Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-7 hingga Ke-9

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-7 hingga Ke-9

321
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-7

وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثٰقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَاتَّقُوا اللَهَ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami taati”. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati(mu).

وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu semua

Nikmat yang dimaksudkan adalah nikmat agama Islam. Nikmat yang paling besar adalah Allah ‎ﷻ memberikan taufiq-Nya kepada kita untuk masuk Islam. Alangkah beruntungnya kita kerana Allah ‎ﷻ telah memilih kita untuk berada di dalam agama ini.

وَمِيثٰقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ

dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu,

Dan ingatlah perjanjian untuk taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berkata perjanjian itu adalah مِيثَاقَهُ – maksudnya ‘perjanjian-Nya’ menunjukkan betapa beratnya perjanjian itu. Setelah manusia baligh, maka Allah ‎ﷻ menuntut kita untuk memenuhi perjanjian itu. Sebelum baligh, boleh lagi kalau tidak ikut dan taat hukum Allah ‎ﷻ. Namun apabila mencapai usia baligh, maka tidak ada alasan lagi. Amat menyedihkan bila terdapat golongan dewasa yang berperangai seperti belum baligh lagi!

Ini merupakan peringatan terha­dap anak Adam kerana Allah ‎ﷻ telah mengambil janji daripada mereka ke­tika mereka dikeluarkan oleh Allah ‎ﷻ daripada tulang sulbinya dan mengam­bil kesaksian daripada diri mereka melalui firman-Nya:

أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا

“Bukankah Aku ini Tuhan kalian?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.” [ A’raf:172 ]

إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا

ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami taati”.

Ketika kamu kata: kami dengar dan taat. Kita pun selalu baca dan mengaku untuk ikut Dia. Jadi kena ingatlah perjanjian kita ini, jangan buat-buat lupa pula.

Manusia selalu sebut yang mereka dengar dan taat tetapi ada masalah dengan janji dan pengakuan ini. Mereka sangka mereka taat, tetapi selalunya manusia tidak ‘dengar’ pun lagi apa yang mereka perlu taati. Mereka kononnya kata mereka taat dengan agama Islam tetapi mereka tidak belajar pun lagi ilmu agama. Lalu bagaimana mereka boleh mengaku mereka sudah taat?

Ini adalah teguran kepada mereka yang tidak mengendahkan langsung pelajaran agama. Mereka hidup sibuk dengan hal dunia namun hal syariat mereka tidak pentingkan. Mereka sangka mereka sudah Islam sepenuhnya tetapi belum tentu lagi. Agama Islam ini memang mudah untuk diamalkan namun kenalah luangkan sedikit masa untuk mempelajarinya. Untuk taat, kena mulakan dengan tahu apakah yang perlu ditaati.

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati

Hendaklah kita bertaqwa iaitu dengan menjaga hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Hendaklah kita takut dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ Maha Tahu apa yang dalam hati kita. Dia tahu niat kita dan tahu apakah kemahuan kita. Dia tahu sama ada kita mahu taat kepada-Nya atau tidak, ikhlas atau tidak dalam amalan dan ibadah kita. Oleh itu, kenalah jaga hati kita supaya ikhlas kepada Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-8

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah,

Jadilah golongan penegak agama Allah ‎ﷻ dan penjaga syariat Allah ‎ﷻ. Lafaz قَوَّامِينَ adalah dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan) maknanya kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh. Usaha untuk mengamalkan apa yang Allah‎ ﷻ suruh kita buat.

Ayat ini juga menyuruh kita berusaha untuk menegakkan keadilan. Maksudnya kena jaga hak dengan Allah ‎ﷻ dan hak dengan hamba. Maka, kena jaga keadilan. Jangan tindas manusia dan jangan zalimi mereka.

Ini adalah suruhan sejagat, orang bukan Islam pun faham tentang keadilan ini. Namun kita orang Islam melakukannya kerana Allah ‎ﷻ yang suruh kita dan kerana kita taat dengan suruhan Allah ‎ﷻ. Manusia bukan Islam pun jaga keadilan tetapi kita buat kerana Allah ‎ﷻ.

شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ

menjadi saksi dengan adil.

Salah satu perkara penting yang kita kena lakukan adalah bersaksi dengan benar. Jangan jadi saksi palsu, jangan menipu dalam persaksian. Ini amat penting sekali kerana kalau kita tidak bersaksi dengan benar, keadilan tidak dapat ditegakkan. Berapa ramai yang manusia yang melanggar perkara ini.

Dengan melanggarnya, ada orang bersalah terlepas begitu sahaja dan lebih malang lagi, ada orang yang tidak bersalah yang dipenjarakan atau dihukum bunuh. Bukan hanya dalam mahkamah sahaja kita kena bersaksi benar, tetapi dalam kehidupan seharian kita pun.

Arahan berlaku adil ini juga telah disebut di dalam Surah An-Nisa’ ayat 145 sebelum ini. Cuma ada sedikit perubahan daripada susunan ayat. Kenapa begitu? Ada dua sebab utama yang menahan manusia daripada berlaku adil. Pertama kerana mereka mementingkan diri sendiri dan keluarga; dan keduanya kerana kebencian kepada pihak yang lain. Ayat daripada Surah An-Nisa’ itu menyentuh sebab yang pertama dan ayat daripada Surah Maidah ini tentang sebab yang kedua.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memerintahkan kita untuk menjadi saksi yang baik. Ini penting kerana saksi diperlukan untuk menegakkan keadilan. Hakim hendaklah mendapatkan maklumat yang benar daripada saksi. Malangnya, ramai yang lari daripada menjadi saksi. Kerana itulah keadilan susah hendak ditegakkan. Ini pun tidak boleh disalahkan sangat kepada orang yang menyaksikan kejadian sesuatu perkara.

Ini kerana sistem kehakiman di negara kita menyusahkan saksi. Mereka disoal jawab dengan teruk, kena datang berkali-kali ke mahkamah dan lain-lain lagi. Ini telah menyebabkan ramai yang menyembunyikan diri dan buat tidak tahu sahaja. Sedangkan di dalam sistem kehakiman Islam, para saksi sepatutnya tidak disusahkan.

Persaksian di dalam kehidupan kita bukan di mahkamah sahaja. Di mana-mana pun ada saksi. Di tempat kita, mungkin ada kawan kita yang dituduh; di kampung kita pun begitu juga; kita kadang kala ditanya telah seseorang, maka waktu itu pun kena jadi saksi benar; dan pelbagai keadaan lagi. Semua ini memerlukan keikhlasan dan ketakutan kepada Allah ‎ﷻ. Jangan kita bermudah-mudah dalam perkara ini kerana kita sedang diperhatikan oleh Allah ‎ﷻ (adakah menjadi saksi baik atau tidak).

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا

Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.

Jangan kerana benci sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak adil. Jangan kerana kamu tidak suka dengan seseorang, kamu tidak berlaku adil kepada mereka. Ada orang yang berlaku adil kepada mereka yang mereka ada hubungan baik tetapi dengan mereka yang bermusuhan, mereka tinggalkan keadilan langsung. Ini adalah amat buruk sekali.

Kita kena pandai ketepikan perasaan kita supaya kita berlaku adil. Ini memang susah hendak dilakukan dan memerlukan tahap iman yang tinggi. Ini kerana kita sedar kalau kita tidak berlaku adil, kita kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ‎ﷻ nanti. Tidak berbaloi kalau kita tidak berlaku adil.

اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ

Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.

Dalam Al-Qur’an, banyak disebut tentang suruhan supaya kita bertaqwa. Dan sekarang, kita dapat tahu bahawa salah satu syarat untuk taqwa adalah berlaku adil – sama ada kepada orang kita suka atau tidak.

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Sekali lagi disebut tentang taqwa. Satu perkara yang dapat mendorong kita untuk taqwa adalah dengan mengingati bahawa Allah ‎ﷻ tahu segalanya tentang kita dan apa yang kita lakukan. Perkara yang di dalam lubuk hati kita pun Allah‎ ﷻ amat tahu.

Kalau dilihat kepada susunan ayat ini kita boleh lihat ia disusun sebegini: إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ. Kadangkala disusun dengan disebut kalimah تَعْمَلُونَ dahulu. Susunan sebegini pun ada mempunyai maksud tertentu. Kalau disebut lafaz خَبِيرٌ dulu, ayat itu tentang perbuatan hati. Kalimah خَبِيرٌ bermaksud tahu secara mendalam. Maka memang Allah ‎ﷻ tahu apa yang ada di dalam hati kita secara mendalam.

Tafsir Ayat Ke-9

Ini adalah Ayat Tabshir (berita gembira).

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ

Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan yang beramal saleh, (bahawa) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman

Ini adalah janji Allah ‎ﷻ kepada orang yang beriman. Iman itu mestilah iman yang sempurna – iaitu iman yang tidak ada syirik di dalamnya. Itulah iman yang sempurna. Untuk mengetahuinya, kenalah dipelajari keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an dan tafsirnya untuk memahami apakah yang dimaksudkan ‘tauhid’ dan apakah yang dimaksudkan ‘syirik’.

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan yang beramal saleh,

Kita bukan kena beriman sahaja, tetapi kenalah beramal dengan amalan yang soleh. Jangan mulut sahaja kata beriman, tetapi goyang kaki tanpa melakukan amal kebaikan (amal soleh).

Amalan yang soleh pula adalah amalan yang sunnah, iaitu amalan yang ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Bukannya amalan yang bid’ah (amalan rekaan yang baru tanpa contoh dalam nas), walaupun dinamakan ‘Bidaah Hasanah’ oleh mereka yang tidak faham apakah bid’ah.

Kalau nama yang baik dan ‘mesra’ diberikan kepada amalan yang salah, ia tetap salah. Ini adalah seperti riba’ yang diberi nama ‘interest’ (kepentingan), ia adalah tetap riba’ yang haram walaupun namanya telah ditukar. Walaupun ia telah diberi gelaran ‘bunga’, tidaklah ia menjadi harum, tetapi masih tetap busuk dan buruk.

لَهُم مَّغْفِرَةٌ

untuk mereka ampunan

Untuk mereka yang beriman dan beramal soleh, Allah ‎ﷻ menjanjikan keampunan yang besar untuk mereka. Keampunan Allah ‎ﷻ amat diharapkan oleh kita kerana kita manusia yang banyak dosa. Kalau Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita, kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita terlebih dahulu dan kita pastinya tidak mahu langsung masuk neraka, bukan?

وَأَجْرٌ عَظِيمٌ

dan pahala yang besar.

Pahala yang besar juga adalah harapan kita. Ini kerana di akhirat kelak, wang ringgit tidak ada nilai. Yang ada nilai adalah pahala kita. Dengan pahala dapat meningkatkan kedudukan kita di akhirat kelak.

Komen dan Soalan