Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-67 hingga Ke-72

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-67 hingga Ke-72

286
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran 
Tafsir Ayat Ke-67

مَا كَانَ إِبْرٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah daripada orang-orang musyrik.

مَا كَانَ إِبْرٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا

Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian,

Allah  jawab salah faham mereka itu. Allah beritahu yang baginda bukan Yahudi (seperti dakwah Yahudi) dan bukan juga Nasara (seperti dakwaan Nasara). Tidaklah baginda itu Yahudi sedangkan nama Yahudi itu sendiri diambil daripada keturunan Nabi Yaakob yang datang jauh selepas Nabi Ibrahim. Dan tidaklah Nabi Ibrahim itu Kristian sedangkan Nabi Isa datang lama selepas baginda.

وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا

tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim

Allah beritahu yang Dia lebih tahu tentang Nabi Ibrahim dan apakah pegangan baginda. Maka Allah beritahu dalam ayat ini. Allah beritahu yang Nabi Ibrahim itu mengamalkan tauhid.

Lafaz حَنِيفًا maknanya lurus, meninggalkan syirik menuju kepada tauhid. Allah memberitahu bahawa Nabi Ibrahim itu fokus, tumpu kepada Allah. Walaupun masyarakat baginda waktu itu mengamalkan syirik, tetapi baginda tetap dengan pendirian tauhid.

Lafaz مُّسْلِمًا pula diterjemah oleh ulama sebagai muwahhidan – yang mengamalkan tauhid. Baginda berserah diri sepenuhnya kepada Allah dan ikut apakah ajaran Allah iaitu bertauhid kepada Allah.

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan dia pula bukanlah daripada orang-orang musyrik.

Allah menambah dengan mengatakan yang Nabi Ibrahim itu tidaklah syirik. Ini semua kita tahu, tetapi ianya ditekankan dalam banyak ayat Al-Qur’an supaya jangan orang Arab sangka mereka itu ikut Nabi Ibrahim. Ini kerana mereka juga ada gelar diri mereka ‘hanif’ kerana kononnya mereka ikut Nabi Ibrahim.

Namun, Allah tekankan bahawa baginda seorang yang hanif yang tidak mengamalkan syirik. Sedangkan orang Arab yang perasan ikut baginda itu, mereka mengamalkan syirik dalam amalan mereka.

Tafsir Ayat Ke-68

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرٰهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرٰهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ

Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya

Allah kata yang paling dekat dari segi fahaman dan cara hidup Nabi Ibrahim adalah mereka yang ikut cara baginda dulu (pada zamannya). Zaman baginda, itu adalah anak-anak baginda dan pengikut-pengikut baginda. Kita dapat tahu dari hadith bahawa tidak ramai yang mengikut ajaran tauhid Nabi Ibrahim.

وَهَٰذَا النَّبِيُّ

dan juga Nabi (Muhammad) ini

Dan Allah menekankan yang Nabi yang sama dengan amalan dan fahaman Ibrahim adalah Nabi Muhammad. Kerana Nabi Muhammad juga menegakkan fahaman tauhid.

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا

serta orang-orang yang beriman

Dan selain Nabi Muhammad, tentulah kita sebagai umat Nabi Muhammad (yang ikut ajaran tauhid baginda). Kerana orang beriman akan mengamalkan amalan dan fahaman tauhid. Jadi, yang rapat dengan Nabi Ibrahim adalah Nabi Muhammad dan pengikut-pengikut Nabi Muhammad, orang yang beriman sempurna, bukannya Ahli Kitab itu, seperti dakwaan mereka.

وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

Dan Allah ialah Pelindung sekalian orang-orang yang beriman.

Allah memberitahu yang Allah hanya memberi perlindungan kepada mereka yang beriman yang sebenar, bukannya seperti iman Ahli Kitab itu. Mereka sangka mereka yang beriman, tetapi mereka salah sebenarnya.

Allah memberi jaminan kepada mereka, kalau mereka ikut mahu beriman kepada dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu, maka Allah akan menjadi pelindung mereka. Maka, hendaklah mereka meninggalkan agama mereka yang salah itu dan masuk Islam kerana Islamlah agama yang benar.

Ajakan dan janji Allah ini masih tertegak sampai ke hari ini. Siapakah yang akan memberitahu janji Allah ini kalau bukan kita? Tetapi bagaimana kita hendak sampaikan kepada mereka kalau kita sendiri tidak belajar Al-Qur’an?

Tafsir Ayat Ke-69

Ini pula adalah sifat degil kedua golongan ahli kitab. Ini adalah Ayat Syikayah Allah (ayat rungutan) kepada mereka. Mereka berhujah dengan umat Islam bukannya hendak mencari kebenaran tetapi hendak menyesatkan dan merosakkan agama. Kalau hendak cari kebenaran, itu bagus namun mereka bukannya begitu.

وَدَّت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).

وَدَّت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ

Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu;

Allah memberitahu kita yang satu puak daripada mereka memang berkeinginan menyesatkan kita. Sebab itu mereka soal macam-macam tentang agama Islam kepada orang Islam. Tujuannya hendak mengelirukan dan hendak menyesatkan umat Islam.

Mereka timbulkan persoalan-persoalan untuk menyebabkan umat Islam ragu dengan agama sendiri. Maka, kalau kita pun tidak kenal agama sendiri, maka senanglah ditipu oleh puak musuh.

وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ

padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri,

Sebenarnya mereka tidak menyesatkan sesiapa melainkan mereka menyesatkan diri mereka sendiri. Mereka menjerumuskan diri mereka semakin dalam ke arah kesesatan.

وَمَا يَشْعُرُونَ

dan mereka pula tidak menyedari

Tetapi mereka sendiri tidak sedar. Mereka sangka mereka benar tetapi mereka tidak tahu mereka yang sesat.

Tafsir Ayat Ke-70

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaran-Nya?

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah

ِAllah tegur mereka kenapa mereka ingkar semua kitab daripada Allah? Bukan Al-Qur’an sahaja yang mereka tolak. Taurat dan Injil pun mereka tolak begitu sahaja. Setengah hukum Taurat dan setengah hukum Injil mereka tolak walaupun mereka kata itu kitab mereka.

وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ

padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?

Teruk sekali perbuatan mereka itu sedangkan mereka telah berikrar yang itu semua adalah ayat yang benar.

Dan mereka telah bersaksi bahawa itu kitab mereka sendiri.

Seolah-olah Allah bercakap kepada mereka: “Kamu tak bacakah kitab kamu sendiri? Bukankah di dalam Kitab Suci kamu sendiri kamu boleh saksikan bagaimana ia membenarkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu?”

Perkara yang sama boleh dikatakan kepada umat Islam yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan kerana tidak belajar, mereka langgar arahan Allah. Padahal semua Umat Islam kata Al-Qur’an adalah Kitab Suci dan pegangan mereka. Tetapi mereka baca sahaja tanpa faham. Oleh kerana tidak faham, maka mereka tidak dapat mengambil manfaat daripada ajaran-ajaran dalam Al-Qur’an.

Tafsir Ayat Ke-71

Allah beritahu lagi bahawa mereka itu hendak menyesatkan orang lain dengan mencampuradukkan kebenaran dan kebathilan dan menyembunyikan kebenaran.

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah,

Allah tegur mereka kerana mencampur adukkan yang haq (benar) dan batil (salah). Matan kitab suci itu tentunya haq tetapi syarah mereka berkenaan ayat-ayat itu bathil. Sudah bercampur baur antara yang benar dan yang bathil, sampaikan sudah tidak tahu manakah yang benar dan manakah yang salah.

Seperti juga ulama-ulama su’ (ulama-ulama jahat) di dunia sekarang – mereka tidak boleh hendak ubah ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi mereka syarah sampai maksud lari daripada maksud yang difahami oleh salafussoleh.

وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

Allah tegur mereka kerana sengaja menyembunyikan kebenaran walaupun mereka tahu. Bila tafsir ayat-ayat daripda Kitab suci, mereka tafsir dengan cara yang salah. Dan selalunya, mereka tidak keluarkan pun matan kitab yang asal. Ini adalah kerana pemuka-pemuka agama Yahudi dan Kristian, merekalah yang memegang kitab Taurat dan Injil yang asli dan mereka tidak berikan kepada masyarakat umum. Ini telah menyebabkan orang lain sesat.

Maksudnya mereka tahu bahawa mereka telah menipu kerana mereka ada kitab di tangan mereka.

Tafsir Ayat Ke-72

Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan) yang ketiga. Allah menceritakan ikhtiar mereka yang sentiasa hendak menyesatkan manusia. Ada sahaja idea-idea jahat mereka.

Seperti mubaligh Kristian sekarang, macam-macam cara mereka lakukan untuk menyesatkan umat Islam. Mereka buat komiklah, keluarkan tohmahan-tohmahan, buat-buat sengaja hendak belajar Islam dengan orang Islam lah dan macam-macam lagi.

وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ ءآمِنُوا بِالَّذِي أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ ءآمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا ءآخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan berkatalah segolongan daripada Ahli Kitab (sesama sendiri): “Berimanlah kamu kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula”.

وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ

Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab

Dikatakan ini adalah perkataan pendita-pendita Yahudi kepada anak murid mereka. Mereka risau kerana semakin ramai daripada orang Yahudi yang masuk Islam. Jadi mereka buat perancangan jahat untuk melemahkan agama Islam.

ءآمِنُوا بِالَّذِي أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ ءآمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ

Berimanlah kamu kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi,

Ini adalah salah satu daripada rancangan jahat mereka. Mereka ajak puak-puak mereka masuk Islam ramai-ramai, tetapi sekejap sahaja. Digunakan lafaz وَجْهَ النَّهَارِ, maksudnya buat perkara itu secara terang-terangan di waktu siang supaya semua nampak wajah mereka. Semua manusia nampak yang mereka telah masuk Islam beramai-ramai.

وَاكْفُرُوا ءآخِرَهُ

dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya,

Dan selepas itu mereka merancang untuk keluar daripada Islam ramai-ramai dan supaya orang ramai nampak apa yang mereka lakukan.

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka kembali menjadi kafir semula

Tujuan mereka buat begitu adalah supaya orang Islam yang jahil pun akan keliru dan mereka pun keluar Islam juga. Mereka akan masuk sekejap dan selepas sehari dalam agama Islam, mereka akan kata mereka sudah rasa agama Islam, tetapi mereka dapati ia tidak ada apa-apa.

Mereka mahu supaya yang jahil daripada agama Islam akan kata, tengoklah puak yang tahu agama itu sudah masuk Islam pun, tetapi sebab Islam tidak benar, mereka pun keluar Islam.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan