Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-60 dan Ke-61

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-60 dan Ke-61

1360
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-60

Ini adalah jasa kelapan yang Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka.

۞ وَإِذِ استَسقىٰ موسىٰ لِقَومِهِ فَقُلنَا اضرِب بِعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَشرَبَهُم ۖ كُلوا وَاشرَبوا مِن رِزقِ اللهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.

وَإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika Nabi Musa memohon air untuk kaumnya;

Ini adalah kisah di padang pasir semula. Sebelum ini kita telah diberitahu bahawa mereka telah diberikan dengan teduhan awan dan juga makanan Manna dan Salwa. Jadi dengan adanya air, maka lengkaplah makanan mereka.

Dalam ayat ini, menunjukkan Nabi Musa عليه السلام sendiri yang memohon kepada Allah ‎ﷻ setelah diminta oleh kaumnya.

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ

Kami berkata: Maka pukullah batu itu dengan tongkat kamu;

Iaitu Nabi Musa عليه السلام disuruh memukul mana-mana batu. Pukul pun sekali sahaja, tidaklah kuat sampaikan memecahkan batu itu. Kita tidak perlu cari batu jenis apa. Ada orang yang taksub sangat sampai hendak cari batu jenis apa untuk dibuat cincin. Tidak penting batu apakah yang telah dipukul oleh Nabi Musa عليه السلام itu. Bukan itu yang hendak disampaikan dalam ayat ini.

Banyak kali kisah tongkat Nabi Musa عليه السلام ini disebut dalam al-Qur’an. Tetapi tidaklah perlu kita hendak mencari jenis apakah tongkat itu dibuat sebab bukan tongkat itu yang ada kuasa. Setiap kali ia digunakan oleh Nabi Musa عليه السلام dalam al-Qur’an, Allah ‎ﷻ yang memerintahkan baginda menggunakannya.

Contohnya, Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi Musa عليه السلام ketuk Laut Merah, Allah ‎ﷻ yang memerintahkan Nabi Musa عليه السلام ketuk pada batu dan Allah ‎ﷻ yang memerintahkan Nabi Musa عليه السلام baling tongkat itu yang kemudiannya bertukar menjadi ular. Kalau Allah ‎ﷻ yang suruh Nabi Musa عليه السلام ketuk, barulah menjadi mukjizat itu. Kalau Nabi Musa عليه السلام mengetuknya sendiri, tidak akan terjadi apa-apa. Itu bermakna, bukan tongkat itu yang mempunyai kuasa.

فَانْفَجَرَتْ مِنْهُ

Maka terpancarlah dari batu itu;

Apabila Nabi Musa عليه السلام yang memohon kepada Allah ‎ﷻ, air yang keluar itu memancar dengan banyak. Dalam ayat lain [ 7:160 ], ada juga dikisahkan air yang memancar keluar dari batu itu. Tetapi dalam ayat itu, perkataan yang digunakan menunjukkan air yang keluar tidak memancar dengan banyak.

Ini adalah kerana Bani Israil selepas itu telah banyak melakukan kesalahan, maka air itu semakin berkurang. Tambahan pula, dalam ayat dari Surah Baqarah ini, Allah ‎ﷻ sedang menceritakan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya kepada Bani Israil, maka lebih sesuai digunakan perkataan yang menunjukkan nikmat yang diberikan kepada mereka itu dalam bentuk yang banyak.

اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا

12 mata air;

Selepas diketuk batu itu, terpancar 12 mata air untuk setiap kaum Bani Israil. Ini adalah kerana kaum Bani Israil terdiri daripada 12 puak. Satu puak daripada anak cucu Nabi Yusuf عليه السلام, satu daripada anak cucu Bunyamin dan ada sepuluh lagi keturunan adik beradik anak Nabi Yaakob عليه السلام yang lain.

Puak-puak ini hanya mahu minum dengan puak mereka sahaja. Mereka tidak boleh bercampur. Mereka adalah jenis kaum yang berpecah belah. Memang semasa Firaun memerintah mereka, Firaun telah menggunakan konsep pemerintahan ‘Pecah dan Perintah’ supaya Bani Israil tidak dapat bersatu menentangnya.

Tambahan pula, air adalah satu sumber kehidupan yang penting. Manusia boleh berperang disebabkan sumber air. Allah ‎ﷻ tahu, kalau tidak dibahagikan begitu, mereka akan berkelahi. Maka Allah ‎ﷻ telah memberi satu pancutan air kepada setiap puak dalam Bani Israil itu.

Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa semasa laut Merah dibelah, juga terdapat 12 jalan.

قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَشْرَبَهُمْ

Maka tahulah setiap puak itu tempat minum masing-masing;

Mereka tidak perlu berebut-rebut. Sudah tahu mana satu saluran air untuk puak mereka.

كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِزْقِ اللهِ

Makanlah, minumlah dari rezeki Allah;

Nikmatilah rezeki yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu. Terimalah nikmat yang telah Allah ‎ﷻ berikan.

وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Dan janganlah kamu bertebaran di muka bumi berbuat kerosakan;

Kerosakan di sini adalah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Contohnya, mengharamkan yang halal dan mengharamkan yang halal. Juga bermaksud jangan melanggar hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ.

Perkataan تَعْثَوْا yang digunakan adalah bermaksud kerosakan yang disebabkan oleh propaganda iaitu merosakkan fikiran manusia dengan idea-idea yang jahat. Ini kita boleh lihat banyak dilakukan oleh puak Yahudi pada zaman sekarang pun.

Kata مُفْسِدِينَ membawa erti orang yang menyebabkan orang lain juga berbuat kerosakan. Sudahlah mereka berbuat kerosakan, tetapi disebabkan mereka sudah buat, ada orang lain yang akan mengikut dan akan lebih banyak kerosakan lagi berlaku. Ini adalah kerana ramai yang mengikut perbuatan Yahudi ini.

Tafsir Ayat Ke-61

Ini adalah ayat yang menceritakan hukuman kedua yang diberikan kepada mereka.

Ayat ini adalah merujuk kepada anak-anak mereka yang menyembah patung anak sapi.

Mereka sekarang sudah dewasa. Sudah berkahwin dan beranak semasa mereka sesat di padang pasir. Ini adalah keadaan sebelum mereka masuk ke dalam Kota.

وَإِذ قُلتُم يا موسىٰ لَن نَصبِرَ عَلىٰ طَعامٍ واحِدٍ فَادعُ لَنا رَبَّكَ يُخرِج لَنا مِمّا تُنبِتُ الأَرضُ مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها ۖ قالَ أَتَستَبدِلونَ الَّذي هُوَ أَدنىٰ بِالَّذي هُوَ خَيرٌ ۚ اهبِطوا مِصرًا فَإِنَّ لَكُم ما سَأَلتُم ۗ وَضُرِبَت عَلَيهِمُ الذِّلَّةُ وَالمَسكَنَةُ وَباءوا بِغَضَبٍ مِنَ اللهِ ۗ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانوا يَكفُرونَ بِآياتِ اللهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ الحَقِّ ۗ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَكانوا يَعتَدونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

وَإِذْ قُلْتُمْ

Dan ingatlah ketika kamu berkata:

‘Kamu’ di sini adalah anak cucu Bani Israil yang menyembah patung anak lembu itu iaitu mereka yang sedang sesat di padang pasir.

يَا مُوسَىٰ لَنْ نَصْبِرَ عَلَىٰ طَعَامٍ وَاحِدٍ

“Wahai Musa, kami tidak sabar dengan satu jenis makanan sahaja”;

Mereka kata mereka sudah bosan dengan makanan dari langit. Mereka sudah tidak suka makan Manna dan Salwa. Mereka teringin makan makanan yang lain. Begitulah sifat manusia yang tidak tahu diuntung.

فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ

“Maka tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”;

Lihatlah bagaimana mereka kata ‘kepada Tuhan kamu’. Mereka tidak kata pun “Tuhan kami”.

Mereka minta Nabi Musa yang doakan untuk mereka kerana mereka tahu, kalau mereka yang doa, mereka tidak akan dapat kerana mereka tahu mereka banyak dosa kepada Allah.

Begitulah sifat meminta orang lain doakan kehendak sendiri sudah mengakar dari dulu lagi. Sepatutnya merekalah minta sendiri tapi hendak minta orang lain juga doakan.

يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ

“Supaya Dia mengeluarkan untuk kami daripada tumbuhan-tumbuhan bumi”;

Mereka sekarang mahu makan makanan dari tanah pula. Sudah dapat makanan dari langit (Manna dan Salwa) mahu makanan dari tanah pula.

مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها

dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”

Makanan ini seperti hendak buat Roti Nan pula. Sebenarnya, mereka tidak pernah lihat dan rasa pun benda-benda itu kerana mereka hanya hidup di padang pasir sahaja dari sejak mereka lahir. Mereka pun membesar di padang pasir tidak pernah bercucuk tanam dan pergi ke pasar mana-mana pun. Jadi mana mereka tahu tentang makanan-makanan itu?

Mereka mendengar cerita-cerita tentang makanan-makanan itu dari tok nenek mereka yang pernah memakan benda-benda itu. Maka, dari cerita-cerita yang mereka dengar itu, mereka teringin untuk makan segala makanan itu.

Atau mungkin memang mereka adalah orang-orang yang pernah tinggal di Mesir dulu iaitu semasa mereka ditindas oleh Firaun. Mereka rindukan kehidupan mereka semasa di Mesir. Walaupun mereka dulu ditindas, tiada kuasa dan diperah oleh Firaun.

Apabila mereka meminta makanan yang mereka biasa makan semasa di Mesir, itu menunjukkan mereka rindu kepada kehidupan yang dulu.

Katakanlah ada orang yang pernah tinggal di penjara dan dia kata dia rindu makanan penjara, dia bukan rindu makanan penjara sebenarnya tetapi dia rindu kehidupan semasa di penjara kerana bila duduk penjara, tidak payah fikir lagi kerana semua telah disediakan.

Mereka tidak menghargai segala pemberian yang Allah SWT berikan kepada mereka dari Manna dan Salwa itu. Mereka lebih inginkan kehidupan semasa mereka ditindas oleh Firaun dulu. Mereka tidak menghargai bagaimana Allah SWT menyelamatkan mereka dan memerdekakan mereka daripada cengkaman Firaun. Apakah mereka hadapi semasa mereka di Mesir dulu:

1. Mereka dimalukan. Kehidupan sebagai hamba abdi yang amat memalukan. Apabila mereka terpaksa menghambakan diri kepada selain daripada Allah SWT adalah kehidupan tidak bermakna.

2. Kelemahan. Tidak ada kuasa langsung. Mereka tidak dapat membuat keputusan langsung tentang diri mereka dan negara mereka sendiri.

3. Penindasan. Mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka atau keluarga mereka dari ditindas. Keluarga Firaun telah banyak membunuh, merogol dan memalukan Bani Israil.

Walaupun dengan semua kelemahan-kelemahan itu, mereka masih lagi mahukan kehidupan sebegitu kerana pada mereka, kehidupan seperti itu lebih mudah. Macam orang yang sudah biasa duduk dalam penjara, pada dia itulah kehidupan yang mudah.

قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Musa berkata: “Apakah kamu nak ganti benda yang rendah dengan sesuatu yang lebih baik?”;

Nabi Musa menempelak kaumnya dalam ayat ini. Allah SWT telah beri mereka makanan dari langit tetapi mereka hendak ganti dengan makanan yang lain. Padahal mereka bukan pernah makan pun makanan-makanan yang mereka minta itu. Nabi Musa tidak sampaikan permintaan mereka itu kepada Allah SWT kerana itu adalah permintaan yang mengarut.

Tentulah makanan Manna dan Salwa itu lebih tinggi dan lebih baik lagi kerana ianya datang daripada Allah SWT. Kalaupun ia tidak sedap, tetapi ia masih lagi lebih tinggi kerana ia adalah makanan dari langit. Ianya adalah makanan kemerdekaan.

اهْبِطُوا مِصْرًا

Musa berkata: “Pergilah kamu ke bandar”;

Perkataan اهْبِطُوا yang digunakan bermaksud ‘turun dari tempat tinggi ke tempat rendah’. Perkataan yang sama digunakan oleh Allah SWT apabila memberi arahan kepada Adam untuk turun ke dunia [ Ayat 3 ]. Bermakna, Nabi Musa hendak beritahu mereka bahawa mereka sebenarnya minta turun dari kedudukan yang tinggi ke kedudukan yang rendah.

Perkataan مِصْرًا dalam ayat ini bukanlah bermakna ‘Negeri Mesir’ tetapi bermaksud kota lain. Kalau Negeri Mesir, perkataan yang digunakan adalah ‘Misra’, bukan ‘misran’ seperti dalam ayat ini (dengan tanwin). Nabi Musa menggunakan perkataan yang hampir sama dengan ‘Mesir’ sebagai cara untuk perli mereka. Dia nak kata bahawa apa yang mereka cari itu seperti apa yang mereka dapat dulu di Negeri Mesir.

Memang mereka boleh dapat apa yang mereka minta itu tetapi itu adalah kehidupan kehambaan semasa mereka di Mesir dulu. Nabi Musa seperti berkata kepada mereka: “pergilah kamu kepada negara Mesir yang lain pula”. Pergilah kamu kembali kepada kehidupan penuh kehambaan kembali. Nabi Musa perli mereka: kamu hendak duduk dalam kehambaan lagikah?

Penggunaan perkataan di dalam al-Qur’an memang mengandungi makna yang tinggi. Padahal kalau hendak gunakan maksud ‘pekan’, ‘bandar’, ‘tempat tinggal’, ada lagi kalimah lain yang boleh digunakan seperti baladan, qaryatan atau ardan. Namun, Allah SWT gunakan kalimah misran yang berbunyi lebih kurang sama dengan Mesir.

Ataupun maksud baginda: Kalau hendak juga, kamu pergilah ke negeri lain. Dan negeri yang dimaksudkan adalah Palestin. Nabi Musa kata yang dia tidak akan doa kepada Allah SWT apa yang mereka minta itu. Cuma Nabi Musa arahkan sahaja mereka untuk pergi ke Palestin mengikut wahyu daripada Allah SWT. Ada juga tafsir lain yang mengatakan yang ‘misra’ yang dimaksudkan adalah negeri lain, bukan bermaksud Palestin.

فَإِنَّ لَكُمْ مَا سَأَلْتُمْ

“Di situ, kamu akan dapat apa yang kamu minta itu”;

Kerana mereka hendakkan makanan-makanan itulah yang menyebabkan mereka masuk juga ke dalam kota itu.

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ

Dan ditimpa ke atas mereka suatu kehinaan;

Oleh kerana mereka tolak apa yang Tuhan beri dan mahukan benda yang lain, maka Allah SWT timpakan ke atas mereka kehinaan. Inilah hukuman seterusnya yang dimaksudkan. Kehinaan yang mereka terima adalah manusia tidak pandang mulia kepada bangsa Yahudi dari dulu sampai sekarang iaitu mereka menjadi bangsa yang tidak dihargai dan dihormati.

Inilah pada pandangan kaca mata manusia kepada mereka pada zaman sekarang pun. Sentiasa mereka terpaksa menumpang tempat orang lain. Satu dunia kutuk mereka tetapi mereka buat biasa sahaja. Walaupun mereka adalah satu bangsa yang amat cerdik, tetapi mereka dipandang hina oleh penduduk dunia.

Yahudi zaman Nabi Musa itu minta makanan-makanan yang mereka pernah dapat dulu di Mesir. Dulu mereka duduk dalam kehinaan semasa di Mesir kerana mereka jadi hamba kepada bangsa Qibti tetapi kerana permintaan mereka yang tidak patut itu, mereka boleh dapat kehinaan lain pula.

وَالْمَسْكَنَةُ

dan kemiskinan;

Dan mereka hilang semangat (maskanah) untuk menghayati agama.

Boleh juga bermaksud kemiskinan atau kelemahan. Mereka terpaksa minta pertolongan orang lain walaupun mereka kaya. Contohnya sekarang, mereka kena minta tolong kepada Amerika dan British walaupun mereka kaya dan cerdik.

Kehinaan dan kelemahan adalah apa yang mereka lalui semasa di Mesir di bawah penindasan Firaun dulu. Maka kerana mereka telah degil, maka Allah SWT kembalikan mereka macam itu balik. Ini adalah kerana permintaan mereka yang tidak patut. Allah SWT sudah keluarkan mereka dari kesusahan dulu semasa di Mesir, maka Allah SWT kenakan balik kesusahan kepada mereka.

وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللهِ

Dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.

Dan mereka akan kembali ke akhirat nanti dengan kemurkaan daripada Allah SWT. Apakah yang lebih teruk daripada kemurkaan Allah SWT? Dulu mereka ditindas oleh Firaun tetapi sekarang mereka lagi teruk – mendapat kemurkaan daripada Allah SWT pula.

Dalam sejarah dunia, sepanjang zaman mereka telah ditindas oleh kerajaan Byzantines, Ethiopia, Assyrians, Rome dan banyak lagi. Allah SWT menerangkan kenapakah mereka sampai jadi macam itu dalam bahagian ayat ini seterusnya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللهِ

Yang demikian itu adalah kerana mereka dulu kufur dengan ayat-ayat Allah;

Lafaz ‘ayat’ dalam ayat ini boleh juga digunakan untuk membawa maksud mukjizat-mukjizat yang mereka telah banyak lihat. Walaupun mereka telah banyak melihat keajaiban mukjizat, tetapi mereka masih lagi tidak mahu beriman.

وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Dan kerana mereka membunuh para-para Nabi tanpa alasan yang benar;

Jikalau nabi-nabi itu ada buat kesalahan seperti membunuh orang, barulah patut kalau hendak bunuh mereka. Namun tentulah tidak ada para Nabi berbuat begitu. Bayangkan Yahudi sanggup membunuh Nabi-nabi mereka sendiri. Dan dosa membunuh nabi adalah sebesar-besar dosa. Begitu juga jikalau membunuh para penyeru tauhid. Dikatakan bangsa Yahudi telah membunuh beribu nabi mereka. Kalau bunuh orang biasa pun sudah dosa besar, apatah lagi bunuh Nabi?

Kita perlu melihat apakah perbuatan Bani Israil itu kerana takut-takut jika kita pun mengikut juga perbuatan mereka. Kita hendaklah belajar dari kesilapan mereka. Nabi SAW pernah kata bahawa ada antara orang Islam yang akan mengikut jejak langkah mereka.

Walaupun kita sudah tidak boleh bunuh Nabi kerana Nabi sudah tidak ada, namun ada kerajaan Islam yang membunuh ulama-ulama mereka yang tidak sebulu dengan pemerintahan mereka. Kalau tidak bunuh pun para ulama’ itu, ramai para ulama’ yang mendapat layanan buruk dari kerajaan Islam termasuk juga ada ulama-ulama dan pendakwah yang dipenjarakan.

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad, Bani Israil adalah orang Islam yang sesat. Begitulah kita sekarang. Ramai antara kita tidak tahu tentang agama kerana jahil dengan agama. Mereka sudah jadi macam Yahudi sebenarnya tanpa mereka sedari.

Kenapa mereka jadi begitu? Allah SWT terangkan seterusnya:

ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

Yang demikian itu adalah kerana mereka derhaka dan melampaui batas

Mereka jadi begitu kerana degil tidak mahu ikut nasihat. Mereka tidak mahu menerima hidayah dan petunjuk yang diberikan kepada mereka. Mereka hendak buat ikut nafsu mereka sendiri. Mereka melanggar batas-batas yang Allah telah tetapkan kepada mereka.

Semua yang mereka lakukan itu berasal daripada sifat mereka yang menderhakai – tidak buat apa yang disuruh.

Mereka selalu buat perkara yang dilarang yang disuruh mereka tidak buat, yang dilarang pula yang mereka buat. Lama kelamaan, Nabi mereka sendiri pun mereka sanggup bunuh. Lama kelamaan, ayat Allah SWT pun mereka sanggup putar belit.

Inilah perangai Yahudi sebenar yang Allah SWT sampaikan kepada bangsa Arab yang mulanya sangka mereka itu hebat, tetapi rupanya mereka amat teruk. Allah SWT mahu mereka berhenti dari menjadikan Yahudi itu sebagai tempat rujukan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan