Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-130 hingga Ke-132

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-130 hingga Ke-132

621
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-130

Setelah diterangkan dengan panjang lebar tentang Nabi Ibrahim عليه السلام, Allah ‎ﷻ seumpama hendak menyampaikan kepada Ahli Kitab: Wahai Yahudi dan Nasara, kamu juga anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام seperti juga Arab Mekah.

Kamu semua daripada rumpun yang sama. Cuma sekarang yang mendukung umat akhir zaman adalah daripada anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام juga iaitu Nabi Ismail عليه السلام, maka kamu pun marilah ikut sekali. Sama-sama tegakkan tauhid bersama mereka. Jangan dengki kepada mereka sebab kamu semua daripada keturunan yang sama. Doa yang sampai melahirkan mereka adalah daripada doa Nabi kamu juga iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kalau kamu ikut, kamu boleh dapat pahala dua kali ganda – pahala beriman dengan Kitab kamu dan pahala beriman dengan Al-Qur’an. Maka, kamu tidak rugi pun, malah kamu akan dapat lebih daripada Arab Mekah kerana mereka hanya dapat beriman dengan Al-Qur’an sahaja kerana mereka dahulu tidak ada kitab.

Maka pilihan bijak adalah dengan ikut Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, banyak ayat-ayat yang diberikan kepada mereka adalah sebagai pujukan kepada mereka. Kalau tidak mahu ikut juga, Allah ‎ﷻ beri ayat ini.

وَمَن يَرغَبُ عَن مِلَّةِ إِبراهيمَ إِلّا مَن سَفِهَ نَفسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصطَفَيناهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّالِحينَ

Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain daripada orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ

Sesiapa yang membenci kepada ugama Nabi Ibrahim,

Millah (agama) Nabi Ibrahim عليه السلام sekarang ini telah dihidupkan semula oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kalau kamu membenci ajaran Nabi Muhammad ﷺ, seperti kamu membenci ajaran agama Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Mereka yang membenci agama Nabi Ibrahim عليه السلام adalah membenci agama Allah ‎ﷻ sebenarnya. Ini kerana Nabi Ibrahim عليه السلام mengajak kepada agama Allah ‎ﷻ yang lurus.

Kita semua memandang tinggi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Sama ada dalam kalangan Islam dan juga dalam kalangan Ahli Kitab. Tetapi ada kalangan orang yang tidak beragama (agnostic dan atheist) memandang sinis kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan kisah tentang baginda. Mereka juga mengatakan apa jenis Tuhan yang buat begitu kepada Nabi yang disayangi-Nya?

Kenapa Tuhan menyusahkan Nabi Ibrahim عليه السلام? – membakarnya, memisahkan baginda daripada ahli keluarganya dan mengarahkan baginda untuk membunuh anaknya sendiri? Mereka pun kata: Jikalau itulah perbuatan yang mulia, maka kenalah kita orang Islam pun membunuh anak kita.

Itu adalah kata-kata orang yang tidak tahu tentang agama. Arahan itu diberikan hanya kepada Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja. Kalau arahan itu tidak dikenakan kepada kita, maka kita pun tidak boleh buat begitu.

إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ

tidak lain melainkan dia membodohkan dirinya sahaja;

Golongan ahli Kitab yang benci kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام sebenarnya memperbodohkan diri mereka sahaja kerana ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام adalah sama dengan ajaran Nabi Muhammad ﷺ, iaitu tidak boleh syirik kepada Allah ‎ﷻ. Kalau mereka tidak suka dengan ajakan tauhid, maka mereka akan memperbodohkan diri mereka.

Orang-orang yang bodoh sahaja yang tidak suka kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka menjadikan dirinya bodoh. Atau menjadikan diri mereka hina. Maksudnya, mereka tidak akan dihormati di dunia dan tidak ada harga di akhirat. Itu akan hanya merugikan diri sendiri.

وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا

Dan sesungguhnya Kami telah pilih Nabi Ibrahim itu di dunia ini;

Allah ‎ﷻ telah pilih baginda sebagai imam untuk manusia di dunia. Kita telah jelaskan apa maksud ‘imam’ dalam ayat yang lain sebelum ini.

Perkataan اصْطَفَ bermaksud pemilihan yang dibuat kerana orang yang dipilih itu adalah orang yang suci. Dan pemilihan itu adalah pilihan Allah ‎ﷻ sendiri. 100% pilihan Allah ‎ﷻ. Kita sendiri tidak tahu dengan pasti kenapa Allah ‎ﷻ pilih. Namun yang pasti, Allah ‎ﷻ yang pilih. Ahli Kitab tahu bahawa Allah ‎ﷻ ada hak untuk memilih sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka terima bahawa Allah ‎ﷻ telah memilih Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi mereka ada masalah pula apabila Allah ‎ﷻ memilih Nabi Muhammad ﷺ.

وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ

dan sesungguhnya Nabi Ibrahim itu di akhirat kelak termasuk daripada Nabi-Nabi di peringkat soleh;

Nabi Ibrahim عليه السلام mempunyai kesolehan yang tinggi. Oleh itu, baginda berada di peringkat yang tinggi. Ini bukan soleh yang biasa, namun soleh peringkat Nabi. Jadi kita kena jadi orang yang soleh untuk bersama dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Tafsir Ayat Ke-131

Apabila diajak ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, puak Yahudi ada alasan pula. Mereka kata Nabi mereka pesan jangan mati melainkan ikut ajaran Nabi Musa عليه السلام. Jadi mereka kata mereka terikat dengan wasiat itu.

Maka Allah ‎ﷻ menjelaskan bahawa tidak ada wasiat sebegitu. Apa yang mereka kata itu adalah dakwaan kosong sahaja. Wasiat yang ada adalah mengikut tauhid sahaja. Dari segi cara amalan, tidak ada. Sedangkan ada dalam kitab mereka pun suruh ikut Nabi akhir zaman. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mulakan tentang apakah agama Nabi Ibrahim عليه السلام.

إِذ قالَ لَهُ رَبُّهُ أَسلِم ۖ قالَ أَسلَمتُ لِرَبِّ العالَمينَ

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ

Ketika Tuhannya berkata kepada Nabi Ibrahim:

Inilah sebenarnya ajaran dan suruhan terpenting dari Allah ‎ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام.

أَسْلِمْ

Serahkanlah diri kepada Aku;

Makna Islam itu bermakna ‘serah diri kepada Allah ‎ﷻ’. Sanggup mengesakan Allah ‎ﷻ bulat-bulat, 100%. Serah diri kepada Allah ‎ﷻ dalam tauhid dan amal, iaitu menjalankan segala arahan-Nya tanpa soal.

Tetapi kita sekarang tafsir Islam ini sebagai ‘selamat’ sahaja. Maknanya, itu adalah tafsiran yang tidak lengkap lagi. Sebenarnya, maksudnya yang lebih tepat adalah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Apabila kita serahkan diri kepada Allah ‎ﷻ, bermakna kita menjadi hamba kepada-Nya. Apa sahaja arahan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita, kita terima dan kita amalkan tanpa soal. Bila kita buat begitu, barulah kita akan ‘selamat’.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mula memberi isyarat tentang ‘Islam’ iaitu hendak memberitahu kepada Ahli Kitab bahawa Islamlah agama yang sebenar. Memang semua agama Allah ‎ﷻ dari zaman Nabi Adam عليه السلام lagi dinamakan ‘Islam’. Tetapi golongan agama merekalah yang ubah nama kepada ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Mereka telah ubah agama mereka, nama pun mereka sudah ubah.

قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

Kata Nabi Ibrahim: Sesungguhnya aku berserah diri bulat-bulat kepada Tuhan yang mencipta, menjaga sekalian alam.

Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab ajakan Allah ‎ﷻ dengan menggunakan perkataan أَسْلَمْتُ. Perkataan itu dalam “past tense”. Kenapa Nabi Ibrahim عليه السلام buat begitu? Ini adalah keindahan bahasa Al-Qur’an. Kalau dikatakan dalam “past tense”, itu menunjukkan lebih pasti lagi. Kalau digunakan dalam “present tense:, ada kemungkinan keislamannya itu tidak kekal. Kalau dalam bahasa Inggeris, kita boleh katakan ia bemaksud “It’s a done deal”.

Nabi Ibrahim عليه السلام juga menggunakan kata رَبِّ dalam kata-katanya. Ini kerana baginda hendak menekankan bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan dan dia adalah hamba Allah ‎ﷻ. Inilah ringkasan Al-Qur’an [Kita hamba Allah ‎ﷻ; dan Allah ‎ﷻ rabb kita].

Kenapakah kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dibawa dalam ayat ini? Surah Baqarah ini ditujukan kepada Ahli Kitab dan ia berkenaan mereka. Mereka kenal siapakah Nabi Ibrahim عليه السلام itu. Mereka pun terima baginda sebagai Rasul yang agung. Dan kerana karektor Nabi Ibrahim عليه السلام ini dikenali oleh Ahli Kitab dan juga orang Islam sendiri.

Jadi Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام kepada semua orang. Allah ‎ﷻ kenalkan siapa baginda dan apakah pegangan agama baginda. Oleh itu, Islamlah pegangan agama Nabi Ibrahim عليه السلام.

Tafsir Ayat Ke-132:

وَوَصّىٰ بِها إِبراهيمُ بَنيهِ وَيَعقوبُ يا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ لَكُمُ الدّينَ فَلا تَموتُنَّ إِلّا وَأَنتُم مُسلِمونَ

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ

Nabi Ibrahim mewasiatkan perkara yang sama kepada anaknya;

Baginda sampaikan ajaran agama dan terutama sekali pegangan akidah kepada anak-anak baginda. Maka beginilah yang kita kena lakukan. Kena ajar anak-anak kita. Berikan mereka pegangan agama yang benar.

وَيَعْقُوبُ

dan begitu juga yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub:

Nabi Ya’qub عليه السلام mengikut langkah Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda juga telah menyampaikan pegangan agama ini kepada keturunan baginda.

يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ

wahai anakku, sesungguhnya Allah sudah memilih ugama untuk kamu.

Agama yang hanya diterima dan diredhai oleh Allah ‎ﷻ adalah Islam sahaja. Jangan kita kata agama-agama lain sama sahaja. Itu adalah salah kerana agama yang hanya diterima adalah Islam sahaja. Memang agama-agama lain ada kebaikannya, tetapi tidak lengkap. Tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ.

Apabila digunakan perkataan لَكُمُ – ‘untuk kamu’ – itu bermaksud ia diberikan dalam bentuk rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana digunakan huruf jar ل. Berbeza kalau digunakan dalam bentuk ‘alaikum’ – ke atas kamu – kalau dalam bentuk itu, ia bermaksud satu tanggungjawab. Dalam ayat ini, apabila Allah ‎ﷻ menggunakan huruf ل, Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa agama Islam itu diberikan kepada kita sebagai satu rahmat kepada kita.

Siapakah anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام? Mereka terdiri daripada Nabi Yusuf عليه السلام, Bunyamin dan 10 lagi adik-beradiknya yang lain. 10 adik-beradiknya yang lain itu telah disebut kisah mereka tentang apa yang telah mereka lakukan kepada Nabi Ya’qub عليه السلام dan Nabi Yusuf عليه السلام. Mereka telah meninggalkan Nabi Yusuf عليه السلام di dalam telaga kerana mereka dengkikan baginda. Kemudian mereka telah menipu bapa mereka – Nabi Ya’qub عليه السلام. Ini diceritakan dengan panjang lebar dalam Surah Yusuf عليه السلام.

Kalau kita lihat keturunan mereka, tentulah kita rasa mereka sepatutnya menjadi orang yang baik, kerana bapa mereka Nabi, datuk mereka Nabi (Nabi Ishak عليه السلام) dan moyang mereka juga Nabi (Nabi Ibrahim عليه السلام). Namun hakikatnya mereka tidak begitu. Maka ini mengajar kita, tidak ada jaminan kalau keturunan baik, seseorang itu akan menjadi baik juga. Iman tidak boleh diwarisi. Seseorang itu kena cari sendiri.

Maka janganlah kita terus percaya kepada seseorang itu jikalau dia dikatakan dari keturunan ulama’ terdahulu termasuklah kalau dia dikatakan seseorang itu daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Kena tengok dahulu apakah yang dilakukannya dan apakah ajaran yang dibawanya.

فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Maka jangan sekali-kali kamu mati melainkan kamu dalam keadaan berserah diri bulat kepada Allah.

Nabi Ya’qub عليه السلام telah berdoa dan juga menasihati anak-anak baginda. Tidak cukup kalau kita hanya mendoakan sahaja keselamatan dan keimanan keturunan kita. Kita kena juga bagi nasihat kepada mereka.

Kita memang risaukan tentang apakah agama anak cucu kita nanti. Jangan tidak ambil kisah langsung. Apa yang kita boleh buat adalah memberi mereka pendidikan yang sempurna dan kemudian menasihati mereka. Kita hanya boleh buat yang terbaik yang kita mampu lakukan. Selepas itu, terpulang kepada mereka.

Akhirnya, anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام telah bertaubat dan menjadi insan yang baik dan beriman. Jangan pula kita kutuk mereka. Apa yang terjadi kepada mereka adalah pengajaran buat kita.

Kita dapat tahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عليه السلام kepada anaknya ini daripada Al-Qur’an kerana Tuhan beritahu dalam Al-Qur’an dan kita belajar tafsir Al-Qur’an. Oleh itu, lihatlah wasiat yang diberikan oleh para Nabi yang disebut di atas. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ sebutkan wasiat mereka dalam ayat ini. Kita sendiri kena wasiat kepada anak-anak kita pun begini juga.

Dan kita sendiri jangan mati melainkan dalam berserah diri kepada Allah ‎ﷻ iaitu tidak buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana yang dikira adalah iman kita ketika kita di ambang maut. Hanya sesiapa yang tidak berbuat syirik sahaja akan dapat menerima doa daripada anak mereka. Kalau mereka ada berbuat syirik, walaupun anak mereka mendoakan untuk mereka, tetapi tidak diterima doa itu. Alangkah ruginya kalau begitu.

Satu pengajaran daripada ayat-ayat ini adalah: Kita kena ajar wasiat itu kepada anak-anak kita. Dalam Surah Luqman juga, Luqman mewasiatkan kepada anaknya supaya jangan mati melainkan dalam agama Islam. Bila anak kita hampir masuk akil baligh, kena ajar kepada mereka tentang agama. Ajar mereka siapa Tuhan dan siapa Nabi. Kemudian ajar mereka mengucap. Supaya mereka masuk Islam di hadapan kita secara rasmi.

Memang keturunan mereka memang sudah Muslim, tetapi kita hendakkan mereka masuk Islam secara rasmi. Iaitu masuk Islam dalam keadaan mereka faham tentang apakah itu Tuhan dan apakah itu Islam. Bukan sebab emak ayah dia Muslim. Kita dulu mungkin tidak ada yang buat begitu kepada kita. Tidak ada sesiapa ajar kita maksud syahadah itu dengan benar. Sampaikan kita tidak tahu bila kita dahulu mula masuk Islam (Siapa ingat bilakah dia masuk Islam?)

Maka ingatlah untuk mengajar syahadah kepada anak-anak kita. Kalau kita tidak buat begitu, ada kemungkinan mereka tidak sayang kepada agama kerana mereka tidak faham dan sangka itu adalah ‘agama keturunan’ sahaja. Inilah kefahaman kebanyakan masyarakat kita sekarang. Mereka melihat agama ini sebagai keturunan sahaja, tidak tahu langsung bab agama.

Lihatlah sekali lagi digunakan perkataan ‘Muslim’ dalam ayat ini juga. Penggunaan kata Muslim dan Islam banyak digunakan sekarang dan dalam berbagai-bagai cara. Semuanya untuk memberi isyarat kepada Bani Israil supaya masuk Islam. Mereka kena sedar yang Islamlah agama sebenar dan itulah agama sebenar datuk nenek mereka pun.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan