Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-117 hingga Ke-120

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-117 hingga Ke-120

175
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-117

ما قُلتُ لَهُم إِلّا ما أَمَرتَني بِهِ أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ رَبّي وَرَبَّكُم ۚ وَكُنتُ عَلَيهِم شَهيدًا مّا دُمتُ فيهِم ۖ فَلَمّا تَوَفَّيتَني كُنتَ أَنتَ الرَّقيبَ عَلَيهِم ۚ وَأَنتَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya iaitu: “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu”, dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.

ما قُلتُ لَهُم إِلّا ما أَمَرتَني بِهِ

Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku

Nabi Isa عليه السلام kata tidaklah baginda bercakap kepada mereka melainkan apa yang Allah ‎ﷻ perintahkan baginda cakap sahaja. Baginda tidak memandai cakap ikut nafsu sendiri.

أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ رَبّي وَرَبَّكُم

iaitu: “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu”,

Ini yang baginda perintahkan kepada umatnya: hendaklah mereka semua sembah dan seru Allah ‎ﷻ sahaja kerana Dia yang mencipta dan memelihara baginda dan mereka semua. Inilah yang penting sekali baginda telah beritahu kepada mereka, iaitu tentang tauhid.

Lihatlah bagaimana Nabi Isa عليه السلام mengaku yang baginda adalah hamba dan Allah‎ ﷻ itu Tuhan. Tidaklah seperti yang dikatakan oleh penganut Kristian sekarang.

وَكُنتُ عَلَيهِم شَهيدًا مّا دُمتُ فيهِم

dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka.

Dan baginda hanya berhak menjadi saksi ke atas mereka selama mana baginda hidup bersama mereka; iaitu semasa baginda belum diangkat ke langit. Waktu itu baginda tinggal bersama dengan mereka, maka bolehlah baginda tahu apa yang mereka cakap dan fahaman mereka, setakat yang zahir sahaja.

فَلَمّا تَوَفَّيتَني كُنتَ أَنتَ الرَّقيبَ عَلَيهِم

Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka.

Dan apabila Allah ‎ﷻ telah mematikan baginda, Allah ‎ﷻlah yang menguasai penuh ke atas mereka. Baginda tidak tahu menahu termasuk yang mereka puja baginda. Soal jawab ini terjadi selepas Hari Kiamat kelak. Bukannya semasa baginda diangkat ke langit. Maknanya, selepas baginda diangkat ke langit, baginda akan diturunkan kembali ke dunia dan akan diwafatkan seperti orang lain juga.

Selepas baginda wafat, baginda tidak tahu apa yang terjadi di dunia. Ini menunjukkan bahawa apabila baginda diangkat ke langit, baginda tidak tahu perbuatan umat baginda. Sama juga kalau seseorang itu telah mati, telah putus hubungan dengan dunia.

Jadi, ini adalah sebagaimana wali dan Nabi yang tidak tahu ada manusia yang memuja dan menyeru mereka. Maka sia-sialah harapan puak musyrik terhadap wali dan Nabi mereka. Termasuk jugalah kalangan masyarakat Islam yang memuja wali dan Nabi-nabi, yang pergi ke kubur dan minta macam-macam itu.

وَأَنتَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ maha menyaksikan atas segala perkara. Jadi, segala perbuatan manusia, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ suruh malaikat catit. Nanti akan dibentang di akhirat kelak dan akan dibalas sesuai dengan perbuatan itu. Jika perbuatan itu adalah perbuatan syirik, maka yang akan dibalas adalah neraka selama-lamanya.

Tafsir Ayat Ke-118

Allah‎ ﷻ hendak mengajar bahawa syafaat bukanlah datang daripada Nabi Isa عليه السلام juga. Ini penting kerana ramai yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام akan memberi syafaat kepada mereka. Mereka berharap kepada Nabi Isa عليه السلام sehinggakan mereka berasa bebas membuat dosa sepanjang minggu dan sehingga hari Ahad, atau sekali sekala, mereka akan ‘cuci dosa’ di gereja.

Mereka telah reka satu akidah di mana para paderi menjadi wakil kepada Nabi Isa عليه السلام untuk mengampunkan segala dosa mereka. Padahal, paderi itu pun tidak tahu sama ada Nabi Isa عليه السلام terima atau tidak taubat mereka. Jadi pening habis agama mereka, jadi rosak terus. Inilah kebodohan yang berlaku dalam agama Kristian. Maka, kita kena beritahu kepada mereka tentang kesesatan mereka.

Jika tidak diberitahu, begitulah mereka akan jadi, masuk neraka buat selama-lamanya; tiada peluang langsung untuk keluar. Sedangkan ramai antara mereka memang orang yang baik-baik dari segi akhlak dan hati mereka.

إِن تُعَذِّبهُم فَإِنَّهُم عِبادُكَ ۖ وَإِن تَغفِر لَهُم فَإِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

إِن تُعَذِّبهُم فَإِنَّهُم عِبادُكَ

Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau,

Nabi Isa عليه السلام sambung lagi kata-kata baginda: jika Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk mengazab mereka yang telah berbuat dosa itu, maka tiada bangkangan daripada sesiapa pun. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang, kerana kuasa penuh adalah pada Allah ‎ﷻ.

Ini adalah jumlah ta’liliyah (sebab): Allah ‎ﷻ boleh membuat apa sahaja dengan hamba-Nya, sebabnya kerana mereka itu semua hamba Allah ‎ﷻ. Oleh itu, Nabi Isa عليه السلام tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk beri keampunan kepada mereka. Jadi apa yang penganut Kristian lakukan setiap minggu hari Ahad itu adalah sia-sia sahaja.

وَإِن تَغفِر لَهُم فَإِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Namun begitu, sekiranya Engkau mengampuni mereka di atas kesalahan syirik mereka, itu bukan sifat ketuhanan. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ telah berjanji tidak akan mengampuni dosa syirik. Dan kerana sifat rahmat tidak ada pada orang kafir syirik. Engkau maha gagah perkasa dan maha bijaksana, engkau boleh hukum mereka.

Allah‎ ﷻ telah memberi peluang untuk menguji mereka dan mereka telah terkandas. Maka tidak ada maaf untuk mereka. Memang Allah ‎ﷻ boleh beri keampunan tetapi tidak dalam perkara syirik.

Jadi, ayat ini kena faham sebaik-baiknya, kerana kalau kita salah tafsir, ia akan menjadi berlawanan dengan ayat-ayat lain. Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak menggunakan pun lafaz Sifat Dia al-Ghafur dan al-Affuw kerana itu adalah tentang sifat memberi ampun dan ayat ini bukan tentang memberi keampunan kepada mereka yang telah melakukan syirik.

Maka sekian sahaja cerita mengenai orang Kristian. Mereka itu semenjak kecil sehingga mati memuja Nabi Isa عليه السلام kerana salah faham dalam agama. Ini kerana agama mereka telah dirosakkan oleh agamawan mereka, dan kitab wahyu yang mereka patut ada pun telah dirosakkan oleh ahli agama yang terdahulu. Malangnya, orang kita yang patutnya ada Al-Qur’an, tetapi buat sama sahaja seperti mereka, itu yang pelik.

Al-Qur’an tidak pernah dapat diubah dan tetap begitu juga. Namun ramai yang tidak faham dan keliru tentang agama kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Jadi, kalau ada Al-Qur’an pun, tetapi tidak faham isi kandungannya, tidak menjadi juga, boleh menjadi sesat juga.

Nabi Muhammad ﷺ akan memberikan jawapan yang sama juga nanti di akhirat seperti yang disebut dalam satu hadith:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَوْعِظَةٍ، فَقَالَ: “يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مَحْشُورُونَ إِلَى اللَّهِ، عَزَّ وَجَلَّ، حُفَاةً عُرَاةً غُرْلا كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُعِيدُهُ، وَإِنَّ أَوَّلَ الْخَلَائِقِ يُكْسى إِبْرَاهِيمُ، أَلَا وَإِنَّهُ يُجَاءُ بِرِجَالٍ مِنْ أُمَّتِي فَيُؤْخَذُ بِهِمْ ذَاتَ الشِّمَالِ فَأَقُولُ: أَصْحَابِي. فَيُقَالُ: إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ. فَأَقُولُ كَمَا قَالَ الْعَبْدُ الصَّالِحُ: {وَكُنْتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَا دُمْتُ فِيهِمْ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنْتَ أَنْتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ * إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ} فَيُقَالُ: إِنَّ هَؤُلَاءِ لَمْ يَزَالُوا مُرْتَدِّينَ عَلَى أَعْقَابِهِمْ مُنْذُ فَارَقْتَهُمْ”.

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ berdiri di hadapan kami untuk mengemukakan suatu nasihat. Baginda bersabda: Hai manusia, sesungguhnya kalian kelak akan dihimpunkan oleh Allah ‎ﷻ dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang lagi belum dikhitan. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya. (Al-Anbiya: 104) Dan sesungguhnya manusia yang mula-mula diberi pakaian kelak di hari kiamat ialah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ingatlah, sesungguhnya kelak akan didatangkan banyak orang laki-laki dalam kalangan umatku, lalu mereka digiring ke sebelah kiri, maka aku berkata, “Sahabat-sahabatku! ” Tetapi dijawab, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang dibuat-buat oleh mereka sesudahmu.” Maka aku katakan seperti apa yang dikatakan oleh seorang hamba yang soleh, iaitu: Dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguh­nya mereka adalah hamba-hamba Engkau; dan jika Engkau meng­ampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau Yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana. (Al-Maidah: 117-118) Maka dikatakan, “Sesungguhnya mereka terus-menerus dalam keadaan mundur ke belakang mereka sejak engkau berpisah dengan mereka.”
Imam Bukhari telah meriwayatkannya ketika membahas tafsir ayat ini.

Lafaz ‘hamba yang soleh’ yang digunakan dalam hadith ini tentunya merujuk kepada Nabi Isa عليه السلام.

Begitu pentingnya ayat ini, sampaikan Nabi Muhammad ﷺ pernah mengulang-ngulang ayat ini dalam salat baginda. Di dalam sebuah hadith disebutkan bahawa Nabi ﷺ membacanya di malam hari hingga subuh, yakni dengan mengulang-ulang bacaan ayat ini.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْل، حَدَّثَنِي فُليَت الْعَامِرِيُّ، عَنْ جَسْرة الْعَامِرِيَّةِ، عَنْ أَبِي ذَرٍّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-لَيْلَةً فَقَرَأَ بِآيَةٍ حَتَّى أَصْبَحَ، يَرْكَعُ بِهَا وَيَسْجُدُ بِهَا: {إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ} فَلَمَّا أَصْبَحَ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا زِلْتَ تَقْرَأُ هَذِهِ الْآيَةَ حَتَّى أَصْبَحْتَ تَرْكَعُ بِهَا وَتَسْجُدُ بِهَا؟ قَالَ: “إِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي، عَزَّ وَجَلَّ، الشَّفَاعَةَ لِأُمَّتِي، فَأَعْطَانِيهَا، وَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ لِمَنْ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, telah menceritakan kepadaku Fulait Al-Amiri, dari Jisrah Al-Amiriyah, dari Abu Zar رضي الله عنه yang menceritakan bahawa di suatu malam Nabi ﷺ melakukan salat, lalu baginda membaca satu ayat yang hingga subuh baginda tetap membacanya dalam rukuk dan sujudnya, iaitu firman-Nya: Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau; dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana. (Al-Maidah: 118) Ketika waktu subuh Abu Hurairah bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau terus-menerus membaca ayat ini hingga subuh, sedangkan engkau tetap membacanya dalam rukuk dan sujudmu?” Rasulullah ﷺ menjawab: Sesungguhnya aku memohon kepada Tuhanku akan syafaat bagi umatku, maka Dia memberikannya kepadaku; dan syafaat itu dapat diperoleh —Insya Allah— oleh orang yang tidak pernah mem­persekutukan Allah dengan sesuatu pun (dalam kalangan umatku).

(HR. Ahmad No. 21238, sanadnya hasan menurut Syeikh al-Arnauth)

Daripada hadith ini ada satu pengajaran penting bagi kita semua: iaitu tidak ada syafaat bagi orang yang melakukan syirik. Jadi kena jaga baik-baik supaya kita jangan langsung ada fahaman dan amalan syirik. Dan kalau tidak ada syirik dan mati dengan tidak mensyirikkan Allah ‎ﷻ, syafaat itu sudah pasti, akan dapat secara automatik. Tidak perlu hendak seru Nabi Muhammad ﷺ untuk memminta syafaat daripada baginda lagi kerana ia pasti akan diberikan kepada mereka yang tidak mempersekutukan Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-119

قالَ اللَّهُ هٰذا يَومُ يَنفَعُ الصّٰدِقينَ صِدقُهُم ۚ لَهُم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Allah berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya. Itulah keberuntungan yang paling besar”.

قالَ اللَّهُ هٰذا يَومُ يَنفَعُ الصّٰدِقينَ صِدقُهُم

Allah berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.

Ini adalah ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira dengan nikmat di akhirat). Allah ‎ﷻ hendak menceritakan tentang hari akhirat. Inilah hari di mana golongan yang benar akidah dan amalan akan mendapat faedah dari kebenaran yang ada pada mereka semasa di dunia.

Tafsir Ayat Ke-120

Ini adalah khulasah (kesimpulan) surah ini.

لِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما فيهِنَّ ۚ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya; dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

لِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما فيهِنَّ

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya;

Segala alam dan apa yang ada di dalamnya adalah milik Allah ‎ﷻ. Tidak ada apa pun yang Allah ‎ﷻ berkongsi dengan sesiapa. Tidak dengan Nabi Isa عليه السلام, tidak dengan makhluk-makhluk yang lain. Oleh kerana alam ini Allah ‎ﷻ yang punya, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang menguruskannya. Tidak diserahkan kuasa pengurusan itu kepada sesiapa pun.

وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak buat, Dia boleh buat kerana kekuasaan dan penguasaan Allah ‎ﷻ adalah lengkap dan mutlaq.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan