Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-10 hingga Ke-12

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-10 hingga Ke-12

31
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-10

Ini ayat Takhwif Ukhrawi (ayat menakutkan tentang azab).

وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِئآيَٰتِنَا أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ

Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu adalah penghuni neraka.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا

Dan adapun orang-orang yang kafir

Ini adalah mereka yang kufur kerana degil. Setelah dibawakan dalil bukti kepada mereka, mereka menolaknya kerana mereka degil tidak mahu menerima kebenaran yang telah disampaikan.

وَكَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

dan mereka telah mendustakan ayat-ayat Kami,

Mereka tidak mahu menerima ajaran daripada wahyu. Kepada pendakwah yang membawakan ajaran wahyu kepada mereka, mereka kata: “Kamu dusta”.

Begitulah yang banyak terjadi. Apabila diberikan tafsir Al-Qur’an kepada masyarakat dan mereka tidak mahu terima, mereka kata tafsiran kita adalah salah. Mereka tidak dapat terima kerana tidak sama dengan apa yang mereka amalkan selama hari ini.

أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ

mereka itu adalah penghuni neraka.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana penolakan mereka itu. Apabila dikatakan mereka itu ‘sahabat neraka’, maksudnya mereka itu adalah ‘pemegang geran’ dalam neraka. Mereka akan kekal di dalamnya kerana mereka ada geran tanah, maka itu memang tempat tinggal mereka untuk selama-lamanya.

Ini berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang hanya masuk neraka sekejap sahaja. Orang mukmin ada yang masuk neraka sekejap tetapi akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka bukanlah ‘sahabat neraka’.

Tafsir Ayat Ke-11

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ وَاتَّقُوا اللهَ وَعَلَى اللهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah (yang diberikan-Nya) kepadamu, di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu (untuk berbuat jahat), maka Allah menahan tangan mereka daripada kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakkal.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah kepadamu,

Tentunya ada nikmat daripada Allah ‎ﷻ yang tidak terkira banyaknya. Namun dalam ayat ini adalah nikmat yang khusus yang hendak diingatkan kepada orang mukmin, iaitu nikmat bantuan keselamatan kepada mereka.

إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ

di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu

Ketika ada kaum yang sangat hendak menyerang kamu. Tujuan mereka adalah untuk memusnahkan kamu. Ini adalah ketika Musyrikin Mekah yang bertujuan hendak memusnahkan kaum Muslimin.

فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ

maka Allah menahan tangan mereka dari kamu.

Namun Allah ‎ﷻ telah menahan tangan mereka daripada membunuh kamu. Allah ‎ﷻ menahan hati mereka untuk terus melakukan kejahatan terhadap kamu. Banyaklah contoh yang boleh diberikan. Salah satu daripadanya adalah Peperangan Khandak di mana Musyrikin Mekah telah datang untuk menyerang umat Islam di Madinah. Mereka tidak dapat masuk ke dalam Kota Madinah.

Mereka bercadang hendak menyerang kaum Muslimin secara habis-habisan. Ramai puak yang bersekongkol dengan mereka pada waktu itu untuk terus menghapuskan Islam, tetapi selepas kekalahan itu, mereka sudah tidak mahu bekerjasama dengan Musyrikin Mekah. Selepas kejadian itulah terjadinya Perjanjian Hudaibiyah.

Dalam sirah juga ada disebut beberapa kali telah ada perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad ﷺ tetapi Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan baginda.

وَاتَّقُوا اللهَ وَعَلَى اللهِ

Dan bertaqwalah kepada Allah,

Maka kerana nikmat Allah ‎ﷻ menyelamatkan kamu itu maka bertaqwalah kepada Allah. Jagalah hukum dan taat kepada perintah-Nya.

فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakal.

Allah ‎ﷻ suruh orang mukmin bertawakal kepada Dia. Serah diri kepada Dia dan berharap kepada Dia sahaja. Memang akan ada pihak musuh yang hendak merosakkan kita dan usaha dakwah kita. Kita tidak ada daya upaya untuk menghalang mereka, maka kita serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Kita usaha setakat yang kita boleh lakukan, tetapi selebihnya terpulang kepada Allah ‎ﷻ. Kalau apa-apa pun yang terjadi, kita terima itu adalah ketentuan daripada Allah ‎ﷻ. Kita sebagai makhluk-Nya yang lemah, tertakluk kepada kehendak Allah ‎ﷻ sahaja.

Tafsir Ayat Ke-12

Allah ‎ﷻ memberikan contoh mereka yang mungkir janji iaitu Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Mereka dahulu pun sudah dapat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ, tetapi mereka telah memungkiri janji mereka. Allah ‎ﷻ memulakan dengan golongan pertama: Yahudi.

وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثٰقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَوٰةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَوٰةَ وَءآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israel dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada Rasul-Rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir air di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (daripada) Bani Israel

Allah ‎ﷻ memberikan contoh apakah yang telah dilakukan oleh Bani Israel. Mereka telah berjanji dengan Allah ‎ﷻ juga. Perjanjian itu adalah untuk mentaati hukum yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada mereka.

وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا

dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin

Allah ‎ﷻ telah melantik 12 ketua agama dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka itu ramai dan terbahagi kepada 12 puak kerana anak-anak Nabi Ya’kub عليه السلام pun adalah 12 orang. Puak yang 12 itu adalah daripada keturunan anak-anak Nabi Ya’kub عليه السلام.

Yang dimaksudkan dengan naqib ialah pemimpin atas kabilahnya ma­sing-masing untuk mengajak mereka berbaiat (berjanji setia) untuk tunduk dan taat kepada Allah ‎ﷻ, Rasul, dan kitab-Nya.

Demikian pula halnya ketika Rasulullah ﷺ membaiat orang-orang Ansar di malam Al-Aqabah. Jumlah mereka adalah dua belas orang pemimpin: Tiga orang daripada kabilah Aus; mereka adalah Usaid ibnul Hudair, Sa’d ibnu Khaisamah, dan Rifa’ah ibnu Abdul Munzir, yang menurut suatu pendapat digantikan oleh Abul Haisam ibnut Taihan رضي الله عنهم. Sembilan orang dalam kalangan kabilah Khazraj pula adalah; Abu Umamah As’ad ibnu Zurarah, Sa’d ibnur Rabi’, Abdullah ibnu Rawwahah, Rafi’ ibnu Malik ibnul Ajian, Al-Barra ibnu Ma’rur, Ubadah ibnus Samit, Sa’d ibnu Ubadah, Abdullah ibnu Amr ibnu Haram, dan Al-Munzir ibnu Umar ibnu Hunaisy رضي الله عنهم.

Jumlah mereka disebut oleh Ka’b ibnu Malik dalam syair yang dibuatnya. Makna yang dimaksudkan ialah bahawa mereka adalah juru penerang atas kabilahnya masing-masing pada malam itu yang menyampaikan perintah Nabi ﷺ kepada mereka mengenai hal ter­sebut. Merekalah yang menangani perjanjian dan baiat kaumnya ke­pada Nabi ﷺ untuk bersedia tunduk dan taat kepada baginda.

Ada hadith yang dise­butkan di dalam kitab Sahihain melalui riwayat Jabir ibnu Samurah رضي الله عنه yang menceritakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah ﷺ ber­sabda:

“لَا يَزَالُ أَمْرُ النَّاسِ مَاضِيًا مَا وَلِيَهُمُ اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا”

Urusan manusia masih tetap lancar selagi mereka diperintah oleh dua belas orang lelaki.

Kemudian Nabi ﷺ mengucapkan suatu kalimat yang tidak dapat kudengar dengan baik, lalu aku menanyakan (kepada orang lain) ten­tang apa yang dikatakan oleh Nabi ﷺ. Maka ia menjawab bahawa Nabi ﷺ bersabda:

كُلُّهُمْ مِنْ قُرَيْشٍ”

Mereka semuanya dari kabilah Quraisy.

Demikianlah menurut lafaz yang ada pada Imam Muslim. Makna hadith ini mengandungi berita gembira yang menyatakan bahawa kelak akan ada dua belas orang khalifah yang soleh yang menegakkan perkara hak dan bersikap adil dalam kalangan manusia. Hal ini tidak memastikan berturutnya mereka, yakni masa-masa pemerintahan mereka.

Bahkan terdapat empat orang daripada mereka yang berturutan masa pemerintahannya, seperti empat orang Khalifah Rasyidin, iaitu Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali رضي الله عنهم. Di antara mereka ialah Umar ibnu Abdul Aziz, tanpa diragukan lagi menurut para imam, dan sebahagian khalifah dalam kalangan Bani Ab­bas. Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum mereka semuanya memerintah, sebagai suatu kepastian.

Menurut lahiriahnya salah seorang daripada mereka adalah Imam Mahdi yang diberitakan melalui banyak hadith yang menyebutkan be­rita gembira akan kedatangannya. Disebutkan bahawa nama imam ini sama dengan nama Nabi ﷺ dan nama ayah Nabi ﷺ, lalu beliau akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kearifan, seperti halnya bumi dipenuhi oleh kezaliman dan kemungkaran sebelumnya.

Akan tetapi, Imam Mahdi ini bukanlah imam yang ditunggu-tunggu kedatangannya — menurut dugaan orang-orang Rafidah, dia akan muncul dari lubang-lubang kota Samara— kerana sesungguh­nya hal tersebut tidak ada kenyataannya dan tidak ada sama sekali nas yang sahih. Bahkan hal tersebut hanyalah merupakan igauan akal-akal yang ren­dah dan ilusi daripada akal yang lemah.

Oleh itu, bukanlah yang dimaksudkan dengan dua belas orang itu adalah para imam yang jumlahnya dua belas orang menurut keyakinan orang-orang Rafidah (satu mazhab daripa Syi’ah). Mereka mengatakan demikian kerana kebodohan dan kekurangan akal mereka.

Di dalam kitab Taurat disebutkan berita gembira mengenai ke­datangan Ismail عليه السلام dan bagaimana Allah ‎ﷻ akan melahirkan daripada tulang sulbinya dua belas orang pembesar (pemimpin). Mereka adalah para khalifah yang jumlahnya dua belas orang yang disebutkan di dalam hadith Ibnu Mas’ud dan Jabir ibnu Samurah.

Sebahagian orang Yahudi yang telah masuk Islam yang kurang akalnya dan terpengaruh oleh sebahagian golongan Syi’ah menduga bahawa mereka adalah para imam yang dua belas orang itu (yang dalam kalangan Syi’ah lazim disebut “Isna “Asy-ariyah”), sehingga akibat­nya banyak dalam kalangan mereka yang masuk Syi’ah kerana kebo­dohan dan kedunguan mereka, juga kerana lemahnya ilmu mereka serta ilmu orang-orang yang mengajar mereka akan hal tersebut tentang sunnah-sunnah yang telah terbukti bersumber daripada Nabi ﷺ.

Kembali kepada potongan ayat ini. Kenapa dilantik naqib dalam kalangan mereka? Ini adalah kerana Islam iktiraf kumpulan-kumpulan masyarakat. Mereka lebih mengenali dan memahami apa yang dilalui dalam kalangan mereka, apakah harapan mereka dan sebagainya. Maka dilantik pemimpin dalam kalangan juga yang lebih mengenali hati budi mereka.

Masyarakat mereka juga tentu lebih mengenali ketua dalam kalangan mereka. Begitulah kalau dilantik wakil rakyat untuk bertanding, selalunya diambil dalam kalangan penduduk tempatan. Jarang diambil daripada golongan orang luar, bukan?

وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ

dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu,

Allah ‎ﷻ berjanji yang Dia akan sentiasa bersama mereka dengan syarat-syarat yang akan diberitahu nanti: syarat-syarat itu adalah kesimpulan perjanjian hamba dengan Allah ‎ﷻ iaitu pemeliharaan-Nya, perlindungan-Nya, dan pertolongan-Nya selalu menyertai mereka.

Ia juga bermaksud yang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan apa sahaja yang mereka lakukan. Kalau mereka melanggar bai’ah mereka, maka mereka akan dipertanggungjawabkan nanti.

لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَاةَ

jika kamu mendirikan salat

Pertama disebut salat. Ini adalah contoh dari segi amalan perbuatan badan.

Ini juga bermakna yang syariat Salat juga ada dikenakan kepada Bani Israel (malah bagi setiap umat dan Nabi mereka).

وَآتَيْتُمُ الزَّكَاةَ

dan menunaikan zakat

Dan hendaklah ditunaikan Zakat. Ini adalah contoh amalan dari segi harta iaitu mengeluarkan harta. Ia juga adalah mengeratkan hubungan sesama manusia, sedangkan salat adalah hubungan antara manusia dengan Allah ‎ﷻ.

Malangnya bab zakat ini kurang dijaga oleh masyarakat kita kerana kejahilan tentang kewajipannya dan bagaimana memenuhinya. Maka, masyarakat haruslah lebih cakna tentang perkara ini dan belajar tentang apakah yang perlu dizakatkan daripada pendapatan mereka.

وَآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ

serta beriman kepada Rasul-Rasul-Ku dan kamu bantu mereka

Ini pula adalah dari segi Akidah. Hendaklah beriman dengan sekalian Rasul, tidak boleh tolak satu pun. Termasuk yang perlu mereka beriman adalah Rasul-Rasul yang akan datang kemudian. Bani Israel ada masalah untuk beriman dengan Nabi Isa عليه السلام dan juga Nabi Muhammad ﷺ dan kerana itu mereka ada masalah dengan Allah ‎ﷻ.

Bukan sahaja beriman dengan mereka, tetapi kenalah bantu mereka ketika bertemu musuh. Bantu kerana hormat kepada mereka.

وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا

dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik

Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang pinjaman. Ini berkenaan dengan harta lagi selepas disebut tentang zakat sebelum ini. Pinjaman yang dimaksudkan adalah infaq harta selain zakat. Inilah derma, dan pemberian kepada orang yang memerlukan. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an tentang infaq harta ini.

Qardun Hasan adalah pinjaman yang ikhlas yang tidak mengharapkan balasan keduniaan. Maka pinjaman kepada Allah ‎ﷻ adalah infaq yang ikhlas yang mengharapkan balasan daripada Allah ‎ﷻ sahaja di akhirat kelak.

Sebelum ini telah disebut tentang zakat, maka Qardun Hasan bukanlah zakat (yang wajib) akan tetapi ia bermaksud sedekah dan infaq yang selain zakat iaitu infaq sunat. Maka ini mengajar kita yang kita bukan sahaja kena bayar zakat sahaja. Zakat itu memang sudah wajib, tetapi ada lagi infaq selainnya.

Jadi kalau zakat itu fardhu ain, Qardun Hasan ini adalah fardhu kifayah yang perlu diperhatikan oleh umat Islam. Sebagai contoh, mendirikan masjid dan tempat pengajian untuk mengajar umat tentang agama.

لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu.

Natijahnya Allah ‎ﷻ akan menutup kesalahan dengan memberikan keampunan-Nya.

وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Dan sesungguhnya kamu akan Ku-masukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai.

Jika menjaga hukum, Allah ‎ﷻ akan masukkan ke dalam syurga, dengan segala nikmat di dalamnya.

فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

Sekiranya mungkir janji, kufur dengan segala arahan dalam ayat ini, maka itu bermaksud mereka telah sesat dari jalan yang benar. Kesannya mereka akan menjalani kehidupan yang salah di dunia ini dan di akhirat kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Artikel sebelumnyaFiqh Asasi Pemula: Kitab Salat – Fardhu dan Sunnah Salat (Niat)
Artikel seterusnyaTafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-13 hingga Ke-15

Komen dan Soalan