Utama Blog Halaman 68

Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan (Bahagian 1)

0

Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan

Secara dasarnya, kalau kita lihat falfasah asal tasawuf, tidaklah ia sesuatu yang buruk. Malah, tujuannya baik. Ini kerana falsafah asal tasawuf adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ.

Tujuan tasawuf adalah untuk mendidik hati supaya buat apa-apa sahaja kerana Allah ‎ﷻ. Ini adalah perkara yang halus yang perlu didikan hati kerana memang susah untuk ikhlas dalam amalan kita. Maka kerana itu ada istilah tazkiyatun nafs (pembersihan nafsu) dan juga ‘ihsan‘ dalam agama.

Tazkiyatun Nafs dan juga ‘ihsan‘ adalah istilah yang digunakan oleh golongan salaf. Jadi nama ‘sufi’ dan tasawuf itu datang kemudian. Yang jadi masalah apabila nama baru, amalan-amalan pun baru. Kalau amalan diambil daripada ajaran sunnah, memang tidak ada masalah.

Jadi ini adalah masalah terminologi sahaja. Sama ada dipanggil sufi, tazkiyatun nafs, atau ihsan, kalau ia benar, maka kita boleh pegang dan pakai.

Imam Nawawi رحمه الله pun ada memberi komentar tentang sufi. Beliau juga telah menyenaraikan beberapa usul sufi yang dapat menyelamatkan diri daripada Talbis Iblis. Ada 5 usul yang disenaraikan.

1. Taqwa kepada Allah ‎ﷻ dalam sembunyi atau terbuka.

Taqwa bermaksud sedar Allah ‎ﷻ sedang melihat kita di mana sahaja kita berada. Tidak kira di Malaysia, di Thailand atau di mana sahaja. Tuhan yang sama sahaja di mana-mana pun.

Tidak kira sama ada kita bersama dengan orang lain atau bersendirian. Ini penting kerana ada orang baik kalau di hadapan orang, tetapi jadi hantu bila tidak ada orang lain. Begitu juga, di Malaysia baik, tetapi sampai Siam sahaja sudah jadi orang lain.

Inilah maksud Ihsan. Sebagaimana di dalam sebuah hadith yang panjang dari Abu Hurairah رضي الله عنه, di mana Malaikat Jibril عليه السلام bersoal jawab dengan Nabi ﷺ dan di sana ada menyebut mengenai maksud ihsan :-

مَا الْإِحْسَانُ ؟ قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab : Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah ‎ﷻ seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah ‎ﷻ melihat kamu” [Hadith Riwayat Bukhari #50, Muslim #9].

Kalau dapat terapkan dalam diri kita yang Allah ‎ﷻ sentiasa melihat kita, tentu kehidupan kita akan berbeza. Kita akan taqwa di mana-mana sahaja kerana Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja melihat kita.

Namun tentulah susah untuk mendapatkan perasaan ini. Jadi memang kena ada latihan. Di mana latihan kita?

Latihan kita di dalam salat. Iaitu kita kena ingat yang kita sedang menghadap Allah ‎ﷻ. Kita sedang bermunajat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan apa sahaja yang kita sedang lakukan dalam salat.

Namun ini pun susah. Ramai dari kita sedang salat, tetapi fikiran sampai ke Amerika. Macam-macam teringat. Waktu salat itu lah teringat barang yang tersilap letak, apa yang baru anak kita cakap pagi tadi, kerja yang tidak siap. Waktu lain tidak teringat pula.

Jadi entah berapa peratus sahaja dalam salat itu kita sedar yang kita berhadapan dengan Allah ‎ﷻ. Maka kita kena latih diri kita untuk tarik balik perhatian kita kepada salat. Fikiran lari sahaja, panggil balik, panggil balik.

Ini dapat dicapai dengan kita memahami apa yang kita sedang lafazkan di dalam salat. Maka kerana itulah penting kita faham kalimah-kalimah dalam salat. Ini dipanggil tafhim. Kita tahu apa yang kita sebut dalam salat kita. Dari mula takbir sampailah bagi salam. Ini kerana apabila kita sebut di mulut sahaja tanpa kalimah itu ada makna, maka fikiran kita akan menerawang ke tempat lain.

Kalau kita faham maksud Allahu Akbar pun sudah hebat kerana ia bermaksud ‘Allah ‎ﷻ lebih besar’. Allah ‎ﷻ lebih besar daripada keluarga kita, kerja kita, makanan kita, masalah kita dan apa-apa sahaja.

Malah merata-rata ada takbir ini dalam salat kita. Jadi kalimah takbir ini boleh menjadi “trigger” (pemicu) kita untuk kembalikan ingatan kita kepada salat. Kalau sedang salat dan fikiran kita teringat kerja, tiba-tiba kita takbir. Ingatkan kita: “Allah lebih besar dari kerja aku yang tertangguh itu”.

 

2. Ittiba’ Sunnah dalam perkataan dan perbuatan.

Amalan agama dan kehidupan mesti selari dengan Sunnah yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Jadi kena tahu apakah Sunnah bawaan Nabi Muhammad ﷺ. Ini memerlukan usaha untuk belajar. Maka kena belajar tafsir dan hadith-hadith Nabi ﷺ.

Juga kena selari amalan dengan perkataan. Melakukan apa yang dikatakan. Bukan hanya setakat cakap sahaja.

Malangnya, amalan sufi tarekat yang berada di dunia sekarang kebanyakannya tidak mementingkan sunnah yang sahih. Mereka reka amalan-amalan dan fahaman yang baru yang bukan datang daripada ajaran Nabi Muhammad ﷺ dan amalan para sahabat.

Salah satu perkara yang ditekankan dalam sufi adalah akhlak. Maka kena belajar apakah akhlak Nabi ﷺ.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-114 hingga Ke-117

0

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-114

Ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ yang ketiga. Ini adalah tentang mereka yang menghalang golongan Islam untuk menggunakan tempat ibadat untuk agama. Mereka yang dimaksudkan itu mungkin Yahudi ataupun Musyrikin Mekah sebab kedua-duanya boleh dipakai dalam konteks ayat ini.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَنَعَ مَساجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها ۚ أُولٰئِكَ ما كانَ لَهُم أَن يَدخُلوها إِلّا خائِفينَ ۚ لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

وَمَنْ أَظْلَمُ

Dan siapakah yang lebih zalim,

Apabila Allah ‎ﷻ sebut: “Siapakah yang lebih zalim?”, bermaksud tidak ada lagi yang lebih zalim daripada golongan yang akan disebutkan ini.

مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ

daripada orang yang melarang masjid-masjid Allah;

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah yang menghalang orang-orang Islam untuk menggunakan Masjidil Haram. Mereka telah melarang orang Islam daripada datang dan mengerjakan Umrah dan Haji. Mereka melarang para sahabat رضي الله عنهم daripada mendirikan salat di Kaabah.

Tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَسَاجِدَ dalam ayat ini, yang bermaksud ‘masjid-masjid’ (plural), menunjukkan ia bukan hanya digunakan untuk Masjidil Haram sahaja tetapi untuk masjid-masjid lain juga. Jadi, jikalau ada yang melarang masjid digunakan sebagai tempat yang sepatutnya ia digunakan, mereka juga adalah orang yang zalim.

Ia juga boleh digunakan untuk menyebut tentang rumah-rumah ibadat ahli Kitab juga kerana tempat ibadat mereka juga sepatutnya dinamakan masjid juga – tempat sujud – kerana mereka juga sepatutnya ada ibadat sujud juga. Cuma mereka sahaja yang meninggalkannya. Jangan lupa, kita masih lagi dalam bahagian dalam Surah Baqarah yang menyentuh juga perbuatan ahli-ahli Kitab terutama sekali Bani Israil. Jadi ayat ini ada juga bersangkutan dengan mereka.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَسَاجِدَ (masjid-masjid) di dalam ayat ini. Pada hal masjid bukanlah sesuatu yang bernyawa. Ini bermaksud, masjid-masjid itu dihalang daripada menjalankan apa yang sepatutnya dijalankan – iaitu mengingatkan manusia kembali kepada Allah ‎ﷻ.

Memang masjid-masjid kita sekarang ini ada yang memang menghalang guru-guru agama yang membawa ajaran sunnah daripada mengajar. Alasan mereka adalah ditakuti masyarakat akan berpecah belah setelah guru-guru agama sunnah itu mengajar.

Pada hal, apa yang hendak diajar oleh guru-guru itu adalah kebenaran. Kejadian zaman dahulu telah berulang kembali dalam masyarakat kita. Perbuatan yang sama dilakukan oleh Musyrikin Mekah dilakukan oleh AJK-AJK masjid juga rupanya.

أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ

untuk disebut nama Allah sahaja?;

Menyebut Nama Allah ‎ﷻ bermaksud menyebut tentang tauhid. Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang melarang manusia daripada memasuki masjid untuk menyebut nama Allah ‎ﷻ sahaja? Iaitu mengesakan nama Allah ‎ﷻ. Iaitu mengajar tauhid. Kenapa dilarang ajaran tauhid yang sebenar daripada diajar kepada masyarakat?

Oleh kerana ajaran tauhid telah jauh daripada masyarakat sekarang, maka apabila ada guru yang mengajar tentang tauhid – hanya menyembah Allah ‎ﷻ sahaja; hanya berzikir menyebut nama Allah ‎ﷻ sahaja – bukan nama ilah-ilah yang lain, masyarakat melihat guru itu mengajar perkara yang asing.

Maka akan ada orang yang tidak suka kerana teguran guru itu akan terkena kepada mereka yang mengamalkan ajaran yang sesat – yang bukan tauhid.

Jadi mereka akan berusaha supaya guru itu tidak mengajar lagi di situ. Ini memang ada terjadi. Sudah berapa ramai guru agama yang tidak lagi dibenarkan mengajar di masjid-masjid kerana mereka mengajar tentang tauhid?

Kalau mengajar feqah seperti solat dan wudhu’, tidak ada masalah; tetapi kalau ajar ajaran tauhid kepada masyarakat awam, tentu akan ada masalah.

Ada mufassir yang menafsir ayat ini sebagai mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan menyebut nama Allah ‎ﷻ adalah: membaca Al-Qur’an.

Ini pun ada kebenarannya juga kerana pernah ada kejadian yang menghalang kelas tafsir daripada diajar kepada masyarakat dengan alasan bahawa pengajaran tafsir Al-Qur’an akan menyebabkan manusia berpecah belah.

Kita tidak tahulah apakah yang dimaksudkan dengan tafsir Al-Qur’an boleh memecah belahkan masyarakat. Mereka yang mengatakan seperti itu kena menjawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti oleh kerana halangan mereka itu. Mereka itu memang jelas termasuk dalam mereka yang dikatakan dalam ayat ini.

Ada mufassir yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Bani Israil telah dilarang daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ. Syaitan telah berjaya menghasut ahli agama mereka untuk melarang pengikut-pengikut mereka daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ.

Syaitan mengatakan bahawa nama Allah ‎ﷻ itu adalah terlalu suci untuk disebut secara terang. Maka pengikut-pengikut agama mereka tidak dibenarkan menyebutnya langsung.

Sampai sekarang, mereka sampai tidak tahu dengan tepat apakah nama Tuhan mereka sendiri. Sampaikan mereka terpaksa meminjam nama tuhan penduduk setempat. Begitulah yang terjadi apabila mereka di Malaysia. Telah kecoh bagaimana mereka memohon untuk menggunakan nama Allah ‎ﷻ sebagai nama Tuhan mereka.

Ini amat memalukan. Pada hal kita boleh tanya mereka: “Kenapa nak pakai nama Tuhan kami? Kenapa kamu tak pakai nama tuhan kamu sendiri?” Sebenarnya, mereka sendiri sudah tidak tahu nama Tuhan mereka. Mereka tidak tahu hendak sebut bagaimana nama Tuhan mereka. Ini kerana telah lama dahulu, mereka telah dihasut oleh Syaitan untuk tidak menyebut nama Tuhan. Maka, sampai sekarang, mereka sendiri tidak tahu nama Tuhan mereka.

Negara kita kecoh suatu waktu dahulu tentang hal ini. Ada golongan Kristian meminta supaya diberikan kebenaran untuk menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Ini sebenarnya memalukan mereka dan membuka kelemahan agama mereka.

Kita sepatutnya tanya mereka balik: “Kau tak tahu nama Tuhan kamu sendiri? Agama apakah kamu anut ini, nama Tuhan pun tidak tahu? Kucing di rumah kami pun ada nama, tapi nama Tuhan kamu, kamu tak tahu?”

Jadi ada banyak pendapat tentang apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini. Sebenarnya, semua pendapat ini boleh dipakai. Kehebatan Al-Qur’an adalah ia boleh digunakan dalam banyak keadaan.

وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا

Dan dia berusaha untuk merobohkan masjid itu?
Mereka berusaha untuk merosakkan amalan-amalan dalam masjid Allah ‎ﷻ. Mereka adalah orang yang berkuasa dalam mentadbir masjid. Jadi mereka mengawal aktiviti masjid.

Mereka tidak membenarkan masjid digunakan untuk perkara-perkara yang sepatutnya dan mereka telah merosakkan aktiviti-aktiviti di dalam masjid.

Ini juga kutukan kepada golongan Yahudi yang hendak merobohkan Baitul Maqdis.

Sekarang masjid pula digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Sampaikan pernah berlaku di Putrajaya, ahli masjid membenarkan majlis persandingan besar-besaran yang syirik itu dilakukan di dalam masjid! Kalau bersanding di luar pun sudah ada masalah tetapi dibenarkan masuk dalam masjid! Memang sudah teruk akidah masyarakat kita.

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti ini,

Mereka yang bersifat seperti yang telah disebut sebelum ini.

مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا

tidaklah ada bagi mereka itu berpeluang untuk masuk ke dalam masjid

Mereka itu tidak sepatutnya dibenarkan masuk Masjidil Haram; mereka itu tidak sepatutnya senang hati sahaja masuk ke dalam masjid Allah ‎ﷻ dan melakukan perkara yang jauh daripada amalan agama Islam yang benar.

إِلَّا خَائِفِينَ

melainkan dalam keadaan takut sahaja;

Orang-orang yang menghalang itu sepatutnya tidak layak untuk memasuki masjid Allah ‎ﷻ. Mereka sepatutnya tidak layak memasuki masjid-masjid Allah ‎ﷻ melainkan dengan rasa takut kepada azab Allah ‎ﷻ. Ayat ini akan dihuraikan dengan panjang lebar lagi dalam Surah Taubah.

Semasa Musyrikin Mekah mengawal Kaabah dan Masjidil Haram, mereka tidak membenarkan orang-orang Islam untuk datang beribadat. Allah ‎ﷻ hendak kata di dalam ayat ini bahawa akan datang di masa hadapan nanti, mereka pula yang akan datang ke Masjidil Haram dalam ketakutan.

Ayat ini turun sebelum Pembukaan Mekah. Mereka menakutkan orang Islam untuk datang. Tetapi Allah ‎ﷻ menjanjikan di dalam ayat ini bahawa nanti keadaan akan jadi terbalik. Ini adalah salah satu ayat yang menyatakan tentang kemenangan yang akan diperolehi oleh orang Islam nanti.

Yang menarik juga adalah penggunaan kata خَائِفِينَ dalam ayat ini. Ada mufassir yang membandingkan rumah-rumah ibadat ahli Kitab sekarang. Rumah-rumah ibadat mereka kalau kita lihat sekarang adalah dalam suasana yang mengerikan. Ada patung binatang, patung makhluk yang bukan manusia atau binatang, tidak pasti apakah ia. Bukankah keadaan itu menakutkan? Padahal sepatutnya rumah ibadat kenalah dalam keadaan yang menenangkan, bukan menakutkan.

لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ

Bagi mereka di dunia ini satu kehinaan

Allah ‎ﷻ boleh berikan hukuman azab kepada mereka semasa di dunia lagi iaitu mereka mendapat kehinaan. Begitulah yang terjadi kepada para penentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah dihinakan dengan diberi kekalahan demi kekalahan di tangan umat Islam.

وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan bagi mereka di akhirat kelak azab yang amat besar;

Mereka bukan sahaja mendapat balasan di dunia tetapi di akhirat nanti mereka akan mendapat balasan yang lebih teruk lagi. Mereka akan kekal dalam neraka dan akan diberikan dengan azab yang menghinakan.

Tafsir Ayat Ke-115

Ini adalah kesinambungan daripada ayat sebelum ini. Sememangnya tempat yang paling sesuai untuk agama adalah masjid. Tetapi kalau masjid yang sesuai tidak boleh dimasuki, Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang boleh gunakan mana-mana tempat untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Boleh duduk di mana sahaja untuk beramal dan mengajar agama.

usyz azlizan, [22.07.19 13:37]
وَلِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ فَأَينَما تُوَلّوا فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ واسِعٌ عَليمٌ

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Milik Allah lah timur dan barat;

Maknanya, milik Allah ‎ﷻlah semua sekali alam ini. Bukan hanya timur dan barat sahaja.

Umat Islam yang ditindas di Mekah, mereka telah pergi meninggalkan Mekah dan Kaabah dan berhijrah ke Madinah. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa kepunyaan-Nya seluruh alam ini. Maka walaupun mereka telah meninggalkan Rumah Allah ‎ﷻ (Kaabah), mereka kena ingat bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan seluruh alam.

Mereka masih lagi kena menyembah Allah ‎ﷻ dan mendirikan masjid di tempat-tempat lain juga. Allah ‎ﷻ bukannya berada di Mekah/Kaabah itu. Jadi boleh sahaja menyembah Allah ‎ﷻ di tempat lain, di mana-mana sahaja.

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Maka di mana sahaja kamu hadap, di situlah wajah Allah;

Ada keadaan, kita tidak dapat hendak menentukan arah kiblat dengan tepat. Contohnya, kita pergi ke satu tempat yang gelap, tidak tahu di mana arah kiblat, maka kita pilih sahaja satu arah untuk dihadapi dalam salat, kerana di mana sahaja kita hadap, kita sebenarnya menghadap Allah ‎ﷻ. Asalkan kita telah berusaha untuk mencari arah kiblat.

Kerana itulah ada di dalam hadith disebut yang Nabi Muhammad ﷺ mengerjakan salat sunat di atas kenderaan sahaja (unta). Hanya apabila waktu Salat Fardhu barulah baginda berhenti dan salat di atas tanah.

Kalimah وَجْهُ اللَّهِ bermaksud ‘wajah Allah ‎ﷻ’ – boleh juga ditafsirkan ‘keredhaan Allah ‎ﷻ’. Kita mencari keredhaan Allah ‎ﷻ di mana sahaja kita berada. Arah mana kita menghadap tidak penting. Yang penting adalah niat kita.

Ada hujah dari golongan Hindu terutamanya yang mengatakan kita umat Islam pun menyembah batu (Hajarul Aswad). Mereka kata kita menyembah berhala juga macam mereka, jadi tidak perlulah hendak kutuk mereka. Kita kena sedar bahawa kita tidak menyembah Hajarul Aswad itu. Pernah Hajarul Aswad dicuri selama beberapa tahun, namun umat Islam tetap salat menghadap arah Kaabah juga.

Ini adalah kerana bukan Kaabah itu yang utama dalam salat. Kalaulah Kaabah itu dibom, kita masih mengadap arah itu juga. Ini adalah kerana untuk salat, mesti ada satu arah dan Allah ‎ﷻ telah tentukan yang arah yang dihadap adalah Kaabah. Kalau tidak ada satu arah, bagaimana hendak salat berjemaah? Tentu ada yang menghadap ke kiri dan ada yang menghadap ke kanan pula.

Ini adalah ayat permulaan kepada penukaran arah kiblat, kerana selepas ini akan ada ayat tentang penukaran arah kiblat ke Kaabah dari Baitul Maqdis. Waktu ayat ini diturunkan, umat Islam salat mengadap ke Baitul Maqdis. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah mula berikan isyarat yang arah itu tidak penting sangat.

إِنَّ اللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bahawasanya Allah taala itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.

Amat luas pemilikan Allah ‎ﷻ. Ilmu Allah ‎ﷻ amat luas. Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang berlaku.

Allah ‎ﷻ juga maha mengetahui luar dan dalam. Allah ‎ﷻ mengetahui apa niat dalam hati kita.

Tafsir Ayat Ke-116

Ini adalah rungutan keempat Allah ‎ﷻ ke atas sifat degil manusia. Sudahlah tidak mengamalkan tauhid, kemudian melarang tauhid daripada diamalkan dan melawan penyebar tauhid, sekarang mereka kata Allah‎ ﷻ pula ada wakil.

Ini adalah kata-kata yang amat berat. Mereka kata Allah ‎ﷻ ada anak. Ini kerana mereka hendak seru anak Allah ‎ﷻ yang dijadikan wakil itu. ‘Anak’ dalam ayat ini maksudnya ‘wakil’ atau naib.

وَقالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبحانَهُ ۖ بَل لَهُ ما فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ ۖ كُلٌّ لَهُ قانِتونَ

Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya.

وَقَالُوا

Dan mereka kata;

Yang berkata itu adalah orang Yahudi, Nasrani dan juga puak Musyrikin Mekah. Mereka berkata itu dalam keadaan menghina Allah ‎ﷻ.

اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا

Allah mengambil anak;

Lafaz ‘anak’ di sini maksudnya adalah ‘anak angkat’. Maksudnya mereka bertawassul kepada sesiapa yang mereka anggap sebagai ‘anak angkat Allah ‎ﷻ’. Iaitu mereka bertawassul kepada Nabi-Nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Mereka hendak kata bahawa apabila kita berdoa, nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat itu yang akan menyampaikan doa itu kepada Allah ‎ﷻ.

Yahudi kata Nabi Uzair عليه السلام adalah anak Allah ‎ﷻ.

Nasrani kata Nabi Isa عليه السلام adalah anak Allah ‎ﷻ.

Orang Musyrikin kata malaikat-malaikat adalah anak perempuan Allah ‎ﷻ.

سُبْحَانَهُ

Maha suci Allah;

Allah ‎ﷻ suci daripada memiliki persamaan atau memerlukan wakil dalam penyembahan. Allah ‎ﷻ tidak layak mempunyai anak.

Perkataan سُبْحَانَ berasal dari perkataan ‘berenang’. Iaitu berenang dengan kepala di atas air, kepala tidak tenggelam ke dalam. Bermaksud kita meninggikan Allah ‎ﷻ daripada kata-kata manusia yang mengatakan tentang Allah ‎ﷻ dengan kata-kata yang tidak benar. Oleh itu, apabila orang berkata yang salah tentang Allah ‎ﷻ, kita kena kata Subhanallah. Kita menidakkan kata-kata mereka itu. Maksudnya, kita kata Allah‎ﷻ tidak begitu.

Bukankah kalau berenang, kita berseorangan sahaja? Ini juga isyarat bahawa kadang-kadang kita sahaja yang terima Islam yang benar. Nabi-nabi selalunya berseorangan dalam menyampaikan dakwah mereka. Macam Nabi Ibrahim عليه السلام, baginda seorang sahaja yang beriman asalnya.

Ini seperti juga para sahabat Nabi di Mekah, selalunya mereka seorang sahaja yang menerima Islam dalam keluarga mereka. Berapa ramai juga orang yang lahir dalam keluarga kafir, tetapi dia seorang sahaja yang masuk Islam. Kalau dalam zaman sekarang, mungkin kita seorang sahaja dalam keluarga kita yang mengamalkan Sunnah.

Begitulah lumrah alam. Kadang-kadang kita berseorangan sahaja mengamalkan Islam yang sunnah. Ini tidak menjadi masalah kerana ini adalah sunnatullah. Ia berlaku semenjak zaman berzaman.

بَلْ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Bahkan sebenarnya milik-Nya sahaja apa sahaja yang di langit dan bumi;

Segala ada dalam alam ini adalah dimiliki oleh Allah ‎ﷻ. Ini kerana Dia yang mencipta alam ini, maka Dia sahajalah yang layak menguasainya. Maka tidak ada ilah selain daripada Allah ‎ﷻ, tidak ada tuhan selain daripada Allah ‎ﷻ. Bayangkan, kalau Allah ‎ﷻ mempunyai anak, tentulah anak itu ada kawasannya pula.

Maksudnya, kalau Allah ‎ﷻ ada anak, maka Allah ‎ﷻ berkongsi pula dengan anak-Nya dalam memerintah alam ini (ada kawasan ayah dan ada kawasan anak-anak pula). Tentulah tidak begitu. Semua alam ini milik Allah ‎ﷻ sahaja.

كُلٌّ لَهُ قَانِتُونَ

Semua sekali makhluk-makhluk ini kepada Allah jua mereka tunduk patuh.

Semua makhluk tunduk patuh kepada Allah ‎ﷻ belaka. Oleh itu, tidak ada yang menjadi wakil Allah ‎ﷻ. Tidak ada yang berkongsi pemilikan dan pentadbiran alam ini dengan Allah ‎ﷻ.

Selain Allah ‎ﷻ semuanya adalah makhluk belaka dan semuanya tunduk kepada Allah ‎ﷻ dan menyahut arahan daripada Allah ‎ﷻ dengan taat. Maka kenapa kita tidak tunduk hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja sedangkan semua yang lain tunduk patuh hanya kepada Allah ‎ﷻ? Kenapa kita tidak terima ayat-ayat Allah ‎ﷻ kepada kita?

Bagaimana hendak kata semua sekali patuh kepada Allah ‎ﷻ? Bagaimana pula dengan orang kafir yang tidak menurut perintah Allah ‎ﷻ? Walaupun orang kafir tidak menurut perintah Allah ‎ﷻ tetapi tubuh badannya tetap menurut perintah Allah ‎ﷻ. Bernafas, bergerak dan sebagainya.

Tafsir Ayat Ke-117

Allah ‎ﷻ terus menerangkan tentang Diri-Nya.

بَديعُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۖ وَإِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.

بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dialah yang mencipta langit dan bumi;

Kalimah بَدِيعُ itu bermaksud mencipta sesuatu daripada tiada kepada ada. Allah ‎ﷻ mencipta alam ini tanpa ada contoh daripada alam lain. Maksudnya Allah ‎ﷻ tidak tiru daripada mana-mana alam lain. Dari kata dasar yang sama juga menjadi kalimah ‘bid’ah’ yang kita selalu dengar itu. Ini kerana bid’ah bermaksud mencipta amalan yang tidak ada contoh daripada Nabi.

Maka Allah ‎ﷻ mencipta alam ini dengan tidak ada contoh. Tidaklah Allah ‎ﷻ meniru alam ini daripada alam-alam yang lain. Kadang-kadang kita pun ada mencipta juga. Tetapi ciptaan kita adalah daripada bahan-bahan yang sudah ada dan kita bukannya mencipta benda yang baru. Ini kerana kita hanya mengubah atau menambahbaik daripada sesuatu yang sudah ada. Kalau kita cipta kapal terbang, kita hanya mengikut contoh burung yang Allah ‎ﷻ ciptakan.

Tetapi Allah ‎ﷻ mencipta alam ini daripada tiada kepada ada, dan tidak ada contoh pun sebelumnya. Allah ‎ﷻ beritahu perkara ini kerana hendak memberitahu kita tentang kehebatan-Nya.

وَإِذَا قَضَىٰ أَمْرًا

Dan apabila Allah membuat keputusan untuk membuat sesuatu;

Allah ‎ﷻ juga ada kehendak. Salah satu kehendak Allah ‎ﷻ adalah untuk menjadikan sesuatu. Iaitu kehendak mencipta. Tetapi cara Allah ‎ﷻ mencipta, tidaklah sama dengan kita. Kalau kita hendak buat sesuatu, banyak perkara yang kita kena lakukan.

فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

maka dia hanya perlu kata ‘jadi’, maka jadilah;

Apabila Allah ‎ﷻ berkehendak untuk membuat sesuatu, maka sudah terjadi. Tidak perlu kata ‘kun’ pun sebenarnya. Allah ‎ﷻ sebut tentang kalimah كن itu kerana hendak menunjukkan cepatnya qudrat Allah ‎ﷻ.

Pemahaman كُنْ فَيَكُونُ sepatutnya difahami oleh orang Nasrani. Ini kerana Nabi Isa عليه السلام dijadikan begitu juga. Mereka pun tahu yang Nabi Isa عليه السلام dijadikan tanpa ayah. Kalau Nabi Adam عليه السلام, semua tahu baginda dijadikan tanpa ibu dan ayah. Maka tentulah kejadian baginda seperti كُنْ فَيَكُونُ ini juga.

Allahu a’lam. 

BAB 5: Siri Pemurnian 60 Bid’ah di Nusantara – Berterusan Membaca Qunut Subuh

0

BAB 5: Berterusan Membaca Qunut Subuh

Kita menerima hakikat bahawa isu membaca doa qunut semasa salat Subuh yang dibaca selama-lamanya atau secara kekal masih ditahap khilaf kerana menghormati pendapat mazhab yang besar dalam Islam, iaitu mazhab Imam as-Syafi’iy رحمه الله yang mana telah menjadi mazhab rasmi di nusantara. 

Akan tetapi jika kita ingin pergi ke peringkat yang lebih tinggi, kita kena mengkaji pendapat yang mengatakan bahawa amalan berterusan membaca qunut adalah bid’ah. Dikatakan bid’ah bukanlah kepada amalan membaca doa qunut itu, tetapi bid’ah kepada cara perlaksanaannya, yakni berterusan membaca doa qunut Subuh selama-lamanya atau secara berterusan.

Hukum asalnya adalah bid’ah jika membaca qunut secara berterusan pada salat Subuh bersandarkan kepada dalil di bawah:

402 حدثنا أحمد بن منيع حدثنا يزيد بن هارون عن أبي مالك الأشجعي قال قلت لأبي يا أبة إنك قد صليت خلف رسول الله صلى الله عليه وسلم وأبي بكر وعمر وعثمان وعلي بن أبي طالب ها هنا بالكوفة نحوا من خمس سنين أكانوا يقنتون قال أي بني محدث قال أبو عيسى هذا حديث حسن صحيح والعمل عليه عند أكثر أهل العلم 

Terjemahan:

Daripada Abu Malik al-Asyja’iy (Sa’d bin Thariq al-Asyja’i), dia mengatakan, “Aku bertanya kepada ayahku (Thariq bin Ashim al-Asyja’iy), 

“Saya bertanya kepada ayahku: “Wahai ayahku, engkau salat di belakang Rasulullah  dan di belakang Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali رضي الله عنهم di sini dan di Kufah selama 5 tahun, apakah mereka semua melakukan qunut pada salat subuh?”. Maka dia menjawab : “Wahai anakku hal tersebut (qunut subuh) adalah perkara baru (bid’ah)”. Dikeluarkan oleh Sunan at-Tirmidzi no.402, An-Nasa`i no.1080, Al-Kubro no.667, Ibnu Majah no.1242, Ahmad 3/472 dan 6/394, Ath-Thoyalisi no.1328, Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushonnaf 2/101 no.6961, Ath-Thohawy 1/249, Ath-Thobarany no.8177-8179, Ibnu Hibban sebagaimana dalam Al-Ihsan no.1989, Al-Baihaqy 2/213, Al-Maqdasy dalam Al-Mukhtarah 8/97-98, Ibnul Jauzy dalam At-Tahqiq no.677-678 dan Al-Mizzy dalam Tahdzibul Kamal dan disahihkan oleh Al-Albany dalam Irwa`ul Gholil no.435 dan Syeikh Muqbil dalam Ash-Sohih Al-Musnad Mimma Laisa fi Ash-Shohihain.

Maka kalimah “Muhdath” atau baru atau bid’ah adalah berasal daripada perkataan sahabat Nabi ﷺ, Tariq bin Ashim yang telah salat di belakang 5 tonggak golongan salaf, iaitu Nabi dan 4 khalifah ar-Rasyidin رضي الله عنهم.

Allahu a’lam.

TBK 10.1.18 al Masih al Dajjal

0

TBK 10.1 al Masih al Dajjal.

10.1.18 Langkah-langkah menyelamatkan diri daripada fitnah al Dajjal.
طرق النجاة من فتنة الدجال
Ada 10 Langkah:

Langkah pertama :
Elakkan bertemu dengan Dajjal.
البعد عن لقائه

Dalil hadith 1:
Dari Imran bin Hushain رضي الله عنه,

عن عمران بن حصين رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم :<<من سمع بالدجال فلينأ عنه فوالله إن الرجل ليأتيه وهو يحسب أنه مؤمن فيتبعه مما يبعث به من الشبهات (رواه احمد وأبو داود في السنن والحاكم في المستدرك وصححه على شرط مسلم وصححه الألباني في صحيح أبي داود)

Terjemahan:
“Siapa yang mendengar keberadaan Dajjal‌‎ hendaknya dia menjauh darinya sungguh demi Allah seseorang mendatanginya dalam keadaan dia mengira bahawasanya dia itu beriman akhirnya dia malah mengikutinya disebabkan apa yang dia (Dajjal) bangkitkan dari syubhat-syubhat.”
(HR. Ahmad, Abu Daud, dan al Hakim, disahihkannya, disahihkan oleh al Albani dalam sahih Abu Daud dan Syaikh Muqbil, dalam sahih al Musnad.)

Menurut Syaikh Muqbil, hatta majlis ilmu ahli bid’ah pun mesti dijauhi, kerana dikhuatiri akan terpengaruh dengan fitnah ahli bid’ah. Maka, apatah lagi Dajjal, semestinya dijauhi sedaya mungkin dari menghampirinya.

Dalil hadith 2:
Dari Ummu Syarik رضي الله عنه,

وعن أم شريك – رضي الله عنها – أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:<<ليفرن الناس من الدجال في الجبال>

Takhrij hadith:

2945 حدثني هارون بن عبد الله حدثنا حجاج بن محمد قال قال ابن جريج حدثني أبو الزبير أنه سمع جابر بن عبد الله يقول أخبرتني أم شريك أنها سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول ليفرن الناس من الدجال في الجبال
Terjemahan:
“Sesungguhnya manusia melarikan diri dari Dajjal atau pendusta besar sehingga ke bukit bukau”
(HR Muslim no 2945)

Inilah sikap yang benar ke atas orang mukmin. Sekiranya muncul Dajjal, lebih baik lari ke pergunungan dari menghampirinya.


Langkah kedua:
Meminta Istighaathah (pertolongan dari Allah ﷻ)
الاستغاثة بالله:

الدعاء و الاستغاثة بالله
عن أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه سلم قال:<< فمن ابتلي بناره فليستغث بالله > (رواه ابن ماجة في السنن وفي سنده مقال)

Dengan cara berdoa dan meminta pertolongan dari Allah ﷻ.

Dalil hadith:
“Barangsiapa mendapatkan cubaan dengan nerakanya, hendaklah ia berlindung kepada Allah”.
(HR Ibnu Majah di dalam sunannya, sanadnya diperbincangkan oleh muhaddithin)

Status hadith:

رواه ابن ماجة والترمذي والحاكم بإسناد صحيح، صحيح الجامع: (6/674) ، ورقمه (7752)
Disahihkan oleh Syaikh al Albani di dalam Sahih al Jaami’ no 7752.

Syarah:
Ia bermula dengan hadith Muslim.

Dari Hudzaifah Ibnul Yaman رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

مَعَهُ جَنَّةٌ وَنَارٌ فَنَارُهُ جَنَّةٌ وَجَنَّتُهُ نَارٌ
Terjemahan:
“Bersama Dajjal itu ada syurga dan neraka. Neraka Dajjal adalah syurga dan syurga Dajjal adalah neraka.”
(HR Muslim no 7551)

Ulasan:
Maka, sesiapa yang terkena dengan neraka yang dibawa Dajjal hendaklah segera meminta pertolongan dari Allah ﷻ dan berdoa.


Langkah ketiga:
Makrifat tauhid asma’ wa sifaat.
معرفة أسماء الله وصفاته

لأن الدجال أعور والله عز وجل ليس بأعور ,بل هو جميل منزة عن العيوب والنقائص قدوس متنزة عن العيوب:( ليس كمثله شئ وهو السميع البصير)

Terjemahan:
Menurut Dr al Areefi, si Dajjal itu buta sebelah matanya sedangkan Allah ﷻ tidak demikian, bahkan Dia indah dan jauh sekali dari sifat aib dan tercela. Maha suci yang terhindar dari aib.
Firman Allah ﷻ, “Tiada sesuatu yang semisal dengan Dia, Dia-lah yang Maha mendengar lagi Maha Melihat”
(asy Syura: ayat 11)

Syarah:
Pentingnya aqidah dan manhaj yang kukuh di akhir zaman untuk menghadapi Dajjal dan tenteranya. Maka, pastikan anda terus menerus mempelajari aqidah salaf, iaitu aqidah yang dijamin dapat menghadapi apa jua fitnah.

Dalil hadith:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِيْنَ عَلَى مَنْ نَاوَأَهُمْ حَتَّى يُقَاتِلَ آخِرُهُمْ الْمَسِيْحَ الدَّجَّالَ

Terjemahan:
“Akan senantiasa ada sekelompok dari umatku yang berjuang di atas kebenaran, mereka menang melawan orang yang menghadang mereka sehingga akhir dari mereka perang melawan Dajjal.
(Syaikh al Albani رحمه الله‎ , Silsilah al Sahihah, no 1959)


Langkah ke-4:
Membaca 10 ayat pertama surah al Kahfi
(قراءة فواتح سورة الكهف وهي العشر الآيات الأولى)

Dalil hadith:
Dari Abu Darda’, bahawa Nabi ﷺ bersabda,

عن أبي الدرداء رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Terjemahan:
“Barangsiapa menghafal 10 ayat pertama dari surat Al Kahfi, maka ia akan terlindungi dari (fitnah) Dajjal”
(HR. Muslim no. 809).

Dalil hadith:
Dari An Nawas bin Sam’an, bahawa Nabi ﷺ bersabda,

عن نواس ين سمعان رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:فَمَنْ أَدْرَكَهُ مِنْكُمْ فَلْيَقْرَأْ عَلَيْهِ فَوَاتِحَ سُورَةِ الْكَهْفِ

Terjemahan:
“Barangsiapa di antara kalian mendapati zamannya Dajjal, bacalah awal-awal surat Al Kahfi”
(HR. Muslim no. 2937)

Untuk mengetahui rahsia mengapa 10 ayat ini menjadi benteng atau perisai daripada al Dajjal, kita akan tafsirkannya secara ringkas pada siri seterusnya nanti.


Langkah ke 5:
Sentiasa membaca keseluruhan surah al Kahfi (قراءة سورة الكهف كاملة)

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه أن النبي صلىالله عليه وسلم قال:<<من قرأ سورة الكهف كما أنزلت ثم أدرك الدجال لم يسلط عليه أو لم يكن له عليه سبيل>

Takhrij hadith:

رواه الحاكم وقال صحيح على شرط مسلم وصححه الألباني في السلسلة الصحيحة برقم (2651)

Terjemahan:
“Barangsiapa yang membaca surah al kahfi seperti mana ia diturunkan kemudian dia bertemu Dajjal, tidaklah Dajjal dapat menguasainya atau tidak menemui jalan untuk menyesatkannya:
(HR al Hakim, disahihkan olehnya, dan disahihkan oleh Syaikh al Albani)


Langkah ke-6:
Berlindung di salah satu kota suci, al Haramain al Syarifain dan menetap di sana sampai Dajjal musnah.
اللجوء إلى أحد الحرمين الشريفين والاعتصام به: لأن الدجال لا يدخل مكة ولا المدينة

Dalil hadith:

عن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (ليس من بلد إلا سيطؤه الدجال، إلا مكة والمدينة، ليس له من نقابها نقب إلا عليه الملائكة صافين يحرسونها، ثم ترجف المدينة بأهلها ثلاث رجفات، فيخرج الله كل كافر ومنافق).

Dari Anas bin Malik رضي الله عنه , dari Nabi ﷺ , beliau ﷺ bersabda :
”Tidak ada satu negeri atau kota pun nanti yang tidak dimasuki Dajjal, kecuali Mekah dan Madinah. Setiap jalan masuk kedua kota tersebut dijaga oleh para Malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan menggoncang penghuninya tiga kali goncangan, sehingga semua orang kafir dan munafik keluar dari tempat itu.”
(HR. Al-Bukhari no. 1881 dan Muslim no. 2943)


Langkah ke-7:
Isti’adzah atau berlindung dari fitnah Dajjal di akhir Salat.(الاستعاذة من فتنة الدجال في آخر الصلاة)

وذلك في التشهد قبل السلام وذلك بأن تقول :[ اللهم إني أعوذ بك من عذاب النار ومن عذاب القير ومن فتنة المحيا والممات(*) ومن فتنة المسيح الدجال] متفق عليه

Terjemahan:
Isti’adzah itu dilakukan tepatnya pada selepas tasyahhud akhir sebelum salam dengan bacaan: “Ya Allah, aku memohon perlindungan kepada-Mu dari azab neraka, dari azab kubur, dan dari fitnah hidup dan sesudah mati serta dari fitnah Al Masih Ad Dajjal.”
Muttafaq alaih
(Bukhari Muslim)

Fitnah al Mahya wal Mamat = (ومعنى (فتنة المحيا) ما يعرض للإنسان مدة حياته من الافتتان بالدنيا وشهواتها أو الابتلاء مع زوال الصبر
(وفتنة الممات) أي ما يفتن به عند الموت أو المراد فتنة القبر أي سؤال الملكين والمراد من شر السؤال والعذاب الذي يقع في القبر)

Kata Dr al Areefi, maksud fitnah dunia ialah kegawatan dunia (politik, sosial, ekonomi), syahwat dan malapetaka yang menghakis kesabaran mereka. Maksud fitnah menjelang kematian (bencana, gerak gempa, wabak penyakit, peperangan) dan cubaan di alam kubur, soal jawab mungkar nakir dan azab di dalamnya.


Langkah ke-8:
Terus menyebarkan kepada manusia akan bahaya Dajjal
(تبيين أمر الدجال للناس للوقاية من)

Dalil hadith:

عن الصعب بن جثامة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:<< لا يخرج الدجال حتى يذهل الناس عن ذكره (رواه عبد الله بن أحمد وصححه الهيثمي في مجمع الزوائد(7/646))

“Dajjal tidak akan keluar hinggalah orang-orang telah lalai menceritakan tentangnya dan imam-imam tidak menyebutnya lagi di atas mimbar-mimbar.”
Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Ahmad dalam “Zawa’idul Musnad” (4/71, no.16178)

Status hadith:
Sahih menurut al Haithami dan disetujui oleh Syaikh al Albani, Qisah al Dajjal mukasurat 30. Hadith ini dhaif menurut Syaikh al Arnauth.

SEBARKAN TENTANG DAJJAL !

Langkah ke-9:
Bersenjatakan Ilmu syar’iy atau fiqh yang sahih. (التسلح بالعلم الشرعي)

العلم الشرعي مع الإيمان بالله عز وجل سلاح في وجه كل فتنة ومن ذلك فتنة الدجال وقد ذكر النبي صلى الله عليه وسلم في قصة مواجهة شاب مؤمن بطل من أهل المدينة للدجال ما يبين لنا أهمية العلم بالإيمان في العصمة من الفتن.

Terjemahan:
Ilmu syar’iy (fiqh sahih) bersama beriman kepada Allah ﷻ merupakan senjata yang mampu menghadapi semua fitnah, antaranya fitnah Dajjal. Rasulullah ﷺ telah menceritakan tentang kisah pemuda yang beriman dan berilmu dari Madinah yang mampu berdepan dengan Dajjal. Perkara ini menunjukkan tentang kepentingan ilmu dan iman untuk menjadi benteng daripada segala fitnah.

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:<< يأتي الدجال وهو محرم عليه أن يدخل نقاب المدينة فينزل بعض السباخ(11) التي تلي المدينة فيخرج إليه يومئذ رجل هو خير الناس
* فيقول : أشهد أنك الدجال الذي حدثنا رسول الله حديثة
# فيقول الدجال للناس الذين معه: أرأيتم غن قتلت هذا وأحييته هل تشكون في الأمر؟
فيقولون :لا فيقتله ثم يحييه -وفي رواية :فيضربه بالسيف فيقطعه جزلتين رمية الغرض(12)- ثم يدعوه ,فيقبل (أي كالشاب) يتهلل وجهه يضحك
* فيقول-أي الشاب- :والله ما كنت فيك قط أشد بصيرة مني الآن>>

Dajjal akan datang sedangkan dia tidak dapat memasuki jalan-jalan dan lereng-lereng bukit di Madinah maka dia berhenti di kawasan tanah yang gersang(tiada tumbuhan) yang terletak berdekatan Madinah. Maka keluar pada hari itu seorang lelaki yang paling baik atau (keraguan rawi) antara manusia yang baik, lalu lelaki itu berkata kepada Dajjal: Aku bersaksi sesungguhnya engkau ini adalah Dajjal sebagaimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadithnya. Dajjal pun berkata: Apa pendapat kamu sekalian sekiranya aku mematikan yang ini kemudian aku menghidupkannya semula? Adakah kamu ragu-ragu tentang perkara itu? Orang-orang menjawab: Tidak. Maka Dajjal pun membunuhnya, kemudian menghidupkannya semula. Lalu lelaki itu berkata sebaik sahaja Dajjal menghidupkannya: Demi Allah ﷻ, aku lebih yakin tentang dirimu sekarang ini dari apa yang aku tahu sebelum ini. Lantas Dajjal pun ingin membunuh lelaki itu tetapi tidak berjaya.
Syarah, Ibnu Hajar ketika mensyarah hadith ini, ulama’ berselisih mengenai siapa pemuda Madinah yang dibunuh Dajjal. Pendapat Abu Ishak, Imam Muslim, dia adalah Khidir عليه السلام, manakala yang lain mengatakan dia adalah Imam Mahdi. Menurut Ibnu Hajar, semua dakwaan tersebut tanpa bukti. Maka, hendaklah dibiarkan kepada makna asal, seorang pemuda yang tidak dikenal pasti identitinya.


Langkah ke-10.
mempersiapkan perbekalan untuk memerangi Dajjal sebagaimana yang dilakukan orang mukmin pada zaman munculnya Dajjal.
(إعداد العدة لحربه كما سيفعل المؤمنون في ذلك الزمان)

Dalil hadith:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:<<فبينما هم (أي المسلمون) يعدون للقتال يسوون الصفوف إذ أقيمت الصلاة فينزل عيسى ابن مريم…(الحديث طويل رواه مسلم في كتاب الفتن (2897) عن أبي هريرة )

Terjemahan:
Ketika mereka sedang mempersiapkan diri untuk berperang dan merapikan barisan, tiba-tiba datang waktu salat. Pada saat itulah Nabi Isa bin Maryam عليه السلام turun dan memimpin mereka.
(Muslim no. 2897, kitab fitnah dari perawi akhir Abi Hurairah رضي الله عنه)


Dalil hadith,
Dari Huzaifah bin Asid رضي الله عنه:

وعن حذيفة بن أسيد رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال عن خروج الدجال وإعداد المهدي وأصحابه لقتاله:<<حتى يأتي المدينة فيغلب على خارجها ويمنع داخلها ثم يأتي جبل إيلياء(بيت المقدس)فيحاصر عصابة من المسلمين ويلقى المؤمنون شدة شديدة.فيقول لهم الذين عليهم ما تنتظرون بهذا الطاغية أن تقاتلوه حتى تلحقوا بالله أو يفتح لكم فيأتمرون ان يقاتلوه إذا أصبحوا فيصبحون ومعهم عيسى بن مريم.

Terjemahan:
“Rasulullah ﷺ berbicara tentang keluarnya Dajjal serta persiapan al-Mahdi dan sahabatnya dalam memerangi Dajjal, akhirnya Dajjal mendatangi Madinah, menghalang orang yang ingin keluar darinya, dan menghalangi orang yang akan masuk ke dalamnya. Kemudian ia mendatangi pergunungan Ilia (al Quds), lalu mengepung sekelompok kaum muslimin. Di antara mereka ada yang berkata: ‘Apa yang kalian tunggu si pembuat kezaliman ini (Dajjal)? Hendaklah kalian membunuhnya hingga kalian bertemu Allah ﷻ(mati syahid) atau Allah ﷻ memberikan kemenangan kepada kalian. Setelah itu mereka bersumpah untuk membunuh Dajjal di waktu pagi. Setibanya waktu pagi dan bersama mereka Nabi Isa bin Maryam عليه السلام, akhirnya dapat membunuh Dajjal”
(Hadith ini sahih, dikeluarkan juga oleh Abdurrazzaq dalam Al-Mushannaf (no. 20827), disahihkan oleh Imam Al-Hakim dan disetujui oleh Az-Zahabi dalam Ta’liq Al-Mustadrak (4:574) juga Syaikh Al-Albani dalam Qisah Masih al-Dajjal muka surat 106)

Fiqh hadith:
Di zaman Dajjal, umat Islam hendaklah ada persiapan peperangan, mengetahui sedikit sebanyak hal peperangan dan persenjataan.


Langkah ke-11 (tambahan):
Tindakan yang harus dilakukan jika bertemu Dajjal.
(ومما يفعله المسلم عند لقاء الدجال)

Ditakdirkan anda atau anak cucu anda, hidup dan sampai ke zaman Dajjal dan terserempak dengan Dajjal, maka apa yang harus dilakukan?

Dalil hadith:
Hadith Abu Umamah رضي الله عنه,

ماجاء عن أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:<<..وإنه مكتوب بين عينيه كافر يقرؤه كل مؤمن ,فمن لقيه منكم فليتفل في وجهه وليقرأفواتح سورة أصحاب الكهف وإنه يسلط على نفس من بني آدم فيقتلها ثم يحييها> (أخرجه الحاكم وقال صحيح على شرط مسلم)

Terjemahan:
“Di antara kedua-dua matanya terdapat tulisan kafir, dapat dibaca oleh setiap mukmin. Barangsiapa yang ketemu dengannya hendaklah meludahi mukanya dan bacalah (sepuluh ayat) awal surah Al-Kahfi, dan sungguh Dajjal akan dapati seorang anak Adam عليه السلام lalu membunuhnya dan kemudian menghidupkannya .”
(Al-Hakim, dia berkata sahih atas syarat Muslim).

@tanda2kiamat

Talbis Iblis: Konsep Wali Akidah Sufi

0

Talbis Iblis: Konsep Wali Akidah Sufi

Begitulah akidah Sufi yang keliru dengan para wali. Memang konsep wali ada dalam Islam, tetapi mereka telah reka fahaman-fahaman yang melampau tentang wali ini. Ini adalah kerana telah diajar dan didoktrin oleh guru mereka untuk hormat terlebih kepada wali.

Sedangkan wali itu kita tidak tahu siapa mereka. Tidaklah ada majlis perlantikan wali. Kalau ada, bolehlah kita tahu memang seseorang itu wali. Namun yang menjadi pegangan mereka, ada orang-orang tertentu itu wali itu dan ini. Sedangkan tidak pasti pun. Siapa kita hendak menentukan siapa wali?

Mereka sampai mereka-reka aqidah ada penutup wali seperti juga penutup para Nabi.

Malah mereka meletakkan kehebatan yang terlalu berlebihan kepada para wali itu.

Sampaikan orang gila pun mereka boleh sangka wali. Mereka kata: “Eh jangan kutuk orang itu..entah-entah dia wali, mana kita tahu?”

Memang kita tidak tahu siapakah wali Allah ‎ﷻ. Tidak ada majlis perlantikan, dan ia terus menjadi rahsia Allah ‎ﷻ. Namun yang mereka selalu menggunakan sebagai tanda wali adalah mimpi. Memang golongan sufi itu suka pakai mimpi. Ada yang mimpi dilantik menjadi wali, ada yang mimpi si anu dan si ini menjadi wali.

Ada yang selamba mengaku sebagai wali pun ada. Salah seorang guru tarekat saya dahulu, mengaku sebagai Sultanul Aulia’ (Ketua Wali).

Kemudian apabila sudah ditentukan sebagai ‘wali’, mereka akan terus pakai sahaja kata-kata ‘wali’ itu tanpa usul periksa.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-111 hingga Ke-113

0

Tafsir Surat al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-111

Yahudi kata Islam itu sia-sia dan penganutnya tidak akan masuk syurga.

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصارىٰ ۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهانَكُم إِن كُنتُم صادِقينَ

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ

Dan mereka berkata: Tidak akan masuk syurga;

Kepada Ahli Kitab, Islam adalah agama yang sesat, jadi Muslim tidak akan masuk syurga. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan orang Islam sebenarnya menyembah Tuhan Bulan. Pernah keluar dalam makalah dakwah mereka tentang “Moon God” ini.

Malah sekarang, ada di kalangan mereka yang mengatakan kita menyembah syaitan. Apa-apa pun, pada mereka, orang Islam akan masuk neraka. Mereka tidak akan mengiktiraf agama Islam.

إِلَّا مَنْ كَانَ هُودً

melainkan sesiapa yang dari agama Yahudi

Bagi Yahudi, yang akan masuk syurga hanyalah orang yang beragama Yahudi sahaja.

أَوْ نَصَارَىٰ

atau agama Nasrani;

Bagi Nasrani pula, tentu mereka kata yang akan masuk syurga hanya Nasara sahaja. Mereka kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga. Yahudi kata yahudi sahaja yang masuk syurga. Nasrani pula kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga.

Atau ia juga boleh bermaksud mereka mengatakan yang akan masuk syurga hanyalah Yahudi atau Nasrani. Memang mereka tidak sebulu (Yahudi kata Nasrani tidak benar dan Nasrani pula kata Yahudi tidak benar) – ini kita akan belajar dalam ayat ke-113 nanti. Namun, apabila kedua-dua mereka menghadapi Islam, mereka boleh pula berkata yang masuk syurga adalah sama ada Yahudi atau Nasrani, tetapi Muslim tidak akan masuk syurga.

Ini cara mereka hendak melemahkan akidah orang Islam. Yahudi kata syurga itu hanya untuk Yahudi dan Nasara kata syurga itu hanya untuk Nasara. Mereka cakap begitu kerana hendak melemahkan umat Islam. Mereka beri macam-macam hujah dan dengan cara inilah, ramai umat Islam yang murtad. Mereka cakap dengan berbagai-bagai cara penipuan mereka dalam dakwah sampaikan ramai umat Islam tertipu dengan dakwah mereka. Terutama mereka yang tidak mendalami agama sendiri.

Tetapi, ada kalangan kita tidak berani hendak kata bahawa orang Yahudi dan Kristian itu akan masuk neraka sebab kita takut kita dikatakan jumud pula. Maka, macam-macam cara kita cuba beri sebagai dalil ada kebarangkalian mereka masuk syurga juga.

Padahal, kepada ahli agama mereka, senang sahaja mereka mengatakan orang Islam akan masuk neraka. Ingatlah, agama yang hanya diredhai Allah ‎ﷻ adalah agama Islam. Kalau selain dari agama Islam, tidak akan masuk syurga. Maka tidak salah kalau kita kata mereka itu akan masuk neraka dan salah kalau ada orang selain Muslim mati, kita katakan ‘Rest in Peace’; mereka tidak akan berehat dalam alam barzakh dan di akhirat.

Cuma janganlah kita mengutuk atau mengejek mereka. Dalam ayat sebelum ini, kita disuruh supaya فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا dengan mereka iaitu untuk memaafkan mereka dan biarkan dahulu mereka. Begitulah akhlak kita yang sepatutnya dengan mereka dan dengan orang beragama lain. Jangan pandang serong terhadap mereka.

Mereka tidak masuk Islam itu adalah kerana dakwah belum sampai kepada mereka. Atau mereka tidak didakwah dengan cara yang baik. Maka kerana itu mereka belum nampak keindahan Islam. Lebih-lebih lagi kalau mereka melihat perangai orang Islam yang buruk.

Memang banyak dalam kalangan kita yang berperangai buruk dan ini tidak dapat dinafikan. Kadang-kadang perangai orang Islam tidak melambangkan agama Islam yang murni. Ini kerana kita tidak mengamalkan agama Islam dengan sebenarnya. Kita bukan sahaja memandang serong dengan orang bukan Islam, dengan orang Islam pun kita pandang serong. Maka orang bukan Islam kalau tengok Muslim, tidak akan menyangka Islam ini adalah agama yang baik.

Ingatlah bahawa orang bukan Islam ada yang masuk Kristian kerana kebaikan budi yang ditunjukkan oleh mubaligh Kristian. Mereka pandai mengambil hati orang yang bukan Islam. Mereka tidak perlu membawa mesej Injil, tetapi mereka membawa kebaikan budi mereka sahaja. Tetapi kita tidak dapat membawa mesej Al-Qur’an kepada mereka kerana telah ditutup nafsu mereka untuk terima Al-Qur’an kerana perangai kita yang tidak molek.

Mereka hanya boleh memurtadkan orang yang jahil dalam agama dan mereka yang mahukan dunia sahaja. Ini kerana ada manusia yang seperti semut hendakkan gula. Jangan kata non-Muslim, ramai orang Islam yang masuk Kristian kerana termakan budi dengan kebaikan orang-orang Kristian di gereja.

Oleh kerana mereka faham perangai manusia, mubaligh Kristian pun memberikan kenikmatan dunia kepada mereka. Mereka tambah dengan berkata agama mereka lebih mudah untuk masuk syurga. Mereka kata boleh terus masuk syurga sebab Nabi Isa عليه السلام sudah mengorbankan dirinya dibunuh di salib supaya segala dosa umat diampunkan.

Oleh kerana dakyah sebegini, maka ramailah yang murtad dan masuk Kristian – duit dapat, agama pun mudah pula.

تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ

Allah berkata: Itu adalah angan-angan kosong mereka;

Allah ‎ﷻ beritahu yang anggapan mereka itu adalah angan-angan kosong mereka sahaja. Tidak ada bukti yang mengatakan mereka pasti akan masuk syurga. Ia adalah khayalan mereka sahaja kerana dakwaan itu tidak berasas dan tidak ada dalil.

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ

Kata kepada mereka: bawa mari dalil bukti kamu;

Allah ‎ﷻ suruh kita cabar mereka untuk bawakan bukti yang mengatakan hanya mereka sahaja yang akan masuk syurga. Mereka tidak akan dapat berikan bukti.

Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa dalam hal agama, perlu bawa bukti dan dalil dari sumber yang boleh dipercayai. Tidak boleh memakai kata-kata manusia yang berangan-angan sahaja. Macam ada yang kata “Takkan Allah ‎ﷻ tak beri pahala perbuatan amalan ibadat kita ini, walaupun Nabi ﷺ tak pernah buat”.

Itu juga adalah angan-angan kosong. Tidak ada langsung bukti dan dalil yang boleh dibawa. Mereka sendiri tahu bahawa sesuatu amalan bid’ah itu Nabi ﷺ tidak buat. Tetapi mereka berangan yang Tuhan akan menerima amalan itu dan memberikan pahala kepada mereka.

Dalam hal agama, kena ada bukti. Jadi jangan kelam kabut kalau ada orang yang mempersoalkan tentang Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ sendiri sudah cabar mereka untuk buat sesuatu yang seperti Al-Qur’an. Maka, jikalau mereka mencabar Al-Qur’an, itu adalah cabaran bagi kita untuk mempertahankan Al-Qur’an.

Kita pun kena tunjukkan bukti, bukan sedap hendak minta bukti daripada orang lain sahaja. Untuk mengeluarkan bukti itu, kita tentu akan lebih mengkaji tentang Al-Qur’an dan akan mendapat lebih kepercayaan kepada Al-Qur’an akhirnya. Yang penting, kita kena jawab menggunakan ilmu, bukan emosi.

Ayat ini mengajar bahawa kita perlu jawab dengan menggunakan hujah dan dalil sahih. Bukan dengan mengangkat suara dalam perdebatan. Kalau ada yang mengangkat suara, kita tahu bahawa mereka berbuat begitu kerana mereka tidak ada hujah.

إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

sekiranya kamu benar;

Jangan cakap sahaja, kena berikan bukti kalau betul kita benar.

Tafsir Ayat Ke-112:

Allah ‎ﷻ menjelaskan perkara yang sebenar tentang siapakah yang akan masuk syurga.

بَلىٰ مَن أَسلَمَ وَجهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَلَهُ أَجرُهُ عِندَ رَبِّهِ وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ

Bahkan yang sebenarnya sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah;

Yang sebetulnya, yang masuk syurga adalah mereka yang 100% serah diri untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, tidak kira golongan mana dan mereka itu mengharapkan redha Allah ‎ﷻ. Memang perkataan ‘Islam’ itu maknanya serah diri. Maka kena serah diri sepenuhnya, bukan sedikit-sedikit.

Sebagai contoh, katakanlah kita serahkan hadiah berbentuk kain kepada seseorang, tetapi kita kata, kita beri kain itu kepada orang itu, kecuali sehelai benang dari kain itu. Kalau kita buat begitu, ia tidak dikira sebagai beri sebab kita tidak beri sepenuhnya. Maka, kita kenalah taat seluruhnya kepada Allah ‎ﷻ dengan mengikut semua hukum bukan setengah-setengah.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut ‘wajah’ tetapi yang dikehendaki sebenarnya semua anggota.

Ada penafsir yang mengatakan bahawa أَسْلَمَ وَجْهَهُ bermaksud ‘sujud’ kerana kita sujud dengan wajah kita, bukan? Bani Israil juga sebenarnya ada juga sujud dalam ibadat mereka. Tetapi mereka telah meninggalkannya kerana mereka telah lama ubah agama mereka. Mungkin ada sedikit yang masih mengamalkannya tetapi sedikit sangat.

Ia juga merujuk kepada orang merendahkan egonya. Ini kerana selalunya apabila disebut ‘wajah’, ia merupakan imbalan kepada ego.

وَهُوَ مُحْسِنٌ

Dan dia dalam keadaan muhsin;

Iaitu menyerah diri dalam keadaan ikhlas. Ikhlas itu hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Maknanya, tiada syirik khofi (syirik yang kecil). Kadang-kadang, seseorang itu beramal tetapi tidak ikhlas, kerana ada syirik di dalam hatinya.

Contoh syirik hati itu adalah riak, ujub – berasa pandai, berasa diri cantik, sangka ibadat dia paling banyak dan sebagainya. Atau mereka takabur dalam percakapan. Atau mereka ada perasaan hasad dengki, buruk sangka dan cemburu.

Semua itu adalah syirik yang tidak nampak dalam penglihatan kita. Itulah sebabnya ia disebut syirik khofi – iaitu syirik yang tersembunyi. Kenapa ia dipanggil syirik? Ini kerana kita mengharapkan pujian manusia padahal pujian yang kita patut harapkan hanya daripad Allah ‎ﷻ sahaja.

Kalimah مُحْسِنٌ juga diambil dari kata ‘ihsan’. Daripada satu hadith yang dinamakan juga ‘Hadith Jibrail’, Ihsan bermaksud melalukan sesuatu ibadat itu dengan mengetahui bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita. Apabila kita sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita dan perbuatan yang kita lakukan, maka ia akan menyebabkan seseorang itu sentiasa melakukan yang terbaik dalam ibadatnya. Ia akan menyebabkan seseorang itu tidak akan melakukan perbuatan yang salah kerana dia sedar bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikannya.

Perlu juga kita tambah di sini, amalan yang baik juga adalah amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Jikalau amalan itu adalah rekaan manusia, ia bukanlah amalan yang ihsan, tetapi amalan bid’ah. Oleh itu, walaupun kalau seseorang itu ikhlas seikhlas-ikhlasnya dalam melakukan ibadat, namun dalam masa yang sama dia melakukan ibadat yang bid’ah, ia masih tidak diterima kerana tidak mencukupi syarat.

فَلَهُ أَجْرُهُ

kepadanyalah pahala

Mereka yang beramal dengan ikhas dan beramal dari amalan yang soleh, akan mendapat balasan pahala.

عِنْدَ رَبِّهِ

dari sisi Tuhannya.

Pahala yang baik itu daripada sisi Allah ‎ﷻ, daripada pemberian Allah ‎ﷻ. Inilah kaedah Allah ‎ﷻ yang sebenarnya. Sesiapa sahaja yang beramal menepati syaratnya, akan diberi pahala dan dimasukkan ke dalam syurga. Bukannya Allah ‎ﷻ melihat bangsa seseorang itu, tetapi dari amalnya.

Dari pembacaan kita di atas, ada dua syarat untuk kita mendapat pahala dari sisi Allah ‎ﷻ: pertama, amalan itu mestilah ikhlas, dan keduanya ia adalah amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukan amalan bid’ah. Kalau ia hanya ikhlas, tetapi bukan yang ihsan, ia tidak akan diterima.

Dan kalau ia adalah amalan ihsan, tetapi tidak ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Kena memenuhi dua-dua syarat itu, seperti dalam hadith berikut:

Rasulullah ﷺ bersabda,

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal daripada kami, maka amalan tersebut tertolak” (HR. Muslim no. 1718)

وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

dan tidaklah takut ke atas mereka

Mereka tidak akan ada rasa takut; Atau bermaksud mereka tidak perlu takut pada hari akhirat kelak kerana mereka akan selamat. Dalam erti kata lain: tidak ada apa yang perlu ditakuti atas mereka.

Lihatlah bagaimana perubahan penggunaan ayat dalam ayat ini: Di bahagian pertama, Allah ‎ﷻ menggunakan penggunaan kata mufrad (singular): وَجْهَهُ (wajahnya), وَهُوَ (dia – seorang), فَلَهُ أَجْرُهُ (untuknya pahala – seorang juga), عِنْدَ رَبِّهِ (di sisi Tuhannya – seorang juga).

Tetapi di bahagian kedua, Allah ‎ﷻ mengubah penggunaan kata dalam bentuk jamak (plural): عَلَيْهِمْ (atas mereka), وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (mereka tidak akan bersedih). Ini menunjukkan bahawa kadang-kadang dalam kita hendak mengamalkan ajaran agama yang sebenar dan yang sunnah, kadang-kadang kita berseorangan dalam menjalankannya.

Kadang-kadang kita seorang sahaja yang berdakwah mengajak manusia lain mengikuti kita. Tetapi kemudiannya, Allah ‎ﷻ akan memberikan kawan kepada kita dalam perjuangan dakwah ini. Sama ada kita mendapat kawan semasa kehidupan dunia, atau jika tidak, kita akan mendapat kawan di akhirat kelak.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan tidaklah mereka berdukacita;

Iaitu mereka tidak akan berdukacita apabila mereka masuk syurga nanti. Walaupun keluarga mereka tidak masuk syurga, mereka tidak akan berasa dukacita. Ini kerana Allah ‎ﷻ akan beri mereka lupa tentang ahli keluarga mereka yang tidak dapat masuk syurga. Sebab kalau mereka ingat, mereka akan berdukacita pula. Padahal syurga bukanlah tempat untuk berdukacita.

Maka, Allah ‎ﷻ akan beri mereka lupa kepada ahli keluarga mereka yang tidak masuk syurga. Bukan mereka sendiri yang lupa, tetapi Allah ‎ﷻ yang menyebabkan mereka lupa.

Ia juga bermaksud, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia yang mereka sayang ini.

Dari segi bahasa, apabila dikatakan mereka tidak akan berdukacita, bermaksud akan ada manusia yang akan berdukacita nanti di akhirat nanti. Itu adalah orang-orang yang tidak mahu mengikut arahan Allah ‎ﷻ. Iaitu mereka yang tidak mengendahkan agama.

Tafsir Ayat Ke-113

Ayat ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ (syikayah) tentang sifat manusia. Iaitu jenis manusia yang rasa dia sahaja yang betul dan orang lain salah.

Itulah puak yang ada kebenaran pada mereka, tetapi mereka simpan sendiri dan kemudian rasa hebat. Oleh itu, kita jangan jadi macam mereka. Maka kalau kita sudah ada ilmu Al-Qur’an, maka kena sebarkan kepada orang lain kerana kita memang kena suka kalau Al-Qur’an disebarkan. Allah ‎ﷻ memang suruh kita sampaikan ajarannya kepada orang lain. Sebab itu kalau orang yang belajar tafsir Al-Qur’an dengan betul, dia tidak duduk diam dan dia pasti akan sebarkan.

Berlainan dengan fahaman agama yang lain. Agama lain suka kalau dipakai oleh satu kumpulan sahaja. Mereka tidak suka kongsi dengan orang lain. Umpamanya ada satu kelompok yang ada satu sistem perniagaan yang bagus. Dia tidak akan berkongsi dengan orang lain sebab nanti ada saingan. Tetapi ini adalah salah kerana agama bukan seperti perniagaan.

وَقالَتِ اليَهودُ لَيسَتِ النَّصارىٰ عَلىٰ شَيءٍ وَقالَتِ النَّصارىٰ لَيسَتِ اليَهودُ عَلىٰ شَيءٍ وَهُم يَتلونَ الكِتابَ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ مِثلَ قَولِهِم ۚ فَاللَّهُ يَحكُمُ بَينَهُم يَومَ القِيامَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

وَقَالَتِ الْيَهُودُ

Dan berkata orang-orang Yahudi:

Allah ‎ﷻ sekarang hendak membongkar lagi apakah yang berada di dalam hati golongan Yahudi itu.

لَيْسَتِ النَّصَارَىٰ عَلَىٰ شَيْءٍ

Tidaklah orang-orang Nasara itu ada asas apa-apa;

Orang Yahudi hendak mengatakan bahawa orang Nasara tidak berada di atas jalan yang benar. Mereka mengatakan yang orang Nasara itu adalah golongan sesat.

وَقَالَتِ النَّصَارَىٰ

Dan berkata orang-orang Nasara:

Sekarang Allah ‎ﷻ bongkar pula kata-kata Nasara. Mereka pun berkata perkara yang sama juga.

لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَىٰ شَيْءٍ

Tidaklah orang Yahudi itu ada asas apa-apa dalam agama;

Dari sini, kita boleh lihat bagaimana masing-masing mengata puak yang lain tidak betul. Masing-masing sibuk dengan orang lain. Sibuk hendak mengatakan orang lain yang salah. Sibuk hendak mencari kesalahan orang lain.

Padahal, kalau kita lihat ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah memperkatakan tentang Muhsin: mereka yang hanya memikirkan tentang diri sendiri. Mereka sibuk dengan usaha membaiki diri sendiri untuk memastikan apa yang mereka buat adalah benar. Bukan hendak sibuk dengan orang lain. Bukannya hendak sesatkan orang, cari salah orang, katakan diri lebih daripada orang. Ini adalah sifat Kibr yang rasa diri lebih daripada orang lain. Ia adalah salah satu daripada Talbis Iblis. Iblis memang suka kalau kita membanggakan diri dan tengok kelebihan diri sendiri.

Begitulah manusia kalau mereka rasa diri mereka yang betul, mereka akan mencari kesalahan orang lain. Ayat ini menempelak orang Yahudi dan Nasrani, tetapi kalau kita pun macam mereka juga – mencari-cari kesalahan orang lain, maka kita pun sama sahaja seperti mereka. Maka ayat ini ditujukan kepada kita sebenarnya.

Maka, seperti yang kita telah tahu, agama Nasara dan Yahudi itu adalah agama yang sudah tidak tulen lagi. Maka penganutnya akan berusaha supaya golongan mereka sahaja yang baik dan golongan lain tidak. Ini kerana ia adalah agama yang telah diubahsuai dan sudah tidak mengikut acuan agama yang telah Allah ‎ﷻ berikan.

Ini kerana kalau agama yang benar, mereka akan sebarkan agama itu. Tetapi kerana agama itu sudah tidak tulen lagi, akhirnya mereka jadi berpuak-puak dan ada sifat asabiyah. Sama-sama Yahudi dan Nasara kutuk sesama sendiri, rasa diri sendiri yang hebat dan benar. Kalau sifat berpuak memang macam itu kerana setiap puak akan kata puaknya yang paling baik. Lalu akan ada kata mengata.

Masing-masing tuduh pihak yang lain tidak ada asas. Padahal dua-dua puak sepatutnya mengaji kitab wahyu yang ada pada mereka. Sepatutnya mereka ajak mengajak ke arah kebaikan, tetapi sebaliknya mereka kata mengata sahaja. Jadi ini bukan sifat agama Islam. Kalau orang kita buat begini, bermakna orang kita juga sudah meniru sifat buruk dua golongan yang telah sesat itu.

Bandingkan dengan para sahabat. Apabila mereka dapat sahaja Al-Qur’an, mereka kongsi dengan orang lain termasuk Yahudi sekali. Mereka tidak simpan untuk diri mereka sahaja. Sebaliknya mereka menjalankan kerja dakwah besar-besaran. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Bukankah kita memang kena ikut sunnah para sahabat?

وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ

Padahal mereka masing-masing baca kitab;

Padahal mereka masing-masing ada Kitab Taurat, ada Kitab Injil. Untuk kita pula, kita ada Al-Qur’an. Sepatutnya sudah ada ilmu dan panduan, namun malangnya masih lagi keliru. Begitulah kalau ilmu wahyu tidak dipelajari.

Yahudi kafir kerana menolak Nabi Isa عليه السلام dan tolak kitab Injil. Nasara pula kafir sebab mengangkat Nabi Isa عليه السلام sebagai anak tuhan. Dua golongan ini yang ada kitab dan tidak sepatutnya mereka jadi begitu.

Mereka mencari-cari dalam kitab mereka untuk mencari salah orang lain. Yahudi mencari salah orang Nasrani dan orang Nasrani pula mencari salah Yahudi. Macam kita juga, ada yang mencari-cari dalam Al-Qur’an mencari dalil untuk menyalahkan orang lain. Minta ayat Al-Qur’an dengan ustaz kerana hendak berdebat dengan golongan lain. Mencari silap orang lain dan rasa diri sudah selamat. Maka, kalau kita begitu juga, kita pun sama macam mereka juga.

كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Begitulah yang telah berkata orang-orang yang tidak tahu;

Terdapat tiga jenis golongan yang disebut dalam ayat ini: Yahudi, Nasrani dan orang yang tidak tahu. Tidak dijelaskan siapakah golongan yang ‘tidak tahu’ itu. Tetapi pendapat yang kuat mengatakan mereka itu adalah orang-orang yang buta huruf, iaitu Musyrikin Mekah.

Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab. Mereka hanya ada ajaran turun temurun daripada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, namun lama-kelamaan telah hilang daripada mereka kerana mereka banyak membuat amalan bid’ah. Mereka reka amalan-amalan baru atau mengubah ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, sama sahaja dengan orang kafir Mekah yang tidak ada kitab. Mereka pun sangka mereka benar. Mereka kata mereka lebih baik daripada Yahudi dan Nasara itu. Mereka kata yang betulnya adalah Parsi sebab Parsi puja jin sebab itu adalah golongan yang mereka sokong.

Allah ‎ﷻ menyamakan orang yang mencari-cari salah orang lain sebagai orang yang bodoh. Jadi kalau kita cari dalil dalam al-Qur’an untuk mencari kesilapan orang lain, maka kita pun dikira orang bodoh juga.

مِثْلَ قَوْلِهِمْ

seperti kata-kata mereka;

Mereka pula berkata puak-puak Yahudi dan Nasara pun tidak betul. Mereka kata, mereka yang betul. Sekarang, Syiah pun kata begitu juga. Syiah pun kata mereka yang betul, padahal mereka tidak sedar bahawa ajaran mereka itu adalah ajaran yang sesat. Jadi biasa sahaja golongan yang mengaku mereka sahaja yang benar dan orang lain salah. Perkara ini berlaku turun temurun.

فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maka Allahlah yang akan buat kehakiman diantara mereka pada hari Kiamat;

Allah ‎ﷻ akan menghakimi, iaitu Allah ‎ﷻ akan beritahu siapakah yang betul di antara mereka itu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Dialah Hakim yang sebenarnya, bukan kita. Bukan tugas kita untuk mengatakan siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Allah ‎ﷻ sahajalah yang boleh menentukan siapa yang benar. Jadi tidak perlu kita hendak kata orang itu salah, orang itu benar. Jangan mencari-cari dalam Al-Qur’an tentang siapakah yang salah. Jangan sengaja mencari kesalahan orang kerana hendak merendahkan orang lain. Yang kita hendak adalah mencari kebenaran.

Tetapi masalahnya, Allah ‎ﷻ hanya akan beritahu siapa yang benar itu di akhirat nanti. Sudah terlambat untuk berbuat apa-apa lagi pada waktu itu. Waktu itu adalah keputusan ‘amali’ di mana selepas diberitahu siapa yang salah dan benar, yang benar akan masuk syurga dan yang salah akan masuk neraka. Kalau kita baru tahu waktu itu yang kita adalah pihak yang salah, bagaimana?

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

terhadap apa yang mereka selisihkan;

Orang Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang masuk syurga. Iaitu mereka yang mengikut ajaran Al-Qur’an dan sunnah Nabi ﷺ dan mengikut perbuatan para sahabat Nabi ﷺ. Ramai yang tidak tahu maksud Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) itu sendiri.

Ahli Sunnah: mereka yang mengikut sunnah perbuatan Nabi ﷺ. Kalau bukan yang sunnah, bukan yang Nabi ﷺ ajar, mereka tidak buat.

Wal Jamaah: Jamaah itu bermaksud kumpulan. Tetapi kumpulan siapakah yang dimaksudkan? Ia adalah jamaah atau kumpulan sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Merekalah yang telah dididik sendiri oleh Nabi ﷺ. Merekalah yang tahu bagaimana perbuatan Nabi ﷺ. Maka mereka lebih tahu tentang agama berbanding kita.

Jadi, kita kena tengok apakah perbuatan mereka. Adakah mereka melakukan sesuatu amalan itu? Adakah para sahabat mengadakan Majlis Tahlil? Adakah mereka mengadakan Talqin kepada arwah? Adakah mereka berzikir ramai-ramai? Adakah mereka melakukan salat Hajat berjemaah?

Adakah mereka mengajar untuk sedekah pahala kepada si mati? Kalau tidak ada, maka itu bukanlah amalan mereka. Jadi kenapa senang hendak mengatakan diri itu dalam ASWJ jikalau mereka tidak memenuhi kriteria ASWJ? Kalau mereka bukan ahli ASWJ, maka mereka ahli kumpulan yang mana?

Maka sesiapa yang kata mereka Ahli Sunnah wal Jamaah, tetapi masih berbuat bid’ah, mereka sebenarnya berdusta, kerana mereka bukan ASWJ. Mereka sebenarnya dipanggil Ahli-ahli Bidaah.

Allahu a’lam. 

Talbis Iblis: Ilmu Laduni

0

Talbis Iblis: Ilmu Laduni

Golongan Sufi ada memegang pandangan-pandangan yang karut tentang agama. Sebagai contoh, salah satu rujukan mereka adalah Ibnu Arabi (jangan disalahfahami dengan Ibnul Arabi). Ibnu Arabi adalah tokoh Sufi yang mula membawa fahaman Wahdatul Wujud. Kalau di Malaysia ini, ramailah penyokong Ibnu Arabi ini.

Ibnu Arabi mengajar fahaman yang kedudukan wali itu lebih tinggi daripada kedudukan seorang Nabi. Sebab itu golongan Sufi tarekat asyik cerita tentang kehebatan wali sahaja. Kalau baca tulisan dan cerita mereka, asyik wali itu dan wali ini. Hebat sangat wali ini, lagi hebat dari Super Saiyan.

Ibnu Arabi membawa kisah Nabi Khidr عليه السلام yang disebut panjang juga di dalam Surah al-Kahf. Dia kata itulah kedudukan wali yang boleh mendapat ilmu terus (Ilmu Laduni) dari Allah ‎ﷻ. Begitulah wali pada golongan Sufi itu mendapat ilham terus dari Allah ‎ﷻ dengan ilmu-ilmu yang hebat.

Sedangkan kata dia, para Nabi hanya dapat ilmu dari Jibrail عليه السلام sahaja. Jibril عليه السلام yang sampaikan wahyu kepada Nabi dan itu bermakna, mereka dapat ilmu masih ada perantara.

Konon pada mereka, Nabi Khidr عليه السلام mengikut hakikat dan Nabi Musa عليه السلام hanya ada ilmu syariat sahaja. Pada golongan Sufi, kalau sudah ada ilmu hakikat, sudah tidak memerlukan ilmu syariat.

Mereka ini tidak faham yang kedua-dua itu adalah ilmu Allah ‎ﷻ. Nabi Musa عليه السلام ada ilmu dari Allah ‎ﷻ dan Nabi Khidr عليه السلام pun dapat ilmu dari Allah ‎ﷻ juga. Tidak wajib untuk mencari Ilmu Laduni itu kerana Nabi Musa عليه السلام pun tidak habis belajar dengan Nabi Khidr عليه السلام. Kalau ia wajib, maka tentu Nabi Musa عليه السلام terus berkelana bersama Nabi Khidr عليه السلام.

Tambahan pula, bukanlah Ilmu Laduni itu Allah ‎ﷻ berikan kepada semua manusia. Kita pun tidak tahu siapa lagi yang Allah ‎ﷻ berikan ilmu yang sama seperti yang diberikan kepada Nabi Khidr عليه السلام. Tidak ada riwayat lain yang menyebut ada manusia lain yang dapat ilmu yang sama.

Manusia dipertanggungjawabkan dengan ilmu syariat sahaja. Kita tidak disuruh mencari ilmu laduni itu. Salah faham tentang perkara ini menyebabkan senang syaitan hendak talbis.

Talbis Iblis: Zikir Rekaan Syaitan

0

Talbis Iblis: Zikir Rekaan Syaitan

Kalau kita perhatikan, zikir-zikir golongan sufi tarekat ini adalah pelik-pelik belaka. Ia pelik kerana ia dapat daripada dunia khayalan sahaja. Bukannya dari Nabi ﷺ. Bila dari dunia khayalan, maka ia adalah daripada Syaitan. Syaitan yang bisikkan zikir-zikir itu.

Mereka pun suka bila berlainan daripada zikir yang datang dari Nabi ﷺ sebab pada mereka zikir yang diajar Nabi ﷺ biasa diamalkan itu, tidak menarik. Ia ‘biasa-biasa’ sahaja; ia ceroi sahaja. Pada mereka, itu zikir untuk ‘orang awam’ sahaja, sedangkan mereka itu orang ‘khusus’. Sebab itu zikir-zikir mereka lain dari yang lain, dan ia adalah rahsia.

Bukan sahaja zikir itu lain dari yang lain, cara sebutan pun lain, cara amalan pun berbeza, malah gerakan pun ditambah-tambah. Sampaikan ada yang goyang bontot, geleng kepala, melompat-lompat pun ada. Ada yang menari-nari, ada yang pejam mata dalam gelap (supaya dapat zauk) dan macam-macam lagi cara yang pelik-pelik.

Antara yang biasa diamalkan adalah zikir lafaz Jalalah ‘Allah’ secara tunggal. Mereka zikir Allah, Allah, Allah… berkali-kali dengan bilangan tertentu. Ada juga yang amalkan zikir sirr, tanpa bunyi. Sebutan pun Allah, Allah juga. Ada yang menyamakan dengan sedutan nafas, ada yang dengan degupan jantung – sekali jantung berdegup, Allah; sekali lagi, Allah… dan seterusnya.

Zikir Allah secara tunggal tidak pernah diamalkan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat. Imam Bukhari  رحمه الله kata beliau hafal enam ratus ribu hadith, tetapi tidak ada satu pun Nabi ﷺ amalkan zikir lafaz Jalallah secara tunggal.

Lagipun, ia tidak beradab kerana zikir yang Nabi ﷺ ajar adalah lafaz lengkap. Sebagai contoh:
Allahu Akbar: Allah maha besar
Subhanallah: Maha suci Allah
Alhamdulillah: Segala puji bagi Allah.

Kalau lafaz ‘Allah’ sahaja, maka apakah predikat dia? Nauzibillah kalau ditambah dengan predikat-predikat yang tidak senonoh. Maka kerana itu zikir yang diajar dalam Sunnah semuanya adalah kalimah lengkap (jumlah mufidah).

Kemudian mereka reka lafaz lain pula. Mereka tukar lafaz Jalallah itu menjadi dhomir (kata gantinama) sahaja. Ia jadi hu (Dia). Maka mereka lafaz hu, hu, hu.. macam burung hantu.

Ini kerana mereka kata kalau zikir Allah, tetapi sedang sebut All sahaja… mereka mati. Jadi sudah tidak lengkap sebut nama Allah pula. Ini adalah mengarut dan ghuluw. Kalau pun mati sedang zikir, dan zikir tidak lengkap, kita tidak dipersalahkan kerana amal bergantung kepada niat. Bukannya kita berniat hendak zikir tidak lengkap.

💬💬

Soal Jawab

Soalan:
Ustaz pernah melompat begini dahulu?

Jawapan:
Tidak. Kami zikir Allah Allah dalam gelap. Kemudian Hu Hu. Kemudian henjut henjut tanpa bunyi. Tiada melompat masa itu.


Soalan:
Kenapa ada yang sampai melompat ya?
Adakah kerana kerasukan?

Jawapan:
Naik Syeikh.

Terdapat tiga jenis Syeikh iaitu:
1. Orang tua.
2. Panggilan hormat kepada orang berilmu.
3. Iblis.

Ketika Iblis datang menaiki kapal Nabi Nuh عليه السلام, baginda panggil Iblis; Syeikh.

SnJ Fiqh Wanita

0

Soal  Jawab
Inai, Dandan, Syirik & Taubat, Berwudhu’lah.

Soalan 1:
Bolehkah menginai rambut untuk maksud kepuasan diri sendiri?

● Jawapan 1:
Hukum inai memang boleh, dalilnya:

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”
HR al-Bukhari (5559) dan Muslim (2103)

Soalan 2:
Jika seseorang yang pernah melakukan syirik ketika sihat dan kita baru menyedarinya ketika dia sakit berat, bagaimana untuk membantu dia bertaubat? Sedangkan dia sudah nyayuk. Adakah kita boleh berdoa sahaja minta pengampunan yang dia melakukan perkara tersebut disebabkan tidak tahu itu syirik. Masyarakat dulu ada mengamalkan ilmu salah dan ada diperturunkan untuk diamalkan jika ada masalah, contoh ilmu pakaian untuk lelaki atau perempuan supaya kelihatan cantik atau segak. Ilmu ini diamal kan dengan mengambil ayat dari Al-Qur’an dan ditambah dengan ayat sendiri. Saya faham ini sebagai sihir. Mungkin syeikh boleh bagi jawapannya.

● Jawapan 2:
Taubat masih boleh dilakukan sebelum nyawa di hujung kerongkong.

وعن أبي عبد الرحمان عبد الله بنِ عمَرَ بنِ الخطابِ رضيَ اللهُ عنهما ، عن النَّبي – صلى الله عليه وسلم -، قَالَ : (( إِنَّ الله – عز وجل – يَقْبَلُ تَوبَةَ العَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ رواه الترمذي، وَقالَ : (( حديث حسن ))

“Dari Abdullah bin Umar bin Khathab رضيَ اللهُ عنهما dari Nabi ﷺ Baginda bersabda : “Sesungguhnya Allah ﷻ akan menerima taubat seorang hamba, selama nyawanya belum sampai kerongkongan.”
(HR. Tirmidzi, dihasankan oleh Imam Tirmidzi sendiri dan dihasankan juga oleh Imam Al Albani).

Jika sudah nyanyuk, maka habislah peluang taubat itu. Yang boleh dilakukan ialah anak-anaknya berdoa sahaja.

Soalan 3:
Apakah hukum mendandan jenazah dan memakaikan wangian ketika menguruskannya?

Adakah ia Sunnah atau lebih dari itu?

● Jawapan 3:
Mendandan tu dikira berlebihan, manakala mewangikan mayit itu adalah sunnah, amalan salaf. (al albani, ahkam al janaiz)


Soalan 4:
Mohon pencerahan terhadap Hadith Ummu Athiyyah (Bukhari no 1254, Muslim no. 939)

Adakah mengikat/jalin rambut jenazah juga termasuk di dalam sunnah?

ٍ عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ
تُوُفِّيَتْ إِحْدَى بَنَاتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ اغْسِلْنَهَا ثَلَاثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ وَاجْعَلْنَ فِي الْآخِرَةِ كَافُورًا أَوْ شَيْئًا مِنْ كَافُورٍ فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي قَالَتْ فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ فَأَلْقَى إِلَيْنَا حِقْوَهُ فَقَالَ أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ
وَعَنْ أَيُّوبَ عَنْ حَفْصَةَ عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا بِنَحْوِهِ وَقَالَتْ إِنَّهُ قَالَ اغْسِلْنَهَا ثَلَاثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ سَبْعًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ قَالَتْ حَفْصَةُ قَالَتْ أُمُّ عَطِيَّةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا وَجَعَلْنَا رَأْسَهَا ثَلَاثَةَ قُرُونٍ

Dari Ummu ‘Athiyyah رضي الله عنها berkata: Ketika salah satu puteri Nabi ﷺ wafat, Nabi ﷺ keluar seraya berkata: “Mandikanlah dengan mengguyurkan air yang dicampur dengan daun bidara tiga kali, lima kali atau lebih dari itu jika kalian anggap perlu dan jadikanlah yang terakhirnya dengan kapur barus (wewangian) atau yang sejenis dari kapur barus (kamper). Dan bila kalian telah selesai beritahu aku”. Berkata, Ummu ‘Athiyyah رضي الله عنها: “Ketika kami telah selesai, kami memberitahu baginda, kemudian baginda memberikan kain baginda kepada kami seraya berkata: “Pakaikanlah ini kepadanya”. Dan dari Ayyub dari Hafshah dari Ummu ‘Athiyyah رضي الله عنهم dan dia berkata, bahawa baginda bersabda: “Mandikanlah ia tiga kali, lima kali, tujuh kali atau lebih dari itu jika kalian anggap perlu.” Berkata Hafshah, telah berkata Ummu ‘Athiyyah رضي الله عنها: “Kami kepang rambut kepala puteri Beliau dengan tiga kepang”. (Sahih Bukhari No. 1180)


● Jawapan 4:
Memang sunnah demikian kata Imam Ibn Hajar رحمه الله sebab itu memang tajuk bab dalam sahih Bukhari, mayat wanita diikat rambut menjadi tiga.

Cuma dalam mazhab syafi’iy, hadith ini tidak diamalkan. Ia sesuai dengan uruf.

Soalan 5:
Betulkah dalil perihal Ummu Salamah رضي الله عنها seperti hal di bawah👇🏻.

● Kedua-dua stokin hendaklah dipakai selepas berwudhu’ dengan sempurna.

Kemudian, jika mahu berwudhu’ kembali, stokin tidak perlu dibuka dan hanya perlu sapu di atasnya.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Al Mughiroh bin Syu’bah رضي الله عنه katanya :

كُنْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َفِى سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لأَنْزِعَ خُفَّيْهِ فَقَالَ: دَعْهُمَا، فَإِنِّى أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ. فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا

“Aku musafir bersama-sama Nabi ﷺ.

Ketika itu, aku tunduk untuk menanggalkan kedua-dua khufnya, lalu baginda ﷺ bersabda :

“Biarkan, aku memakainya ketika suci.”

Kemudian, baginda ﷺ menyapu bahagian atas kedua-duanya.”

(Hadits Riwayat Imam Al Bukhari nombor 203 dan Imam Muslim nombor 274)

Manakala, berwudhu’ terlebih dahulu sebelum memakai tudung tidak ada perintahnya.

Namun, menyapu air di atas tudung dalilnya adalah, bahawasanya Ummu Salamah رضي الله عنها dahulu pernah berwudhu’ dengan masih tetap memakai tudungnya dan beliau رضي الله عنها mengusap / menyapu tudungnya.

Ummu Salamah adalah isteri kepada Rasulullah ﷺ, maka adakah Ummu Salamah رضي الله عنها akan melakukannya (mengusap / menyapu tudung) tanpa izin daripada Nabi ﷺ?

[Majmu’ al Fatawa Ibni Taimiyyah, 21/186, Asy Syamilah]

  • ● Jawapan 5:
    Ini dinamakan khilaf muktabar.
    Isu menyapu tudung memang khilaf, cuma diamalkan dalam mazhab Hanbali dan Ibn Mundzir sahaja, manakala Jumhur (syafi’iy, ahnaf, malik) tidak boleh. Fatwa Saudi Arabia, Majmu’ al Fatawa Ibn Uthaimin, Jld 12. berkata, di sisi mazhab Ahmad, ia cuma bila perlu sahaja, dalam keadaan biasa, maka hendaklah menyapu rambut bukan tudung. Ibn Taymiyah dalam Majmu’ al fatawa yang anda ‘copy n paste’ di atas mendokong pendapat Imam Ahmad, yakni sapu tudung bila keperluan yang mendesak. Maksudnya, bila buka tudung akan mendatangkan kesusahan kepada wanita tersebut.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-109 dan Ke-110

0

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-109

وَدَّ كَثيرٌ مِن أَهلِ الكِتابِ لَو يَرُدّونَكُم مِن بَعدِ إيمانِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِن عِندِ أَنفُسِهِم مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ

Tersangat ingin kebanyakan daripada ahli kitab itu

Allah ‎ﷻ menceritakan apakah keinginan dan rancangan golongan Yahudi itu terhadap orang Islam. Ini adalah fahaman majoriti daripada mereka. Kita kena perhatikan betul-betul perkara ini dan hendaklah kita berjaga-jaga.

لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا

kalaulah sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kufur setelah kamu beriman;

Memang mereka suka kalau umat Islam kembali kafir kerana mereka tidak sukakan Islam. Ini kesinambungan daripada ayat sebelum ini tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tujuan mereka tanya macam-macam kepada Nabi Muhammad ﷺ itu adalah untuk orang Islam murtad dan kembali kafir.

Mereka hendak umat Islam menjadi sangsi dengan agama Islam. Ini akan terjadi kepada orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri. Mereka tidak mahu belajar agama, atau mereka ada belajar tetapi mencari benda yang memeningkan, macam belajar tarekat. Beginilah juga cara Syiah kacau orang Islam zaman sekarang. Yang keliru adalah mereka yang jahil dengan agama sendiri.

Golongan Yahudi itu mengkaji hukum-hukum dalam Islam dengan niat untuk menghentam orang Islam dan agama Islam. Orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri menjadi sasaran orang Yahudi. Mereka tahu ada orang Islam yang jahil dengan agama sendiri dan senang untuk ditipu. Mereka akan persoal tentang hukum agama kepada orang Islam sebegitu sampai mereka tidak boleh jawab.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita, kenapa mereka masuk dalam kelompok orang Islam. Tujuan mereka adalah untuk menimbulkan kesangsian terhadap orang Islam. Sebagai contoh, mereka akan persoalkan tentang hukum hudud. Mereka kata bagaimana hukum hudud boleh dikira sebagai hukum yang adil sampai memotong tangan orang yang mencuri?

Orang yang tidak tahu apakah hukum dan kepentingan hukum itu, mungkin ada yang termakan dengan persoalan-persoalan yang mereka timbulkan.

حَسَدًا

kerana hasad dengki mereka;

Mereka hendakkan kita menjadi kafir juga macam mereka. Kenapa? Kerana hasad. Mereka tidak mahu orang Islam maju kerana kalau Muslim maju, mereka dengan sendirinya akan mundur.

Bayangkan kalau Islam tersebar menyeluruh segenap dunia ini. Bukankah dalam Al-Qur’an dan kitab-kitab Islam yang lain akan menyebut bagaimana Yahudi itu tidak boleh dipercayai? Teruklah mereka kalau begitu. Bayangkan perkara ini disebut dalam bahagian Surah Baqarah yang awal pula.

Awal-awal lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu perangai mereka kepada pembaca Al-Qur’an. Maka, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjatuhkan Islam kerana hendak menjaga pengaruh mereka dalam dunia ini.

مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ

dari sisi diri mereka sendiri

Perasaan hasad dengki itu ada dalam diri mereka. Hati mereka busuk dengan kebencian kepada umat Islam dan agama Islam. Sekarang Allah ‎ﷻ telah membongkar perasaan mereka itu.

مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

selepas telah nyata bagi mereka kebenaran;

Iaitu telah nyata kebenaran Al-Qur’an kepada mereka. Mereka tahu Al-Qur’an itu adalah benar, tetapi kerana Al-Qur’an itu diturunkan kepada selain dari golongan mereka, maka mereka tidak berpuas hati, mereka tidak boleh terima.

Mereka buat semua ini setelah jelas pada mereka yang mereka adalah golongan yang salah. Mereka sudah tahu kebenaran, tetapi tidak mahu ikut kerana hasad dalam diri mereka dan kerana kedegilan mereka.

فَاعْفُوا

Walau macamana pun, jangan kamu peduli;

Allah ‎ﷻ suruh kita jangan pedulikan mereka. Biarkan sahaja apa yang mereka hendak buat. Kata yang sama digunakan oleh Allah ‎ﷻ dalam kita bersikap kepada ahli keluarga kita. Sementara belum datang perintah Allah ‎ﷻ untuk memerangi mereka, biarkan sahaja mereka.

وَاصْفَحُوا

terus kamu berbuat baik dengan mereka;

Jangan hukum mereka lagi. Jangan buat tindakan apa-apa terhadap mereka. Teruskan seperti biasa iaitu terus ajak mereka ke jalan Allah ‎ﷻ.

حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ

sehingga datang keputusan Allah;

Biarkan mereka sehingga datang keputusan yang lain daripada Allah ‎ﷻ iaitu apabila datang perang jihad fisabilillah dengan mereka. Selagi belum dikeluarkan perintah jihad, maka kena teruskan urusan berdakwah kepada mereka.

Maka, bukanlah berterusan kita biarkan mereka. Tunggu sehingga Allah ‎ﷻ datangkan undang-undang baru tentang perintah jihad. Surah Baqarah ini adalah surah yang mula-mula di Madinah dan waktu itu belum boleh berperang lagi. Jadi, jangan bergaduh dengan puak-puak Yahudi itu.

Oleh itu, beri masa untuk bersabar. Sampai nyata yang Yahudi itu memang jenis tidak mengikut kitab mereka sendiri. Memang tidak perlu tunggu lama kerana Yahudi itu memang jenis akan menampakkan kesalahan mereka di khalayak ramai nanti.

Maka, umat Islam diberitahu yang tidak bolehlah terus berperang dengan mereka. Tambahan pula di Mekah umat Islam sudah berbalah dengan puak Quraish. Jangan pula di Mekah berbalah dengan puak Yahudi. Nanti orang luar boleh kata yang Islam ini jenis berbalah sahaja.

Maka, kena bersabar dan duduk dahulu setahun dengan aman di Madinah dan buat perjanjian dengan puak Yahudi itu. Tetapi akhirnya akan diketahui yang mereka itu akan pasti mungkir janji. Maka, waktu itu nanti tidaklah Islam dipersalahkan kerana waktu itu semua orang sudah tahu perangai mereka.

إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Jangan takut yang perasaan yang dengki kepada kita itu akan memudharatkan kita. Allah ‎ﷻ yang berkuasa atas segala sesuatu. Allah ‎ﷻ akan menjaga kita daripada mereka. Walaupun mereka berniat tidak baik kepada umat Islam, tetapi mereka tidak dapat menghancurkan Islam.

Tafsir Ayat Ke-110
Semasa di Mekah, sahabat-sahabat Nabi ﷺ sentiasa meminta supaya mereka diberikan kebenaran untuk berjihad menentang Quraish yang menyeksa mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ akan jawab jangan lagi, sebaliknya dirikanlah salat dan keluarkanlah zakat.

Tetapi zakat mengeluarkan harta hanya difardhukan di Madinah. Oleh itu, zakat di Mekah adalah zakat jiwa, iaitu sahabat disuruh membersihkan jiwa dari syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Apabila sampai di Madinah, zakat yang didirikan adalah zakat harta, iaitu membersihkan harta dari sumber yang tidak bersih. Maka, apabila disebutkan zakat, kena tengok di manakah ayat itu diturunkan.

وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ ۚ وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Dan dirikanlah solat;

Semasa di Mekah, sahabat dirikan salat berjemaah di rumah seorang sahabat yang bernama Arqam رضي الله عنه. Mereka hanya boleh salat berjemaah di situ sahaja kerana mereka tidak boleh untuk pergi ke Kaabah kerana dihalang oleh Musyrikin Mekah.

Tidak pasti bagaimana mereka salat pada waktu itu kerana belum lagi mendapat syariat salat ketika itu iaitu sebelum Nabi ﷺ isra’ mi’raj. Mereka mungkin salat memakai saki baki syariat Nabi Ibrahim عليه السلام. Memang ada lagi saki baki amalan syariat yang telah diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام yang masih lagi diamalkan dalam kalangan masyarakat Arab waktu itu. Kebanyakannya telah ditukar setelah sekian lama, tetapi ada lagi yang mereka amalkan.

Antara maksud dirikan salat adalah: hubungan manusia dengan Allah ‎ﷻ hendaklah didirikan dan dijaga.

وَآتُوا الزَّكَاةَ

dan keluarkanlah zakat;

Ini adalah mendirikan hubungan antara manusia. Kena seimbang antara hablu minallah dan hablu minannas.

Salat dan zakat disebut dalam ayat ini sebagai contoh ibadah dan amalan yang besar. Tetapi bukanlah hanya dua perkara ini sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Ia mewakili segala rukun Islam yang perlu dipenuhi. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru tahu keseluruhan agama. Jangan ambil sedikit-sedikit sahaja.

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu;

Yang didahulukan adalah ibadat-ibadat yang kita hantar kepada Allah ‎ﷻ. Dari segi perkataan, تُقَدِّمُوا bermaksud ‘menghantar ke hadapan’. Amalan-amalan yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk pakai di akhirat kelak. Maka kita hantar ia dahulu ke hadapan. Maksudnya: melakukan amal-amal yang soleh.

تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ

tentulah kamu akan mendapat balasan pahala daripada Allah;

Allah ‎ﷻ akan simpan pahala kita dan akan membalas amalan kita itu dengan kebaikan. Ia tidak akan hilang. Bila kita di akhirat nanti, kita akan bertemu dengan amalan-amalan kita itu.

إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap apa yang kamu lakukan, Maha Melihat;

Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apakah yang kita lakukan. Allah ‎ﷻ tahu sama ada perbuatan kita itu adalah ikhlas ataupun tidak. Sama ada harta yang kita keluarkan itu adalah haram ataupun tidak. Atau harta itu telah bercampur antara sumber yang halal dan haram. Allah ‎ﷻ lihat semuanya.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana orang Yahudi itu dengki dengan kita. Kalau seseorang dengki dengan seseorang, ada kemungkinan mereka akan berbuat sesuatu untuk menjatuhkan kita, untuk memudharatkan kita dan sebagainya.

Memang ada kemungkinan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ juga sudah kata bahawa Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada orang Islam supaya tidak payah fikir banyak pasal Yahudi. Kita kena jaga hal kita. Memang mereka ada masalah tetapi kita kena jaga diri kita. Segala niat jahat mereka tidak akan terjadi tanpa kebenaran dari Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang apakah yang lagi penting daripada memikirkan tentang mereka. Jangan fikirkan tentang apa yang mereka akan buat terhadap kita. Itu semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Yang penting adalah kita kena terus beramal ibadat dan menjaga amal ibadat kita.

Mungkin ada yang kata, kalau umat Islam tidak jihad dan lawan mereka pada waktu itu, maka lemahlah kita. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah suruh umat Islam untuk tunggu sahaja. Sama juga dengan waktu sekarang. Memang ada hukum jihad, tetapi sebenarnya jihad kena ada syarat. Contohnya, kena ada Khalifah seluruh dunia untuk keluarkan arahan jihad.

Lihatlah bagaimana sejarah peperangan Badar. Setelah tertegaknya Islam selama 15 tahun, sudah ada perkara yang boleh dicontohi, barulah dikeluarkan perintah jihad kepada umat Islam waktu itu. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang masa yang sesuai akan tiba. Sementara itu, ambil peluang untuk membuat amal yang boleh mendatangkan pahala.

Allahu a’lam. 

Popular

Iklan

Iklan