Utama Blog Halaman 23

Fiqh Asasi Pemula: Kitab Salat – Fardhu dan Sunnah Salat (Takbiratul Ihram, Angkat Tangan dan Meletak Pada Dada)

0

Kitab   : Salat

Bab     : Fardhu dan Sunnah Salat

Bahagian : B. Takbiratul Ihram

                  C. Angkat Tangan dan Meletak Pada Dada

          1. Meletakkan tangan di atas dada
          2. Cara mengangkat tangan semasa takbir
          3. Waktu mengangkat tangan

B. Takbiratul Ihram

Selepas niat, langkah pertama adalah takbir. Seseorang mengangkat kedua tangannya dan mengucapkan ‘Allahuakbar‘ ketika memulai salat, ini dinamakan takbiratul ihram. 

Takbiratul ihram adalah termasuk rukun salat, salat tidak sah tanpanya. Dalilnya adalah daripada hadith yang dikenali sebagai hadith al musi’ shalatuhu, iaitu tentang seorang sahabat yang belum faham cara salat, hingga setelah dia selesai salat Nabi ﷺ terus mengajarinya.

✍🏻 Baginda ﷺ bersabda kepadanya:

ارجِعْ فَصَلِّ فإنك لم تُصلِّ

“Ulangi lagi, kerana engkau belum salat.”

Syarah: Ini menunjukkan salat yang sahabat itu lakukan tidak sah sehingga tidak teranggap sudah menunaikan salat.

✍🏻 Kemudian Nabi ﷺ mengajarkan salat yang benar kepadanya dengan bersabda:

إذا قُمتَ إلى الصَّلاةِ فأسْبِغ الوُضُوءَ، ثم اسْتقبل القِبْلةَ فكبِّر…

“Jika engkau hendak salat, ambillah wudhu’ lalu menghadap qiblat dan bertakbirlah…” 

(Bukhari No.757 dan Muslim No.397)

Syarah: Hadith ini juga menunjukkan bahawa tidaklah Nabi ﷺ mengajar lafaz niat, bukan?

Para ulama’ mengatakan, dinamakan  takbiratul ihram kerana dengan melakukannya, seseorang diharamkan melakukan hal-hal yang sebelumnya halal, hingga salat selesai. 

✍🏻 Sebagaimana hadith;

مفتاح الصلاة الطهور وتحريمها التكبير وتحليلها التسليم

“Pembuka salat adalah bersuci (wudhu’), yang mengharamkan adalah takbir dan yang menghalalkan adalah salam.”

(Abu Daud No.618, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Abu Daud)

Sebagaimana kita ketahui, ketika dalam keadaan salat, kita diharamkan berbicara, makan, minum dan perbuatan lain hingga salat selesai.

Takbiratul ihram itu wajib diucapkan dengan lisan, tidak boleh hanya diucapkan di dalam hati. Lalu para ulama’ berselisih pendapat apakah dipersyaratkan suara minima bagi takbir perlu didengar oleh diri sendiri atau tidak. 

📍 Sebahagian ulama’ seperti Hanabilah mensyaratkan demikian, iaitu suara takbir dapat didengar oleh orang di sebelahnya atau minimum dapat didengar oleh si pengucap sendiri (Syarhul Mumthi’, 3/20). Namun yang rajih, hal ini tidak disyaratkan. 

Syeikh Al-Utsaimin رحمه الله mengatakan: 

“Yang benar, tidak disyaratkan seseorang itu dapat mendengar suara takbirnya kerana terdengarnya takbir itu zaaid (objek eksternal) daripada pengucapan. Maka, bagi yang mengatakan hal ini diwajibkan, sepatutnya mendatangkan dalil.” 

(Syarhul Mumthi’, 3/20)

C. Angkat Tangan dan Meletak Pada Dada 

Para ulama’ bersepakat bahawa disyar’iatkan untuk mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram dan semasa berubah rukun (takbir intiqal). 

✍🏻 Dalilnya pada hadith;

أنَّ النبيَّ صلّى الله عليه وسلّم كان يرفعُ يديه حذوَ مَنكبيه؛ إذا افتتح الصَّلاةَ، وإذا كبَّرَ للرُّكوع، وإذا رفع رأسه من الرُّكوع

“Nabi ﷺ biasanya ketika memulai salat, ketika takbir untuk rukuk dan ketika mengangkat kepala setelah rukuk, Baginda mengangkat kedua tangannya setinggi bahunya” 

(Bukhari No.735)

Namun, mereka berselisih pendapat mengenai hukumnya. Sebahagian ulama’ mengatakan hukumnya wajib, seperti Al-Auza’i, Al-Humaidi, Ibnu Khuzaimah dan Al-Hakim رحمه الله. Dalil mereka adalah kerana hadith-hadith menunjukkan bahawa Nabi ﷺ selalu mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram. 

Sedangkan Baginda ﷺ bersabda:

صلوا كما رأيتموني أصلي

“Salatlah sebagaimana kalian melihat aku salat.” 

(Bukhari No.5549).

Namun, pendapat ini tidak tepat kerana banyak tata cara salat yang Baginda ﷺ selalu lakukan seperti duduk tawarruk, duduk iftirasy, berdoa istiftah dan lain-lain namun tidak wajib hukumnya. Bahkan, ini semua tidak dinilai wajib oleh ulama’ yang mewajibkan mengangkat tangan ketika takbiratul ihram. Sehingga ada idthirad (kegoncangan) pada pendapat ini.

📌 Yang benar, Ibnul Munzir رحمه الله telah menukil ijma ulama’ bahawa mengangkat tangan ketika takbiratul ihram itu hukumnya sunnah (Shifatu Shalatin Nabi, 63-67).

Sekarang timbul persoalan yang agak menarik: Berapa tinggi tangan diangkat semasa takbiratul ihram? 

Kedua tangan diangkat setinggi bahu atau setinggi hujung telinga? 

✍🏻 Berdasarkan hadith;

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ إذا قام إلى الصلاةِ يرفعُ يديه حتى إذا كانتا حذوَ مِنكَبيه

“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika salat Baginda mengangkat kedua tangannya sampai setinggi bahunya.” 

(Ahmad 9/28, Ahmad Syakir mengatakan: sanad hadith ini sahih)

✍🏻 Juga hadith;

كانَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم إذا افتتحَ الصلاةَ رفع َيدَيهِ حتى تكوناَ حَذْوَ أُذُنَيهِ

“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika memulai salat Baginda mengangkat kedua tangannya sampai setinggi kedua telinganya.” 

(Al-Baihaqi 2/26)

✍🏻 Serta hadith daripada Malik bin Huwairith رضي الله عنه

أنه رأى نبي الله صلى الله عليه وسلم . وقال : حتى يحاذي بهما فروع أذنيه

“Dia melihat Nabi ﷺ salat, dia berkata (tangannya diangkat) sampai setinggi pangkal telinganya.” 

(Muslim No.391 dan Abu Daud No.745)

Ini adalah khilaf tanawwu’ (perbezaan variasi). Seseorang boleh memilih salah satu daripada cara yang ada. Bahkan, yang lebih utama terkadang mengamalkan yang satu dan terkadang mengamalkan yang lain, sehingga masing-masing daripada sunnah ini tetap lestari dan diamalkan.

Saya katakan tadi yang perbincangan ini menarik kerana pernah timbul isu seorang ustaz berkata cara untuk kenal seorang itu ‘Wahabi’ adalah dengan melihat cara mereka mengangkat takbir. Kalau setakat bahu (“style Batman” katanya), itulah Wahabi. Mungkin dia tidak tahu tentang hadith-hadith ini sehingga dia berkata demikian.

Selain daripada takbiratul ihram, kita disyariatkan juga untuk mengangkat tangan semasa berubah rukun. Ini dinamakan takbir intiqal. Yang selalu Baginda lakukan adalah:

  • Ketika rukuk
  • Bangkit dari rukuk
  • Bangkit dari rakaat kedua
  1. Meletakkan tangan di atas dada
  • Sedekap

Ini adalah perbuatan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. Kita panggil sedekap. Para ulama’ bersepakat bahawa bersedekap ketika salat adalah hal yang disyariatkan.

✍🏻 Ini berdasarkan hadith daripada Sahl bin Sa’ad رضي الله عنه

كان الناسُ يؤمَرون أن يضَع الرجلُ اليدَ اليُمنى على ذِراعِه اليُسرى في الصلاةِ

“Dahulu orang-orang diperintahkan untuk meletakkan tangan kanan di atas lengan kirinya ketika salat.” 

(Bukhari No.740)

Syarah: Walaupun dalam hadith Bukhari ini terdapat ungkapan perintah untuk bersedekap, namun tidak diketahui perkataan daripada salaf (baik daripada sahabat, tabi’in, mahupun tabi’ut tabi’in) ataupun para imam mazhab yang menyatakan wajibnya bersedekap dalam salat. (Lihat Sifat Shalat Nabi Lit Tharifi, 84)

Dengan demikian bersedekap dalam salat hukumnya sunnah, tidak sehingga menjadi wajib.

Letak tangan kanan pula ada para ulama’ bersepakat bahawa tangan kanan berada di atas tangan kiri, namun mereka berbeza pendapat mengenai perincian bentuk sedekap, yang merupakan khilaf tanawwu’ (perbezaan dalam variasi). Walaupun demikian, cara bersedekap yang benar dibahagi menjadi dua cara:

⇒ Cara pertama iaitu al wadh’u (meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri tanpa melingkari atau menggenggam).  Maknanya letak sahaja tangan kanan atas tangan kiri. 

Tiga posisi letak tangan kanan: 

  • di belakang tapak tangan kiri
  • di pergelangan tangan kiri 
  • di lengan bawah tangan kiri. 

✍🏻 Dalilnya, hadith daripada Wa’il bin Hujr رضي الله عنه tentang sifat salat Nabi ﷺ,

ثم وضَع يدَه اليُمنى على ظهرِ كفِّه اليُسرى والرُّسغِ والساعدِ

“..setelah itu Baginda ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas punggung tangan kiri, atau di atas pergelangan tangan atau di atas lengan.” 

(Abu Daud No.727, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Abu Daud)

⇒ Cara kedua iaitu al qabdhu iaitu jari-jari tangan kanan melingkari atau menggenggam tangan kiri. 

✍🏻 Dalilnya, hadith daripada Wa-il bin Hujur رضي الله عنه:

رأيتُ رسولَ اللَّهِ إذا كانَ قائمًا في الصَّلاةِ قبضَ بيمينِهِ على شمالِهِ

“Aku Melihat Nabi ﷺ apabila berdiri dalam salat Baginda melingkari tangan kirinya dengan tangan kanannya.” 

(An-Nasa’i  No.886, Al-Baihaq No. 2/28, disahihkan Al-Albani dalam Sahih An-Nasa’i)

Adapun selain daripada dua cara ini, iaitu meletakkan tangan kanan di siku kiri atau di lengan atas, adalah kekeliruan dan tidak ada satu pun ulama’ yang membolehkannya. 

📍Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin رحمه الله mengatakan: 

“Kita pernah melihat orang yang bersedekap dengan memegang sikunya, apakah ini ada dasarnya? Jawabnya, ini tidak ada dasarnya sama sekali.” 

(Syarhul Mumthi’, 3/36)

Sebahagian ulama’ membezakan tata cara bersedekap lelaki dengan wanita, namun yang tepat tata cara bersedekap lelaki dengan wanita adalah sama kerana pada asalnya tata cara ibadah yang dicontohkan oleh Nabi ﷺ itu berlaku untuk lelaki dan wanita kecuali ada dalil yang membezakannya.

  • Di manakah pula letak dua tangan kita?

Pernahkah anda dengar ada yang berkata: “Kalau nak kenal Wahabi, mereka akan sedekap di dada.” Benarkah itu ciri-ciri wahabi? Jika begitu, Nabi Muhammad ﷺ pun Wahabi jugalah? Oleh itu, di manakah kita hendak meletak tangan kita semasa berdiri? Terdapat pelbagai cara sedekap daripada dalil-dalil.

Para ulama’ berbeza pendapat mengenai letak sedekap. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat bahawa letak sedekap adalah di bawah pusat. 

✍🏻 Berdasarkan dalil hadith;

أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : مِنَ السُّنَّةِ وَضْعُ الْكَفِّ عَلَى الْكَفِّ فِي الصَّلَاةِ تَحْتَ السُّرَّةِ

“Ali رضي الله عنه berkata: Termasuk sunnah, meletakkan tapak tangan di atas telapak tangan dalam salat di bawah pusat.” 

(Abu Daud No.758 dan Al-Baihaqi 2/31)

Namun, hadith ini sangat lemah kerana ada perawi yang bernama Ziad bin Zaid Al Kufi statusnya majhul ‘ain, dan Abdurrahman bin Ishaq yang berstatus dhaiful hadith.

Adapun Syafi’iyyah dan Malikiyyah berpendapat di bawah dada dan di atas pusat. 

✍🏻 Dalilnya hadith Wail bin Hujr رضي الله عنه;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى ثُمَّ يَشُدُّ بَيْنَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ

“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mengencangkan keduanya di atas dadanya ketika Baginda salat” 

(Abu Daud No.759, Al-Baihaqi 4/38, At-Tabrani dalam Mu’jam Al Kabir No.3322)

Syafi’iyyah dan Malikiyyah memaknai bahawa maksud lafadz عَلَى صَدْرِهِ adalah bahagian akhir dada. Namun, kesahihan hadith ini diperselisihkan oleh para ulama’. Yang tepat insya-Allah, hadith ini lemah. Letak kelemahannya pada perawi Mu’ammal bin Isma’il, yang dapat diperincikan sebagai berikut:

Juga dinukil sebagai salah satu pendapat Imam Ahmad رحمه الله bahawasanya letak sedekap betul-betul di atas dada, sesuai zahir hadith. Ini juga yang dikuatkan oleh Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin dan juga Syeikh Al-Albani رحمه الله.

📌 Disebabkan tidak ada hadith sahih daripada Nabi ﷺ tentang di mana tangan perlu diletakkan, yang tepat ialah tidak ada batasan letak sedekap. Dalam hal ini perkaranya luas iaitu boleh sedekap di atas dada, di bawah dada, di perut, di atas pusat mahupun di bawah pusat. (Lihat Sifat Salat Nabi Lit Tharifi, 90)

Semoga keterangan ini dapat menyelesaikan permasalahan dalam kalangan masyarakat kita. Tangan boleh diletak di mana-mana bahagian tubuh, asalkan di bahagian ‘tengah tubuh’.

Adapun bagi mereka yang bersedekap di dada kiri atau di rusuk kiri dengan beralasan bahawa itu adalah tempatnya jantung, ini adalah alasan yang direka dan tidak ada asalnya. Kadangkala ada juga kita tengok orang sedekap senget ke sebelah kiri. Ini juga tidak ada dalilnya dan patut ditinggalkan. Ada kekeliruan dalam cara itu.

  1. Cara mengangkat tangan semasa takbir 

Jari-jari direnggangkan, tidak terlalu terbuka dan juga tidak dirapatkan. 

✍🏻 Berdasarkan hadith;

كان إذا قام إلى الصلاة قال هكذا – وأشار أبو عامر بيده ولم يفرج بين أصابعه ولم يضمها

“Biasanya Nabi ﷺ jika salat Baginda begini, Abu Amir (perawi hadith) mengisyaratkan dengan gerakan tangannya, Baginda tidak membuka jari-jarinya dan tidak merapatkannya.” 

(Ibnu Khuzaimah No.459, disahihkan Al-Albani dalam sahih Ibnu Khuzaimah)

Untuk telapak tangan, sebahagian ulama’ seperti Ibnul Qayyim, At Thahawi, Abu Yusuf رحمه الله dan sebahagian besar Hanabilah menganjurkan mengarahkan telapak tangan lurus ke arah qiblat ketika mengangkat kedua tangan.

✍🏻 Berdalil dengan hadith;

إذا استفتح أحدُكم الصلاةَ فليرفع يديْهِ ، وليستقبل بباطنِهما القِبلةَ

“Jika salah seorang kalian memulai salat hendaklah mengangkat kedua tangannya, lalu hadapkan kedua telapak tangannya ke arah qiblat.” 

(Al-Baihaqi dalam Sunan Al Kubra 2/27, dalam Silsilah Adh Dhaifah (2338) Al-Albani berkata: “dhaif jiddan”)

Terdapat beberapa hadith lain yang semakna namun tidak ada yang sahih. 

✍🏻 Adapun hadith daripada Wa-il bin Hujr رضي الله عنه;

لأنظرن الى صلاة رسول الله صلى الله عليه و سلم قال فلما افتتح الصلاة كبر ورفع يديه فرأيت إبهاميه قريبا من أذنيه

“Sungguh aku menyaksikan Nabi ﷺ salat, ketika Baginda memulai salat Baginda bertakbir lalu mengangkat kedua tangannya sampai aku melihat kedua ibu jarinya dekat dengan kedua telinganya” 

(An-Nasa’i No.1101. Disahihkan Al-Albani dalam Sunan An-Nasa’i)

Oleh itu, hadith ini bukan merupakan dalil yang sarih akan perbuatan ini. Namun memang terdapat atsar sahih daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما.

✍🏻 Lafaz atsarnya;

انه كان اذا كبر استحب ان يستقبل بإبهامه القبلة

“Ibnu Umar رضي الله عنهما biasanya ketika bertakbir beliau menyukai menghadapkan kedua ibu jarinya ke arah qiblat” 

(Ibnu Sa’ad dalam Ath Thabaqat 4/157, dinukil daripada Sifatu Salatin Nabi, 63)

Daripada hadith ini, sebahagian ulama’ berdalil dengan keutamaan menghadap qiblat di luar dan di dalam ibadah. 

✍🏻 Di antaranya seperti ayat;

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu memandang ke langit maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke qiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya” 

[Al-Baqarah:144]

✍🏻 Juga hadith Nabi ﷺ:

البيتِ الحرامِ قبلتِكم أحياءً وأمواتًا

“Masjidil Haram adalah qiblat kalian ketika hidup mahupun ketika mati.” 

(Abu Daud No.2875)

Hadith ini diperselisihkan kesahihannya dan secara umum ini adalah pendalilan yang tidak sarih (tegas). Oleh kerana itu, yang rajih insya-Allah, mengarahkan kedua telapak tangan ke qiblat ketika takbiratul ihram itu boleh dilakukan sebagaimana perbuatan Ibnu Umar رضي الله عنهما namun tidak sampai disunnahkan. (Sifatu Salatin Nabi, 63-66)

  1. Waktu mengangkat tangan

📍Persoalan: Adakah Takbir Dahulu Atau Angkat Tangan Dahulu?

Menurut Malikiyyah dan Syafi’iyyah, takbir bersama dengan mengangkat tangan. Inilah yang biasa dilakukan di negara ini. 

Sedangkan Hanafiyyah dan salah satu pendapat Syafi’iyyah, mengangkat tangan itu sebelum takbir. 

Sebahagian ulama’ Hanafiyah juga berpendapat mengangkat tangan itu setelah takbir.

📌 Yang benar, kita ada pilihan untuk memilih takbir daripada salah satu daripada tiga cara ini, ertinya boleh mengangkat tangan dahulu sebelum takbir, boleh setelah takbir dan dibolehkan juga bersama dengan takbir kerana semua ini pernah dipraktikkan oleh Nabi ﷺ. (Sifati Salatin Nabi, 193-199)

Dalil sebelum takbir:

✍🏼 Hadith daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ رفع يديه حتى تكونا حذو منكبيه ثم كبَّر

“Pernah Rasulullah ﷺ ketika salat Baginda mengangkat kedua tangannya sampai keduanya setinggi bahu, lalu bertakbir.” 

(Muslim No.390)

✍🏻. Hadith daripada Abu Humaid As Sa’idi رضي الله عنه:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ يرفع يديه حتى يحاذي بهما منكبيه، ثم يكبر

“Pernah Rasulullah ﷺ ketika salat Baginda mengangkat kedua tangannya sampai keduanya setinggi bahu, lalu bertakbir.” 

(Abu Daud No.729, disahihkan Al-Albani dalam sahih Abu Daud)

Dalil bersamaan dengan takbir:

✍🏻  Hadith daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما:

رأيت النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افتتح التكبير في الصلاة، فرفع يديه حين يكبر حتى يجعلهما حذو منكبيه، وإذا كبَّر للركوع؛ فعل مثله

“Aku melihat Nabi ﷺ memulai salatnya dengan takbir. Lalu Baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir hingga keduanya setinggi bahu. Jika Baginda hendak rukuk, Baginda juga melakukan demikian.” 

(Bukhari No.738)

✍🏻  Hadith Malik Ibnul Hawarith رضي الله عنه:

أن رسول الله كان إذا صلى ، يرفع يديه حين يكبر حيال أذنيه ، وإذا أراد أن يركع ، وإذا رفع رأسه من الركوع

“Rasulullah ﷺ biasanya jika salat Baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir hingga sampai setinggi kedua telinganya. Baginda lakukan itu juga ketika hendak rukuk atau hendak mengangkat kepala dari rukuk.”

(An-Nasa’i No.879, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Sunan Nasa’i)

Dalil setelah takbir:

✍🏻 Atsar daripada Abu Qilabah رحمه الله,

أنه رأى مالك بن الحويرث ، إذا صلى كبر . ثم رفع يديه . وإذا أراد أن يركع رفع يديه . وإذا رفع رأسه من الركوع رفع يديه . وحدث ؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يفعل هكذا

“Ia melihat Malik bin Al Huwairith رضي الله عنه jika salat beliau bertakbir, lalu mengangkat kedua tangannya. Jika beliau ingin rukuk, beliau juga mengangkat kedua tangannya. Jika beliau mengangkat kepala dari rukuk, juga mengangkat kedua tangannya. Dan beliau pernah mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ juga melakukan seperti itu.” 

(Muslim No. 391)

Sekian, Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-13 hingga Ke-15

0

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-13

Oleh kerana mereka memungkiri janji, maka Allah ‎ﷻ timpakan 5 perkara ke atas mereka.

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثٰقَهُمْ لَعَنّٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قٰسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

(Tetapi) kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat kekhianatan daripada mereka kecuali sedikit di antara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ

Kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka,

1. Maka Allah ‎ﷻ laknat mereka. Jika Allah ‎ﷻ telah melaknat, maka tidak ada peluang untuk mendapat rahmat iaitu Allah ‎ﷻ menjauhkan mereka daripada perkara yang hak dan mengusir mereka dari jalan hidayah. Maka umat Islam sekarang kena berhati-hati supaya jangan jadi seperti mereka.

وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

dan Kami jadikan hati mereka keras membatu.

2. Hati mereka keras seperti batu untuk menerima kebenaran dan keras hati untuk menerima nasihat. Apabila nasihat disampaikan kepada mereka, ia tidak memberi bekas. Ya Allah, janganlah Kau jadikan kami seperti mereka! Aameen.

Perkara ini adalah sama seperti karat pada hati yang Allah ‎ﷻ telah sebut dalam [ Mutaffifin:14 ]

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.

Ada satu hadith tentang hal ini di mana Rasulullah ﷺ telah mentafsir ayat ini. Kita boleh lihat hadith daripada Abi Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}.

Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-raan (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

(Riwayat al-Nasa’iy (11594))

Apabila sudah hitam hatinya, maka dia sudah tidak kisah lagi dengan perbuatannya. Dia sudah tidak kisah halal atau haram, baik atau buruk. Semua ikut nafsu dia sahaja; apa yang dia hendak buat, dia buat sahaja tanpa banyak fikir lagi,

Dia sentiasa membuat dosa yang sama umpama ‘daya inersia’ (kekal dalam keadaan yang sama) kerana dia sudah lali dengan perbuatan dosa. Dia sudah tidak dapat ‘brek’ lagi daripada perbuatan dosanya itu. Dia bagaikan sudah ketagih dengan dosanya sendiri; dosa tersebut menjadi tabiat yang kekal sebati dalam jiwanya.

يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ

Mereka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya,

3. Iaitu mereka mengubah matan (teks) Kitab Taurat atau, mereka ubah makna daripada yang sepatutnya (beri penafsiran yang lain, jauh daripada yang kebenaran). Ini terjadi apabila sudah lali dengan perbuatan dosa. Sampai mereka sanggup membuat dosa yang amat tinggi sekali iaitu mengubah kalam Allah ‎ﷻ sendiri.

Mengubah kalam Allah ‎ﷻ adalah perbuatan yang buruk. Begitu jugalah seperti kebanyakan perbuatan guru-guru kita yang salah dalam mengajar. Mereka menggunakan juga ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi mereka telah mengubah maknanya sampai keliru orang awam yang tidak faham bahasa Arab dan yang tidak belajar tafsir.

Kerana itulah ramai yang melakukan ibadah yang salah dan fahaman yang syirik dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Ini kerana ramai yang tidak tahu tentang Al-Qur’an dan mereka diberikan maklumat yang salah tentangnya.

وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ

dan mereka melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan dengannya,

4. Mereka lupa sebahagian besar hukum yang mereka perlu taati. Sedangkan ayat-ayat itu tentang perkara yang mereka selalu diingatkan untuk menegakkannya. Ini juga kesan daripada kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan.

Maka kerana mereka lupa, mereka tidak beramal dengannya. Memang banyak daripada Taurat yang mereka tidak amalkan. Mereka amalkan mana yang mereka mahu sahaja. Jika ada yang mereka rasa susah untuk amal dan tegakkan, mereka buat tidak kisah sahaja.

وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ

dan kamu senantiasa akan melihat kekhianatan daripada mereka kecuali sedikit di antara mereka

5. Berlaku khianat dalam kalangan mereka dan mereka juga akan melakukan khianat kepada muslimin. Hati mereka tidak tenteram kalau melihat umat Islam berjaya. Mereka akan cuba untuk menjatuhkan umat Islam. Perkara ini telah banyak dibincangkan dalam Surah Baqarah sebelum ini.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang kebanyakan daripada mereka akan melakukan khianat dan sedikit sahaja yang masuk Islam.

فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ

maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka,

Kita disuruh memaafkan mereka dan jangan pedulikan mereka. Jangan hukum lagi apa yang mereka buat dahulu. Dakwah sahaja kepada mereka dahulu. Ada benda lain yang lebih penting lagi daripada menghukum mereka. Biarlah sahaja Allah ‎ﷻ yang menghukum.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat:

قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلا بِالْيَوْمِ الآخِر

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian. (At-Taubah: 29), hingga akhir ayat.

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Allah ‎ﷻ sukakan hamba yang memiliki hati yang baik dan yang juga cuba memperbaiki diri mereka dari masa ke semasa.

Tafsir Ayat Ke-14

Contoh kedua selepas diberikan contoh daripada Ahli Kitab. Sebelum ini telah disebutkan contoh Yahudi sekarang disebutkan pula contoh daripada golongan Nasara pula.

وَمِنَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَٰرَىٰ أَخَذْنَا مِيثَٰقَهُمْ فَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ وَسَوْفَ يُنَبِّئُهُمُ اللهُ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Dan di antara orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya kami ini orang-orang Nasrani”, ada yang telah Kami ambil perjanjian mereka, tetapi mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diberi peringatan dengannya; maka Kami timbulkan di antara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat. Dan kelak Allah akan memberitakan kepada mereka apa yang mereka kerjakan.

وَمِنَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَٰرَىٰ أَخَذْنَا مِيثَٰقَهُمْ

Dan di antara orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya kami ini orang-orang Nasrani”, ada yang telah Kami ambil perjanjian mereka,

Ini pula tentang perjanjian yang telah diadakan dengan golongan Nasara (Kristian). Mereka kata kononnya mereka ikut Nabi Isa ‎ﷻ (Jesus) tetapi kalau dikaji, mereka tidak ikut sebenarnya. Kita amat berterima kasih dengan apa yang disampaikan dan dilakukan oleh golongan ulama’ hebat seperti Ahmad Deedat dan Zakir Naik yang telah membuka kisah mereka dan membuka rahsia mereka.

Kerana itu kita hairan kenapa ada golongan Islam sendiri yang tidak suka kepada mereka berdua sampai sanggup mereka mengatakan yang Zakir Naik itu Wahabi? Dari sini, kita tahulah siapakah musuh Islam dalam selimut. Mereka mengaku Islam, tetapi sebenarnya mereka itu hendak menjatuhkan Islam tanpa mereka sedari. Yang jelas, ini telah membuka kebodohan mereka sendiri.

Sepatutnya yang kita perlu lakukan adalah menyokong golongan sebegini yang telah banyak mengislamkan ramai golongan non-Muslim. Kita juga patut belajar banyak daripada mereka dengan meneliti apakah hujah-hujah mereka.

فَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ

tetapi mereka (sengaja) melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diberi peringatan dengannya;

Mereka lupa perkara penting yang mereka kena amal. Terdapat tiga perkara penting dalam wahyu yang diulang-ulang: tentang Tauhid, Risalah kenabian dan akhirat (ingat akronim ART).

Oleh itu, Allah ‎ﷻ telah menceritakan tentang Yahudi dan Nasara. Bagaimana pula dengan puak ketiga, iaitu puak Muslim? Kita pun ramai yang seperti itu juga. Ramai yang tidak tahu pun apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an. Ramai juga yang buat-buat lupa.

Ramai yang tidak kisah pun dengan apa yang disampaikan dalam wahyu Allah ‎ﷻ. Mereka sangka mereka telah selamat kerana mereka orang Islam tetapi bagaimana keadaan mereka kalau mereka tidak mengamalkan apa yang sepatutnya mereka amalkan? Maka kita kena gerakkan tenaga untuk menormakan pembelajaran wahyu dalam masyarakat kita. Alhamdulillah kita sudah nampak bibit-bibit ini berlaku dan semakin bercambah banyak. Ayuh kita teruskan!

فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ

maka Kami timbulkan di antara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat.

Natijah daripada apa yang mereka tinggalkan itu, iaitu dengan tidak memenuhi perjanjian dengan Allah ‎ﷻ itu, mereka ada permusuhan dan kebencian sesama mereka sampai kiamat. Namun begitu Allah ‎ﷻ tidak menzahirkan kebencian mereka itu dengan jelas.

Nampak seolah-olah mereka baik sahaja sesama mereka tetapi lihatlah apa yang terjadi antara puak Protestant dan Katolik. Mereka amat benci sesama mereka sendiri. Mereka berbunuhan sesama mereka sampaikan mereka mencipta alat seksaan untuk menyeksa mazhab yang berlainan.

Lagi satu, tidak nampak permusuhan antara golongan Kristian ini, kerana mereka tidak kisah pun dengan hal agama. Yang berbalah itu adalah golongan agama yang cakna tentang agama mereka. Ada golongan yang Kristian pada nama sahaja (sebagaimana kebanyakan orang kita yang Muslim pada nama sahaja) jadi mereka tidak tahu pun tentang apa-apa hal agama.

وَسَوْفَ يُنَبِّئُهُمُ اللهُ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Dan kelak Allah akan memberitakan kepada mereka apa yang mereka kerjakan.

Akhirat nanti Allah ‎ﷻ akan menceritakan semula apa yang mereka telah usahakan, untuk hukum mereka. Ini adalah apa yang akan terjadi di akhirat kelak, mereka akan dibentangkan dengan apa yang mereka telah lakukan sambil disaksikan oleh semua orang. Antara dosa yang paling besar mereka lakukan adalah mengatakan yang Allah ‎ﷻ mempunyai anak – Jesus. Ini akan diterangkan nanti dengan panjang lebar.

Tafsir Ayat Ke-15

Allah ‎ﷻ mula hendak menjelaskan jenis ‘syirik iktiqadi’ (syirk dari segi fahaman).

يَٰأَهْلَ الْكِتَٰبِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَٰبِ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللهِ نُورٌ وَكِتَٰبٌ مُّبِينٌ

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah, dan Kitab yang menerangkan.

 

يَٰأَهْلَ الْكِتَٰبِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami,

Allah ‎ﷻ sedang berkata kepada Ahli Kitab. Allah‎ ﷻ beritahu yang Dia telah mengutus Rasul-Nya – Iaitu Nabi Muhammad ﷺ.

يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَٰبِ

menjelaskan kepadamu banyak daripada isi Al Kitab yang kamu sembunyikan,

Tugas baginda salah satunya adalah untuk menjelaskan semula perkara yang banyak telah disembunyikan oleh Yahudi dan Nasara. Mereka ada kitab tetapi mereka simpan sendiri. Kitab-kitab mereka bukan seperti Al-Qur’an – semua umat Islam ada Al-Qur’an, setiap rumah ada mushaf Al-Qur’an, bukan?

Namun ahli agama Ahli Kitab telah menyimpan kitab wahyu mereka dan tidak didedahkan semuanya kepada umat mereka. Ini supaya mereka dapat mengawal maklumat yang sampai kepada masyarakat. Mereka cuma berikan dan sebarkan mana yang mereka rasa ‘selamat’ sahaja. Bila begitu, senanglah untuk mereka mengubah mana-mana yang mereka tidak suka.

Sebagai contoh, antara perkara yang mereka sembunyikan adalah berkenaan hukum rejam sampai mati kepada penzina yang telah berkahwin; mereka juga menyembunyikan tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ; dan banyak lagi perkara yang mereka sembunyikan.

Zaman sekarang, ahli agama kita tidak perlu buat begitu, kerana umat Islam memang jahil pun dengan Al-Qur’an. Kerana itu walaupun sesuatu perkara itu ada dalam Al-Qur’an, terbentang luas, mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar isi kandungan Al-Qur’an. Ahli agama yang sesat senang sahaja hendak menyesatkan umat Islam sekarang, cakap benda pelik dalam agama pun ramai yang percaya. Tidak perlu mereka ubah kandungan Al-Qur’an itu atau sorokkan Al-Qur’an. Cukup mereka kata ‘Ini terdapat dalam Qur’an….’ sudah ramai yang percaya.

Ramai juga golongan ustaz yang menyembunyikan ajaran sebenar wahyu daripada manusia. Mereka takut untuk menyatakan kebenaran. Mereka takut untuk menegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat yang belajar dengan mereka walaupun kesalahan yang dilakukan itu adalah kesalahan syirik. Ini kerana mereka takut kalau ditegur, masyarakat akan marah dan tidak panggil lagi mereka datang untuk mengajar. Bila tidak dipanggil, maka mereka akan hilang punca pendapatan.

Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Rasul, maka baginda telah membongkar kesalahan-kesalahan dan penipuan golongan agamawan daripada Ahli Kitab itu. Baginda suruh mereka sendiri lihat apa yang ada dalam kitab mereka.

وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

dan banyak yang dibiarkannya

Dalam banyak perkara yang Nabi Muhammad ﷺ bongkar rahsia dan kesalahan yang dilakukan oleh ahli agama Yahudi dan Nasara, masih banyak yang baginda tidak pedulikan, tidak bongkar. Maknanya, baginda tidak tunjukkan kesemua kesalahan mereka. Ini untuk perli kepada ahli agama Ahli Kitab itu. Mereka sendiri tahu apa yang mereka sembunyikan.

قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللهِ نُورٌ وَكِتَٰبٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah, dan Kitab yang menerangkan.

Nur yang dimaksudkan adalah kitab wahyu. Wahyu diumpamakan sebagai cahaya kerana ia memberikan cahaya hidayah kepada manusia. Jadi, daripada ayat ini, kita tahu yang Allah ‎ﷻ berikan Nabi dan beri kitab kepada manusia. Dengan keduanya, sepatutnya manusia sudah faham tentang agama.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-10 hingga Ke-12

0

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-10

Ini ayat Takhwif Ukhrawi (ayat menakutkan tentang azab).

وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِئآيَٰتِنَا أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ

Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu adalah penghuni neraka.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا

Dan adapun orang-orang yang kafir

Ini adalah mereka yang kufur kerana degil. Setelah dibawakan dalil bukti kepada mereka, mereka menolaknya kerana mereka degil tidak mahu menerima kebenaran yang telah disampaikan.

وَكَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

dan mereka telah mendustakan ayat-ayat Kami,

Mereka tidak mahu menerima ajaran daripada wahyu. Kepada pendakwah yang membawakan ajaran wahyu kepada mereka, mereka kata: “Kamu dusta”.

Begitulah yang banyak terjadi. Apabila diberikan tafsir Al-Qur’an kepada masyarakat dan mereka tidak mahu terima, mereka kata tafsiran kita adalah salah. Mereka tidak dapat terima kerana tidak sama dengan apa yang mereka amalkan selama hari ini.

أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ

mereka itu adalah penghuni neraka.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana penolakan mereka itu. Apabila dikatakan mereka itu ‘sahabat neraka’, maksudnya mereka itu adalah ‘pemegang geran’ dalam neraka. Mereka akan kekal di dalamnya kerana mereka ada geran tanah, maka itu memang tempat tinggal mereka untuk selama-lamanya.

Ini berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang hanya masuk neraka sekejap sahaja. Orang mukmin ada yang masuk neraka sekejap tetapi akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka bukanlah ‘sahabat neraka’.

Tafsir Ayat Ke-11

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ وَاتَّقُوا اللهَ وَعَلَى اللهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah (yang diberikan-Nya) kepadamu, di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu (untuk berbuat jahat), maka Allah menahan tangan mereka daripada kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakkal.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah kepadamu,

Tentunya ada nikmat daripada Allah ‎ﷻ yang tidak terkira banyaknya. Namun dalam ayat ini adalah nikmat yang khusus yang hendak diingatkan kepada orang mukmin, iaitu nikmat bantuan keselamatan kepada mereka.

إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ

di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu

Ketika ada kaum yang sangat hendak menyerang kamu. Tujuan mereka adalah untuk memusnahkan kamu. Ini adalah ketika Musyrikin Mekah yang bertujuan hendak memusnahkan kaum Muslimin.

فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ

maka Allah menahan tangan mereka dari kamu.

Namun Allah ‎ﷻ telah menahan tangan mereka daripada membunuh kamu. Allah ‎ﷻ menahan hati mereka untuk terus melakukan kejahatan terhadap kamu. Banyaklah contoh yang boleh diberikan. Salah satu daripadanya adalah Peperangan Khandak di mana Musyrikin Mekah telah datang untuk menyerang umat Islam di Madinah. Mereka tidak dapat masuk ke dalam Kota Madinah.

Mereka bercadang hendak menyerang kaum Muslimin secara habis-habisan. Ramai puak yang bersekongkol dengan mereka pada waktu itu untuk terus menghapuskan Islam, tetapi selepas kekalahan itu, mereka sudah tidak mahu bekerjasama dengan Musyrikin Mekah. Selepas kejadian itulah terjadinya Perjanjian Hudaibiyah.

Dalam sirah juga ada disebut beberapa kali telah ada perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad ﷺ tetapi Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan baginda.

وَاتَّقُوا اللهَ وَعَلَى اللهِ

Dan bertaqwalah kepada Allah,

Maka kerana nikmat Allah ‎ﷻ menyelamatkan kamu itu maka bertaqwalah kepada Allah. Jagalah hukum dan taat kepada perintah-Nya.

فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakal.

Allah ‎ﷻ suruh orang mukmin bertawakal kepada Dia. Serah diri kepada Dia dan berharap kepada Dia sahaja. Memang akan ada pihak musuh yang hendak merosakkan kita dan usaha dakwah kita. Kita tidak ada daya upaya untuk menghalang mereka, maka kita serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Kita usaha setakat yang kita boleh lakukan, tetapi selebihnya terpulang kepada Allah ‎ﷻ. Kalau apa-apa pun yang terjadi, kita terima itu adalah ketentuan daripada Allah ‎ﷻ. Kita sebagai makhluk-Nya yang lemah, tertakluk kepada kehendak Allah ‎ﷻ sahaja.

Tafsir Ayat Ke-12

Allah ‎ﷻ memberikan contoh mereka yang mungkir janji iaitu Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Mereka dahulu pun sudah dapat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ, tetapi mereka telah memungkiri janji mereka. Allah ‎ﷻ memulakan dengan golongan pertama: Yahudi.

وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثٰقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَوٰةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَوٰةَ وَءآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israel dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada Rasul-Rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir air di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (daripada) Bani Israel

Allah ‎ﷻ memberikan contoh apakah yang telah dilakukan oleh Bani Israel. Mereka telah berjanji dengan Allah ‎ﷻ juga. Perjanjian itu adalah untuk mentaati hukum yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada mereka.

وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا

dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin

Allah ‎ﷻ telah melantik 12 ketua agama dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka itu ramai dan terbahagi kepada 12 puak kerana anak-anak Nabi Ya’kub عليه السلام pun adalah 12 orang. Puak yang 12 itu adalah daripada keturunan anak-anak Nabi Ya’kub عليه السلام.

Yang dimaksudkan dengan naqib ialah pemimpin atas kabilahnya ma­sing-masing untuk mengajak mereka berbaiat (berjanji setia) untuk tunduk dan taat kepada Allah ‎ﷻ, Rasul, dan kitab-Nya.

Demikian pula halnya ketika Rasulullah ﷺ membaiat orang-orang Ansar di malam Al-Aqabah. Jumlah mereka adalah dua belas orang pemimpin: Tiga orang daripada kabilah Aus; mereka adalah Usaid ibnul Hudair, Sa’d ibnu Khaisamah, dan Rifa’ah ibnu Abdul Munzir, yang menurut suatu pendapat digantikan oleh Abul Haisam ibnut Taihan رضي الله عنهم. Sembilan orang dalam kalangan kabilah Khazraj pula adalah; Abu Umamah As’ad ibnu Zurarah, Sa’d ibnur Rabi’, Abdullah ibnu Rawwahah, Rafi’ ibnu Malik ibnul Ajian, Al-Barra ibnu Ma’rur, Ubadah ibnus Samit, Sa’d ibnu Ubadah, Abdullah ibnu Amr ibnu Haram, dan Al-Munzir ibnu Umar ibnu Hunaisy رضي الله عنهم.

Jumlah mereka disebut oleh Ka’b ibnu Malik dalam syair yang dibuatnya. Makna yang dimaksudkan ialah bahawa mereka adalah juru penerang atas kabilahnya masing-masing pada malam itu yang menyampaikan perintah Nabi ﷺ kepada mereka mengenai hal ter­sebut. Merekalah yang menangani perjanjian dan baiat kaumnya ke­pada Nabi ﷺ untuk bersedia tunduk dan taat kepada baginda.

Ada hadith yang dise­butkan di dalam kitab Sahihain melalui riwayat Jabir ibnu Samurah رضي الله عنه yang menceritakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah ﷺ ber­sabda:

“لَا يَزَالُ أَمْرُ النَّاسِ مَاضِيًا مَا وَلِيَهُمُ اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا”

Urusan manusia masih tetap lancar selagi mereka diperintah oleh dua belas orang lelaki.

Kemudian Nabi ﷺ mengucapkan suatu kalimat yang tidak dapat kudengar dengan baik, lalu aku menanyakan (kepada orang lain) ten­tang apa yang dikatakan oleh Nabi ﷺ. Maka ia menjawab bahawa Nabi ﷺ bersabda:

كُلُّهُمْ مِنْ قُرَيْشٍ”

Mereka semuanya dari kabilah Quraisy.

Demikianlah menurut lafaz yang ada pada Imam Muslim. Makna hadith ini mengandungi berita gembira yang menyatakan bahawa kelak akan ada dua belas orang khalifah yang soleh yang menegakkan perkara hak dan bersikap adil dalam kalangan manusia. Hal ini tidak memastikan berturutnya mereka, yakni masa-masa pemerintahan mereka.

Bahkan terdapat empat orang daripada mereka yang berturutan masa pemerintahannya, seperti empat orang Khalifah Rasyidin, iaitu Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali رضي الله عنهم. Di antara mereka ialah Umar ibnu Abdul Aziz, tanpa diragukan lagi menurut para imam, dan sebahagian khalifah dalam kalangan Bani Ab­bas. Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum mereka semuanya memerintah, sebagai suatu kepastian.

Menurut lahiriahnya salah seorang daripada mereka adalah Imam Mahdi yang diberitakan melalui banyak hadith yang menyebutkan be­rita gembira akan kedatangannya. Disebutkan bahawa nama imam ini sama dengan nama Nabi ﷺ dan nama ayah Nabi ﷺ, lalu beliau akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kearifan, seperti halnya bumi dipenuhi oleh kezaliman dan kemungkaran sebelumnya.

Akan tetapi, Imam Mahdi ini bukanlah imam yang ditunggu-tunggu kedatangannya — menurut dugaan orang-orang Rafidah, dia akan muncul dari lubang-lubang kota Samara— kerana sesungguh­nya hal tersebut tidak ada kenyataannya dan tidak ada sama sekali nas yang sahih. Bahkan hal tersebut hanyalah merupakan igauan akal-akal yang ren­dah dan ilusi daripada akal yang lemah.

Oleh itu, bukanlah yang dimaksudkan dengan dua belas orang itu adalah para imam yang jumlahnya dua belas orang menurut keyakinan orang-orang Rafidah (satu mazhab daripa Syi’ah). Mereka mengatakan demikian kerana kebodohan dan kekurangan akal mereka.

Di dalam kitab Taurat disebutkan berita gembira mengenai ke­datangan Ismail عليه السلام dan bagaimana Allah ‎ﷻ akan melahirkan daripada tulang sulbinya dua belas orang pembesar (pemimpin). Mereka adalah para khalifah yang jumlahnya dua belas orang yang disebutkan di dalam hadith Ibnu Mas’ud dan Jabir ibnu Samurah.

Sebahagian orang Yahudi yang telah masuk Islam yang kurang akalnya dan terpengaruh oleh sebahagian golongan Syi’ah menduga bahawa mereka adalah para imam yang dua belas orang itu (yang dalam kalangan Syi’ah lazim disebut “Isna “Asy-ariyah”), sehingga akibat­nya banyak dalam kalangan mereka yang masuk Syi’ah kerana kebo­dohan dan kedunguan mereka, juga kerana lemahnya ilmu mereka serta ilmu orang-orang yang mengajar mereka akan hal tersebut tentang sunnah-sunnah yang telah terbukti bersumber daripada Nabi ﷺ.

Kembali kepada potongan ayat ini. Kenapa dilantik naqib dalam kalangan mereka? Ini adalah kerana Islam iktiraf kumpulan-kumpulan masyarakat. Mereka lebih mengenali dan memahami apa yang dilalui dalam kalangan mereka, apakah harapan mereka dan sebagainya. Maka dilantik pemimpin dalam kalangan juga yang lebih mengenali hati budi mereka.

Masyarakat mereka juga tentu lebih mengenali ketua dalam kalangan mereka. Begitulah kalau dilantik wakil rakyat untuk bertanding, selalunya diambil dalam kalangan penduduk tempatan. Jarang diambil daripada golongan orang luar, bukan?

وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ

dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu,

Allah ‎ﷻ berjanji yang Dia akan sentiasa bersama mereka dengan syarat-syarat yang akan diberitahu nanti: syarat-syarat itu adalah kesimpulan perjanjian hamba dengan Allah ‎ﷻ iaitu pemeliharaan-Nya, perlindungan-Nya, dan pertolongan-Nya selalu menyertai mereka.

Ia juga bermaksud yang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan apa sahaja yang mereka lakukan. Kalau mereka melanggar bai’ah mereka, maka mereka akan dipertanggungjawabkan nanti.

لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَاةَ

jika kamu mendirikan salat

Pertama disebut salat. Ini adalah contoh dari segi amalan perbuatan badan.

Ini juga bermakna yang syariat Salat juga ada dikenakan kepada Bani Israel (malah bagi setiap umat dan Nabi mereka).

وَآتَيْتُمُ الزَّكَاةَ

dan menunaikan zakat

Dan hendaklah ditunaikan Zakat. Ini adalah contoh amalan dari segi harta iaitu mengeluarkan harta. Ia juga adalah mengeratkan hubungan sesama manusia, sedangkan salat adalah hubungan antara manusia dengan Allah ‎ﷻ.

Malangnya bab zakat ini kurang dijaga oleh masyarakat kita kerana kejahilan tentang kewajipannya dan bagaimana memenuhinya. Maka, masyarakat haruslah lebih cakna tentang perkara ini dan belajar tentang apakah yang perlu dizakatkan daripada pendapatan mereka.

وَآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ

serta beriman kepada Rasul-Rasul-Ku dan kamu bantu mereka

Ini pula adalah dari segi Akidah. Hendaklah beriman dengan sekalian Rasul, tidak boleh tolak satu pun. Termasuk yang perlu mereka beriman adalah Rasul-Rasul yang akan datang kemudian. Bani Israel ada masalah untuk beriman dengan Nabi Isa عليه السلام dan juga Nabi Muhammad ﷺ dan kerana itu mereka ada masalah dengan Allah ‎ﷻ.

Bukan sahaja beriman dengan mereka, tetapi kenalah bantu mereka ketika bertemu musuh. Bantu kerana hormat kepada mereka.

وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا

dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik

Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang pinjaman. Ini berkenaan dengan harta lagi selepas disebut tentang zakat sebelum ini. Pinjaman yang dimaksudkan adalah infaq harta selain zakat. Inilah derma, dan pemberian kepada orang yang memerlukan. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an tentang infaq harta ini.

Qardun Hasan adalah pinjaman yang ikhlas yang tidak mengharapkan balasan keduniaan. Maka pinjaman kepada Allah ‎ﷻ adalah infaq yang ikhlas yang mengharapkan balasan daripada Allah ‎ﷻ sahaja di akhirat kelak.

Sebelum ini telah disebut tentang zakat, maka Qardun Hasan bukanlah zakat (yang wajib) akan tetapi ia bermaksud sedekah dan infaq yang selain zakat iaitu infaq sunat. Maka ini mengajar kita yang kita bukan sahaja kena bayar zakat sahaja. Zakat itu memang sudah wajib, tetapi ada lagi infaq selainnya.

Jadi kalau zakat itu fardhu ain, Qardun Hasan ini adalah fardhu kifayah yang perlu diperhatikan oleh umat Islam. Sebagai contoh, mendirikan masjid dan tempat pengajian untuk mengajar umat tentang agama.

لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu.

Natijahnya Allah ‎ﷻ akan menutup kesalahan dengan memberikan keampunan-Nya.

وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Dan sesungguhnya kamu akan Ku-masukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai.

Jika menjaga hukum, Allah ‎ﷻ akan masukkan ke dalam syurga, dengan segala nikmat di dalamnya.

فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

Sekiranya mungkir janji, kufur dengan segala arahan dalam ayat ini, maka itu bermaksud mereka telah sesat dari jalan yang benar. Kesannya mereka akan menjalani kehidupan yang salah di dunia ini dan di akhirat kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Fiqh Asasi Pemula: Kitab Salat – Fardhu dan Sunnah Salat (Niat)

0

Kitab   : Salat

Bab     : Fardhu dan Sunnah Salat

Bahagian : A. Niat

Tajuk :  

  1. Pengertian
  2. Adakah niat diucapkan?

A. Niat

Mari kita lihat satu bab yang amat mengelirukan umat Islam di dunia. Bab niat inilah menyebabkan berlaku kekeliruan dan kelam kabut kita perhatikan cara orang salat sehinggakan berkali-kali mengangkat takbir kerana niat tidak ‘masuk’. Benarkah begitu? Bagaimanakah cara niat yang sebenarnya?

  1. Pengertian

Niat adalah syarat sah salat atau ia adalah rukun salat. Ini bermakna, niat memang sepatutnya ada ketika hendak menunaikan salat. 

✍🏻 Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam [Al-Bayyinah: 5]

وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ 

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama.

✍🏻 Dan jangan lupa satu hadith yang amat terkenal sekali: 

ٍعَنْ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Daripada Umar رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah  dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu sesuai ke mana dia hijrah.” 

(Bukhari No.52 dengan lafaz ini, Muslim No.3530 dan empat Imam ahli hadith)

Oleh itu, yang membezakan sama ada sesuatu amalan itu menjadi ibadah atau tidak, adalah niat. 

Niat juga menentukan sama ada ibadah itu diterima ataupun tidak: ibadah yang niatnya tidak ikhlas, tidak diterima Allah ‎ﷻ.

  1. Adakah niat diucapkan? 

Ini adalah satu perbincangan yang amat besar dan ramai yang tidak memahami tentang hal ini. Oleh yang demikian, kita seharusnya buka hati dan minda untuk memikirkannya. 

Ramai dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia melafazkan niat yang dimulai dengan: Usolli…. Akan tetapi tidak pernah perkara ini dilakukan oleh Rasulullah ﷺ atau diajar oleh Baginda ﷺ dan para sahabat. Memandangkan, ia tidak ada dalam syarak, ianya adalah amalan bid’ah.

Mungkin yang mengajarnya mengatakan ia adalah bid’ah hasanah? Benarkah begitu? Kita katakan ia bukan bid’ah yang baik berdasarkan hadith: 

✍🏻 Daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنها, Rasulullah ﷺ bersabda:

ُ.ُ …إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ

“Sesungguhnya sebenar-benar perkataan itu ialah kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara itu ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka.”

(Sunan An-Nasa’i No.1560 dengan lafaz ini; Muslim No.1435 dan lainnya)

Memang ada yang berfatwa bahawa lafaz niat ini khilaf di nusantara kerana wujud di dalam kitab-kitab genre baru mazhab.

Contoh:

  • Kitab Mughni Muhtaj karya Khatib Syarbini dan al-Bahooti. Keduanya daripada Mazhab Syafi’iy yang menyatakan hukumnya sunat.
  • Al-Dardir daripada Mazhab Maliki menyatakan hukumnya harus.

Isu ini menjadi semakin panas apabila golongan muhaqqiqin, dan aliran salafiyah atau ahli hadith dan gerakan sunah seperti Ibnu Taimiyyah رحمه الله, muridnya Ibnu Qayyim رحمه الله, dan kitab Talbis Iblis karya Ibnu Jauzi رحمهم الله yang membid’ahkan talafudz niat sama seperti hukum asal pada sisi Mazhab Syafi’iy sendiri dan Imam an-Nawawi رحمه الله.

✍🏻 Imam Syafi’iy رحمه الله berkata;

الوسوسة في النية الصلاة و الطهارة من جهل بالشرع أو خبل بالعقل 

“Was-was dalam niat salat dan taharah itu adalah kebodohan terhadap syariat atau kekurangan kewarasan pada akal” 

(Al Amru Bil Ittiba’ Wan Nahyu ‘Anil Ibtida’, 28)

✍🏻 Menurut Imam Al-Suyuti رحمه الله pula;

ومن البدع أيضاً: الوسوسة في نيّة الصّلاة، ولم يكن ذلك من فعل النبي – صلى الله عليه وسلم – ولا أصحابة، كانوا لا ينطقون بشيء

من نية الصلاة بسوى التكبير. وقد قال تعالى: لقد كان لكم في رسول الله أُسوة حسنة

“Termasuk bid’ah, was-was dalam niat salat. Nabi ﷺ dan para sahabat Baginda tidak pernah begitu. Mereka tidak pernah sedikitpun mengucapkan lafaz niat salat selain takbir”

Hukum mutakhir, lafaz niat adalah bid’ah. Ini hukum asal di dalam Mazhab Syafi’iy. Kajian para muhaqqiqin mendapati banyaknya terjadi masalah akibat talafudz niat yakni terjadinya wabak was-was ketika hendak berniat.

Persoalan yang perlu dirungkai atau diteliti. Siapa yang menjadikan talafudz niat daripada bid’ah kepada khilaf?

📍Daripada manakah asalnya talafudz niat ini muncul?

Talafudz Niat: Niat yang dilafazkan untuk membantu hati.

Ia di mulai oleh Imam Abu Abdillah Az-Zubairi رحمه الله. Wafat pada tahun 317H di Basrah, Iraq.

ابوعبد الله الزبير بن أحمد بن سليمان بن عبد الله بن عاصم بن المنذر بن الزبير بن العوام الأسدي.

Abu Abdillah Az-Zubair رحمه الله susur galurnya daripada keturunan az Zubair bin Awwam رضي الله عنه. Imam Abu Abdillah al Zubair رحمه الله telah salah di dalam memahami perkataan Imam Syafi’iy رحمه الله iaitu ketika menyimpulkan bahawa wajib melafazkan niat dalam salat daripada perkataan beliau.

📍Ini disebabkan oleh salah faham beliau terhadap ungkapan Imam Syafi’iy رحمه الله yang berikut:

إذا نوى حجّاً وعمرة أجزأ، وإنْ لم يتلفّظ وليس كالصّلاة لا تصح إلا بالنّطق

“Jika seseorang berniat haji atau umrah maka itu sah walaupun tidak diucapkan. Berbeza dengan salat, salat tidak sah kecuali dengan ‘an nutq’ (lafaz)”

✍🏻 Imam Nawawi رحمه الله berkata:

قال أصحابنا: غلط هذا القائل، وليس مراد الشافعي بالنّطق في الصّلاة هذا، بل مراده التكبير

Para ulama’ mazhab kami berkata, yang berkata demikian telah salah. Bukanlah maksud Imam Syafi’iy رحمه الله itu melafazkan niat di dalam salat, namun maksud ‘an nutq’ adalah takbir” 

(Al Majmu’, 3/243)

Syarah: Imam Syafi’iy رحمه الله di dalam al-Umm, ketika membicarakan Ibadah Umrah dan Haji, di dalam bab Niat di Miqat.

Kita disunatkan melafazkan niat haji dan umrah dengan kuat, ‘labbaika umratan wa hajjan’. Imam Syafi’iy رحمه الله berkata, ungkapan lafaz itu cuma sunat akan tetapi untuk salat perlu dilafazkan.

Lafaz yang dimaksudkan dengan salat bukan lafaz niat tetapi bertakbiratul ihram. Apa yang difahami oleh Imam Abu Abdillah Az-Zubairi رحمه الله adalah Imam Syafi’iy رحمه الله mewajibkan lafaz niat ketika salat.

Akan tetapi kesilapan Imam Az-Zubairi رحمه الله telah berkembang menjadi suatu fenomena talafudz dan usolli di nusantara. Fenomena ini terjadi kerana tidak sampainya kalam Imam Nawawi رحمه الله kepada umat nusantara.

Oleh yang demikian, secara sahihnya Nabi ﷺ tidak memulakan salat dengan lafaz niat salat. 

✍🏻 Dalil hadith daripada ‘Aisyah رضي الله عنها berkata:

كان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يستفتح الصَّلاة بالتّكبير

“Adapun Rasulullah ﷺ memulai salatnya dengan takbir” 

(Muslim No.498)

Menurut pendapat Imam Syafi’iy رحمه الله, ‘bil nutq’ adalah takbir bukan usolli.

Hukum:

Talafudz niat adalah bid’ah kerana menyalahi sifat salat Nabi ﷺ dan merupakan kesilapan dalam memahami matan kenyataan Imam Syafi’iy رحمه الله. Inilah kesilapan Imam Abu Abdillah Az-Zubairi رحمه الله dari Basrah.

Dikatakan bahawa talafudz niat ini adalah untuk membantu orang yang hendak memulakan salat. Akan tetapi kita melihat ia sebenarnya tidaklah membantu, malah merosakkan salat. Berapa ramai orang yang kita lihat keliru dengan talafudz niat ini sampaikan berkali-kali melafazkan niat dan berulang kali takbiratul ihram kerana niat tidak ‘masuk’?

Berapa ramai yang akhirnya tidak melakukan ibadah kerana tidak tahu cara untuk baca niat atau ungkapan niat yang betul? Mereka menyangka niat itu wajib. Disebabkan tidak tahu ‘lafaz niat’, mereka tidak membuat ibadah.

Justeru, berhentilah melafazkan niat ini walaupun ia diajar di sekolah-sekolah sekarang. Kita perlu berani untuk salat tanpa lafaz niat. Tidak ada keperluan untuk melafazkannya sebagaimana kita tidak beritahu sesiapa tentang niat kita untuk minum air, baca buku, berjalan dan sebagainya. Niat itu memang sudah ada dan tidak perlu dilafazkan.

Kalau niat tidak dilafazkan, perlukan ia disusun dalam hati kita? Kalau kita selalu lihat, terseksa mereka yang terpaksa menjaga qasad, ta’arrudh dan ta’yin. 

Contoh: 

Qasad = sahaja aku

Ta’arudh = solat

Ta’yin = fardhu subuh

Semasa mereka takbiratulihram, lama mereka takbir (Allaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaahu akkkkkkkkkkkkkbar!) Ini tidak diajar dalam syarak salaf tetapi ia datang kemudian dan telah menyusahkan umat Islam kita, sedangkan takbiratul ihram itu mudah sahaja: Allahu akbar.

Jika demikian,bagaimana cara yang patut kita lakukan? Sebelum kita memulakan salat, kita berdiri tegak dahulu, sedar yang kita akan memulakan salat apa dan kemudian terus angkat takbir. Memang niat sepatutnya ada tetapi tidaklah susah seperti yang biasa diajar di sekolah. Tenang-tenang sahaja dalam memulakan salat.

Sekian, Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-7 hingga Ke-9

0

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-7

وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثٰقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَاتَّقُوا اللَهَ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami taati”. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati(mu).

وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu semua

Nikmat yang dimaksudkan adalah nikmat agama Islam. Nikmat yang paling besar adalah Allah ‎ﷻ memberikan taufiq-Nya kepada kita untuk masuk Islam. Alangkah beruntungnya kita kerana Allah ‎ﷻ telah memilih kita untuk berada di dalam agama ini.

وَمِيثٰقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ

dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu,

Dan ingatlah perjanjian untuk taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berkata perjanjian itu adalah مِيثَاقَهُ – maksudnya ‘perjanjian-Nya’ menunjukkan betapa beratnya perjanjian itu. Setelah manusia baligh, maka Allah ‎ﷻ menuntut kita untuk memenuhi perjanjian itu. Sebelum baligh, boleh lagi kalau tidak ikut dan taat hukum Allah ‎ﷻ. Namun apabila mencapai usia baligh, maka tidak ada alasan lagi. Amat menyedihkan bila terdapat golongan dewasa yang berperangai seperti belum baligh lagi!

Ini merupakan peringatan terha­dap anak Adam kerana Allah ‎ﷻ telah mengambil janji daripada mereka ke­tika mereka dikeluarkan oleh Allah ‎ﷻ daripada tulang sulbinya dan mengam­bil kesaksian daripada diri mereka melalui firman-Nya:

أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا

“Bukankah Aku ini Tuhan kalian?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.” [ A’raf:172 ]

إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا

ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami taati”.

Ketika kamu kata: kami dengar dan taat. Kita pun selalu baca dan mengaku untuk ikut Dia. Jadi kena ingatlah perjanjian kita ini, jangan buat-buat lupa pula.

Manusia selalu sebut yang mereka dengar dan taat tetapi ada masalah dengan janji dan pengakuan ini. Mereka sangka mereka taat, tetapi selalunya manusia tidak ‘dengar’ pun lagi apa yang mereka perlu taati. Mereka kononnya kata mereka taat dengan agama Islam tetapi mereka tidak belajar pun lagi ilmu agama. Lalu bagaimana mereka boleh mengaku mereka sudah taat?

Ini adalah teguran kepada mereka yang tidak mengendahkan langsung pelajaran agama. Mereka hidup sibuk dengan hal dunia namun hal syariat mereka tidak pentingkan. Mereka sangka mereka sudah Islam sepenuhnya tetapi belum tentu lagi. Agama Islam ini memang mudah untuk diamalkan namun kenalah luangkan sedikit masa untuk mempelajarinya. Untuk taat, kena mulakan dengan tahu apakah yang perlu ditaati.

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati

Hendaklah kita bertaqwa iaitu dengan menjaga hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Hendaklah kita takut dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ Maha Tahu apa yang dalam hati kita. Dia tahu niat kita dan tahu apakah kemahuan kita. Dia tahu sama ada kita mahu taat kepada-Nya atau tidak, ikhlas atau tidak dalam amalan dan ibadah kita. Oleh itu, kenalah jaga hati kita supaya ikhlas kepada Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-8

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah,

Jadilah golongan penegak agama Allah ‎ﷻ dan penjaga syariat Allah ‎ﷻ. Lafaz قَوَّامِينَ adalah dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan) maknanya kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh. Usaha untuk mengamalkan apa yang Allah‎ ﷻ suruh kita buat.

Ayat ini juga menyuruh kita berusaha untuk menegakkan keadilan. Maksudnya kena jaga hak dengan Allah ‎ﷻ dan hak dengan hamba. Maka, kena jaga keadilan. Jangan tindas manusia dan jangan zalimi mereka.

Ini adalah suruhan sejagat, orang bukan Islam pun faham tentang keadilan ini. Namun kita orang Islam melakukannya kerana Allah ‎ﷻ yang suruh kita dan kerana kita taat dengan suruhan Allah ‎ﷻ. Manusia bukan Islam pun jaga keadilan tetapi kita buat kerana Allah ‎ﷻ.

شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ

menjadi saksi dengan adil.

Salah satu perkara penting yang kita kena lakukan adalah bersaksi dengan benar. Jangan jadi saksi palsu, jangan menipu dalam persaksian. Ini amat penting sekali kerana kalau kita tidak bersaksi dengan benar, keadilan tidak dapat ditegakkan. Berapa ramai yang manusia yang melanggar perkara ini.

Dengan melanggarnya, ada orang bersalah terlepas begitu sahaja dan lebih malang lagi, ada orang yang tidak bersalah yang dipenjarakan atau dihukum bunuh. Bukan hanya dalam mahkamah sahaja kita kena bersaksi benar, tetapi dalam kehidupan seharian kita pun.

Arahan berlaku adil ini juga telah disebut di dalam Surah An-Nisa’ ayat 145 sebelum ini. Cuma ada sedikit perubahan daripada susunan ayat. Kenapa begitu? Ada dua sebab utama yang menahan manusia daripada berlaku adil. Pertama kerana mereka mementingkan diri sendiri dan keluarga; dan keduanya kerana kebencian kepada pihak yang lain. Ayat daripada Surah An-Nisa’ itu menyentuh sebab yang pertama dan ayat daripada Surah Maidah ini tentang sebab yang kedua.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memerintahkan kita untuk menjadi saksi yang baik. Ini penting kerana saksi diperlukan untuk menegakkan keadilan. Hakim hendaklah mendapatkan maklumat yang benar daripada saksi. Malangnya, ramai yang lari daripada menjadi saksi. Kerana itulah keadilan susah hendak ditegakkan. Ini pun tidak boleh disalahkan sangat kepada orang yang menyaksikan kejadian sesuatu perkara.

Ini kerana sistem kehakiman di negara kita menyusahkan saksi. Mereka disoal jawab dengan teruk, kena datang berkali-kali ke mahkamah dan lain-lain lagi. Ini telah menyebabkan ramai yang menyembunyikan diri dan buat tidak tahu sahaja. Sedangkan di dalam sistem kehakiman Islam, para saksi sepatutnya tidak disusahkan.

Persaksian di dalam kehidupan kita bukan di mahkamah sahaja. Di mana-mana pun ada saksi. Di tempat kita, mungkin ada kawan kita yang dituduh; di kampung kita pun begitu juga; kita kadang kala ditanya telah seseorang, maka waktu itu pun kena jadi saksi benar; dan pelbagai keadaan lagi. Semua ini memerlukan keikhlasan dan ketakutan kepada Allah ‎ﷻ. Jangan kita bermudah-mudah dalam perkara ini kerana kita sedang diperhatikan oleh Allah ‎ﷻ (adakah menjadi saksi baik atau tidak).

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا

Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.

Jangan kerana benci sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak adil. Jangan kerana kamu tidak suka dengan seseorang, kamu tidak berlaku adil kepada mereka. Ada orang yang berlaku adil kepada mereka yang mereka ada hubungan baik tetapi dengan mereka yang bermusuhan, mereka tinggalkan keadilan langsung. Ini adalah amat buruk sekali.

Kita kena pandai ketepikan perasaan kita supaya kita berlaku adil. Ini memang susah hendak dilakukan dan memerlukan tahap iman yang tinggi. Ini kerana kita sedar kalau kita tidak berlaku adil, kita kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ‎ﷻ nanti. Tidak berbaloi kalau kita tidak berlaku adil.

اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ

Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.

Dalam Al-Qur’an, banyak disebut tentang suruhan supaya kita bertaqwa. Dan sekarang, kita dapat tahu bahawa salah satu syarat untuk taqwa adalah berlaku adil – sama ada kepada orang kita suka atau tidak.

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Sekali lagi disebut tentang taqwa. Satu perkara yang dapat mendorong kita untuk taqwa adalah dengan mengingati bahawa Allah ‎ﷻ tahu segalanya tentang kita dan apa yang kita lakukan. Perkara yang di dalam lubuk hati kita pun Allah‎ ﷻ amat tahu.

Kalau dilihat kepada susunan ayat ini kita boleh lihat ia disusun sebegini: إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ. Kadangkala disusun dengan disebut kalimah تَعْمَلُونَ dahulu. Susunan sebegini pun ada mempunyai maksud tertentu. Kalau disebut lafaz خَبِيرٌ dulu, ayat itu tentang perbuatan hati. Kalimah خَبِيرٌ bermaksud tahu secara mendalam. Maka memang Allah ‎ﷻ tahu apa yang ada di dalam hati kita secara mendalam.

Tafsir Ayat Ke-9

Ini adalah Ayat Tabshir (berita gembira).

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ

Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan yang beramal saleh, (bahawa) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman

Ini adalah janji Allah ‎ﷻ kepada orang yang beriman. Iman itu mestilah iman yang sempurna – iaitu iman yang tidak ada syirik di dalamnya. Itulah iman yang sempurna. Untuk mengetahuinya, kenalah dipelajari keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an dan tafsirnya untuk memahami apakah yang dimaksudkan ‘tauhid’ dan apakah yang dimaksudkan ‘syirik’.

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan yang beramal saleh,

Kita bukan kena beriman sahaja, tetapi kenalah beramal dengan amalan yang soleh. Jangan mulut sahaja kata beriman, tetapi goyang kaki tanpa melakukan amal kebaikan (amal soleh).

Amalan yang soleh pula adalah amalan yang sunnah, iaitu amalan yang ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Bukannya amalan yang bid’ah (amalan rekaan yang baru tanpa contoh dalam nas), walaupun dinamakan ‘Bidaah Hasanah’ oleh mereka yang tidak faham apakah bid’ah.

Kalau nama yang baik dan ‘mesra’ diberikan kepada amalan yang salah, ia tetap salah. Ini adalah seperti riba’ yang diberi nama ‘interest’ (kepentingan), ia adalah tetap riba’ yang haram walaupun namanya telah ditukar. Walaupun ia telah diberi gelaran ‘bunga’, tidaklah ia menjadi harum, tetapi masih tetap busuk dan buruk.

لَهُم مَّغْفِرَةٌ

untuk mereka ampunan

Untuk mereka yang beriman dan beramal soleh, Allah ‎ﷻ menjanjikan keampunan yang besar untuk mereka. Keampunan Allah ‎ﷻ amat diharapkan oleh kita kerana kita manusia yang banyak dosa. Kalau Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita, kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita terlebih dahulu dan kita pastinya tidak mahu langsung masuk neraka, bukan?

وَأَجْرٌ عَظِيمٌ

dan pahala yang besar.

Pahala yang besar juga adalah harapan kita. Ini kerana di akhirat kelak, wang ringgit tidak ada nilai. Yang ada nilai adalah pahala kita. Dengan pahala dapat meningkatkan kedudukan kita di akhirat kelak.

Tahqiq Kitab at Tazkirah Lil Qurthubi: Tanah Kubur, Rezeki, Ajal dan Kejadian Manusia

0

Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi

Kod/Bab 30: Tanah Kubur, Rezeki, Ajal dan Kejadian Manusia

30-1 Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (dhaif)

باب ما جاء أن كل عبد يذر عليه من تراب حفرته و في الرزق و الأجل ، و بيان قوله تعالى مخلقةً و غير مخلقة

Bab ini akan menjelaskan setiap manusia telah ditetapkan tanah mana yang akan menimbusi kuburnya kelak (di mana dia akan dikebumikan), ditetapkan rezeki, dan ajalnya, juga maksud ayat Al Hajj ayat 5 (yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna) (مُّخَلَّقَةٍ وَغَيرِ مُخَلَّقَةٍ)

أبو نعيم ، عن أبي هريرة ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : ما من مولود إلا و قد ذر عليه من تراب حفرته

Abu Nu’aim (Muhaddith Isfahan, w. 430H) telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , dia berkata: Sabda Rasulullah ﷺ .: “Tidak seorang pun manusia yang dilahirkan, melainkan telah ditaburi tanah bakal liang kuburnya.” HR Abu Nu’aim, Al Hilyah Al Auliya’ 2/280, Ibn Asaakir, Tarikh Dimasyq, 44/122.

Tahqiq Al Albani:
Hadith Palsu, Silsilah Al Dhaifah, 3320.

الراوي : أبو هريرة | المحدث : الألباني | المصدر : السلسلة الضعيفة
الصفحة أو الرقم: 3320 | خلاصة حكم المحدث : موضوع
التخريج : أخرجه أبو نعيم في ((حلية الأولياء)) (2/280)، وابن عساكر في ((تاريخ دمشق)) (44/122).

30-2 Atsar Abu ‘Aashim Al Nabil (dhaif)

قال أبو عاصم النبيل ما نجد لأبي بكر و عمر رضي الله عنهما فضيلة مثل هذه لأن طينتهما طينة رسول الله صلى الله عليه و سلم . أخرجه في باب ابن سيرين ، عن أبي هريرة ، و قال : هذا حديث غريب من حديث عون لم نكتبه إلا من حديث أبي عاصم النبيل ، أحد الثقات الأعلام من أهل البصرة

Abu Ashim An-Nabil (Muhaddith Basrah, w.212, guru Imam Bukhari) berkata, “Kita tidak mendapatkan keutamaan lain yang lebih utama bagi Abu Bakar رضي الله عنه dan Umar رضي الله عنه selain ini, yakni bahawa tanah kubur keduanya adalah tanah kubur Rasulullah ﷺ .”

(Atsar di atas dikeluarkan oleh Abu Ashim dalam Bab Ibnu Sirin, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dan dia katakan, “Perkataan ini gharib, berasal daripada perkataan Aun.” Kami sendiri tidak mencatatnya selain daripada Abu Ashim An-Nabil saja. Tetapi dia adalah salah seorang perawi tsiqat yang terkemuka dari Basrah).

Takhrij:
أخرجه أبو نعيم في “الحلية” (2/ 280); هذا حديث غريب من حديث ابن عون عن محمد، لم نكتبه إلا من حديث أبي عاصم النبيل عنه، وهو أحد الثقات الأعلام من أهل البصرة

HR Abu Nu’aim dalam Al Hilyah 2/280: Dia berkomentar, hadith ini ghareeb (ganjil).

Komentar Al Albani dalam silsilah Al Dhaifah (5240) فمحمد بن نعيم لم أعرفه: Perawi Muhammad bin Na’im adalah tidak dikenali dalam sanad Abu Asim Al Nabil.

30-3 Atsar Ibn Mas’ud رضي الله عنه (dhaif)

و روى مرة ، عن ابن مسعود ، أن الملك الموكل بالرحم يأخذ النطفة من الرحم فيضعها على كفه ، ثم يقول : يا رب ، مخلقة أو غير مخلقة ؟ فإن قال مخلقة ، قال : يا رب ما الرزق ؟ ما الأثر ؟ ما الأجل ؟ فيقول : انظر في أم الكتاب ، فينظر في اللوح المحفوظ ، فيجد فيه رزقه ، و أثره ، و أجله ، و عمله ، و يأخذ التراب الذي يدفن في بقعته و يعجن به نطفته .
فذلك قوله تعالى : منها خلقناكم و فيها نعيدكم ، خرجه الترمذي الحكيم ، أبو عبد الله في نوادر الأصول

Murrah (Murrah bin Kaab, w.57H) telah meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud رضي الله عنه , bahawa Malaikat yang ditugaskan urusan rahim mengambil nuthfah(air mani) dari dalam rahim, lalu meletakkannya pada telapak tangannya seraya berkata, “Ya Tuhanku, apakah ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak disempurnakan?”

Jika Allah‎ ﷻ menjawab, disempurnakan kejadiannya, maka Malaikat itu menanyakan, “Wahai Tuhanku, berapa rezekinya, berapa usianya, dan bila ajalnya?”

Maka Allah ‎ﷻ berfirman, “Lihatlah dalam Umm Al-Kitab!”
Maka malaikat melihat Lauh Mahfuz. Di sana dia dapatkan rezeki bakal manusia itu, usianya, ajalnya dan amalnya. Lalu Malaikat itu mengambil tanah tempat dia akan dikubur, dan dijadikannya tanah itu adunan dengan nuthfah(air mani) tersebut.” Dan itulah sekiranya yang difirmankan oleh Allah ‎ﷻ yang ertinya:
“Dari bumi [tanah] itulah Kami menjadikan kamu, dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu.” [مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ](ThaaHaa: 55)

(HR At-Tirmidzi Al-Hakim Abu Abdillah dalam Nawadir Al-Ushul)

Tahqiq:
HR Hakim At Termidzi (Sufi, Turmuz, w. 320H), Dhaif, perawi dhaif ialah Asbath bin Nashr, demikian kata Al Syuyuthi, laali Al Masnu’ah, 1/310; Ibn Hajar, tahzib, 1/311. juga dhaif dalam kitab Manazil Al Arwah (منازل الأرواح) karya Syaikh محمد بن سليمان الكافيجي الحنفي Muhammad bin Sulaiman al Kaafiji Al Hanafi, Mesir, w. 879H) ms 52.

*#30-4 Athar Ibn Mas’ud رضي الله عنه (dhaif)**

و ذكر عن علقمة ، عن عبد الله ، قال : إن النطفة إذا استقرت في الرحم أخذها الملك بكفه ، فقال : أي رب أمخلقة أو غير مخلقة ؟ فإن قال : غير مخلقة لم تكن نسمة و قذفنها الأرحام دماً ، و إن قال : مخلقة ، قال : أي رب أذكر ، أم أنثى ؟ أشقي ، أم سعيد ؟ ماالأجل ؟ و ما الأثر ؟ و ما الرزق ؟ و بأي أرض تموت ؟ فيقول : اذهب إلى أم الكتاب ، فإنك ستجد هذه النطفة فيها ، فيقال للنطفة : من ربك ؟ فتقول : الله .
فيقال : من رازقك ؟ فتقول : الله ، فتخلق ، فتعيش في أجلها ، وتأكل رزقها ، و تطأ أثرها ، فإذا جاء أجلها ماتت ، فدفنت في ذلك المكان ، فالآثر : هو التراب الذي يؤخذ فيعجن به ماؤه

Dan disebutkan pula daripada Alqamah (tabi’in Kufah, thiqah, murid Ibn Mas’ud رضي الله عنه , w.62H), daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه , dia berkata, “Sesungguhnya apabila Nuthfah(air mani) telah berada dalam rahim, maka diambil oleh satu Malaikat dengan telapak tangannya, lalu berkata, “Ya Tuhanku, apakah ini akan disempurnakan kejadiannya?”

Jika Allah‎ ﷻ menjawab, “Tidak disempurnakan kejadiannya,” maka Nuthfah itu tidak menjadi manusia, lalu dibuang oleh rahim sebagai darah. Dan jika Allah ‎ﷻ menjawab, “Disempurnakan kejadiannya,” maka Malaikat itu berkata, “Ya Tuhanku, apakah dia lelaki atau perempuan, sengsara atau bahagia, bila ajalnya, berapa usianya, dan berapa rezekinya?”

Maka Allah ‎ﷻ berfirman, “Pergilah ke Umm Al-Kitab! Sesungguhnya kamu akan menemukan [ketentuan mengenai] Nuthfah ini di sana.”

Selanjutnya Nuthfah itu ditanya, “Siapa Tuhanmu?” Dia jawab , “Allah‎ ﷻ .”

Maka diciptakanlah Nuthfah itu menjadi suatu makhluk, lalu hidup sampai ajal yang ditentukan untuknya, dengan memakan rezekinya, dan menginjak “athar”nya*. Maka apabila ajalnya telah tiba, dia pun meninggal, lalu dikubur di tempat itu.
——————————————-

* “Athar” di sini ialah tanah yang diambil Malaikat tadi, saripatinya dijadikan adunan.

Tahqiq:
Dinilai Sahih sanadnya oleh Al Hafidz Ibn Hajar, Al Fath 1/419, tapi mauquf.
Dinilai Shaif oleh Dr Muhammad Falih Ksa,

Sanadnya:
Dikeluarkan oleh Al Haakim At Termidzi (sufi turmuz, w. 320H) haddatsana Sufian bin Waqi’, haddatsana Ibn Fudhail daripada Daud bin Abi Hind daripada Alqamah daripada Ibn Mas’ud رضي الله عنه . Mauquf, nawadir al usyul, 1/70 .

أخرجه الحكيم الترمذي ، قال: حدثنا سفيان بن وكيع قال: حدثنا ابن الفضيل عن داود بن أبي هند عن الشعبي عن علقمة عنه، موقوفا (نوارد الأصول (ق70/أ)) .

30-5 Athar Ibn Sirin (Dhaif)

و قال محمد بن سيرين لو حلفت حلفت صادقاً باراً ، غير شاك و لا مستثن ، أن الله ما خلق نبيه محمداً صلى الله عليه و سلم ، و لا أبا بكر ، و لا عمر ، إلا من طينة واحدة ثم ردهم إلى تلك الطينة .

Muhammad bin Sirin berkata, “Kalau pun aku harus bersumpah, maka aku bersumpah dengan sumpah benar dan setia menunaikannya, tanpa ragu ataupun berbalik arah, bahawasanya Allah ‎ﷻ tidak mencipta Nabi-Nya, Muhammad ﷺ , Abu Bakar dan Umar, melainkan daripada tanah yang sama, lalu mengembalikan mereka ke tanah itu.”

Takhrij:
Dikeluarkan oleh Al Hakim At-Tirmidzi, Nawadhir Al Usyul (1/180),

Tahqiq: Dr Saleh bin Hamid Al Rifa’iy, (Universiti Islam Madinah) kitab: Al Ahaadith Al Waaridah Fi Fadhail Al Madinah Jam’ah Wa Dirasah ms 329-342, hadith no 171.

Atsar Ibn Sirin, Dhaif, didhaifkan oleh Ibn Hibban dan Ad Daruqutni.

الأحاديث الواردة في فضائل المدينة جمعاً ودراسة
د. صالح بن حامد الرفاعي ص 329-342

#Ilmu#Prihatin#Amal

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-6

0

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-6

Ayat Umur Muslihah. Ini adalah ayat tentang Hukum Wudhu’.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَوٰةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ مَا يُرِيدُ اللهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (tandas) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَوٰةِ

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan salat,

Lafaz قُمْتُمْ dari segi nahu adalah dalam bentuk fi’il ma’dhi (past tense) – jadi dari segi bahasa ia bermaksud apabila kamu ‘sudah’ mendirikan salat, tetapi di sini tidak mungkin pula maksudnya begini; tidak mungkin sudah salat baru hendak ambil wudhu’ pula, bukan?

Oleh itu, maksud yang sebenarnya adalah: apabila kamu ingin mendirikan salat, bukannya setelah berdiri untuk salat. Ini bukanlah fi’il madhi biasa tetapi fi’il madhi syuruk, iaitu apabila sudah hampir hendak melakukan salat.

Bukanlah kita kena mengambil wudhu’ untuk setiap kali salat. Kalau waktu itu kita tidak dalam keadaan berhadas, tidaklah wajib kita ambil wudhu’, hukumnya adalah hanya sunat sahaja (memperbaharui wudhu’).

فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ

maka basuhlah muka-mukamu

Anggota wudhu’ yang pertama yang perlu dibasuh adalah wajah kita. Penerangan terperinci tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘wajah’ itu bolehlah dirujuk kepada perbincangan fiqh.

Walaupun disebut muka dahulu, tetapi dalam hadith, kita tahu hukumnya sunat untuk membaca basmalah dan basuh tangan, kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dahulu. Dalam kitab Sahihain daripada Abu Hurairah رضي الله عنه yang mengata­kan bahwa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِه، فَلَا يُدخل يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ قَبْلَ أَنْ يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا، فَإِنَّ أحدَكم لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ”
Apabila seseorang di antara kalian bangun daripada tidur, janganlah dia memasukkan tangannya ke dalam bekas (air) sebelum membasuhnya sebanyak tiga kali. Kerana sesungguhnya seseorang di antara kalian tidak mengetahui di manakah tangannya berada semalam.

وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ

dan tangan-tanganmu sampai ke siku,

Daripada ayat ini, kita tahu bahawa muka dan tangan hendaklah ‘dibasuh’, maknanya dengan menggunakan air dan ada had yang dikenakan kepada tangan, di mana kena dibasuh, dikenakan dengan air sampai ke siku. Maka kenalah tangan kita meraut air sehingga melebihi siku.

Kalau kita perhatikan cara orang kita mengambil wudhu’, kita boleh perasan bagaimana mereka tidak berapa menjaga bahagian siku pada tangan. Kita boleh lihat ramai yang air wudhu’ mereka tidak sampai ke siku. Ini amat menyedihkan, kerana kalau ada masalah dengan wudhu’, maka mereka akan ada masalah dengan salat mereka.

وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ

dan sapulah kepalamu

Kalau muka dan tangan dibasuh, pada kepala hanya ‘disapu’ sahaja, iaitu tangan hanya dibasahkan sahaja. Ini pun ramai dalam kalangan kita yang melakukan kesilapan kerana kebanyakannya mengambil air dengan banyak untuk ‘basuh’ kepala mereka, sedangkan mereka kena sapu sahaja.

Satu lagi masalah dengan orang kita, mereka hanya kenakan sedikit sahaja rambut mereka dengan air, sedangkan yang lebih tepat, seluruh kepala mesti disapu dengan tangan. Begitulah yang telah dilakukan oleh Nabi ﷺ.

Masyarakat kita kena perlu belajar lagi tentang hadih-hadith berkaitan wudhu’ dan janganlah hanya cukup dengan apa yang mereka belajar di sekolah rendah dahulu.

Bab wudhu’ kita sudah sentuh dalam kelas fiqh. Boleh rujuk

وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki,

Terdapat perbincangan yang agak panjang juga tentang kaki. Secara ringkasnya, kaki itu kenalah di’basuh’, bukan disapu sahaja. Walaupun dari segi susunan, ada yang terkeliru kerana ia terletak selepas disuruh ‘sapu’ kepala, dan terus disambung dengan lafaz ‘dan kaki hingga ke mata kaki’. Jadi, ada yang kata, maksud ayat itu adalah sapu kepala dan sapu kaki. Namun, tidak begitu.

Daripada lafaz yang digunakan dalam ayat ini, digunakan lafaz arjulakum – oleh itu, ia kembali kepada muka dan tangan – kalau muka dan tangan dibasuh, maka kaki pun mestilah dibasuh juga. Kalau digunakan lafaz arjulikum, maka barulah ia sama dengan kepala yang disapu sahaja.

Memang ada dua jenis bacaan dalam ayat ini – ada qiraat yang baca arjulakum dan ada qiraat yang baca arjulikum. Namun yang banyak digunakan adalah arjulakum – maknanya kena basuh kaki itu. Bagi penganut Syiah, mereka akan baca arjulikum dan kerana itu mereka hanya sapu sahaja kaki mereka, tidak basuh. Malah, mereka diharamkan daripada membasuh kaki mereka ketika wudhu’. Jadi banyak kesalahan yang mereka lakukan.

Begitu pun, kita tidaklah tolak terus bacaan arjulikum itu – kerana itu juga adalah qiraat yang sah. Cuma digunakan dalam keadaan tertentu sahaja. Dalam bab wudhu’, ada perbincangan tentang sapu ‘khuf’, di mana kita hanya sapu sahaja pada khuf dan tidak buka pun kasut khuf itu.

Mungkin ramai masyarakat Malaysia yang tidak tahu kerana mereka tidak belajar, tetapi kalau mereka tahu, ini akan memudahkan hidup mereka. Kita tidak mahu memanjangkan perbincangan ini, namun bolehlah kita tambah maklumat kita tentang ibadah ini dengan lebih lanjut lagi.

Secara ringkasnya, hendaklah dibasuh kaki itu dalam wudhu’. Sampaikan Nabi Muhammad ﷺ marah apabila baginda nampak sahabat tidak membasuh kaki mereka dengan baik.

وَفِي الصَّحِيحَيْنِ، مِنْ رِوَايَةِ أَبِي عَوَانة، عَنْ أَبِي بِشْر، عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَك، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: تَخَلَّف عَنَّا رسول الله صلى الله عليه وسلم في سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا، فأدرَكَنا وَقَدْ أرْهَقَتْنَا الصلاةُ، صلاةُ الْعَصْرِ وَنَحْنُ نَتَوَضَّأُ، فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا، فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ: “أسبِغوا الْوُضُوءَ وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ”.
Di dalam kitab Sahihain melalui riwayat Abu Uwwanah, daripada Abu Bisyr, daripada Yusuf ibnu Mahik, daripada Abdullah ibnu Amr, disebutkan bahwa Rasulullah ﷺ dalam suatu perjalanan bersama kami berhen­ti, lalu baginda menyusul kami dan masuklah waktu salat Asar, yang saat itu kami dalam keadaan lelah. Maka kami lakukan wudhu’ dan kami mengusap pada kedua kaki kami. Lalu Rasulullah ﷺ berseru dengan sekuat suaranya: Sempurnakanlah wudhu’, celakalah bagi tumit yang tidak dibasuh kerana akan dibakar oleh neraka.

Dan di dalam hadith yang lain:

وَقَدْ رَوَى مُسْلِمٌ فِي صَحِيحِهِ، مِنْ طَرِيقِ أَبِي الزُّبَيْرِ، عَنْ جَابِرٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ؛ أَنَّ رَجُلًا تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ”.
Imam Muslim meriwayatkan di dalam kitab sahihnya melalui ja­lur Abuz Zubair, daripada Jabir, daripada Umar ibnul Khattab, bahawa seorang lelaki melakukan wudhu’, dan meninggalkan bahagian sebesar kuku tanpa terbasuh pada telapak kakinya. Nabi ﷺ melihatnya, maka Nabi ﷺ bersabda: Kembalilah dan lakukanlah wudhu’mu dengan baik.

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

dan jika kamu junub maka mandilah,

Jika berjunub maka, hendaklah dicuci dengan lebih lagi iaitu kena mandi. Junub adalah apabila kita berhadas besar seperti keluar mani, berjimak, keluar haid dan juga nifas. Tentang Mandi Junub juga telah banyak disentuh dalam hadith yang hendaklah dipelajari.

وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan

Wudhu’ dilakukan dengan air. Namun dalam keadaan tertentu, ada masanya kita tidak dapat menggunakan air. Kadang-kadang kita sakit yang tidak boleh dikenakan air – mungkin ada luka di mana-mana anggota wudhu’ atau di tubuh badan sehinggakan tidak boleh mandi junub.

Ataupun kita dalam perjalanan yang jauh dan tidak ada air waktu itu. Atau air ada, tetapi sedikit dan cuma cukup untuk digunakan sebagai air minuman sahaja. Dalam kes ini diberi kelonggaran (rukhsah) kepada kita.

أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ

atau kembali dari tempat buang air

Buang air kecil atau besar adalah salah satu perkara yang menyebabkan kita berhadas. Lafaz الْغَائِطِ bermaksud tanah rendah yang digunakan sebagai tempat buang air. Kalau zaman Nabi ﷺ, mereka tidak ada tandas. Mereka akan buang air di tempat yang jauh di padang pasir, selalunya di tempat yang rendah dari tempat biasa.

Jadi, الْغَائِطِ itu bermaksud tempat buang air dan zaman sekarang bermaksud ‘tandas’. Ini adalah salah satu daripada keindahan bahasa Al-Qur’an – tidaklah digunakan lafaz ‘buang air’, atau ‘kencing’ atau ‘berak’ tetapi bahasa isyarat sahaja yang digunakan. Memang tidak disebut semua itu, hanya disebut ‘kembali’ dari tempat itu sahaja, namun kita yang ada akal ini, fahamlah yang bukan balik sebab sengaja lawat tempat itu, tetapi sudah selesai ‘kerja membuang dan melabur’ di sana.

أَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاءَ

atau menyentuh perempuan,

Ada perbincangan yang agak panjang juga tentang potongan ayat ini. Persoalan yang dibincangkan dari zaman berzaman adalah sama ada ‘sentuh’ perempuan membatalkan wudhu’ atau tidak. Jadi, ada perbezaan pendapat antara mazhab yang besar tentang perkara ini.

Mazhab Syafi’iy, contohnya, berpendapat bahawa kalau sentuh sahaja antara lelaki dan wanita, terus membatalkan wudhu’. Sedangkan pendapat mazhab lain seperti Maliki, sentuh sahaja tidaklah membatalkan wudhu’ kerana lafaz لَامَسْتُمُ (bukan لَمَستُم) dalam ayat ini bukanlah bermaksud ‘kamu sentuh’ tetapi ia bermaksud ‘bersentuh-sentuhan’ yang bermaksud persetubuhan (jimak) – ini kerana ada beza dari segi wazan antara لَامَسْتُمُ dan لَمَستُم. Jadi, kalau setakat sentuh biasa sahaja, bukan ada nafsu waktu itu, tidaklah membatalkan.

Saya lebih setuju dengan pendapat yang mengatakan lafaz laamasa dalam ayat ini bermaksud jimak dan bukanlah sentuh biasa kerana kalau sentuh biasa sahaja, lafaz lamasa yang digunakan. Ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith bagaimana Nabi Muhammad ﷺ sendiri ada bersentuh dengan para isteri baginda (sebelum salat dan semasa salat) dan tidaklah baginda mengambil wudhu’ semula selepas itu.

Begitu pun, tidaklah kita mengatakan mereka yang berpendapat ayat ini bermaksud ‘sentuh’ sebagai salah pula. Ini terpulang kepada penelitian dan pilihan mana pendapat ulama’ yang kita hendak pilih. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan – menghormati pendapat ulama’ – semuanya ada dalil, cuma pemahaman dalil yang berlainan. Inilah baru dikatakan ‘khilaf’ ulama’ iaitu ada dalil. Bukannya khilaf ulama’ dalam perkara yang tidak ada dalil.

Sebagai contoh, ada yang kata, Majlis Tahlil itu adalah khilaf ulama’ juga. Itu bukanlah khilaf yang patut dilayan, kerana tidak ada langsung dalil Nabi ﷺ pernah buat buat Majlis Tahlil pun. Buang masa sahaja melayan khilaf seperti itu. Kalau khilaf yang ada dalil barulah kita layan.

Malangnya, ramai juga ustaz yang tidak faham tentang perkara ini dan mereka pun kata ada khilaf ulama’ dalam perkara ini. Ini amat menyedihkan sekali. Kalau orang awam yang kata begitu, kita fahamlah kerana orang awam memang jahil.

فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih);

Ini adalah hukum tayammum: apabila tidak boleh guna air kerana sakit, atau tidak ada air dalam musafir, dan kita sudah buang air dan berjunub tidak ada air, maka Islam membenarkan kita tayammum, maksudnya angkat hadas menggunakan tanah yang bersih.

Imam Bu­khari رحمه الله dalam bab ini telah meriwayatkan sebuah hadith khusus mengenai ayat yang mulia ini.

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سُلَيْمَانَ، حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْقَاسِمِ حَدَّثَهُ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ: سَقَطَتْ قِلَادَةٌ لِي بِالْبَيْدَاءِ، وَنَحْنُ دَاخِلُونَ الْمَدِينَةَ، فَأَنَاخَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَزَلَ، فثَنَى رَأْسَهُ فِي حِجْري رَاقِدًا، أَقْبَلَ أَبُو بَكْرٍ فلَكَزَني لَكْزَةً شَدِيدَةً، وَقَالَ: حَبَسْت النَّاسَ فِي قِلَادَةٍ، فَبى الموتُ لِمَكَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَدْ أَوْجَعَنِي، ثُمَّ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَيْقَظَ وَحَضَرَتِ الصُّبْحُ، فَالْتَمَسَ الْمَاءَ فَلَمْ يوجَد، فَنَزَلَتْ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ} هَذِهِ الْآيَةُ، فَقَالَ أسَيْد بْنُ الحُضَير لَقَدْ بَارَكَ اللَّهُ لِلنَّاسِ فِيكُمْ يَا آلَ أَبِي بَكْرٍ، ما أنتم إلا بركة لهم.
Disebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sulaiman, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris bahawa Abdur Rahman ibnul Qasim pernah menceritakan kepadanya, daripada ayahnya, daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan, “Kalungku terjatuh di padang pa­sir, saat itu kami telah berada di lingkungan kota Madinah. Maka Ra­sulullah ﷺ memberhentikan unta kenderaannya dan turun. Lalu baginda merebahkan kepalanya di pangkuanku dan tidur. Kemudian da­tanglah Abu Bakar رضي الله عنه dan memukulku dengan pukulan yang keras sera­ya berkata, ‘Kamulah yang menyebabkan orang-orang tertahan kerana kalung itu.’ Maka aku berharap untuk mati saat itu kerana pukulannya terasa sangat menyakitkan, tetapi aku ingat kepada Rasulullah ﷺ yang sedang tidur di pangkuanku. Tidak lama kemudian Nabi ﷺ bangun, dan waktu Subuh masuk. Lalu baginda mencari air, tetapi tidak didapati. Maka turunlah firman-Nya: ‘Hai orang-orang yang beriman, apabila kalian hendak menger­jakan salat, maka basuhlah muka kalian’ (Al-Maidah: 6), hingga akhir ayat.” Maka Usaid ibnul Hudair berkata, “Sesungguhnya Allah telah mem­berkati manusia melalui kalian, hai keluarga Abu Bakar. Kalian tiada lain merupakan berkah bagi mereka.”

فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ

sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu.

Ini adalah cara yang amat mudah sekali menunjukkan bagaimana mudahnya Islam ini yang boleh dipraktikkan di mana-mana sahaja kerana amat mudah untuk kita cari tanah. Cuma gunakan tanah itu untuk sapu muka dan tangan sahaja – mudah bukan? Kalau difikirkan secara logik, apabila kita menggunakan air, dapatlah membersihkan bahagian tubuh kita.

Namun bagaimana pula dengan menggunakan tanah boleh membersihkan tubuh kita? Ini bukanlah perbincangan yang sepatutnya diadakan kerana tujuan kita tayammum bukanlah untuk membersihkan tubuh, tetapi sebagai melakukan satu ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ sudah suruh kita buat begitu, maka begitulah sahaja yang kita lakukan.

Tentang tayammum ini juga ramai yang tidak tahu dan mungkin ada yang tidak pernah amalkan pun kerana jarang diajar kepada masyarakat kita. Ini juga banyak terdapat dalam hadith.

مَا يُرِيدُ اللهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ

Allah tidak hendak menyulitkan kamu,

Ini adalah hikmah kenapa Allah ‎ﷻ mengajar kita tentang wudhu’ dan tentang tayammum. Segala hukum yang diberi itu bukanlah kerana Allah ‎ﷻ ingin menyusahkan kita dalam proses untuk beribadat kepada-Nya. Cuma kita kena ikut cara yang telah ditetapkan kerana Dia adalah Allah ‎ﷻ dan kita adalah hamba-Nya.

Tentu ada kelebihan di dalam hukum wudhu’ yang diberikan, cuma kita kena belajar dengan lebih lagi. Hukum Allah ‎ﷻ tidak sia-sia tetapi ada kebaikan di dalamnya. Jadi jangan kita rasa sulit untuk memenuhi kehendak Allah‎ﷻ ini.

وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ

tetapi Dia hendak membersihkan kamu

Salah satu hikmah yang disampaikan dalam ayat ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita bagaimana menjadi orang yang bersih luar dan dalam. Perkara ini tidak diajar dalam agama lain. Islamlah agama yang mengajar tentang kebersihan.

Cuma sekarang sahaja kita lihat agama lain juga menjaga kebersihan, tetapi sebenarnya itu terjadi kerana manusia telah maju. Sedangkan dalam agama mereka tidak ada ajaran untuk menjaga kebersihan pun.

وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ

dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu,

Dan kerana Allah ‎ﷻ hendak melengkapkan nikmat beribadat kepada kita semua kerana melakukan ibadat itu adalah nikmat sebenarnya, terutama sekali ibadat yang paling penting, iaitu salat. Dan untuk mengerjakan salat, kita kena bersih kerana kita hendak mengadap Allah ‎ﷻ dan sebab itulah diberikan syarat wudhu’ kepada kita.

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

supaya kamu bersyukur.

Akhirnya supaya kita bersyukur kerana boleh mengerjakan ibadat dalam semua keadaan. Walaupun tidak ada air, masih boleh mengerjakan ibadat lagi. Kita semua hendak ke akhirat dan untuk mendapat tempat yang baik di akhirat kita mestilah melakukan ibadah kepada Allah ‎ﷻ.

Namun bagaimana kalau Allah ‎ﷻ hanya menetapkan cuma boleh berwudhu’ sahaja, tidak boleh tayammum? Tentu susah untuk kita dalam keadaan tertentu, tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan nikmat kepada kita dengan membenarkan kita menggunakan tayammum supaya kita dapat termasuk dalam orang yang salat dan adalah peluang kita untuk masuk syurga.

Allahu a’lam.

#Ilmu

#Prihatin

#Amal

Eid Al-Adha 1442H – Tiada Kemenangan Tanpa Pengorbanan

0

Eid Al-Adha 1442H – Tiada Kemenangan Tanpa Pengorbanan

PENGORBANAN suatu kemestian dalam kehidupan dan hanya ada satu perkara yang kelak akan memutuskan pusingan pengorbanan yang begitu melelahkan manusia ini iaitu KEMATIAN!

Tahqiq Kitab at Tazkirah Lil Qurthubi: Apa yang Ikut Mayat Ke Kubur dan Kekal Bersamanya

0

Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi

Kod/Bab 31: Apa yang mengikuti mayat ke kubur dan apa yang kekal bersamanya

(باب مايتبع الميت إلى قبره و بعد موته و ما يبقى معه فيه)

31-1 Hadith Anas رضي الله عنه (sahih)

مسلم عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : يتبع الميت ثلاث . فيرجع اثنان و يبقى واحد : يتبعه أهله و ماله و عمله فيرجع أهله و ماله و يبقى عمله

Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas bin Malik رضي الله عنه. Dia berkata, sabda Rasulullah ﷺ :

“Mayat akan dihantar sampai ke kuburnya oleh tiga hal, yang dua pulang [ke rumah], dan hanya satu yang tetap [bersamanya]. Yang menghantarnya ialah keluarganya, hartanya dan amalnya. Keluarga dan hartanya pulang, dan yang tetap [bersamanya] hanyalah amalnya.” (Sahih Al-Bukhari [6514] dan Sahih Muslim [2960])

31-2 Hadith Qatadah daripada Anas رضي الله عنه (dhaif)

و روى أبو نعيم من حديث قتادة عن أنس بن مالك قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم سبع يجري أجرها للعبد بعد موته و هو في قبره : من علم علماً أو أجرى نهراً أو حفر بئراً أو غرس نخلاً أو بنى مسجداً أو ورث مصحفاً أو ترك ولداً يستغفر له بعد موته هذا حديث غريب من حديث قتادة تفرد به أبو نعيم عبد الرحمن بن هانئ النخعي عن العزرمي محمد بن عبد الله عن قتادة

Abu Nu’aim meriwayatkan sebuah hadith daripada Qatadah, daripada Anas bin Malik رضي الله عنه , ia berkata: Sabda Rasulullah ﷺ .:

“Ada tujuh perkara yang pahalanya senantiasa mengalir untuk manusia setelah meninggalnya, meskipun ia ada di dalam kuburnya:

1⃣. Orang yang mengajarkan ilmu, atau
2⃣. Mengalirkan sungai, atau
3⃣. Menggali telaga, atau
4⃣. Menanam pohon kurma, atau
5⃣. Membangunkan masjid, atau
6⃣. Mewariskan mushaf (Al-Qur’an), atau
7⃣. Meninggalkan anak yang memohonkan ampun untuknya setelah meninggalnya.”

Tahqiq✍️:
وأبو نعيم فى الحلية (2/ 344) من طريق إسماعيل بن عبد الله عن عَبد الرحمن بن هانىء، حَدَّثنا مُحَمد بن عُبَيد الله العرزمي، عَن قَتادة، عَن أَنَسٍ رضى الله عنه مرفوعاً

(HR Abu Nu’aim), Al Hilyah 2/344 daripada sanad Ismail bin Abdullah daripada Abdur Rahman bin Hani’ daripada Muhammad bin Ubaidillah bin Al ‘Arzami daripada Qatadah daripada Anas (bin Malik) رضي الله عنه :

Multaqa ahli hadith:
Hadith Mungkar, komen Abu Nuaim, hadith gharib daripada Qatadah dan daripada Al Arzami
إسناده منكر.

قال أبو نعيم: «هذا حديث غريب من حديث قتادة. تفرد به أبو نعيم، عن العرزمي»

Didhaifkan oleh Al Bukhari
ومحمد بن عبيد الله العرزمي أبو عبد الرحمن الكوفي الفزاري، قال البخارى: تركه ابن المبارك ويحيى

Didhaifkan oleh An Nasa’iy
وقال النسائى: متروك الحديث

Namun, Al Albani menilainya hasan
(Sahih Al-Jami’ [3602] Al-Albani

Rumusan✍️:
Hukum yang lebih kuat hadith dhaif kerana mushaf belum ada di zaman Nabi ﷺ . Apa jua hadith yang mengandungi kalimah mushaf adalah dhaif (Multaqa Ahlil Hadith).

31-3 Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (dhaif)

و خرجه الإمام أبو عبد الله محمد بن يزيد بن ماجه القزويني في سننه من حديث الزهري .
حدثني أبو عبد الله الأغر ، عن أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إن مما يلحق المؤمن من عمله و حسناته بعد موته : علماً علمه و نشره ، أو ولداً صالحاً تركه أو مصحفاً ورثه ، أو مسجداً بناه ، أو بيتاً لابن السبيل بناه ، أو نهراً أجراه ، أو صدقة أخرجها من ماله في صحته تلحقه بعد موته

Diriwayatkan pula oleh Imam Abu Abdillah Muhammad bin Yazid bin Majah Al-Quzwaini (w.275H, Qazwin, Iran) dalam Sunannya, daripada Az-Zuhri, daripada Abdillah Al-Aghur, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , dia berkata, sabda Rasulullah ﷺ .:

“Sesungguhnya di antara amal dan kebaikan yang didatangkan pahalanya kepada orang mukmin setelah meninggalnya ialah: Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan, atau anak salih yang ia tinggalkan, atau mushaf yang ia wariskan, atau masjid yang dia bangun, atau rumah bagi pengembara yang dia bangun, atau sungai yang dia alirkan, atau sedekah yang dia keluarkan daripada hartanya semasa sihatnya. Semua itu akan menemui dia setelah kematiannya.

Takhrij:
(HR Ibn Majah), sunan, no 224, dihasankan oleh Al Albani, sahih Ibn Majah dan Ahkam Al Janaiz,
وروى ابن ماجه (224) حسنه الألباني في صحيح ابن ماجه

Tahqiq✍️:
Sanad Ibn Majah: Haddatsana Muhammad bin Yahya daripada Muhammad bin Wahab bin ‘Athiyah, daripada Al Walid bin Muslim daripada Marzuq bin Abi Hazil daripada Az Zuhri daripada Abdullah Al Aghur daripada Abu Hurairah رضي الله عنه .
راوي سنن ابن ماجة.

قال المصنف رحمه الله تعالى: [حدثنا محمد بن يحيى حدثنا محمد بن وهب بن عطية حدثنا الوليد بن مسلم حدثنا مرزوق بن أبي الهذيل حدثني الزهري حدثني أبو عبد الله الأغر عن أبي هريرة رضي الله عنه

Tahqiq Dr Abdul Aziz bin Abdullah Al Raajihi, dari Universiti Imam Saud di Riyadh, murid Syaikh Baz (عبد العزيز بن عبد الله الراجحي): Dhaif kerana perawi Marzuq bin Abi Hazil (وهذا الحديث ضعيف؛ لأجل مرزوق بن أبي هذيل), dalam syarah sunan Ibn Majah.
Juga didhaifkan oleh Al Arnaout dalam takhrij Al Musnad, 14/439

الراوي : أبو هريرة | المحدث : شعيب الأرناؤوط | المصدر : تخريج المسند
الصفحة أو الرقم: 14/439 | خلاصة حكم المحدث : إسناده ضعيف .

31-4 Hadith Abu Hadbah (palsu)

و روى أبو هدبة إبراهيم بن هدبة قال حدثنا أنس بن مالك قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إنك لتصدق عن ميتك بصدقة فيجيء بها ملك من الملائكة في أطباق من نور ، فيقوم على رأس القبر فينادي : يا صاحب القبر الغريب : أهلك قد أهدوا إليك هذه الهدية فأقبلها . قال : فيدخلها إليه في قبره و يفسح له في مداخله و ينور له فيه فيقول : جزى الله أهلي عني خير الجزاء قال : فيقول لزيق ذلك القبر أنا لم أخلف لي ولداً و لا أحداً يذكرني بشيء فهو مهموم و الآخر يفرح بالصدقة .

Menurut Abu Habdah Ibrahim bin Habdah, daripada Anas bin Malik رضي الله عنه , dia berkata: Sabda Rasulullah ﷺ :

“Sesungguhnya [jika] kamu benar-benar bersedekah untuk keluargamu yang telah meninggal dengan suatu sedekah, maka ada satu Malaikat akan datang membawa sedekah itu dalam beberapa talam daripada cahaya. Malaikat itu berdiri di hujung atas kubur seraya berseru, ‘Hai penghuni kubur yang terasing, keluargamu telah menghadiahkan hadiah ini kepadamu, maka terimalah.’
Lalu Malaikat itu memasukkan hadiah itu ke dalam kuburnya, dan dilapangkanlah bagi mayit itu bahagian-bahagian dalam dari kuburnya dan diterangi. Maka mayit itu berkata, ‘Semoga Allah ‎ﷻ membalas keluargaku dengan balasan yang terbaik.’
Lalu berkatalah tetangga kubur itu, ‘Aku tidak meninggalkan anak atau seseorang yang mengingati aku sama sekali.’ Tetangga itu merasa sedih, sedangkan yang lain bergembira menerima [pahala] sedekah itu.”

Tahqiq✍️: Al Albani, palsu kerana perawi Abu Hadbah, perawi pendusta (kazzab)

الراوي : أنس بن مالك | المحدث : الألباني | المصدر : السلسلة الضعيفة
الصفحة أو الرقم: 486 | خلاصة حكم المحدث : موضوع.

31-4 Athar Bashar bin Ghalib (palsu)

و قال بشار بن غالب : رأيت رابعة العدوية ـ يعني العابدة ـ في المنام ، و كنت كثير الدعاء له . فقالت لي : يا بشار هديتك تأتينا في أطباق من نور ، عليها مناديل الحرير ، و هكذا يا بشار دعاء المؤمنين الأحياء إذا دعوا لإخوانهم الموتى فاستجيب لهم يقال : هذه هدية فلان إليك

Daripada kata Basyar bin Ghalib, “Saya pernah bermimpi melihat Rabi’ah Al-Adawiyah. Saya memang sering mendoakannya. Dia berkata kepadaku, ‘Hai Basyar, hadiah daripadamu datang kepada kami dalam talam-talam daripada cahaya, ditutup sapu tangan daripada sutera. Demikianlah hai Basyar, doa orang-orang mukmin yang masih hidup, apabila mereka mendoakan saudara-saudara mereka yang telah meninggal. Doa mereka dikabulkan seraya dikatakan, ‘Ini hadiah daripada Fulan untukmu.’”

Komen muhaqqiq, Dr Sadiq Ibrahim, Bashar bin Ghalib tidak ada biografi. Lagipun ia mimpi daripada sufi Iraq, Rabi’ah Adawiyah (wafat 180H, Basrah), mimpi bukan hujah.

Tahqiq Kitab At-Tazkirah lil Qurthubi: Hamba Disemadikan Dalam Tanah Asal Ciptaannya

0

At-Tazkirah Qurthubi
Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi

Kod/Bab 29: Hamba disemadikan dalam tanah bahan asal ciptaannya

(باب يدفن العبد في الأرض التي خلق منها)

29-1 Hadith Mathar (sahih)

أبو عيسى الترمذي ، عن مطر بن عكامش ، قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إذا قضى الله لعبد أن يموت بأرض جعل له إليها حاجة أو قال : بها حاجة .
قال أبو عيسى : و في الباب عن أبي عزة ، و هذا حديث غريب ، و لا يعرف لمطر بن عكامش عن النبي غير هذا الحديث .
و عن أبي عزة ، قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إذا قضى الله لعبد أن يموت بأرض ، جعل له إليها حاجة ، أو قال : بها حاجة قال : هذا حديث حسن صحيح ، و أبو عزة له صحبة ، و اسمه يسار بن عبيد ،

Abu Isa At-Tirmidzi meriwayatkan daripada Mathar bin Ukamis, dia berkata, sabda Rasulullah ﷺ :

“Apabila Allah‎ ﷻ telah menetapkan seorang hamba akan meninggal di suatu tempat, maka Dia menjadikan suatu keperluan ( sehingga orang itu datang ) ke tempat itu,” atau beliau katakan, “Suatu keperluan di tempat itu.”

Takhrij:
Sanad Abu Isa:

حَدَّثَنَا بُنْدَارٌ، حَدَّثَنَا مُؤَمَّلٌ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ مَطَرِ بْنِ عُكَامِسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Haddatsana Bundar, haddatsana Mu’ammal, haddatsana Sufyan, An Abi Ishaq, An Mathar bin ‘Ukamis, Nabi ﷺ bersabda:

‏ قَالَ أَبُو عِيسَى وَفِي الْبَابِ عَنْ أَبِي عَزَّةَ ‏.‏ وَهَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ ‏.‏ وَلاَ يُعْرَفُ لِمَطَرِ بْنِ عُكَامِسٍ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم غَيْرُ هَذَا الْحَدِيثِ

Abu Isa berkata, “Dalam bab ini ada pula diriwayatkan daripada Abu Izzah. Adapun hadith ini adalah gharib, dan Mathar bin ‘Ukamis tidak dikenal pernah meriwayatkan daripada Nabi ﷺ hadith ini sahaja.”

Adapun riwayat daripada Abu Izzah, beliau berkata, sabda Rasulullah ﷺ :

“Apabila Allah ‎ﷻ telah menetapkan seseorang akan meninggal di suatu negeri, maka Dia menjadikan baginya suatu keperluan ke negeri itu.” Atau Baginda bersabda, “Suatu keperluan di negeri itu.” Kata Abu Isa, “Hadith ini hasan sahih. Adapun Abu Izzah memang sempat bersahabat dengan Nabi ﷺ . Nama aslinya Yasar bin Ubaid.”

Rumusan, hadith ini daripada dua perawi, sama ada Mathar atau Abu Izzah, ia adalah sahih. Al Wada’iy, Al Musnad Al Sahih, no 1253 .

إذا قضى اللَّهُ لعبدٍ أن يموتَ بأرضٍ جعلَ لَه إليها حاجةً .
الراوي : أبو عزة يسار بن عبدالله الهذلي | المحدث : الوادعي | المصدر : الصحيح المسند .

الصفحة أو الرقم: 1253 | خلاصة حكم المحدث : على شرط الشيخين .

 

29-2 Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (Dhaif)

و روى الترمذي الحكيم أبو عبد الله في نوادر الأصول ، عن أبي هريرة ، قال خرج علينا رسول الله صلى الله عليه و سلم : يطوف ببعض نواحي المدينة ، و إذا بقبر يحفر ، فأقبل حتى وقف عليه ، فقال : لمن هذا ؟ قيل لرجل من الحبشة ، فقال : لا إله إلا الله سيق من أرضه و سمائه حتى دفن في الأرض التي خلق منها

Menurut riwayat At-Tirmidzi Al-Hakim Abu Abdillah (ahli sufi Uzbek, w.320H) dalam “Nawadir Al-Ushul,” daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dia berkata, “Rasulullah ﷺ pernah keluar menemui kami, lalu mengelilingi di pelusuk Madinah, tiba-tiba beliau melihat ada kubur yang sedang digali. Maka beliau menuju ke kubur itu, dan akhirnya berdiri di hadapannya lalu bertanya, “Untuk siapa kubur ini ?” Beliau menjawab, “Untuk seorang lelaki dari Habsyah.”

Beliau bersabda, “Laa ilaaHa illallaaH, dia telah digiring dari negerinya dan langitnya, sampai di kubur di tanah di mana dia diciptakan.” (Nawadir Al-Ushul [ms.71] karya Al-Hakim At-Tirmidzi).

Tahqiq:
البزار (1/ 396 – كشف)
قال في مجمع الزوائد (3/ 42): وفيه عبد الله والد علي بن المديني، وهو ضعيف

Dikeluarkan oleh Al Bazzar, Kasyaf Al Asytar, 1/396, daripada Abu Said Al Khudri bukannya Abu Hurairah.

Dinilai dhaif oleh Al Haithami, Majma’ Az Zawaid (3/42) kerana perawi dhaif Abdullah Waalid Ali bin Al Madini.

 

29-3 Hadith Ibn Mas’ud رضي الله عنه (sahih)

و عن ابن مسعود عن رسول الله صلى الله عليه و سلم أنه قال : إذا كان العبد بأرض أوثبته الحاجة إليها حتى إذابلغ أقصى أثره قبضه الله فتقول الأرض يوم القيامة : رب ، هذا ما استودعتني خرجه ابن ماجه أيضاً

Dan daripada Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, daripada Rasulullah ﷺ bahawa Beliau bersabda:
“Apabila ajal seseorang [akan habis] di suatu negeri, maka muncullah suatu hajat yang membuatnya berpergian ke negeri itu, sehingga manakala dia telah sampai ke batas ajalnya, maka Allah ‎ﷻ mencabut (nyawa) nya. Maka bumi akan berkata pada hari kiamat, “Ya Tuhanku, inilah apa yang telah Engkau serahkan padaku.” (HR Ibn Majah).

Disahihkan oleh Al Wada’iy, Al
Sahih Al Musnad, no 850.

الراوي : عبدالله بن مسعود | المحدث : الوادعي | المصدر : الصحيح المسند
الصفحة أو الرقم: 850 | خلاصة حكم المحدث : صحيح

Rumusan bab oleh Al Qurthubi:

فصل : قال علماؤنا رحمة الله عليهم : فائدة هذا الباب تنبيه العبد على التيقظ للموت و الاستعداد له بحسن الطاعة و الخروج عن المظلمة ، و قضاء الدين ، و إتيان الوصية بماله أو عليه في الحضر ، فضلاً عن أوان الخروج عن و طنه إلى سفر ، فإنه لا يدري أين كتبت منيته من بقاع الأرض

Selagi masih menetap di kampung sendiri:

1. Agar selalu waspada terhadap kematian, dan senantiasa bersiaga untuk menghadapinya.

2. Sentiasa melakukan ketaatan sebaik-baiknya,

3. Mengembalikan barang-barang yang telah diambilnya secara zalim,

4. Melunasi hutang-hutangnya,

5. Melaksanakan wasiat, baik yang berhak ia terima mahupun yang wajib ia tunaikan,

6. Ketika berpergian/musafir ke negeri lain, kita tidak tahu, di negeri mana di muka bumi ini kematian kita akan ditetapkan.

Popular

Iklan

Iklan