Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-168 hingga Ke-170

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-168 hingga Ke-170

5925
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat ke-168 hingga ke-176 memberitahu kita yang hukum halal dan haram itu adalah hak Allah ‎ﷻ dan bukan hak makhluk. Prinsip yang dipegang ialah hukum itu apa yang diturunkan Allah ‎ﷻ. Bukan berdasarkan tradisi atau mengikut nilai masyarakat.

Kita juga diajar yang tidak boleh sembunyikan hukum Allah ‎ﷻ. Kelak nanti diancam dengan azab neraka.

Ayat ini adalah berkenaan hukum halal dan haram. Termasuk bab berpantang dalam bersalin dan sebagainya. Ia membantah amalan memberi pantang kepada benda yang halal. Atau pun menghalalkan benda yang haram. Itu semua adalah perbuatan yang kufur kerana ia melibatkan perkara akidah.

Sebagai contoh, kalau ada yang kata tidak boleh minum susu atas sebab-sebab tertentu, contohnya pantang bersalin, pantang kerana mengamalkan ilmu wirid khas dan sebagainya. Kalau ada sebab yang boleh diterima akal, seperti sebab-sebab kesihatan, tidak mengapa.

يا أَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلالًا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ

Wahai manusia semua sekali;

Ayat ini ditujukan kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang kafir atau Islam. Ini adalah satu dalil yang mengatakan bahawa Al-Qur’an ini bukan untuk orang Islam sahaja. Ia adalah mesej sejagat kerana kadang-kadang Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada manusia keseluruhannya. Kadang-kadang Allah ‎ﷻ bercakap kepada orang beriman, kadang-kadang kepada Bani Israil dan sebagainya.

Mesej ini juga diberikan kepada mereka yang masih tidak mahu lagi masuk Islam walaupun mereka tahu Islam itu adalah agama yang benar. Mereka takut masuk Islam sebab takut apa yang akan dikatakan oleh keluarga mereka, masyarakat mereka dan mereka tidak mahu meninggalkan kebiasaan yang mereka telah lakukan.

كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ

Makanlah daripada apa yang ada di bumi

Ayat ini dikeluarkan selepas ayat tentang ikut mengikut orang lain sebelum ini. Ini kerana kalau kita mengikuti orang lain tanpa usul periksa, lama-kelamaan kita akan buat sesuatu yang tidak halal. Mereka sudah tidak hiraukan sempadan yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ.

Yang mereka kisah adalah apa yang dikatakan oleh kumpulan-kumpulan mereka. Mereka hendak menjadi seperti ketua-ketua atau model-model ikutan mereka. Kita boleh mengikuti orang lain, tetapi jangan melepasi halangan yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Antara masalah besar yang dibuat oleh orang Islam sekarang adalah majlis perkahwinan. Sudah macam majlis perkahwinan agama lain. Kita pun sudah tidak tahu sama ada orang yang berada dalam majlis itu adalah orang Islam atau tidak kerana ada perkara-perkara yang haram di dalamnya.

Percampuran lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menutup aurat, muzik yang tidak baik. Itu belum lagi dikira dengan amalan-amalan syirik dalam majlis persandingan. Mereka tidak sedar bahawa apabila mereka bersanding, mereka mengikut apa yang diamalkan oleh agama Hindu. Persandingan itu adalah mengenang perkahwinan Dewa Sri Rama dan Sita Devi.

Orang Hindu mengabadikan peristiwa itu dalam bentuk patung yang sama macam persandingan. Orang mengamalkan bersanding sebagai mengikut perkahwinan dewa mereka itu. Kalau mereka amalkan itu adalah syirik, tidakkah kalau kita pun ikut sama, kita tidak syirik? Adakah Allah ‎ﷻ berat sebelah? – Mereka mengamalkan syirik, tetapi kalau kita amalkan tidak menjadi syirik pula?

Ayat sebelum ini tentang kejadian apa yang akan terjadi kepada mereka yang tidak mengikut ajaran Islam semasa di dunia. Maka, sekarang Allah ‎ﷻ memberikan kita nasihat tentang apakah yang perlu kita lakukan di dunia kalau tidak mahu mendapat nasib yang buruk di akhirat nanti. Allah ‎ﷻ selalu bertukar daripada menceritakan tentang akhirat dan dunia. Kejap Allah ‎ﷻ akan bercerita tentang akhirat, sekejap Allah ‎ﷻ tukar kepada dunia pula.

Lafaz كُلُوا dalam ayat ini bukanlah arahan untuk kita ‘kena’ makan. Allah ‎ﷻ tidak paksa kita makan. Cuma kita kena ada iktikad yang benda-benda itu boleh dimakan. Mungkin kita tidak suka makan, tidak mengapa kalau kita tidak makan pun. Cuma ulama’ kata kalau pernah kita pantangkan kepada diri kita sebelum ini, maka kena makan sekali untuk membatalkan pantang yang diamalkan sebelum ini.

حَلَالًا طَيِّبًا

yang halal lagi baik;

Apakah yang dimaksudkan dengan halal lagi baik? Sebagai contoh, kita ambil binatang sembelihan. Lembu itu memang kita tahu halal untuk dimakan. Maksud ‘baik’ itu pula, bermaksud bukan lembu curi. Pemilikan makanan itu pun kena halal juga. Kalau halal, tetapi barang yang telah dicuri, tidak baik – ia haram juga kerana ia adalah hasil daripada curian.

Kadang-kadang kita lupa untuk menimbang sama ada rezeki yang kita dapati itu adalah daripada sumber yang halal atau tidak. Walaupun kita makan makanan yang pada dasarnya halal, tetapi kalau cara kita mendapatkannya adalah dengan cara yang haram, maka ia adalah haram untuk kita makan. Contohnya, kita dapat rezeki itu dengan cara menipu hak orang lain. Kalau kita dapat cara menipu, maka ia adalah rezeki yang haram.

Kalau binatang ternak, cara memakan binatang ternak itu pun kenalah betul – kena sembelih dengan cara yang betul. Kalau kita pakai contoh lembu tadi, memanglah halal, tetapi kalau dimatikan dengan cara diketuk sampai mati, tidak boleh makan juga.

Negara Islam sepatutnya adalah negara yang memudahkan mencari benda yang halal daripada yang haram. Sepatutnya di negara yang Islam, susah untuk dicari benda yang haram.

Namun malangnya, walaupun Malaysia ini dikatakan sebagai negara Islam dan penduduknya ramai yang Islam, tetapi benda masih lagi senang didapati. Kita bukan cakap tentang makanan sahaja, tetapi benda-benda lain juga. Banyak hiburan-hiburan yang haram bersepah di negara ini.

Islam mengajak kepada perkara yang halal kerana ia adalah baik untuk semua orang. Bukan untuk orang Islam sahaja. Sebab itu ayat ini dimulakan dengan seruan kepada seluruh manusia.

Contohnya berkenaan riba. Islam mengharamkan riba kerana ia adalah satu cara perniagaan yang tidak adil. Menyusahkan semua orang, bukan orang Islam sahaja. Kalau pakar ekonomi mengkaji dengan jujur, mereka akan nampak bahawa ia adalah buruk untuk ekonomi dunia.

Ada pakar ekonomi sudah mengkaji dan ada yang masuk Islam kerana mereka nampak kebaikan yang dibawa oleh Islam dengan pengharaman riba ini. Pada zaman sekarang, sudah ada institusi kewangan dan bank yang mengamalkan konsep bank tanpa riba walaupun mereka bukan muslim.

وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ

dan janganlah sekali-kali kamu ikuti jejak langkah syaitan;

Kita diingatkan supaya jangan mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan campur tangan dalam hal halal haram. Mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Oleh itu jangan kita ikut bisikan daripada mereka. Merekalah yang mengajar sesetengah puak yang mereka tidak boleh makan sesetengah makanan kerrana ia tidak akan terjadi sendiri tetapi kerana Syaitan yang membisikkan idea itu kepada mereka.

Kerana syaitanlah yang membisikkan supaya menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal. Sebagai contoh, apabila orang Melayu bersalin, mereka diberitahu oleh bidan-bidan bahawa mereka tidak boleh makan ayam. Namun kepada orang Cina, disuruh makan ayam pula supaya badan menjadi kuat semula. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang bersalin, tetapi kita orang melayu, tidak boleh makan benda-benda yang berzat pula. Itu mereka namakan sebagai ‘pantang’.

Berpantang itu adalah perkara yang syirik kerana ikut cakap tok bidan yang mengharamkan benda-benda makanan. Kita tidak tahu pun kenapa kita tidak boleh makan makanan yang dipantangkan itu. Kita ikut sahaja kata orang-orang tua tanpa usul periksa. Sepatutnya, yang boleh mengharamkan apakah yang tidak boleh dimakan adalah hanya Allah ‎ﷻ sahaja, tetapi kita terima pula larangan bidan itu, atau kata orang-orang lain.

Syaitan amat suka kalau kita mengharamkan yang halal kerana itu sudah perbuatan mengambil kerja Allah ‎ﷻ dan ia adalah syirik. Namun tentu kalau kita mengatakan salah kalau mengamalkan ‘pantang’, kita akan dimarahi dan dikata macam-macam tohmahan. Jadi, kita malu kalau tidak berpantang. Kita takut kepada orang yang jahil.

Contoh lain yang manusia haramkan sesetengah makanan kepada mereka adalah kerana keturunan. Kononnya keturunan mereka tidak boleh makan makanan ini dan itu. Sebagai contoh, ada golongan di Kelantan yang tidak boleh makan Ikan Kacang.

Contoh satu lagi adalah golongan-golongan yang mengamalkan wirid-wirid khas. Guru mereka akan ajar anak murid, kalau hendak mengamalkan wirid-wirid itu, tidak boleh makan makanan berdarah, atau adalah pantang-pantang mereka yang lain.

Mula-mula syaitan hanya boleh membisikkan kepada kita untuk melakukan kesalahan. Kalau kita sudah mula mengikut bisik-bisikan itu, syaitan sudah boleh mengarahkan kita buat sesuatu yang jelas salah.

Kita sudah tidak rasa kita buat perkara yang haram kerana kita dari dahulu lagi kita sudah mula membuat perkara-perkara yang salah sedikit demi sedikit. Perbuatan dosa itu sudah sebati dengan kita. Kita rasa macam tidak ada apa sahaja kalau buat benda yang salah.

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang jelas nyata;

Iblis telah berjanji di hadapan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam عليه السلام. Mereka tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti. Mereka pula banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita.

Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana. Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak lagi dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.

Tafsir Ayat Ke-169

Apakah alamat yang syaitan itu adalah musuh yang jelas nyata?

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ

Syaitan itu akan menyuruh kamu

Kalau kita mula mendengar was-was daripada syaitan, lama kelamaan dia akan lebih menguasai kita dan akan sampai pada satu tahap dia boleh ‘menyuruh’ kita. Perkataan أْمُرُ adalah bermula dengan tahap ‘mencadangkan’ sesuatu sampai kepada boleh ‘menyuruh’ seseorang melakukan sesuatu.

Jadi syaitan akan mula-mula hanya boleh mencadangkan kita melakukan sesuatu sahaja. Apabila kita sudah mula ikut, dia akan menjadi kuat dan boleh mengarahkan kita melakukan sesuatu.

بِالسُّوءِ

untuk membuat amalan buruk

Syaitan itu hanya suruh kita buat dosa sahaja, tidak ada perkara baik pun yang mereka akan suruh kita buat. Lafaz السُّوءِ bermaksud dosa daripada segi amalan atau perbuatan. Perbuatan yang jahat dan buruk. Ia perbuatan yang tidak ada yang baik. Tidak ada kebaikan hasil daripadanya. Namun manusia masih juga melakukannya hasil daripada ajakan dan bisikan syaitan.

وَالْفَحْشَاءِ

dan akhlak yang memalukan;

Lafaz الْفَحْشَاءِ pula adalah dosa daripada segi akhlak dan budi pekerti. Termasuk budaya, cara pakaian, cara berpakaian dan sebagainya.

Ia juga termasuk jenis perbuatan yang kita hendak ceritakan kepada orang lain dan kenalan kita sendiri pun malu. Itu yang dipanggil fahsya‘. Kita hendak cerita kepada orang pun segan. Kalau kita malu hendak cerita kepada orang lain, bermakna ia adalah perkara yang tidak baik.

وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

dan supaya kamu mengatakan tentang Allah perkara yang kamu sendiri tidak tahu menahu;

Apa lebih teruk lagi, syaitan akan membisikkan supaya kita cakap tentang sesuatu atas nama Allah ‎ﷻ yang kita tidak ada dalil wahyu tentangnya. Kita berani kata yang sesuatu perkara itu adalah hal agama padahal ia tidak, kerana agama kenalah ada dasar atas nama Allah ‎ﷻ dan bukan boleh kita cakap kosong sahaja. Kena ada dalil wahyu baru boleh diterima pakai. Ini pula tentang akidah.

Jadi, ada tiga elemen syaitan akan sesatkan kita:

1. Dari segi amalan dan perbuatan
2. Dari segi akhlak
3. Dari segi akidah

Selepas kita hanya mengikut sahaja saranan syaitan itu, syaitan akan pergi lebih jauh lagi. Dia tidak akan berhenti. Dia akan menyuruh kita membenarkan perbuatan salah yang kita buat. Sampai mengatakan sesuatu yang kita sendiri tidak tahu benar atau salahnya.

Contohnya, seseorang akan kata bahawa perbuatan jahat yang dia buat itu tidak salah sebenarnya. Dia akan beri alasan atas perbuatan yang telah dilakukan. Mereka akan memusingkan hukum supaya nampak tidak salah perbuatan mereka itu. Mereka akan membuatkan justifikasi tentang perbuatan mereka.

Contohnya, apabila seorang lelaki dan perempuan duduk bersama, mereka akan kata bahawa yang Allah ‎ﷻ tidak benarkan adalah berzina, bukannya duduk bersama. Mereka bercakap perkara yang mereka sendiri tidak tahu. Mereka sebenarnya jahil, tetapi mereka cuba untuk menerangkan tentang agama kepada orang lain.

Atau kalau kita tegur mereka, mereka akan melenting sambil berkata: “mana dia larangan itu dalam Al-Qur’an, dalam hadith, mana?!” Mereka akan berkata dengan angkuh kerana mereka jahil, mereka tidak tahu bahawa memang ada larangan tersebut dalam nas-nas agama.

Atau dia akan tafsir agama dengan pemahaman dia sendiri. Dia akan kata yang Allah ‎ﷻ maksud begini, bukan begitu. Senang-senang sahaja mereka berkata tentang agama tanpa ilmu pengetahuan.

Tafsir Ayat Ke-170

Ini adalah ayat Zajrun.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan manusia yang degil. Degil untuk menerima kebenaran walaupun sudah ada di depan mata mereka. Telah diberitahu berkali-kali tapi degil juga untuk menerima kebenaran. Segala hujah sudah diberi tapi mereka tetap menolaknya.

Apakah yang didakwahkan kepada mereka?

اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ

ikutilah sahaja wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada kamu;

Kita disuruh untuk ikut sahaja ajaran, jangan tambah-tambah dengan ajaran lain yang tidak tahu datang dari mana. Iaitu dalam perkara akidah dan amalan ibadat mesti ikut wahyu (Al-Qur’an dan juga hadis sahih).

Dan kena ikut cara hidup sepertimana yang diajar dalam Al-Qur’an dan Hadith Nabi ﷺ yang sahih. Itulah sahaja amalan yang sudah pasti dapat pahala. Sudah cukup amalan sunnah yang Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ ajar, tidak akan habis kalau kita hendak amalkan. Tidak perlu ditambah amalan bid’ah yang lain. Malangnya ramai lagi hendak juga ambil ajaran yang entah dari mana.

قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ

Mereka berkata: “Kami hanya ikuti apa yang kami dapati dari tok nenek kami sahaja”;

Yang diajar oleh Al-Qur’an, mereka tidak mahu hendak ikut. Mereka hendak ikut apa yang ustaz atau guru mereka ajar sahaja dan amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Iaitu perbuatan turun-temurun yang telah dilakukan oleh mereka yang kononnya ahli agama. Atau, amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Keturunan mereka dahulu pun sudah lama mengamalkan perkara yang sama.

Contohnya, apabila dikatakan kepada mereka amalan Majlis Tahlil itu bid’ah, mereka akan kata bahawa amalan itu sudah lama dilakukan oleh orang-orang dahulu. Mereka berhujah: tidak mungkin amalan itu salah kerana sudah turun temurun ia diamalkan. Kalau ia salah, tentulah tidak diamalkan sejak sekian lama.

Mereka juga kata guru-guru agama dari dahulu sudah mengamalkannya, tidak mungkin mereka tidak tahu tentang agama pula. Ada juga berhujah: “perkara ini sudah lama dibahaskan, memang boleh buat….” Itu maknanya, mereka sayangkan guru lebih daripada sayangkan Allah ‎ﷻ. Mereka juga pakai amal sahaja amalan ibadah tanpa tengok dalil.

Perkataan أَلْفَيْ bermaksud ‘menjumpai sesuatu secara terserempak’ (bukan dicari-cari). Perkataan yang sama digunakan untuk menceritakan penemuan binatang seperti anjing contohnya, yang mencakar-cakar tanah dan menjumpai tulang. Ia satu penemuan yang tidak memerlukan intelek. Kalau sesuatu penemuan itu memerlukan intelek untuk mendapatinya, perkataan وجد (wajada) akan digunakan.

Oleh itu, mereka hanya mengambil sahaja tanpa mereka memikirkan sama ada ia adalah benar ataupun tidak. Mereka terus terima sahaja tanpa usul periksa. Mereka malas nak fikir, hendak kaji sama ada amalan itu ada dalil atau tidak. Pada mereka yang seperti ini: asalkan sudah diamalkan dahulu, boleh sahaja diamalkan.

Kita bersyukur yang tok nenek kita dahulu sudah membuat keputusan untuk masuk Islam. Sudah senang kerja kita kerana lahir-lahir sudah berada dalam keluarga Islam. Kalau mereka tidak masuk Islam dahulu, entah kita agama apa sekarang – mungkin agama Hindu. Kalaulah mereka tidak masuk Islam, mereka akan tanggung dosa mereka dan dosa anak-anak cucu mereka yang tidak masuk Islam.

Begitulah juga kita: kalau kita tidak mengajar amalan yang betul kepada anak cucu kita, kita pun akan tanggung dosa kesalahan yang kita lakukan, dan juga menanggung sama dosa kesalahan mereka yang dilakukan kerana kita tidak mengajar mereka tentang kebenaran. Sudahlah dosa sendiri kena tanggung, ditambah lagi dengan anak cucu yang entah berapa ramai.

Apakah mereka masih hendak mengikuti lagi ajaran tok-tok guru mereka lagi?

أَوَلَوْ كَانَءَابَآؤُهُمۡ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا

sedangkan tok nenek mereka dahulu tidak tahu apa-apa?

Allah tempelak mereka: Masih hendak ikut lagikah amalan tok nenek itu walaupun tok nenek itu dahulu tidak tahu langsung tentang akidah? Mereka ‘asal buat’ sahaja. Mereka tidak menggunakan akal untuk memikirkan apakah amal ibadat yang mereka lakukan itu dari agama atau tidak.

Bermakna, tok nenek mereka dahulu pun mengamalkan sesuatu amalan yang salah atau bid’ah itu tanpa menggunakan intelek mereka. Mereka itu jahil agama, tidaklah kita hendak ikut mereka juga jadi jahil? Masyarakat kita dulu jauh dari fahaman sunnah, keprihatinan kepada agama pun rendah. Mereka dahulu begitu, kita sekarang pun ramai yang buat begitu juga.

Menggunakan akal mestilah dengan akal yang suci bersih daripada emosi. Baru boleh mendapat ilmu yang bermanfaat. Kalau akal didorong oleh nafsu dan emosi, kita tidak akan mendapat kebenaran. Jangan kerana hendak hormat pendapat golongan sebelum kita, kita ikut sahaja amalan mereka.


وَلَا يَهْتَدُونَ

dan mereka sendiri tidak terpimpin?;

Maksudnya tok nenek mereka dahulu pun tidak mendapat hidayah daripada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak bersungguh untuk mendapatkan hidayah daripada Allah ‎ﷻ.

Malangnya, ramai dalam kalangan ahli agama kita yang tidak terpimpin juga. Sepatutnya mereka kenalah tahu tentang agama, tetapi apabila kita tanya mereka sudah habis belajar tafsir Al-Qur’an atau hadith Nabi, mereka akan jawab yang mereka tidak belajar lagi pun. Cuma ambil sedikit-sedikit sahaja. Petik sini sedikit, sana sedikit.

Namun mereka berada di dalam kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Contohnya, merekalah yang berada dalam pejabat agama. Merekalah yang menjadi imam salat berjama’ah di masjid dan di surau-surau, merekalah yang mengajar di surah dan masjid-masjid.

Mereka menjadi rujukan masyarakat. Merekalah juga sekarang yang menjadi ‘ustaz selebriti’ dan ditonton di kaca TV. Alangkah malangnya masyarakat sekarang yang hanya memilih agama berdasarkan kepada populariti seseorang tokoh agama itu.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan