Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-83

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-83

2845
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-83

Ini jenis Yahudi ketiga, iaitu Yahudi yang hidup pada zaman Nabi Muhammad ﷺ dan apakah perangai buruk mereka. Mereka masih mengikut perangai buruk datuk nenek mereka dahulu. Perangai tersebut masih ada lagi walaupun mereka itu keturunan yang jauh daripada keturunan zaman Nabi Musa عليه السلام.

Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kepada para sahabat Nabi ﷺ tentang perangai buruk mereka. Jangan mereka ada anggapan yang Yahudi zaman mereka sudah tidak mengikut perangai datuk nenek mereka. Ini kerana mungkin ada para sahabat yang menyangka, perangai buruk itu hanya ada pada golongan datuk nenek Yahudi sahaja. Sebenarnya bukan begitu.

Mereka masih ada lagi perangai itu. Maka, Allah ‎ﷻ beritahu keburukan Yahudi yang duduk di Madinah. Allah ‎ﷻ mahu para sahabat berhenti menjadikan golongan Yahudi itu sebagai tempat rujukan. Allah ‎ﷻ bongkar perangai mereka supaya hilang anggapan mulia sahabat terhadap puak Yahudi itu.

Ayat ini mengingatkan para sahabat untuk menerima ajaran Nabi Muhammad ﷺ dengan sepenuhnya. Ini adalah amat penting kerana ia terdapat di dalam Syahadah. Apabila kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah, bermakna kita menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ sahaja. Kita kena ingat bahawa hanya dengan amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ sahaja yang boleh mendapat pahala.

Kita kena rasa cukup dengan ajaran Nabi ﷺ. Tidak perlu campur dengan ajaran lain. Kena tegas dalam hal ini. Inilah yang disebut dalam [ Isra’:36 ] – kita kena ada dalil dalam amalan-amalan ibadat kita. Jangan pakai yang luar daripada wahyu. Jangan amal amalan ibadat yang kita tidak ada dalil. Ini menolak perbuatan amal bid’ah kerana amalan bid’ah tidak ada dalil.

Latar belakang ayat ini: Para sahabat ada yang pernah belajar dengan golongan Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ke Madinah. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah berada bersama mereka, ada dalam kalangan mereka yang tidak menerima Nabi ﷺ sepenuhnya kerana mereka masih lagi terkesan dengan apa yang mereka belajar daripada golongan Yahudi.

Maka, ada yang selepas mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ, mereka pergi rujuk kepada orang Yahudi. Jadi Allah ‎ﷻ telah membongkar perangai Yahudi di dalam ayat-ayat ini. Tidak patut Yahudi itu dijadikan rujukan kerana ajaran mereka sendiri pun mereka tolak.

Ayat ini juga ditujukan kepada kita juga. Jangan kita sangka Bani Israil sahaja yang ada membuat kesalahan ini. Kalau kita juga ada perangai ini, kita pun ada masalah macam mereka juga. Oleh itu, kita kena periksa sifat-sifat buruk ini, takut-takut kita ada sifat-sifat itu.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَ بَني إِسرائيلَ لا تَعبُدونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِالوالِدَينِ إِحسانًا وَذِي القُربىٰ وَاليَتامىٰ وَالمَساكينِ وَقولوا لِلنّاسِ حُسنًا وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ ثُمَّ تَوَلَّيتُم إِلّا قَليلًا مِنكُم وَأَنتُم مُعرِضونَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Dan ingatlah ketika Kami ambil perjanjian dengan Bani Israil;

Ayat-ayat selepas ini menyebut tentang ajaran-ajaran yang terdapat di dalam Taurat. Ia adalah ringkasan kepada ajaran-ajaran yang paling penting. Ia memang ada di dalam Taurat tetapi mereka tidak pakai. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ meletakkannya kembali di dalam Al-Qur’an.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa mereka dahulu sudah berjanji untuk beramal dengan Kitab Taurat dan sekarang Allah ‎ﷻ bentangkan kembali apakah ajaran-ajaran itu.

Sebelum ayat ini, ayat sebelumnya telah disebutkan bahawa kita perlu beriman dan beramal dengan amalan yang soleh. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ terangkan sebahagian daripada amal soleh itu. Ia adalah sesuatu yang perlu kita lakukan. Ia bukanlah perkara senang hendak dilakukan melainkan mereka yang ada iman. Maka oleh itu, kita kenalah berusaha untuk mengamalkannya. Yang penting, kena tahu dahulu apakah yang kita perlu buat.

لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ

Jangan sekali-kali kamu sembah melainkan kepada Allah jua;

Lafaz ‘sembah’ itu maksudnya ibadat, adat dan doa. Ibadat adalah perhubungan antara Allah ‎ﷻ dan hamba (habluminallah). Sedangkan adat pula adalah syariat tentang hubungan sesama makhluk (habluminannas).

Apabila dikatakan sembah Allah ‎ﷻ sahaja, maka jangan membuat syirik. Oleh itu, doa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ibadat pun hanya serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kena tolak amalan-amalan syirik. Kalau kita buat begitu, barulah sempurna penyembahan kita kepada Allah ‎ﷻ.

Malangnya ramai yang tidak tahu mereka ada sembah selain Allah ‎ﷻ. Selalunya mereka tidak sedar mereka sedang berbuat syirik kerana mereka jahil tentang Tauhid dan Syirik. Ini adalah kerana mereka tidak belajar wahyu Al-Qur’an.

Arahan untuk hanya sembah Allah ‎ﷻ juga dibawa oleh Nabi ﷺ kita dan Nabi-nabi yang lain kepada umat mereka. Ini kerana ajaran tauhid ini sama sahaja kepada mana-mana Nabi pun.

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa kamu;

Adat adalah syariat yang mengajar hubungan sesama makhluk. Hubungan dengan makhluk lain yang paling penting adalah dengan ibu bapa kita. Potongan ayat ini adalah dalam lafaz ‘mafhum mutlak‘ – satu ayat yang lengkap- Allah ‎ﷻ tidak memasukkan sekali dengan potongan ayat yang lain iaitu, Allah ‎ﷻ tidak pula berkata begini: “Berbuat baiklah dengan ibubapa kamu, kaum kerabat kamu, anak-anak yatim dan orang-orang miskin”. Tetapi Allah ‎ﷻ berkata “berbuat baiklah dengan ibubapa kamu”. Kemudian, baru Allah ‎ﷻ menambah kumpulan-kumpulan yang lain. Ini meletakkan kelebihan dan kepentingan berbuat baik dengan ibubapa kita. Maknanya, ia amat penting dan kena dibuat bersungguh-sungguh.

Dan lihatlah Allah ‎ﷻ sebut berbuat baik dengan ibubapa sebaik sahaja Allah ‎ﷻ sebut tentang Tauhid. Maka ia sudah jatuh nombor 2 selepas ajaran Tauhid.

Perkataan إِحْسَانًا itu bermaksud ‘berbuat baik lebih dari yang sepatutnya’. Kita kena berikan layanan yang amat baik kepada ibu bapa kita. Kalau mereka layak menerima RM200 sebulan, maka, kita kena berikan lebih lagi daripada itu kepada mereka.

Lebih penting lagi, jangan kita sakitkan hati mereka. Jangan kita buat apa yang boleh menyebabkan mereka berkecil hati. Kita hendaklah sentiasa menggembirakan hati mereka sebaik mungkin. Kadangkala kita tidak boleh memberikan wang kepada ibu bapa kita kerana kita pun miskin. Namun, janganlah kita ada menyakiti hati mereka pula.

Masalah dalam masyarakat adalah, mereka tidak ada hubungan yang baik dengan ibu dan bapa mereka. Ada juga antara mereka yang sampai langsung tidak bertegur sapa. Kalau balik kampung pun, buat tidak endah sahaja terhadap ibu bapa mereka. Kalau dengan orang lain, mereka boleh berbaik-baik, boleh bersembang dan sebagainya. Tetapi kalau dengan ibu bapa, macam ada sahaja perasaan marah kepada mereka.

Sampai kadang-kadang, ada yang hendak tengok ibubapa mereka pun tidak mahu. Mungkinlah suatu waktu dahulu, ada perkara yang menyebabkan mereka berkecil hati dengan ibu atau bapa mereka dahulu. Namun, sebagai anak, kenalah kita lupakan perkara itu dan berbaik semula dengan ibu bapa kita. Siapalah kita untuk menyalahkan mereka pula?

وَذِي الْقُرْبَىٰ

dan kaum kerabat kamu;

Bukan sahaja kita kena berbuat baik kepada ibu bapa sahaja, tetapi kita kena juga berbuat baik dengan ahli keluarga kita yang terdekat. Ini pun satu masalah juga kepada sesetengah orang. Kadang-kadang, apabila tidak ada iman dan ilmu, ahli keluarga berpecah belah. Sampai tidak bertegur sapa bertahun-tahun.

Dengan orang lain mereka boleh bersahabat dengan baik, tetapi tidak pula dengan adik beradik sendiri. Mungkin salah faham itu hanya perkara kecil sahaja yang kalau kita ceritakan kepada orang lain pun, orang lain akan gelakkan sahaja.

Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk berbuat baik dengan orang yang dekat dengan kita terlebih dahulu. Kalau keluarga kita harmoni, inshaAllah kita akan mengembangkan keharmonian itu kepada orang luar juga. Tetapi, kalau dengan keluarga kita sendiri pun kita ada masalah, bagaimana lagi kita hendak berbuat baik kepada orang lain pula?

وَالْيَتَامَىٰ

dan anak-anak yatim;

Kita disuruh berbuat baik dengan anak-anak yatim. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada pelindung dan selalunya mereka itu miskin.

Namun, adakah kita kenal siapakah anak-anak yatim dalam kalangan masyarakat kita? Kalau tidak kenal, bagaimana kita hendak menolong mereka? Maka, selepas ini kenalah kita ambil tahu siapakah mereka dalam kalangan kita. Mungkin boleh lawat rumah-rumah Anak Yatim selepas ini. Tengoklah apa yang kita boleh bantu mereka.

وَالْمَسَاكِينِ

dan orang-orang miskin;

Entah berapa ramai orang miskin kita jumpa hari-hari. Tetapi adakah kita tolong mereka? Soalan yang lebih penting lagi: adakah kita kenal mereka?

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

dan katalah kepada manusia dengan ucapan-ucapan yang baik;

‘Ucapan yang baik’ adalah ucapan yang membawa manusia dekat dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Bukan yang sebaliknya menjauhkan manusia daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita melakukan perkara ini, barulah masyarakat menjadi betul.

Selain dari itu, hendaklah kita berbuat baik dengan orang lain dalam masyarakat kita. Bercakap baiklah dengan mereka. Namun begitu kita merasa bagaikan ramai manusia yang tidak begitu. Ramai yang kita lihat bercakap kasar dengan orang lain. Yang lebih sedihnya, kadang-kadang jika dilihat selalunya orang yang membawa imej agama, adalah yang bermuka garang.

Lagaknya bagaikan hanya hendak menegur salah orang sahaja. Nampak salah sahaja, mereka akan terus mengherdik orang lain. Apalah salahnya kalau kita bermuka manis dengan orang dan kalau perlu tegur pun, tegurlah dengan baik, bukankah lebih elok begitu?

Dalam hal agama pun kita selalu tidak sependapat dan yang tidak manisnya, kalau kita berdebat dengan orang yang tidak sefahaman dengan kita, kadang-kadang kita gunakan bahasa yang kasar kepada mereka. Kita mengata tentang peribadi orang itu, bukan pula dibawakan hujah.

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

dan dirikanlah sembahyang;

Salat adalah amalan ibadat paling utama antara hamba dan Allah ‎ﷻ. Hendaklah kita menjaga segala perkara yang berkaitan dengan salat, iaitu bermula daripada mandi junub lagi. Ini semua kena dijaga supaya kita dapat khusyuk dalam salat. 

Dalam hal wudhu’ pula, kita kenalah mengikut cara wudhu’ sebagaimana yang Nabi ﷺ ajar. Tetapi, sudahkah kita belajar cara wudhu’ Nabi ﷺ, atau kita hanya pakai apa yang kita belajar semasa sekolah rendah sahaja? Dan bagaimana cara kita mengambil wudhu’ itu? Adakah kita gunakan air yang sedikit atau kita pasang pili air itu sekuat-kuatnya? Tahukah kita ada larangan Nabi ﷺ jangan membazir air, walaupun semasa mengambil wudhu’?

Bukan itu sahaja, kita juga kena jaga pakaian daripasda najis. Malangnya, ada yang sampai tidak jadi salat kerana mereka kata seluar mereka kotor. Ini adalah mereka tidak tahu bagaumana hendak buat kalau mereka rasa pakaian mereka tidak bersih. Ini kerana mereka tidak belajar ilmu fiqah dengan cara Sunnah.

Banyak ilmu fiqah yang ditokok tambah sampai menyusahkan umat. Pelbagai cara yang pelik diajar untuk membersihkan diri. Padahal, Nabi ﷺ dahulu istinjak dengan batu sahaja. Dan selepas itu baginda salat. Begitu juga yang dilakukan oleh para sahabat. Adakah perbuatan mereka itu tidak cukup? Padahal, mereka itu ahli syurga.

Tetapi, kerana kita tidak faham hukum istinjak, kita sampai jadi menyusahkan diri kita dalam hal beristinjak. Banyak perkara agama kita tidak tahu lagi, maka hendaklah kita belajar kalau kita tidak tahu, bukan?

وَآتُوا الزَّكَاةَ

Dan keluarkanlah zakat;

Zakat pula adalah amalan paling baik yang menghubungkan masyarakat.

Tentang zakat ini pun ada masalah juga dalam kalangan masyarakat kita. Ramai yang tidak memenuhi kewajipan ini. Kita sebenarnya kena belajar cara-cara untuk membayar zakat. Kita bukan cakap berkenaan zakat fitrah semasa Hari Raya sahaja, tetapi zakat-zakat yang lain.

Sebagai contoh, kita kena bayar zakat pendapatan. Kita kena kira pendapatan kita dalam setahun yang kita dapat dan tolak dengan belanja kasar. Memang ada pendapat yang mengatakan tiada zakat pendapatan, tetapi yang pendapat lebih kuat, eloklah kita bayar zakat pendapatan juga.

Ini belum dikira zakat-zakat yang lain seperti zakat harta. Ramai yang tidak menjalankan tanggungjawab membayar zakat. Oleh kerana itu, harta yang mereka makan haram bagi mereka kerana belum disucikan lagi dengan zakat.

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ

Kemudian kamu berpaling juga;

Semua arahan yang disebut di atas telah diberikan kepada golongan Yahudi itu. Mereka juga telah berjanji akan menjaganya. Tetapi walau pun perjanjian telah diambil dengan bani Israil, mereka berpaling daripada beramal dengan yang betul. Ini adalah kerana mereka memang suka pakai akal sahaja untuk menolak teks agama mereka. Kalau ada perkara yang mereka tidak suka, mereka akan tukar.

إِلَّا قَلِيلًا مِنْكُمْ

Melainkan sedikit sahaja di kalangan kamu;

Ada juga yang beramal dengan betul, tetapi tidak ramai. Majoritinya tidak beramal dengan sebetulnya.

وَأَنْتُمْ مُعْرِضُونَ

Dan kamu semua ini adalah jenis orang tidak mentaati.

Maksud ayat ini adalah mereka terus menerus mengikut perangai datuk nenek mereka yang tidak menggunakan ajaran Kitab Taurat dalam kehidupan mereka. Kalau dahulu datuk nenek mereka tidak ikut, maka mereka pada zaman Nabi Muhammad ﷺ juga tidak mengikutnya.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan