Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-84 dan Ke-85

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-84 dan Ke-85

1035
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-84

Untuk memahami ayat ini, kena tahu Asbabun Nuzul ayat. Puak Yahudi di Madinah ada beberapa kumpulan dan ada dua kumpulan yang besar: Bani Nadhir dan Bani Quraizah (selain daripada puak-puak yang lain). Di sini disebutkan kisah mereka secara ringkas kerana akan ada lagi kisah mereka dalam surah yang lain nanti.

Kedua-dua puak Yahudi itu menganut agama yang sama tetapi jadi berpuak kerana kuli mereka berpuak dan berbalah. Kuli mereka itu adalah daripada puak Arab Madinah dan mereka pula tidak mempunyai asas agama. Dua puak itu adalah puak Aus dan puak Khazraj. Bani Nadhir berkawan dengan puak Khazraj dan bani Quraizah berkawan dengan puak Aus.

Puak Aus dipimpin oleh Saad bin Muaz dan puak Khazraj pula dipimpin oleh Saad bin Ubaadah. Mereka itu sentiasa berbalah dan berperang sesama sendiri dan dikatakan mereka telah 40 tahun berperang tanpa henti. Ini kerana keturunan mereka akan mengingatkan kepada anak-anak mereka untuk terus bermusuhan dengan puak musuh mereka.

Apabila mereka berperang, penaung-penaung mereka daripada bani Nadhir dan bani Quraizah itu juga turut sama berperang kerana membantu kuli-kuli mereka.

Ada syariat dalam Kitab Taurat yang menyebut, kalau ada bangsa Yahudi ditawan,  mereka yang tidak ditawan mesti mengumpulkan duit dan menebus mereka yang telah ditawan. Dan diarahkan supaya jangan berperang sesama sendiri. Dan jangan sekali-kali menghalau bangsa mereka dari daerah tempat mereka tinggal. Inilah tiga undang-undang dalam Taurat:

  1. Jangan berperang sesama sendiri.
  2. Kalau ada yang ditawan dalam kalangan mereka, maka mesti ditebus.
  3. Jangan halau keluar dari daerah.

Maka mereka telah melanggar undang-undang ini apabila mereka berperang sesama sendiri dan mengikut peperangan bangsa Arab Yathtib. Dan apabila pihak Yahudi yang lawan itu kalah, mereka menghalau puak yang kalah itu dari tempat tinggal mereka.

Tetapi dalam masa yang sama, apabila ada orang Yahudi yang ditawan oleh pihak lawan bangsa Arab, puak-puak Yahudi yang menjadi musuh, sanggup pula ditebus. Jadi mereka ikut mana yang mereka mahu ikut sahaja. Ada syariat yang mereka ikut dan ada yang mereka tolak begitu sahaja.

Apabila sahabat-sahabat Nabi ﷺ yang telah lama tinggal di Madinah membaca ayat-ayat ini, barulah mereka tahu perkara ini. Dan mereka boleh faham apa yang dimaksudkan kerana mereka sudah lama kenal dengan Yahudi itu dan mereka tahu bahawa apa yang disebutkan dalam ayat-ayat Al-Quran ini adalah benar seperti yang terjadi.

Jadi Allah ‎ﷻ ulang sebut apakah undang-undang yang ada dalam Taurat.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَكُم لا تَسفِكونَ دِماءَكُم وَلا تُخرِجونَ أَنفُسَكُم مِن دِيارِكُم ثُمَّ أَقرَرتُم وَأَنتُم تَشهَدون

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengikat perjanjian dengan kamu semua;

Kata مِيثَاقَ bermaksud satu perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Allah ‎ﷻ mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ ‎tentang perjanjian yang telah diikat antara Allah ‎ﷻ dan Bani Israil.

لَا تَسْفِكُونَ دِمَاءَكُمْ

Janganlah kamu menumpahkan darah sesama kamu;

Tidak boleh berbunuhan sesama mereka sebab mereka semua adalah umat dalam satu agama. Ajaran ini juga ada dalam Islam. Nabi ﷺ telah bersabda yang mafhumnya, membunuh seorang Muslim adalah seperti membunuh semua Muslim. Tetapi tidakkah kita lihat bagaimana dari dahulu sampai sekarang, banyak sekali Muslim berbunuhan sesama sendiri?

Dalam ayat sebelum ini, kita telah disuruh berbaik-baik dengan semua orang. Kalau tidak berbaik itulah yang sampai menumpahkan darah. Apabila hak-hak sesama Muslim tidak dijaga, maka hasilnya tidak baik. Mula-mula mereka hanya tidak suka antara satu sama lain. Kemudian telah mula berbantah-bantah. Lama-kelamaan akan ada perang yang kecil. Kemudian, perang yang besar akan berlaku kalau ia tidak dikawal.

وَلَا تُخْرِجُونَ

Dan janganlah kamu keluarkan;

Maksudnya, jangan kamu halau.

أَنْفُسَكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ

diri-diri kamu dari kampung halaman kamu;

Tidak mungkin kita hendak keluarkan ‘diri kita’ pula. Maksudnya, jangan keluarkan sebahagian dari orang Yahudi dari kampung halaman mereka. Allah ‎ﷻ telah melarang mengeluarkan orang Yahudi lain dari kampung halaman mereka.

Dalam Islam juga perkara yang sama telah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ kepada kita. Tetapi malangnya, dalam banyak kejadian, ada ulama’-ulama’ yang dikeluarkan dari negara mereka kerana tidak sama pendapat dengan pemimpin yang tidak mahu mengikuti nasihat mereka.

Sama ada dikeluarkan dari negara, atau mereka dilayan dengan teruk sampai mereka sendiri terpaksa meninggalkan negara itu. Ada yang dikeluarkan kerana desakan dari negara bukan Islam. Sebab takutkan orang kafir, ada negara Islam yang mengikut telunjuk orang kafir.

Lihatlah bagaimana apa yang terjadi dahulu masih lagi berlaku sekarang. Dan akan berlaku di masa hadapan nanti. Al-Qur’an bukanlah kitab untuk bacaan zaman dahulu sahaja. Apa yang diceritakan dalam Al-Qur’an akan sentiasa berlaku sampailah ke hari Kiamat nanti. Ia terus menjadi peringatan bagi kita kerana manusia memang mudah lupa.

ثُمَّ أَقْرَرْتُمْ

Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian itu;

Kamu dan datuk nenek kamu telah berikrar untuk mengikuti ajaran-ajaran yang ada dalam Taurat itu. Apakah kamu sudah lupa?

وَأَنْتُمْ تَشْهَدُونَ

Dan kamu sendiri menjadi saksi

Kamu sendiri tahu bahawa perjanjian ini ada terdapat dalam Kitab Taurat kamu. Bukannya kamu tidak baca Taurat itu. Kalau bukan semua tahu apa yang ada dalam Taurat, tetapi ahli agama kamu tahu.

Sama juga dengan ajaran dalam Al-Qur’an, walaupun bukan semua orang awam tahu, tetapi ada ulama’ dan ahli agama yang tahu. Kenapa mereka tidak mengingatkan umat? Kenapa mereka berdiam diri sahaja kalau ada kemungkaran yang dilakukan oleh manusia?

Tafsir Ayat Ke-85

Selepas perjanjian yang mereka ambil dengan Allah ﷻ, lihatlah apa yang mereka telah lakukan.

ثُمَّ أَنتُم هٰؤُلاءِ تَقتُلونَ أَنفُسَكُم وَتُخرِجونَ فَريقًا مِنكُم مِن دِيارِهِم تَظاهَرونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَالعُدوانِ وَإِن يَأتوكُم أُسارىٰ تُفادوهُم وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيكُم إِخراجُهُم ۚ أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ الكِتابِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ ۚ فَما جَزاءُ مَن يَفعَلُ ذٰلِكَ مِنكُم إِلّا خِزيٌ فِي الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَيَومَ القِيامَةِ يُرَدّونَ إِلىٰ أَشَدِّ العَذابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

ثُمَّ أَنْتُمْ

Kemudian kamu, bangsa Yahudi;

Iaitu Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ terus bercakap dengan mereka. Jadi ini adalah sesuatu yang agak keras bila Allah ‎ﷻ terus bercakap kepada mereka.

هَٰؤُلَاءِ

Mereka-mereka ini;

Penggunaan perkataan Allah ‎ﷻ ini menunjukkan ketakjuban dan kehairanan Allah ‎ﷻ terhadap mereka. Orang-orang yang sama juga yang telah mengambil perjanjian dengan Allah ‎ﷻ, tetapi masih lagi tidak mahu ikut.

تَقْتُلُونَ أَنْفُسَكُمْ

berbunuhan juga sesama kamu;

Yang berperang sebenarnya adalah puak Aus dan Khazraj. Kaum Yahudi yang menyokong salah satu daripada puak Aus dan Khazraj itu juga turut berperang bersama mereka.

وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِنْكُمْ مِنْ دِيَارِهِمْ

Dan kamu menghalau satu puak Yahudi dalam kalangan kamu dari kampung halaman mereka;

Perkataan فَرِيقًا yang digunakan bermaksud ‘kumpulan yang lain’. Kita sangka mereka kumpulan yang lain. Puak Yahudi itu juga melihat itu adalah puak yang lain. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa mereka itu adalah sebahagian dari mereka juga.

تَظاهَرونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَالعُدوانِ

kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan

Iaitu mereka telah menolong Kaum Aus dan Khazraj dalam peperangan mereka. Kamu sanggup bantu puak Arab yang berkawan dengan kamu sampai kamu sanggup tinggalkan ajaran daripada Kitab Taurat, kitab kamu sendiri. Kamu bantu membantu dalam melakukan dosa, dan ini adalah amat buruk sekali.

وَإِنْ يَأْتُوكُمْ أُسَارَىٰ

Dan sekiranya Yahudi lawan kamu itu datang sebagai tawanan,

Jadi semasa berlaku peperangan antara mereka, ada orang-orang daripada Kaum Yahudi yang terlibat dengan peperangan itu yang terbunuh dan ada yang tertawan. Apabila berlaku tawanan, lawan mereka daripada golongan Yahudi yang ditawan akan meminta tebusan.

تُفَادُوهُمْ

kamu tebus mereka;

Walaupun yang ditawan itu adalah daripada pihak lawan, tetapi kamu sanggup pula tebus mereka. Ini kerana mereka ingat bahawa itu adalah ajaran daripada Taurat. Mereka sangka mereka telah berbuat baik dengan membayar tebusan mereka itu. Mereka rasa mereka sudah mengikut ajaran Taurat. Tetapi mereka lupa bahawa itu hanyalah sebahagian sahaja daripada arahan Allah ‎ﷻ dalam kitab mereka.

Macam itu jugalah kita orang Islam sekarang. Kadang-kadang memang kita ada buat ibadat yang baik dan mengikut ajaran Al-Qur’an. Kita sangka itu sudah cukup. Kita lupa bahawa banyak lagi yang kita tinggalkan atau kita langgar arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Macam artis-artis kita yang setahun sekali akan pergi buat Umrah sebab mereka hendak ‘cuci’ dosa mereka. Mereka rasa mereka sudah selamat sebab mereka sudah pergi Umrah. Mereka hendak sedapkan hati mereka sahaja. Lepas balik dari Umrah, sambung balik buat ‘show’ dan terus buat perancangan untuk membuat album nyanyian yang baru.

Orang kebanyakan pun macam itu juga. Mereka rasa apabila mereka sudah gantung ayat Al-Qur’an sebagai perhiasan kat rumah itu sudah cukup Islam. Apabila bersunat, sudah jadi Muslim sejati. Kalau salat tidak pernah tinggal, sudah pasti menjadi ahli syurga. Adakah begitu? Adakah Al-Qur’an itu layak dijadikan perhiasan sahaja?

وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ

sedangkan mengeluarkan mereka itu adalah haram atas kamu;

Ingatlah kembali perjanjian kamu dahulu dengan Allah ‎ﷻ. Pertama, jangan berperang sesama sendiri. Kedua, jangan keluarkan kaum kamu dari kampung halaman. Dan ketiga, kalau ada yang ditawan, mereka mesti ditebus.

Mereka hanya amalkan undang-undang yang ketiga, tetapi mereka lupakan perjanjian yang pertama dan kedua itu.

Kalau ditanya kepada mereka: “Kenapa kamu tebus mereka?”

Mereka akan jawab: “Kerana kami disuruh untuk berbuat begitu”.

Dan kalau ditanya: “Kenapa perangi mereka?”

Mereka akan jawab: “Kerana kami tidak sanggup sekutu kami menderita kekalahan!”

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ

Apakah patut kamu percaya setengah daripada Kitab Taurat;

Sekarang Allah ‎ﷻ tegur mereka dengan keras. Adakah kamu beriman separuh-separuh daripada kitab wahyu kamu?

Ada sebahagian ajaran daripada Taurat yang mereka ikut, tetapi ada yang mereka tinggalkan begitu sahaja. Mereka keluarkan kaum mereka dari kampung halaman, tetapi mereka tebus juga golongan mereka yang ditawan. Mereka pilih-pilih mana yang mereka rasa mereka hendak buat. Dalam agama, bukan seperti itu. Kena buat semua sekali.

وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

dan kamu kufur dengan setengah yang lain?

Mereka memang beriman dengan sebahagian ajaran dalam Kitab Taurat itu, tetapi tentang hal bunuh membunuh itu, mereka tidak ikut. Mereka tebus kalau ada kaum mereka yang ditawan, tetapi mereka buat-buat lupa tentang larangan menghalau kaum mereka dari kampung halama. Lihatlah bagaimana mereka amal separuh dan tinggalkan separuh dari ajaran Kitab Taurat mereka.

Adakah kita buat macam itu juga? Memang ada. Kita pun ada buat begitu juga. Kita beriman dalam perkara yang menguntungkan kita, tetapi kalau tidak menguntungkan kita, kita tidak ikut. Sebagai contoh, Hukum Hudud itu adalah sebahagian daripada Islam, tetapi kita tidak ikut. Kita tolak begitu sahaja arahan yang jelas yang ada dalam Al-Qur’an. Padahal, kalau kita hanya beriman separuh sahaja Al-Qur’an itu, kita sudah tidak dikira beriman penuh sebenarnya. Al-Qur’an itu kita kena terima semua sekali, tidak boleh pilih-pilih mana yang kita hendak.

Yang menyedihkan, ada kalangan orang yang belajar agama pun buat begitu juga. Bila ditanyakan kepada mereka kenapa tidak buat semua sekali yang Allah ‎ﷻ suruh, mereka akan berikan pelbagai alasan. Alasan-alasan itu semua daripada pemikiran intelek mereka, bukan daripada nas agama. Mereka cuma beralasan. Kemudiannya, orang awam yang lagi tidak tahu tentang agama, akan terima alasan intelek mereka itu sebagai dalil agama. Maka, akan rosaklah agama mereka.

فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنْكُمْ

Maka tiada lagi balasan atas sesiapa yang melakukan demikian dari kalangan kamu;

Takhwif dalam ayat ini diberikan juga kepada semua agama, sama ada dalamkalangan Yahudi, atau daripada golongan kita yang beragama Islam ini.

إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

melainkan penghinaan dalam kehidupan dunia ini lagi;

Allah ‎ﷻ memberi kehinaan kepada mereka semasa di dunia lagi. Nanti Bani Quraizhah akan dihalau dan para lelaki mereka dibunuh semua sekali; Bani Nadhir pula dihalau ke Syam dan mereka wajib membayar ufti.

Lihatlah bagaimana manusia tidak memandang mereka dalam hal agama. Hanya hal dunia sahaja yang mereka dipandang tinggi kerana orang-orang Yahudi memang jenis kaya-raya dan bijak sekali. Tetapi, walaupun mereka kaya, namun mereka tidak mulia dan dibenci oleh semua orang.

Allah ‎ﷻ akan balas dengan memberikan kehinaan kepada mereka yang buat seperti itu. Kalau Muslim berbuat begitu, maka, mereka pun akan dikenakan dengan balasan yang sama. Seperti orang Iraq dahulu yang telah menyerang dan memasuki Kuwait. Sampai sekarang, Negara Iraq telah dihina kerana negara mereka telah dimasuki dan dihuni oleh tentera Amerika.

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ

Dan pada hari Akhirat nanti, kamu akan dihumban ke dalam azab yang amat dahsyat;

Ini lagi teruk, terus masuk neraka apabila Kiamat kelak. Lihatlah penggunaan kata-kata oleh Allah ‎ﷻ ini. Banyak jenis azab Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Al-Qur’an. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ gunakan perkataan: أَشَدِّ الْعَذَابِ – azab yang paling teruk!

Inilah yang akan dikenakan kepada mereka yang tahu tentang agama, tetapi mereka pilih-pilih mana yang mereka hendak ikut. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini hendaknya. Semoga kita belajar semua sekali arahan Allah ‎ﷻ dan kita ikut semua sekali arahan-Nya.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah itu lalai terhadap apa yang kamu lakukan;

Maknanya, Allah ‎ﷻ akan membalas kesalahan yang dilakukan itu. Allah ‎ﷻ tidak akan biarkan sahaja. Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dia melihat apa yang kita buat semuanya. Malangnya, kita tidak perasan ayat ini. Kita berani buat macam-macam kesalahan sebab kita tidak rasa Allah ‎ﷻ melihat.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan