Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-6

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-6

342
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-6

Ayat Umur Muslihah. Ini adalah ayat tentang Hukum Wudhu’.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَوٰةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ مَا يُرِيدُ اللهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (tandas) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَوٰةِ

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan salat,

Lafaz قُمْتُمْ dari segi nahu adalah dalam bentuk fi’il ma’dhi (past tense) – jadi dari segi bahasa ia bermaksud apabila kamu ‘sudah’ mendirikan salat, tetapi di sini tidak mungkin pula maksudnya begini; tidak mungkin sudah salat baru hendak ambil wudhu’ pula, bukan?

Oleh itu, maksud yang sebenarnya adalah: apabila kamu ingin mendirikan salat, bukannya setelah berdiri untuk salat. Ini bukanlah fi’il madhi biasa tetapi fi’il madhi syuruk, iaitu apabila sudah hampir hendak melakukan salat.

Bukanlah kita kena mengambil wudhu’ untuk setiap kali salat. Kalau waktu itu kita tidak dalam keadaan berhadas, tidaklah wajib kita ambil wudhu’, hukumnya adalah hanya sunat sahaja (memperbaharui wudhu’).

فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ

maka basuhlah muka-mukamu

Anggota wudhu’ yang pertama yang perlu dibasuh adalah wajah kita. Penerangan terperinci tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘wajah’ itu bolehlah dirujuk kepada perbincangan fiqh.

Walaupun disebut muka dahulu, tetapi dalam hadith, kita tahu hukumnya sunat untuk membaca basmalah dan basuh tangan, kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dahulu. Dalam kitab Sahihain daripada Abu Hurairah رضي الله عنه yang mengata­kan bahwa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِه، فَلَا يُدخل يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ قَبْلَ أَنْ يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا، فَإِنَّ أحدَكم لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ”
Apabila seseorang di antara kalian bangun daripada tidur, janganlah dia memasukkan tangannya ke dalam bekas (air) sebelum membasuhnya sebanyak tiga kali. Kerana sesungguhnya seseorang di antara kalian tidak mengetahui di manakah tangannya berada semalam.

وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ

dan tangan-tanganmu sampai ke siku,

Daripada ayat ini, kita tahu bahawa muka dan tangan hendaklah ‘dibasuh’, maknanya dengan menggunakan air dan ada had yang dikenakan kepada tangan, di mana kena dibasuh, dikenakan dengan air sampai ke siku. Maka kenalah tangan kita meraut air sehingga melebihi siku.

Kalau kita perhatikan cara orang kita mengambil wudhu’, kita boleh perasan bagaimana mereka tidak berapa menjaga bahagian siku pada tangan. Kita boleh lihat ramai yang air wudhu’ mereka tidak sampai ke siku. Ini amat menyedihkan, kerana kalau ada masalah dengan wudhu’, maka mereka akan ada masalah dengan salat mereka.

وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ

dan sapulah kepalamu

Kalau muka dan tangan dibasuh, pada kepala hanya ‘disapu’ sahaja, iaitu tangan hanya dibasahkan sahaja. Ini pun ramai dalam kalangan kita yang melakukan kesilapan kerana kebanyakannya mengambil air dengan banyak untuk ‘basuh’ kepala mereka, sedangkan mereka kena sapu sahaja.

Satu lagi masalah dengan orang kita, mereka hanya kenakan sedikit sahaja rambut mereka dengan air, sedangkan yang lebih tepat, seluruh kepala mesti disapu dengan tangan. Begitulah yang telah dilakukan oleh Nabi ﷺ.

Masyarakat kita kena perlu belajar lagi tentang hadih-hadith berkaitan wudhu’ dan janganlah hanya cukup dengan apa yang mereka belajar di sekolah rendah dahulu.

Bab wudhu’ kita sudah sentuh dalam kelas fiqh. Boleh rujuk

وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki,

Terdapat perbincangan yang agak panjang juga tentang kaki. Secara ringkasnya, kaki itu kenalah di’basuh’, bukan disapu sahaja. Walaupun dari segi susunan, ada yang terkeliru kerana ia terletak selepas disuruh ‘sapu’ kepala, dan terus disambung dengan lafaz ‘dan kaki hingga ke mata kaki’. Jadi, ada yang kata, maksud ayat itu adalah sapu kepala dan sapu kaki. Namun, tidak begitu.

Daripada lafaz yang digunakan dalam ayat ini, digunakan lafaz arjulakum – oleh itu, ia kembali kepada muka dan tangan – kalau muka dan tangan dibasuh, maka kaki pun mestilah dibasuh juga. Kalau digunakan lafaz arjulikum, maka barulah ia sama dengan kepala yang disapu sahaja.

Memang ada dua jenis bacaan dalam ayat ini – ada qiraat yang baca arjulakum dan ada qiraat yang baca arjulikum. Namun yang banyak digunakan adalah arjulakum – maknanya kena basuh kaki itu. Bagi penganut Syiah, mereka akan baca arjulikum dan kerana itu mereka hanya sapu sahaja kaki mereka, tidak basuh. Malah, mereka diharamkan daripada membasuh kaki mereka ketika wudhu’. Jadi banyak kesalahan yang mereka lakukan.

Begitu pun, kita tidaklah tolak terus bacaan arjulikum itu – kerana itu juga adalah qiraat yang sah. Cuma digunakan dalam keadaan tertentu sahaja. Dalam bab wudhu’, ada perbincangan tentang sapu ‘khuf’, di mana kita hanya sapu sahaja pada khuf dan tidak buka pun kasut khuf itu.

Mungkin ramai masyarakat Malaysia yang tidak tahu kerana mereka tidak belajar, tetapi kalau mereka tahu, ini akan memudahkan hidup mereka. Kita tidak mahu memanjangkan perbincangan ini, namun bolehlah kita tambah maklumat kita tentang ibadah ini dengan lebih lanjut lagi.

Secara ringkasnya, hendaklah dibasuh kaki itu dalam wudhu’. Sampaikan Nabi Muhammad ﷺ marah apabila baginda nampak sahabat tidak membasuh kaki mereka dengan baik.

وَفِي الصَّحِيحَيْنِ، مِنْ رِوَايَةِ أَبِي عَوَانة، عَنْ أَبِي بِشْر، عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَك، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: تَخَلَّف عَنَّا رسول الله صلى الله عليه وسلم في سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا، فأدرَكَنا وَقَدْ أرْهَقَتْنَا الصلاةُ، صلاةُ الْعَصْرِ وَنَحْنُ نَتَوَضَّأُ، فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا، فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ: “أسبِغوا الْوُضُوءَ وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ”.
Di dalam kitab Sahihain melalui riwayat Abu Uwwanah, daripada Abu Bisyr, daripada Yusuf ibnu Mahik, daripada Abdullah ibnu Amr, disebutkan bahwa Rasulullah ﷺ dalam suatu perjalanan bersama kami berhen­ti, lalu baginda menyusul kami dan masuklah waktu salat Asar, yang saat itu kami dalam keadaan lelah. Maka kami lakukan wudhu’ dan kami mengusap pada kedua kaki kami. Lalu Rasulullah ﷺ berseru dengan sekuat suaranya: Sempurnakanlah wudhu’, celakalah bagi tumit yang tidak dibasuh kerana akan dibakar oleh neraka.

Dan di dalam hadith yang lain:

وَقَدْ رَوَى مُسْلِمٌ فِي صَحِيحِهِ، مِنْ طَرِيقِ أَبِي الزُّبَيْرِ، عَنْ جَابِرٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ؛ أَنَّ رَجُلًا تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ”.
Imam Muslim meriwayatkan di dalam kitab sahihnya melalui ja­lur Abuz Zubair, daripada Jabir, daripada Umar ibnul Khattab, bahawa seorang lelaki melakukan wudhu’, dan meninggalkan bahagian sebesar kuku tanpa terbasuh pada telapak kakinya. Nabi ﷺ melihatnya, maka Nabi ﷺ bersabda: Kembalilah dan lakukanlah wudhu’mu dengan baik.

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

dan jika kamu junub maka mandilah,

Jika berjunub maka, hendaklah dicuci dengan lebih lagi iaitu kena mandi. Junub adalah apabila kita berhadas besar seperti keluar mani, berjimak, keluar haid dan juga nifas. Tentang Mandi Junub juga telah banyak disentuh dalam hadith yang hendaklah dipelajari.

وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan

Wudhu’ dilakukan dengan air. Namun dalam keadaan tertentu, ada masanya kita tidak dapat menggunakan air. Kadang-kadang kita sakit yang tidak boleh dikenakan air – mungkin ada luka di mana-mana anggota wudhu’ atau di tubuh badan sehinggakan tidak boleh mandi junub.

Ataupun kita dalam perjalanan yang jauh dan tidak ada air waktu itu. Atau air ada, tetapi sedikit dan cuma cukup untuk digunakan sebagai air minuman sahaja. Dalam kes ini diberi kelonggaran (rukhsah) kepada kita.

أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ

atau kembali dari tempat buang air

Buang air kecil atau besar adalah salah satu perkara yang menyebabkan kita berhadas. Lafaz الْغَائِطِ bermaksud tanah rendah yang digunakan sebagai tempat buang air. Kalau zaman Nabi ﷺ, mereka tidak ada tandas. Mereka akan buang air di tempat yang jauh di padang pasir, selalunya di tempat yang rendah dari tempat biasa.

Jadi, الْغَائِطِ itu bermaksud tempat buang air dan zaman sekarang bermaksud ‘tandas’. Ini adalah salah satu daripada keindahan bahasa Al-Qur’an – tidaklah digunakan lafaz ‘buang air’, atau ‘kencing’ atau ‘berak’ tetapi bahasa isyarat sahaja yang digunakan. Memang tidak disebut semua itu, hanya disebut ‘kembali’ dari tempat itu sahaja, namun kita yang ada akal ini, fahamlah yang bukan balik sebab sengaja lawat tempat itu, tetapi sudah selesai ‘kerja membuang dan melabur’ di sana.

أَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاءَ

atau menyentuh perempuan,

Ada perbincangan yang agak panjang juga tentang potongan ayat ini. Persoalan yang dibincangkan dari zaman berzaman adalah sama ada ‘sentuh’ perempuan membatalkan wudhu’ atau tidak. Jadi, ada perbezaan pendapat antara mazhab yang besar tentang perkara ini.

Mazhab Syafi’iy, contohnya, berpendapat bahawa kalau sentuh sahaja antara lelaki dan wanita, terus membatalkan wudhu’. Sedangkan pendapat mazhab lain seperti Maliki, sentuh sahaja tidaklah membatalkan wudhu’ kerana lafaz لَامَسْتُمُ (bukan لَمَستُم) dalam ayat ini bukanlah bermaksud ‘kamu sentuh’ tetapi ia bermaksud ‘bersentuh-sentuhan’ yang bermaksud persetubuhan (jimak) – ini kerana ada beza dari segi wazan antara لَامَسْتُمُ dan لَمَستُم. Jadi, kalau setakat sentuh biasa sahaja, bukan ada nafsu waktu itu, tidaklah membatalkan.

Saya lebih setuju dengan pendapat yang mengatakan lafaz laamasa dalam ayat ini bermaksud jimak dan bukanlah sentuh biasa kerana kalau sentuh biasa sahaja, lafaz lamasa yang digunakan. Ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith bagaimana Nabi Muhammad ﷺ sendiri ada bersentuh dengan para isteri baginda (sebelum salat dan semasa salat) dan tidaklah baginda mengambil wudhu’ semula selepas itu.

Begitu pun, tidaklah kita mengatakan mereka yang berpendapat ayat ini bermaksud ‘sentuh’ sebagai salah pula. Ini terpulang kepada penelitian dan pilihan mana pendapat ulama’ yang kita hendak pilih. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan – menghormati pendapat ulama’ – semuanya ada dalil, cuma pemahaman dalil yang berlainan. Inilah baru dikatakan ‘khilaf’ ulama’ iaitu ada dalil. Bukannya khilaf ulama’ dalam perkara yang tidak ada dalil.

Sebagai contoh, ada yang kata, Majlis Tahlil itu adalah khilaf ulama’ juga. Itu bukanlah khilaf yang patut dilayan, kerana tidak ada langsung dalil Nabi ﷺ pernah buat buat Majlis Tahlil pun. Buang masa sahaja melayan khilaf seperti itu. Kalau khilaf yang ada dalil barulah kita layan.

Malangnya, ramai juga ustaz yang tidak faham tentang perkara ini dan mereka pun kata ada khilaf ulama’ dalam perkara ini. Ini amat menyedihkan sekali. Kalau orang awam yang kata begitu, kita fahamlah kerana orang awam memang jahil.

فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih);

Ini adalah hukum tayammum: apabila tidak boleh guna air kerana sakit, atau tidak ada air dalam musafir, dan kita sudah buang air dan berjunub tidak ada air, maka Islam membenarkan kita tayammum, maksudnya angkat hadas menggunakan tanah yang bersih.

Imam Bu­khari رحمه الله dalam bab ini telah meriwayatkan sebuah hadith khusus mengenai ayat yang mulia ini.

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سُلَيْمَانَ، حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْقَاسِمِ حَدَّثَهُ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ: سَقَطَتْ قِلَادَةٌ لِي بِالْبَيْدَاءِ، وَنَحْنُ دَاخِلُونَ الْمَدِينَةَ، فَأَنَاخَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَزَلَ، فثَنَى رَأْسَهُ فِي حِجْري رَاقِدًا، أَقْبَلَ أَبُو بَكْرٍ فلَكَزَني لَكْزَةً شَدِيدَةً، وَقَالَ: حَبَسْت النَّاسَ فِي قِلَادَةٍ، فَبى الموتُ لِمَكَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَدْ أَوْجَعَنِي، ثُمَّ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَيْقَظَ وَحَضَرَتِ الصُّبْحُ، فَالْتَمَسَ الْمَاءَ فَلَمْ يوجَد، فَنَزَلَتْ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ} هَذِهِ الْآيَةُ، فَقَالَ أسَيْد بْنُ الحُضَير لَقَدْ بَارَكَ اللَّهُ لِلنَّاسِ فِيكُمْ يَا آلَ أَبِي بَكْرٍ، ما أنتم إلا بركة لهم.
Disebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sulaiman, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris bahawa Abdur Rahman ibnul Qasim pernah menceritakan kepadanya, daripada ayahnya, daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan, “Kalungku terjatuh di padang pa­sir, saat itu kami telah berada di lingkungan kota Madinah. Maka Ra­sulullah ﷺ memberhentikan unta kenderaannya dan turun. Lalu baginda merebahkan kepalanya di pangkuanku dan tidur. Kemudian da­tanglah Abu Bakar رضي الله عنه dan memukulku dengan pukulan yang keras sera­ya berkata, ‘Kamulah yang menyebabkan orang-orang tertahan kerana kalung itu.’ Maka aku berharap untuk mati saat itu kerana pukulannya terasa sangat menyakitkan, tetapi aku ingat kepada Rasulullah ﷺ yang sedang tidur di pangkuanku. Tidak lama kemudian Nabi ﷺ bangun, dan waktu Subuh masuk. Lalu baginda mencari air, tetapi tidak didapati. Maka turunlah firman-Nya: ‘Hai orang-orang yang beriman, apabila kalian hendak menger­jakan salat, maka basuhlah muka kalian’ (Al-Maidah: 6), hingga akhir ayat.” Maka Usaid ibnul Hudair berkata, “Sesungguhnya Allah telah mem­berkati manusia melalui kalian, hai keluarga Abu Bakar. Kalian tiada lain merupakan berkah bagi mereka.”

فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ

sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu.

Ini adalah cara yang amat mudah sekali menunjukkan bagaimana mudahnya Islam ini yang boleh dipraktikkan di mana-mana sahaja kerana amat mudah untuk kita cari tanah. Cuma gunakan tanah itu untuk sapu muka dan tangan sahaja – mudah bukan? Kalau difikirkan secara logik, apabila kita menggunakan air, dapatlah membersihkan bahagian tubuh kita.

Namun bagaimana pula dengan menggunakan tanah boleh membersihkan tubuh kita? Ini bukanlah perbincangan yang sepatutnya diadakan kerana tujuan kita tayammum bukanlah untuk membersihkan tubuh, tetapi sebagai melakukan satu ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ sudah suruh kita buat begitu, maka begitulah sahaja yang kita lakukan.

Tentang tayammum ini juga ramai yang tidak tahu dan mungkin ada yang tidak pernah amalkan pun kerana jarang diajar kepada masyarakat kita. Ini juga banyak terdapat dalam hadith.

مَا يُرِيدُ اللهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ

Allah tidak hendak menyulitkan kamu,

Ini adalah hikmah kenapa Allah ‎ﷻ mengajar kita tentang wudhu’ dan tentang tayammum. Segala hukum yang diberi itu bukanlah kerana Allah ‎ﷻ ingin menyusahkan kita dalam proses untuk beribadat kepada-Nya. Cuma kita kena ikut cara yang telah ditetapkan kerana Dia adalah Allah ‎ﷻ dan kita adalah hamba-Nya.

Tentu ada kelebihan di dalam hukum wudhu’ yang diberikan, cuma kita kena belajar dengan lebih lagi. Hukum Allah ‎ﷻ tidak sia-sia tetapi ada kebaikan di dalamnya. Jadi jangan kita rasa sulit untuk memenuhi kehendak Allah‎ﷻ ini.

وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ

tetapi Dia hendak membersihkan kamu

Salah satu hikmah yang disampaikan dalam ayat ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita bagaimana menjadi orang yang bersih luar dan dalam. Perkara ini tidak diajar dalam agama lain. Islamlah agama yang mengajar tentang kebersihan.

Cuma sekarang sahaja kita lihat agama lain juga menjaga kebersihan, tetapi sebenarnya itu terjadi kerana manusia telah maju. Sedangkan dalam agama mereka tidak ada ajaran untuk menjaga kebersihan pun.

وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ

dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu,

Dan kerana Allah ‎ﷻ hendak melengkapkan nikmat beribadat kepada kita semua kerana melakukan ibadat itu adalah nikmat sebenarnya, terutama sekali ibadat yang paling penting, iaitu salat. Dan untuk mengerjakan salat, kita kena bersih kerana kita hendak mengadap Allah ‎ﷻ dan sebab itulah diberikan syarat wudhu’ kepada kita.

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

supaya kamu bersyukur.

Akhirnya supaya kita bersyukur kerana boleh mengerjakan ibadat dalam semua keadaan. Walaupun tidak ada air, masih boleh mengerjakan ibadat lagi. Kita semua hendak ke akhirat dan untuk mendapat tempat yang baik di akhirat kita mestilah melakukan ibadah kepada Allah ‎ﷻ.

Namun bagaimana kalau Allah ‎ﷻ hanya menetapkan cuma boleh berwudhu’ sahaja, tidak boleh tayammum? Tentu susah untuk kita dalam keadaan tertentu, tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan nikmat kepada kita dengan membenarkan kita menggunakan tayammum supaya kita dapat termasuk dalam orang yang salat dan adalah peluang kita untuk masuk syurga.

Allahu a’lam.

#Ilmu

#Prihatin

#Amal

Komen dan Soalan