Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am (Makkiah – Binatang Ternak): Pengenalan

Tafsir Surah Al-An’am (Makkiah – Binatang Ternak): Pengenalan

1701
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Pengenalan

Al-An’am bermaksud ‘binatang ternak’. Ia adalah jamak kepada na’am yang asalnya bermaksud ‘unta’. ‘Binatang ternak’ disebut dalam surah ini kerana Musyrikin Mekah ada kepercayaan syirik yang melibatkan binatang ternak. Ada binatang ternak yang mereka khususkan kepada penyembahan berhala mereka.

Surah al-An’am adalah Surah Makkiah yang terbesar. Ia menceritakan kesyirikan yang dilakukan oleh Arab Mekah. Jika Surah Baqarah mengisahkan tentang kerosakan dalam golongan Yahudi; Surah Ali Imran pula menceritakan tentang kerosakan golongan Nasara; manakala Surah Nisa’ mengisahkan tentang kerosakan golongan Munafiqin, sementara Surah Maidah pula adalah gabungan tentang ketiga-tiga golongan (Yahudi, Nasara dan Munafiqin).

Oleh itu, satu lagi golongan tidak disebut iaitu Musyrikin dan ia disentuh dalam surah al-An’am ini.

Inilah empat golongan sesat yang disebut dalam Al-Qur’an satu persatu dan sifat-sifat mereka. Allah ‎ﷻ ajar awal-awal di dalam susunan surah-surah Al-Qur’an di permulaan supaya kita boleh kenal mereka dan periksa supaya tidak ada sifat-sifat mereka dalam diri kita. Ini penting kerana kita belajar tentang mereka bukanlah hendak kutuk mereka, tetapi supaya kita tidak jadi seperti mereka.

Surah al-An’am ini telah diturunkan secara sekaligus, kecuali beberapa ayat sahaja. Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan yang surah ini diturunkan pada malam hari dan Jibril عليه السلام telah diiringi oleh 70 ribu malaikat semasa menurunkannya kepada Rasulullah ﷺ. Ini menunjukkan betapa penting dan mulianya surah ini.

Jangan pula kita sangka turunnya malaikat beramai-ramai itu kerana hendak menjaga Al-Qur’an daripada dicuri atau dikacau oleh jin dan syaitan. Tidak, bukan begitu. Bukanlah malaikat-malaikat itu mesti menolong Jibril عليه السلام untuk menurunkan kononnya kerana Jibril عليه السلام sebagai malaikat sendiri pun takut, apatah lagi golongan jin. Namun begitu harus difahami bahawa para malaikat itu turun kerana kemuliaan surah ini. Contohnya seumpama seorang sultan melawat sesuatu kawasan, akan ada ramai pengikut yang akan mengiringinya.

Selalunya surah-surah yang panjang diturunkan sedikit demi sedikit, tetapi kali ini ia diturunkan hampir lengkap. Surah ini diturunkan setahun sebelum Hijrah ke Madinah. Maka, ia diturunkan di hujung-hujung masa Rasulullah ﷺ di Mekah. Oleh sebab itu, kata-kata di dalamnya merujuk kepada situasi itu – Nabi ﷺ telah lama berdakwah kepada mereka dan mereka tetap tidak mahu beriman. Teguran dalam surah ini agak kasar kerana ia diberikan kepada kaum yang amat degil. Masa berlembut dengan mereka sudah berlalu.

Surah Al-An’am ini adalah surah pertama Makkiah dalam susunan Al-Qur’an. Sebelum ini, surah-surah yang telah dibaca adalah surah-surah Madaniah, iaitu bermula dengan Surah Al-Baqarah sehingga surah Al-Maidah. Terdapat tema-tema yang berbeza antara surah yang Makkiah dan Madaniah. Surah Makkiah tema utamanya adalah peringatan. Ada dua jenis peringatan yang penting dalam kumpulan ini:

1. Surah Ayyaamillah – ‘Hari-hari Allah’. Ia mengandungi sejarah-sejarah penting yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu. Ia dibacakan kepada manusia sebagai peringatan dan ancaman.

2. Surah Alaa Illah – ‘Pemberian-pemberian Allah’. Diturunkan kepada manusia sebagai peringatan akan segala nikmat yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada mereka. Kadang-kadang kita tidak memandang dengan penting segala pemberian Allah‎ ﷻ itu kerana kita rasa ia biasa sahaja.

Namun begitu, terlalu banyak pengajaran sebenarnya yang terdapat di dalam segala pemberian Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk lihat kepada langit. Perhatikan bagaimana Allah ‎ﷻ telah menjadikan langit itu seimbang. Ini mengingatkan kita untuk berlaku adil dalam segenap kehidupan kita kerana keadilan bermaksud keseimbangan.

Ada banyak ayat dalam Surah al-An’am ini yang mengandungi peringatan kepada Alaa illah. Segala peringatan itu adalah berbentuk “Positive Reinforcement” (Pengukuhan Positif); untuk memberikan kita motivasi agar melakukan kebaikan. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita.

Seperti juga apabila kita suruh anak kita belajar, kita akan cakap: “Husna, belajarlah baik-baik. Abba dah bagi macam-macam dah. Husna cuma belajar sahaja, boleh yer nak?” Allah ‎ﷻ mahu kita kenangkan segala pemberian-Nya supaya senang hendak melakukan ketaatan kepada-Nya.

Surah selepas Surah Al-An’am adalah satu lagi Surah Makkiah iaitu Surah Al-A’raf. Surah itu pula mengandungi banyak berkenaan ayyamillah; iaitu menceritakan tentang umat-umat yang lepas dan apakah yang terjadi kepada mereka apabila mereka tidak mahu beriman. Ia juga untuk memberi peringatan kepada kita, namun dalam bentuk yang lebih keras. Peringatan yang lebih keras diberikan kerana manusia masih lagi degil untuk beriman.

Nabi Muhammad ﷺ telah berdakwah kepada penduduk Mekah bertahun-tahun lamanya, dengan memberikan motivasi untuk mereka beriman. Tentulah baginda seorang pendakwah yang amat hebat. Akan tetapi ramai yang masih berdegil. Apabila degil, maka peringatan yang lebih keras akan diberikan.

Sama juga kita beri motivasi kepada anak kita untuk belajar, tetapi jika dia masih enggan, maka kita akan ancam mereka dengan ancaman yang keras. Kita katakan kepadanya yang kita akan rotan mereka, kurung mereka dan sebagainya. Kita ingatkan juga kepada mereka contoh-contoh mereka yang enggan belajar dan apakah yang terjadi kepada mereka.

Apabila masih lagi tidak terkesan dengan motivasi dan ancaman, maka langkah seterusnya kita akan hukum mereka. Maka kerana itu surah selepas Al-A’raf adalah Surah Al-Anfal yang menceritakan hukuman pertama yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah iaitu kekalahan mereka dalam Perang Badr.

Itu adalah hukuman pertama dan apabila masih lagi tidak berkesan, maka hukuman yang lebih berat akan diteruskan. Itu disebut dalam Surah At-Tawbah iaitu kekalahan mereka dalam Fath Makkah. Demikianlah Allah ‎ﷻ susun surah-surah dalam Al-Qur’an.

Isu utama yang dibawa dalam surah-surah Makkiah adalah Tauhid. Memang ada elemen-elemen lain yang disentuh tetapi ia adalah untuk menguatkan hujah Tauhid. Sebagai contoh, satu lagi tema dalam surah-surah Makkiah adalah tentang risalah kenabian. Ia untuk menyatakan bahawa memang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi dan apa yang dibawanya adalah wahyu Al-Qur’an.

Itu semua menjurus kepada tauhid juga kerana Nabi ﷺ menceritakan tentang tauhid dan begitu juga Al-Qur’an menceritakan tentang tauhid. Oleh itu, surah-surah Makkiah menekankan tentang tauhid dalam berbagai-bagai cara. Memang banyak cara digunakan supaya manusia tidak ada lagi alasan tidak tahu dan tidak faham.

Bilangan surah-surah Makkiah sebenarnya lebih banyak daripada surah-surah Madaniah. Surah Makkiah adalah 2/3 daripada keseluruhan Al-Qur’an. Ia banyak memperkatakan tentang akidah – beriman kepada Allah ‎ﷻ, kepada Nabi dan lain-lain lagi. Sedangkan bab hukum hakam seperti hukum salat, puasa, Haji dan sebagainya banyak terdapat dalam surah-surah Madaniah.

Oleh itu, surah-surah Makkiah diturunkan sewaktu hukum-hukum ibadat belum ada lagi. Lalu bagaimana kita mengenali orang Islam waktu itu? Untuk zaman sekarang kita boleh kenal seorang Muslim kerana dia salat, dia memakai tudung menutup aurat dan sebagainya. Sedangkan hukum menutup aurat contohnya, hanya diturunkan di Madinah.

Orang Islam dikenali waktu itu daripada sifat mereka.

Pertama, mereka kuat berdakwah mengajak kepada Islam. Mereka bagaikan tidak boleh berhenti bercakap mengenai Islam. Jikalau jumpa orang, mereka akan menceritakan tentang keindahan Islam;

Kedua, mereka mempunyai sifat yang murni, yang baik. Iaitu adab-adab yang baik yang diterima secara umum – tidak menipu, tidak menindas, tidak menyusahkan orang dan sebagainya.

Amat malang sekali pada zaman sekarang, Muslim banyak mengamalkan hukum-hukum ibadat, tetapi melupakan nilai-nilai murni yang banyak diterapkan dalam surah-surah Makkiah. Oleh itu, kita banyak melihat Muslim yang salat, tetapi dalam masa yang sama, mereka menipu orang lain, zalim, serta kasar sifatnya. Ya, mereka berpuasa tetapi dalam masa yang sama, mereka menindas orang lain. Ini adalah amat menyedihkan.

Surah Al-An’am ini terbahagi kepada dua bahagian. Kedua-duanya berkenaan akidah tetapi boleh dibahagikan kepada dua bahagian.

1. Bahagian pertama: ayat 1 – 117. Menghuraikan akidah syirik (atau syirik i’tikadi) kepada Allah ‎ﷻ iaitu antaranya syirik tasarruf: Syirik dalam pengurusan alam. Allah ‎ﷻ yang mentadbir semua makhluk, tetapi manusia yang jahil wahyu ada menyangka Allah ‎ﷻ beri tugas mengurus alam kepada makhluk pula. Contohnya mereka kata ada wali yang menjaga sesuatu kawasan.

Oleh kerana salah faham ini, ramai yang berdoa dan berharap kepada makhluk. Ini adalah syirik dan ia lahir daripada akidah yang salah. Perbuatan mereka adalah perbuatan syirik kerana akidah yang salah sudah ada dalam hati yang condong kepada syirik. Mereka mudah percaya kepada perkara khurafat.

Contohnya, ramai yang percaya jika burung hantu berbunyi malam hari, ada orang akan mati. Memang kita tidak cakap begitu selalunya, sebab burung hantu tidak ada di bandar. Tetapi apabila kita balik kampung atau masuk hutan, tiba-tiba kita dengar burung hantu berbunyi, terus ada yang kata: “Ada orang nak mati ni”. Maknanya, akidah syirik telah ada dalam hati kita, cuma kadangkala tidak dilahirkan sahaja.

2. Bahagian kedua: ayat 118 hingga akhir iaitu tentang amalan syirik yang manusia buat. Ini dinamakan syirik amali. Asalnya daripada akidah syirik yang sudah ada dalam hati yang disentuh dalam bahagian pertama.

Sebagai contoh, kita nampak tapak kaki gajah di hutan. Maka kita cakap: “Ada orang besar ni.” Apabila kita cakap begitu, kita sudah melakukan satu perbuatan syirik kerana gajah tidak ada di situ, dia tentu tidak dapat dengar kata-kata kita. Tetapi kita takut untuk cakap ‘gajah’, takut dia boleh dengar.

Padahal, yang boleh dengar dari jauh hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Namun kita letak satu sifat Allah ‎ﷻ pula pada makhluk yang tidak dapat dengar, malah tidak faham pun apa yang kita kata.

Antara amalan syirik yang manusia biasa lakukan adalah amalan berpantang. Mereka mengharamkan sesetengah jenis makanan sedangkan makanan itu halal. Sebagai contoh, ada masyarakat yang tidak makan ikan kacang untuk keturunan mereka kerana kononnya, dulu ada tok nenek mereka yang telah diselamatkan oleh ikan kacang semasa di lautan.

Maka, sebagai tanda hormat kepada ikan kacang itu, mereka telah ‘mengharamkan’ keturunan mereka untuk memakan ikan kacang. Oleh itu, Surah An’am ini juga menyebut tentang amalan pantang yang diamalkan oleh manusia.

Satu lagi pantang adalah pantang selepas bersalin. Inilah kebiasaan yang diajar oleh Bidan kampung. Bidan telah ‘mengharamkan’ makan itu dan ini, tanpa memberikan sebab-sebab yang munasabah sebagai pegangan kita. Apabila kita betul-betul berpantang hanya atas kata-kata bidan yang tidak ada dalil itu, maka ini adalah satu kesilapan.

Mereka senang sangat percaya kata-kata orang lain tanpa usul periksa. Kena lihat Hadith Nabi tentang bagaimana Orang Yahudi yang telah menjadikan rahib dan pendita mereka sebagai tuhan:

Nabi ﷺ pernah membacakan firman Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an :

” اِتَّخِذُوْا أَحْبَارَهُم وَرُهْبَا نَهُم أَرْبَابًا مِن دُونِ اللََهِ ” (التوبة: 31)

“Mereka menjadikan para ulama’ dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain daripada Allah ” (Surah At-Taubah : 31). Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah ﷺ kebetulan Adi’ bin Hatim رضي الله عنه (bekas yahudi) mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah ﷺ dengan mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang yahudi) menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

Maka jawab baginda Rasul ﷺ:

إنهم إذا أحلوا لهم شيئا استحلوا وإذا حرموا عليهم شيئا حرموا فذلك عبادتهم

“Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya/mentaqlidnya) dan mereka jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun ikut mengharamkannya maka itulah pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib).

(Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi No. 3095 & Baihaqi)

Hadith ini menunjukkan kepada kita, jika kita ikut kata-kata orang lain yang tidak bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ, maka kita telah menjadikan orang itu sebagai ‘tuhan’. Bukanlah ‘sembah’ itu hanya bermaksud sujud kepada sesuatu sahaja, tetapi ia lebih luas lagi.

Dalam ayat ini, ia merangkumi makna ‘ikut tanpa usul periksa’. Begitulah yang dilakukan oleh masyarakat kita apabila diberitahu oleh bidan-bidan kampung yang kita tidak boleh makan itu dan ini semasa dalam ‘pantang’. Kalau apa yang dilarang itu masuk akal dan boleh diperiksa, maka tidaklah salah. Mungkin sudah ada pengalaman orang-orang terdahulu yang menjadi pengajaran, atau disokong oleh ahli perubatan, tidaklah bermasalah kalau diikuti. Namun jikalau ia pelik, maka janganlah terus ikut.

Surah ini juga hendak menolak 7 kesamaran yang ada dalam akidah Musyrikin Mekah. Mereka mempersoalkan kenapa kena pegang akidah tauhid. Allah‎ ﷻ jawab satu persatu nanti di dalam surah ini.

Kemudian Allah ‎ﷻ ajar 7 cara bagaimana untuk tabligh wahyu kepada manusia. Allah ‎ﷻ ajar supaya manusia boleh terima dengan mudah (bagi yang hatinya suci). Ada cara dakwah yang kita reka sendiri, tetapi dalam surah ini cara-cara yang diajar itu adalah daripada Allah ‎ﷻ sendiri dan manusia akan senang faham kalau kita gunakannya.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu 7 sebab kenapa orang kafir tidak boleh terima tauhid. Allah ‎ﷻ sebut 7 alasan mereka. Allah ‎ﷻ beritahu kenapa mereka menjadi kafir dan di mana silap mereka. Ini bukan Musyrikin Mekah sahaja, tetapi ia boleh digunapakai oleh semua orang kafir.

Kesemua perkara di atas ini tidaklah disusun satu persatu tetapi berselerak dalam surah ini maka kenalah belajar baru boleh nampak.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan