Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-159 dan Ke-160

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-159 dan Ke-160

3319
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-159

Ayat ke-159 hingga ayat ke-167 adalah Perenggan Makro yang mengandungi penekanan kepada Aqidah Tauhid.

Ayat ini adalah ayat zajrun dan takhwif ukhrawi. Asalnya ia diturunkan tentang perbuatan golongan Yahudi namun ayat ini berbentuk umum. Oleh itu, bukan ditujukan hanya kepada mereka sahaja. Dahulu ia untuk menegur golongan Yahudi kerana mereka menyembunyikan ajaran penting dalam Kitab Taurat daripada masyarakat.

‘Menyembunyikan’ itu bermaksud tidak mengajarkan kepada umat. Kalau benda yang berat dan mereka rasa umat awam tidak boleh terima, mereka tidak akan beritahu. Sebagai contoh, kalau golongan miskin melakukan zina, mereka dikenakan hukuman rejam yang ada dalam Taurat tetapi kalau untuk golongan bangsawan pula yang melakukan zina, mereka cuma dicalit hitam pada muka dan dimalukan di khalayak ramai sahaja. Mereka boleh buat begitu kerana Kitab Taurat tidak ada di tangan masyarakat (seperti Al-Qur’an) jadi mereka boleh tipu.

Apabila golongan miskin tanya kenapa pula ada dua jenis hukuman yang berbeza, akhirnya ulama’ Yahudi terus kata yang hukuman rejam pun tidak ada dalam Taurat. Mereka sembunyikan terus hukum yang memang ada dalam Taurat. Begitu juga kedatangan Nabi Muhammad ﷺ telah jelas ada dalam kitab mereka tetapi mereka sembunyikan juga. Malah banyak lagi perkara yang mereka sembunyikan.

Sekarang ayat ini ditujukan kepada guru-guru yang mengajar tetapi takut kepada orang jahil. Ada antara guru yang takut kepada anak murid sampai mereka tidak mengajar tauhid yang sebenar kepada manusia. Maka ayat ini kepada orang alim yang takut. Juga ditujukan kepada mereka yang belajar dan takut untuk menyampaikan perkara yang sebenar kepada masyarakat. Kesannya masyarakat duduk dalam jahil dan bila ada yang berani tegur, masyarakat akan cakap: “Eh tak pernah dengar pun.”

إِنَّ الَّذينَ يَكتُمونَ ما أَنزَلنا مِنَ البَيِّناتِ وَالهُدىٰ مِن بَعدِ ما بَيَّنّاهُ لِلنّاسِ فِي الكِتابِ ۙ أُولٰئِكَ يَلعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلعَنُهُمُ اللّاعِنونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan

Ini adalah mereka yang berani menyembunyikan apa yang mereka patut sampaikan. Apakah yang mereka sembunyikan?

مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ

apa yang telah Kami turunkan dari keterangan yang nyata;

Yang disembunyikan oleh mereka yang takut untuk mengajar itu adalah hukum-hukum akidah dan hukum-hukum amal. Mereka telah ada ilmu wahyu, tetapi mereka simpan sahaja.

وَالْهُدَىٰ

dan petunjuk

Mereka tidak memberitahu petunjuk-petunjuk yang di dalam kitab wahyu untuk mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ.

مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ

setelah Allah jelaskan sejelas-jelasnya kepada manusia dalam Kitab itu;

Mereka sudah belajar dan sudah tahu, tetapi mereka simpan kepada diri mereka sahaja. Contohnya mereka takut hendak cerita pasal hal-hal tauhid yang banyak disebut dalam Al-Qur’an. Antaranya disebut tentang larangan tawassul seperti yang diamalkan oleh golongan jahiliyyah. Mereka takut kalau mereka cakap nanti, para pelajar akan terasa dan sudah tidak mahu datang kelas dia lagi.

Maknanya mereka takut anak murid lari dan tidak beri imbuhan lagi kepada mereka. Padahal kita kena beritahu mana yang betul dan mana perbuatan yang salah. Jangan takut kepada orang yang jahil.

Asalnya ayat ini adalah ditujukan kepada Ahli Kitab yang menyembunyikan ajaran-ajaran dalam Kitab mereka. Contohnya mereka sorokkan tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, tentang pertukaran kiblat, tentang kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an dan sebagainya.

Ini adalah kerana pada mereka, bangsa selain daripada bangsa Yahudi tidak layak untuk mendapat ilmu dari langit. Sekarang ayat ini tentang manusia yang tahu apa yang ada dalam Al-Qur’an tetapi tidak diberitahu kepada manusia lainnya.

Kita sekarang tidak dapat hendak memadamkan apa yang ada dalam Al-Qur’an seperti mana yang telah dilakukan oleh Ahli-ahli Kitab dahulu kepada kitab-kitab mereka. Ini adalah kerana sekarang Al-Qur’an telah dipelihara oleh Allah ‎ﷻ. Tidak boleh hendak tukar-tukar apa yang ada dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an pun di tangan semua orang sampaikan setiap rumah ada Al-Qur’an. Dalam SmartPhone pun boleh simpan Al-Qur’an.

Namun cara kita menyembunyikan Al-Qur’an adalah kita tidak mengajar atau menyebut penerangan ayat-ayat yang kita rasa ‘sensitif’ kepada masyarakat. Sama ada masyarakat yang sudah Islam atau masyarakat yang bukan Islam kerana kita takut dikatakan kita jenis yang ekstrem. Atau takut dikatakan kita jenis orang yang melampau.

Kita seolah-olah takut agama lain memandang kita sebagai ganas dan sebagainya. Kadang-kadang kalau kita menyebut dari ayat Al-Qur’an yang mereka pandang sebagai ‘sensitif’, ada kemungkinan orang Islam sendiri akan datang berjumpa dengan kita dan mengatakan kita tidak sepatutnya menyebut tentang ayat itu.

Bayangkan, kita sampaikan ajaran Islam tetapi ada orang Islam yang tegur kita! Maka kerana takut teguran sebegitu, kita senyapkan sahaja ilmu daripada Al-Qur’an. Itu dikira menyembunyikan kebenaran.

Tidak ada apa yang perlu kita sorok daripada Al-Qur’an ini. Ia adalah untuk semua manusia – sama ada yang sudah Muslim ataupun tidak. Banyak ayat-ayat dimulakan dengan ‘Wahai manusia’ – itu menunjukkan ayat Al-Qur’an ini juga untuk manusia keseluruhannya, bukan untuk orang Muslim sahaja.

Kalau kita faham Al-Qur’an ini, kita akan tahu bahawa tidak ada perkara yang patut kita sorok dari Al-Qur’an itu. Mesej yang hendak disampaikan adalah mesej sejagat, untuk semua orang. Ia adalah sesuai untuk setiap manusia.

أُولٰئِكَ يَلعَنُهُمُ اللَّهُ

Mereka-mereka yang bersifat seperti ini, mendapat laknat daripada Allah;

Kerana menyembunyikan ilmu wahyu, maka mereka yang berilmu itu mendapat laknat Allah ‎ﷻ. Padahal mereka ini orang yang sudah berilmu, sudah belajar. Namun tetap juga mendapat laknat. Apakah maksud ‘laknat’?

Maksudnya orang itu tidak akan diampunkan dosanya dan tidak akan diberi rahmat untuk orang itu masuk syurga. Apabila orang berilmu tidak mengajar pun, sudah termasuk dalam perbuatan sembunyi juga. Maksudnya, ada antara kita yang sudah tahu, tetapi simpan sendiri, tidak beritahu kepada orang lain. Padahal, kita kena beritahu apa yang kita sudah belajar.

Sama ada mereka terima ataupun tidak, itu bukan dalam kawalan kita. Kita hanya diarah untuk memberitahu sahaja. Kita bukan ada kuasa untuk beri hidayat.

Kadang-kadang kita takut untuk beritahu kerana kita ada sesuatu yang kita hendak daripada mereka. Contohnya, kita hendak mereka berkawan dengan kita. Atau mereka itu adalah orang yang memberikan wang kepada kita kalau kita mengajar di surau mereka – jadi kita takut kalau kita tidak dijemput lagi dan akan hilang punca pendapatan. Itu semua adalah hal dunia sahaja. Jangan kita gadai hal akhirat kerana hendakkan hal dunia.

وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ

dan akan mendapat laknat juga daripada mereka yang melaknati;

Selain daripada Allah ‎ﷻ, ada lagi yang akan melaknat mereka itu. Antaranya, para malaikat. Ada malaikat yang Allah ‎ﷻ jadikan khas dan tugas mereka hanya untuk melaknat mereka yang menyimpan ilmu yang ada dalam Al-Qur’an.

Mereka juga akan dilaknat oleh manusia dan yang berhak melaknat mereka. Ini termasuklah sama ada daripada golongan jin, manusia dan malaikat yang akan turut melaknat mereka yang menyembunyikan kebenaran. Mereka dilaknat kerana mereka sembunyikan hukum sampai hukum yang sebenar tidak ditegakkan.

Selain daripada itu, orang-orang yang mengajar tauhid yang benar pun akan melaknat mereka. Kita yang hendak sampaikan ajaran tauhid ini pun marah kepada mereka. Kenapa kita marah kepada mereka? Ini kerana mereka sudah tahu, tetapi tidak sampaikan kepada masyarakat. Mereka sudah belajar tafsir Al-Qur’an dan sudah tahu kebenaran.

Namun mereka takut untuk beritahu kerana mereka tidak sanggup untuk menyampaikan. Jadi, apabila ada di antara kita yang berani memberitahu kepada masyarakat perkara yang sebenar, masyarakat pandang serong kepada kita kerana mereka tidak mendengarnya daripada orang lain.

Jadi nampak macam kita sahaja yang pandai-pandai mengatakan sesuatu itu salah, padahal orang lain tidak cakap pun ia adalah salah. Bila kita beritahu mereka pun kata: “Mufti tak cakap pun… ustaz masuk TV tak cakap pun… tak pernah dengar pun perkara ini…. ” dan macam-macam lagi hujah mereka.

Nampak macam kita pula yang pandai-pandai bawa ajaran baru. Pada hal, mereka yang tidak cakap itulah yang salah sebab mereka takut hendak cakap. Kita yang berani cakap pula ini yang dianggap songsang oleh masyarakat.

Selain daripada itu, mereka yang tidak diberitahu itu pun akan melaknat mereka yang tidak memberitahu. Ini kerana mereka akan dimasukkan ke neraka nanti kerana mereka ada berbuat syirik kerana mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama ini adalah syirik.

Mereka akan melaknat orang-orang yang tahu tetapi tidak beritahu kerana kalau mereka diberitahu, mungkin mereka akan ikut ajaran yang benar dan tidaklah mereka masuk ke neraka disebabkan oleh kesalahan syirik yang mereka telah lakukan kerana mereka tidak tahu.

Maka, bahaya walaupun sudah tahu kebenaran kerana menyembunyikan kebenaran amatlah besar dosanya. Dalam masa yang sama, kita hendak sebut satu perkara lagi. Ada orang yang takut dengan ayat-ayat sebegini dan mereka pun kata: “Kalau macam tu, baik aku tak tau!”

Ini bukanlah hujah bijak tetapi hujah daripada orang yang bodoh kuasa dua. Kalau sudah tahu dan tidak beritahu pun salah, maka kalau tidak tahu, lagilah salah!

Tafsir Ayat Ke-160

Maka, siapakah yang selamat?

إِلَّا الَّذينَ تابوا وَأَصلَحوا وَبَيَّنوا فَأُولٰئِكَ أَتوبُ عَلَيهِم ۚ وَأَنَا التَّوّابُ الرَّحيمُ

Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki, serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا

Melainkan kepada orang-orang yang sudah bertaubat.

Mereka yang selamat daripada dilaknat itu adalah mereka yang sempat bertaubat semasa mereka hidup lagi. Kalau sudah mati, tidak sempat bertaubat, tidak ada gunanya. Mereka bertaubat daripada kesalahan mereka menyembunyikan ajaran-ajaran dari wahyu. Maknanya mereka mengaku kesalahan mereka.

وَأَصْلَحُوا

dan memperbaiki balik perbuatan mereka;

Serta memperbaiki amalan mereka. Maksudnya mereka tidak sembunyikan ilmu dan bahkan mula mengajar. Mereka sebut kebenaran, mereka sudah tidak kira sama ada manusia boleh terima atau tidak. Mereka sudah mula mengajar balik dan memberitahu kepada manusia tentang kebenaran.

وَبَيَّنُوا

dan menjelaskan dengan sejelas-jelasnya;

Juga hendaklah diberitahu apa yang benar kerana sebelum ini mereka sembunyikan, maka sekarang mereka kena beritahu kepada manusia. Kalau dahulu mereka sembunyikan, tetapi apabila mereka sudah bertaubat, mereka kena jelaskan kepada manusia. Kalau zaman kita, kita kena jelaskan isi kandung Al-Qur’an. Kalau kita tidak jelaskan, maknanya kita telah menyorok ayat-ayat Al-Qur’an.

Selalunya yang disembunyikan adalah tentang ayat-ayat tauhid dan tentang syirik kepada Allah ‎ﷻ. Amalan syirik yang banyak dibuat oleh manusia itu adalah kerana mereka yang berilmu telah sembunyikan ilmu itu daripada pengetahuan masyarakat. Jadi, apabila yang patut mengajar tidak memberitahu, maka kalau ada yang sanggup cerita sahajalah yang kena tohmah dengan masyarakat. Sebab nampak macam mereka sahaja yang memandai-mandai mengatakan sesuatu amalan itu syirik.

فَأُولٰئِكَ أَتوبُ عَلَيهِم

Maka mereka yang bersifat seperti itu, Aku akan terima taubat mereka;

Ayat-ayat inilah yang memberi semangat kepada kita untuk menyampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an kepada manusia. Kita tidak kisah dengan kata-kata manusia kerana kita lebih pentingkan kehendak Allah ‎ﷻ. Maka jangan simpan apa yang ada dalam Al-Qur’an.

Namun bagaimana kita hendak sampaikan kalau kita sendiri tidak tahu tentang ajaran isi kandung Al-Qur’an? Bagaimana kalau kita sendiri tidak belajar tafsir? Maka, kita sendiri kena belajar terlebih dahulu. Apabila sudah belajar, kita sampaikan kepada orang lain. Kalau tidak mampu sampaikan, maka ajak mereka belajar sekali.

وَأَنَا التَّوَّابُ

dan Akulah Penerima Taubat

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan أَنَا (Aku) dalam ayat ini. Jarang Allah ‎ﷻ membahasakan Diri-Nya sebegini (menggunakan kataganti diri yang pertama). Selalunya Allah ‎ﷻ akan membahasakan Diri-Nya dengan perkataan ‘Kami’. Allah ‎ﷻ akan menggunakan perkataan أَنَا itu jikalau Allah ‎ﷻ hendak menekankan Sifat-Nya yang Amat Menerima Taubat, atau dalam keadaan Amat Marah.

Perkataan التَّوَّابُ bermaksud ‘sentiasa’ menerima keampunan makhluk-Nya. Walaupun banyak kali kesalahan yang dibuat dan berkali-kali makhluk minta ampun atas kesalahan yang sama, Allah ‎ﷻ sanggup untuk menerima ampun itu dan memaafkan hamba-Nya yang sanggup untuk bertaubat kepada-Nya.

الرَّحِيمُ

Maha Mengasihani;

Sesiapa yang telah diterima taubatnya, tidak akan diseksa di akhirat nanti. Allah ‎ﷻ akan belas kasihan kepada hamba itu. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ amat kasih kepada hamba-Nya. Allah ‎ﷻ tidak akan sanggup untuk mengazab orang yang telah diberi taubat oleh-Nya.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan