Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat ke-161 hingga ke-165

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat ke-161 hingga ke-165

197
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-161

Orang munafik hanya pandang kepentingan dunia sahaja. Mereka tidak fikir tentang akhirat. Pernah dalam satu peperangan, ada harta rampasan perang yang hilang. Puak munafik tuduh Nabi Muhammad ﷺ yang ambil. Oleh kerana kejadian itu Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini.

وَما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ ۚ وَمَن يَغلُل يَأتِ بِما غَلَّ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikit pun (balasannya).

وَما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ

Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu berkhianat

Tidak layak seorang Nabi mencuri harta rampasan. Tujuan Nabi ﷺ berperang bukanlah kerana mahukan harta. Maka tuduhan golongan munafik itu memang tidak patut. Mereka tuduh begitu kerana mereka sendiri yang mementingkan harta benda. Jadi mereka ‘project’ (memprojeksi tanggapan) Nabi ﷺ pun sama seperti mereka pula. Ini terjadi bila kita rasa orang lain pun seperti kita juga dan ini adalah salah anggap sahaja.

وَمَن يَغلُل يَأتِ بِما غَلَّ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ

dan sesiapa yang berkhianat, dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu;

Dalam hukum peperangan, harta rampasan tidak boleh diambil sebelum dibahagikan oleh pemimpin perang. Memang ada bahagian yang akan diberikan kepada mereka yang menyertai perang itu, tetapi hanya boleh diambil selepas dibahagikan. Kalau ada yang ambil juga, di akhirat nanti dia akan bawa harta itu dan kena tunjuk untuk diadili oleh Allah ‎ﷻ.

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya,

Setiap orang akan dibalas mengikut apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Maksudnya Allah ‎ﷻ hendak beritahu balasan buruk bagi mereka yang ambil harta rampasan perang dengan cara yang zalim.

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak akan dizalimi.

Dan mereka tidak akan dizalimi. Allah ‎ﷻ tidak akan melakukan kezaliman. Maksudnya, apa-apa sahaja yang telah dilakukan daripada kebaikan akan dibalas, tidak ada yang tertinggal. Malah akan dibalas dengan lebih lagi daripada apa kebaikan yang dilakukan; dan kalau ada melakukan kesalahan, akan dibalas dengan yang sama juga – tidak dibalas dengan lebih buruk daripada yang dilakukan. Dan tidak akan dikenakan azab kalau tidak melakukannya.

Sekarang bandingkan dengan dunia ini. Kalau di dunia, kadang-kadang ada orang yang dikenakan hukum walaupun dia tidak melakukan kesalahan, kerana mungkin hakim tidak adil, atau ada orang yang khianat dan bagi bukti yang salah. Namun ini semua tidak akan terjadi di akhirat nanti.

Maka keadilan yang sempurna adalah di akhirat kelak. Kita tidak dapat jumpa keadilan sempurna di dunia ini. Kerana itu kalau kita dizalimi di dunia, maka sabarlah sedikit kerana orang Mukmin sedar yang akhirat itu ada, dan dia akan dapat keadilan itu akhirnya.

Tafsir Ayat Ke-162

أَفَمَنِ اتَّبَعَ رِضْوَٰنَ اللَّهِ كَمَن باءَ بِسَخَطٍ مِّنَ اللَّهِ وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المَصيرُ

Adakah orang yang menurut keredaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan dari Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

أَفَمَنِ اتَّبَعَ رِضْوَٰنَ اللَّهِ

Adakah orang yang menurut keredhaan Allah itu sama

Adakah sama orang yang mencari redha Allah‎ ﷻ dengan yang tidak? Cari redha Allah ‎ﷻ itu adalah dengan taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Nabi itu seorang yang taat kepada Allah ‎ﷻ, jadi, kita kena ikut cara Nabi ﷺ. Maka kerana itu kena tahu apakah Sunnah dan bagaimana cara Nabi ﷺ taat kepada Allah ‎ﷻ.

Perkataan رِضوانَ adalah redha dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan). Maksudnya, Nabi Muhammad ﷺ bukan sahaja mahu Allah ‎ﷻ redha, tetapi baginda mahu Allah ‎ﷻ sangat-sangat redha. Maka kita kena sentiasa berusaha seboleh mungkin untuk mendapatkan keredhaan Allah ‎ﷻ. Bukannya dengan cara lebih kurang sahaja, dengan melepaskan batuk di tangga sahaja. Maka kena tahu apa yang Allah ‎ﷻ hendak daripada kita. Antaranya kena kaji ayat-ayat Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an.

Sekarang bandingkan pula dengan sifat orang lain yang berlawanan:

كَمَن باءَ بِسَخَطٍ مِّنَ اللَّهِ

sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan daripada Allah?

Adakah sama dengan orang yang pulang ke akhirat dengan membawa سَخَطٍ (kemurkaan) daripada Allah ‎ﷻ? Lafaz سَخَطٍ bermaksud ‘marah’ tetapi digunakan khusus apabila yang orang yang berada di kedudukan yang atas marah kepada orang bawahannya. Contohnya guru marah kepada anak murid dipanggil سَخَطٍ. Kalau anak murid yang marah kepada guru, tidaklah boleh digunakan lafaz سَخَطٍ.

Inilah perbandingan yang Allah ‎ﷻ hendak jelaskan. Sebelum ini disebut tentang ada yang mengatakan Nabi ﷺ telah mengambil harta rampasan perang. Orang yang mengambil harta rampasan perang adalah yang mendapat murka atau kemarahan daripada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, Allah ‎ﷻ hendak bandingkan sifat Nabi ﷺ dengan sifat seorang yang mendapat murka Allah ‎ﷻ. Adakah sama? Tentulah tidak.

وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المَصيرُ

tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Tempat mereka yang mendapat kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ adalah neraka jahannam. Lafaz المَصيرُ bermaksud destinasi akhir. Ia adalah tempat yang terakhir yang akan pergi. Katakanlah kita akan pergi merata-rata tempat dalam dunia ini, namun akhirnya kita akan pergi ke tempat yang kita akan tinggal tetap juga akhirnya, bukan?

Allah ‎ﷻ beri perumpamaan bahawa Neraka itu adalah tempat tinggal yang tetap bagi mereka yang mendapat murka Allah ‎ﷻ. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang munafik. Banyak sifat-sifat mereka disebut dalam nas Al-Qur’an dan hadith, maka kita kena belajar sifat-sifat mereka dan mengelak daripada ada sifat-sifat itu.

Tafsir Ayat Ke-163

هُم دَرَجَٰتٌ عِندَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Mereka itu (yang menurut keredaan Allah, dan yang mendapat kemurkaan-Nya), mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.

هُم دَرَجَٰتٌ عِندَ اللَّهِ

Mereka itu, mempunyai tingkatan-tingkatan di sisi Allah

Sebelum ini telah disebut bagaimana mereka yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ akan tinggal di neraka. Mereka yang dimurkai Allah ‎ﷻ dan kemudian tinggal dalam neraka, ada beberapa tingkatan dalam neraka. Sebelum itu disebut mereka yang mencari keredhaan Allah ‎ﷻ.

Tidak sama kedudukan mereka. Bagi yang mendapat murka, ada yang lebih teruk daripada yang lain. Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu apakah tingkatan mereka. Yang mendapat keredhaan Allah ‎ﷻ pun ada beberapa darjat di sisi Allah ‎ﷻ. Tingkatan darjat itu adalah bergantung kepada amalan mereka dan berapa banyaknya pahala di sisi Allah ‎ﷻ.

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.

Allah ‎ﷻ tahu di manakah tingkatan mereka dan di manakah mereka patut berada kerana Allah ‎ﷻ yang melihat apa yang mereka lakukan. Kita sebagai manusia tidak tahu dan tentunya Allah ‎ﷻ tahu bagaimana hendak menilai kedudukan sesiapa. Jadi, jangan kita memandai kata orang itu akan duduk di tingkatan paling tinggi atau paling rendah.

Semuanya ini terpulang kepada penilaian daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada kita. Yang boleh kita lakukan adalah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Hidup ini adalah tempat untuk kita mencari pahala dengan beramal sebanyak mungkin.

Tafsir Ayat Ke-164

Kenapa golongan munafik itu sampai hati tuduh Nabi sedangkan mereka waktu itu mereka telah mendapat nikmat yang amat besar? Mereka telah mendapat nikmat yang amat besar, iaitu Allah pilih mereka duduk bersama Nabi.

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلَٰلٍ مُّبينٍ

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Qur’an yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri,

Lafaz مَنَّ digunakan apabila mengingatkan seseorang dengan pemberian yang telah diberikan. Maknanya bukan sahaja sudah berikan, tetapi kemudian diingatkan kembali pemberian itu atau pertolongan atau nikmat yang telah diberikan. Kadang-kadang kena ingatkan tentang pemberian yang telah diberi untuk mendapatkan ketaatan daripada seseorang.

Kalau digunakan lafaz مَنَّ, itu bermaksud jenis pemberian dan pertolongan yang besar. Allah ‎ﷻ mengingatkan mukmin tentang apa yang telah diberikan kepada mereka. Kenanglah kembali kelebihan yang mereka telah terima itu. Dalam banyak-banyak manusia, dari awal kejadian manusia sampai kiamat, mereka sahaja yang telah diberikan kelebihan duduk dan tinggal dan belajar dengan Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad ﷺ.

يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ

yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (Hadith Nabi)

Kemudian, disenaraikan tugas Rasulullah ﷺ. Ia adalah sama dengan doa Nabi Ibrahim عليه السلام semasa membina semula Kaabah, jadi boleh rujuk di ayat itu untuk tafsirnya (ayat Baqarah:129).

Kenapa lafaz yang sama diulang dalam ayat ini? Kerana semasa berperang, kita mungkin terlupa sebab asal kita berperang. Allah ﷻ mengingatkan kembali kepada para pejuang mukmin supaya mereka tidak lupa dan kembali ingat kepada tujuan asal mereka.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada mukminin apa yang Nabi ﷺ telah lakukan untuk mereka. Baginda telah menyampaikan ajaran daripada Al-Qur’an dan diberikan hikmah kepada mereka. Hikmah itu selalunya ditafsir sebagai pengajaran hadith iaitu bagaimana mengamalkan ajaran di dalam Al-Qur’an. Itu semua adalah nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka.

وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلَٰلٍ مُّبينٍ

Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Antara tugas Rasulullah ﷺ untuk membersihkan (tazkiyah) untuk membebaskan daripada amalan dan fahaman yang syirik. Itu dilakukan dengan mengajar mereka ayat-ayat Al-Qur’an dan sunnah.

Dahulu mereka jelas dalam kesesatan kerana mereka sebelum itu tidak ada ilmu wahyu dan tidak ada petunjuk langsung untuk mendapat kebenaran. Oleh kerana tidak ada petunjuk, mereka telah dirosakkan dengan fahaman syirik oleh syaitan sampai mereka telah menyembah patung berhala.

Atau kita dahulu memang sudah Muslim, lahir dalam keluarga Muslim, tetapi tidak menahu langsung tentang agama. Hanya Muslim di dalam IC sahaja. Sekarang baru hendak mula belajar agama. Sekurang-kurangnya kita sudah mula belajar dan semoga Allah ‎ﷻ memberikan pemahaman kepada kita. Maka ini juga adalah nikmat yang kita patut kenang-kenangkan.

Maka kita pun kena kenang diri kita ini. Kalaulah kita dilahirkan dalam masyarakat yang menyembah selain Allah ‎ﷻ, bagaimanakah keadaan kita akhirnya? Entah sekarang kita sedang sembah patung agaknya.

Itulah seburuk-buruk perbuatan. Maka, mereka telah diselamatkan daripada jurang api neraka. Ini kerana kalaulah mereka berterusan begitu, tentulah tempat akhir mereka adalah di neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Tafsir Ayat Ke-165

Ini adalah teguran kepada golongan mukmin dengan memberitahu mereka, kenapa mereka kalah perang. Ada dalam kalangan orang mukmin yang hairan, kenapa boleh kalah? Sedangkan mereka tidak buat salah apa-apa pun setahu mereka.

Maknanya, tidak semua para sahabat boleh faham kenapa mereka kalah. Yang telah membuat kesalahan itu tahu yang kekalahan itu adalah kerana kesalahan mereka tetapi mukminin lain yang tidak membuat salah, mereka hairan kenapa boleh kalah pula? Maknanya, walaupun sedikit sahaja yang bersalah tetapi kesannya terkena kepada semua sekali.

أَوَلَمّا أَصَٰبَتْكُم مُّصيبَةٌ قَد أَصَبتُم مِّثلَيها قُلتُم أَنّىٰ هٰذا ۖ قُل هُوَ مِن عِندِ أَنفُسِكُم ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

أَوَلَمّا أَصَٰبَتْكُم مُّصيبَةٌ قَد أَصَبتُم مِّثلَيها قُلتُم

Kenapa apabila kamu ditimpa musibah (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda

Kenapa kamu hairan dengan musibah kekalahan yang menimpa kamu dalam Perang Uhud ini? Sedangkan kamu telah mendapat kemenangan dua kali ganda dahulu semasa di Badr? Kamu kalah Uhud, terbunuh 70 orang tetapi semasa Perang Badr, kamu boleh bunuh 70 orang dan tawan 70 orang.

أَنّىٰ هٰذا

kamu berkata: “Dari mana datangnya?

Kamu hairan dari mana kekalahan ini? Kamu tertanya-tanya? Kenapa tidak ditanya diri sendiri? Kenapa tidak muhasabah diri sendiri?

قُل هُوَ مِن عِندِ أَنفُسِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kemalangan) itu ialah daripada kesalahan diri kamu sendiri”

Allah ‎ﷻ jawab yang kekalahan itu berpunca daripada diri mereka sendiri kerana segelintir daripada mereka tidak patuh kepada arahan ketua. Mangsanya semua sekali yang kena. Allah ‎ﷻ kata ‘daripada diri kamu sendiri’. Kenapa begini, sedangkan bukanlah mereka semua yang membuat kesalahan? Ini adalah kerana orang Islam itu bersaudara, satu bahagian daripada bahagian yang lain.

Ini mengajar kita yang peperangan adalah perkara serius. Para sahabat telah mengambil pengajaran daripada kisah ini. Sampai kepada kisah yang terjadi semasa Saad Abi Waqqas رضي الله عنه memimpin tentera Islam menentang Iraq. Pada waktu itu tentera Islam adalah seramai 30 ribu orang. Beliau telah memberi arahan, kalau beliau takbir kali pertama, bersedia, jangan serang lagi. Apabila takbir kali kedua, bersedia juga, masih jangan serang. Apabila takbir kali ketiga, baru mula serang.

Namun selepas beliau takbir kali pertama, pihak musuh sudah menyerang mereka dan ada tentera Islam yang membalas serangan tanpa menunggu takbir kali ketiga. Saad Abi Waqqas رضي الله عنه telah berdoa: “Ya Allah, aku izinkan mereka.” Dan kemudian ada pasukan Islam dari sebelah lain pula yang menyerang juga tanpa menunggu takbir ketiga. Sekali lagi Saad رضي الله عنه berdoa: “Ya Allah, aku izinkan mereka.”

Saad رضي الله عنه berkata yang beliau takut terjadi peristiwa Uhud kali kedua jikalau mereka tidak taat kepada beliau sebagai Ketua Perang dan beliau takut Allah ‎ﷻ menarik bantuan kepada mereka. Oleh itu beliau terus memaafkan mereka yang tidak taat kepada arahannya sebelum itu. Begitulah betapa para sahabat faham dengan peristiwa Uhud itu.

إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia mahu. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan. Ini mengajar kita untuk redha dengan apa sahaja ketentuan daripada Allah ‎ﷻ. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita, itu memang sudah layak bagi kita dan memang patut kena. Allah ‎ﷻ tidak pernah salah membuat perkiraan, keputusan, atau tindakan.

Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim. Kita sendiri yang mesti muhasabah diri kita kenapa kita dikenakan dengan sebarang musibah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan