Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-156 hingga Ke-158

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-156 hingga Ke-158

1584
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-156

Siapakah yang akan mendapat ucapan tahniah daripada Allah ‎ﷻ? Disebut dalam ayat ini. Maka ini adalah ciri-ciri orang yang sabar.

الَّذينَ إِذا أَصابَتهُم مُصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ راجِعونَ

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ

Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah cubaan,

Perkataan أَصَابَ asalnya bermakna dipanah dengan anak panah. Dari kalimah itu, jadi ‘musibah’ yang dikenakan kepada manusia. Maknanya, memang apa-apa musibah itu memang telah ditakdirkan untuk kita, tidak boleh mengelakkannya lagi.

Kalimah مُصِيبَةٌ bermaksud kesusahan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan kena tepat kepada kita. Memang tidak dapat dielakkan lagi kerana memang Allah ‎ﷻ telah tentukan untuk kita. Maka kalau kita kena musibah, yang kita kena lakukan adalah redha dengan apa yang Allah ‎ﷻ tentukan untuk kita.

Sekarang kita akan belajar satu lafaz yang kita biasa sebut. Nama lafaz ini adalah istirja’.

قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ

mereka berkata: Sesungguhnya kami ini sendiri adalah milik Allah

Alamat orang yang sabar adalah dia tidak merungut apabila ditimpa apa-apa musibah dan tidak keluar kata yang tidak elok daripada mulutnya. Ataupun ternampak rasa tidak puas hati daripada rupa parasnya. Semua ini akan keluar daripada orang yang tidak dilatih dengan sifat sabar

Orang sabar akan kata kita ini adalah milik Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh berikan dan Allah ‎ﷻ boleh ambil balik. Baik nyawa, harta, kesihatan dan segalanya adalah milik Allah ‎ﷻ dan Dia boleh ambil balik.

Ingatlah bahawa semua yang kita ada di dunia ini sekarang bukanlah hak kita. Kalau kita faham kata-kata ini, maka senang untuk kita jadi sabar. Inilah kunci kesabaran kerana kebanyakan masalah dalam dunia ini akan mengalami pelbagai jenis kehilangan. Kehilangan nyawa, harta benda, ahli keluarga, kenalan kita, dan berbagai-bagai lagi.

Namun ingatlah bahawa semua itu bukan hak kita dan diri kita sendiri ini pun adalah hak Allah ‎ﷻ. Jangan kata benda yang rosak dan hilang itu bukan hak kita, diri kita sendiri ini pun bukan hak kita, tetapi hak Allah ‎ﷻ! Maka Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa-apa sahaja kepada kita.

Jadi, kalau ada musibah apa sahaja yang terjadi, inilah lafaz zikir yang kita kena sebut. Ada satu hadith di mana pernah pelita dalam bilik Nabi ﷺ terpadam dan Nabi ﷺ mengucapkan perkataan yang disuruh kita ucapkan ini. Aisyah رضي الله عنها kehairanan kerana yang terjadi hanya perkara kecil sahaja. Nabi ﷺ menjawab bahawa apa sahaja yang mengecewakan manusia adalah musibah.

Diberitakan bahawa pada suatu ketika lampu Nabi ﷺ padam, maka beliau pun mengucapkan istirja`, lalu kata Aisyah رضي الله عنها, “Bukankah ini hanya sebuah lampu!” Jawabnya, “Setiap yang mengecewakan (hati) orang mukmin itu bererti musibah.” Diriwayatkan oleh Abu Daud.

Maka ini mengajar kita yang kalimah istirja’ ini bukanlah untuk kematian sahaja. Ia adalah untuk apa-apa musibah. Ramai yang tidak faham hal ini. Kerana itu kalau kita dapat tahu berita kemalangan (tidak mati) dan kita istirja’, ada yang kehairanan dan berkata: “Eh, dia tak mati lagi….”. Memanglah kita tahu dia tidak mati lagi.

وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

dan sesungguhnya kepada Dialah juga kami akan kembali;

Kita semua akan kembali kepada-Nya. Kita semua akan kembali kepada-Nya untuk Allah ‎ﷻ buat penilaian sama ada kita hamba yang sabar atau tidak. Ini kita semua sudah tahu. Sekarang hendak disematkan di dalam hati sahaja.

Ujian sabar adalah dalam tiga hari pertama. Bila mula-mula kena musibah itu, kita sudah kena sabar kerana selalunya apabila sudah lama, manusia senang untuk sabar, jadi itu sudah tidak dikira. Namun mula-mula bila ia terjadi yang susah untuk sabar.

Dalam satu riwayat, seorang wanita mengalami kematian dalam keluarganya. Nabi ﷺ nampak keadaan wanita itu dan memberi nasihat kepada wanita itu untuk bersabar. Wanita itu sedang menangis dan tidak perasan yang memberi nasihat itu adalah Nabi ﷺ. Wanita itu kata bolehlah Nabi ﷺ minta dia sabar sebab benda itu tidak jadi pada baginda. Ada yang nampak kejadian itu dan telah menegur wanita itu kerana cakap begitu dengan Nabi ﷺ. Maka selang beberapa hari, wanita itu telah pergi kepada Nabi ﷺ dan beritahu baginda yang dia sudah bersabar dengan apa yang terjadi. Nabi ﷺ kata sabar itu kena ada semasa berlakunya perkara itu. Sabar selepas lama kejadian itu tidak dikira lagi.

Selalu kita dengar apabila terdengar sahaja ada sesiapa yang mati, kita akan cakap begini. Kita bukan kata tentang si mati sangat sebenarnya, tetapi kita mengaku kita juga milik Allah ‎ﷻ. Ingat bahawa kita juga akan mati, cuma dia yang mati itu sahaja yang perlu dahulu. Kita akan menyusul tidak lama lagi.

Ini sepatutnya mengingatkan kita, yang kita akhirnya akan kembali bertemu Allah ‎ﷻ juga. Oleh itu, segala masalah yang kita hadapi, tidak kira betapa besarnya, ia tidak akan berkekalan kerana ia akan berakhir juga. Maka kalau kita ingatkan diri kita yang hidup di dunia ini sekejap sahaja, kuranglah sedikit kesan di hati kerana dalam hati kita akan sedar (sekejap sahaja musibah ini, nanti sudah mati, hilanglah….).

Tafsir Ayat Ke-157

Apakah balasan kepada mereka yang bersabar dengan apa yang terjadi?

أُولٰئِكَ عَلَيهِم صَلَواتٌ مِن رَبِّهِم وَرَحمَةٌ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُهتَدونَ

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti itulah

Orang-orang yang sentiasa bersabar dengan apa yang terjadi dan melafazkan lafaz istirja’ apabila ditimpa oleh musibah. Namun kenalah melafazkan istirja’ itu dengan faham apakah maksudnya. Kalau sebut tetapi tidak faham pun susah juga kerana kesannya tidak sampai.

عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ

yang dapat selawat dari Tuhan mereka;

Selawat di sini adalah bermaksud seperti ‘syabas’ kalau kita kata kepada orang yang berjaya. Jadi selawat itu adalah dalam bentuk tahniah daripada Tuhan sendiri. Allah ‎ﷻ ucapkan tahniah ke atas mereka kerana mereka boleh sabar. Ini adalah maksud selawat dalam ayat ini. Bahasa urdu dan Parsi terjemah selawat dengan lafaz syabas macam kita ambil dan pakai dalam bahasa kita.

Mufassirin ada mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Allah ‎ﷻ memberi arahan khas kepada malaikat-malaikat yang ditugaskan khas untuk mendoakan kepada mereka-mereka yang sabar.

وَرَحْمَةٌ

dan akan dapat rahmat

Rahmat yang khas daripada Allah ‎ﷻ. Maka kita kena berharap dengan rahmat Allah ‎ﷻ ini. Kita memang berharap sungguh dengan rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana dengan rahmat-Nya sahaja kita boleh masuk ke dalam syurga.

وَأُولَٰئِكَ

Dan orang-orang yang bersifat seperti ini,

Iaitu yang mempunyai sifat-sifat yang telah disebut tadi.

هُمُ الْمُهْتَدُونَ

mereka yang benar-benar termasuk orang yang dapat petunjuk.

Mereka jenis inilah yang betul-betul terpimpin. Ini adalah kerana mereka ada ilmu dan mereka praktikkan ilmu yang mereka tahu itu. Maka kenalah ada ilmu dahulu dan mempunyai pemahaman yang mendalam.

Tafsir Ayat Ke-158

Cabang tazkiyah yang kelima dan terakhir adalah ta’zim. Ta’zim bermaksud membesarkan lambang kehebatan dan kebesaran Allah ‎ﷻ. Contohnya kita besarkan Baitullah, Tanah Haram, semua masjid-masjid, pusat-pusat pengajaran kerana ia adalah tempat mengajar tentang Allah ‎ﷻ dan macam-macam tempat lagi. Begitu juga kepada pelajar-pelajar agama dan guru-guru agama. Jadi kita hormat kepada semuanya.

Jadi dalam ayat ini, antara tempat yang kita kena muliakan adalah Bukit Safa dan Bukit Marwah kerana ia adalah Syiar Allah ‎ﷻ – tanda kebesaran dan keagungan Allah ‎ﷻ. Ia adalah dua bukit yang menjadi lambang dan kenangan bagaimana Allah ‎ﷻ telah menolong hamba-Nya yang sanggup berkorban untuk agama.

Di sinilah Hajar isteri Nabi Ibrahim عليه السلام telah berlari antara dua bukit ini bagi mencari air untuk anaknya setelah ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام yang terpaksa meninggalkan mereka berdua di Mekah untuk mengembara menyebar agama. Hajar tidak merungut walaupun ditinggalkan di tempat yang tidak ada penghuni waktu itu. Allah ‎ﷻ telah menolongnya dengan memberikan air Zam-zam. Jadi, Safa dan Marwah adalah salah satu daripada Syiar Islam.

Jadi, ayat ini adalah berkenaan dengan Saie dan berkenaan Safa dan Marwah. Untuk faham ayat ini, kena tahu sejarah Arab Jahiliah dahulu. Dahulu asalnya orang Arab tawaf dan saie dengan memakai ihram sepertimana ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Sama sahaja perbuatan mereka dengan kita. Mereka juga mengerjakan musim Haji pada sembilan Dzulhijjah juga.

Kemudian ada tok guru mereka yang mula membuat ajaran bid’ah. Ini kerana orang Arab itu banyak yang miskin, baju pun tiada, maka mereka tidak mampu hendak membeli kain ihram untuk dipakai semasa tawaf. Tok guru itu ajar supaya mereka pakai yang ‘original’ – telanjang bogel, sebab di Padang Mahsyar nanti, semua orang akan telanjang pun. Yang menjaga mereka semasa mereka menjalankan tawaf dan saei itu adalah penghulu Mekah, iaitu tok nenek Nabi, keturunan Nabi Muhammad ﷺ seperti Abdul Mutalib.

Mereka berbogel kononnya untuk tunjuk ikhlas. Lelaki dan perempuan tawaf bogel bersama-sama. Dalam ramai-ramai itu adalah yang datang berpasangan. Bila sudah telanjang, maka ada yang telah terangsang. Sambil tawaf, mereka bercadang untuk berzina dalam Kaabah, kononnya tempat yang paling molek sekali. Yang perempuan bernama Naelah dan yang lelaki bernama Asif.

Pintu Kaabah itu dahulunya sama tinggi dengan tanah. Maka senang untuk mereka masuk. Mereka telah masuk dan sudah hampir hendak berzina. Namun dalam mereka hendak berzina itu, Allah ‎ﷻ takdirkan mereka menjadi batu. Waktu itu, berhala belum ada lagi di sekeliling Kaabah. Semua percaya bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang salah, maka mereka kena buang batu itu. Namun puak bid’ah hendak mempamerkan batu itu sebagai peringatan kepada orang yang datang di kemudian hari sebagai pencegahanan orang ramai untuk tidak berzina.


Yang ramai adalah puak bid’ah, maka pendapat mereka lebih kuat. Niat mereka adalah baik juga – untuk memberi peringatan kepada orang ramai. Mereka sandarkan patung-patung itu pada Kaabah. Zaman berzaman berlalu, mereka sudah lupa kenapa batu itu ada di situ. Lama kelamaan, mereka sangka itulah Tuhan mereka. Yang seorang lelaki dan seorang lagi perempuan.

Lama kelamaan, apabila datang berhala sembahan seperti Latta, Uzza dan sebagainya, mereka telah letak patung pasangan berzina itu di dua buah bukit yang kita pun kenal sekarang – satu di Safa dan satu lagi di Marwah. Jadi, apabila hendak bersaie, mereka akan jamah kaki patung Asif dan Naelah itu. Macam kita sekarang, kita akan lambaikan tangan di situ (kerana ikut sunnah). Kita buat kerana kita ikut Nabi ﷺ kita ajar, tetapi mereka lakukan itu sebagai pemujaan dan hormat kepada batu itu.

Jadi sahabat-sahabat Nabi ﷺ telah pernah buat begitu semasa dalam Jahiliyyah. Namun apabila mereka telah masuk Islam dan mereka hendak melakukan Umrah, mereka enggan untuk buat saie di Safa dan Marwah kerana mereka ingat lagi bahawa ada berhala di situ dan apa yang mereka telah lakukan dahulu.

Waktu mereka buat tawaf semasa itu, Kaabah masih lagi dikelilingi berhala. Mereka takut kalau-kalau mereka terbuat perkara yang salah. Sebab mereka tahu bahawa ada perbuatan masyarakat Arab dahulu bukanlah dari agama yang sebenar tetapi telah diubah setelah peredaran masa yang lama. Maka turunlah ayat ini untuk membenarkan mereka saie di Safa dan Marwah. Cuma tidak boleh jamah kaki patung itu.

Kejadian ini terjadi pada tahun tujuh Hijrah, ketika para sahabat melakukan Umrah yang pertama. Ketika ini Nabi ﷺ tiada mengikuti mereka. Pada tahun sebelumnya, iaitu pada tahun enam Hijrah semasa Nabi ﷺ pergi, mereka tidak dibenarkan untuk mengerjakan Umrah oleh Puak Musyrikin. Waktu itulah terjadinya perjanjian Hudaybiah. Tahun enam Hijrah itu mereka tidak boleh mengerjakan umrah, tetapi boleh datang pada tahun hadapannya (Tahun 7 Hijrah).

Jadi, pada tahun 7 Hijrah, sahabat-sahabat sahaja yang pergi. Semasa hendak pergi, mereka yang sudah biasa buat umrah semasa zaman Jahiliyyah dulu, mereka tahu tentang dua berhala itu. Mereka takut untuk membuat saie kerana ada patung-patung itu yang boleh menyebabkan mereka melakukan perkara yang syirik. Maka salah faham itu diperbetulkan dalam ayat ini.

Begitulah sejarah ringkas. Kalau kita tidak tahu latar belakang apa yang terjadi waktu itu, kita tidak dapat faham apakah maksud ayat ini kerana itu tidak cukup kalau baca terjemahan ayat Al-Qur’an sahaja. Kita memang tidak akan faham maklumat sebegini hanya dengan membaca terjemahan sahaja.

إِنَّ الصَّفا وَالمَروَةَ مِن شَعائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَن حَجَّ البَيتَ أَوِ اعتَمَرَ فَلا جُناحَ عَلَيهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِما ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيرًا فَإِنَّ اللَّهَ شاكِرٌ عَليمٌ

Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ

Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian dari lambang-lambang keagungan Allah;

Kalimah شَعَائِرِ (jamak bagi syiar) adalah sesuatu yang menyebabkan timbul perasaan dalam diri kita. Contohnya kalau kita sudah lama tidak berjumpa sanak saudara kita dan bila kita nampak mereka, kita menangis. Ia adalah sesuatu yang membangkitkan perasaan kita. Dalam ertikata lain, ia adalah tempat yang sentimental kepada kita.

Begitulah sepatutnya perasaan kita dengan Safa dan Marwah. Ia adalah kisah sejarah yang membangkitkan perasaan bagi kita. Kita sepatutnya ingat tentang kesusahan yang dilalui oleh Hajar dan anaknya semasa kita di sana.

فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ

Maka sesiapa yang berhaji atau umrah kepada Baitullah

Waktu ayat ini diturunkan, umat Islam belum lagi boleh pergi buat Haji atau Umrah kerana tempat itu masih lagi di tangan Musyrikin Mekah. Waktu itu, mereka sudah menghadap ke Kaabah setiap hari dalam salat mereka selepas kiblat ditukar ke Mekah. Sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu mereka bahawa mereka akan dapat buat Haji dan Umrah ke sana. Maka sudah gembira dalam hati mereka.

Sekarang disebut tentang salah satu daripada amalan manasik Haji dan Umrah iaitu Saie. Maka, sekali lagi diberikan isyarat bahawa mereka akan kena perang ke sana untuk membebaskan Kaabah daripada berhala-berhala syirik Arab Jahiliyyah. Apabila sudah bersih Mekah dan Kaabah, barulah lega hati untuk mengerjakan ibadah di situ, bukan?

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا

tidaklah berdosa baginya untuk tawaf di antara keduanya;

Walaupun sebut ‘tawaf’ dalam ayat ini, tetapi ia sebenarnya adalah perbuatan saie juga kerana saie itu macam perbuatan tawaf juga. Ini kerana ada pusing juga dari satu bukit ke satu bukit. Apabila turun ayat ini, barulah mereka hendak buat amalan Saie. Kalau tidak, mereka hanya akan buat tawaf di Kaabah sahaja. Jadi, kena cerita latar belakang sejarah dahulu, baru tahu makna ayat ini.

Kenapa dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata ‘tidak salah’ sedangkan itu memang sudah arahan daripada Dia? Ini kena tahu kisah sebelum kedatangan Islam. Kita telah sebut kisahnya dengan panjang lebar sebelum ini. Orang yang datang kemudian selepas mereka telah sangka yang syarat untuk sah Haji kena sentuh dua batu itu. Sedangkan asalnya ia diletakkan di situ adalah sebagai amaran kepada manusia, yang kalau buat maksiat di Tanah Haram, boleh jadi macam itu. Orang yang datang kemudian lagi daripada mereka pula kata kena puja pula batu itu. Mereka sudah mula minta hajat kepada patung itu pula.

Jadi, perkara yang dilakukan oleh mereka itu adalah perbuatan syirik. Para sahabat yang telah faham bahaya syirik takut untuk pergi ke Safa dan Marwah kerana dahulu semasa mereka Jahiliyyah, mereka pergi ke sana atas dasar syirik. Walaupun Allah ‎ﷻ telah syariatkan Saie di Safa dan Marwah, mereka masih enggan kerana terkenangkan perbuatan mereka dahulu.

Maka kerana itulah Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini untuk memberitahu bahawa ia dibenarkan kerana penyembahan kepada batu itu datang kemudian, bukan ajaran asal.

وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا

Dan sesiapa yang mengerjakan tawaf itu secara sukarela, itu adalah lebih baik baginya.

Kalimah تَطَوَّعَ adalah melakukan sesuatu dengan sukarela. Buat sesuatu yang lebih kerana itu salat-salat sunat digelar juga Solat Tatawwu’.

فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ

Dan Allah itu Maha Membalas kesyukuran makhluk;

Bukan Allah ‎ﷻ bersyukur kepada kita, tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas perbuatan baik makhluk. Siapa yang mahu buat lebih lagi, Allah ‎ﷻ membalas balasan setimpal dengan apa yang mereka kerjakan malah lebih baik lagi. Allah ‎ﷻ amat berterima kasih. Kuantiti amalan akan dibalas setimpal malah lebih lagi.

Allah ‎ﷻ akan suka dengan perbuatan amal kebaikan kita. Ini selalu yang memalukan kita. Bayangkan emak kita suruh kita telefon dia sekala sekala, dia akan suka, dia kata. Bukankah ia adalah sesuatu yang sepatutnya kita lakukan? Sama macam ayat ini. Ia adalah sesuatu yang sepatutnya kita lakukan, tetapi Allah ‎ﷻ kata Dia akan bersyukur kepada kita. Maknanya, Allah ‎ﷻ balas perkara yang kita sepatutnya buat.

عَلِيمٌ

Dan Maha Mengetahui

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui ikhlas atau tidak ibadat hamba-Nya. Dia maha mengetahui hati hamba-Nya, Dia tahu sebanyak mana ada ikhlas dalam hati hamba. Kalau banyak amalan tetapi tidak ikhlas, tidak diterima amalan itu walau betapa banyak pun. Maka kalau kuantiti banyak tetapi tidak ada kualiti, tidak ada gunanya.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan