Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Fiqh Asasi Pemula: Kitab Salat – Fardhu dan Sunnah Salat (Niat)

Fiqh Asasi Pemula: Kitab Salat – Fardhu dan Sunnah Salat (Niat)

Niat

409
0
Iklan

Kitab   : Salat

Bab     : Fardhu dan Sunnah Salat

Bahagian : A. Niat

Tajuk :  

  1. Pengertian
  2. Adakah niat diucapkan?

A. Niat

Mari kita lihat satu bab yang amat mengelirukan umat Islam di dunia. Bab niat inilah menyebabkan berlaku kekeliruan dan kelam kabut kita perhatikan cara orang salat sehinggakan berkali-kali mengangkat takbir kerana niat tidak ‘masuk’. Benarkah begitu? Bagaimanakah cara niat yang sebenarnya?

  1. Pengertian

Niat adalah syarat sah salat atau ia adalah rukun salat. Ini bermakna, niat memang sepatutnya ada ketika hendak menunaikan salat. 

✍🏻 Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam [Al-Bayyinah: 5]

وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ 

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama.

✍🏻 Dan jangan lupa satu hadith yang amat terkenal sekali: 

ٍعَنْ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Daripada Umar رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah  dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu sesuai ke mana dia hijrah.” 

(Bukhari No.52 dengan lafaz ini, Muslim No.3530 dan empat Imam ahli hadith)

Oleh itu, yang membezakan sama ada sesuatu amalan itu menjadi ibadah atau tidak, adalah niat. 

Niat juga menentukan sama ada ibadah itu diterima ataupun tidak: ibadah yang niatnya tidak ikhlas, tidak diterima Allah ‎ﷻ.

  1. Adakah niat diucapkan? 

Ini adalah satu perbincangan yang amat besar dan ramai yang tidak memahami tentang hal ini. Oleh yang demikian, kita seharusnya buka hati dan minda untuk memikirkannya. 

Ramai dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia melafazkan niat yang dimulai dengan: Usolli…. Akan tetapi tidak pernah perkara ini dilakukan oleh Rasulullah ﷺ atau diajar oleh Baginda ﷺ dan para sahabat. Memandangkan, ia tidak ada dalam syarak, ianya adalah amalan bid’ah.

Mungkin yang mengajarnya mengatakan ia adalah bid’ah hasanah? Benarkah begitu? Kita katakan ia bukan bid’ah yang baik berdasarkan hadith: 

✍🏻 Daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنها, Rasulullah ﷺ bersabda:

ُ.ُ …إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ

“Sesungguhnya sebenar-benar perkataan itu ialah kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara itu ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka.”

(Sunan An-Nasa’i No.1560 dengan lafaz ini; Muslim No.1435 dan lainnya)

Memang ada yang berfatwa bahawa lafaz niat ini khilaf di nusantara kerana wujud di dalam kitab-kitab genre baru mazhab.

Contoh:

  • Kitab Mughni Muhtaj karya Khatib Syarbini dan al-Bahooti. Keduanya daripada Mazhab Syafi’iy yang menyatakan hukumnya sunat.
  • Al-Dardir daripada Mazhab Maliki menyatakan hukumnya harus.

Isu ini menjadi semakin panas apabila golongan muhaqqiqin, dan aliran salafiyah atau ahli hadith dan gerakan sunah seperti Ibnu Taimiyyah رحمه الله, muridnya Ibnu Qayyim رحمه الله, dan kitab Talbis Iblis karya Ibnu Jauzi رحمهم الله yang membid’ahkan talafudz niat sama seperti hukum asal pada sisi Mazhab Syafi’iy sendiri dan Imam an-Nawawi رحمه الله.

✍🏻 Imam Syafi’iy رحمه الله berkata;

الوسوسة في النية الصلاة و الطهارة من جهل بالشرع أو خبل بالعقل 

“Was-was dalam niat salat dan taharah itu adalah kebodohan terhadap syariat atau kekurangan kewarasan pada akal” 

(Al Amru Bil Ittiba’ Wan Nahyu ‘Anil Ibtida’, 28)

✍🏻 Menurut Imam Al-Suyuti رحمه الله pula;

ومن البدع أيضاً: الوسوسة في نيّة الصّلاة، ولم يكن ذلك من فعل النبي – صلى الله عليه وسلم – ولا أصحابة، كانوا لا ينطقون بشيء

من نية الصلاة بسوى التكبير. وقد قال تعالى: لقد كان لكم في رسول الله أُسوة حسنة

“Termasuk bid’ah, was-was dalam niat salat. Nabi ﷺ dan para sahabat Baginda tidak pernah begitu. Mereka tidak pernah sedikitpun mengucapkan lafaz niat salat selain takbir”

Hukum mutakhir, lafaz niat adalah bid’ah. Ini hukum asal di dalam Mazhab Syafi’iy. Kajian para muhaqqiqin mendapati banyaknya terjadi masalah akibat talafudz niat yakni terjadinya wabak was-was ketika hendak berniat.

Persoalan yang perlu dirungkai atau diteliti. Siapa yang menjadikan talafudz niat daripada bid’ah kepada khilaf?

📍Daripada manakah asalnya talafudz niat ini muncul?

Talafudz Niat: Niat yang dilafazkan untuk membantu hati.

Ia di mulai oleh Imam Abu Abdillah Az-Zubairi رحمه الله. Wafat pada tahun 317H di Basrah, Iraq.

ابوعبد الله الزبير بن أحمد بن سليمان بن عبد الله بن عاصم بن المنذر بن الزبير بن العوام الأسدي.

Abu Abdillah Az-Zubair رحمه الله susur galurnya daripada keturunan az Zubair bin Awwam رضي الله عنه. Imam Abu Abdillah al Zubair رحمه الله telah salah di dalam memahami perkataan Imam Syafi’iy رحمه الله iaitu ketika menyimpulkan bahawa wajib melafazkan niat dalam salat daripada perkataan beliau.

📍Ini disebabkan oleh salah faham beliau terhadap ungkapan Imam Syafi’iy رحمه الله yang berikut:

إذا نوى حجّاً وعمرة أجزأ، وإنْ لم يتلفّظ وليس كالصّلاة لا تصح إلا بالنّطق

“Jika seseorang berniat haji atau umrah maka itu sah walaupun tidak diucapkan. Berbeza dengan salat, salat tidak sah kecuali dengan ‘an nutq’ (lafaz)”

✍🏻 Imam Nawawi رحمه الله berkata:

قال أصحابنا: غلط هذا القائل، وليس مراد الشافعي بالنّطق في الصّلاة هذا، بل مراده التكبير

Para ulama’ mazhab kami berkata, yang berkata demikian telah salah. Bukanlah maksud Imam Syafi’iy رحمه الله itu melafazkan niat di dalam salat, namun maksud ‘an nutq’ adalah takbir” 

(Al Majmu’, 3/243)

Syarah: Imam Syafi’iy رحمه الله di dalam al-Umm, ketika membicarakan Ibadah Umrah dan Haji, di dalam bab Niat di Miqat.

Kita disunatkan melafazkan niat haji dan umrah dengan kuat, ‘labbaika umratan wa hajjan’. Imam Syafi’iy رحمه الله berkata, ungkapan lafaz itu cuma sunat akan tetapi untuk salat perlu dilafazkan.

Lafaz yang dimaksudkan dengan salat bukan lafaz niat tetapi bertakbiratul ihram. Apa yang difahami oleh Imam Abu Abdillah Az-Zubairi رحمه الله adalah Imam Syafi’iy رحمه الله mewajibkan lafaz niat ketika salat.

Akan tetapi kesilapan Imam Az-Zubairi رحمه الله telah berkembang menjadi suatu fenomena talafudz dan usolli di nusantara. Fenomena ini terjadi kerana tidak sampainya kalam Imam Nawawi رحمه الله kepada umat nusantara.

Oleh yang demikian, secara sahihnya Nabi ﷺ tidak memulakan salat dengan lafaz niat salat. 

✍🏻 Dalil hadith daripada ‘Aisyah رضي الله عنها berkata:

كان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يستفتح الصَّلاة بالتّكبير

“Adapun Rasulullah ﷺ memulai salatnya dengan takbir” 

(Muslim No.498)

Menurut pendapat Imam Syafi’iy رحمه الله, ‘bil nutq’ adalah takbir bukan usolli.

Hukum:

Talafudz niat adalah bid’ah kerana menyalahi sifat salat Nabi ﷺ dan merupakan kesilapan dalam memahami matan kenyataan Imam Syafi’iy رحمه الله. Inilah kesilapan Imam Abu Abdillah Az-Zubairi رحمه الله dari Basrah.

Dikatakan bahawa talafudz niat ini adalah untuk membantu orang yang hendak memulakan salat. Akan tetapi kita melihat ia sebenarnya tidaklah membantu, malah merosakkan salat. Berapa ramai orang yang kita lihat keliru dengan talafudz niat ini sampaikan berkali-kali melafazkan niat dan berulang kali takbiratul ihram kerana niat tidak ‘masuk’?

Berapa ramai yang akhirnya tidak melakukan ibadah kerana tidak tahu cara untuk baca niat atau ungkapan niat yang betul? Mereka menyangka niat itu wajib. Disebabkan tidak tahu ‘lafaz niat’, mereka tidak membuat ibadah.

Justeru, berhentilah melafazkan niat ini walaupun ia diajar di sekolah-sekolah sekarang. Kita perlu berani untuk salat tanpa lafaz niat. Tidak ada keperluan untuk melafazkannya sebagaimana kita tidak beritahu sesiapa tentang niat kita untuk minum air, baca buku, berjalan dan sebagainya. Niat itu memang sudah ada dan tidak perlu dilafazkan.

Kalau niat tidak dilafazkan, perlukan ia disusun dalam hati kita? Kalau kita selalu lihat, terseksa mereka yang terpaksa menjaga qasad, ta’arrudh dan ta’yin. 

Contoh: 

Qasad = sahaja aku

Ta’arudh = solat

Ta’yin = fardhu subuh

Semasa mereka takbiratulihram, lama mereka takbir (Allaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaahu akkkkkkkkkkkkkbar!) Ini tidak diajar dalam syarak salaf tetapi ia datang kemudian dan telah menyusahkan umat Islam kita, sedangkan takbiratul ihram itu mudah sahaja: Allahu akbar.

Jika demikian,bagaimana cara yang patut kita lakukan? Sebelum kita memulakan salat, kita berdiri tegak dahulu, sedar yang kita akan memulakan salat apa dan kemudian terus angkat takbir. Memang niat sepatutnya ada tetapi tidaklah susah seperti yang biasa diajar di sekolah. Tenang-tenang sahaja dalam memulakan salat.

Sekian, Allahu a’lam.

Komen dan Soalan