Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran

Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran

438
0
Iklan

Sambungan bab Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran.

Syaitan menggalakkan pertengkaran. Ini biasa sangat. Ada sahaja benda yang manusia ingin bertengkar. Selalunya kita tidak perasan yang itu adalah bisikan dan cucukan daripada Iblis/Syaitan. Kita ikut sahaja.

Dalilnya adalah [Isra’:53]

وَقُل لِعِبادي يَقولُوا الَّتي هِيَ أَحسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيطانَ يَنزَغُ بَينَهُم ۚ إِنَّ الشَّيطانَ كانَ لِلإِنسانِ عَدُوًّا مُبينًا

Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Selalunya dimulakan dengan lidah. Silap cakap sahaja, mulakan muncung. Mulalah terasa. Kita pula selalu hendak ‘tambah gula’ daripada percakapan orang. Orang itu cakap A, tetapi kita cakap dalam hati: “Dia cakap macam ni, mesti dia maksudnya begini, begitu dan begiti”.

Maka Allah ‎ﷻ ajar kita, bila bercakap, maka biarlah bercakap أَحسَنُ lebih baik. Jangan cakap pakai lepas sahaja.

Some people stop to think, some people stop thinking”.

(Sesetengah orang berhenti untuk berfikir, sesetengah orang berhenti berfikir).

Sememangnya seronok sahaja cakap lepas. Lepas cakap sedap sahaja rasa tetapi sampai bila? Bukankah tidak lama selepas itu, akan timbul rasa menyesal? Mula cakap dalam hati: “Kenapalah aku cakap macam tu tadi?” Namun terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata?

Satu perumpamaan yang menarik orang ajar bab ini. Suruh seseorang pecahkan pinggan ke tanah (kalau inginkan kesan yang betul, kasi pecah betul tetapi cari yang murah sahaja). Kemudian suruh dia cantumkan balik. Bolehkah ia menjadi seperti asal?

Tentu tidak. Begitulah dengan perkataan. Tidak boleh hendak tarik balik, bukan?

Lagi satu, untuk ajar budak-budak pula: Suruh mereka ambil ubat gigi dan suruh mereka picit-picit dan keluarkan ubat gigi itu.

Kemudian suruh mereka masukkan balik ke dalam tiub. Tentu tidak boleh, maka cakap kepada mereka: “Ya anak-anak. Beginilah kalau kita dah cakap. Bila dah cakap tak boleh nak masukkan balik yer…”

Cara Bercakap Anjuran Al-Qur’an

Bab bercakap ini memang harus dijaga sebab kesannya amatlah panjang dan mungkin berkekalan. Masuk kemas dalam hati, boleh kekal sampai bila-bila.

Contoh, budak sekolah yang dirotan oleh cikgu disiplin. Bahagian badan yang dirotan itu esok lusa hilanglah sakit. Namun masa rotan cikgu itu hina dia: “Anak tak guna, menyusahkan orang.. kecik-kecik tak nak mampus, besar menyusahkan orang!”

Sakit badan akan hilang, tetapi sakit di hati sampai pencen masih teringat lagi.

Maka kerana itulah Nabi ﷺ sudah berpesan:

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah bersabda;

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari)

Akan tetapi, syaitan akan sentiasa sahaja mengajak kita cakap benda yang tidak patut. Dia suruh kita balas: “Wehhh, takkan nak biar jer dia macam tu? Kasi sikit pedas punya satu!”

Kita pula pandai cakap, ‘dus das’ kita berikan pada orang. Hmmphhh puas hati, bukan?

Berapa lama puas hati? Boleh buat makan kah rasa puas hati itu?

Kita ingat kita kah sahaja yang pandai cakap? Orang yang kita marah dan perli itu tidak pandai? Kita sangka dia tiada syaitan di sebelahnya pula bisikkan cara untuk balas kata-kata kita?

Tentu ada! Maka berbalas-balaslah kata mengata. Orang luar pun malas hendak tengok. Malu bila orang tengok sebab memang kedua-duanya sudah dirasuk syaitan. Kedua-duanya sudah terkena Talbis Iblis.

Ingatlah Allah ‎ﷻ sudah berikan kepandaian berkata-kata kepada kita. Maka ini adalah nikmat. Namun kenalah dijaga percakapan kita kerana ia adalah salah satu senjata yang Iblis gunakan untuk menyebabkan perkelahian sesama manusia.

Dalam Al-Qur’an Allah ‎ﷻ sudah ajar bagaimana cara untuk bercakap. Mari kita lihat.

Cara Komunikasi Pertama: Qawlan Ma’roofan

Allah ‎ﷻ sebut dalam [Nisa’: 5]

وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا

dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik

Ini adalah nasihat yang pertama: Qawlan Ma’roofan

Kalimah ‘ma’roof’ dari maksud arafa: yang diketahui. Maknanya perkara yang manusia ketahui ia adalah baik. Tidak perlu diajar kerana manusia normal sudah tahu ia adalah baik. Tidak kira sama ada dia muslim ataupun tidak. Ini kerana manusia ini asalnya baik, tahu membezakan mana yang baik dan buruk.

Ayat ini tentang harta anak yatim. Ada kala harta itu dijaga oleh orang lain kerana anak yatim itu belum layak dan mampu untuk menjaganya sendiri tetapi memang harta itu kepunyaannya. Kalaulah dia minta, kita tidak boleh bagi sebab nanti dia akan habiskan sahaja dengan main game dan belanja kawan. Maka kena tolak.

Namun hendak tolak bagaimana? Inilah yang Allah ‎ﷻ ajar, bercakap baik-baik dengannya. Jelaskan kenapa tidak boleh bagi lagi hartanya kepadanya lagi. Biar dia faham kenapa dia kena sabar dan tunggu sampai dia sudah boleh terima.

Kalau kita bercakap kasar dengannya, dia tidak faham malah dia akan marah kerana kita bercakap kasar dengannya. Dia akan lebih ingat kepada cara cakap kita daripada apa yang kita kata. Iblis akan bisik: “Ha tengok pakcik kau ni… itu bukan harta dia tapi harta kau, tapi dia tak mahu bagi kat kau pulak. Kau minta baik-baik, boleh dia cakap macam tu kat kau? Ish ish ish… “

Maka sudah timbul sakit hati dan bibit kebencian di dalam diri anak itu yang dia akan simpan lama di dalam hatinya. Dia cari sahaja peluang untuk balas balik kepada pakciknya.

Sekian cara berkomunikasi yang pertama.

Komen dan Soalan