, baru baca balik. Sebab kita tidak tahu sama ada kita ada berbuat syirik ataupun tidak.

وَحَاقَ بِهِمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Dahulu mereka tidak percayakan azab yang telah diberitahu kepada mereka, sampai mereka ejek-ejek. Mereka kata: “Hah, mana dia azab itu? Berilah sekarang!” dan sebagainya lagi kata-kata ejeken mereka. Mereka berani berkata begitu kerana mereka tidak percaya. Tetapi sekarang azab yang mereka kata tidak benar itu, sedang meliputi mereka.

Waktu kita ajak mereka untuk belajar, mereka tidak mementingkan ilmu. Mereka sibuk dengan perkara dunia yang lain. Mereka rasa belajar agama itu benda tidak penting sahaja.

Waktu itu, amalan baik dan jahat yang telah dilakukan semasa hidup akan dizahirkan dalam bentuk fizikal. Mereka akan nampak dengan jelas.

Allahu a’lam.

Soal Jawab bersama Doktor — Masalah Berkaitan Batu Karang

0

Soalan:
Perut saya terasa kejang seolah-olah seperti kontraksi sewaktu bersalin tetapi saya tidak mengandung. Adakah ini disebabkan keracunan makanan? Dalam bulan ni sudah dua kali saya terkena. Doktor cakap ia hanyalah keracunan makanan tetapi saya hanya cirit birit dan muntah pun sekali sahaja. Perut tidak memulas tetapi mengeras. Selepas mengeras, saya akan berasa penat sangat sebab menahan sakit. Sakit yang teramat sangat sampai terasa ke bahagian belakang badan.

Adakah apa yang saya lalui ini hanya kerana keracunan ataupun ada kemungkinan penyakit yang lain?

Jawapan:
Puan mungkin boleh dapatkan pandangan kedua. Kalau tidak cukup minum air, ada kemungkinan tanda-tanda tersebut menunjukkan penyakit batu karang.

Maksud saya di sini, puan mungkin perlu berjumpa doktor lain. Ada buat ujian air kencing?

Perlu dipastikan jika terdapat sedikit darah dalam air kencing yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Jika luka salur kencing mungkin disebabkan oleh batu karang. Ujian tersebut boleh dilakukan di klinik biasa.


Soalan:
Adakah sakit semasa kencing merupakan tanda penyakit batu karang?

Jawapan:
Batu karang atau jangkitan pada salur kencing.


Soalan:
Adakah allopurinol mempunyai kesan sampingan yang negatif? Saya mengambil ubat tersebut untuk mengurangkan asid urik. Atau adakah ubat lain yang lebih baik dapat menggantikan allupurinol?

Jawapan:
Allopurinol sangat penting untuk menurunkan paras asid urik yang boleh menyebabkan batu karang dan membentuk kristal mikro di buah pinggang. Alternatif lain adalah “strict diet” (diet ketat).

Bagi penyakit gout kita tidak risau sangat dengan sakit sendi, tetapi yang lebih bahaya asid urik akan membentuk kristal di buah pinggang yang akan menyebabkan buah pinggang rosak. Selain dari itu ia juga boleh menyebabkan terbentuknya batu karang yang juga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Jadi allopurinol sangat perlu untuk diambil di samping mengurangkan makanan yang meyebabkan peningkatan asid urid.

Begitu juga dengan penyakit kencing manis, selalu orang beranggapan ubat yang dimakan menyebabkan kerosakan buah pinggang. Sebenarnya kencing manislah yang menyebabkan kerosakan buat pinggang, ubat yang diberi untuk mengawal kencing manis yang seterusnya melindungi buah pinggang dan organ lain dari dirosakkan oleh kencing manis. Kepercayaan ubat kencing manis menyebabkan kerosakan buah pinggang inilah yang jadi penyebab kita tidak cukup pusat dialisis kerana terlalu ramai orang kencing manis yang rosak buah pinggangnya.


Soalan:
Apakah makanan yang menyebabkan asid urik?

Jawapan:
Hati, limpa, paru-paru, kerang.


Soalan:
Adakah sama seperti makanan laut seperti udang, sotong dan ketam?

Jawapan:
Sepatutnya tidak.


Soalan:
Bagaimanakah cara untuk mengelakkan penyakit buah pinggang dan batu karang?

Jawapan:
Minum air secukupnya.


Soalan:
Maksudnya kebanyakan pesakit batu karang atau buah pinggang itu disebabkan oleh kurang meminum air?

Jawapan:
Penyakit batu karang biasanya disebabkan kurang minum air, penyakit buah pinggang di Malaysia biasanya disebabkan oleh penyakit kencing manis dan batu karang.


Soalan:
Adakah dengan meminum banyak air kosong dapat mencegah penyakit batu karang? Atau ada solusi lain yang lebih efektif?

Jawapan:
Jika air kencing tidak pekat, maka kebarangkalian untuk membentuk kristal adalah rendah.


Soalan:
Bagaimanakah cara untuk mengelakkan air kencing pekat? Adakah dengan meminum air dengan banyak?

Jawapan:
Ya. Minum air kosong sampai air kencing berwarna jernih. Kekalkan jernih sentiasa.

Perang pada Jalan Allah demi membela Islam

0

☆Tadabbur Kalamullah 1440H☆

فَقَـٰتِلۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفۡسَكَۚ وَحَرِّضِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَۖ عَسَى ٱللَّهُ أَن یَكُفَّ بَأۡسَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ۚ وَٱللَّهُ أَشَدُّ بَأۡسࣰا وَأَشَدُّ تَنكِیلࣰا

“Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah perangsang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah amatlah besar kekuatan-Nya dan amatlah berat azab seksa-Nya” [ an-Nisa’ : 84 ]

#Di antara perintah Allah SWT di dalam al-Qur’an kepada baginda Nabi SAW dan umat Islam ialah berkaitan jihad bersenjata demi mempertahankan Islam daripada pencerobohan musuh serta membela orang-orang yang lemah yang ditindas dan dizalimi.

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِینَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَاۤءِ وَٱلۡوِلۡدَ ٰ⁠نِ

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak…” [ an-Nisa’: 75]

#Perintah jihad bersenjata ini merupakan perintah Allah dan menjadi kewajipan kepada umat Islam yang tidak uzur demi membela Islam bukannya berperang tanpa arah tujuan dan seronok-seronok. Setiap perintah dan syariat Allah SWT ada hikmah dan kebaikan disebaliknya.

#Dalam suasana kita bergembira di bulan Syawal ini, sejarah Islam mencatatkan terdapat beberapa siri peperangan yang berlaku di dalam bulan Syawal, antaranya:

1. Sariah Rabigh (bulan Syawal tahun 1 hijrah. Tidak terjadi peperangan, hanya saling berbalas panahan)

2. Ghazwah Bani Salim (bulan Syawal tahun 2 hijrah)

3. Ghazwah Bani Qainuqa’. (15 Syawal tahun 2 hijrah.

4. Ghazwah Uhud (11 Syawal tahun 3 hijrah)

5. Ghazwah Hamra’ al-Asad (12 Syawal tahun 3 hijrah)

6. Ghazwah Bani an-Nadhir (bulan Syawal tahun 5 hijrah)

7. Ghazwah al-Ahzab atau al-Khandak (bulan Syawal tahun 5 hijrah)

8. Ghazwah Bani Quraizah (selepas selesai perang al-Ahzab)

9. Sariyah Kurz bin Jabir al-Fihriyy (bulan Syawal tahun 6 hijrah. Menangkap beberapa orang. ‘Ukal dan ‘Urainah yang telah membunuh pengembala Nabi SAW)

10. Sariyah Abdullah bin Rawahah (bulan Syawal tahun 7 hijrah. Menangkap seorang Yahudi bernama Yasir bin Zuram bersama bani Ghatfan yang ingin memerangi kaum Muslimin)

11. Sariyah Basyir bin Saad al-Ansari (bulan Syawal tahun 7 hijrah. Mematahkan pakatan untuk menyerang kaum Muslimin)

12. Sariyah Thufail bin Amru ad-Dusi (bulan Syawal tahun 8 hijrah. Memusnahkan Dzil Kaffain, berhala milik Amru ad-Dusi)

13. Sariyah Khalid bin Al-Walid (bulan Syawal tahun 8 hijrah. Untuk mendakwah anggota Bani Huzaimah kepada Islam. Tidak berlaku peperangan, tetapi berlaku pembunuhan tawanan)

14. Ghazwah Hunain (13 Syawal tahun 8 hijrah)

15. Ghazwah Thaif (bulan Syawal tahun 8 hijrah)

*Sariyah iaitu pasukan tentera Islam yang tidak disertai oleh Rasulullah SAW. Baginda melantik seorang panglima untuk mengetuainya.

*Ghazwah iaitu peperangan yang dihadiri oleh Rasulullah SAW dan baginda bertindak sebagai panglima perang.

♡Demi mempertahankan Islam serta menunaikan perintah Allah SWT maka Baginda SAW dan para sahabat sanggup mengorbankan seluruh kehidupan mereka tanpa mengira masa, hari dan bulan. Mereka sanggup berjihad dengan nyawa mereka demi memastikan keadilan Islam tertegak di atas muka bumi ini. Dalam sibuk kita menyambut hari raya, jangan sesekali mengabaikan tuntutan jihad (bersesuaian cara di tempat kita), dakwah dan perjuangan mempertahankan Islam♡

🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah

Apa Itu NLP?

0

Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq

APAKAH NLP?

NLP adalah akronim kepada Neuro Linguistic Programming. Ia merangkumi tiga elemen penting yang digunakan dalam teknik-teknik NLP.

Neuro – diambil daripada perkataan neuron yang bermaksud saraf otak. Saraf ini penting kerana segala maklumat yang kita terima, nampak, rasa, bau dan sebagainya sebenarnya semua akan melalui saraf dan akan disampaikan maklumat itu kepada otak.

Linguistic – bermaksud ‘bahasa’. Bahasa memainkan peranan dalam mempengaruhi otak dan perasaan kita. Maka kerana itu NLP fokus kepada bahasa yang digunakan. Sebagai contoh kita lihat seseorang yang berisi tubuh badannya: orang yang sama tetapi ada bezanya bukan kalau kita katakan dia ‘gemuk’ atau kita katakan dia ‘comel’?

Programming – bayangkan program komputer yang boleh membuat pelbagai aplikasi. Tahukah anda, otak kita merupakan komputer malah adalah “super duper computer” sebenarnya. Ia lebih hebat dari mana-mana komputer yang ada di dalam dunia sekarang.

Kalau ingin menghasilkan program komputer kenalah menggunakan bahasa komputer, ataupun dipanggil bahasa pengaturcaraan (C++, PHP, Java etc). Maka otak supercomputer kita juga mempunyai bahasanya yang tersendiri yang akan kita ajarkan tekniknya nanti.

Maka tidak hairanlah kalau ada yang berkata, NLP merupakan ‘manual untuk otak’.

 

🔖📌

SOALJAWAB


Soalan:
Bolehkah diaplikasikan teknik NLP ini untuk ‘handle’ (menguruskan) emosi atau lebih kepada merasakan diri seperti mengalami penyakit mental?

Jawapan:
Ya boleh. Ia bukan untuk tahap klinikal sahaja (gila, mental) tetapi boleh digunakan dalam segenap sudut kehidupan kita. Gangguan emosi itu bukannya datang sendiri seperti demam. Sebenarnya datang dari kita sendiri. Kita yang buat. Maka bila kita buat, kita juga yang boleh mengubatinya.


Soalan:
Maknanya kena tahu bagaimana untuk mengaplikasikan ke dalam diri sendiri teknik NLP yang akan diajar nanti?

Jawapan:
Ya, nanti kita akan ajarkan teknik-tekniknya. Kalau tidak selesai juga, maka kenalah berjumpa ‘NLP practitioner’ (pengamal NLP). Tetapi sebelum itu, cuba dahulu amalkan teknik-teknik yang diajar nanti.

 

 

 

 

 

 

 

Thaharah – Bab Mandi: Sunat Mandi

0

Kitab : Thaharah
Bab: Mandi
Bahagian :
1. Sunat- Sunat Mandi

2. Perkara-perkara yang Diharamkan bagi Orang dalam Junub
Tajuk:
👁‍🗨 Solat (Fardhu atau Sunat)
👁‍🗨 Tawaf

3. Masalah-masalah yang Berkaitan dengan Mandi bagi Wanita
Tajuk:
👁‍🗨 Wanita Tidak Wajib Mengurai Sanggulnya ketika Mandi Junub
👁‍🗨 Wajib bagi Wanita Mengurai Sanggulnya ketika Mandi Haid
👁‍🗨 Anjuran Menggunakan Pembersih Haid seperti Kapas
👁‍🗨 Tidak Wajib bagi Wanita Mencuci Bahagian Dalam Kemaluannya

D: Sunnah-sunnah Mandi

Selepas kita belajar rukun mandi sebelum ini, maka kita tahu untuk membezakan mana yang sunat dan tidak. Kita tahu sesuatu itu sunat apabila ia dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. : dalam cara baginda memulakan mandi baginda, semasa baginda mandi dan mengakhirinya.

Semua itu tidaklah wajib, tetapi sunat dan amat molek kalau kita dapat ikut. Ini kita akan sebutkan dalam cara-cara mandi nanti.

✅ Kita tidak senaraikan sekarang. Nanti kita lihat cara mandi Rasulullah صلى الله عليه وسلم. maka kita akan tahu itu adalah sunnah-sunnah dalam mandi.

E: Perkara-perkara yang diharamkan bagi orang yang dalam Junub

1. Solat –  sama ada solat fardhu atau solat sunat.

✍🏻Dalilnya hadis Nabi:

“Allah tidak menerima solat tanpa bersuci”.
(HR. Muslim)

2. Tawaf

Kita sudah bincangkan di dalam bab Wudhu’ dan kita ulangkaji sahaja di sini. Tidak boleh tawaf dalam hadas (kecil atau besar) ini adalah pandangan majoriti ulama’.

✍🏻Berdasarkan hadith dari Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ فَأَقِلُّوا مِنْ الْكَلَامِ

“Tawaf di Kaabah seperti solat, namun di dalamnya dibolehkan sedikit bicara.”
[ An Nasai no. 2922 ]

✍🏻Begitu pun, ada pendapat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan diikuti oleh Syaikh Muhammad bin Shaleh Al-‘Utsaimin رحمكم الله yang mengatakan suci dari hadas bukan syarat untuk sah tawaf.

Ini mungkin pelik bagi sesetengah orang, tetapi ada hujah yang diberikan:

1️⃣ Pertama:
Hadith yang menyatakan bahawa tawaf itu seperti salat, tidaklah marfu’ (sampai kepada Rasulullah ﷺ). Hadith ini hanya mauquf (berhenti kepada perkataan sahabat sahaja) sampai kepada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه.
[maknanya, hadith itu boleh dibincangkan lagi].

2️⃣ Kedua:
Tawaf tidaklah sama dari segi perbuatan dengan salat. Maka yang dimaksudkan ‘sama’ dengan salat itu adalah dari segi pahala, bukan di dalam semua keadaan. Maka, kita ambillah wudhu’ apabila hendak memulakan tawaf.

Namun, jika terbatal wudhu’ semasa tawaf, maka boleh diteruskan sahaja tawaf itu. Maka tentulah ini lebih mudah membayangkan keadaan waktu itu amatlah sesak dan jika mahu pergi mengambil wudhu’ kalau terbatal wudhu’, amatlah susah. Pendapat ini juga memudahkan orang yang apabila ke Tanah Haram, tetapi tiba-tiba didatangi haidh.

Susah-susah dia pergi ke sana, tetapi tidak boleh hendak menjalankan ibadah Haji atau Umrah pula. Mungkin itulah kali pertama dan terakhir dia dapat pergi ke Tanah Haram untuk melakukan Umrah/Haji.

✍🏻Maka pendapat Ibn Taimiyyah dan Shaikh Utsaimin ini sesuai dengan maqosid syar’iyyah:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”
[ Al Baqarah: 185 ].”

F. Masalah-masalah berkaitan Mandi bagi Wanita

Secara umumnya, sama sahaja cara mandi lelaki dan wanita. Namun, ada beberapa perkara yang membezakan sedikit antara keduanya kerana keadaan fizikal yang berlainan antara keduanya.

1. Wanita tidak wajib mengurai sanggulnya ketika mandi junub

Sebenarnya wanita tidak perlu membuka sanggul rambutnya semasa mandi junub.

✍🏻Sandaran pendapat ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah. Dia mengatakan,

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أَشُدُّ ضَفْرَ رَأْسِى فَأَنْقُضُهُ لِغُسْلِ الْجَنَابَةِ قَالَ « لاَ إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِى عَلَى رَأْسِكِ ثَلاَثَ حَثَيَاتٍ ثُمَّ تُفِيضِينَ عَلَيْكِ الْمَاءَ فَتَطْهُرِينَ ».

“Aku berkata, wahai Rasulullah, aku seorang wanita yang sanggul rambut kepalaku, apakah aku harus membuka sanggulku ketika mandi junub?” Baginda bersabda, “Jangan (kamu buka). Cukuplah kamu menyiram air pada kepalamu tiga kali, kemudian siramlah yang lainnya dengan air, maka kamu telah suci.”
[ HR. Muslim no. 330 ]

Syarah:
Maknanya, seorang wanita yang berambut panjang dan membuat sanggul pada rambutnya, dia tidak perlu membuka sanggulnya itu. Dia tidak perlu membasuh rambut dia pun. Dia cuma siram sedikit air pada kepalanya dan usahakan air itu supaya kena kepada kulit kepala.

Tidak dinafikan perkara ini mungkin baru bagi sesetengah orang. Bukan kita sahaja yang berasa pelik, tetapi perkara ini pun sudah ada khilaf di kalangan sahabat.

✍🏻Lihat apa kata Saidatina Aisyah:

و حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى وَأَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَعَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ جَمِيعًا عَنْ ابْنِ عُلَيَّةَ قَالَ يَحْيَى أَخْبَرَنَا إِسْمَعِيلُ ابْنُ عُلَيَّةَ عَنْ أَيُّوبَ عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ عَنْ عُبَيْدِ بْنِ عُمَيْرٍ قَالَ بَلَغَ عَائِشَةَ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو يَأْمُرُ النِّسَاءَ إِذَا اغْتَسَلْنَ أَنْ يَنْقُضْنَ رُءُوسَهُنَّ فَقَالَتْ يَا عَجَبًا لِابْنِ عَمْرٍو هَذَا يَأْمُرُ النِّسَاءَ إِذَا اغْتَسَلْنَ أَنْ يَنْقُضْنَ رُءُوسَهُنَّ أَفَلَا يَأْمُرُهُنَّ أَنْ يَحْلِقْنَ رُءُوسَهُنَّ لَقَدْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ وَلَا أَزِيدُ عَلَى أَنْ أُفْرِغَ عَلَى رَأْسِي ثَلَاثَ إِفْرَاغَاتٍ

Dan telah menceritakan kepada kami [Yahya bin Yahya], [Abu Bakar bin Abi Syaibah] dan [Ali bin Hujr] semuanya meriwayatkan daripada [Ibnu Ulayah] [Yahya] berkata, telah mengabarkan kepada kami [Ismail bin Ulayah] daripada [Ayyub] daripada [Abu az-Zubair] daripada [Ubaid bin Umair] dia berkata, ” [Aisyah] pernah mendengar Abdullah bin Amru memerintahkan orang-orang perempuan agar membuka tali ikatan rambut mereka apabila mereka mandi. Lalu Aisyah berkata, ‘Mengapa dia tidak menyuruh mereka agar mencukur rambut saja? Aku pernah mandi bersama-sama Rasulullah ﷺ menggunakan air dari bekas yang sama. Aku tidak menyiram kepalaku lebih dari tiga kali siram’.”

2. Wajib bagi wanita mengurai sanggulnya ketika mandi dari Haidh

Lain pula bagi wanita yang baru kering dari haidh. Kalau mandi junub, tidak perlu membasuh rambut, tetapi apabila bersuci dari haidh, maka hendaklah diuraikan rambut dan dibasuh rambut itu.

✍🏻Dalilnya:

وَأَنَا حَائِضٌ فَشَكَوْتُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ دَعِي عُمْرَتَكِ وَانْقُضِي رَأْسَكِ وَامْتَشِطِي وَأَهِلِّي بِحَجٍّ فَفَعَلْتُ

“Maka ketika hari Arafah aku mengalami haidh, aku lalu mengadukan hal itu kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, baginda lalu bersabda: “Tinggalkanlah Umrahmu. Uraikan rambut kepalamu lalu sisirlah, kemudian mulailah talbiah dengan haji.” Maka aku pun laksanakan perintah baginda.”
[ HR Bukhari no. 317 ]

3. Anjuran menggunakan pembersih haidh seperti kapas yang diletakkan pewangi pada tempat keluar darah.

✍🏻Hal ini berdasarkan hadith ‘Aisyah رضي الله عنها,

أَنَّ أَسْمَاءَ سَأَلَتِ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ غُسْلِ الْمَحِيضِ فَقَالَ « تَأْخُذُ إِحْدَاكُنَّ مَاءَهَا وَسِدْرَتَهَا فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ دَلْكًا شَدِيدًا حَتَّى تَبْلُغَ شُئُونَ رَأْسِهَا ثُمَّ تَصُبُّ عَلَيْهَا الْمَاءَ. ثُمَّ تَأْخُذُ فِرْصَةً مُمَسَّكَةً فَتَطَهَّرُ بِهَا ». فَقَالَتْ أَسْمَاءُ وَكَيْفَ تَطَهَّرُ بِهَا فَقَالَ « سُبْحَانَ اللَّهِ تَطَهَّرِينَ بِهَا ». فَقَالَتْ عَائِشَةُ كَأَنَّهَا تُخْفِى ذَلِكَ تَتَبَّعِينَ أَثَرَ الدَّمِ. وَسَأَلَتْهُ عَنْ غُسْلِ الْجَنَابَةِ فَقَالَ « تَأْخُذُ مَاءً فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ – أَوْ تُبْلِغُ الطُّهُورَ – ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ حَتَّى تَبْلُغَ شُئُونَ رَأْسِهَا ثُمَّ تُفِيضُ عَلَيْهَا الْمَاءَ »

“Asma’ bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang mandi wanita haidh. Maka beliau bersabda, “Salah seorang daripada kalian hendaklah mengambil air dan daun bidara, lalu engkau bersuci, lalu membaguskan bersucinya. Kemudian hendaklah engkau menyiramkan air pada kepalanya, lalu menggosok-gosoknya dengan keras hingga mencapai akar rambut kepalanya. Kemudian hendaklah engkau menyiramkan air pada kepalanya tadi. Kemudian engkau mengambil kapas bermisik, lalu bersuci dengannya. Lalu Asma’ berkata, “Bagaimana dia dikatakan suci dengannya?” Beliau bersabda, “Subhanallah, bersucilah kamu dengannya.” Lalu Aisyah berkata -seakan-akan dia menutupi hal tersebut-, “Kamu sapu bekas-bekas darah haidh yang ada (dengan kapas tadi)”. Dan dia bertanya kepada beliau tentang mandi junub, maka beliau bersabda, ‘Hendaklah kamu mengambil air lalu bersuci dengan sebaik-baiknya bersuci, atau bersangat-sangat dalam bersuci kemudian kamu siramkan air pada kepala, lalu memicitnya hingga mencapai dasar kepalanya, kemudian mencurahkan air padanya’.”
[ HR. Bukhari no. 314 dan Muslim no. 332 ]

Syarah:
Anjuran ini diberikan kerana tempat laluan darah haidh itu berbau dan untuk menghilangkan baunya adalah dengan menggunakan kapas yang dicelup dengan minyak wangi. Zaman sekarang sudah ada sabun khas rasanya.

4. Tidak wajib bagi wanita mencuci bahagian dalam kemaluannya.

✍🏻Ibn Taimiyah menyatakan: “Dia boleh melakukannya jika mahu.”

✍🏻Syeikh Albani pula mengatakan: “boleh, supaya lebih bersih tetapi bukan bahagian dari ibadah.”

Maknanya, perkara ini bukan wajib, tetapi boleh dilakukan. Jangan ditekankan sampai menyebabkan kerisauan dalam perkara ibadah. Ini kerana mungkin ada wanita yang rasa was-was sama ada sudah bersih atau tidak bahagian kemaluannya.

📍Kita beritahu yang kalau dicuci bahagian luar sahaja sudah dikira bersih untuk melakukan ibadah. Jangan terbelit dengan pendapat yang keras yang mengatakan kena cuci sampai ke dalam kemaluan dan kena pastikan ia bersih.

Allahu ‘alam.

Manusia yang Panjang Umur dan banyak Kebaikannya

0

🌿 Tazkirah🌿

Sebaik- baik Manusia Adalah Mereka Yang Panjang Umur Dan Banyak Kebaikannya

SEMUA manusia yang hidup di muka bumi ini umurnya telah ditentukan oleh Allah SWT. Ada yang berumur panjang dan ada yang dipendekkan usianya.

Beruntunglah siapa yang dipanjangkan umur dan banyak melakukan kebaikan dan amal soleh. Rugilah siapa yang dipanjangkan umur tetapi tidak banyak melakukan kebaikan tetapi yang dilakukan adalah dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Daripada Abi Bakrah r.a berkata, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya:

“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?.”

Rasulullah SAW menjawab:

مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ

“Siapa yang usianya dan baik amalannya.”

( Hadis Riwayat al-Tirmizi (2330).

(Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih)

Jika Allah SWT melanjutkan usia atau umur seseorang itu adalah bertujuan agar mereka berfikir serta mempelajari agama ini. Hal ini disebutkan di dalam al-Qur’an menerusi firman Allah SWT:

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ

“Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir.”

[ al-Fatir: 37 ]

Syeikh Sayyid al-Tantawi menyatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa Allah SWT menegur insan-insan yang terus kekal dan lalai dengan kehidupan dunia sedangkan usia mereka itu mampu untuk mencari kebenaran atau cahaya keimanan.

[Lihat: Tafsir al-Wasith, 352/11]

Berkaitan umur ini ada disebutkan oleh Nabi SAW di dalam hadith-hadith yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga Imam Ahmad iaitu:

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ، حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَة

“Allah SWT menghilangkan keuzuran bagi sesiapa yang dilewatkan ajalnya (dipanjangkan usianya) ketika dia sampai usia 60 tahun.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari (6419)

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ عُمِّرَ سِتِّينَ سَنَةً، أَوْ سَبْعِينَ سَنَةً، فَقَدْ عُذِرَ إِلَيْهِ فِي الْعُمُرِ

“Sesiapa yang sampai usianya 60 tahun atau 70 tahun, maka Allah tidak menerima alasan disebabkan umurnya itu.”

(Hadis Riwayat Ahmad (9251)

(Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh)

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَتَتْ عَلَيْهِ سِتُّونَ سَنَةً، فَقَدْ أَعْذَرَ اللهُ إِلَيْهِ فِي الْعُمُرِ

Sesiapa yang sampai usianya 60 tahun, maka Allah tidak menerima alasan disebabkan umurnya itu.”

(Hadis Riwayat Ahmad (8262)

Riwayat ini sanadnya adalah kuat menurut Syeikh Syu’aib dan Riwayat ini dijadikan sebagai syawahid (sokongan kepada hadith lain) oleh Imam Muslim).

Hadith-hadith di atas menunjukkan kepada kita bahawa antara tujuan Allah SWT memanjangkan usia seseorang itu adalah supaya mereka menggunakan peluang tersebut pada perkara-perkara ketaatan supaya ia tidak menjadi hujah di akhirat kelak disebabkan sedikitnya amalan seseorang itu.

Mereka yang telah berusaha 60an hingga 70an tidak ada alasan untuk buang masa dengan sia- sia.

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, makna hadith tersebut adalah tidak berbaki lagi keuzuran (tidak menerima alasan) bagi sesiapa yang telah dipanjangkan usianya oleh Allah SW T seperti mereka berkata :

“Jika Allah memanjangkan usia aku pasti aku melakukan apa yang telah diperintahkan.”

Dihilangkan keuzuran (tidak diterima alasan) tersebut adalah kerana seseorang itu telah mencapai penghujung kepada keuzuran dan mereka juga mampu untuk melakukannya di samping tiada lagi keuzuran buatnya untuk meninggalkan ketaatan kerana mereka mampu untuk melakukannya apabila dikurniakan usia yang sedemikian. Maka, tidak layak seseorang itu ketika berada pada usia sedemikian menyibukkan diri mereka melainkan pada perkara seperti istighfar (memohon ampun kepada Allah), melakukan ketaatan dan juga mempersiapkan diri sepenuhnya untuk menghadapi hari Akhirat.

(Lihat: Fath al-Bari, 240/11)

Apakah bentuk amalan kebaikan orang yang berumur panjang?

1. Sentiasa kekalkan mengamalkan 7 sunah Rasulullah SAW

* Solat berjemaah di masjid
* Solat tahajud
* Membaca al-Qur’an
* Banyak bersedekah
* Sentiasa beristighfar
* Solat Dhuha
* Sentiasa berwuduk

2. Berusaha melaksanakan dakwah amal makruf dan nahi mungkar. Aktif dalam NGO Islam dan sebarkan ilmu yang bermanfaat di media sosial dan media arus perdana.

3. Meninggalkan perkara yang melalaikan seperti hiburan dan sembang kosong. Setiap masa di isi perkara yang bermanfaat.

4. Sentiasa berusaha mengumpulkan balik otai- otai pencen yang ada kesedaran Islam melalui grup whatsapps untuk mengisi ruang dakwah dan tarbiyah untuk masyarakat dan berusaha melahirkan cara hidup Islam.

5. Sebagai penasihat kepada pemimpin masyarakat dan ahli politik supaya mereka berada di landasan yang betul berkhidmat untuk rakyat.

6. Mendalami ilmu agama sebagai bekalan di hari akhirat.

7. Sentiasa melakukan riadah dan makan makanan berkhasiat dan kurangkan tidur.

Oleh itu jika kalian berumur 60an dan 70an, ini bermakna kalian telah dipanjangkan umur dan telah diberi kesempatan untuk beramal soleh dan melaksanakan kerja- kerja yang bermanfaat untuk cari keredhaan Allah SWT.

🥦 Wassalam 🥦

Makmum Sundari
15.6.2019

#MS#AB
#UmurYangBermanfaat
#SuaraPrihatin

Sejarah NLP

0


Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq

SEJARAH NLP

Sebagai pengenalan, saya mulakan dengan sejarah NLP dan bagaimana ia bermula.

NLP bermaksud Neuro Linguistic Programming. Nanti saya terangkan apakah maksudnya. Kita baca sejarahnya terlebih dahulu.

Ia bermula di California pada tahun 1972 oleh dua orang individu iaitu Richard Bandler, seorang mahasiswa universiti ketika itu dan John Grinder, seorang professor bahasa.

Mereka asalnya hendak melakukan kajian tentang kesempurnaan komunikasi. Mereka berasa pelik kenapa terdapat individu-individu yang dengan hanya menggunakan kaedah berkomunikasi sahaja dapat menyembuhkan pesakit yang mempunyai penyakit emosi yang tidak berjaya disembuhkan oleh pakar psikologis. Apabila dibawakan kepada mereka itu, boleh pula disembuhkan.

Kajian asal mereka adalah terhadap tiga orang individu hebat iaitu Virgina Satir, Fritz Perls dan Milton H. Erickson. Mereka ini dapat menyembuhkan pesakit mental dengan sangat cepat dengan hanya menggunakan kaedah berkomunikasi sahaja.

Kajian Bandler dan Grinder mendapati, walaupun ketiga-tiga individu itu menggunakan metod yang berbeza, tetapi terdapat persamaan komunikasi di antara mereka. Jadi mereka mengkaji dan meniru apakah yang berkesan dari ketiga-tiga orang tersebut dan mereka cuba meniru dan gunakan kepada orang lain pula.

Lama kelamaan, teknik NLP ini telah berkembang dan digunakan dalam hampir semua bidang. Ia boleh diaplikasikan ke dalam hampir kesemua perkara dalam kehidupan kita. Ini tentunya oleh orang yang telah belajar dan tahu bagaimana cara menggunakannya.

Selebriti terkenal, Anthony Robbins juga sering mengamalkan NLP dalam seminar beliau. Saya mengenali NLP pun kerana membaca buku-buku beliau. Sampai satu masa beliau telah terkenal kerana efektifnya NLP ini. Tetapi tentunya ada yang tidak menerima dan telah membangkang beliau dan mengatakan itu semua adalah penipuan sahaja.

Maka Tony Robbins telah mencabar para penolak beliau itu untuk memberikan beliau kes-kes yang mereka tidak dapat selesaikan. Antaranya, seorang wanita yang berumur 34 tahun mengalami fobia terhadap ular dan Tony Robbins telah dapat menyembuhkan fobianya itu di khalayak ramai dalam masa tidak sampai 10 minit! Anda semua boleh lihat bagaimana teknik yang digunakan oleh beliau dalam video ini:

 

 

 

Soal Jawab bersama Doktor — Masalah Berkaitan Gout dan Hati

0

 

 

 

Soalan:
Assalamualaikum Doktor.
Saya ingin bertanya, adakah terdapat ubat yang lebih efektif berbanding allopurinol untuk pesakit gout?

Jawapan:
Adakah ada berpantang gula? Berpantang gula merupakan langkah paling penting, terutamanya air tin dan air kotak amatlah dilarang. Pengambilan buah-buahan juga harus dikawal. Madu juga harus berpada-pada.

Begitu juga minuman manis lain seperti teh tarik, susu pekat dan minuman peket 3 dalam 1 adalah paling tidak boleh.

Soalan:
Saya sememangnya berpantang minuman manis, cuma kadang-kadang sahaja ada juga mengambil minuman 3 dalam 1. Buah-buahan juga saya ambil kadangkala sahaja.

Jawapan:
Kalau berat badan anda berlebihan, lebih-lebih jika mencapai obes, maka harus ditinggalkan dahulu sehinggalah berat badan berkurangan.

Organ hati yang ‘stress’ (tertekan) boleh meningkatkan pengeluaran asid urik juga.

Soalan:
Apakah yang doktor maksudkan dengan organ hati yang ‘stress’?

Jawapan:
Fungsi organ hati adalah sebagai organ detoksifikasi badan yang utama. Contohnya jika meminum alkohol boleh mengakibatkan ‘fatty liver’ (hati berlemak). Ini kerana kesan gula fruktosa yang berlebihan di samping fermentasi di dalamnya akan meningkatkan ‘stress’ organ.

Jika selalu mengambil gula karbo proses yang berlebihan, maka organ hati akan terbeban. Ini kerana lemak berlebihan akan terhasil apabila gula berlebihan. Organ hati turut menghasilkan kolesterol apabila terbeban.

STRESS = BEBAN.

Maka, yang tidak bagus sebenarnya bukanlah makanan berkolesterol tetapi gula dan karbohidrat proses termasuk gandum yang berlebihan.

Kelebihan Puasa 6 Syawal

0

Lima Kelebihan Puasa 6 Syawal

KITA masih berada di bulan Syawal. Amalan terbaik di bulan Syawal adalah puasa sunat 6 hari dipanggil puasa Syawal. Apakah fadilat dan ganjaran jika seseorang melaksanakan puasa tersebut? Terdapat 5 kebaikan puasa enam hari di bulan Syawal. Kebaikan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama: Puasa 6 Syawal Akan Menggenapkan Ganjaran Berpuasa Setahun Penuh

Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (HR. Muslim no. 1164, dari Abu Ayyub al Ansori).

Para ulama mengatakan bahawa berpuasa seperti setahun penuh. Jadi, seolah-olah jika seseorang melaksanakan puasa Syawal dan sebelumnya berpuasa sebulan di bulan Ramadan maka seolah- olah dia telah berpuasa selama setahun.

Puasanya dilakukan selama enam hari. Lebih utama dilaksanakan sehari setelah Aidil Fitri, tetapi jika hendak dilaksanakan secara berselang seli dibolehkan dengan syarat masih berada dibulan Syawal.

Kedua: Puasa Syawal seperti solat sunat Rawatib yang dapat menutup kekurangan dan menyempurnakan ibadah wajib.

Apa yang dimaksudkan di sini bahawa puasa Syawal akan menyempurnakan kekurangan-kekurangan yang ada pada puasa wajib di bulan Ramadan sebagaimana solat sunat rawatib yang menyempurnakan ibadah wajib. Amalan sunat seperti puasa Syawal nantinya akan menyempurnakan puasa Ramadan yang seringkali ada kekurangan di sana-sini. Inilah yang dialami setiap orang dalam puasa Ramadan, pasti ada kekurangan yang mesti disempurnakan dengan amalan sunat (Lihat Latho-if Al Ma’arif, Ibnu Rajab Al Hambali, hal. 394, Daar Ibnu Katsir, cetakan kelima, 1420 H) [Tahqiq: Yasin Muhammad As Sawaas]

Ketiga : Melakukan Puasa 6 Syawal merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadan.

Jika Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerima amalan seorang hamba, maka Dia akan menunjuki pada amalan soleh selanjutnya. Jika Allah menerima amalan puasa Ramadan, maka Dia akan tunjuki untuk melakukan amalan soleh lainnya, di antaranya puasa enam hari di bulan Syawal. Hal ini diambil dari perkataan sebahagian salaf, مِنْ ثَوَابِ الحَسَنَةِ الحَسَنَةُ بَعْدَهَا، وَمِنْ جَزَاءِ السَّيِّئَةِ السَّيِّئَةُ بَعْدَهَا “Di antara balasan kebaikan adalah kebaikan selanjutnya dan di antara balasan keburukan adalah keburukan selanjutnya.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, 8/417, Daar Thoyyibah, cetakan kedua, 1420 H [Tafsir Surat Al Lail)

Ibnu Rajab menjelaskan hal di atas dengan perkataan salaf lainnya, “Balasan dari amalan kebaikan adalah amalan kebaikan selanjutnya. Barangsiapa melaksanakan kebaikan lalu dia melanjutkan dengan kebaikan lainnya, maka itu adalah tanda diterimanya amalan yang pertama. Begitu pula barangsiapa yang melaksanakan kebaikan lalu malah dilanjutkan dengan amalan keburukan, maka ini adalah tanda tertolaknya atau tidak diterimanya amalan kebaikan yang telah dilakukan.” (Latho-if Al Ma’arif, hal. 394.) Renungkanlah! Bagaimana lagi jika seseorang hanya rajin solat di bulan Ramadan (rajin solat bermusim), namun setelah Ramadan solat lima waktu tidak dibuat dengan sempurna Adakah amalan orang tersebut di bulan Ramadan diterima?! Al Lajnah Ad Da-imah Lil Buhuts ’Ilmiyyah wal Ifta’ (Majlis Fatwa Saudi Arabia) mengatakan, “Adapun orang yang melakukan puasa Ramadan dan mengerjakan solat hanya di bulan Ramadan saja, maka orang seperti ini bererti telah mempermainkan agama Allah. Sebahagian salaf ada mengatakan : “Seburuk- buruk kaum adalah yang mengenal Allah (rajin ibadah,) hanya pada bulan Ramadhan saja.” Oleh itu, tidak sah puasa seseorang yang tidak melaksanakan solat di luar bulan Ramadan.

Keempat: Melaksanakan Puasa Syawal adalah sebagai tanda syukur kepada Allah

Nikmat apakah yang perlu disyukuri? Iaitu nikmat ampunan dosa yang begitu banyak di bulan Ramadan. Bukankah kita telah ketahui bahawa melalui amalan puasa dan solat malam selama sebulan penuh adalah sebab datangnya ampunan Allah SWT ? Begitu pula dengan amalan menghidupkan malam Lailatul Qadar di akhir-akhir bulan Ramadan : Ibnu Rajab mengatakan, ”Tidak ada nikmat yang lebih besar dari pengampunan dosa yang Allah anugerahkan.” (Latho-if Al Ma’arif, hal. 394.) Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam pun yang telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan akan datang banyak melakukan solat malam. Ini semua baginda lakukan dalam rangka bersyukur atas nikmat pengampunan dosa yang Allah SWT berikan. Ketika Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam ditanya oleh isteri tercinta baginda iaitu ’Aisyah radhiyallahu ’anha mengenai solat malam yang banyak baginda lakukan, baginda pun mengatakan, أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا ”Tidakkah aku senang menjadi hamba yang bersyukur?” (HR. Bukhari no. 4837 dan Muslim no. 2820.) Begitu pula di antara bentuk syukur kerana banyaknya ampunan di bulan Ramadan, di penghujung Ramadan (di hari Aidil Fitri), kita dianjurkan untuk banyak berzikir dengan mengangungkan Allah melalu bacaan takbir ”Allahu Akbar”. Ini juga di antara bentuk syukur sebagaimana Allah Ta’ala berfirman, وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakwa pada Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al Baqarah ayat 185) Begitu pula para salaf seringkali melakukan puasa di siang hari setelah di waktu malam mereka diberi taufik oleh Allah untuk melaksanakan solat tahajud. Ingatlah bahawa rasa syukur haruslah diwujudkan setiap saat dan ketika

Kelima: Melaksanakan Puasa Syawal menandakan bahawa ibadahnya berterusan dan bukan bermusim sahaja

Amalan yang seseorang lakukan di bulan Ramadan tidaklah berhenti setelah Ramadan itu berakhir. Amalan tersebut seharusnya berlangsung terus selama seorang hamba masih menarik nafas kehidupan. Sebahagian manusia begitu bergembira dengan berakhirnya bulan Ramadan kerana mereka merasa berat ketika berpuasa dan merasa bosan ketika menjalaninya. Siapa yang memiliki perasaan semacam ini, maka dia terlihat tidak akan bersegera melaksanakan puasa lagi setelah Ramadan kerana keletihan yang ia alami. Jadi, apabila seseorang segera melaksanakan puasa setelah hari raya Aidil Fitri maka itu merupakan tanda bahawa ia begitu semangat untuk melaksanakan puasa, tidak merasa berat dan tidak ada rasa benci. Ada sebahagian orang yang hanya rajin ibadah dan solat malam di bulan Ramadan saja, lantas dikatakan kepada mereka, بئس القوم لا يعرفون لله حقا إلا في شهر رمضان إن الصالح الذي يتعبد و يجتهد السنة كلها “Seburuk- buruk orang adalah yang hanya rajin ibadah di bulan Ramadan saja. Sesungguhnya orang yang soleh adalah orang yang rajin ibadah dan rajin solat malam sepanjang tahun”. Ibadah bukan hanya di bulan Ramadan, Rajab atau Sya’ban saja. ’Alqomah pernah bertanya pada Ummul Mukminin ’Aisyah mengenai amalan Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam, ”Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab, لاَ. كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً ”Baginda tidak mengkhususkan waktu tertentu untuk beramal. Amalan baginda adalah amalan yang berterusan .” (HR. Bukhari no. 1987 dan Muslim no. 783)

Wassalam

🥦 Makmum Sundari

#MS#AB #PuasaEnamSyawal

#uito.org

Gabung Niat Puasa

0

📚🔍

🔴 Adakah dalil yang membolehkan untuk menggabungkan niat puasa di bawah?

1. Puasa sunat hari Khamis
2. Puasa sunat hari putih
3. Puasa sunat 6 Syawal


Niat tiga puasa sunat digabungkan menjadi satu .

Tiada dalil di dalam perkara ini kerana para salaf iaitu golongan yang hidup di dalam lingkungan 300 tahun pertama tidak pernah berkira dalam melakukan ibadah. Mereka juga merupakan golongan yang paling kuat beragama.
Maka, tiadalah di sisi mereka ini untuk menggabungkan ibadah.

Cuma golongan khalaf, yang hidup sesudah itu, yang lemah agamanya, disibukkan dengan dunia, maka mereka memikirkan kenapa tidak digabungkan semua ibadah menjadi satu sahaja.

Maka ulama’ terpaksa memikirkan kaedah-kaedah fiqh untuk menjawab isu-isu sebegini.

Ibnu Qayyim rhm menukilkan:

… باب تداخل العبادات فى العبادة الواحدة وهو من باب عزيز شريف, لا يدخل منه إلا صادق حاذق الطلب متضلع من العلم عالي الهمة بحيث يدخل فى عبادة يظفر فيها بعبادات شتي وذلك فضل الله يؤتيه من يشاء.

Terjemahan:
“Bab (Permasalahan) saling bercampurnya antara banyak ibadah dalam satu ibadah merupakan bab dan permasalahan rumit lagi agung, tidak ada yang boleh melakukannya kecuali orang yang benar-benar bersungguh-sungguh, cerdas dalam menuntut ilmu, menguasai ilmu, dan memiliki semangat tinggi (dalam beribadah) yang mana tidaklah ia melakukan satu ibadah melainkan dengannya ia meraih (pahala) ibadah yang berbeza-beza, dan ini merupakan kurnia Allah S.W.T yang dianugerahkan kepada siapa saja yang Dia kehendaki”.

Ibnu Rajab al Hanbali rhm menukilkan di dalam al Qawaid Fil Fiqh, mukasurat 11.

“Jika ibadah yang sama jenis berkumpul di dalam waktu yang sama, maka memadai diniatkan satu sahaja.”

Bermaksud:
Sekiranya ia ibadat puasa sunat.

Jika kebetulan berlaku di bulan Syawal, iaitu pada hari Khamis, dan pada tanggal hari putih atau purnama, maka memadai dengan satu niat sahaja, yang lain akan termasuk.

Contoh yang lain:

Sekiranya anda mengambil wudhu di masjid, maka ada dua solat sunat iaitu solat tahiyatul masjid dan solat sunat wudhu, maka keduanya mendapat dua di dalam satu.

Akan tetapi jika ianya ibadat yang berlainan, seperti qadha puasa, maka tidak boleh digabungkan dengan puasa Syawal sebab ia berlainan niat, puasa wajib dan puasa sunat.
Ulamak’ Arab Saudi juga berpendapat sedemikian.

Tuan Hassan Tuan Lah

Panelis UiTO.org

🔖🔖🔖🔖🔖

Popular

Iklan

Iklan