Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-111 hingga Ke-113

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-111 hingga Ke-113

1359
0
Iklan

Tafsir Surat al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-111

Yahudi kata Islam itu sia-sia dan penganutnya tidak akan masuk syurga.

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصارىٰ ۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهانَكُم إِن كُنتُم صادِقينَ

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ

Dan mereka berkata: Tidak akan masuk syurga;

Kepada Ahli Kitab, Islam adalah agama yang sesat, jadi Muslim tidak akan masuk syurga. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan orang Islam sebenarnya menyembah Tuhan Bulan. Pernah keluar dalam makalah dakwah mereka tentang “Moon God” ini.

Malah sekarang, ada di kalangan mereka yang mengatakan kita menyembah syaitan. Apa-apa pun, pada mereka, orang Islam akan masuk neraka. Mereka tidak akan mengiktiraf agama Islam.

إِلَّا مَنْ كَانَ هُودً

melainkan sesiapa yang dari agama Yahudi

Bagi Yahudi, yang akan masuk syurga hanyalah orang yang beragama Yahudi sahaja.

أَوْ نَصَارَىٰ

atau agama Nasrani;

Bagi Nasrani pula, tentu mereka kata yang akan masuk syurga hanya Nasara sahaja. Mereka kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga. Yahudi kata yahudi sahaja yang masuk syurga. Nasrani pula kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga.

Atau ia juga boleh bermaksud mereka mengatakan yang akan masuk syurga hanyalah Yahudi atau Nasrani. Memang mereka tidak sebulu (Yahudi kata Nasrani tidak benar dan Nasrani pula kata Yahudi tidak benar) – ini kita akan belajar dalam ayat ke-113 nanti. Namun, apabila kedua-dua mereka menghadapi Islam, mereka boleh pula berkata yang masuk syurga adalah sama ada Yahudi atau Nasrani, tetapi Muslim tidak akan masuk syurga.

Ini cara mereka hendak melemahkan akidah orang Islam. Yahudi kata syurga itu hanya untuk Yahudi dan Nasara kata syurga itu hanya untuk Nasara. Mereka cakap begitu kerana hendak melemahkan umat Islam. Mereka beri macam-macam hujah dan dengan cara inilah, ramai umat Islam yang murtad. Mereka cakap dengan berbagai-bagai cara penipuan mereka dalam dakwah sampaikan ramai umat Islam tertipu dengan dakwah mereka. Terutama mereka yang tidak mendalami agama sendiri.

Tetapi, ada kalangan kita tidak berani hendak kata bahawa orang Yahudi dan Kristian itu akan masuk neraka sebab kita takut kita dikatakan jumud pula. Maka, macam-macam cara kita cuba beri sebagai dalil ada kebarangkalian mereka masuk syurga juga.

Padahal, kepada ahli agama mereka, senang sahaja mereka mengatakan orang Islam akan masuk neraka. Ingatlah, agama yang hanya diredhai Allah ‎ﷻ adalah agama Islam. Kalau selain dari agama Islam, tidak akan masuk syurga. Maka tidak salah kalau kita kata mereka itu akan masuk neraka dan salah kalau ada orang selain Muslim mati, kita katakan ‘Rest in Peace’; mereka tidak akan berehat dalam alam barzakh dan di akhirat.

Cuma janganlah kita mengutuk atau mengejek mereka. Dalam ayat sebelum ini, kita disuruh supaya فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا dengan mereka iaitu untuk memaafkan mereka dan biarkan dahulu mereka. Begitulah akhlak kita yang sepatutnya dengan mereka dan dengan orang beragama lain. Jangan pandang serong terhadap mereka.

Mereka tidak masuk Islam itu adalah kerana dakwah belum sampai kepada mereka. Atau mereka tidak didakwah dengan cara yang baik. Maka kerana itu mereka belum nampak keindahan Islam. Lebih-lebih lagi kalau mereka melihat perangai orang Islam yang buruk.

Memang banyak dalam kalangan kita yang berperangai buruk dan ini tidak dapat dinafikan. Kadang-kadang perangai orang Islam tidak melambangkan agama Islam yang murni. Ini kerana kita tidak mengamalkan agama Islam dengan sebenarnya. Kita bukan sahaja memandang serong dengan orang bukan Islam, dengan orang Islam pun kita pandang serong. Maka orang bukan Islam kalau tengok Muslim, tidak akan menyangka Islam ini adalah agama yang baik.

Ingatlah bahawa orang bukan Islam ada yang masuk Kristian kerana kebaikan budi yang ditunjukkan oleh mubaligh Kristian. Mereka pandai mengambil hati orang yang bukan Islam. Mereka tidak perlu membawa mesej Injil, tetapi mereka membawa kebaikan budi mereka sahaja. Tetapi kita tidak dapat membawa mesej Al-Qur’an kepada mereka kerana telah ditutup nafsu mereka untuk terima Al-Qur’an kerana perangai kita yang tidak molek.

Mereka hanya boleh memurtadkan orang yang jahil dalam agama dan mereka yang mahukan dunia sahaja. Ini kerana ada manusia yang seperti semut hendakkan gula. Jangan kata non-Muslim, ramai orang Islam yang masuk Kristian kerana termakan budi dengan kebaikan orang-orang Kristian di gereja.

Oleh kerana mereka faham perangai manusia, mubaligh Kristian pun memberikan kenikmatan dunia kepada mereka. Mereka tambah dengan berkata agama mereka lebih mudah untuk masuk syurga. Mereka kata boleh terus masuk syurga sebab Nabi Isa عليه السلام sudah mengorbankan dirinya dibunuh di salib supaya segala dosa umat diampunkan.

Oleh kerana dakyah sebegini, maka ramailah yang murtad dan masuk Kristian – duit dapat, agama pun mudah pula.

تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ

Allah berkata: Itu adalah angan-angan kosong mereka;

Allah ‎ﷻ beritahu yang anggapan mereka itu adalah angan-angan kosong mereka sahaja. Tidak ada bukti yang mengatakan mereka pasti akan masuk syurga. Ia adalah khayalan mereka sahaja kerana dakwaan itu tidak berasas dan tidak ada dalil.

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ

Kata kepada mereka: bawa mari dalil bukti kamu;

Allah ‎ﷻ suruh kita cabar mereka untuk bawakan bukti yang mengatakan hanya mereka sahaja yang akan masuk syurga. Mereka tidak akan dapat berikan bukti.

Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa dalam hal agama, perlu bawa bukti dan dalil dari sumber yang boleh dipercayai. Tidak boleh memakai kata-kata manusia yang berangan-angan sahaja. Macam ada yang kata “Takkan Allah ‎ﷻ tak beri pahala perbuatan amalan ibadat kita ini, walaupun Nabi ﷺ tak pernah buat”.

Itu juga adalah angan-angan kosong. Tidak ada langsung bukti dan dalil yang boleh dibawa. Mereka sendiri tahu bahawa sesuatu amalan bid’ah itu Nabi ﷺ tidak buat. Tetapi mereka berangan yang Tuhan akan menerima amalan itu dan memberikan pahala kepada mereka.

Dalam hal agama, kena ada bukti. Jadi jangan kelam kabut kalau ada orang yang mempersoalkan tentang Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ sendiri sudah cabar mereka untuk buat sesuatu yang seperti Al-Qur’an. Maka, jikalau mereka mencabar Al-Qur’an, itu adalah cabaran bagi kita untuk mempertahankan Al-Qur’an.

Kita pun kena tunjukkan bukti, bukan sedap hendak minta bukti daripada orang lain sahaja. Untuk mengeluarkan bukti itu, kita tentu akan lebih mengkaji tentang Al-Qur’an dan akan mendapat lebih kepercayaan kepada Al-Qur’an akhirnya. Yang penting, kita kena jawab menggunakan ilmu, bukan emosi.

Ayat ini mengajar bahawa kita perlu jawab dengan menggunakan hujah dan dalil sahih. Bukan dengan mengangkat suara dalam perdebatan. Kalau ada yang mengangkat suara, kita tahu bahawa mereka berbuat begitu kerana mereka tidak ada hujah.

إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

sekiranya kamu benar;

Jangan cakap sahaja, kena berikan bukti kalau betul kita benar.

Tafsir Ayat Ke-112:

Allah ‎ﷻ menjelaskan perkara yang sebenar tentang siapakah yang akan masuk syurga.

بَلىٰ مَن أَسلَمَ وَجهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَلَهُ أَجرُهُ عِندَ رَبِّهِ وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ

Bahkan yang sebenarnya sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah;

Yang sebetulnya, yang masuk syurga adalah mereka yang 100% serah diri untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, tidak kira golongan mana dan mereka itu mengharapkan redha Allah ‎ﷻ. Memang perkataan ‘Islam’ itu maknanya serah diri. Maka kena serah diri sepenuhnya, bukan sedikit-sedikit.

Sebagai contoh, katakanlah kita serahkan hadiah berbentuk kain kepada seseorang, tetapi kita kata, kita beri kain itu kepada orang itu, kecuali sehelai benang dari kain itu. Kalau kita buat begitu, ia tidak dikira sebagai beri sebab kita tidak beri sepenuhnya. Maka, kita kenalah taat seluruhnya kepada Allah ‎ﷻ dengan mengikut semua hukum bukan setengah-setengah.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut ‘wajah’ tetapi yang dikehendaki sebenarnya semua anggota.

Ada penafsir yang mengatakan bahawa أَسْلَمَ وَجْهَهُ bermaksud ‘sujud’ kerana kita sujud dengan wajah kita, bukan? Bani Israil juga sebenarnya ada juga sujud dalam ibadat mereka. Tetapi mereka telah meninggalkannya kerana mereka telah lama ubah agama mereka. Mungkin ada sedikit yang masih mengamalkannya tetapi sedikit sangat.

Ia juga merujuk kepada orang merendahkan egonya. Ini kerana selalunya apabila disebut ‘wajah’, ia merupakan imbalan kepada ego.

وَهُوَ مُحْسِنٌ

Dan dia dalam keadaan muhsin;

Iaitu menyerah diri dalam keadaan ikhlas. Ikhlas itu hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Maknanya, tiada syirik khofi (syirik yang kecil). Kadang-kadang, seseorang itu beramal tetapi tidak ikhlas, kerana ada syirik di dalam hatinya.

Contoh syirik hati itu adalah riak, ujub – berasa pandai, berasa diri cantik, sangka ibadat dia paling banyak dan sebagainya. Atau mereka takabur dalam percakapan. Atau mereka ada perasaan hasad dengki, buruk sangka dan cemburu.

Semua itu adalah syirik yang tidak nampak dalam penglihatan kita. Itulah sebabnya ia disebut syirik khofi – iaitu syirik yang tersembunyi. Kenapa ia dipanggil syirik? Ini kerana kita mengharapkan pujian manusia padahal pujian yang kita patut harapkan hanya daripad Allah ‎ﷻ sahaja.

Kalimah مُحْسِنٌ juga diambil dari kata ‘ihsan’. Daripada satu hadith yang dinamakan juga ‘Hadith Jibrail’, Ihsan bermaksud melalukan sesuatu ibadat itu dengan mengetahui bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita. Apabila kita sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita dan perbuatan yang kita lakukan, maka ia akan menyebabkan seseorang itu sentiasa melakukan yang terbaik dalam ibadatnya. Ia akan menyebabkan seseorang itu tidak akan melakukan perbuatan yang salah kerana dia sedar bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikannya.

Perlu juga kita tambah di sini, amalan yang baik juga adalah amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Jikalau amalan itu adalah rekaan manusia, ia bukanlah amalan yang ihsan, tetapi amalan bid’ah. Oleh itu, walaupun kalau seseorang itu ikhlas seikhlas-ikhlasnya dalam melakukan ibadat, namun dalam masa yang sama dia melakukan ibadat yang bid’ah, ia masih tidak diterima kerana tidak mencukupi syarat.

فَلَهُ أَجْرُهُ

kepadanyalah pahala

Mereka yang beramal dengan ikhas dan beramal dari amalan yang soleh, akan mendapat balasan pahala.

عِنْدَ رَبِّهِ

dari sisi Tuhannya.

Pahala yang baik itu daripada sisi Allah ‎ﷻ, daripada pemberian Allah ‎ﷻ. Inilah kaedah Allah ‎ﷻ yang sebenarnya. Sesiapa sahaja yang beramal menepati syaratnya, akan diberi pahala dan dimasukkan ke dalam syurga. Bukannya Allah ‎ﷻ melihat bangsa seseorang itu, tetapi dari amalnya.

Dari pembacaan kita di atas, ada dua syarat untuk kita mendapat pahala dari sisi Allah ‎ﷻ: pertama, amalan itu mestilah ikhlas, dan keduanya ia adalah amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukan amalan bid’ah. Kalau ia hanya ikhlas, tetapi bukan yang ihsan, ia tidak akan diterima.

Dan kalau ia adalah amalan ihsan, tetapi tidak ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Kena memenuhi dua-dua syarat itu, seperti dalam hadith berikut:

Rasulullah ﷺ bersabda,

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal daripada kami, maka amalan tersebut tertolak” (HR. Muslim no. 1718)

وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

dan tidaklah takut ke atas mereka

Mereka tidak akan ada rasa takut; Atau bermaksud mereka tidak perlu takut pada hari akhirat kelak kerana mereka akan selamat. Dalam erti kata lain: tidak ada apa yang perlu ditakuti atas mereka.

Lihatlah bagaimana perubahan penggunaan ayat dalam ayat ini: Di bahagian pertama, Allah ‎ﷻ menggunakan penggunaan kata mufrad (singular): وَجْهَهُ (wajahnya), وَهُوَ (dia – seorang), فَلَهُ أَجْرُهُ (untuknya pahala – seorang juga), عِنْدَ رَبِّهِ (di sisi Tuhannya – seorang juga).

Tetapi di bahagian kedua, Allah ‎ﷻ mengubah penggunaan kata dalam bentuk jamak (plural): عَلَيْهِمْ (atas mereka), وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (mereka tidak akan bersedih). Ini menunjukkan bahawa kadang-kadang dalam kita hendak mengamalkan ajaran agama yang sebenar dan yang sunnah, kadang-kadang kita berseorangan dalam menjalankannya.

Kadang-kadang kita seorang sahaja yang berdakwah mengajak manusia lain mengikuti kita. Tetapi kemudiannya, Allah ‎ﷻ akan memberikan kawan kepada kita dalam perjuangan dakwah ini. Sama ada kita mendapat kawan semasa kehidupan dunia, atau jika tidak, kita akan mendapat kawan di akhirat kelak.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan tidaklah mereka berdukacita;

Iaitu mereka tidak akan berdukacita apabila mereka masuk syurga nanti. Walaupun keluarga mereka tidak masuk syurga, mereka tidak akan berasa dukacita. Ini kerana Allah ‎ﷻ akan beri mereka lupa tentang ahli keluarga mereka yang tidak dapat masuk syurga. Sebab kalau mereka ingat, mereka akan berdukacita pula. Padahal syurga bukanlah tempat untuk berdukacita.

Maka, Allah ‎ﷻ akan beri mereka lupa kepada ahli keluarga mereka yang tidak masuk syurga. Bukan mereka sendiri yang lupa, tetapi Allah ‎ﷻ yang menyebabkan mereka lupa.

Ia juga bermaksud, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia yang mereka sayang ini.

Dari segi bahasa, apabila dikatakan mereka tidak akan berdukacita, bermaksud akan ada manusia yang akan berdukacita nanti di akhirat nanti. Itu adalah orang-orang yang tidak mahu mengikut arahan Allah ‎ﷻ. Iaitu mereka yang tidak mengendahkan agama.

Tafsir Ayat Ke-113

Ayat ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ (syikayah) tentang sifat manusia. Iaitu jenis manusia yang rasa dia sahaja yang betul dan orang lain salah.

Itulah puak yang ada kebenaran pada mereka, tetapi mereka simpan sendiri dan kemudian rasa hebat. Oleh itu, kita jangan jadi macam mereka. Maka kalau kita sudah ada ilmu Al-Qur’an, maka kena sebarkan kepada orang lain kerana kita memang kena suka kalau Al-Qur’an disebarkan. Allah ‎ﷻ memang suruh kita sampaikan ajarannya kepada orang lain. Sebab itu kalau orang yang belajar tafsir Al-Qur’an dengan betul, dia tidak duduk diam dan dia pasti akan sebarkan.

Berlainan dengan fahaman agama yang lain. Agama lain suka kalau dipakai oleh satu kumpulan sahaja. Mereka tidak suka kongsi dengan orang lain. Umpamanya ada satu kelompok yang ada satu sistem perniagaan yang bagus. Dia tidak akan berkongsi dengan orang lain sebab nanti ada saingan. Tetapi ini adalah salah kerana agama bukan seperti perniagaan.

وَقالَتِ اليَهودُ لَيسَتِ النَّصارىٰ عَلىٰ شَيءٍ وَقالَتِ النَّصارىٰ لَيسَتِ اليَهودُ عَلىٰ شَيءٍ وَهُم يَتلونَ الكِتابَ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ مِثلَ قَولِهِم ۚ فَاللَّهُ يَحكُمُ بَينَهُم يَومَ القِيامَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

وَقَالَتِ الْيَهُودُ

Dan berkata orang-orang Yahudi:

Allah ‎ﷻ sekarang hendak membongkar lagi apakah yang berada di dalam hati golongan Yahudi itu.

لَيْسَتِ النَّصَارَىٰ عَلَىٰ شَيْءٍ

Tidaklah orang-orang Nasara itu ada asas apa-apa;

Orang Yahudi hendak mengatakan bahawa orang Nasara tidak berada di atas jalan yang benar. Mereka mengatakan yang orang Nasara itu adalah golongan sesat.

وَقَالَتِ النَّصَارَىٰ

Dan berkata orang-orang Nasara:

Sekarang Allah ‎ﷻ bongkar pula kata-kata Nasara. Mereka pun berkata perkara yang sama juga.

لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَىٰ شَيْءٍ

Tidaklah orang Yahudi itu ada asas apa-apa dalam agama;

Dari sini, kita boleh lihat bagaimana masing-masing mengata puak yang lain tidak betul. Masing-masing sibuk dengan orang lain. Sibuk hendak mengatakan orang lain yang salah. Sibuk hendak mencari kesalahan orang lain.

Padahal, kalau kita lihat ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah memperkatakan tentang Muhsin: mereka yang hanya memikirkan tentang diri sendiri. Mereka sibuk dengan usaha membaiki diri sendiri untuk memastikan apa yang mereka buat adalah benar. Bukan hendak sibuk dengan orang lain. Bukannya hendak sesatkan orang, cari salah orang, katakan diri lebih daripada orang. Ini adalah sifat Kibr yang rasa diri lebih daripada orang lain. Ia adalah salah satu daripada Talbis Iblis. Iblis memang suka kalau kita membanggakan diri dan tengok kelebihan diri sendiri.

Begitulah manusia kalau mereka rasa diri mereka yang betul, mereka akan mencari kesalahan orang lain. Ayat ini menempelak orang Yahudi dan Nasrani, tetapi kalau kita pun macam mereka juga – mencari-cari kesalahan orang lain, maka kita pun sama sahaja seperti mereka. Maka ayat ini ditujukan kepada kita sebenarnya.

Maka, seperti yang kita telah tahu, agama Nasara dan Yahudi itu adalah agama yang sudah tidak tulen lagi. Maka penganutnya akan berusaha supaya golongan mereka sahaja yang baik dan golongan lain tidak. Ini kerana ia adalah agama yang telah diubahsuai dan sudah tidak mengikut acuan agama yang telah Allah ‎ﷻ berikan.

Ini kerana kalau agama yang benar, mereka akan sebarkan agama itu. Tetapi kerana agama itu sudah tidak tulen lagi, akhirnya mereka jadi berpuak-puak dan ada sifat asabiyah. Sama-sama Yahudi dan Nasara kutuk sesama sendiri, rasa diri sendiri yang hebat dan benar. Kalau sifat berpuak memang macam itu kerana setiap puak akan kata puaknya yang paling baik. Lalu akan ada kata mengata.

Masing-masing tuduh pihak yang lain tidak ada asas. Padahal dua-dua puak sepatutnya mengaji kitab wahyu yang ada pada mereka. Sepatutnya mereka ajak mengajak ke arah kebaikan, tetapi sebaliknya mereka kata mengata sahaja. Jadi ini bukan sifat agama Islam. Kalau orang kita buat begini, bermakna orang kita juga sudah meniru sifat buruk dua golongan yang telah sesat itu.

Bandingkan dengan para sahabat. Apabila mereka dapat sahaja Al-Qur’an, mereka kongsi dengan orang lain termasuk Yahudi sekali. Mereka tidak simpan untuk diri mereka sahaja. Sebaliknya mereka menjalankan kerja dakwah besar-besaran. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Bukankah kita memang kena ikut sunnah para sahabat?

وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ

Padahal mereka masing-masing baca kitab;

Padahal mereka masing-masing ada Kitab Taurat, ada Kitab Injil. Untuk kita pula, kita ada Al-Qur’an. Sepatutnya sudah ada ilmu dan panduan, namun malangnya masih lagi keliru. Begitulah kalau ilmu wahyu tidak dipelajari.

Yahudi kafir kerana menolak Nabi Isa عليه السلام dan tolak kitab Injil. Nasara pula kafir sebab mengangkat Nabi Isa عليه السلام sebagai anak tuhan. Dua golongan ini yang ada kitab dan tidak sepatutnya mereka jadi begitu.

Mereka mencari-cari dalam kitab mereka untuk mencari salah orang lain. Yahudi mencari salah orang Nasrani dan orang Nasrani pula mencari salah Yahudi. Macam kita juga, ada yang mencari-cari dalam Al-Qur’an mencari dalil untuk menyalahkan orang lain. Minta ayat Al-Qur’an dengan ustaz kerana hendak berdebat dengan golongan lain. Mencari silap orang lain dan rasa diri sudah selamat. Maka, kalau kita begitu juga, kita pun sama macam mereka juga.

كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Begitulah yang telah berkata orang-orang yang tidak tahu;

Terdapat tiga jenis golongan yang disebut dalam ayat ini: Yahudi, Nasrani dan orang yang tidak tahu. Tidak dijelaskan siapakah golongan yang ‘tidak tahu’ itu. Tetapi pendapat yang kuat mengatakan mereka itu adalah orang-orang yang buta huruf, iaitu Musyrikin Mekah.

Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab. Mereka hanya ada ajaran turun temurun daripada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, namun lama-kelamaan telah hilang daripada mereka kerana mereka banyak membuat amalan bid’ah. Mereka reka amalan-amalan baru atau mengubah ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, sama sahaja dengan orang kafir Mekah yang tidak ada kitab. Mereka pun sangka mereka benar. Mereka kata mereka lebih baik daripada Yahudi dan Nasara itu. Mereka kata yang betulnya adalah Parsi sebab Parsi puja jin sebab itu adalah golongan yang mereka sokong.

Allah ‎ﷻ menyamakan orang yang mencari-cari salah orang lain sebagai orang yang bodoh. Jadi kalau kita cari dalil dalam al-Qur’an untuk mencari kesilapan orang lain, maka kita pun dikira orang bodoh juga.

مِثْلَ قَوْلِهِمْ

seperti kata-kata mereka;

Mereka pula berkata puak-puak Yahudi dan Nasara pun tidak betul. Mereka kata, mereka yang betul. Sekarang, Syiah pun kata begitu juga. Syiah pun kata mereka yang betul, padahal mereka tidak sedar bahawa ajaran mereka itu adalah ajaran yang sesat. Jadi biasa sahaja golongan yang mengaku mereka sahaja yang benar dan orang lain salah. Perkara ini berlaku turun temurun.

فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maka Allahlah yang akan buat kehakiman diantara mereka pada hari Kiamat;

Allah ‎ﷻ akan menghakimi, iaitu Allah ‎ﷻ akan beritahu siapakah yang betul di antara mereka itu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Dialah Hakim yang sebenarnya, bukan kita. Bukan tugas kita untuk mengatakan siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Allah ‎ﷻ sahajalah yang boleh menentukan siapa yang benar. Jadi tidak perlu kita hendak kata orang itu salah, orang itu benar. Jangan mencari-cari dalam Al-Qur’an tentang siapakah yang salah. Jangan sengaja mencari kesalahan orang kerana hendak merendahkan orang lain. Yang kita hendak adalah mencari kebenaran.

Tetapi masalahnya, Allah ‎ﷻ hanya akan beritahu siapa yang benar itu di akhirat nanti. Sudah terlambat untuk berbuat apa-apa lagi pada waktu itu. Waktu itu adalah keputusan ‘amali’ di mana selepas diberitahu siapa yang salah dan benar, yang benar akan masuk syurga dan yang salah akan masuk neraka. Kalau kita baru tahu waktu itu yang kita adalah pihak yang salah, bagaimana?

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

terhadap apa yang mereka selisihkan;

Orang Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang masuk syurga. Iaitu mereka yang mengikut ajaran Al-Qur’an dan sunnah Nabi ﷺ dan mengikut perbuatan para sahabat Nabi ﷺ. Ramai yang tidak tahu maksud Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) itu sendiri.

Ahli Sunnah: mereka yang mengikut sunnah perbuatan Nabi ﷺ. Kalau bukan yang sunnah, bukan yang Nabi ﷺ ajar, mereka tidak buat.

Wal Jamaah: Jamaah itu bermaksud kumpulan. Tetapi kumpulan siapakah yang dimaksudkan? Ia adalah jamaah atau kumpulan sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Merekalah yang telah dididik sendiri oleh Nabi ﷺ. Merekalah yang tahu bagaimana perbuatan Nabi ﷺ. Maka mereka lebih tahu tentang agama berbanding kita.

Jadi, kita kena tengok apakah perbuatan mereka. Adakah mereka melakukan sesuatu amalan itu? Adakah para sahabat mengadakan Majlis Tahlil? Adakah mereka mengadakan Talqin kepada arwah? Adakah mereka berzikir ramai-ramai? Adakah mereka melakukan salat Hajat berjemaah?

Adakah mereka mengajar untuk sedekah pahala kepada si mati? Kalau tidak ada, maka itu bukanlah amalan mereka. Jadi kenapa senang hendak mengatakan diri itu dalam ASWJ jikalau mereka tidak memenuhi kriteria ASWJ? Kalau mereka bukan ahli ASWJ, maka mereka ahli kumpulan yang mana?

Maka sesiapa yang kata mereka Ahli Sunnah wal Jamaah, tetapi masih berbuat bid’ah, mereka sebenarnya berdusta, kerana mereka bukan ASWJ. Mereka sebenarnya dipanggil Ahli-ahli Bidaah.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan