Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-142 hingga Ke-144

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-142 hingga Ke-144

41
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-142

وَمِنَ ٱلأَنعَـٰمِ حَمُولَةً وَفَرشًا‌ۚ ڪُلُواْ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَكُم عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

وَمِنَ الْأَنْعٰمِ حَمُولَةً

Dan di antara haiwan ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan

Dalam masyarakat Arab, mereka yang mempunyai binatang ternak adalah mereka yang dikira sebagai mereka yang mendapat kenikmatan kerana mereka ada binatang yang boleh diminum susunya dan boleh digunakan sebagai pengangkutan dan pengangkat barang. Dan apabila diperlukan, mereka boleh menyembelih binatang ternak itu. Selepas disembelih dan dimakan dagingnya, kulit binatang itu pula boleh digunakan.

Lihatlah bagaimana banyaknya kegunaan binatang ternak itu kepada manusia. Salah satu sifat binatang ternak itu yang ditetapkan di dalam ayat ini adalah kegunaan binatang itu untuk mengangkut barang muatan yang berat. Ini adalah binatang-binatang yang mempunyai empat kaki yang boleh digunakan untuk mengangkat muatan.

Untuk zaman sekarang, mungkin kita tidak terasa sangat kerana kita menggunakan kereta sebagai kenderaan. Namun begitu masih terdapat lagi di negara-negara lain yang menggunakan binatang itu sebagai alat pengangkutan dan tunggangan. Ini kerana muka bumi tempat tinggal mereka lebih sesuai menggunakan binatang daripada kenderaan lain.

وَفَرْشًا

dan ada binatang yang kecil untuk disembelih

Perkataan وَفَرْشًا berasal daripada ف ر ش yang bermaksud ‘dekat dengan tanah’ kerana binatang-binatang itu lebih kecil daripada binatang yang boleh digunakan sebagai tunggangan. Binatang jenis ini tidak boleh digunakan untuk tunggangan dan mengangkat muatan berat kerana badan mereka lebih kecil. Tetapi hasil yang boleh diambil daripada mereka adalah seperti telur yang dikeluarkan dan mereka boleh disembelih untuk dimakan dagingnya.

Juga bermaksud direbahkan ke tanah untuk tujuan disembelih.

Binatang ternak ini termasuk binatang ternak yang kecil seperti ayam, itik, angsa, dan sebagainya di mana ia digunakan sebagai makanan dan tidak boleh ditunggang. Kita memang ternak untuk disembelih sebagai makanan.

Allah ‎ﷻ menceritakan kepada kita bagaimana Dia telah memberikan segala nikmat kepada kita dalam ayat ini. Berbagai-bagai kegunaan diberikan kepada kita.

كُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ

Makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu,

Ayat ini mengandungi hukum kebenaran memakan binatang-binatang ternak. Walaupun ada binatang-binatang itu selalunya digunakan untuk ditunggangi ataupun digunakan untuk mengangkat muatan, seperti unta, kecuali kalau ada dalil yang sah yang mengharamkan memakannya.

Oleh itu, kita boleh memakan kuda walaupun kuda itu selalunya digunakan untuk tunggangan. Tetapi kita tidak boleh makan keldai kerana ada hadith Nabi ﷺ yang mengharamkannya. Begitupun keldai yang diharamkan adalah Keldai jinak yang dibela. Jikalau keldai itu jenis liar, ia masih boleh dimakan lagi. Oleh itu, kita boleh memakan Zebra kerana ia adalah seperti keldai yang liar.

Allah ‎ﷻ telah mencipta binatang-binatang itu sebagai rezeki untuk kita makan, maka hendaklah kita memakannya dan janganlah kita mengharamkan apa yang Allah ‎ﷻ telah halalkan kepada kita.

وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِ

dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan

Ikut langkah syaitan bermaksud: mengharamkan apa yang Allah ‎ﷻ telah halalkan. Daripada hasutan syaitanlah yang menyebabkan Musyrikin Mekah mengharamkan sesetengah makanan, mengharamkan binatang digunakan untuk tunggangan, dan sebagainya.

Begitulah juga yang terjadi di dalam masyarakat kita, apabila mereka mengharamkan sesuatu makanan kepada diri mereka. Sama ada dalam bentuk pantang selepas bersalin, pantang semasa mengamalkan amalan-amalan zikir keramat, atau mengharamkan makanan kepada sesuatu puak kerana sebab-sebab tertentu. Mereka yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an tidak tahu pun bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan yang besar, malah boleh menjadi syirik!

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Sentiasalah ingat bahawa Syaitan adalah musuh bagi kita. Seorang musuh tidak akan suka jikalau musuhnya mendapat sesuatu kebaikan. Kerana itulah syaitan tidak suka kita menikmati nikmat-nikmat yang telah Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

Kadang-kadang musuh itu tidak menentang kita dengan nyata. Apatah lagi dengan syaitan yang sudahlah kita tidak nampak, dan dalam masa yang sama dia menghasut kita secara senyap. Dia membisikkan ajaran-ajaran sesat ke dalam hati kita tanpa kita mengetahuinya.

Kadang-kadang musuh kita tidak memberitahu yang mereka memusuhi kita. Tetapi lihatlah bagaimana Iblis telah berjanji dan mengaku untuk memusuhi dan menjatuhkan kita dari dahulu lagi. Itulah maksudnya syaitan adalah ‘musuh yang nyata’ bagi kita kerana mereka telah menyatakan permusuhan mereka terhadap kita. Mereka tidak pernah lupa kepada kita, tetapi kita yang selalu lupa kepada mereka. Oleh kerana lupa, kita tidak berhati-hati.

Ayat ini lebih kurang sama seperti ayat di dalam surah Al-Baqarah apabila Allah ‎ﷻ memperkatakan tentang makanan. Syaitan memang akan mengganggu manusia di dalam hal pemakanan. Mereka akan suruh kita makan benda yang haram dan mengharamkan memakan benda yang halal.

Mereka juga akan menghasut kita untuk mendapatkan rezeki dari jalan-jalan yang haram. Dan ingatlah bagaimana Iblis memulakan kerja menghasut dan menyesatkan manusia ini dengan menghasut Nabi Adam عليه السلام untuk memakan pokok yang terlarang. Dari situ sampai sekarang dan sampailah hari kiamat nanti, Iblis dan syaitan tidak akan berhenti menghasut manusia di dalam hal pemakanan.

Tafsir Ayat Ke-143

ثَمَـٰنِيَةَ أَزوٰجٍ۬‌ۖ مِّنَ ٱلضَّأنِ ٱثنَينِ وَمِنَ ٱلمَعزِ ٱثنَينِ‌ۗ قُل ءَآلذَّڪَرَينِ حَرَّمَ أَمِ ٱلأُنثَيَينِ أَمَّا ٱشتَمَلَت عَلَيهِ أَرحَامُ ٱلأُنثَيَينِ‌ۖ نَبِّـُٔونِى بِعِلمٍ إِن ڪُنتُم صَـٰدِقِينَ

(Binatang ternak itu) lapan ekor – (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

ثَمٰنِيَةَ أَزْوٰجٍ

(iaitu) delapan binatang yang berpasangan,

Allah ‎ﷻ telah menjadikan empat jenis binatang yang berpasangan. Empat pasang menjadi lapan jenis binatang. Perkataan أَزْوَاجٍ bermaksud ‘pasangan’. Yang melengkapkan satu sama lain kerana pasangan kena ada dua.

مِّنَ الضَّأْنِ اثْنَيْنِ

sepasang domba (biri-biri), dua

Bermaksud sepasang kibas atau biri-biri atau domba, jantan dan betina. Ia adalah binatang kecil yang ada bulu.

وَمِنَ الْمَعْزِ اثْنَيْنِ

dari kambing, dua

Bermaksud sepasang kambing, jantan dan betina.

قُلْ ءآلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ

Katakanlah: “Apakah dua yang jantan yang diharamkan Allah?”

Adakah benar Allah ‎ﷻ telah mengharamkan pemakanan kibas yang jantan atau kambing yang jantan? Itu adalah soalan retorik daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ mahu bertanya kepada Musyrikin Mekah, benarkah Allah ‎ﷻ telah mengharamkan pemakanan dua-dua jenis binatang itu?

Bacaan perkataan آلذَّكَرَيْنِ itu dalam tajwid adalah pembacaan yang berlainan daripada biasa. Sila dengar bacaan qari dari audio. Ia dipanjangkan kerana menekankan soalan itu kerana bentuk soalan itu menunjukkan kemarahan.

Kenapa pula ada pengharaman kepada memakan binatang yang jantan? Sedangkan sama sahaja yang jantan dan betina itu. Musyrikin Mekah sahaja yang memandai-memandai meletakkan perbezaan itu sedangkan Allah ‎ﷻ tidak pernah membezakannya. Jantan atau betina boleh dimakan sebenarnya. Yang mengharamkan itu hanyalah ajaran daripada syaitan supaya mereka menjadi sesat.

أَمِ الْأُنثَيَيْنِ

ataukah dua yang betina,

Atau adakah Allah ‎ﷻ pernah mengharamkan memakan yang betina? Kenapa pula ada pengharaman kepada memakan yang betina? Sedangkan sama sahaja yang jantan dan betina itu.

Ini adalah soalan-soalan daripada Allah ‎ﷻ untuk menunjukkan bahawa apa yang mereka haramkan tidak masuk akal.

أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنثَيَيْنِ

ataukah yang ada dalam kandungan dua betinanya?”

Atau adakah Allah ‎ﷻ pernah mengharamkan apa yang ada dalam perut binatang yang betina itu. Dalam ayat ke-139, telah diberitakan bagaimana mereka mengharamkan apa yang ada dalam perut binatang yang betina di mana mereka mengharamkan kandungan binatang itu daripada dimakan oleh perempuan. Inilah asal kepada diskriminasi perempuan.

نَبِّئُونِي بِعِلْمٍ

Terangkanlah kepadaku dengan berdasar pengetahuan

Kalau kamu ada dalil, maka bawakan dalil. Ini mengajar kita, kena ada dalil kalau betul ada pengharaman. Tidak boleh cakap begitu sahaja. Ini juga mengajar kita, dalam hal pengharaman atau hal agama, kena bawa dalil. Memang sebenarnya mereka tidak ada dalil.

Begitulah juga zaman sekarang, banyak daripada amalan atau fahaman masyarakat Islam kita sebenarnya tanpa dalil, kerana dari dulu lagi, masyarakat kita diajar untuk percaya kepada bulat-bulat sahaja kata-kata oran iaitu kata-kata orang tua, kata-kata ustaz dan guru dan juga perbuatan orang yang banyak. Mereka tidak diajar untuk berpandukan kepada dalil yang sah. Maka, masyarakat kita terus dibodohkan dengan pegangan yang salah.

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

jika kamu memang orang-orang yang benar,

Orang yang benar, tentu akan dapat mendatangkan dalil yang sah. Kalau betul-betul ada pengharaman yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ, maka bawalah ke mari dalil itu. Allah ‎ﷻ mencabar mereka untuk menceritakan fahaman mereka supaya akhirnya akan terbongkar bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak ada dasar sama sekali. Melainkan rekaan-rekaan daripada mereka yang telah dipesongkan oleh syaitan.

Begitu jugalah dengan ahli bid’ah di negara ini. Kalau kita minta dalil, mereka tidak boleh beri. Mereka akan beri hujah batil mereka sahaja. Secara dasarnya, ada lima hujah batil mereka, yang mengeja perkataan KUMAN, untuk senang diingati. Kita ringkaskan apakah hujah mereka.

1. Kitab – Mereka kata ada dalam kitab itu dan ini. Padahal kitab-kitab rujukan mereka adalah karangan manusia sahaja. Sepatutnya kenalah berdasarkan kepada ayat Al-Qur’an dan hadith. Kitab yang mereka bawa hanyalah pendapat manusia sahaja yang tidak lari daripada melakukan kesalahan.

2. Ulama, Ustaz – Mereka kata ustaz itu kata boleh, ustaz ini kata benda ini molek dibuat. Mereka berselindung dengan alasan: “Ulama sudah lama bincang perkara ini sudah selesai lama”. Ini juga hujah yang bathil kerana kata-kata manusia bukan hujah.

3. Majoriti – Mereka kata kalau ramai yang buat, tidak mungkin ramai-ramai salah. Dalam ayat ke-116 daripada surah al-An’am ini sendiri kita sudah belajar yang kalau kita ikut orang ramai, kita akan sesat.

4. Adat – Mereka kata tok nenek kita sudah lama buat, tidak mungkin tok nenek kita hendak masuk neraka semuanya. Ini juga hujah yang lemah. Kita bukan hendak ikut amalan orang dahulu, kita hendak ikut Nabi ﷺ dan para sahabat.

5. Akal – Satu lagi dalil yang digunakan oleh ahlul bid’ah adalah ‘akal’. Mereka menggunakan hujah akal mereka untuk membenarkan sesuatu perkara. Selalunya mereka gunakan hujah ‘takkan’: “Takkan lah salah kalau buat begitu”, “Benda baik tu.. apa salahnya?”.

6. Niat – Ahli bid’ah akan kata, tentu Allah ‎ﷻ akan beri pahala kalau mereka niat ikhlas dalam melakukan ibadat itu. Ini juga adalah hujah yang amat bathil. Banyak dalam Al-Qur’an menyatakan amalan hendaklah ikhlas dan soleh. Makna ‘soleh’ adalah, ibadat itu daripada ajaran Nabi ﷺ. Niat yang baik sahaja, tidak menentukan yang ia adalah benar.

Tafsir Ayat Ke-144

وَمِنَ ٱلإِبِلِ ٱثنَينِ وَمِنَ ٱلبَقَرِ ٱثنَينِ‌ۗ قُل ءَآلذَّڪَرَينِ حَرَّمَ أَمِ ٱلأُنثَيَينِ أَمَّا ٱشتَمَلَت عَلَيهِ أَرحَامُ ٱلأُنثَيَينِ‌ۖ أَم ڪُنتُم شُہَدَآءَ إِذ وَصَّٮٰڪُمُ ٱللَّهُ بِهَـٰذَا‌ۚ فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ ٱفتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ڪَذِبًا لِّيُضِلَّ ٱلنَّاسَ بِغَيرِ عِلمٍ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہدِى ٱلقَومَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): “Adakah yang diharamkan Allah itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?” Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

وَمِنَ الْإِبِلِ اثْنَيْنِ

dan unta, sepasang

Sepasang unta, jantan dan betina.

وَمِنَ الْبَقَرِ اثْنَيْنِ

dan daripada lembu, sepasang

Jantan dan betina.

قُلْ ءآلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ

Katakanlah: “Apakah dua yang jantan yang diharamkan

Soalan yang sama Allah ‎ﷻ ulang lagi dalam ayat ini – Adakah benar Allah ‎ﷻ mengharamkan yang jantan daripada dimakan?

أَمِ الْأُنثَيَيْنِ

ataukah dua yang betina,

Ataukah ada pernah Allah ‎ﷻ mengharamkan unta atau lembu betina daripada dimakan?

أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنثَيَيْنِ

ataukah yang ada dalam kandungan dua betinanya?

Atau yang diharamkan adalah kandungan dalam lembu dan unta betina itu? Yang mana satukah yang mereka maksudkan?

أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ وَصّٰكُمُ اللَّهُ بِهَٰذَا

Apakah kamu menyaksikan di waktu Allah menetapkan ini bagimu?

Perkataan وَصَّاكُمُ berasal daripada katadasar و ص ي yang bermaksud ‘arahan yang penting’. Seperti juga kita gunakan perkataan ‘wasiat’ sebagai satu arahan apa yang mesti dilakukan kepada peninggalan kita yang penting.

Mereka ditanya lagi: kalau kamu tidak boleh membawakan dalil kenapa kamu mengharamkan makanan-makanan itu, mana mungkin Allah ‎ﷻ sendiri yang beritahu kepada kamu? Adakah kamu ada sekali dalam majlis itu, semasa Allah ‎ﷻ sendiri memberi hukum yang makanan-makanan itu tidak boleh dimakan atau dikhususkan kepada lelaki atau kepada perempuan sahaja?

Begitulah pertanyaan-pertanyaan Allah ‎ﷻ dalam bentuk sinis yang diberikan untuk mematahkan hujah-hujah mereka. Hujah mereka sepatutnya terputus kerana memang mereka tidak boleh membawakan dalil. Semua ini adalah untuk menunjukkan bahawa apa yang mereka buat itu tidak ada dalil langsung.

Walaupun apa yang mereka buat itu tidak ada dalil, tetapi kenapakah mereka masih lagi melakukannya? Pemuka-pemuka agama masyarakat mereka meneruskan tradisi itu kerana dengannya mereka boleh mengawal masyarakat bawahan. Apabila mereka membuat undang-undang atau hukum dan masyarakat mengikutinya, itu bermaksud bahawa masyarakat di bawah mereka akan menurut sahaja apa kata mereka. Itu juga bermaksud mereka berada di tempat yang tinggi di dalam masyarakat dan mereka akan mendapat habuan daripada kedudukan mereka itu.

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah

Tidak ada lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang mengada-ngadakan dusta bagi pihak Allah ‎ﷻ. Berdusta dengan manusia pun sudah buruk apatah lagi dengan Allah ‎ﷻ? Maka, mereka adalah penjenayah yang paling besar. Mereka akan mendapat dosa besar daripada perbuatan tersebut. Dan akan mendapat dosa orang lain yang mengikut amalan bid’ah itu.

Begitulah juga amalan bid’ah yang dilakukan manusia. Bagaimanakah yang dikatakan mereka berdusta? Mereka dusta dengan kata yang amalan bid’ah itu Allah ‎ﷻ suka, padahal Allah ‎ﷻ tidak pernah kata begitu dan Nabi ﷺ pun tidak pernah menyampaikan kata-kata Allah ‎ﷻ sebegitu. Mereka sendiri yang kata Allah ‎ﷻ suka, bermakna mereka berdusta di atas nama Allah ‎ﷻ! Sedangkan berdusta atas nama manusia lain pun orang sudah marah, apatah pula kalau berdusta atas nama Allah ‎ﷻ!

Atau mereka kata akan dapat pahala kalau buat amalan itu sedangkan tidak ada diberitahu oleh Allah ‎ﷻ atau Nabi-Nya. Malangnya, mereka tidak sedar yang mereka sudah buat perkara yang amat salah. Kerana sudah biasa sangat buat, sampai mereka tidak kisah, macam biasa sahaja cipta hukum sendiri.

لِّيُضِلَّ النَّاسَ بِغَيْرِ عِلْمٍ

untuk menyesatkan manusia tanpa pengetahuan

Mereka yang tidak mempunyai pengetahuanlah yang mudah diperdayakan. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang orang lain cakap tanpa usul periksa. Mereka menerima sesuatu amalan itu dengan tanggapan sahaja. Apabila kita tegur perbuatan mereka, hujah mereka antaranya: “Takkan ustaz itu salah; ramai orang buat, takkan salah; dan sebagainya.”

Ini kerana masyarakat kita tidak mahu belajar. Atau, memang belajar, tetapi belajar dengan guru yang salah. Mereka sangka mereka sudah tahu tentang agama sebab mereka ada kelas agama masa sekolah rendah dulu. Ilmu itulah yang mereka gunakan sampai mereka mati. Padahal, kalau belajar ilmu lain, mereka luangkan masa sehingga masuk universiti, dapat ijazah, dapat PHD. Namun dalam hal agama, mereka tidak ingin belajar. Hasilnya, mereka tahu tentang hal dunia, tetapi jahil tentang agama.

Ayat ini mengingatkan kepada kita betapa pentingnya untuk kita belajar bab agama. Terutama sekali belajar wahyu. Kita kena jaga agama kita. Kita kena tahu apakah akidah yang benar. Kita kena tahu bagaimana cara beribadah mengikut dalil yang benar. Kita pun akan ada keluarga yang perlu kita ajar kerana mengajar anak isteri adalah tanggungjawab bapa dan suami.

Kalau kita tidak tahu dalil sesuatu amalan, ada sebaiknya kita jangan amalkan lagi. Lebih baik tidak buat sesuatu amalan, daripada kita buat, tetapi rupanya bukan daripada ajaran agama Islam. Kita kena tanya dan kaji, dari manakah amalan itu datang. Daripada pendapat manusiakah atau benar-benar daripada arahan Allah ‎ﷻ?

Ada masanya amalan yang selama ini kita buat adalah salah. Maka kita terima bahawa kita ada buat kesalahan dan kemudian tinggalkan amalan itu. Janganlah kerana amalan itu sudah lama kita amalkan, atau tok nenek kita ada amalkan, kita mahu mempertahankannya juga. Tidak ada faedahnya untuk kita pertahankan perkara yang tidak ada dalil. Dan tidak perlu pertahankan ustaz yang ajar amalan salah itu!

إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Yang zalim adalah mereka yang menipu atas nama Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka. Amat malang sekali kalau sudah jadi begitu kerana tandanya sudah menjadi ahli neraka. Tidak mendapat hidayah bermaksud mereka akan terus berada di dalam kesesatan.

Kita amat memerlukan hidayah daripada Allah ‎ﷻ tetapi kalau Allah ‎ﷻ sudah tidak mahu beri hidayah, bagaimana lagi? Allah ‎ﷻ tidak terus menghalang hidayah daripada sampai kepada makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ cuma akan tahan hidayah itu apabila mereka berterusan menolak kebenaran.

Allahu a’lam.

#UkhuwahTeguh#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan