Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-30 hingga Ke-32

Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-30 hingga Ke-32

145
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-30

Apakah kesudahan mereka nanti?

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلىٰ رَبِّهِم ۚ قالَ أَلَيسَ هٰذا بِالحَقِّ ۚ قالوا بَلىٰ وَرَبِّنا ۚ قالَ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!” Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.

وَلَوْ تَرَىٰ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat

Diulang sekali lagi ayat ini. Sebelum ini disebut mereka berhenti tepi neraka. Sekarang mereka akan berhenti dihadapkan di hadapan Allah ‎ﷻ.

إِذْ وُقِفُوا عَلَىٰ رَبِّهِمْ

ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka,

Semua manusia akan dihadapkan, tetapi keadaan mereka akan berbeza di antara orang yang beriman dan beramal soleh. Allah ‎ﷻ tidak akan pandang mereka dengan pandangan rahmah.

قَالَ أَلَيْسَ هَٰذَا بِالْحَقِّ

lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar?

Allah ‎ﷻ tanya mereka tentang hari yang mereka dulu kata tidak ada. Sekarang sudah di hadapan mata mereka, bagaimana? Takkan hendak dikatakan tidak ada pula. Dahulu mereka tidak percaya tetapi sekarang sudah di depan mata.

قَالُوا بَلَىٰ وَرَبِّنَا

Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!”

Mereka mengaku bahawa hari itu adalah benar, dengan bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ.

Di akhirat nanti, tidak ada alasan lagi yang boleh diberikan. Waktu itu terpaksa menerima kenyataan. Semasa di dunia dulu tidak mengaku, masih boleh melarikan diri daripada tanggungjawab, buat tidak tahu sahaja, tetapi tidak lagi boleh dilakukan apabila di hari Akhirat nanti.

Ujiannya adalah sama ada kita terima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan semasa di dunia lagi. Alangkah ruginya kalau kita hanya mengaku apabila di akhirat kelak. Maka, terimalah kenyataan bahawa hari Kiamat itu benar dan kita hendaklah bersedia untuk menghadapinya.

قَالَ فَذُوقُوا الْعَذَابَ

Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka

Walaupun mereka sudah mengaku, tetapi mereka tidak lepas daripada azab. Kalaupun mengaku pada waktu itu, ia sudah tidak berguna lagi. Maka kalau mengaku, hendaklah semasa di dunia lagi. Oleh kerana kamu tidak mengaku dahulu, maka kamu kena rasa azab itu di akhirat.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan فَذُوقُوا yang bermaksud ‘rasailah kamu semua’. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘rasa’. Kalau kita rasa makanan contohnya, bukankah kita akan dapat kepastian? Kalau makanan itu setakat cium bau sahaja, kita tidak pasti makanan itu sedap atau tidak. Tetapi kalau sudah ‘rasa’, memang kita pasti sungguh. Kalau lihat sahaja pun belum tentu pasti.

Dahulu mereka hendak rasa sangat kesedapan hidup dunia. Sekarang rasalah kesakitan dalam neraka.

بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

dengan sebab kamu telah kufur ingkar

Mereka dimasukkan ke neraka kerana kesalahan mereka juga, bukannya kerana Allah ‎ﷻ zalim. Mereka yang ingkar untuk mengikut ajaran tauhid. Mereka kufur untuk beriman kepada hari Akhirat. Oleh kerana dahulunya mereka menolak akhirat, dan kerana itu mereka tidak menerima kebenaran, maka balasannya adalah azab.

Tafsir Ayat Ke-31

Takhwif Ukhrawi.

قَد خَسِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِلِقاءِ اللهِ ۖ حَتّىٰ إِذا جاءَتهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً قالوا يٰحَسرَتَنا عَلىٰ ما فَرَّطنا فيها وَهُم يَحمِلونَ أَوزارَهُم عَلىٰ ظُهورِهِم ۚ أَلا ساءَ ما يَزِرونَ

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!” Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ كَذَّبُوا

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan

Rugi yang teramat-amat rugi. Tidak ada lagi kerugian yang lebih besar daripada ini. Maka kita kena perhatikan perkara ini. Kena jaga apa yang kita buat di dunia supaya jangan kita termasuk orang-orang yang disebut dalam ayat ini.

بِلِقَاءِ اللهِ

pertemuan mengadap Allah

Mereka tidak percaya yang mereka akan bertemu mengadap Allah ‎ﷻ di mana segala amal mereka akan ditimbang dan mereka akan ditanya tentang apakah yang mereka lakukan semasa mereka di dunia dahulu.

Oleh kerana mereka tidak menerimanya, mereka tidak bersedia untuk menghadapinya. Maka mereka telah melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita memikirkan yang kita akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ? Kita sebagai orang beriman, tentunya percaya bahawa akan ada hari Kiamat dan semua akan dihadapkan ke hadapan Allah ‎ﷻ. Tetapi adakah kita sentiasa memikirkannya? Pernahkah kita mengharap untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ? Pernahkah kita terfikir apa akan terjadi pada waktu itu?

Amat rugi kalau kita tidak mengharap untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Padahal, kita selalu mengharap untuk masuk Syurga-Nya. Namun malangnya kita tidak teringat pula untuk minta untuk berjumpa dengan-Nya. Dengan orang lain kita hendak sangat jumpa. Contohnya, kalau ayah kita sudah mati, teringin sangat kita hendak jumpa ayah kita di akhirat kelak. Tetapi bagaimana dengan Allah ‎ﷻ? Adakah kita teringin untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ?

Hendaklah kita mengharap untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Berdoalah setiap hari agar kita dapat bertemu dengan-Nya. Ia merupakan satu nikmat Syurga yang paling besar sekali.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَتْهُمُ السَّاعَةُ

sehingga apabila hari kiamat datang kepada mereka,

Mereka tidak terima dan hidup dalam dusta sehingga saat itu tiba. Ia pasti akan datang. Sama ada mereka bersedia atau tidak, ia pasti akan datang juga.

بَغْتَةً

secara tiba-tiba

Malangnya ia datang tanpa tanda apa pun. Tiba-tiba sahaja ia menjelma tanpa amaran. Ketika itu manusia sedang sibuk dengan hal dunia, sedang buat kerja seperti biasa, makan dan sebagainya. Sebagaimana hari-hari biasa sahaja. Namun ia tiba-tiba datang.

Kiamat pasti akan datang dan ia ada dua jenis: Kiamat besar dan Kiamat Kecil. Kiamat Besar adalah Hari Kiamat apabila segala alam ini akan dihancurkan. Kiamat kecil pula adalah kematian.

Semua orang pasti akan melalui kedua-dua kiamat ini. Kiamat Kecil ini pun akan datang dengan tiba-tiba. Sedang kita sibuk dengan hal dunia, tiba-tiba malaikat maut muncul. Alangkah terkejutnya nanti mereka yang tidak memikirkan untuk bertemu Tuhan dan mereka mati tiba-tiba dan apa yang mereka dustakan akan jelas kepada mereka.

Orang beriman pun tidak tahu bilakah dia akan mati. Tetapi orang yang beriman akan sentiasa bersedia untuk mati. Oleh itu, apabila kematian datang, dia tidak terkejut sangat. Tetapi kepada mereka yang tidak memikirkan pun tentang mati, sedang leka dengan hidup, maka mereka menjadi sangat terkejut dan kepada merekalah mati itu akan datang secara tiba-tiba.

Ayat ini mengajar kita untuk sentiasa bersedia untuk mati. Tanya diri kita setiap hari: “Adakah aku bersedia untuk mati?” “Adakah Allah akan murka atau tidak kepadaku?”

Apabila kita bersedia untuk mati, kita bukan hanya memikirkan tempat tujuan kita di alam akhirat sahaja, tetapi kita juga kena memikirkan apa yang kita tinggalkan – iaitu dunia. Maka ini mengingatkan yang kita kena menyelesaikan hal-hal dunia yang mempunyai kesan kepada kita di akhirat. Sebagai contoh, kita kena memikirkan adakah terdapat barang kepunyaan orang lain dengan kita lagi? Kalau ada, kena pulangkan.

Jika ada hutang, maka kena bayar. Sekurang-kurangnya kita beritahu waris kita untuk memulangkannya apabila kita sudah tiada lagi. Jika kita ada membuat salah dengan orang, kita kena minta maaf dengan segera (jangan tangguh) kerana bukankah mati itu datang secara tiba-tiba? Ini adalah antara perkara yang kita kena lakukan dalam persediaan untuk menghadapi mati.

Jangan tunggu esok, minggu depan tahun hadapan baru hendak membuat perkara-perkara itu. Jangan lengahkan masa untuk mengubah diri kita dan yang paling penting, jangan tangguh untuk belajar tafsir. Ramai yang kononnya hendak belajar apabila sudah senang sedikit, ada masa luang dan berbagai-bagai lagi alasan lain. Jangan tangguh. Jangan sesekali tangguh untuk membuat amalan yang baik.

قَالُوا يٰحَسْرَتَنَا

mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami

Kenapa jangan tangguh? Lihatlah kata-kata laungan penyesalan. Mana tidak? Mereka tidak bersedia langsung untuk mati dan mereka mati dengan tiba-tiba. Tentulah mereka menyesal.

عَلَىٰ مَا فَرَّطْنَا فِيهَا

atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!”

Banyak perkara agama yang manusia sekarang cuai, mungkin termasuk kita sekali. Antaranya, cuai untuk belajar agama, cuai untuk belajar tafsir Al-Qur’an, cuai untuk beramal dan berbagailah lagi. Benda yang kita patut buat, kita tidak buat-buat lagi. Maknanya kita ini tidak bersedia untuk menghadapi kematian. Sebaliknya kita sentiasa sibuk dengan benda yang tidak penting.

Kenapa penting belajar agama terutama sekali tafsir Al-Qur’an? Kerana apabila tidak belajar, seorang manusia itu akan membuat syirik tanpa sedar. Ini kerana dia tidak tahu yang apa yang sedang dilakukannya itu adalah syirik. Dan apabila membuat syirik, semua amalan tidak diterima.

Begitulah juga, apabila tidak tahu diri sendiri berbuat perkara syirik, tentulah dia tidak pernah meminta ampun di atas dosa syiriknya itu. Sedangkan dosa syirik kita kena minta ampun sendiri – tidak boleh mengharapkan orang lain mintakan bagi pihak kita.

Bila tidak belajar agama berlandaskan wahyu, selalunya umat Islam kita akan membuat amalan bid’ah. Mereka buat amalan yang bukan dripada ajaran Nabi ﷺ. Tetapi dalam syahadah, mereka mengaku Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul. Namun begitu, amalan mereka bukan mengikut ajaran baginda. Jadi maksudnya mereka tidak faham apakah maksud syahadah itu. Mereka tidak tahu kenapa mereka sebut ‘asyhadu anna Muhammadur Rasulullah’.

Apabila ditanya, kenapa mereka sebut syahadah itu, mereka akan jawab: “Kerana Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah lah.”

Ingatlah yang walaupun kita tidak sebut, Nabi Muhammad ﷺ tetap Rasulullah. Jadi tidak ada kesan kepada kedudukan baginda kalau kita sebut atau tidak. Tetapi kenapa kita sebut dan selalu kita diingatkan tentang hal ini? Jawapannya, kerana itu adalah pernyataan daripada kita bahawa kita ‘akan ikut’ ajaran Nabi Muhammad ﷺ; Kita akan hanya mengamalkan amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ sahaja. Kita akan mengamalkan agama Islam ini sebagaimana yang baginda bawa dan baginda ajar. Itulah sebabnya kita mengucap dua kalimah syahadah itu.

Jangan kita sangka ayat ini tentang orang kafir sahaja. Itu adalah salah tafsir daripada guru agama yang mengajar. Mereka hanya beritahu yang ayat ini menceritakan kesalahan orang kafir yang tidak beriman sahaja. Maka, apabila begitu, kita berasa sudah berada di kedudukan selesa, seolah-olah kita tidak ada salah pula. Jangan begitu. Hendaklah kita membandingkan sesuatu teguran Allah ‎ﷻ itu kalau-kalau ia terkena batang hidung kita sendiri.

وَهُمْ يَحْمِلُونَ أَوْزَارَهُمْ

Sambil mereka memikul beban mereka

Beban yang dimaksudkan adalah dosa-dosa mereka. Sebagai contoh, orang yang mencuri daripada orang lain akan membawa barang yang mereka curi itu. Apa sahaja perbuatan kita di dunia akan melekat dengan kita. Alangkah menakutkan!

Maka ini mengingatkan kita supaya jangan kita tambah dosa kita. Sebab ada yang kata: “Aku ni dah banyak dosa dah, sama sahaja kalau tambah lagi ….” Ingatlah yang dosa yang semakin bertambah akan menyusahkan kita lagi. Sedangkan dalam dunia pun kita tidak suka membawa beban, apatah lagi di akhirat kelak. Sebagai contoh, kalau kita hendak mengembara dan berada di lapangan terbang, tiba-tiba penerbangan ditangguhkan. Tentu kita berasa malas hendak membawa beg kita merata-rata, bukan?

Waktu itu kita akan resah dengan segala beg yang kita bawa. Kita kena bawa beg itu ke mana-mana. Rasa macam hendak tinggalkan sahaja, bukan? Walhal itu baru sekejap sahaja dan beg itu boleh diletakkan di dalam troli, bukan kena angkat pun dengan tangan. Bayangkan kalau yang kita kena bawa itu adalah dosa kita yang bertimbun-timbun. Dan dosa yang di akhirat ini kita tanggung di belakang kita!

Walau bagaimanapun, hal ini terbalik dengan pahala. Pahala kita menjelma juga di akhirat, tetapi ia menjadi tunggangan kita.

عَلَىٰ ظُهُورِهِمْ

di atas belakang mereka

Bukan bawa beban itu dalam beg, atas troli, tarik di belakang kita dan sebagainya,  tetapi di atas diri kita sendiri. Alangkah beratnya! Kita kena membawanya selama kita di dalam neraka. Jika kita adalah ahli neraka yang kekal di dalam neraka, kita kena tanggung beban dosa itu selama-lamanya!

Tambahan pula, semua boleh nampak apakah dosa yang kita lakukan dahulu, maka ia juga adalah sebagai sesuatu yang amat memalukan.

أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُونَ

Ketahuilah!, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Kita hendak bayangkan pun tidak boleh kerana ia adalah perkara ghaib. Jadi, kita kena terima kata-kata Allah‎ ﷻ ini bahawa ia adalah sesuatu yang amat buruk sekali.

Tafsir Ayat Ke-32

Ayat ini adalah jenis tarhib min ad-dunya (peringatan tentang dunia) Allah‎ ﷻ mahukan hamba-Nya beringat-ingat tentang dunia dan jangan tertipu dengannya. Ini kerana manusia selalunya terkandas kerana dunia sampaikan mereka yang bijak pandai pun boleh tertipu dengan dunia. Maka sekarang Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita hakikat dunia ini yang sebenarnya.

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَعِبٌ وَلَهوٌ ۖ وَلَلدّارُ الآخِرَةُ خَيرٌ لِّلَّذينَ يَتَّقونَ ۗ أَفَلا تَعقِلونَ

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَعِبٌ وَلَهوٌ

Dan tidaklah kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan

Kehidupan ‘dunia’ adalah kehidupan yang ‘rendah’. Kita telah lihat makna ‘dunya’ dalam ayat sebelum ini.

Apabila digunakan perkataan لَعِبٌ – permainan, ia memberi maksud sesuatu yang melibatkan fizikal. Seperti kita bermain bola, bukankah kita akan berlari ke sana sini? Itu melibatkan fizikal. Oleh itu, bila dikatakan لَعِبٌ, bermaksud kita akan sibuk ke sana dan ke sini. Dari pagi sampai malam tidak habis-habis dengan urusan dunia. Pergi ke sana sini, melancong sana sini, kerja sana sini, berkumpul bersembang sana sini. Sampai bila kita buat begitu? Sampailah hidup kita berakhir.

Yang paling teruk adalah mereka yang mempermainkan agama. Sekarang sampai ada rancangan agama yang melibatkan orang menyanyi di dalamnya. Sama ada di TV atau di stadium-stadium. Mereka sampai bertepuk tangan, melambai-lambai, berjoget-joget dan terkinja-kinja.

Itulah rancangan selawat sesat yang dibawa oleh para Habib. Masyarakat kita yang jahil terpesona dengan mereka. Tidak cukup dengan guru ajaran salah dalam negara sahaja, sekarang kita import pula dari Yaman dan dari negara jiran. Kalau buat benda yang betul tidak mengapa, tetapi masalahnya mereka mengajar yang sesat.

Perkataan لَهْوٌ pula merujuk kepada ‘sesuatu yang melalaikan kita’. Kita leka dengan sesuatu kerana ia menggembirakan kita. Hati yang telah terikat kepada sesuatu yang tidak berfaedah. Jika لَعِبٌ melibatkan gangguan pada fizikal, لَهْوٌ pula melibatkan gangguan emosi dan pemikiran.

Jadi, orang yang lalai adalah mereka yang fizikal dan hati telah terikat dengan sesuatu yang melalaikan, iaitu sesuatu perkara yang membuang masa. Semasa dia membuat perkara itu, dia suka tetapi akhirnya ia akan berakhir. Seperti juga kehidupan dunia ini – akan berakhir. Contohnya jika kita bermain permainan PlayStation, begitu asyik dan menyeronokkan sahaja yang dirasa. Tetapi selepas beberapa jam, permainan itu akan berakhir. Dan kita tidak mendapat apa-apa faedah pun daripadanya. Maka kemudian diulang kembali permainan itu tidak sudah-sudah dengan harapan keseronokan yang dirasakan itu juga akan terus dirasai.

Ingatlah dunia ini sekejap sahaja sebenarnya tetapi ia amat melekakan. Seperti juga orang kita suka menonton perlawanan bola sepak semasa Piala Dunia. Semasa perlawanan itu, mereka leka dan suka sehingga sanggup mengorbankan waktu tidur pada malam hari. Namun akhirnya ia akan berakhir juga. Sekejap sahaja keseronokan. Namun apakah yang kita dapat? Apa kebaikan kepada negara, kepada keluarga kita, kepada diri kita? Tidak ada langsung. Oleh itu, janganlah kita terikat sangat dengan dunia kerana ia tidak kekal.

Ramai dalam kalangan kita yang suka kepada nasyid dan qasidah. Mereka sangka ia baik tetapi yang mereka jadikan sebagai hiburan ‘islamik’ bukannya sesuatu yang benar. Menunjuk-nunjuk sahaja. Tidak benar pun apa yang mereka nyanyikan itu. Ini termasuklah sama ada nyanyian bintang komersil yang popular ataupun nyanyian lagu nasyid dan qasidah yang sekarang semakin popular. Ingatlah bahawa nyanyian adalah sesuatu yang haram.

Dalam Surah Syu’ara, Allah ‎ﷻ telah menghukum yang nyanyian itu adalah haram. Dengan sekarang ada qasidah ya hanana dan sebagainya, apakah mereka sangka itu adalah benar? Mereka kata ia adalah satu metode untuk berdakwah. Tetapi cuba tanya mereka semula, adakah Nabi ﷺ ada buat cara dakwah sebegitu? Ingatlah, bahawa perkara yang salah tidak boleh digunakan untuk dakwah.

Berhentilah kita mengikut cara Kristian. Paderi Kristian telah reka nyanyian dalam gereja mereka untuk menarik minat umat Kristian yang semakin kurang datang ke gereja. Kalau kita sampai bawa masuk nasyid dan qasidah ke dalam masjid kita, itu memang sudah tiru bulat-bulat dengan cara Kristian. Kita pun tahu yang Kristian itu kafir dan sesat, habis kenapa hendak diikut cara mereka?

Jangan juga kita jadikan senda gurau dalam majlis agama kita. Malangnya, sekarang sudah terlalu ramai ustaz yang mengajar sambil memasukkan senda gurau dalam pengajaran mereka. Sama ada di masjid, stadium mahupun TV. Sampai mengilai-ngilai pendengar tertawa dengan lawak mereka.

Bila balik ke rumah, tidak tahu apa yang mereka belajar. Yang mereka ingat hanyalah lawak-lawak yang diceritakan dalam ceramah itu. Jangan begitu, kerana ajaran agama ini adalah berkenaan syurga dan neraka. Maknanya, ia adalah benda yang berat. Bukan perkara yang diambil ringan.

وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ

dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik

Sekarang Allah ‎ﷻ membandingkan dunia dan akhirat. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang sebegini – selepas disebut tentang dunia, Allah ‎ﷻ akan sebut tentang akhirat pula agar kita boleh bandingkan. Setiap muka surat dalam Al-Qur’an akan ada yang sentuh tentang akhirat kerana ia adalah perkara yang amat penting dan perlu diberi peringatan.

Ingatlah yang dunia ini tidak kekal. Yang kekal adalah akhirat. Negeri Akhirat itu خَيْرٌ lebih baik – tetapi lebih baik kepada siapa?

لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ

bagi orang-orang yang bertaqwa.

Akhirat itu hanya خَيْرٌ kepada mereka yang bertaqwa sahaja. Bukan semua akan mendapat kebaikan di akhirat itu. Semoga kita termasuk golongan yang mendapat kebaikan ini, aameen.

Taqwa adalah berhati-hati dalam menjalani kehidupan. Orang bertaqwa akan memikirkan hukum dalam segenap kehidupannya. Sebelum membuat sesuatu, mereka akan fikirkan halal-haramnya. Kalau dilarang dalam agama, mereka tidak melakukannya.

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Kenapa kamu tidak mahu berfikir dan menggunakan intelek kamu? Lihatlah dunia ini dan fikirkan, adakah terdapat kebaikan jika kita meletakkan segala harapan dan masa kita kepada dunia yang tidak kekal ini? Adakah kamu sanggup tertipu dengan keindahan dunia yang rendah dan tidak kekal? Kena timbang-timbangkan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan