Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Bab Falsafah (Bahagian 1)

Talbis Iblis: Bab Falsafah (Bahagian 1)

238
0
Iklan

Golongan Falsafah menafikan ada kebenaran yang mutlak. Ini adalah fahaman yang bertentangan dengan wahyu Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka mendewakan akal dan rasional. Kebenaran yang ada dalam wahyu masih lagi boleh ditimbal dan dikaji dan kadangkala ditolak.

Ini adalah amat bahaya. Mereka boleh pula ikut fahaman masing-masing. Mereka reka fahaman baru dan mereka berhujah begitu dan begini. Wahyu ditafsirkan mengikut fahaman mereka pula. Ini kita boleh lihat banyak dilakukan oleh golongan yang kononnya bijak pandai. Mereka mungkin berkelulusan tinggi dan kerana itu mereka bijak berkata-kata dan mengeluarkan pendapat yang senang diterima oleh golongan yang jahil.

Sehinggalah sekarang sampai sudah tidak boleh salahkan fahaman yang salah pula. Kalau kita tegur mana-mana fahaman yang lari daripada fahaman salaf, kita pula yang kena kutuk kerana kononnya hendak menghormati perbezaan pendapat.

Perbezaan pendapat memang boleh, tetapi kenalah dalam lingkungan kefahaman wahyu. Jangan pakai akal semata-mata. Syaitan memang suka kerana apabila akal sudah dipandu wahyu, maka susah untuk mereka sesatkan.

Apakah sifat Ilmu Falsafah ini? Ia mengajar ilmu dengan cara berbelit-belit. Kebenaran boleh dipusingkan sampai jadi lain; yang haram boleh jadi halal dan yang halal boleh jadi haram. Akhirnya semua sekali boleh dilakukan kerana ada ‘ruang’ untuk melakukannya.

Bukanlah akal tidak boleh dipakai tetapi hendaklah dipandu dengan wahyu. Dalam sejarah Islam, Kaum Muktazilah sehaluan dengan mereka. Ini adalah kerana Muktazilah akan melebihkan akal daripada nas. Nas yang tidak kena dengan akal (akal tidak dapat faham) akan ditolak oleh mereka.

Dari segi bahasa, ‘falsafah’ ini berasal daripada kalimah:

Filo: cinta
Sufia: wisdom (kebijaksaan)

Maka, ‘falsafah’ ini bukanlah istilah daripada sejarah Islam. Ia sebenarnya asal daripada fahaman Yunani Kuno. Apabila falfasah Yunani (Greek) ini diterjemahkan oleh orang Islam dan dipelajari oleh orang Islam yang terpelajar, maka fahaman falsafah ini telah masuk ke dalam arus pemikiran Islam.

Asalnya mereka hendak mencari hakikat segala yang wujud. Kerana itulah kemuncak pemahaman pada mereka – mengetahui hakikat sesuatu. Maka mereka mengkaji dan mengkaji. Lama-kelamaan masuk ke dalam fikiran ilmu Islam. Ada pula cabang ilmu falsafah dalam arus perdana pengajian Islam yang asalnya tiada.

Maka fahaman Yunani Kuno itu telah meresap ke dalam pemikiran umat Islam. Sedangkan Yunan itu penyembah dewa, seperti Zeus, Poseidon dan lain-lain. Maka ini amat bahaya kerana iman boleh tergelincir. Boleh terkeluar daripada manhaj ilmu Islam.

Mereka yang terbelit dengan Falsafah ini mungkin ada selera tinggi dalam ibadah. Akan tetapi malangnya amalan dan fahaman mereka tidak dikawal dengan dasar wahyu dan syarak.

Mereka banyak mengikut hawa nafsu dan akal fikiran sendiri. Sebab itu Nabi ﷺ sudah berkata bahawa Khawarij itu kalau dibandingkan salat mereka dan puasa mereka dengan kamu (para sahabat) memang akan kalah.

Namun masalahnya, mereka berasa ilmu agama dan akidah itu samar (ghomidoh). Nas-nas wahyu pada mereka kabur iaitu susah dijelaskan menggunakan akal. Maka mereka cuba untuk menjelaskannya dengan akal. Pada mereka, kalau akal faham, barulah boleh diterima.

Padahal bukan semua ajaran agama boleh difahami oleh akal kerana Allah ﷻ dan Rasul ﷺ memperkatakan perkara ghaib yang tidak boleh dijelaskan semuanya dengan akal.

Kerana masalah ini, mereka susah hendak beriman terus kerana semua perkara mereka ingin jelaskan dengan akal.

Atau mereka tawaquf (berhenti) dahulu daripada melakukan sesuatu sampai akal mereka dapat faham. Maka mereka tidak beramal selagi tidak faham kenapa kena buat begini dan begitu. Sedangkan bukan semua ajaran Allah ﷻ akal mampu faham. Sebagai contoh, bagaimana hendak menjelaskan kenapa salat Subuh dua raka’at dan salat Maghrib tiga raka’at pula?

Bukanlah kita katakan ajaran agama semuanya tidak masuk akal. Ia memang boleh diterima oleh akal yang sihat, cuma akal tidak mampu hendak memahami atau menjelaskan hakikat semua perkara. Sebagai seorang mukmin, kalau ia sahih dari Allah ﷻ dan Rasul ﷺ, maka kita kena terima dan amalkan.

Maka golongan falsafah ini mereka telah menggunakan ilmu mantiq, iaitu menggunakan akal untuk memahami hal-hal agama. Jadi ini adalah seperti Golongan Muktazilah dan seperti yang sefahaman dengan mereka. Mereka inilah golongan yang menggunakan ilmu falsafah untuk memahami akidah.

Sebenarnya mereka tanpa sedar telah mendewakan akal. Sememangnya Allah ‎ﷻ suruh menggunakan akal namun mereka telah berlebihan sehingga mendewakan akal. Akal menjadi dewa dan rujukan pertama dan terakhir bagi mereka.

Sebagai contoh: mereka membahaskan tentang ‘keadilan Allah ‎ﷻ’. Mereka kata bukan syurga dan neraka sahaja yang ada kerana kalau hanya ada dua sahaja, itu bermakna Allah ‎ﷻ tidak adil (pada mereka). Maka mereka kata tempat lain yang mereka panggil: manzil baina manzilatain (satu tempat antara dua tempat).

Ini adalah fahaman dan perkara yang mereka reka sendiri. Mereka kata dalam dunia memang ada orang jahat dan orang yang baik. Kepada dua golongan ini, mereka memang patut kalau masuk neraka atau syurga. Akan tetapi, dalam dunia ini juga ada orang yang belum ada kebaikan dan kejahatan. Seperti siapa?

Seperti budak yang mati sebelum baligh, budak yang penyakit “down syndrome”, orang gila sejak lahir dan lain-lain lagi. Bagaimana dengan mereka yang seperti ini? Kalau mereka dimasukkan ke dalam syurga, tidak patut kerana mereka tidak ada pahala.

Kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak ada buat salah, bukan? Nanti tentu mereka akan protes kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka.

Maka Golongan Muktazilah berkata mereka yang sebegini tidak masuk syurga atau neraka. Barulah adil kalau begitu. Sebenarnya kalau ikut logik akal, memang logik. Tetapi ini tidak seperti yang difahami oleh ahli sunnah yang kata mereka masuk syurga. Ini berdasarkan fahaman yang benar. Maka begitulah kacau bilaunya pemikiran kita kalau pakai akal.

Golongan Muktazilah ini tidak berpuas hati kerana mereka hendakkan akal terima juga. Kalau akal susah hendak terima, tidak redha dengan pemahaman itu, maka mereka akan tolak.

Lalu bagaimana kita hendak jelaskan? Kita kena sedar yang semasa budak itu lahir, Allah ‎ﷻ telah tahu masa hadapan orang itu, bukan? Ini kerana ilmu Allah ‎ﷻ amat luas: apa yang terjadi dunia dan di akhirat, memang Allah ‎ﷻ telah tahu.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ telah tahu orang yang baru lahir itu akan masuk syurga atau dia sebenarnya ahli neraka. Maka Allah‎ ﷻ telah tahu dari dahulu lagi.

Namun golongan Muktazilah masih tidak berpuas hati. Mereka kata, kalau orang kafir masuk neraka, tentu dia protes begini: “Kenapa masukkan aku ke dalam neraka? Engkau kan tahu yang kalau aku besar, aku akan jadi kafir? Jadi kenapa tidak matikan aku ketika aku kecil?”

Bukankah ada kisah dalam Surah Kahf yang kisah budak dimatikan awal, bukan? Ini tentang kisah Nabi Khidr عليه السلام yang membunuhnya. Maka golongan Muktazilah kata, orang yang dimasukkan ke neraka itu tentu akan berhujah: “Kenapa tak matikan awal macam dia?”

Kepada golongan yang berfahaman seperti Muktazilah, perkara sebegini membingungkan, kerana tidak logik pada mereka. Mereka kata, kasihan kepada orang yang dimasukkan ke dalam neraka itu. Sedangkan kita selalu kata Allah‎ ﷻ itu pengasih dan penyayang. Maka kalau pengasih dan penyayang, kenapa tidak matikan dia awal-awal lagi, supaya dia dapat masuk syurga?

Inilah kekeliruan mereka kerana mereka melihat hal agama dan qada’ qadar dengan akal mereka sahaja.

Jawapan bagi mereka: Kisah budak di dalam Surah Kahf itu dimatikan sebagai manfaat kepada ibubapa dia juga, bukan untuk budak itu sahaja. Ini adalah kerana ibubapa dia adalah mukmin. Dia dimatikan awal kerana kalau dia hidup sampai besar, dia akan menyebabkan tergugatnya agama ibubapanya.

Maka ini adalah salah satu Karamah yang diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ selamatkan mereka dari perkara yang berlaku di masa hadapan yang akan susahkan mereka.

Komen dan Soalan