Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-256 dan Ke-257

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-256 dan Ke-257

1262
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah 

Tafsir Ayat Ke-256

لا إِكراهَ فِي الدّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ ۚ فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ وَيُؤمِن بِاللَّهِ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

لا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam ugama

Selepas Allah ‎ﷻ memberitahu Sifat-sifat-Nya, Allah ‎ﷻ kata tidak ada paksaan dalam agama. Kalau selepas diberitahu sifat-Nya sebegitu hebat, tetapi masih tidak mahu beriman, tidak ada gunanya untuk memaksa sesiapa. Sepatutnya selepas tahu sifat Allah ‎ﷻ, siapakah Allah ‎ﷻ itu, manusia kena datang taat kepada Allah ‎ﷻ dengan rela.

Memang tidak boleh paksa sesiapa pun untuk masuk agama Islam. Tidak boleh tangkap orang dan suruh mereka mengucap. Tidak ada gunanya kalau iman itu dipaksa. Maknanya, bukan dia beriman pun.

Tetapi apabila telah masuk agama Islam, mereka boleh dipaksa dalam perkara-perkara hukum. Maka kita kena bezakan dua jenis paksaan ini. Perumpamaan kalau sudah masuk sekolah, kena taat kepada guru. Selagi belum masuk sekolah, guru tidak boleh paksa pelajar itu untuk masuk kelas atau mendendanya untuk mengutip sampah yang berselerakan di padang.

Tetapi apabila pelajar sekolah itu sudah mula belajar di sekolah itu, maka guru-guru boleh memaksa pelajar itu untuk melakukan sesuatu kerana telah ada perjanjian daripada pelajar itu untuk taat kepada guru. Sememangnya pelajar kena ikut undang-undang sekolah.

Oleh kerana itu tidak boleh paksa sesiapa pun masuk Islam tetapi apabila sudah masuk Islam, ada undang-undang yang perlu ditaati. Jangan pula bila kita suruh anak kita salat, dia jawab tidak boleh paksa salat pula. Atau ada yang kata tidak boleh paksa pakai Hukum Hudud kerana ‘tidak ada paksaan dalam agama’. Apabila sudah masuk Islam, maka kewajipan beramal dengan undang-undang suruh dalam Islam sudah menjadi wajib bagi orang itu.

Allah ‎ﷻ tidak mahu manusia beriman kepada-Nya jika di atas dasar paksaan. Ini kerana iman adalah perkara hati dan hati itu tidak boleh dipaksa oleh manusia lain. Yang kena paksa masuk Islam ini, dan katakanlah mereka mengaku masuk Islam, ia adalah seumpama telur yang luarnya nampak cantik tetapi di dalamnya sudah busuk iaitu telur tembelang.

Mungkin ada hujah yang kata bukankah Islam mengembangkan agama dengan pedang? Ini kerana mereka baca dalam sejarah, umat Islam banyak menjalankan jihad perang semenjak zaman Nabi Muhammad ﷺ lagi. Kalau ada yang berkata begitu, mereka telah mendapat maklumat yang salah tentang peperangan dalam Islam.

Nabi ﷺ dan Islam tidak pernah memaksa manusia masuk Islam. Nabi ﷺ berperang untuk menegakkan keadilan. Agama Islam menjalankan jihad perang untuk membebaskan rakyat yang ditindas, bukannya memaksa mereka masuk Islam. Yang selalu menghalang dakwah Islam sampai adalah para pemimpin mereka, maka mereka itu yang kena ditentang supaya dakwah Islam boleh sampai.

Tetapi selepas negara itu dibebaskan daripada cengkaman pemerintah zalim, kerajaan Islam tidak paksa rakyat negara itu beriman. Terpulang kepada mereka sama ada hendak beriman atau kekal dalam agama asal mereka. Islam tidak perlukan manusia masuk Islam dalam paksaan. Allah ‎ﷻ mahu hamba-Nya yang ikhlas hati menyembah dan taat kepada-Nya.

Buktinya, kita boleh lihat dalam sejarah. Memang ramai yang masuk Islam selepas negara mereka dibebaskan tetapi selepas negara itu bebas daripada kerajaan Islam, mereka tidak pula tukar agama, bukan? Ini menunjukkan memang mereka masuk Islam kerana ikhlas dan mereka tidak tinggalkan Islam kerana mereka tahu yang Islam itu adalah agama yang benar.

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kesesatan

Fahaman tauhid ini sangat jelas kebenarannya sampai tidak perlu dipaksa manusia untuk masuk Islam. Sangat jelas yang petunjuk tauhid itulah yang benar, kalau dibandingkan dengan kesesatan syirik.

Mereka yang tidak jelas itu adalah kerana mereka jahil tidak belajar. Maka hendaklah mereka itu belajar tafsir Al-Qur’an barulah jelas. Ataupun mereka sudah nampak tetapi mereka menutup hati mereka kepada Islam. Ini kerana mereka tetap hendak ikut hawa nafsu mereka.

Apabila tauhid sudah jelas, maka syirik itu juga jelas sepertimana juga apabila hitam telah jelas maka putih pun jelas. Namun kalau yang tidak belajar ilmu wahyu, mereka tidak akan tahu mana satu tauhid dan mana satu syirik. Oleh itu, apabila kita memberitahu tentang apakah akidah yang benar dan lawannya syirik, masyarakat Islam banyak yang jadi keliru kerana tidak biasa mendengar tentangnya.

فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ

Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada Taghut,

Taghut itu bermaksud segala apa yang dipuja selain daripada Allah ‎ﷻ. Tidak kira apa benda pun. Boleh jadi manusia, kerajaan, fahaman, wang dan sebagainya. Orang yang beriman akan menolak taghut itu. Mereka tidak akan sembah selain daripada Allah ‎ﷻ.

Definisi taghut dijelaskan dalam [ Nisa’: 51 ].

وَيُؤمِن بِاللَّهِ

dan dia pula beriman kepada Allah,

Kena benar-benar beriman dengan Allah ‎ﷻ. Itulah ‘iman yang sempurna’ iaitu tidak menyembah dan taat kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Ini penting kerana manusia ada yang beriman dengan Allah ‎ﷻ, namun dalam masa yang sama, mereka beriman dengan ilah-ilah yang lain lagi. Boleh rujuk [ An’am:82 ] dan [ Yusuf: 106 ].

Lihatlah susunan dalam ayat ini – Kena tolak taghut dahulu baru sebut beriman dengan Allah ‎ﷻ. Macam kalimah la ilaaha illallah – kena tolak ilah selain Allah ‎ﷻ dahulu. Selepas sudah tolak, barulah kita terima masuk iman itu.

Begitulah kalau kita hendak memasukkan air ke dalam gelas, kita kena pastikan yang gelas itu bersih daripada kekotoran dahulu. Jangan terus masukkan air yang baru kerana itu akan menyebabkan air itu akan bercampur dengan kekotoran yang sudah ada.

Malangnya, masyarakat Islam kita sekarang banyak yang mencampur adukkan iman dan fahaman syirik. Ini adalah kerana mereka itu jahil dengan wahyu dan tidak dapat membezakan mana tauhid dan mana syirik.

فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها

sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.

Kalimah عُروَةِ bermaksud sesuatu yang boleh dipegang. Macam stereng kereta pun boleh dikatakan sebagai salah satu عُروَةِ juga kerana kita pegang padanya. Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan tali yang disimpul kuat sampaikan boleh dipegang.

Begitulah dalam keadaan yang bergolak, seperti kapal yang dilanda badai lautan, kita kena pegang kepada sesuatu yang boleh meneguh dan menyelamatkan kita. Antaranya adalah tali tetapi tali yang boleh dipegang mestilah yang ada simpul, baru senang dipegang.

Ada tafsir yang mengatakan bahawa عُروَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Maknanya kita kena berpegang dengan Al-Qur’an. Maka, kenalah belajar sampai habis tafsir Al-Qur’an ini dan terus mempelajari dan mendalami pemahamannya.

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Ini satu lagi sifat Allah ‎ﷻ yang Dia beritahu kepada kita. Dia Maha Mendengar segalanya. Kita pun mendengar juga, tetapi tidaklah pendengaran kita seperti pendengaran Allah ‎ﷻ. Kalau orang jauh sedikit, kita pun sudah tidak dengar.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apa sahaja yang kita lakukan. Maka kita kena sedar dan berhati-hati dengan kata-kata kita kerana Allah ‎ﷻ tahu. Kalau kata-kata dan perbuatan kita itu salah, maka Allah ‎ﷻ akan buat penilaian dan buat pembalasan di akhirat kelak.

Tafsir Ayat Ke-257

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا

Allah Pelindung orang-orang yang beriman.

Apabila seseorang itu telah berpegang dengan akidah tauhid, sudah betul-betul beriman, tidak menyembah dan memuja taghut dan tidak melakukan syirik, maka Allah ‎ﷻ akan menjadi wali (pelindung) kepada orang yang beriman itu. Ini adalah sesuatu yang kita amat-amat harapkan.

يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya.

Kelebihan Allah ‎ﷻ sebagai pelindung adalah, Dia akan mengeluarkan orang yang beriman itu daripada segala kegelapan syirik kepada cahaya tauhid. Maka mereka tidak lagi akan melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat.

Perkataan الظُّلُماتِ itu dalam bentuk jamak (plural) yang bermaksud bermacam-macam jenis kegelapan. Lihatlah bagaimana perkataan النّورِ pula dalam bentuk singular – maknanya, kegelapan kufur ada banyak jenis, tetapi cahaya tauhid hanya ada satu sahaja, tidak ada yang lain.

Perkataan يُخرِجُ itu adalah dalam bentuk present continuous tense, maksudnya Allah ‎ﷻ akan sentiasa melakukannya. Ini penting kerana walaupun kita telah beriman, namun sekali sekala kita akan ada masalah dengan iman kita kerana iman akan turun dan naik. Tambahan pula dalam zaman sekarang yang banyak gangguan dan pujukan dunia.

Maka kalau kita beriman, Allah ‎ﷻ akan sentiasa menyelamatkan kita daripada masalah kita yang sekali sekala akan berlaku. Kita mungkin tersasar sekejap, tetapi Allah ‎ﷻ akan selamatkan kita balik. Allah‎ ﷻ akan tarik kita kembali ke jalan yang benar. Asalkan kita terus beriman dan mahu kepada kebenaran.

Daripada segi bahasa, ‘wali’ adalah entiti yang ‘mahu’ melindungi seseorang. Dalam Al-Qur’an juga, ada disebut satu lagi perkataan daripada kata dasar yang sama dengan wali, iaitu ‘mawla’. Apakah bezanya?

‘Wali’ bermaksud entiti yang ‘mahu’ melindungi dan menolong, sedangkan ‘mawla’ adalah entiti yang benar-benar boleh melindungi dan menolong. Bapa seorang perempuan juga selalu dikatakan sebagai wali. Ini adalah kerana bapa itu adalah pelindung perempuan itu dan dia memang mahu melindungi anaknya pun. Namun begitu, walaupun dia memang mahu melindungi, tetapi apabila datang sesuatu musibah, adakah setiap kali bapa itu dapat melindungi?

Tentu tidak, kerana ada masanya bapanya pun tidak dapat membantu dan melindungi anaknya itu kerana ia adalah di luar kemampuannya, walaupun dia hendak sangat melindungi anaknya itu. Allah ‎ﷻ tidak mengalami masalah ini kerana Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja mampu kerana itu Allah ‎ﷻ sahaja mawla.

Kenapa diberi penerangan ini? Kerana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia adalah wali kepada orang beriman dan wali kepada orang kafir adalah taghut. Jadi, dua-dua pihak ada wali tetapi nanti dalam surah yang lain, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa orang-orang beriman ada ‘mawla’, tetapi orang kafir tidak ada ‘mawla’. Jadi, orang beriman akan mendapat kelebihan.

وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ

Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut

Pelindung mereka mereka yang kafir adalah taghut. Sebenarnya taghut itu tidak dapat melindungi mereka tetapi mereka sahaja yang sangka pelindung mereka adalah taghut itu. Taghut adalah apa sahaja yang menjauhkan manusia daripada Allah ‎ﷻ. Ini disebut juga dalam [ Nisa’:51 ].

يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ

mereka (taghut) mengeluarkan mereka (orang-orang kafir) dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

Taghut itu akan mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Begitulah kadang-kadang manusia ada yang nampak kebenaran Islam, tetapi sekejap sahaja kerana Syaitan akan menarik mengheret mereka ke dalam kegelapan semula.

Bukan orang kafir sahaja ada masalah ini, tetapi orang yang mengaku Muslim pun ada yang mengalami masalah ini. Kalau dia seorang Islam pun, namun kalau dia menjadikan taghut sebagai wali, orang itu akan mengalami masalah ini. Sebab itu kita boleh lihat banyak sekali manusia yang telah dilahirkan Islam tetapi kehidupan mereka tidak melambangkan agama yang suci ini.

Daripada segi susunan bahasa pun berbeza antara wali orang mukmin dan wali kepada orang kafir. Apabila disebut Allah ‎ﷻ sebagai wali, Allah ‎ﷻ disebut dahulu – (Allah ‎ﷻ menjadi mubtada’). Namun apabila disebut wali kepada orang kafir, orang kafir itu yang disebut dahulu – taghut itu hanya menjadi khabar sahaja.

Dalam susunan bahasa Arab, ada perbezaan dalam susunan ini yang tidak dapat difahami kalau kita hanya membaca terjemahan sahaja. Ini memerlukan sedikit pengetahuan tentang bahasa Arab untuk dapat memahaminya. Ini sudah termasuk dalam Ilmu Balaghah (pemahaman lebih dalam melihat daripada bahasa yang digunakan).

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Mereka itulah ahli neraka,

Akhirnya mereka akan masuk ke dalam neraka. Mereka dapat ‘geran’ neraka.

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Mereka akan pegang geran neraka itu dan kekal di dalamnya. Mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Ini adalah satu nasib yang amat-amat malang sekali. Semoga kita diselamatkan dari neraka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan