Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-6

Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-6

164
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-3

وَهُوَ اللهُ فِي السَّمٰوٰتِ وَفِي الأَرضِ ۖ يَعلَمُ سِرَّكُم وَجَهرَكُم وَيَعلَمُ ما تَكسِبونَ

Dan Dia lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Dia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

وَهُوَ اللهُ فِي السَّمٰوٰتِ

Dan Dia lah Allah di langit

Allah ‎ﷻlah Tuhan yang disembah di langit, iaitu disembah oleh para malaikat. Maknanya Allah‎ ﷻ yang mengurus langit.

Dan Allah‎ ﷻ juga yang mengurus bumi. Allah‎ ﷻ tidak memberikan pengurusan alam ini kepada makhluk. Tidaklah Allah‎ ﷻ memberikan tugas mengurus alam kepada Nabi yang sudah wafat, wali yang sudah wafat atau sesiapa sahaja. Allah ‎ﷻ sendiri yang menguruskan alam ini dengan sendirinya.

وَفِي الْأَرْضِ

dan di bumi

Dan Allah ‎ﷻ juga Tuhan yang disembah di bumi. Disembah oleh manusia, jin, binatang malah semua makhluk termasuk alam yang kita sangka tidak bernyawa ini. Dalam ayat lain ada disebut bahawa alam ini semuanya bertasbih kepada Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak nampak.

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut yang Dia adalah Tuhan di langit dan di bumi? Ini disebut kerana ada yang kata Tuhan itu duduknya di langit dan tidak hiraukan keadaan kita di dunia ini. Kita kena ingat bahawa Musyrikin Mekah percaya bahawa Allah‎ ﷻ itu memang yang menjadikan alam ini.

Tetapi mereka kata selepas Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini, Allah ‎ﷻ telah menyerahkan urusan seharian alam ini kepada ‘tuhan-tuhan mini’ yang lain. Ada ilah yang menjaga waktu, ada yang menjaga air, ada yang menjaga angin dan sebagainya.

Begitu juga dalam dunia sekarang, ada agama yang percaya kepada ‘Tuhan yang satu’ yang menjadikan segala-galanya tetapi selepas dijadikan alam ini, Dia berehat di langit.

Begitu juga, ada fahaman sesat dalam Islam yang dinamakan ‘Qadariah’ yang mengatakan selepas Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini, Allah ‎ﷻ menyerahkan segala urusan dunia kepada manusia untuk uruskan. Mereka kata kita sendiri yang menentukan untung nasib diri kita 100% tanpa campur tangan Allah ‎ﷻ.

Mereka kata Allah ‎ﷻ sudah tidak peduli dengan apa yang terjadi. Semuanya adalah atas usaha manusia sendiri. Ini juga adalah satu akidah sesat. Jadi Allah ‎ﷻ kata dalam ayat ini yang Dia ambil tahu keadaan makhluk-Nya di dunia ini. Allah ‎ﷻ sentiasa mengurus makhluk-Nya di langit dan di bumi kerana itulah kita sentiasa kena berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya memberi kebaikan kepada kita dalam urusan hidup kita.

Ada orang yang bodoh dan jahil mengatakan Allah ‎ﷻ berada di langit dan di bumi. Dan mereka kata Allah ‎ﷻ berada di mana-mana. Mereka menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka.

Itu adalah kata-kata yang amat merbahaya dan salah sama sekali. Kalau kita terima Allah ‎ﷻ berada di mana-mana, maka kita bolehlah kata Allah‎ ﷻ ada dalam rumah kita, dalam almari kita, dalam poket kita, dalam tandas dan pelbagai tempat lagi. Itu adalah kata-kata yang amat merendahkan kedudukan Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin Allah ‎ﷻ begitu.

Yang sebenarnya, ‘ilmu’ Allah ‎ﷻ meliputi langit dan bumi. Allah ‎ﷻ tahu apa yang berlaku di langit dan di bumi malah di mana-mana sahaja. Maka di mana Allah ‎ﷻ? Allah berada di Arasy-Nya. Namun begitu ilmu-Nya meliputi semua tempat. Allah‎ ﷻ tidak perlu berada di bumi untuk mengetahui apa yang terjadi di bumi.

يَعْلَمُ سِرَّكُمْ

Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan

Ada rahsia yang manusia simpan dalam dirinya. Dia tidak berkongsi dengan sesiapa pun dan disimpan dalam dirinya sahaja, yang tahu hanya dia dan Allah ‎ﷻ sahaja. Ada pula jenis rahsia yang seseorang itu menceritakan kepada orang tertentu sahaja. Allah‎ ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia tahu semua rahsia, tidak kira jenis rahsia sama ada yang tidak dikongsi dengan sesiapa dan rahsia yang dikongsi dengan orang tertentu sahaja.

Ini adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ Maha Mendengar walaupun perkara yang kita rahsiakan daripada orang lain. Mungkin ada perkara yang kita boleh sembunyikan daripada makhluk. Ada perbualan yang kita bisik-bisik dengan kawan kita yang orang lain tidak tahu. Tetapi ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ mendengar segalanya, walaupun perbualan yang kita bisikkan, sembunyikan. Malah Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita bisikkan dalam hati kita.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang ada kuasa ini. Namun, amat menyedihkan terdapat kesyirikan yang manusia lakukan tentang perkara ini. Seperti yang kita telah sebut, Allah ‎ﷻ maha tahu. Tetapi ada dalam kalangan kita yang takut hendak bercakap yang tidak elok tentang seseorang kerana mereka rasa kalau jika kutuk orang itu, dia boleh dengar apa yang kita cakapkan itu.

Ini sebenarnya telah mengambil salah satu sifat Allah; iaitu hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang maha mendengar. Akan tetapi ada manusia yang berfahaman syirik yang meletakkan sifat itu ada pada makhluk juga. Ini adalah satu kesyirikan kerana telah menyamakan Allah ‎ﷻ dengan makhluk.

وَجَهْرَكُمْ

dan apa yang kamu lahirkan,

Allah‎ ﷻ tahu apa yang kita cakap dengan kuat dan jelas. Yang kita cakap kepada orang lain, termasuklah SMS yang kita hantar, Whatsapp dan apa yang kita post dalam Facebook, dalam Twitter dan dalam blog malah semuanya. Semuanya Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ ambil kira.

Oleh itu kita kena sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang memerhati kita. Jika kita dapat sedar hal ini, tentu kita takut untuk membuat perkara yang salah. Jika ayah kita depan kita pun kita sudah jaga perbuatan kita, bukan? Apatah lagi kalau kita boleh sedar bahawa Allah ‎ﷻ sendiri sedang memerhatikan kita.

وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ

dan Dia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

Allah ‎ﷻ tahu apa usaha kita dan apa hasil yang kita dapat daripada usaha itu. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ tahu berapa gaji kita yang kadang-kadang kita rahsiakan daripada orang lain.

Allah ‎ﷻ tahu apakah perbuatan kita sama ada kita buat sendiri-sendiri atau buat beramai-ramai.

Allah ‎ﷻ juga tahu perkara ghaib iaitu apakah amal ibadat kita dan pahala yang kita dapat daripada amal kita itu.

Jadi Allah ‎ﷻ tahu apakah usaha kita dalam dunia atau untuk akhirat sama ada perkara yang baik atau perkara yang buruk.

Allah ‎ﷻ juga tahu perasaan kita, apa yang kita rasa. Begitu juga Allah ‎ﷻ tahu apakah ilmu dan pengetahuan kita. Semua itu termasuk dalam apa yang dapat daripada hasil perbuatan kita.

Daripada ayat ini, kita tahu yang Allah ‎ﷻ bukan sahaja telah menjadikan kita dan alam ini, tetapi selepas itu Dia memerhati apa yang kita lakukan. Dalam segenap perbuatan dan percakapan kita dan apa yang terjadi kepada kita, Allah ‎ﷻ tahu niat kita. Allah‎ ﷻ tahu sama ada apa yang kita buat itu ikhlas atau tidak.

Tafsir Ayat Ke-4

Ayat Zajrun (teguran).

وَما تَأتيهِم مِّن ءآيَةٍ مِّن ءآيٰتِ رَبِّهِم إِلّا كانوا عَنها مُعرِضينَ

Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

وَمَا تَأْتِيهِم

Dan tidak ada yang sampai kepada mereka

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah. Bukan mereka sahaja, tetapi mereka yang sefahaman dengan mereka. Jangan sangka mereka sahaja, kerana entah-entah kita pun ada akidah seperti mereka juga.

مِّنْ ءآيَةٍ

daripada sesuatu tanda pun

Salah satu tanda yang ditunjukkan kepada mereka adalah ‘mukjizat’. Mereka telah ditunjukkan dengan berbagai-bagai mukjizat daripada Nabi. Sampaikan pernah dibelah bulan di hadapan mata mereka. Al-Qur’an itu sendiri merupakan sebuah mukjizat kerana sifat mukjizat itu bermaksud ‘mengalahkan’, dan kehebatan bahasa Al-Qur’an telah mengalahkan kemahiran bahasa Arab mereka.

Oleh itu kalimah ‘ayat’ bermaksud ‘tanda’. Jadi banyak tanda-tanda dalam alam ini yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dalam ayat ke-2, Allah‎ ﷻ telah sebutkan tentang ‘langit’ dan ‘bumi’. Itu adalah dua daripada tanda-tanda yang besar. Ia menjadi tanda kepada kewujudan Allah ‎ﷻ, juga menjadi tanda bagi kehebatan Allah ‎ﷻ.

Kalau kita buka mata hati kita, kita pun akan nampak banyak tanda-tanda untuk meningkatkan keimanan kita. Antaranya, ada kalanya kita minta doa kepada Allah ‎ﷻ dengan sepenuh hati kita dan Allah ‎ﷻ makbulkan doa itu. Alangkah sukanya hati kita pada waktu itu. Maka sedarlah kita pada waktu itu yang memang ada Allah ‎ﷻ yang mendengar doa kita.

‘Ayat’ dalam ayat ini juga merujuk kepada ayat-ayat syar’i iaitu ayat-ayat Al-Qur’an. Dan ini yang selalu kita faham, bukan? Cuma jangan terhadkan kepada ayat-ayat Al-Qur’an sahaja, kerana ayat itu ada banyak lagi.

مِّنْ ءآيٰتِ رَبِّهِمْ

daripada pelbagai keterangan-keterangan Tuhan mereka,

Semua itu adalah tanda-tanda daripada Allah ‎ﷻ kepada kita semua untuk untuk menunjukkan kepada kita tentang kewujudan-Nya. Maka ia sepatutnya menambahkan keimanan kita. Akan tetapi ini bagi mereka yang membuka mata hatinya sahaja; itu mereka melihat alam ini dan berfikir dengan mendalam. Tidaklah dia lihat dengan kosong sahaja.

إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ

melainkan mereka berkenaannya selalu buat tidak endah

Bermaksud mereka enggan menerimanya. Mereka nampak alam ini, tetapi mereka tidak nampak ‘tangan’ Allah‎ ﷻ di belakangnya.

Oleh kerana itu, mereka tidak menghiraukan tanda-tanda itu. Perkataan مُعْرِضِينَ itu diambil daripada kata dasar ع ر ض yang asalnya bermaksud ‘mempersembahkan’. Perkataan مُعْرِضِينَ itu seperti mereka dalam proses hendak mempersembahkan sesuatu, tetapi kemudian mereka buat tidak tahu. Maknanya, mereka tahu kebenaran itu tetapi mereka buat tidak tahu dengan sengaja.

Mereka berpaling daripada ayat-ayat itu dengan hati dan perbuatan mereka. Mereka nampak yang ia adalah kebenaran tetapi mereka pilih untuk tidak menerima dan mengikutinya.

Musyrikin Mekah telah banyak minta ditunjukkan mukjizat dan ada yang telah ditunjukkan kepada mereka. Namun mereka masih juga menolak kebenaran selepas itu kerana hati mereka memang tidak mahu beriman. Ada sahaja alasan mereka untuk menolak kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Ini adalah kerana mereka sayang sangat kepada dunia.

Seperti orang kita juga. Kalau menonton wayang dua jam tidak apa tetapi kalau hendak belajar tafsir, ajaklah bagaimana sekalipun tetap tidak mahu datang. Walaupun mereka tahu yang Al-Qur’an itu adalah pegangan hidup kita sebagai orang Islam dan mereka tahu yang mereka tidak faham Al-Qur’an.

Mereka juga tahu yang ia adalah penting untuk mengetahui apa yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan. Tetapi mereka masih tidak mahu belajar apabila diajak. Mereka tidak ada usaha pun untuk memahami ayat Al-Qur’an. Mereka lebih pentingkan hal lain yang berkait dengan keduniaan. Hal-hal agama mereka buat lebih kurang sahaja.

Ayat ini memberitahu kepada kita juga kewajipan untuk melihat tanda-tanda Allah ‎ﷻ dalam alam ini dan juga ayat-ayat Al-Qur’an. Kena tadabbur (melihat yang tersirat) dalam ayat-ayat Al-Qur’an baru dapat faham. Perkara ini kena belajar kerana kalau baca-baca sendiri tidak akan faham.

Tafsir Ayat Ke-5

فَقَد كَذَّبوا بِالحَقِّ لَمّا جاءَهُم ۖ فَسَوفَ يَأتيهِم أَنباءُ ما كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Qur’an) ketika ia sampai kepada mereka. Oleh itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa yang mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana).

فَقَدْ كَذَّبُوا بِالْحَقِّ

Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran

Kalimah الْحَقِّ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah apa-apa sahaja kebenaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ, sama ada ia adalah Al-Qur’an, kata-katanya (hadith) dan ajarannya.

Kebenaran yang paling utama adalah: Allah ‎ﷻ sahaja Tuhan kita yang boleh disembah dan diminta doa. Tetapi orang-orang yang tidak mahu beriman, tidak mahu menerima kebenaran ini. Termasuklah golongan Musyrikin Mekah (dan mereka yang seakidah dengan mereka).

لَمَّا جَاءَهُمْ

ketika ia sampai kepada mereka

Telah disampaikan ajaran tauhid kepada mereka, tetapi mereka masih tidak beriman. Ini mengajar kita bahawa amat teruk kalau seseorang sudah tahu kebenaran, tetapi masih menolaknya. Itu lebih teruk daripada mereka yang tidak tahu dari awal atau tidak diberitahu kepada mereka. Kalau tidak tahu pun salah juga tetapi tidak seteruk berbanding dengan yang sudah tahu.

Ini memberi ancaman kepada kita yang telah belajar atau yang telah diberitahu tentang tauhid tetapi masih lagi tidak berubah, maka bersedialah untuk menerima azab Allah ‎ﷻ yang amat berat.

Amat menyedihkan masih ramai yang tidak menerima tauhid ini apabila disampaikan kepada mereka. Antaranya masih ada manusia yang sembah raja, pesilat sembah guru silat mereka, pengamal keris cium keris dan pelbagai lagi perkara syirik yang mereka lakukan.

Ada yang campur zikir kepada Allah ‎ﷻ dengan makhluk lain. Contohnya, selepas mereka baca ‘la ilaaha illah’, mereka sambung dengan ‘Muhammadur Rasulullah’ dan mereka mengulang-ulang kata-kata itu sebagai zikir. Antara yang ramai buat sebegini ini adalah ibu-ibu yang mendodoi anak-anak mereka. Sepatutnya cukuplah mereka zikir ‘la ilaaha illah’ sahaja. Ini lebih selamat. Bukan tidak boleh sebut ‘Muhammadur Rasulullah’ tetapi janganlah dijadikan sebagai zikir.

فَسَوْفَ يَأْتِيهِمْ

Oleh itu, akan datanglah kepada mereka

Mereka akan didatangi dengan hukuman untuk mereka. Inilah balasan untuk mereka nanti.

أَنبَاءُ

berita-berita besar

Iaitu berita-berita azab yang dikenakan dulu kepada kaum-kaum yang dahulu. Termasuk juga azab yang akan mereka terima di akhirat kelak. Ini semua diberikan kepada manusia sebagai peringatan dan ancaman. Kita kenalah ambil perhatian dengan perkara ini.

مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِءونَ

apa yang mereka selalu ejek-ejek itu

Mereka yang menentang kebenaran telah memperolok-olok hari Kiamat kerana mereka tidak percaya. Mereka tidak percaya kepada azab yang dijanjikan kepada mereka. Mereka kata: “Kalau betul ada azab, berilah kepada kami sekarang”.

Sebagai contoh lagi, apabila dikatakan mereka akan diberi makan buah Zaqqum di akhirat kelak, ada golongan Musyrikin Mekah yang mengejek dengan kata mereka hendak makan buah Zaqqum untuk makanan tengahari. Begitulah mereka mengejek-ejek ajaran Nabi ﷺ.

Ayat ini memberi ingatan dan pujukan kepada penyebar tauhid bahawa mereka akan diejek. Memang dari dulu sampai sekarang, inilah dugaan bagi pendakwah. Jadi, kena bersedia untuk diejek. Antara yang mereka ejek adalah mereka akan kata kita ini ‘Wahabi’. Jadi ini adalah perkara biasa sahaja. Kalau kita tahu ia memang akan berlaku, maka tidaklah kita terkesan sangat kalau orang tuduh kita begitu, bukan?

Tafsir Ayat Ke-6

Takhwif Duniawi.

أَلَم يَرَوا كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّن قَرنٍ مَّكَّنّٰهُم فِي الأَرضِ ما لَم نُمَكِّن لَّكُم وَأَرسَلنَا السَّماءَ عَلَيهِم مِدرارًا وَجَعَلنَا الأَنهٰرَ تَجري مِن تَحتِهِم فَأَهلَكنٰهُم بِذُنوبِهِم وَأَنشَأنا مِن بَعدِهِم قَرنًا ءآخَرينَ

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

أَلَمْ يَرَوْا

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan

‘Mereka’ yang dimaksudkan itu adalah Musyrikin Mekah. Kepada merekalah ayat-ayat ditujukan buat pertama kali. Mereka mendengar sendiri ayat itu daripada mulut Nabi ﷺ. Kemudian ayat ini ditujukan pula kepada mereka yang masih juga mahu melakukan syirik, tidak kira di zaman mana.

Kalimah يروا bermaksud ‘melihat’ akan tetapi yang dimaksudkan adalah ‘memikirkan’. Allah ‎ﷻ menegur golongan Musyrikin Mekah dan para penentang di dalam ayat ini. Tidakkah mereka mahu memikirkan? Mereka tidak terfikirkah? Tidakkah mereka tahu? Tidakkah mereka mahu ambil tahu?

كَمْ أَهْلَكْنَا

berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan

Umat zaman dahulu yang buat syirik telah Allah ‎ﷻ binasakan. Musyrikin Mekah itu pun tahu kisah-kisah tentang kesalahan dan kemusnahan yang telah dikenakan kepada umat-umat sebelum itu. Mereka sendiri ada yang melalui kawasan peninggalan terdahulu seperti Kaum Aad dan Tsamud. Dan mereka sendiri tahu tentang banjir besar yang melanda semasa zaman Nabi Nuh عليه السلام dulu. Kenapa mereka tidak mahu mengambil pengajaran?

Kita pun kena ambil pengajaran daripada apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu itu. Kena tahu apakah kesalahan yang mereka telah lakukan supaya kita tidak menjadi seperti mereka.

مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍ

sebelum mereka dari kurun-kurun dahulu,

Perkataan قَرْنٍ berasal daripada kata dasar ق ر ن dan boleh menjadi banyak maksud. Salah satunya ‘menghubungkan’. Perkataan Al-Qur’an juga berasal daripada kata dasar ini juga kerana Kitab Qur’an menghubungkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Begitu juga Haji ‘Qiran’ adalah salah satu daripada jenis Haji yang boleh dilakukan oleh jama’ah Haji. Ia adalah apabila melakukan haji dan umrah digabungkan sekali buat pada satu masa.

Katadasar ق ر ن boleh juga digunakan untuk merujuk kepada tanduk dan kerana itulah antara maksud Dzul Qarnain adalah ‘seorang yang mempunyai dua tanduk’. Dan ق ر ن juga bermaksud ‘masa’ – yang selalu kita gunakan dalam bahasa kita sebagai ‘kurun’. Boleh juga digunakan sebagai maksud ‘generasi’ iaitu golongan yang hidup pada jangka masa yang lama, antara 10 hingga 100 tahun.

Dalam ayat ini, قَرْنٍ bermaksud ‘generasi’ iaitu Allah ‎ﷻ mengatakan berapa banyak generasi-generasi terdahulu yang telah dihancurkan oleh-Nya. Sudah sangat banyak yang telah dimusnahkan.

مَّكَّنّٰهُمْ فِي الْأَرْضِ

Yang telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi

Allah ‎ﷻ pernah beri kedudukan mereka kuat di dunia. Ada tamadun mereka yang kita kenal sampai sekarang. Masih ada lagi peninggalan mereka yang kita boleh lihat dan buat kajian. Mereka ada kekuasaan dan kemewahan. Kekuatan tentera mereka juga hebat. Tempat tinggal mereka mewah dan hebat-hebat.

Dan mereka telah membina peninggalan yang masih ada sehingga sekarang. Contohnya Piramid. Lhat juga Peninggalan Petra yang bangsanya memahat bukit menjadi rumah serta ramai lagi umat lain yang hebat-hebat, jka hendak disenaraikan memang rami.

مَا لَمْ نُمَكِّن لَّكُمْ

yang tidak Kami berikan kepada kamu

Orang Mekah tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan mereka yang lebih hebat itu. Orang Arab cuma duduk dalam khemah atau dalam rumah yang dibuat daripada tanah liat sahaja. Rumah pun kecil-kecil sahaja. Kehidupan mereka biasa sahaja kerana mereka duduk pun di padang pasir sahaja.

Bukan orang Mekah sahaja yang kurang daripada orang-orang terdahulu. Kita pun ada kekurangan daripada mereka. Jangan kita hendak berbangga sangat dengan apa yang kita ada zaman sekarang. Bayangkan ‘7 benda keajaiban Dunia’ yang kita selalu baca itu. Kalau kita hendak buat sekarang pun tidak boleh. Kita pun tidak pasti apakah teknologi yang mereka gunakan. Sebagai contoh, setelah beribu tahun, piramid itu masih utuh dan tegak berdiri.

Allah ‎ﷻ perli Musyrikin Mekah yang sombong itu. Kenapa hendak sombong sangat? Bukan mereka ada apa pun. Selalunya yang sombong itu adalah mereka yang hebat dan mewah tetapi mereka bukanlah sebegitu pun.

وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًا

dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya,

Bangsa-bangsa sebelum orang Mekah tanahnya subur kerana diturunkan hujan dengan banyak. Kalimah مِّدْرَارًا bermaksud ‘tidak berhenti’. Iaitu ‘banyak’ yang baik kerana kadang-kadang air hujan jika terlalu banyak sangat tidak sesuai untuk kita. Boleh menjadi banjir pula dan menyusahkan sampai hendak buat kerja pun tidak boleh. Maka, مِّدْرَارًا bermaksud setiap kali mereka memerlukan air, ia akan diberikan kepada mereka.

Apabila hujan turun dengan banyak, tanah mereka subur dan tanaman mereka banyak. Suasana kehidupan pun bagus, tidaklah kering kontang. Suasana pun menghijau yang indah pada pandangan mata.

Namun bandingkan dengan orang Arab yang duduk di padang pasir sahaja. Keadaan panas sepanjang tahun dan hujan jarang sekali turun. Oleh kerana itu makanan pun terhad. Maka tidak boleh dibandingkan langsung dengan orang-orang dahulu yang tamadun mereka lebih hebat daripada mereka.

وَجَعَلْنَا الْأَنْهٰرَ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمْ

dan Kami telah jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka,

Air amat penting untuk sesuatu tamadun. Lihatlah tamadun-tamadun dahulu yang selalunya mereka bermula berdekatan dengan tempat yang ada air. Ini kerana air adalah sumber kehidupan. Ia memudahkan untuk mencari sumber minuman dan menjadi metode perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Sampai sekarang pun begitu juga.

Bandingkan pula dengan orang Arab yang langsung tidak ada sungai. Maknanya, mereka ini dhaif sangat jika hendak dibandingkan dengan orang-orang dahulu.

فَأَهْلَكْنٰهُم بِذُنُوبِهِمْ

kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka

Walaupun mereka dahulu itu kuat tamadun mereka, tetapi Allah boleh musnahkan begitu sahaja. Dan senang sahaja Allah ‎ﷻ musnahkan, tidak menjadi masalah kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka dibinasakan bukan kerana kemewahan dan kemajuan yang mereka nikmati, tetapi kerana dosa syirik yang mereka lakukan dan kerana dosa menolak dakwah Nabi mereka.

Ia juga kerana dosa atas kesalahan berat mereka seperti Kaum Nabi Luth yang mengamalkan homoseksual. Akan tetapi Nauzubillah, ada kalangan masyarakat dunia kita termasuklah orang Islam kononnya yang mengamalkan homoseksual. Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjatuhkan azab kepada kita. Semoga Allah ‎ﷻ selamatkan kita. Maka golongan yang tidak normal seperti LGBT ini tidak boleh dibenarkan berleluasa. Ia adalah satu jenis penyakit yang perlu diubati, bukannya perlu ditoleransi dan diberikan tempat dalam masyarakat. Yang perlu dilakukan adalah mencari jalan bagaimana untuk sembuhkan mereka.

Daripada ayat ini kita tahu yang Allah ‎ﷻ boleh beri azab disebabkan oleh dosa besar. Maka kenalah kita ingat-ingat selalu. Kenalah kita ajak orang lain jangan membuat dosa, jangan buat syirik kerana kalau Allah‎ ﷻ turunkan azab, dengan kita-kita sekali kena.

Bayangkan kaum-kaum yang diberi azab itu, tentu ada antara mereka yang tidak ikut buat kesalahan itu, seperti kanak-kanak contohnya. Akan tetapi semua sekali diberikan azab itu.

Kemusnahan itu bukan sahaja dengan benda-benda yang kita boleh nampak. Kemusnahan juga boleh dalam bentuk perkara yang tidak nampak – sebagai contoh, Allah ‎ﷻ boleh tarik balik nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Allah ‎ﷻ boleh jadikan kehidupan kita tidak tenang, bercelaru sentiasa. Hidup menjadi susah dan sebagainya.

وَأَنشَأْنَا مِن بَعْدِهِمْ

dan Kami bangkitkan sesudah mereka,

Perkataan أَنشَأْ diambil daripada kata dasar ن ش أ yang bermaksud ‘membangkitkan dan kemudian kuatkan’. Maknanya, selepas dibangkitkan, mereka diberikan dengan segala keperluan supaya mereka kekal berdiri.

Allah‎ ﷻ boleh sahaja musnahkan seluruh kaum itu dan bangkitkan kaum yang lain. Tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ untuk melakukan perkara ini. Kalau Allah ‎ﷻ hendak musnahkan kita semua pada zaman sekarang pun boleh. Terpulang kepada Allah ‎ﷻ, kita tidak mampu membuat apa-apa. Tetapi kuasa Allah ‎ﷻ bukan setakat musnahkan sahaja, akan tetapi kuasa dan qudrat Allah ‎ﷻ boleh sahaja membangkitkan kaum lain di tempat kaum yang lama.

Demikian itulah kita takut kalau-kalau Allah ‎ﷻ memberikan azab kepada kita disebabkan oleh banyaknya perkara syirik yang dilakukan dalam kalangan kita. Kalau dilihatkan kepada kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat manusia sekarang, memang rasanya tunggu masa sahaja untuk azab diturunkan atau, memang azab telah turun kita sahaja tidak perasan?

قَرْنًا ءآخَرِينَ

umat yang lain

Umat yang mengganti masyarakat asal itu tinggal dan duduk di tempat peninggalan umat-umat dahulu. Seperti peninggalan Firaun dan kaumnya selepas mereka tenggelam dalam laut, telah diambil oleh kaum lain.

Seperti kita juga, entah-entah kita duduk di atas peninggalan kaum yang telah dihancurkan. Kita sendiri tidak tahu siapa yang tinggal di sini beribu tahun dahulu. Semasa mereka di puncak zaman kegemilangan, semua orang tahu dan kenal mereka, tetapi apabila telah dihancurkan, tidak ada pun yang sebut mereka lagi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan