Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-58 dan Ke-59

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-58 dan Ke-59

458
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-58

Ini adalah ayat berkenaan suruhan Allah ‎ﷻ untuk mereka masuk ke dalam kota. Susunan cerita dalam al-Qur’an tidaklah mengikut kronologi kejadian semasa zaman itu. Sebelum ini merujuk kepada kisah di padang pasir dan sekarang kembali kepada kisah di luar kota pula. Ini adalah kerana apa yang hendak disampaikan oleh al-Qur’an adalah pengajaran kepada manusia, bukannya sejarah ataupun buku cerita.

Ayat ke-58 dan ke-59 ini menceritakan hukuman yang dikenakan kepada tok nenek puak Yahudi yang ada di Madinah. Ada dua hukuman yang dikenakan kepada mereka yang akan disebut nanti. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan kepada anak cucu mereka yang duduk di Madinah bagaimana sifat tok nenek mereka dahulu. Dan hendak memperkenalkan siapakah Yahudi yang sebenarnya ini kepada bangsa Arab yang hormat sangat kepada Yahudi itu.

Kata-kata dalam ayat ini adalah tentang anak-anak puak Bani Israil yang sesat di Padang Tih. Bapa-bapa mereka ramai yang telah mati. Bapa-bapa mereka adalah golongan yang menolak arahan Allah ‎ﷻ dan Nabi Musa عليه السلام kepada mereka untuk berperang sebelum masuk ke dalam Kota Palestin.

Selama mereka di Padang Tih, mereka telah diberikan makanan dari langit, Manna dan Salwa dan air diberikan apabila Nabi Musa عليه السلام mengetuk batu dengan tongkat. Tetapi mereka sudah jemu dengan makanan yang Allah ‎ﷻ berikan.

وَإِذ قُلنَا ادخُلوا هٰذِهِ القَريَةَ فَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم رَغَدًا وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا وَقولوا حِطَّةٌ نَغفِر لَكُم خَطاياكُم ۚ وَسَنَزيدُ المُحسِنينَ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘Ya Allah ampunilah dosa kami’; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

وَإِذْ قُلْنَا

Dan ingatlah ketika Kami berfirman:

Allah ‎ﷻ berfirman kepada golongan anak-anak Yahudi yang sesat di Padang Tih.

ادْخُلُوا هَٰذِهِ الْقَرْيَةَ

Masuklah kamu ke dalam bandar

Bandar yang dimaksudkan adalah Bandar Baitulmaqdis di Palestin; selepas mereka sesat selama 40 tahun di padang pasir itu, mereka dititahkan untuk memasuki bandar itu. Ada juga yang kata nama bandar itu adalah ‘Jericho’.

Ada kisah sebelum kisah-kisah yang disebut di dalam ayat ini. Di dalam bandar itu ada kaum yang gagah, pahlawan. Mereka itu telah berbuat banyak kerosakan. Maka Allah ‎ﷻ telah memerintahkan Bani Israil untuk berperang dengan puak dalam bandar itu. Dan selepas dikalahkan mereka itu, Bani Israil boleh duduk di bandar itu. Jikalau mereka menyerang kaum yang ada dalam bandar itu, Allah ‎ﷻ akan memberikan kemenangan kepada mereka.

Namun, mereka tidak mahu kerana takut. Dalam surah lain ada dikisahkan bagaimana mereka suruh Nabi Musa عليه السلام dan Allah ‎ﷻ yang lawan sendiri. Selepas mereka tidak menurut perintah itulah yang menyebabkan mereka telah disesatkan di padang pasir selama 40 tahun itu. Kisah itu telah disebutkan dalam ayat sebelum ini. Begitulah, kisah dalam al-Qur’an tidak semestinya dalam bentuk susunan bilakah kejadian itu terjadi.

Selepas kematian Nabi Musa عليه السلام dan selepas Nabi lain diangkat (Yusha’ bin Noon عليه السلام), iaitu selepas generasi baru lahir, dan selepas mereka melihat kepayahan mereka hidup di padang pasir setelah sekian lama, barulah mereka mahu untuk masuk menentang penduduk bandar itu. Dan selepas mereka mahu berperang, Allah ‎ﷻ telah memberikan kejayaan kepada mereka.

Al-Qur’an tidak perlu memberikan maklumat yang banyak tentang sejarah Bani Israil ini. Tidak perlu disebutkan bilakah kejadian itu terjadi dan di manakah ia terjadi. Memang golongan Yahudi itu mengetahui dengan mendalam sejarah mereka. Mereka amat berbangga dengan sejarah mereka dan kerana itu ia telah diturunkan turun temurun. Maka, Allah ‎ﷻ tidak perlu menyebut banyak pun – Allah ‎ﷻ suruh mereka ingat kembali sahaja.

Lagipun, al-Qur’an bukan buku sejarah. Apa yang hendak disampaikan adalah pengajaran yang boleh diambil dari sesuatu kisah itu.

فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ

Maka makanlah di mana sahaja yang kamu hendak;

Mereka boleh pilih hendak makan di mana sahaja apabila mereka sudah memasuki kota itu.

رَغَدًا

dengan penuh selera;

Maknanya, makanlah banyak mana pun, sepuas-puasnya, tidak ada sekatan. Kata-kata yang sama kita telah baca apabila Allah ‎ﷻ berkata perkara yang sama kepada Adam عليه السلام dan Hawa dalam ayat ke-35 sebelum ini. Sekali lagi kata-kata yang sama telah dikatakan kepada Bani Israil.

وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا

Dan masuklah kamu dalam pintu kota itu dalam keadaan sujud;

Inilah syarat untuk mereka yang dikenakan oleh Allah ‎ﷻ. Seperti juga ada syarat kepada Nabi Adam عليه السلام dan Hawa semasa di Syurga, iaitu tidak boleh makan pokok larangan, begitu juga kepada Bani Israil, syarat yang dikenakan adalah masuk ke dalam kota itu dalam keadaan tunduk. Iaitu kalau mereka menunggang kuda, mereka hendaklah tundukkan kepala mereka – sampai rapat kepala mereka dengan tengkuk kuda itu.

Namun sebaliknya, mereka masuk dengan keadaan mengesot dengan punggung masuk dahulu. Patutnya masuk dengan tunduk lagi mudah, bukan? Tetapi mereka tidak berbuat begitu. Mereka buat tidak seperti yang disuruh kerana mereka bangsa yang degil.

وَقُولُوا حِطَّةٌ

Dan kamu katalah: “permohonan kami adalah pengampunan dosa”;

Maknanya adalah istighfar – memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ. Itulah syarat yang dikenakan kepada mereka – masuk dalam keadaan sujud sambil menyebut حِطَّةٌ. Maksud sambil meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Maksud perkataan itu asalnya adalah ‘menurunkan beban yang dibawa’ – mereka ada banyak dosa bebanan yang mereka tanggung. Maka mereka diajar untuk memohon keampunan kepada Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Nabi Adam عليه السلام diajar bagaimana cara memohon keampunan kepada Allah ‎ﷻ, mereka juga telah diajar sendiri oleh Allah ‎ﷻ bagaimana untuk memohon ampun.

Beruntung sekali mereka, untuk memohon ampun pun Allah ‎ﷻ sudah ajar sekali. Macam-macam kelebihan mereka dapat. Mereka sahaja tidak mahu menghargainya.

نَغْفِرْ لَكُمْ خَطَايَاكُمْ

Kami akan ampunkan dosa kamu;

Allah ‎ﷻ sudah cakap: kalau mereka buat seperti yang disuruh itu, Dia akan mengampunkan dosa mereka. Cuma ikut sahaja apa yang telah disuruh.

وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ

dan Kami akan tambah kepada sesiapa yang berbuat baik;

Allah ‎ﷻ akan menambah darjat mereka yang melakukan kebaikan. Allah ‎ﷻ akan tambah dengan balasan-balasan lain kalau mereka buat begitu.

Tafsir Ayat Ke-59

Ayat di atas adalah apa yang disuruh mereka buat. Namun apakah sebaliknya yang mereka buat?

فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم فَأَنزَلنا عَلَى الَّذينَ ظَلَموا رِجزًا مِنَ السَّماءِ بِما كانوا يَفسُقونَ

Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu, bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).

فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka diubah oleh orang-orang yang zalim itu

Lain yang disuruh, lain pula apa yang mereka buat. Mereka bukan masuk dengan sujud dan tunduk, tetapi mereka masuk dengan punggung mereka kerana melawan arahan Allah ‎ﷻ.

قَوْلًا

perkataan;

Kalimah yang Allah ‎ﷻ suruh mereka cakap pun mereka ubah. Mereka ubah dengan kata: habbatun fi sya’rani – bermaksud: biji gandum dalam tepung. Ataupun ada yang kata mereka menukar perkataan itu jadi: hinthah – Satu perkataan yang bermaksud minta gandum kepada Ilahi.

Maknanya, mereka bukan hendak tunduk kepada Allah ‎ﷻ, tetapi fikirkan gandum sahaja. Mereka fikirkan makanan sahaja. Atau, mereka main-main dengan kalimah dari Allah ‎ﷻ sendiri.

غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ

bukan dari perkataan yang mereka disuruh katakan;

Mereka mengulang-ulang menyebut perkataan itu. Ini adalah satu perbuatan mengejek.

Berdosa besar apabila menukar perkataan yang Allah ‎ﷻ telah pilihkan. Oleh itu, apabila ada di kalangan orang Islam menukar perkataan Allah ‎ﷻ, maka mereka telah membuat satu kesalahan.

Contohnya, ada yang telah telah mengubah perkataan ‘istawa’ yang telah berada dalam al-Qur’an. Mereka mengatakan bahawa perkataan itu bermaksud ‘istawla’ – memerintah. Itu juga adalah satu satu perbuatan mengubah perkataan Allah ‎ﷻ.

فَأَنْزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka Kami timpakan ke atas orang-orang yang zalim itu

Allah ‎ﷻ murka dengan apa yang mereka lakukan dan Allah ‎ﷻ berikan balasan yang buruk. Inilah salah satu dari dua hukuman yang dimaksudkan dalam kumpulan ayat-ayat ini.

رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ

bala dari langit;

Bala yang dimaksudkan di sini adalah penyakit taun. Ramai yang mati kerana ditimpa penyakit taun itu. Ada juga yang kata penyakit yang dikenakan kepada mereka adalah bahagian dalam badan mereka dikeluarkan. Sampaikan kulit mereka seperti tersiat. Allahu a’lam.

بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

Dengan sebab mereka berbuat fasik.

Balasan yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kefasikan mereka. Padahal mereka ini adalah anak cucu kepada tok nenek mereka yang telah menyembah patung anak lembu. Yang menyembah patung anak lembu itu semuanya telah dibunuh. Namun mereka yang disuruh masuk ke kota itu masih lagi tidak mengambil pengajaran.

Mereka ini telah sesat di padang pasir selama 40 tahun. Mereka telah diberi kelebihan makan makanan dari langit. Itu adalah satu nikmat dan keajaiban yang sepatutnya menguatkan iman mereka tetapi mereka masih lagi berbuat zalim dan berbuat fasik.

Perkataan yang digunakan dalam ini: يَفْسُقُونَ adalah dalam bentuk “present tense”: menunjukkan mereka masih lagi berbuat fasik. Perkataan كَانُوا bermaksud yang sudah lepas. Bermakna, mereka dahulu berbuat fasik, dan sekarang pun mereka masih berbuat fasik lagi.

Mereka telah diberikan peluang untuk membersihkan dosa mereka dengan menyebut-nyebut perkataan yang Allah ‎ﷻ telah mengajarkan mereka supaya Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa mereka. Ingatlah bagaimana apabila Nabi Adam عليه السلام diajar kalimat untuk digunakan untuk memohon ampun, Allah ‎ﷻ telah berkenan mengampunkan kesalahannya.

Namun apabila diberikan perkataan untuk memohon ampun kepada Bani Israil, mereka telah mengejek perkataan itu dengan menukarnya kepada perkataan yang lain. Maka patut sangatlah azab yang dikenakan kepada mereka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan