Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-109 dan Ke-110

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-109 dan Ke-110

870
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-109

وَدَّ كَثيرٌ مِن أَهلِ الكِتابِ لَو يَرُدّونَكُم مِن بَعدِ إيمانِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِن عِندِ أَنفُسِهِم مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ

Tersangat ingin kebanyakan daripada ahli kitab itu

Allah ‎ﷻ menceritakan apakah keinginan dan rancangan golongan Yahudi itu terhadap orang Islam. Ini adalah fahaman majoriti daripada mereka. Kita kena perhatikan betul-betul perkara ini dan hendaklah kita berjaga-jaga.

لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا

kalaulah sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kufur setelah kamu beriman;

Memang mereka suka kalau umat Islam kembali kafir kerana mereka tidak sukakan Islam. Ini kesinambungan daripada ayat sebelum ini tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tujuan mereka tanya macam-macam kepada Nabi Muhammad ﷺ itu adalah untuk orang Islam murtad dan kembali kafir.

Mereka hendak umat Islam menjadi sangsi dengan agama Islam. Ini akan terjadi kepada orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri. Mereka tidak mahu belajar agama, atau mereka ada belajar tetapi mencari benda yang memeningkan, macam belajar tarekat. Beginilah juga cara Syiah kacau orang Islam zaman sekarang. Yang keliru adalah mereka yang jahil dengan agama sendiri.

Golongan Yahudi itu mengkaji hukum-hukum dalam Islam dengan niat untuk menghentam orang Islam dan agama Islam. Orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri menjadi sasaran orang Yahudi. Mereka tahu ada orang Islam yang jahil dengan agama sendiri dan senang untuk ditipu. Mereka akan persoal tentang hukum agama kepada orang Islam sebegitu sampai mereka tidak boleh jawab.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita, kenapa mereka masuk dalam kelompok orang Islam. Tujuan mereka adalah untuk menimbulkan kesangsian terhadap orang Islam. Sebagai contoh, mereka akan persoalkan tentang hukum hudud. Mereka kata bagaimana hukum hudud boleh dikira sebagai hukum yang adil sampai memotong tangan orang yang mencuri?

Orang yang tidak tahu apakah hukum dan kepentingan hukum itu, mungkin ada yang termakan dengan persoalan-persoalan yang mereka timbulkan.

حَسَدًا

kerana hasad dengki mereka;

Mereka hendakkan kita menjadi kafir juga macam mereka. Kenapa? Kerana hasad. Mereka tidak mahu orang Islam maju kerana kalau Muslim maju, mereka dengan sendirinya akan mundur.

Bayangkan kalau Islam tersebar menyeluruh segenap dunia ini. Bukankah dalam Al-Qur’an dan kitab-kitab Islam yang lain akan menyebut bagaimana Yahudi itu tidak boleh dipercayai? Teruklah mereka kalau begitu. Bayangkan perkara ini disebut dalam bahagian Surah Baqarah yang awal pula.

Awal-awal lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu perangai mereka kepada pembaca Al-Qur’an. Maka, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjatuhkan Islam kerana hendak menjaga pengaruh mereka dalam dunia ini.

مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ

dari sisi diri mereka sendiri

Perasaan hasad dengki itu ada dalam diri mereka. Hati mereka busuk dengan kebencian kepada umat Islam dan agama Islam. Sekarang Allah ‎ﷻ telah membongkar perasaan mereka itu.

مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

selepas telah nyata bagi mereka kebenaran;

Iaitu telah nyata kebenaran Al-Qur’an kepada mereka. Mereka tahu Al-Qur’an itu adalah benar, tetapi kerana Al-Qur’an itu diturunkan kepada selain dari golongan mereka, maka mereka tidak berpuas hati, mereka tidak boleh terima.

Mereka buat semua ini setelah jelas pada mereka yang mereka adalah golongan yang salah. Mereka sudah tahu kebenaran, tetapi tidak mahu ikut kerana hasad dalam diri mereka dan kerana kedegilan mereka.

فَاعْفُوا

Walau macamana pun, jangan kamu peduli;

Allah ‎ﷻ suruh kita jangan pedulikan mereka. Biarkan sahaja apa yang mereka hendak buat. Kata yang sama digunakan oleh Allah ‎ﷻ dalam kita bersikap kepada ahli keluarga kita. Sementara belum datang perintah Allah ‎ﷻ untuk memerangi mereka, biarkan sahaja mereka.

وَاصْفَحُوا

terus kamu berbuat baik dengan mereka;

Jangan hukum mereka lagi. Jangan buat tindakan apa-apa terhadap mereka. Teruskan seperti biasa iaitu terus ajak mereka ke jalan Allah ‎ﷻ.

حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ

sehingga datang keputusan Allah;

Biarkan mereka sehingga datang keputusan yang lain daripada Allah ‎ﷻ iaitu apabila datang perang jihad fisabilillah dengan mereka. Selagi belum dikeluarkan perintah jihad, maka kena teruskan urusan berdakwah kepada mereka.

Maka, bukanlah berterusan kita biarkan mereka. Tunggu sehingga Allah ‎ﷻ datangkan undang-undang baru tentang perintah jihad. Surah Baqarah ini adalah surah yang mula-mula di Madinah dan waktu itu belum boleh berperang lagi. Jadi, jangan bergaduh dengan puak-puak Yahudi itu.

Oleh itu, beri masa untuk bersabar. Sampai nyata yang Yahudi itu memang jenis tidak mengikut kitab mereka sendiri. Memang tidak perlu tunggu lama kerana Yahudi itu memang jenis akan menampakkan kesalahan mereka di khalayak ramai nanti.

Maka, umat Islam diberitahu yang tidak bolehlah terus berperang dengan mereka. Tambahan pula di Mekah umat Islam sudah berbalah dengan puak Quraish. Jangan pula di Mekah berbalah dengan puak Yahudi. Nanti orang luar boleh kata yang Islam ini jenis berbalah sahaja.

Maka, kena bersabar dan duduk dahulu setahun dengan aman di Madinah dan buat perjanjian dengan puak Yahudi itu. Tetapi akhirnya akan diketahui yang mereka itu akan pasti mungkir janji. Maka, waktu itu nanti tidaklah Islam dipersalahkan kerana waktu itu semua orang sudah tahu perangai mereka.

إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Jangan takut yang perasaan yang dengki kepada kita itu akan memudharatkan kita. Allah ‎ﷻ yang berkuasa atas segala sesuatu. Allah ‎ﷻ akan menjaga kita daripada mereka. Walaupun mereka berniat tidak baik kepada umat Islam, tetapi mereka tidak dapat menghancurkan Islam.

Tafsir Ayat Ke-110
Semasa di Mekah, sahabat-sahabat Nabi ﷺ sentiasa meminta supaya mereka diberikan kebenaran untuk berjihad menentang Quraish yang menyeksa mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ akan jawab jangan lagi, sebaliknya dirikanlah salat dan keluarkanlah zakat.

Tetapi zakat mengeluarkan harta hanya difardhukan di Madinah. Oleh itu, zakat di Mekah adalah zakat jiwa, iaitu sahabat disuruh membersihkan jiwa dari syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Apabila sampai di Madinah, zakat yang didirikan adalah zakat harta, iaitu membersihkan harta dari sumber yang tidak bersih. Maka, apabila disebutkan zakat, kena tengok di manakah ayat itu diturunkan.

وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ ۚ وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Dan dirikanlah solat;

Semasa di Mekah, sahabat dirikan salat berjemaah di rumah seorang sahabat yang bernama Arqam رضي الله عنه. Mereka hanya boleh salat berjemaah di situ sahaja kerana mereka tidak boleh untuk pergi ke Kaabah kerana dihalang oleh Musyrikin Mekah.

Tidak pasti bagaimana mereka salat pada waktu itu kerana belum lagi mendapat syariat salat ketika itu iaitu sebelum Nabi ﷺ isra’ mi’raj. Mereka mungkin salat memakai saki baki syariat Nabi Ibrahim عليه السلام. Memang ada lagi saki baki amalan syariat yang telah diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام yang masih lagi diamalkan dalam kalangan masyarakat Arab waktu itu. Kebanyakannya telah ditukar setelah sekian lama, tetapi ada lagi yang mereka amalkan.

Antara maksud dirikan salat adalah: hubungan manusia dengan Allah ‎ﷻ hendaklah didirikan dan dijaga.

وَآتُوا الزَّكَاةَ

dan keluarkanlah zakat;

Ini adalah mendirikan hubungan antara manusia. Kena seimbang antara hablu minallah dan hablu minannas.

Salat dan zakat disebut dalam ayat ini sebagai contoh ibadah dan amalan yang besar. Tetapi bukanlah hanya dua perkara ini sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Ia mewakili segala rukun Islam yang perlu dipenuhi. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru tahu keseluruhan agama. Jangan ambil sedikit-sedikit sahaja.

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu;

Yang didahulukan adalah ibadat-ibadat yang kita hantar kepada Allah ‎ﷻ. Dari segi perkataan, تُقَدِّمُوا bermaksud ‘menghantar ke hadapan’. Amalan-amalan yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk pakai di akhirat kelak. Maka kita hantar ia dahulu ke hadapan. Maksudnya: melakukan amal-amal yang soleh.

تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ

tentulah kamu akan mendapat balasan pahala daripada Allah;

Allah ‎ﷻ akan simpan pahala kita dan akan membalas amalan kita itu dengan kebaikan. Ia tidak akan hilang. Bila kita di akhirat nanti, kita akan bertemu dengan amalan-amalan kita itu.

إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap apa yang kamu lakukan, Maha Melihat;

Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apakah yang kita lakukan. Allah ‎ﷻ tahu sama ada perbuatan kita itu adalah ikhlas ataupun tidak. Sama ada harta yang kita keluarkan itu adalah haram ataupun tidak. Atau harta itu telah bercampur antara sumber yang halal dan haram. Allah ‎ﷻ lihat semuanya.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana orang Yahudi itu dengki dengan kita. Kalau seseorang dengki dengan seseorang, ada kemungkinan mereka akan berbuat sesuatu untuk menjatuhkan kita, untuk memudharatkan kita dan sebagainya.

Memang ada kemungkinan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ juga sudah kata bahawa Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada orang Islam supaya tidak payah fikir banyak pasal Yahudi. Kita kena jaga hal kita. Memang mereka ada masalah tetapi kita kena jaga diri kita. Segala niat jahat mereka tidak akan terjadi tanpa kebenaran dari Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang apakah yang lagi penting daripada memikirkan tentang mereka. Jangan fikirkan tentang apa yang mereka akan buat terhadap kita. Itu semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Yang penting adalah kita kena terus beramal ibadat dan menjaga amal ibadat kita.

Mungkin ada yang kata, kalau umat Islam tidak jihad dan lawan mereka pada waktu itu, maka lemahlah kita. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah suruh umat Islam untuk tunggu sahaja. Sama juga dengan waktu sekarang. Memang ada hukum jihad, tetapi sebenarnya jihad kena ada syarat. Contohnya, kena ada Khalifah seluruh dunia untuk keluarkan arahan jihad.

Lihatlah bagaimana sejarah peperangan Badar. Setelah tertegaknya Islam selama 15 tahun, sudah ada perkara yang boleh dicontohi, barulah dikeluarkan perintah jihad kepada umat Islam waktu itu. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang masa yang sesuai akan tiba. Sementara itu, ambil peluang untuk membuat amal yang boleh mendatangkan pahala.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan