Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-137 hingga Ke-138

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-137 hingga Ke-138

22
0
Iklan

Tafsir Surat Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-137

وَڪَذٰلِكَ زَيَّنَ لِڪَثِيرٍ مِّنَ ٱلمُشرِڪِينَ قَتلَ أَولَـٰدِهِم شُرَڪَآؤُهُم لِيُردُوهُم وَلِيَلبِسُواْ عَلَيهِم دِينَهُم وَلَو شَآءَ ٱللَّهُ مَا فَعَلُوهُ‌ۖ فَذَرهُم وَمَا يَفتَرُونَ

Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan daripada mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka nengenai agama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.

وَكَذَٰلِكَ زَيَّنَ لِكَثِيرٍ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ

Dan demikianlah telah menjadikan kebanyakan daripada orang-orang musyrik itu memandang cantik

Sebagaimana perbuatan mereka memberi persembahan kepada tuhan-tuhan mereka telah dinampakkan cantik kepada mereka, begitu juga dengan perbuatan syirik yang lain yang akan disebutkan ini.

Kalimat مِّنَ الْمُشْرِكِينَ (daripada sebahagian orang musyrik) bermaksud bukan semua orang musyrik berbuat seperti yang akan disebutkan ini tetapi ‘kebanyakan’ daripada mereka. Apakah perbuatan mereka itu?

قَتْلَ أَوْلٰدِهِمْ شُرَكَاؤُهُمْ

membunuh anak-anak mereka (dinampakkan cantik) oleh sekutu-sekutu mereka

Kalimah شُرَكَاؤُهُمْ (syirik-syirik mereka) bermaksud jin dan syaitan yang telah mereka jadikan sebagai kawan rapat mereka itu. Apabila mereka telah bersekongkol dengan jin dan syaitan itu, maka jin syaitan itu telah menyuruh orang-orang musyrik ini melakukan berbagai-bagai perkara yang salah. Antaranya, membunuh anak-anak mereka. Jin-jin itu akan bisikkan kepada mereka supaya membunuh anak sendiri.

Apabila manusia sudah semakin jauh daripada Allah ‎ﷻ, maka ada manusia yang sanggup membunuh manusia-manusia lain termasuk anak-anak mereka sendiri kerana mereka telah disuruh oleh syaitan.

Beginilah yang terjadi kepada kaum-kaum sesat seperti Inca dan Aztek di Amerika Selatan. Mereka akan membunuh anak-anak kecil mereka sebagai persembahan kepada tuhan dan dewa mereka dalam keadaan tertentu. Mereka juga akan buat begitu jikalau sudah lama hujan tidak turun atau mereka dilanda musibah. Begitulah yang dilakukan oleh penduduk Mesir sebelum kedatangan Islam dan bangsa Arab Musyrikin Mekah pun ada berbuat begitu juga.

لِيُرْدُوهُمْ

untuk membinasakan mereka

Apabila puak Musyrikin membunuh anak-anak mereka, mereka telah memusnahkan diri mereka sendiri kerana mereka membunuh keturunan mereka dan mereka telah membunuh tenaga kerja yang mereka boleh gunakan. Jika mereka bunuh anak-anak perempuan, ini akan menyebabkan kurangnya perempuan di dalam masyarakat mereka untuk meneruskan keturunan puak mereka.

Macam-macam sebab dijadikan oleh Musyrikin untuk membunuh anak-anak mereka. Sebagai contoh, mereka akan membunuh anak perempuan mereka kerana mereka malu. Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa ada orang lelaki lain yang akan memiliki anak perempuan mereka.

Dan mereka juga membunuh anak perempuan mereka kerana pada pendapat mereka, anak perempuan itu tidak memberi faedah dari segi ekonomi. Mereka tidak kuat untuk membantu mereka berkebun atau bercucuk tanam. Juga tidak dapat membantu mereka dalam peperangan. Dan mereka adalah kaum yang mementingkan anak lelaki dan mereka berbangga jika anak-anak mereka adalah anak lelaki. Jikalau mereka mendapat anak perempuan, mereka rasa seperti ada kekurangan pada diri mereka.

Selain daripada itu, mereka juga membunuh anak-anak mereka tidak kira perempuan atau lelaki kerana mereka takut mereka akan jatuh papa kedana kalau anak mereka ramai. Oleh kerana itu, jikalau mereka dapat anak dan mereka rasa mereka tidak dapat memberi anak itu makan, atau mereka rasa anak itu akan menyebabkan mereka kekurangan makanan kerana ada bertambah mulut yang perlu disuap, mereka akan membunuh anak itu ketika kecil lagi. Ataupun mereka akan menggugurkan bayi di dalam kandungan isteri mereka.

Itu semua adalah fahaman yang salah. Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam [ Al-Isra’:31 ] tentang larangan-Nya membunuh anak kerana takut kemiskinan.

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

Allah ‎ﷻ menceritakan apa yang terjadi pada Zaman Jahiliah. Adakah ia masih lagi berlaku pada zaman sekarang? Tentu kita pernah mendengar bagaimana ada ibu bapa yang tidak mahu anak perempuan. Apabila mereka tahu bahawa isteri mereka mengandungkan anak perempuan, maka mereka akan menggugurkan anak mereka.

Ini bermaksud amalan zaman jahiliyah masih ada lagi sampai sekarang. Di negara ini pun kadang-kadang kita akan mendengar bagaimana ada pasangan yang membunuh anak-anak mereka. Kalau mereka tidak bunuh selepas lahir, mereka akan gugurkan ketika dalam kandungan lagi. Kalau mereka tidak sanggup bunuh, mereka akan tinggalkan anak-anak mereka di jalanan dan sebagainya.

Begitu juga terdapat pasangan suami isteri yang tidak mahukan anak. Mereka rasa mereka tidak dapat memelihara anak itu kerana takut miskin. Mereka rasa mereka tidak mampu menyara hidup anak sampaikan mereka sanggup menggugurkan anak itu dan kalau anak itu lahir, mereka akan memberikan anak itu kepada orang lain. Sedangkan Allah ‎ﷻ telah memberitahu kepada kita bahawa Dialah yang memberi rezeki kepada anak itu. Semasa anak itu di dalam perut ibu itu lagi Allah ‎ﷻ sudah menetapkan rezeki kepada anak itu.

Selain itu terdapat pasangan suami isteri yang apabila mereka tahu bahawa anak mereka akan menjadi cacat, mereka akan menggugurkan kandungan. Itu pun dikira sebagai membunuh anak.

Ada musyrikin yang akan mengorbankan anak-anak mereka untuk berhala-berhala mereka. Ketika zaman Khalifah Umar رضي الله عنه, pernah sungai Nil kekeringan air. Telah menjadi adat mereka turun temurun untuk mengorbankan anak perempuan jikalau Sungai Nil kekeringan. Khalifah Umar رضي الله عنه telah memberhentikan adat khurafat itu. Ini bermakna selepas zaman Islam pun masih ada lagi pengorbanan anak yang dilakukan.

Akan tetapi bukan semua Musyrikin Mekah melakukan hal ini. Jangan kita pukul rata semua mereka itu. Dan dalam hal ini ada tohmahan besar terhadap Saidina Umar رضي الله عنه. Masyarakat kita umumnya sudah pernah dengar kisah yang Umar رضي الله عنه menyesal kerana beliau telah pernah membunuh anaknya. Akan tetapi kisah ini tidak benar. Umar رضي الله عنه tidak pernah membunuh anaknya. Itu adalah rekaan cerita tipu oleh puak Syiah yang hendak memburukkan nama Saidina Umar رضي الله عنه sahaja kerana mereka amat benci kepada beliau. Cuba fikirkan, kalaulah beliau jenis membunuh anak perempuannya, maka bagaimana pula anaknya Habshah itu boleh membesar sampai boleh menikah dengan Rasulullah ﷺ?

وَلِيَلْبِسُوا عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ

dan untuk campur adukkan mereka agama mereka.

Mereka mencampuradukkan antara yang hak dan yang batil di dalam agama mereka. Mencampurkan antara agama yang diajar oleh Nabi ﷺ dan amalan-amalan direka oleh manusia. Inilah yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan inilah juga yang terjadi di negara Malaysia sekarang.

Oleh kerana ramai yang jahil dengan agama dan jauh daripada ajaran wahyu, ramai telah mencampurkan amalan-amalan yang bukan daripada ajaran Nabi ﷺ, seperti Maulid Nabi, bacaan Talqin, salat hajat berjemaah dan banyak lagi amalan-amalan bid’ah sesat yang mereka anggap sebagai agama.

Apabila agama dicampur-adukkan, maka ia akan mengelirukan mereka kerana mereka sudah tidak tahu manakah agama yang benar dan manakah yang tidak. Macam orang kita juga yang sedang tidak tahu manakah arahan agama dan manakah amalan adat turun temurun. Ramai yang hanya mengikut sahaja ajaran-ajaran ustaz-ustaz dan guru-guru yang jahil.

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا فَعَلُوهُ

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya,

Allah ‎ﷻ boleh sahaja halang mereka daripada mengamalkan amalan-amalan sesat itu. Tetapi Allah ‎ﷻ biarkan manusia yang hendak jadi sesat untuk terus melakukannya dan itu adalah ujian bagi manusia. Allah ‎ﷻ hendak lihat adakah mereka taat kepada arahan dan larangan-Nya ataupun tidak.

Dan ia juga menjadi satu ujian bagi kita yang hendak mengamalkan sunnah. Ia merupakan ujian bagi mereka yang hendak mencari kebenaran. Mereka terpaksa melalui amalan-amalan yang salah sebelum mereka menemui agama yang benar. Ada yang menempuh masuk Arqam, ada yang masuk tareqat, ada yang sempat zikir nafas, zikir hu hu hu dan ah ah sebelum menemui jalan yang benar.

Dan ia juga menjadi ujian untuk terus mengamalkan ajaran Sunnah. Bukannya senang untuk mengamalkan Sunnah di dalam masyarakat yang rata-ratanya mengamalkan bid’ah dan dikelilingi oleh mereka yang berpegang kuat dengan amalan yang salah itu. Sampaikan bila kita hendak cuba mengingatkan kepada mereka tentang kesalahan itu, mereka pula yang kata kita yang sesat dan menyusahkan agama.

Kalau berdebat dengan mereka, mereka akan menggunakan hujah akal, kitab itu dan ini dan juga mereka kata ramai yang buat amalan seperti mereka. Mereka kata, takkan salah kalau ramai yang buat? Kita boleh sahaja jawab: memang benarnya ramai yang akan buat amalan salah dan sesat dalam masyarakat kerana Nabi ﷺ pun sudah bersabda, mafhumnya: yang sesat itu 72 golongan, yang benar hanya satu sahaja.

فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

maka biarkan mereka dan apa yang mereka ada-adakan.

Maksud ‘biarkan’ adalah kita jangan terus tegur tentang kesalahan amalan mereka itu tetapi kita ajari mereka tauhid yang benar. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak menegur kesalahan-kesalahan penyembahan berhala yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah ketika awal Islam.

Begitu juga baginda tidak menegur perbuatan tawaf dalam keadaan telanjang yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah waktu itu. Nabi ﷺ juga tidak memecahkan berhala-berhala yang mereka sembah itu. Memang ada kisah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام memecahkan berhala-berhala kaumnya, tetapi itu bukanlah syariat Nabi Muhammad ﷺ.

Rasulullah ﷺ tekankan ajaran tauhid dahulu dan beri masyarakat baginda faham tentang tauhid. Ini kerana apabila kita mengajar tauhid yang benar, selalunya yang menerima tauhid itu sendiri akan tahu mana yang salah dan mana yang benar. Mereka akan mula berfikir tentang agama, dan mereka akan menolak perbuatan syirik dengan sendiri, tanpa paksaan daripada kita.

Oleh yang demikianlah hanya apabila berlakunya penaklukan Mekah, barulah baginda memberi arahan kepada sahabat-sahabat baginda untuk memusnahkan berhala-berhala yang mengelilingi Kaabah itu. Maka ini mengajar kita untuk memilih masa yang sesuai untuk menegur manusia. Kalau kita sudah ada peluang, maka boleh tegur mereka.

Begitulah kita sekarang dalam melihat amalan bid’ah masyarakat kita. Kita hanya boleh beri ilmu dan ingatkan mereka sahaja. Ini kerana melakukan amalan bid’ah bukannya ada hukuman hudud. Kita juga hanya disuruh berperang dengan golongan yang jelas kekafiran mereka, dan kita tidak disuruh membunuh golongan yang jahil melakukan ibadah bid’ah.

Tafsir Ayat Ke-138

Halal dan haram adalah hukum yang hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh tentukan. Ia akan disampaikan kepada Nabi ﷺ melalui wahyu. Nabi ﷺ sendiri pun tidak berani membuat hukum sendiri. Banyak hadith menyebut yang Nabi Muhammad ﷺ akan mendiamkan diri apabila ditanya dengan sesuatu perkara sehinggalah baginda diberikan dengan wahyu menjawab pertanyaan para sahabat. Ini kerana baginda tidak reka sendiri hukum agama.

Maka, jikalau kita mengatakan sesuatu perkara itu haram untuk dimakan atau dilakukan, maka kita hendaklah membawa wahyu daripada Allah ‎ﷻ sama ada dalam bentuk ayat Al-Qur’an ataupun hadith Nabi ﷺ yang sahih.

Mereka mengatakan Nabi Muhammad ﷺ sesat kerana membawa ajaran baru. Sekarang Allah ‎ﷻ menyebutkan satu persatu salah faham akidah mereka kepada semua. Ini menjadi pengajaran kepada kita.

Kita kena lihat sama ada mana-mana kesalahan itu yang kena dengan kita kerana Allah ‎ﷻ menceritakan tentang amalan dan akidah Musyrikin Mekah ini supaya kita periksa sama ada kita ada melakukan perbuatan yang sama dengan mereka. Bukanlah Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita sebagai satu kisah sejarah sahaja. Ini adalah masalah dengan masyarakat kita. Mereka kutuk dengan hebat perbuatan Musyrikin Mekah, tanpa mereka memeriksa sama ada mereka pun ada mengamalkan amalan yang sama.

وَقَالُواْ هَـٰذِهِۦۤ أَنعَـٰمٌ وَحَرثٌ حِجرٌ لَّا يَطعَمُهَآ إِلَّا مَن نَّشَآءُ بِزَعمِهِم وَأَنعَـٰمٌ حُرِّمَت ظُهُورُهَا وَأَنعَـٰمٌ لَّا يَذكُرُونَ ٱسمَ ٱللَّهِ عَلَيهَا ٱفتِرَآءً عَلَيهِ‌ۚ سَيَجزِيهِم بِمَا ڪَانُواْ يَفتَرُونَ

Dan mereka berkata lagi: “Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki”, – menurut anggapan mereka; dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) bintang-bintang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.

وَقَالُوا هَٰذِهِ أَنْعَامٌ وَحَرْثٌ

Dan mereka mengatakan: “Inilah haiwan ternak dan tanaman

Mereka telah mengatakan ada jenis-jenis haiwan dan tanaman yang haram dimakan dalam keadaan tertentu dan orang-orang tertentu. Dalam [ Maidah: 103, ]ada disebut tentang perkara ini:

مَا جَعَلَ اللَّهُ مِنْ بَحِيرَةٍ وَلَا سَائِبَةٍ وَلَا وَصِيلَةٍ وَلَا حَامٍ ۙ وَلَٰكِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۖ وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.

Allah ‎ﷻ tidak pernah mensyariatkan hukum yang sebegitu, tetapi mereka yang memandai-mandai buat hukum baru. Inilah bahayanya kalau sudah biasa buat perkara bid’ah, sampaikan hukum pun berani direka mengikut kehendak sendiri.

حِجْرٌ لَّا يَطْعَمُهَا

yang dilarang; tidak boleh memakannya,

Perkataan حِجْرٌ berasal daripada حجر yang bermaksud ‘batu’. Apabila orang-orang Arab menggali tanah dan mereka sampai kepada batu, maka mereka terhalang daripada menggali lagi. Maka, ia membawa maksud sesuatu yang dihalang. Ataupun bermaksud, batu adalah satu benda yang tidak boleh dimakan. Oleh sebab itu, perkataan حِجْرٌ dalam ayat ini bermaksud sesuatu yang terhalang atau terlarang. Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada larangan untuk memakan.

Terdapat beberapa halangan kepada sesetengah binatang dan sesetengah makanan yang akan disebutkan nanti. Halangan dan larangan itu adalah hukum yang direka-reka oleh puak musyrikin. Mereka pandai-pandai melarang masyarakat awam daripada memakan makanan-makanan itu.

Dalam kefahaman karut mereka, wasilah ialah seekor kambing betina yang melahirkan anak kembar yang terdiri daripada jantan dan betina, maka yang jantan ini disebut wasilah, tidak boleh disembelih dan hanya boleh diserahkan kepada berhala.

Ham adalah unta jantan yang tidak boleh diganggu gugat lagi, kerana telah dapat membuntingkan unta betina sepuluh kali. Binatang-binatang yang disebutkan itu dianggap haram dimakan oleh orang-orang musyrik tanpa dalil.

Zaman sekarang pun perkara sebegini banyak dilakukan. Jangan kita ingat puak Musyrikin Mekah sahaja yang buat. Sebagai contohnya, kita boleh lihat pada zaman sekarang yang dilakukan oleh agama Hindu. Mereka tidak boleh makan lembu dan mereka cuma hanya boleh minum susu lembu sahaja. Ini adalah kerana lembu adalah binatang yang suci dalam agama mereka sehinggalah jika di negara India itu, kita boleh lihat lembu berkeliaran di merata-rata tempat tanpa diganggu kerana dianggap suci.

Tidak boleh langsung mengganggu lembu-lembu itu. Orang Islam pun tidak boleh menyembelih lembu secara terang-terangan dan tidak boleh memakannya dalam khalayak ramai kerana orang-orang Hindu akan marah kepada orang-orang Islam yang berbuat begitu. Malah setiap lembu ada Surat Beranak, maka itu menyusahkan orang Islam untuk menyembelih lembu-lembu itu. Seolah-olah bagaikan membunuh orang pula. Kalau hendak memakan daging lembu di sana, umat Islam kenalah bela lembu di kawasan terpencil secara senyap dan sembelih pun secara senyap sahaja.

Lembu-lembu itu akan dibiarkan sehingga mereka mati kerana tua. Kalau mereka perlu menangkap lembu itu (mungkin kerana ia mengganggu rel keretapi), mereka sampai kena meminta maaf kepada lembu itu kerana takut mereka akan dikenakan bala. Begitulah teruknya syaitan menyesatkan manusia dalam hal binatang ternakan ini. Padahal lembu ini makanan bagi kita yang Allah‎ ﷻ telah jadikan, tetapi dianggap suci pula.

Bagaimana pula dengan orang kita? Adakah kita pun buat seperti apa yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat ini? Malangnya, amat ramai yang melakukan perkara yang hampir sama seperti ini. Itulah mereka yang mengharamkan makanan yang halal di dalam ‘amalan berpantang’ selepas bersalin. Allah ‎ﷻ tidak pernah suruh kita mengharamkan makanan kepada sesiapa selepas bersalin, tetapi ramai dalam masyarakat kita yang buat seperti itu.

Yang diharamkan itu pula tidak masuk akal. Ada yang haramkan minum air, ada yang haramkan makan ayam. Namun begitu, dalam masyarakat lain, mereka suruh minum banyak air, suruh makan banyak ayam kerana ia baik untuk kesihatan.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan kata-kata ini. Mereka akan kata: “Mana ada haram, cuma tak galakkan makan sahaja”. Itu adalah terminologi yang digunakan. Secara dasarnya, sama sahaja. Tidak beri makan bermaksud mengharamkan makanan itu kerana sebab-sebab tertentu.

Bukan amalan pantang bersalin sahaja makanan diharamkan. Seperti di Kelantan, Terubong Buluh Betung tidak boleh dimakan oleh keturunan raja-raja termasuk juga golongan Nik kerana mereka dikatakan daripada keturunan Buluh Betung. Ada fahaman karut yang mengatakan yang keturunan mereka dahulu asalnya keluar daripada buluh betung. Itulah apabila masyarakat sudah tidak menggunakan akal lagi tetapi hanya percaya dengan cerita-cerita tahyul dan karut.

Ada pula keturunan yang tidak boleh makan ikan Kacang (Barracuda) kerana dikatakan suatu masa dahulu, ikan itu pernah menyelamatkan tok nenek mereka semasa menangkap ikan di laut dan perahu mereka bocor. Oleh kerana hormatkan ikan itu, mereka telah mengharamkan anak keturunan mereka daripada memakannya.

Sesiapa yang mengharamkan memakan sesuatu makanan yang Allah ‎ﷻ telah halalkan, maka dia telah melakukan perbuatan yang kufur. Ini berbeza dengan makanan yang tidak baik untuk kita. Sebagai contoh, ada makanan yang kita alah/alergik kepadanya. Kalau makan, menyebabkan muka menjadi bengkak, gatal dan sebagainya. Kalau dalam keadaan begitu, maka makanan itu kita tidak boleh makan dan ini tidak mengapa kerana Allah ‎ﷻ telah memberitahu kita untuk makan makanan yang halal dan ‘baik’ – halalan tayyiban.

Sebagai contoh, ada yang tidak boleh makan daging kambing kerana kalau dia makan, darah tingginya akan naik (kerana kandung lemak dalam daging kambing biri-biri memang tinggi). Itu bermaksud makanan itu sudah tidak baik bagi dirinya. Tetapi ia tidak baik untuk dirinya sahaja dan tidak boleh digunakan alasan itu kepada orang lain kerana orang lain mungkin tidak ada masalah dengan memakan kambing.

Ada juga makanan yang telah diberitahu oleh doktor tidak elok dimakan dalam sesuatu keadaan. Sebagai contoh, doktor beritahu kepada perempuan bersalin yang mereka tidak elok makan makanan yang tinggi kandungan gula, dan doktor itu pula akan beri arahan itu berdasarkan kepada keadaan pesakit itu. Ada dalam kalangan perempuan yang bersalin itu yang kena darah tinggi, kena penyakit kencing manis semasa mengandung dan sebagainya.

Ataupun pemakanan untuk perempuan yang dibedah berlainan dengan perempuan yang bersalin normal. Itu adalah hasil daripada kajian mereka. Ada sebab untuk mereka kata begitu. Ini tidak termasuk dalam ‘mengharamkan’. Mereka ada asas. Namun, asas apakah yang diberikan oleh Mak Bidan untuk mengharamkan minum air dan makan ayam kepada perempuan yang baru bersalin?

Maka jangan kita mengharamkan atau menidakkan sesuatu makanan kepada diri kita tanpa sesuatu sebab yang sah. Kalau dahulu kita pernah berbuat begini, maka minta ampun kepada Allah ‎ﷻ dan makanlah makanan itu. Ya, kena makan makanan itu sebagai memutuskan pengharaman dan pemantangan yang dilakukan dahulu.

إِلَّا مَن نَّشَاءُ بِزَعْمِهِمْ

kecuali orang yang kami kehendaki”, menurut anggapan karut mereka,

Mereka khaskan orang tertentu atau golongan tertentu sahaja yang boleh makan sesuatu makanan. Mereka khususkan sesuatu binatang dan makanan itu hanya kepada golongan-golongan yang dilantik untuk menjaga tuhan-tuhan berhala sembahan mereka. Hanya mereka sahaja yang boleh memakan dan orang lain tidak boleh memakannya.

Dan ia adalah زعم iaitu rekaan dan anggapan karut mereka. Ini adalah satu kesalahan. Oleh itu, kalau kita mengkhaskan sesuatu binatang atau makanan itu hanya boleh dimakan segolongan manusia sahaja, maka itu pun sudah dikira kufur.

Mereka menetapkan sesuatu makanan itu tidak boleh makan hanya berdasarkan kepada fahaman karut mereka. Mereka tidak ada dalil. Macam juga fahaman masyarakat kita dalam mengharamkan makanan kepada diri mereka.

وَأَنْعَامٌ حُرِّمَتْ ظُهُورُهَا

dan ada binatang ternak yang diharamkan menungganginya

Musyirikin Mekah mengharamkan jenis-jenis haiwan yang tidak boleh ditunggangi iaitu Saibah dan Bahiirah.

Bahiirah adalah unta betina yang telah beranak lima kali dan anak kelima itu jantan, lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh ditunggangi lagi dan tidak boleh diambil air susunya.

Sa’ibah adalah unta betina yang dibiarkan ke mana sahaja lantaran sesuatu nazar. Contohnya, jika seorang Arab jahiliyyah akan melakukan sesuatu atau perjalanan yang berat, maka dia biasa bernazar akan menjadikan unta Sa’ibah apabila maksud atau perjalanannya tercapai atau selamat.

وَأَنْعَامٌ لَّا يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا

dan ada binatang ternak yang mereka tidak menyebut nama Allah (waktu menyembelihnya,

Ada binatang yang mereka kata tidak boleh disebut nama Allah ‎ﷻ semasa menyembelih binatang itu. Tidak boleh sebut nama Allah‎ ﷻ kerana binatang-binatang itu telah dikhususkan kepada tuhan-tuhan mereka yang lain. Inilah jenis unta yang dipanggil al-Bahiirah itu. Kita kena ingat bahawa Musyrikin Mekah itu kenal Allah ‎ﷻ itu Tuhan.

Cuma dalam masa yang sama, mereka ada ‘tuhan-tuhan mini’ mereka yang lain dalam bentuk berhala. Latt dan Uzza yang kita selalu dengar itu adalah antara tuhan-tuhan mini mereka. Mereka pun ada juga menyembelih atas nama Allah ‎ﷻ. Tetapi kalau mereka hendak memberikan sembelihan itu kepada tuhan-tuhan yang lain, mereka tidak boleh sebut nama Allah‎ ﷻ kepadanya.

Sekiranya Allah ‎ﷻ menceritakan sesuatu perbuatan syirik di dalam Al-Qur’an, ini bermaksud amalan itu masih lagi dilakukan dalam dunia ini dan sampai bila-bila hingga kiamat. Mungkin kita tidak nampak berlaku dalam masyarakat kita tetapi pastinya ia berlaku di tempat lain.

Ini kerana kadangkala perkara ini berlaku dalam penuh kerahsiaan. Macam ajaran Tarekat selalunya diajar secara rahsia. Memang kena diajar secara rahsia kerana kalau diajar secara terbuka, maka akan terbukalah kekarutan ajaran mereka itu. Akan ramai yang akan menegur mereka. Mereka yang terdiri daripada golongan yang lemah akal sahaja yang boleh menerima segala kata-kata guru tarekat itu.

افْتِرَاءً عَلَيْهِ

membuat-buat kedustaan terhadap Allah.

Mereka kata apa yang mereka buat itu adalah kerana untuk memuaskan hati Tuhan. Tetapi itu semua hanyalah hukum rekaan mereka sahaja. Mereka berdusta di atas nama Allah ‎ﷻ dan nama agama di mana mereka kata Allah ‎ﷻ suka perkara itu.

Ketika zaman Musyrikin Mekah, mereka telah reka perkara dusta terhadap Allah ‎ﷻ dengan mengatakan sesuatu itu baik dan elok untuk dilakukan pada hal Allah ‎ﷻ tidak pernah mengajar mereka begitu. Mereka kata ia baik mengikut akal mereka sahaja. Maka, apakah bezanya dengan masyarakat kita sekarang yang mereka-reka perkara-perkara bid’ah dalam agama dengan mengatakan yang perkara itu baik? Itu sebabnya keluar hujah bodoh: “Benda baik, apa salahnya?”.

Sebagai contoh, mereka mengatakan elok untuk memberi makan kepada tetamu yang datang semasa menziarahi sesuatu kematian yang dinamakan ‘kenduri arwah’. Mereka kata apa salahnya beri makan kepada orang padahal perkara itu telah dilarang di dalam agama. Mereka sahaja tidak tahu yang ia dilarang kerana mereka memang jahil daripada wahyu.

Yang menjadi masalahnya adalah kerana ustaz-ustaz yang mengajar pun tidak tahu tentang larangan itu. Ini adalah kerana proses pembelajaran di negara ini bukan berasaskan Al-Qur’an dan hadith sahih, tetapi berdasarkan ‘apa yang orang kata’. Mereka terima sahaja apa yang diajar oleh guru mereka, dan guru mereka pun begitu juga dahulunya. Oleh sebab itu, walaupun seseorang itu bergelar ustaz, tidak semestinya dia faham agama kerana dia sendiri tidak mahir dengan ilmu wahyu. Dia menjadi ustaz sebab tahu ajaran yang diajar turun temurun dalam masyarakat yang tidak semestinya ‘mesra wahyu’.

سَيَجْزِيهِم بِمَا كَانُوا يَفْتَرُونَ

Kelak Allah akan membalas mereka terhadap apa yang selalu mereka ada-adakan.

Mereka yang mengadakan hukum-hukum baru yang tidak diberitahu oleh Allah ‎ﷻ atau Nabi, maka mereka itu telah mengambil tugas Allah ‎ﷻ dan Nabi sebenarnya dan mereka akan dibalas atas perbuatan mereka itu.

Ayat-ayat daripada surah ini adalah Allah‎ ﷻ menegur mereka dengan menyebut perbuatan-perbuatan salah yang mereka lakukan. Allah ‎ﷻ sebut satu persatu fahaman dan kesalahan mereka kerana mereka telah diberi dakwah oleh Nabi sudah sekian lama tetapi mereka tidak mahu menerimanya. Nampak kasar apa yang Allah ‎ﷻ lakukan ini, tetapi ini adalah satu metode dakwah juga. Apabila telah lama didakwah namun masih lagi tidak mahu menerima, kita boleh menceritakan perbuatan salah mereka satu persatu.

Walau bagaimanapun, ketika menegur itu, janganlah dari mula-mula lagi kita sudah sebut kesalahan yang mereka lakukan kerana itu boleh menyebabkan mereka melarikan diri. Mereka belum sedia lagi untuk menerima berita tentang kesalahan yang mereka telah lakukan. Kita kena berlembut dalam hal ini. Mula-mula kita ajar konsep supaya mereka sendiri tahu apa yang mereka amalkan selama ini salah. Ini supaya mereka dengan sendirinya akan meninggalkan amal perbuatan yang salah itu.

Namun begitu, kalau masih lagi tidak tahu, maka kenalah beritahu secara khusus. Kerana ada yang sudah diberitahu secara halus, tetapi masih lagi tidak faham-faham.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan