Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-30 hingga Ke-33

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-30 hingga Ke-33

290
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-30

فَطَوَّعَت لَهُ نَفسُهُ قَتلَ أَخيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصبَحَ مِنَ الخٰسِرينَ

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang merugi.

فَطَوَّعَت لَهُ نَفسُهُ قَتلَ أَخيهِ

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya,

Walaupun nasihat telah diberi namun hawa nafsunya Qabil mendorong dirinya membunuh saudaranya sendiri. Dia mengikut kehendak dan pujukan nafsunya, sampai sanggup dia hendak membunuh saudaranya itu. Begitulah, apabila nafsu tidak dididik dengan wahyu maka ia sangat merbahaya sehingga boleh ke tahap membunuh.

فَقَتَلَهُ فَأَصبَحَ مِنَ الخٰسِرينَ

maka dibunuhnya saudaranya itu, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang merugi.

Maka, dia telah termakan dengan nafsunya, sehingga dia telah benar-benar membunuh saudaranya itu dan kerana itu, dia rugi dunia dan akhirat. Dia juga mendapat bahagian daripada semua dosa pembunuhan.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Salamah, daripada Ibnu Ishaq, daripada Hakim ibnu Hakim, bahawa dia pernah menceritakan sebuah riwayat daripada Abdullah ibnu Amr yang telah berkata, “Sesungguhnya manusia yang paling celaka ialah anak Adam yang membunuh saudaranya (yakni Qabil), tiada setitis darah pun yang dialirkan di bumi ini sejak dia membunuh saudaranya sampai hari kiamat, melainkan dia mendapat bahagian daripada seksaannya. Demikian itu kerana dialah orang yang mula-mula melakukan pembunuhan.”

Tidak pasti bagaimanakah cara Qabil membunuh Habil kerana ada beberapa riwayat. Ada yang mengatakan dengan menghempap batu, ada pula yang mengatakan dengan menikam dengan benda tajam, ada juga yang mengatakan dengan mencekik sehingga mati. Caranya tidak penting. Yang penting kita tahu yang Qabil telah membunuh Habil. Inilah kejadian pembunuhan manusia pertama di dalam sejarah kehidupan manusia.

Tafsir Ayat Ke-31

فَبَعَثَ اللهُ غُرابًا يَبحَثُ فِي الأَرضِ لِيُرِيَهُ كَيفَ يُوٰري سَوءَةَ أَخيهِ ۚ قالَ يٰوَيلَتا أَعَجَزتُ أَن أَكونَ مِثلَ هٰذَا الغُرابِ فَأُوٰرِيَ سَوءَةَ أَخي ۖ فَأَصبَحَ مِنَ النّٰدِمينَ

Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil: “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?” Kerana itu jadilah dia seorang diantara orang-orang yang menyesal.

فَبَعَثَ اللهُ غُرابًا يَبحَثُ فِي الأَرضِ

Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi

Selepas Qabil membunuh Habil, Qabil tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan mayat saudaranya itu. Allah ‎ﷻ menghantar seekor burung gagak untuk mengajar Qabil apakah harus dibuat dengan mayat saudaranya itu.

لِيُرِيَهُ كَيفَ يُوٰري سَوءَةَ أَخيهِ

untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya.

Qabil tidak tahu apa hendak dibuat dengan mayat Habil kerana inilah kematian yang pertama di dunia. Tidak pernah ada contoh lagi cara mengebumikan mayat manusia. Sekarang Allah ‎ﷻ memperlihatkan bagaimana dua ekor burung gagak berkelahi dan seekor gagak membunuh gagak yang satu lagi.

Burung gagak itu kemudiannya telah menggali lubang dan memasukkan gagak yang dibunuh itu dan mengambus lubang itu. Yang menariknya, sampai ke hari ini gagak selalu dijadikan sebagai simbol kematian dalam beberapa tamadun di dunia ini.

قالَ يٰوَيلَتا أَعَجَزتُ أَن أَكونَ مِثلَ هٰذَا الغُرابِ فَأُوٰرِيَ سَوءَةَ أَخي

Berkata Qabil: “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?”

Setelah melihat apa yang dilakukan oleh burung gagak itu, maka Qabil telah mendapat ilham dan telah meniru apa yang dilakukan oleh gagak itu dan mengebumikan mayat saudaranya Habil. Maka sampai sekaranglah kita amalkan perbuatan ini.

فَأَصبَحَ مِنَ النّٰدِمينَ

Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal.

Jadilah dia menyesal sungguh-sungguh di atas tindak tanduknya semasa di dunia. Memang begitulah manusia, kalau mereka telah membunuh, mereka akan rasa bersalah. Ini turut berlaku kepada tentera. Walaupun kerja mereka membunuh, tetapi apabila mereka telah membunuh orang, akan timbul rasa tidak kena dalam diri mereka. Ada gangguan emosi dan trauma walaupun telah sekian lama meninggalkan dunia ketenteraan.

Walaupun Qabil telah menyesal atas perbuatan membunuhnya itu, namun tidak diterima penyesalannya.

Tafsir Ayat Ke-32

Sekarang bertukar cerita kepada Bani Israel pula. Ini adalah teguran kepada mereka kerana mereka telah diberikan kelebihan mendapat wahyu dan sepatutnya mereka menjadi contoh kepada manusia yang lain. Namun, sebaliknya yang mereka lakukan. Di dalam ayat ini juga kita diajar tentang nilai nyawa manusia.

مِن أَجلِ ذٰلِكَ كَتَبنا عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفسًا بِغَيرِ نَفسٍ أَو فَسادٍ فِي الأَرضِ فَكَأَنَّما قَتَلَ النّاسَ جَميعًا وَمَن أَحياها فَكَأَنَّما أَحيَا النّاسَ جَميعًا ۚ وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُنا بِالبَيِّنٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثيرًا مِّنهُم بَعدَ ذٰلِكَ فِي الأَرضِ لَمُسرِفونَ

Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian ramai  di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.

مِن أَجلِ ذٰلِكَ كَتَبنا عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ

Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel,

Kerana pembunuhan inilah Allah ‎ﷻ mengadakan undang-undang qisas (balas bunuh) ke atas Bani Israel. Ia juga masih digunapakai untuk kita sehingga ke hari ini.

أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفسًا بِغَيرِ نَفسٍ

barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain,

Ada jumlah muqaddar (penambahan) di sini. Perlu ditambah di sini: [Membunuh seseorang yang tidak bersalah melakukan pembunuhan.] Di sini perlu ada perbezaan kerana mesti ada kebenaran dalam keadaan tertentu untuk membunuh seseorang.

Sebagai contoh, kalau seseorang itu dibunuh kerana hukuman atas kesalahannya membunuh orang lain (inilah hukum qisas), maka itu dibenarkan. Begitu juga dibenarkan membunuh dalam peperangan.

أَو فَسادٍ فِي الأَرضِ

atau [bukan] kerana membuat kerosakan di muka bumi,

Atau kerana membuat kerosakan di atas muka bumi iaitu kesalahan yang boleh dihukum bunuh seseorang itu. Kalau ada orang yang membuat kerosakan seperti merompak, lari daripada perang dan lain-lain kesalahan berat yang boleh dihukum bunuh, maka boleh dibunuh mereka itu. Perkara ini mestilah dirujuk dengan Hukum Hudud tentang perkara-perkara yang termasuk dalam hukum bunuh itu.

فَكَأَنَّما قَتَلَ النّاسَ جَميعًا

maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.

Kalau membunuh bukan kerana sebab-sebab yang dibenarkan, ia adalah seumpama dia telah membunuh seluruh manusia. Ini adalah kerana pembunuhannya itu akan berpanjangan kerana akan ada bunuh balas. Keluarga mangsa yang dibunuh akan membalas dendam dengan membunuh si pembunuh. Kemudian keluarga si pembunuh itu pula akan membalas dendam dan ia akan berbalasan lagi dan akan berterusan lagi dan lagi.

Dan kerana pada Allah ‎ﷻ, satu nyawa sama sahaja dengan nyawa yang lain. Sama sahaja nilai nyawa pada Allah ‎ﷻ. Kalau sewenang-wenangnya membunuh satu nyawa, maka orang yang membunuh itu tidak akan tahu menghargai nyawa yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dia telah menghina Allah ‎ﷻ!

Maka ini mengajar kita untuk menghormati nyawa. Jangan senang-senang sahaja hendak mengambil nyawa orang lain. Mungkin di negara kita, tidak selalu berlaku kerana jarang kita berbunuh-bunuhan. Akan tetapi ada negara yang setiap hari ada sahaja kejadian bunuh di laluan-laluan gelap, kerana hanya disebabkan pertengkaran yang kecil, kerana hendak merompak, kerana tidak puas hati dengan seseorang, dan sebagainya. Mereka senang sahaja hendak membunuh orang lain kerana ia telah menjadi kebiasaan.

Sekali sekala apabila kita dengar kisah pembunuhan kejam di negara kita, kita terkejut. Semoga ia tidak menjadi kebiasaan. Kita takut orang kita sudah terbiasa dengar kisah pembunuhan di negara lain sampaikan mereka anggap nyawa manusia ringan sahaja. Ini kerana jauh daripada kefahaman agama dan norma kemanusiaan.

وَمَن أَحياها

Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia,

Sebaliknya, kalau menyelamatkan nyawa seseorang, ia adalah perkara yang amat besar kerana menghormati nyawa yang telah Allah ‎ﷻ berikan. Contohnya orang yang menyelamatkan orang lain daripada mati lemas, jatuh dari bangunan, kebakaran, kemalangan dan sebagainya. Ini adalah perkara-perkara harian yang kita boleh baca di media massa. Ada sahaja hero-hero harian yang menjadi insan mulia kerana membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Atau seseorang itu membiarkan seseorang itu hidup dengan tidak membunuhnya walaupun ada kesilapan yang membenarkan dibunuh orang itu. Sebagai contoh, dia berhak mengambil nyawa seseorang di mana hukum Qisas dijalankan, tetapi dia mengambil keputusan untuk tidak mengambilnya. Kadang-kadang kita baca ada keluarga yang memaafkan pembunuh yang telah membunuh ahli keluarganya. Ini pun dikira telah menyelamatkan nyawa.

Atau dia menghalang orang lain daripada membunuh orang lain. Ini juga adalah perbuatan berani yang jarang ada pada manusia lain. Namun begitu ada orang yang mempunyai kekuatan jiwa sampai berani berdiri di hadapan raja yang zalim.

فَكَأَنَّما أَحيَا النّاسَ جَميعًا

maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.

Allah ‎ﷻ memuji orang yang menyelamatkan nyawa orang lain. Allah ‎ﷻ memuji di dalam Al-Qur’an, maka ia ada pujian yang tinggi. Allah ‎ﷻ berkata dia itu seumpama dia telah menyelamatkan kehidupan semua manusia. Padahal, satu nyawa sahaja dia selamatkan tetapi oleh kerana dia menghargai satu nyawa itu, maka seolah-olah dia telah menghargai seluruh nyawa dalam alam ini.

وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُنا بِالبَيِّنٰتِ

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas,

Malangnya, Bani Israel itu amat teruk sekali. Mereka telah didatangkan dengan ramai Rasul-Rasul yang membawa keterangan wahyu yang nyata kepada mereka. Rasul-Rasul itu telah menyampaikan ajaran yang benar. Dan mereka tidak datang dengan tangan kosong, tetapi mereka datang dengan membawa bukti yang jelas nyata.

Zaman sekarang kita tidak ada Nabi dan Rasul, tetapi ada golongan pendakwah dan guru yang mengajar dengan membawa dalil yang sahih.

ثُمَّ إِنَّ كَثيرًا مِّنهُم بَعدَ ذٰلِكَ فِي الأَرضِ لَمُسرِفونَ

kemudian ramai di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.

Walaupun telah ada Rasul yang mengajar mereka tentang hukum dan berbuat baik di atas muka bumi, tetap juga mereka langgar. Ada undang-undang pun mereka masih melampau batas. Lihatlah apa yang terjadi di Palestin zaman berzaman. Mereka itu keturunan orang yang memang tidak menghargai nyawa orang lain. Ini kerana mereka sangka mereka itu insan terpilih dan bangsa lain tidak sama taraf dengan mereka, maka mereka sesuka hati boleh membunuh begitu sahaja. Perikemanusiaan mereka telah lama hilang daripada jiwa kebanyakan mereka.

Bukan mereka sahaja sesat tetapi mereka mahu menyesatkan orang lain pula. Sehingga ada yang sanggup membunuh Nabi mereka. Ini memang satu perbuatan yang tidak masuk akal kita, tetapi senang sahaja dilakukan oleh mereka. Otak mereka kita memang tidak dapat hendak membayangkannya.

Dan mereka meneruskan perkara melampau ini sehinggaa sekarang. Ini pun banyak kerana kita dapat banyak berita tentang kejadian di Israel. Kalau hanya seorang daripada mereka dibunuh, mereka akan bunuh satu kampung. Itulah yang dimaksudkan melampau.

Tafsir Ayat Ke-33

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang kepentingan nyawa dengan dibawakan kisah Habil dan Qabil. Kemudian telah diberitahu tentang dosa besar kalau membunuh orang lain. Sekarang disebut hukum yang berkenaan pula.

Disebabkan ada manusia jahil, jika hanya disebut secara teori mereka tidak akan faham, maka kena ada undang-undang untuk mengawal dan menakutkan mereka. Ada orang apabila disebut kepentingan nyawa, mereka tidak akan mengambil nyawa orang. Namun, malangnya ada orang yang hanya apabila ada hukuman membunuh, barulah mereka takut untuk membunuh orang lain. Tetapi Allah ‎ﷻ memulakan dengan menyebut takut dengan hukum Allah ‎ﷻ kerana inilah yang lebih penting. Hukuman manusia, ada yang boleh lari lagi dan boleh selamatkan diri dengan pelbagai cara tetapi kalau dengan Allah ‎ﷻ, hendak lari ke mana lagi?

Dalam syariat, membunuh itu ada masanya boleh, tetapi kenalah dalam lingkungan hukum, bukannya melampau batas yang telah ditetapkan. Lihatlah bagaimana kalau dalam perang pun, walaupun boleh membunuh tetapi tidak boleh berlebihan. Contohnya tidak boleh dikerat-kerat mayat itu.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan di mana boleh mengambil nyawa orang lain, iaitu apabila mereka melakukan kesalahan. Waktu ini Islam sudah berkuasa dan sudah mempunyai kerajaan sendiri. Jadi ada banyak ayat-ayat hukum di dalamnya. Sekarang undang-undang sedang dibacakan kepada semua orang – sama ada Islam atau tidak, mereka kena tahu.

Juga disebut hukum tentang mereka yang masih lagi menentang Islam. Maka sebenarnya ini adalah ayat tentang mengawal pergerakan terroris sebelum mereka berkembang dan menjadi lebih teruk.

إِنَّما جَزٰؤا الَّذينَ يُحارِبونَ اللهَ وَرَسولَهُ وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا أَن يُقَتَّلوا أَو يُصَلَّبوا أَو تُقَطَّعَ أَيديهِم وَأَرجُلُهُم مِّن خِلٰفٍ أَو يُنفَوا مِنَ الأَرضِ ۚ ذٰلِكَ لَهُم خِزيٌ فِي الدُّنيا ۖ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar,

إِنَّما جَزٰؤا الَّذينَ يُحارِبونَ اللهَ وَرَسولَهُ

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya

Bermaksud mengambil harta di hadapan tuannya dengan kekerasan – iaitu dengan cara samun. Ini kerana jika curi biasa, harta itu tidak diambil di hadapan tuannya tetapi cara senyap – itulah mencuri namanya, bukan samun. Akan tetapi, kenapa mereka disebut memerangi Allah ‎ﷻ dan Rasul, sedangkan yang mereka mengambil harta itu adalah daripada orang sahaja (manusia)?

Kalimah يُحارِبونَ (daripada kata dasar ح ر ب) digunakan dalam ayat ini dan bukan kalimah قتل (bunuh). Lafaz حرب ialah apabila peperangan atau serangan kerana hendak mendapatkan kekayaan. Ini telah berlaku apabila orang Mekah marah kerana mereka telah diambil punca pendapatan mereka (kerana ditegur datang melawat berhala di Kaabah). Apabila punca pendapatan mereka diganggu sehinggakan mereka sanggup hendak membunuh Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka dikira menentang Allah ‎ﷻ dan Rasul.

Dalam kes ayat ini, ia bukan rompakan dan curi yang biasa-biasa. Ini adalah apabila ia sehingga merosakkan keamanan negara dan penduduk setempat kerana kumpulan yang merompak itu ramai sehingga menyebabkan orang awam dalam ketakutan. Mungkin mereka menggunakan senjata. Maknanya mereka menentang kerajaan yang mengamalkan undang-undang yang sah. Dan kalau undang-undang itu undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan, maka mereka sebenarnya telah menentang Allah ‎ﷻ.

وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا

dan membuat kerosakan di muka bumi,

Maksudnya membuat huru hara di muka bumi dengan mengambil harta orang dan membunuh orang yang diambil harta itu. Hukumannya dibunuh dan kemudian disalib.

Ayat ini asalnya hukuman kepada Yahudi yang menyamun kerana ayat-ayat sebelum ini mengenai orang Yahudi. Ini adalah salah satu keburukan mereka yang selalu menyamun harta orang Islam.

Dua jenis pencurian disebut dalam Al-Qur’an: ada yang kecil dan besar. Yang besar dipanggil samun. Yang kecil adalah pencurian biasa dan disebut dalam ayat ke-78 surah ini nanti.

أَن يُقَتَّلوا أَو يُصَلَّبوا أَو تُقَطَّعَ أَيديهِم وَأَرجُلُهُم مِّن خِلٰفٍ أَو يُنفَوا مِنَ الأَرضِ

mereka itu hendaklah dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri

Kita boleh lihat yang hukum yang dikenakan agak teruk. Ini adalah untuk menakutkan manusia daripada membuat kerosakan dan porak peranda di muka bumi. Hukum samun hendaklah berdasarkan:

Kalau mengambil barang dan membunuh orang yang disamun itu, maka hukumannya, adalah dia mestilah dibunuh dan disalib. Jadi itu adalah cara pembunuhan yang amat berat. Mereka diazab sebelum dibunuh, kerana Tuhan marah sangat dan kerana itu mereka dikenakan dengan hukuman yang paling teruk sekali. Selalunya tidak jadi begini, tetapi kerana ia dikenakan kepada mereka yang membuat perkara jahat. Oleh itu, ia bukannya untuk orang kafir biasa sahaja.

Kalau mengambil barang sahaja, tidak dibunuh orang itu, maka pelakunya mestilah dikerat kaki dan tangan berlawanan. Kerat kaki kanan dan tangan kiri, atau kerat kaki kiri dan tangan kanan.

Kalau menakutkan sahaja orang yang lalu lalang di jalanan, maka akan dikenakan buang daerah. Ada yang tambah, mereka itu diasingkan ke daerah lain dan dipenjara di situ. Ini kerana kalau dibuang daerah sahaja, nanti mereka ganggu tempat lain pula, bukan? Maka hendaklah dipenjara. Saidina Umar رضي الله عنه berpendapat, kalau penjara di situ pun boleh juga, dan ini termasuk ‘buang daerah’ kerana mereka sudah tidak boleh mengganggu orang lain lagi.

Kalau dia membunuh sahaja tanpa mengambil harta, maka dia dibunuh balas sahaja tanpa disalib.

ذٰلِكَ لَهُم خِزيٌ فِي الدُّنيا

Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia,

Hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah satu kehinaan besar di dunia. Ia juga supaya manusia lain takut hendak melakukan kesalahan-kesalahan itu. Islam adalah agama yang praktikal. Ia mengajar bagaimana untuk hidup di dunia ini dengan aman. Islam bukan sahaja mengajar tentang ibadat tetapi mengajar cara memerintah dan mengawal manusia. Kalau tidak ada undang-undang, maka manusia akan hidup porak peranda.

Jadi dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beritahu tentang azab semasa di dunia kalau membuat kesalahan yang mengganggu orang lain. Tetapi mereka bukanlah dikenakan hukum di dunia sahaja.

وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar,

Di akhirat nanti mereka akan mendapat azab yang lebih besar. Ini kerana kalau di dunia, hukuman itu sekejap sahaja, sekali sahaja, akan tetapi di akhirat ia akan berpanjangan. Berterusan mereka akan dikenakan azab itu.

Kalau orang Islam pun buat benda yang sama pun mereka akan dikenakan dengan balasan yang sama walaupun asal ayat ini adalah untuk orang Yahudi. Maka jangan kata ini hukum untuk orang Yahudi sahaja. Mereka tidak baca Al-Qur’an dan menggunakan hukum Al-Qur’an.

Ini mengajar kita yang kalau telah dikenakan dengan hukum hudud di dunia, tidaklah bermaksud dia sudah selamat daripada hukum akhirat. Dia tetap kena juga. Namun begitu, jikalau mereka bertaubat sebelum mereka mati, dan Allah ‎ﷻ menerima taubat mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah ‎ﷻ. Jika Allah ‎ﷻ menerima taubat itu, maka mereka akan selamat di akhirat.

Allahu a’lam.

#Ilmu

#Prihatin

#Amal

Komen dan Soalan