Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-121 hingga Ke-123

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-121 hingga Ke-123

1066
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-121

الَّذينَ آتَيناهُمُ الكِتابَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka itu Kitab;

Iaitu kitab Taurat, Injil, Al-Qur’an dan lain-lain kitab lagi yang telah Allah ‎ﷻ turunkan kepada manusia.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan آتَيْنَاهُمُ: ‘yang Kami berikan kepada mereka’. Ini menunjukkan Allah ‎ﷻ masih lagi suka dengan mereka kerana Allah ‎ﷻ masih lagi mengaitkan Nama-Nya dengan pemberian kitab itu. Maka ini memberikan harapan lagi kepada mereka.

Namun, ada terdapat di dalam ayat-ayat yang lain, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan: ‘yang diberikan kepada mereka Kitab’, itu menunjukkan Allah ‎ﷻ telah murka sangat kepada mereka. Sampaikan Allah ‎ﷻ tidak lagi menyebut perkataan ‘Kami’ dalam ayat apabila Allah ‎ﷻ murka terhadap mereka. Walaupun memang Allah ‎ﷻ yang berikan kitab, tetapi Allah ‎ﷻ tidak letak perkataan ‘Kami’.

يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ

dan mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan;

Allah ‎ﷻ memberitahu tentang golongan Ahli Kitab yang telah membaca kitab mereka dengan betul. Kalau mereka membaca kitab mereka dengan betul, maka mereka akan menemui maklumat tentang kedatangan Nabi akhir zaman – Nabi Muhammad ﷺ.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita iaitu hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an. Inilah yang dikatakan baca dengan sebenar. Ini kerana kalau disebut حَقَّ تِلَاوَتِهِ ia bermaksud baca untuk faham, amal dan untuk sebar. Bukan setakat baca sahaja tanpa memahami apa yang kita baca. Berapa ramai dalam masyarakat kita yang memang sudah cintakan Al-Qur’an? Mereka membaca Al-Qur’an setiap hari.

Namun malangnya mereka tidak memahami apakah yang mereka baca itu. Ini amat merugikan sekali. Kita sepatutnya kena faham tafsir Al-Qur’an seperti yang difahami oleh ulama’ salaf dan sahabat. Sebab itu kena belajar tafsir dengan benar. Jangan salah pilih guru. Ada tafsir yang diajar oleh guru yang tidak habis pun belajar tafsir. Mereka agak-agak sahaja dalam tafsiran mereka.

Apabila kita sudah cinta kepada Al-Qur’an, akan timbul keinginan untuk belajar bahasa Arab supaya lebih memahami lagi Al-Qur’an itu. Begitu juga ia akan menggerakkan kita untuk membaca Al-Qur’an dengan tajwid yang benar dan menghafal ayat-ayat Al-Qur’an.

أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ

mereka yang bersifat seperti itulah yang beriman dengan kitab itu;

Kebenaran Al-Qur’an dan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ini bukan untuk orang Arab sahaja. Ia bukan diketahui oleh orang Arab sahaja malah ia diketahui oleh ahli kitab juga kerana berita-berita tentang Nabi akhir zaman telah ada dalam kitab mereka iaitu terdapat di dalam kitab yang asli. Mereka yang benar-benar membaca kitab mereka dengan betul, akan menemui fakta ini.

وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ

dan sesiapa yang ingkar dengannya;

Yang ingkar adalah mereka yang tidak mahu menurut ajaran wahyu sama ada mereka itu Ahli Kitab ataupun orang Islam. Maka ini termasuk dengan mereka yang enggan untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila kita ajak, mereka tidak mahu belajar. Dan apabila kita berikan dalil daripada Al-Qur’an, mereka tidak mahu terima kerana mereka tidak pernah dengar. Memanglah mereka tidak pernah dengar kerana mereka tidak pernah belajar.

فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Maka mereka yang seperti itu adalah orang yang rugi sungguh;

Mereka yang enggan untuk menerima ajaran wahyu itu amatlah rugi. Mereka telah diberikan dengan wahyu sebagai panduan hidup tetapi mereka biarkan sahaja. Maka begitulah juga, rugi sungguh orang Islam yang jahil wahyu kerana mereka sudah ada Al-Qur’an sebagai pedoman hidup, tetapi mereka tidak menggunakan Al-Qur’an sebagai pendidik dan pembimbing mereka.

Tafsir Ayat Ke-122

Ini adalah siri ayat-ayat yang terakhir yang menceritakan kisah Yahudi dalam Surah Baqarah, supaya kita mengambil peringatan daripada kisah mereka. Ia adalah ayat penutup tentang Yahudi dan mula untuk memberitahu tentang umat Nabi Muhammad ﷺ.

Golongan Yahudi yang ada di Madinah itu memang datang ke Madinah kerana hendak tunggu kedatangan Nabi akhir zaman, namun apabila Nabi itu telah benar-benar datang, mereka pula yang lawan. Allah ‎ﷻ telah banyak memberitahu tentang mereka dan ini adalah penutup syarah yang panjang itu.

Selepas ini akan diberitahu tentang sejarah asal pengikut Nabi Muhammad ﷺ yang sebenar. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang golongan daripada bangsa Arab yang mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ itu bukanlah golongan bawahan walaupun mereka tidak ada kitab sebelum itu. Mereka itu lahir daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام yang dimakbulkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka umat terpilih sebenarnya.

يا بَني إِسرائيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العالَمينَ

Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).

يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Wahai Bani Israil, ingatlah nikmat-Ku yang Aku telah beri kepada kamu;

Banyak sekali nikmat dunia dan agama yang telah diberikan kepada golongan Bani Israil. Antaranya, mereka banyak bersaudara dan berkenalan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul sebab memang banyak nabi-nabi daripada golongan mereka. Maknanya mereka itu berasal daripada keturunan yang baik-baik.

Tetapi entah berapa ramai Yahudi dikenakan azab nanti kerana kesesatan mereka sebab Allah ‎ﷻ bukan mengambil kira keturunan. Yang penting kena tengok amalan sama ada amalan benar atau pun salah. Kalau benar pun keturunan Rasulullah ﷺ atau anak cucu mana-mana ulama’ pun, belum tentu akan selamat kalau mereka juga membuat salah dalam akidah dan amalan.

Malangnya, ramai orang kita yang pentingkan sangat keturunan. Seolah-olah kalau keturunan para wali, sudah tentu mereka selamat pula. Ini tidak benar sama sekali. Walau pun mungkin ada keturunan dia yang baik-baik, tetapi ada juga yang berbuat salah. Kalau mereka buat salah, mereka akan dihumban juga ke dalam neraka. Semuanya dikira atas amalan dan perbuatan manusia. Ada yang baik dan ada yang jahat.

Tidaklah kita boleh kata kalau seseorang itu keturunan Nabi Muhammad ﷺ kita terus kata dia betul sahaja. Kena tengok apakah yang diajarnya. Kalau benar, kita ikut, kalau salah kita tinggalkan. Macam golongan Habib sekarang, yang menyanyi dan mengajar ajaran tarekat itu, itu sudah jelas kesesatan mereka, sudah banyak dibongkarkan kesesatan mereka, maka hendaklah ditinggalkan.

وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ

Dan sesungguhnya Aku telah melebihkan kamu ke atas penduduk sekalian alam;

Bukanlah sekalian alam sekarang, tetapi pada zaman itu. Ini kerana perkataan فَضَّلْتُكُمْ itu dalam bentuk “past tense”. Bukanlah berterusan mereka dalam kelebihan itu kerana semenjak Nabi Isa عليه السلام, tidak ada lagi nabi daripada Bani Israil. Mereka sekarang sudah tidak ada kelebihan dalam hal agama lagi.

Ayat yang lebih kurang begini telah disebutkan sebelum ini. Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada mereka bahawa kelebihan yang mereka ada itu datang daripada kurnia Allah ‎ﷻ. Bukan mereka sendiri yang ada kelebihan itu. Tetapi kerana Allah ‎ﷻ yang beri, maka mereka dapat menikmatinya sementara waktu. Janganlah mereka rasa mereka layak terima segala kebaikan kerana keturunan mereka. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang mengurniakannya, tentu mereka tidak akan mendapat apa-apa.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka tentang kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu mereka supaya sekarang ikutlah Nabi Muhammad ﷺ. Nabi akhir zaman ini. Masih ada masa lagi untuk mereka bertaubat kalau mereka ada berbuat salah. Masih ada waktu lagi untuk mereka mengambil peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

Tafsir Ayat Ke-123

Tetapi, kalau mereka masih tidak mahu mengikut nasihat itu, maka Allah ‎ﷻ berikan takhwif ukhrawi kepada mereka untuk menakutkan mereka.

وَاتَّقوا يَومًا لا تَجزي نَفسٌ عَن نَفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها عَدلٌ وَلا تَنفَعُها شَفاعَةٌ وَلا هُم يُنصَرونَ

Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

وَاتَّقُوا يَوْمًا

Dan takutlah kamu pada suatu hari

Hari yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat, Hari Akhirat, Hari Pembalasan. Hari itu pasti akan datang. Kena bersedia untuk menghadapi hari itu kerana hari itu nanti akan meresahkan semua orang. Ini kerana pada waktu itu nanti segala amal kita akan dinilai. Entah kita selamat, entahkan tidak.

لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا

yang tidak akan boleh satu jiwa membantu jiwa yang lain;

Waktu itu, tidak ada sesiapa pun boleh membantu sesiapa. Anak beranak pun tidak boleh tolong. Suami isteri pun tidak boleh tolong sesama sendiri. Guru tidak boleh bantu anak murid. Kawan tidak boleh bantu kawan. Pada hari itu, semuanya bergantung kepada amalan sendiri.

Jadi, kalau ada yang berangan yang mereka itu daripada keturunan yang mulia, daripada keturunan para Nabi dan orang-orang soleh, janganlah berangan lagi kerana waktu itu tidak ada sesiapa pun boleh membantu mereka.

وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ

dan tidak diterima daripada mereka itu rasuah;

Mereka tidak boleh rasuah Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak perlukan apa-apa daripada kita. Jadi apa yang kita hendak tawarkan kepada Allah ‎ﷻ sebagai rasuah?

Namun timbul pula persoalan: Adakah terdapat manusia yang cuba untuk merasuah Allah ‎ﷻ? Benda apa yang mereka hendak beri kepada Allah ‎ﷻ sedangkan mereka tidak punya apa-apa lagi pada waktu itu? Harta kekayaan semua di dunia sahaja dan dunia sudah hancur.

Rupa-rupanya mereka akan tawarkan orang lain untuk dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tawar anak mereka, ibu bapa mereka, kawan-kawan mereka, sesiapa sahaja – asalkan mereka tidak masuk neraka. Begitulah yang akan terjadi nanti. Nauzubillah! Semoga kita diselamatkan nanti.

وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَاعَةٌ

dan tidak akan memanfaatkan bagi mereka syafaat

Tidak akan bermanfaat syafaat daripada sesiapa sahaja jikalau mereka telah kufur dan rosak akidah. Mereka pun tidak mendapat syafaat walaupun mereka itu telah meminta-minta daripada penyampai syafaat (seperti Nabi Muhammad ﷺ).

Banyak manusia yang salah faham tentang syafaat. Umat Islam sekarang ramai yang sangka mereka akan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad ﷺ. Sebab itu mereka memuja-muja baginda – dengan pujaan ‘ya Hanana’ dan macam-macam lagi. Tetapi pemujaan mereka itu tidak akan membolehkan mereka mendapat syafaat pun. Ini kerana bukan Nabi yang membuat keputusan siapakah yang boleh diberikan syafaat.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ yang menentukan siapa yang boleh diberi syafaat – Nabi hanya ‘menyampaikan’ sahaja. Kalau seseorang manusia itu telah melakukan syirik kerana mereka tidak faham apa itu syirik, maka mereka tidak akan langsung ada peluang untuk mendapat syafaat.

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

dan mereka tidak dapat ditolong;

Kalau sekiranya mereka engkar daripada mengamalkan ajaran Tauhid, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dapat menolong mereka. Golongan Yahudi sangka, mereka golongan terpilih, maka mereka sangka mereka akan diselamatkan. Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, tidak sama sekali mereka akan diberikan pertolongan dari mana-mana arah pun.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan