Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Fiqh Asasi Pemula: Kitab Salat – Fardhu dan Sunnah Salat (Takbiratul Ihram,...

Fiqh Asasi Pemula: Kitab Salat – Fardhu dan Sunnah Salat (Takbiratul Ihram, Angkat Tangan dan Meletak Pada Dada)

257
0
Iklan

Kitab   : Salat

Bab     : Fardhu dan Sunnah Salat

Bahagian : B. Takbiratul Ihram

                  C. Angkat Tangan dan Meletak Pada Dada

          1. Meletakkan tangan di atas dada
          2. Cara mengangkat tangan semasa takbir
          3. Waktu mengangkat tangan

B. Takbiratul Ihram

Selepas niat, langkah pertama adalah takbir. Seseorang mengangkat kedua tangannya dan mengucapkan ‘Allahuakbar‘ ketika memulai salat, ini dinamakan takbiratul ihram. 

Takbiratul ihram adalah termasuk rukun salat, salat tidak sah tanpanya. Dalilnya adalah daripada hadith yang dikenali sebagai hadith al musi’ shalatuhu, iaitu tentang seorang sahabat yang belum faham cara salat, hingga setelah dia selesai salat Nabi ﷺ terus mengajarinya.

✍🏻 Baginda ﷺ bersabda kepadanya:

ارجِعْ فَصَلِّ فإنك لم تُصلِّ

“Ulangi lagi, kerana engkau belum salat.”

Syarah: Ini menunjukkan salat yang sahabat itu lakukan tidak sah sehingga tidak teranggap sudah menunaikan salat.

✍🏻 Kemudian Nabi ﷺ mengajarkan salat yang benar kepadanya dengan bersabda:

إذا قُمتَ إلى الصَّلاةِ فأسْبِغ الوُضُوءَ، ثم اسْتقبل القِبْلةَ فكبِّر…

“Jika engkau hendak salat, ambillah wudhu’ lalu menghadap qiblat dan bertakbirlah…” 

(Bukhari No.757 dan Muslim No.397)

Syarah: Hadith ini juga menunjukkan bahawa tidaklah Nabi ﷺ mengajar lafaz niat, bukan?

Para ulama’ mengatakan, dinamakan  takbiratul ihram kerana dengan melakukannya, seseorang diharamkan melakukan hal-hal yang sebelumnya halal, hingga salat selesai. 

✍🏻 Sebagaimana hadith;

مفتاح الصلاة الطهور وتحريمها التكبير وتحليلها التسليم

“Pembuka salat adalah bersuci (wudhu’), yang mengharamkan adalah takbir dan yang menghalalkan adalah salam.”

(Abu Daud No.618, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Abu Daud)

Sebagaimana kita ketahui, ketika dalam keadaan salat, kita diharamkan berbicara, makan, minum dan perbuatan lain hingga salat selesai.

Takbiratul ihram itu wajib diucapkan dengan lisan, tidak boleh hanya diucapkan di dalam hati. Lalu para ulama’ berselisih pendapat apakah dipersyaratkan suara minima bagi takbir perlu didengar oleh diri sendiri atau tidak. 

📍 Sebahagian ulama’ seperti Hanabilah mensyaratkan demikian, iaitu suara takbir dapat didengar oleh orang di sebelahnya atau minimum dapat didengar oleh si pengucap sendiri (Syarhul Mumthi’, 3/20). Namun yang rajih, hal ini tidak disyaratkan. 

Syeikh Al-Utsaimin رحمه الله mengatakan: 

“Yang benar, tidak disyaratkan seseorang itu dapat mendengar suara takbirnya kerana terdengarnya takbir itu zaaid (objek eksternal) daripada pengucapan. Maka, bagi yang mengatakan hal ini diwajibkan, sepatutnya mendatangkan dalil.” 

(Syarhul Mumthi’, 3/20)

C. Angkat Tangan dan Meletak Pada Dada 

Para ulama’ bersepakat bahawa disyar’iatkan untuk mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram dan semasa berubah rukun (takbir intiqal). 

✍🏻 Dalilnya pada hadith;

أنَّ النبيَّ صلّى الله عليه وسلّم كان يرفعُ يديه حذوَ مَنكبيه؛ إذا افتتح الصَّلاةَ، وإذا كبَّرَ للرُّكوع، وإذا رفع رأسه من الرُّكوع

“Nabi ﷺ biasanya ketika memulai salat, ketika takbir untuk rukuk dan ketika mengangkat kepala setelah rukuk, Baginda mengangkat kedua tangannya setinggi bahunya” 

(Bukhari No.735)

Namun, mereka berselisih pendapat mengenai hukumnya. Sebahagian ulama’ mengatakan hukumnya wajib, seperti Al-Auza’i, Al-Humaidi, Ibnu Khuzaimah dan Al-Hakim رحمه الله. Dalil mereka adalah kerana hadith-hadith menunjukkan bahawa Nabi ﷺ selalu mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram. 

Sedangkan Baginda ﷺ bersabda:

صلوا كما رأيتموني أصلي

“Salatlah sebagaimana kalian melihat aku salat.” 

(Bukhari No.5549).

Namun, pendapat ini tidak tepat kerana banyak tata cara salat yang Baginda ﷺ selalu lakukan seperti duduk tawarruk, duduk iftirasy, berdoa istiftah dan lain-lain namun tidak wajib hukumnya. Bahkan, ini semua tidak dinilai wajib oleh ulama’ yang mewajibkan mengangkat tangan ketika takbiratul ihram. Sehingga ada idthirad (kegoncangan) pada pendapat ini.

📌 Yang benar, Ibnul Munzir رحمه الله telah menukil ijma ulama’ bahawa mengangkat tangan ketika takbiratul ihram itu hukumnya sunnah (Shifatu Shalatin Nabi, 63-67).

Sekarang timbul persoalan yang agak menarik: Berapa tinggi tangan diangkat semasa takbiratul ihram? 

Kedua tangan diangkat setinggi bahu atau setinggi hujung telinga? 

✍🏻 Berdasarkan hadith;

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ إذا قام إلى الصلاةِ يرفعُ يديه حتى إذا كانتا حذوَ مِنكَبيه

“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika salat Baginda mengangkat kedua tangannya sampai setinggi bahunya.” 

(Ahmad 9/28, Ahmad Syakir mengatakan: sanad hadith ini sahih)

✍🏻 Juga hadith;

كانَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم إذا افتتحَ الصلاةَ رفع َيدَيهِ حتى تكوناَ حَذْوَ أُذُنَيهِ

“Biasanya Rasulullah ﷺ ketika memulai salat Baginda mengangkat kedua tangannya sampai setinggi kedua telinganya.” 

(Al-Baihaqi 2/26)

✍🏻 Serta hadith daripada Malik bin Huwairith رضي الله عنه

أنه رأى نبي الله صلى الله عليه وسلم . وقال : حتى يحاذي بهما فروع أذنيه

“Dia melihat Nabi ﷺ salat, dia berkata (tangannya diangkat) sampai setinggi pangkal telinganya.” 

(Muslim No.391 dan Abu Daud No.745)

Ini adalah khilaf tanawwu’ (perbezaan variasi). Seseorang boleh memilih salah satu daripada cara yang ada. Bahkan, yang lebih utama terkadang mengamalkan yang satu dan terkadang mengamalkan yang lain, sehingga masing-masing daripada sunnah ini tetap lestari dan diamalkan.

Saya katakan tadi yang perbincangan ini menarik kerana pernah timbul isu seorang ustaz berkata cara untuk kenal seorang itu ‘Wahabi’ adalah dengan melihat cara mereka mengangkat takbir. Kalau setakat bahu (“style Batman” katanya), itulah Wahabi. Mungkin dia tidak tahu tentang hadith-hadith ini sehingga dia berkata demikian.

Selain daripada takbiratul ihram, kita disyariatkan juga untuk mengangkat tangan semasa berubah rukun. Ini dinamakan takbir intiqal. Yang selalu Baginda lakukan adalah:

  • Ketika rukuk
  • Bangkit dari rukuk
  • Bangkit dari rakaat kedua
  1. Meletakkan tangan di atas dada
  • Sedekap

Ini adalah perbuatan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. Kita panggil sedekap. Para ulama’ bersepakat bahawa bersedekap ketika salat adalah hal yang disyariatkan.

✍🏻 Ini berdasarkan hadith daripada Sahl bin Sa’ad رضي الله عنه

كان الناسُ يؤمَرون أن يضَع الرجلُ اليدَ اليُمنى على ذِراعِه اليُسرى في الصلاةِ

“Dahulu orang-orang diperintahkan untuk meletakkan tangan kanan di atas lengan kirinya ketika salat.” 

(Bukhari No.740)

Syarah: Walaupun dalam hadith Bukhari ini terdapat ungkapan perintah untuk bersedekap, namun tidak diketahui perkataan daripada salaf (baik daripada sahabat, tabi’in, mahupun tabi’ut tabi’in) ataupun para imam mazhab yang menyatakan wajibnya bersedekap dalam salat. (Lihat Sifat Shalat Nabi Lit Tharifi, 84)

Dengan demikian bersedekap dalam salat hukumnya sunnah, tidak sehingga menjadi wajib.

Letak tangan kanan pula ada para ulama’ bersepakat bahawa tangan kanan berada di atas tangan kiri, namun mereka berbeza pendapat mengenai perincian bentuk sedekap, yang merupakan khilaf tanawwu’ (perbezaan dalam variasi). Walaupun demikian, cara bersedekap yang benar dibahagi menjadi dua cara:

⇒ Cara pertama iaitu al wadh’u (meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri tanpa melingkari atau menggenggam).  Maknanya letak sahaja tangan kanan atas tangan kiri. 

Tiga posisi letak tangan kanan: 

  • di belakang tapak tangan kiri
  • di pergelangan tangan kiri 
  • di lengan bawah tangan kiri. 

✍🏻 Dalilnya, hadith daripada Wa’il bin Hujr رضي الله عنه tentang sifat salat Nabi ﷺ,

ثم وضَع يدَه اليُمنى على ظهرِ كفِّه اليُسرى والرُّسغِ والساعدِ

“..setelah itu Baginda ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas punggung tangan kiri, atau di atas pergelangan tangan atau di atas lengan.” 

(Abu Daud No.727, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Abu Daud)

⇒ Cara kedua iaitu al qabdhu iaitu jari-jari tangan kanan melingkari atau menggenggam tangan kiri. 

✍🏻 Dalilnya, hadith daripada Wa-il bin Hujur رضي الله عنه:

رأيتُ رسولَ اللَّهِ إذا كانَ قائمًا في الصَّلاةِ قبضَ بيمينِهِ على شمالِهِ

“Aku Melihat Nabi ﷺ apabila berdiri dalam salat Baginda melingkari tangan kirinya dengan tangan kanannya.” 

(An-Nasa’i  No.886, Al-Baihaq No. 2/28, disahihkan Al-Albani dalam Sahih An-Nasa’i)

Adapun selain daripada dua cara ini, iaitu meletakkan tangan kanan di siku kiri atau di lengan atas, adalah kekeliruan dan tidak ada satu pun ulama’ yang membolehkannya. 

📍Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin رحمه الله mengatakan: 

“Kita pernah melihat orang yang bersedekap dengan memegang sikunya, apakah ini ada dasarnya? Jawabnya, ini tidak ada dasarnya sama sekali.” 

(Syarhul Mumthi’, 3/36)

Sebahagian ulama’ membezakan tata cara bersedekap lelaki dengan wanita, namun yang tepat tata cara bersedekap lelaki dengan wanita adalah sama kerana pada asalnya tata cara ibadah yang dicontohkan oleh Nabi ﷺ itu berlaku untuk lelaki dan wanita kecuali ada dalil yang membezakannya.

  • Di manakah pula letak dua tangan kita?

Pernahkah anda dengar ada yang berkata: “Kalau nak kenal Wahabi, mereka akan sedekap di dada.” Benarkah itu ciri-ciri wahabi? Jika begitu, Nabi Muhammad ﷺ pun Wahabi jugalah? Oleh itu, di manakah kita hendak meletak tangan kita semasa berdiri? Terdapat pelbagai cara sedekap daripada dalil-dalil.

Para ulama’ berbeza pendapat mengenai letak sedekap. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat bahawa letak sedekap adalah di bawah pusat. 

✍🏻 Berdasarkan dalil hadith;

أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : مِنَ السُّنَّةِ وَضْعُ الْكَفِّ عَلَى الْكَفِّ فِي الصَّلَاةِ تَحْتَ السُّرَّةِ

“Ali رضي الله عنه berkata: Termasuk sunnah, meletakkan tapak tangan di atas telapak tangan dalam salat di bawah pusat.” 

(Abu Daud No.758 dan Al-Baihaqi 2/31)

Namun, hadith ini sangat lemah kerana ada perawi yang bernama Ziad bin Zaid Al Kufi statusnya majhul ‘ain, dan Abdurrahman bin Ishaq yang berstatus dhaiful hadith.

Adapun Syafi’iyyah dan Malikiyyah berpendapat di bawah dada dan di atas pusat. 

✍🏻 Dalilnya hadith Wail bin Hujr رضي الله عنه;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى ثُمَّ يَشُدُّ بَيْنَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ

“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mengencangkan keduanya di atas dadanya ketika Baginda salat” 

(Abu Daud No.759, Al-Baihaqi 4/38, At-Tabrani dalam Mu’jam Al Kabir No.3322)

Syafi’iyyah dan Malikiyyah memaknai bahawa maksud lafadz عَلَى صَدْرِهِ adalah bahagian akhir dada. Namun, kesahihan hadith ini diperselisihkan oleh para ulama’. Yang tepat insya-Allah, hadith ini lemah. Letak kelemahannya pada perawi Mu’ammal bin Isma’il, yang dapat diperincikan sebagai berikut:

Juga dinukil sebagai salah satu pendapat Imam Ahmad رحمه الله bahawasanya letak sedekap betul-betul di atas dada, sesuai zahir hadith. Ini juga yang dikuatkan oleh Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin dan juga Syeikh Al-Albani رحمه الله.

📌 Disebabkan tidak ada hadith sahih daripada Nabi ﷺ tentang di mana tangan perlu diletakkan, yang tepat ialah tidak ada batasan letak sedekap. Dalam hal ini perkaranya luas iaitu boleh sedekap di atas dada, di bawah dada, di perut, di atas pusat mahupun di bawah pusat. (Lihat Sifat Salat Nabi Lit Tharifi, 90)

Semoga keterangan ini dapat menyelesaikan permasalahan dalam kalangan masyarakat kita. Tangan boleh diletak di mana-mana bahagian tubuh, asalkan di bahagian ‘tengah tubuh’.

Adapun bagi mereka yang bersedekap di dada kiri atau di rusuk kiri dengan beralasan bahawa itu adalah tempatnya jantung, ini adalah alasan yang direka dan tidak ada asalnya. Kadangkala ada juga kita tengok orang sedekap senget ke sebelah kiri. Ini juga tidak ada dalilnya dan patut ditinggalkan. Ada kekeliruan dalam cara itu.

  1. Cara mengangkat tangan semasa takbir 

Jari-jari direnggangkan, tidak terlalu terbuka dan juga tidak dirapatkan. 

✍🏻 Berdasarkan hadith;

كان إذا قام إلى الصلاة قال هكذا – وأشار أبو عامر بيده ولم يفرج بين أصابعه ولم يضمها

“Biasanya Nabi ﷺ jika salat Baginda begini, Abu Amir (perawi hadith) mengisyaratkan dengan gerakan tangannya, Baginda tidak membuka jari-jarinya dan tidak merapatkannya.” 

(Ibnu Khuzaimah No.459, disahihkan Al-Albani dalam sahih Ibnu Khuzaimah)

Untuk telapak tangan, sebahagian ulama’ seperti Ibnul Qayyim, At Thahawi, Abu Yusuf رحمه الله dan sebahagian besar Hanabilah menganjurkan mengarahkan telapak tangan lurus ke arah qiblat ketika mengangkat kedua tangan.

✍🏻 Berdalil dengan hadith;

إذا استفتح أحدُكم الصلاةَ فليرفع يديْهِ ، وليستقبل بباطنِهما القِبلةَ

“Jika salah seorang kalian memulai salat hendaklah mengangkat kedua tangannya, lalu hadapkan kedua telapak tangannya ke arah qiblat.” 

(Al-Baihaqi dalam Sunan Al Kubra 2/27, dalam Silsilah Adh Dhaifah (2338) Al-Albani berkata: “dhaif jiddan”)

Terdapat beberapa hadith lain yang semakna namun tidak ada yang sahih. 

✍🏻 Adapun hadith daripada Wa-il bin Hujr رضي الله عنه;

لأنظرن الى صلاة رسول الله صلى الله عليه و سلم قال فلما افتتح الصلاة كبر ورفع يديه فرأيت إبهاميه قريبا من أذنيه

“Sungguh aku menyaksikan Nabi ﷺ salat, ketika Baginda memulai salat Baginda bertakbir lalu mengangkat kedua tangannya sampai aku melihat kedua ibu jarinya dekat dengan kedua telinganya” 

(An-Nasa’i No.1101. Disahihkan Al-Albani dalam Sunan An-Nasa’i)

Oleh itu, hadith ini bukan merupakan dalil yang sarih akan perbuatan ini. Namun memang terdapat atsar sahih daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما.

✍🏻 Lafaz atsarnya;

انه كان اذا كبر استحب ان يستقبل بإبهامه القبلة

“Ibnu Umar رضي الله عنهما biasanya ketika bertakbir beliau menyukai menghadapkan kedua ibu jarinya ke arah qiblat” 

(Ibnu Sa’ad dalam Ath Thabaqat 4/157, dinukil daripada Sifatu Salatin Nabi, 63)

Daripada hadith ini, sebahagian ulama’ berdalil dengan keutamaan menghadap qiblat di luar dan di dalam ibadah. 

✍🏻 Di antaranya seperti ayat;

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu memandang ke langit maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke qiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya” 

[Al-Baqarah:144]

✍🏻 Juga hadith Nabi ﷺ:

البيتِ الحرامِ قبلتِكم أحياءً وأمواتًا

“Masjidil Haram adalah qiblat kalian ketika hidup mahupun ketika mati.” 

(Abu Daud No.2875)

Hadith ini diperselisihkan kesahihannya dan secara umum ini adalah pendalilan yang tidak sarih (tegas). Oleh kerana itu, yang rajih insya-Allah, mengarahkan kedua telapak tangan ke qiblat ketika takbiratul ihram itu boleh dilakukan sebagaimana perbuatan Ibnu Umar رضي الله عنهما namun tidak sampai disunnahkan. (Sifatu Salatin Nabi, 63-66)

  1. Waktu mengangkat tangan

📍Persoalan: Adakah Takbir Dahulu Atau Angkat Tangan Dahulu?

Menurut Malikiyyah dan Syafi’iyyah, takbir bersama dengan mengangkat tangan. Inilah yang biasa dilakukan di negara ini. 

Sedangkan Hanafiyyah dan salah satu pendapat Syafi’iyyah, mengangkat tangan itu sebelum takbir. 

Sebahagian ulama’ Hanafiyah juga berpendapat mengangkat tangan itu setelah takbir.

📌 Yang benar, kita ada pilihan untuk memilih takbir daripada salah satu daripada tiga cara ini, ertinya boleh mengangkat tangan dahulu sebelum takbir, boleh setelah takbir dan dibolehkan juga bersama dengan takbir kerana semua ini pernah dipraktikkan oleh Nabi ﷺ. (Sifati Salatin Nabi, 193-199)

Dalil sebelum takbir:

✍🏼 Hadith daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ رفع يديه حتى تكونا حذو منكبيه ثم كبَّر

“Pernah Rasulullah ﷺ ketika salat Baginda mengangkat kedua tangannya sampai keduanya setinggi bahu, lalu bertakbir.” 

(Muslim No.390)

✍🏻. Hadith daripada Abu Humaid As Sa’idi رضي الله عنه:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ يرفع يديه حتى يحاذي بهما منكبيه، ثم يكبر

“Pernah Rasulullah ﷺ ketika salat Baginda mengangkat kedua tangannya sampai keduanya setinggi bahu, lalu bertakbir.” 

(Abu Daud No.729, disahihkan Al-Albani dalam sahih Abu Daud)

Dalil bersamaan dengan takbir:

✍🏻  Hadith daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما:

رأيت النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افتتح التكبير في الصلاة، فرفع يديه حين يكبر حتى يجعلهما حذو منكبيه، وإذا كبَّر للركوع؛ فعل مثله

“Aku melihat Nabi ﷺ memulai salatnya dengan takbir. Lalu Baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir hingga keduanya setinggi bahu. Jika Baginda hendak rukuk, Baginda juga melakukan demikian.” 

(Bukhari No.738)

✍🏻  Hadith Malik Ibnul Hawarith رضي الله عنه:

أن رسول الله كان إذا صلى ، يرفع يديه حين يكبر حيال أذنيه ، وإذا أراد أن يركع ، وإذا رفع رأسه من الركوع

“Rasulullah ﷺ biasanya jika salat Baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir hingga sampai setinggi kedua telinganya. Baginda lakukan itu juga ketika hendak rukuk atau hendak mengangkat kepala dari rukuk.”

(An-Nasa’i No.879, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Sunan Nasa’i)

Dalil setelah takbir:

✍🏻 Atsar daripada Abu Qilabah رحمه الله,

أنه رأى مالك بن الحويرث ، إذا صلى كبر . ثم رفع يديه . وإذا أراد أن يركع رفع يديه . وإذا رفع رأسه من الركوع رفع يديه . وحدث ؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يفعل هكذا

“Ia melihat Malik bin Al Huwairith رضي الله عنه jika salat beliau bertakbir, lalu mengangkat kedua tangannya. Jika beliau ingin rukuk, beliau juga mengangkat kedua tangannya. Jika beliau mengangkat kepala dari rukuk, juga mengangkat kedua tangannya. Dan beliau pernah mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ juga melakukan seperti itu.” 

(Muslim No. 391)

Sekian, Allahu a’lam.

Komen dan Soalan