Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Haidh dan Nifas

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Haidh dan Nifas

278
0
Iklan

Kitab : Thaharah
Bab : Haidh dan Nifas
Bahagian: Haidh
Tajuk:
♦️ Pengertian Haidh
♦️ Waktu Haidh
♦️ Warna Darah Haidh
♦️ Masa Haidh

BAB HAIDH DAN NIFAS

Sekarang kita belajar satu bab yang asalnya khusus untuk wanita. Namun begitu para lelaki haruslah juga ambil tahu akan perkara ini kerana mereka yang akan ajarkan wanita di bawah jagaan mereka.

A. HAIDH

1. Pengertian Haidh

Haidh dari segi bahasa bermakna mengalir. Turun sesuatu secara mengalir. Dari segi syarak, ia adalah darah yang keluar daripada rahim wanita ketika seorang wanita sudah mencapai usia baligh.

Keluar darah itu menjadi hal yang rutin bagi dirinya pada waktu-waktu yang telah dimaklumi. Ia keluar secara semulajadi dan bukan kerana penyakit.

2. Waktu Haidh

Sunnah tidak menetapkan batasan umur seorang gadis mula didatangi haidh. Oleh sebab itu, kita haruslah memerhatikan dan mengenali apakah sifat darah haidh itu. Yang menetapkan had minima umur 9 tahun adalah pendapat ulama daripada ijtihad mereka sahaja sedangkan tiada penetapan di dalam nas.

Tidak dapat ditetapkan had umur kerana ada yang didatangi awal dan ada yang lewat. Ada yang mengikut zaman, ada pula yang mengikut tempat tinggal, persekitaran atau cara kehidupan, tumbesaran serta faktor pemakanan.

Kalau terdapat kebiasaan umur pada sesuatu zaman, tidaklah ia tetap begitu untuk sepanjang zaman. Maka kita tidak tetapkan berapakah had umur.

Begitu pun, ulama menetapkan yang kalau sudah berumur 15 tahun tetapi tidak juga didatangi haidh, maka itu sudah dikira baligh dan wajib baginya untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang mukallaf (seorang yang mempunyai tanggungjawab syariat).

Tidak mungkin dia masih ingin bersenang-lenang dan bergoyang kaki sahaja, tanpa perlu solat dan berpuasa, bukan?

Nas juga tidak menetapkan bilakah putusnya haidh seseorang wanita itu. Cuma ulama mazhab ada meletakkan had umur tertentu.

✍🏻Mazhab Syafie menetapkan had umur 62 tahun. Kalau selepas itu masih keluar darah lagi, ia tidak dikira sebagai haidh lagi tetapi darah penyakit.

✍🏻Menurut Ibnu Taimiyyah رضي الله عنه, tiada had bagi umur paling rendah atau bawah dan paling lama atau paling hujung untuk kedatangan haidh.

Bagi wanita yang telah putus haidh, dia hendaklah bertindak sebagai wanita yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain.

Dalam masalah eddah pula, dia hendaklah bereddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan tempoh haidh atau bilangan tempoh suci lagi.

✍🏻Ini ditegaskan oleh Allah ‎ﷻ dalam firman-Nya dalam surah [ al-Talaq: ayat 4 ] iaitu tempoh eddah dikira selama 90 hari.

📍Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan didatangi haid?

🔹Para ulama berikhtilaf di dalam masalah ini:

▪️Menurut jumhur ulama; perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa dia sedang mengandung, maka darah itu bukan darah haidh, tetapi adalah darah penyakit. Inilah pendapat yang kuat.

▪️Namun menurut Imam Syafi’ie, Malik dan al-Laits pula; ada kemungkinan perempuan mengandung didatangi haidh. Menurut mereka; jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidhnya serta kelihatan seperti ciri-ciri haidh pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haidh.

📍Pendapat pertama lebih kuat kerana ikut sains biologi pun, bila sudah mengandung tiada darah haidh lagi.

3. Warna Darah Haidh

Untuk mengetahui sama ada darah yang keluar adalah haidh ataupun tidak, maka haruslah dikenali warna-warna haidh itu.

Secara umumnya terdapat empat (4) jenis warna haidh:

🔺a. Hitam

✍🏻Nabi ﷺ berkata kepada Fatimah binti Abu Hubaisy:

إِذَا كَانَ دَمُ الحَيْضَةِ فَإِنَّهُ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِيْ عَن الصَّلاَةِ، فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ … رواه أبو داود والنسائي وصححه ابن حبان والحاكم

“Darah haidh iaitu apabila berwarna hitam yang dapat diketahui, maka tinggalkan salat, tetapi jika selain itu cirinya maka berwudhu’lah dan lakukan salat kerana itu adalah darah penyakit.”
(HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim).

🔺b. Merah

Ada juga yang berwarna merah iaitu darah ini keluar ketika di dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

Maknanya, asal darah haidh itu adalah kehitaman dan setelah beberapa lama, ia berubah menjadi merah pula.

🔺c. Kuning

Ada yang berwarna kekuningan iaitu darah ini keluar ketika dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

✍🏻Diriwayatkan oleh Malik dalam Kitab Al-Muwaththa, no. 130, dari Ummu Alqomah رضي الله عنها, beliau berkata:

كَانَ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إِلَى عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضَةِ يَسْأَلْنَهَا عَنْ الصَّلَاةِ فَتَقُولُ لَهُنَّ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ “. وصححه الألباني في ” إرواء الغليل ” برقم (198)”

“Sejumlah wanita mengirikan ke Aisyah Ummul Mukminin رضي الله عنها dengan membawa bejana yang berisi kapas yang ada (cairan) kekuning-kuningan dari darah haidh. Mereka bertanya tentang salat (jika keluar cairan seperti ini). Kemudian (Aisyah رضي الله عنها) berkata kepada mereka, “Jangan anda semua terburu-buru (salat) sampai anda semua melihat lendir putih. Yang beliau maksudkan hal itu suci dari haidh.”
(Disahihkan oleh Al-Albany dalam Irwaul Ghalil, no. 198)

Ini kalau ia bertepatan dengan waktu haidh. Kalau waktu lain (luar kitaran kebiasaan), ia tidak dikira haidh.

✍🏻Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah رضي الله عنها yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haidh) sebagai sesuatu (dari darah haidh)”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

🔺d. Coklat

Ada juga yang berwarna kecoklatan iaitu darah ini keluar ketika dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

Kalau darah warna kuning dan coklat itu datang sebelum datang haidh, maka ia juga dikira sebagai haidh. Namun, kalau ia datang sendirian, maka ia tidak dikira sebagai haidh.

4. Masa Haidh

Ulama khilaf apakah batas minima dan maksima haidh itu. Ini adalah kerana tiada penetapan yang mantuq daripada Nabi Muhammad ﷺ.

✍🏻Maka batas-batas yang ada adalah menurut pendapat ulama sahaja. Pendapat yang biasa dijadikan penetapan, haidh itu dikira haidh kalau ia keluar sekurang-kurangnya: sehari semalam (24 jam).

✍🏻Kalau keluar sekejap sahaja, maka itu tidak dikira haidh lagi, tetapi darah istihadah sahaja. Ini juga pendapat Mazhab Asy-Syafi’iy.

✍🏻Bagi tentang batas maksima pula, yang selalu digunakan oleh ulama adalah 15 hari di dalam sebulan. Kalau masih juga keluar darah melebihi dari 15 hari, maka itu tidak lagi dikira sebagai haidh, tetapi sudah dikira sebagai darah penyakit istihadah. Ini juga pendapat Mazhab As-Syafi’iy.

✍🏻Menurut Imam Ibnu Taimiyyah رضي الله عنه pula, tidak perlu ditentukan tempoh paling singkat bagi haid dan juga tempoh paling lama baginya, akan tetapi dikira apa yang telah tetap menjadi kebiasaan bagi seorang wanita maka itulah tempoh haidh baginya sekalipun tempoh itu kurang dari sehari atau lebih dari 15 hari atau 17 hari.

B. Nifas
♦️ Pengertian Nifas
♦️ Masa Nifas

C. Hukum yang berlaku pada nifas, berlaku juga pada Haidh

D. Hal-hal yang diharamkan bagi wanita yang sedang haidh dan nifas
♦️Salat
♦️Tawaf
♦️Puasa
♦️Bersetubuh

E. Hal yang dibolehkan oleh Lelaki terhadap wanita dalam Haidh

F. Kaffarah bagi orang yang menyetubuhi wanita haidh

G. Bilakah boleh menyetubuhi wanita haidh yang telah suci?

B. NIFAS

Selain dari Haidh, darah adik beradik dengannya adalah Nifas. Jadi kita masukkan sekali di dalam pembelajaran kita ini.

1. Pengertian Nifas

Nifas adalah darah yang keluar dari rahim wanita kerana melahirkan anak. Apabila bayi bernafas, maka keluarlah nifas.

Seandainya ia mengalami keguguran dan janinnya belum jelas berbentuk manusia maka darah yang keluar itu bukanlah darah nifas, tetapi dihukumi sebagai darah penyakit kerana itu yang berlaku baginya adalah hukum wanita mustahadhah.

2. Masa Nifas

Batas waktu maksima terjadinya nifas adalah 40 hari. Dihitung sejak hari pertama melahirkan. Sehingga, walaupun darah berlanjutan keluar melebihi 40 hari, maka dia dianggap suci.

Dia diwajibkan melakukan salat atau puasa ramadhan, walaupun darah belum berhenti keluar.

✍🏻Bahkan Imam Tirmidzi رحم الله menerangkan bahawa ketentuan ini sudah menjadi kesepakatan para ulama’. Beliau mengatakan:

أجمع أهل العلم من الصحابة ، ومن بعدهم على أن النفساء تدع الصلاة أربعين يوما ، إلا أن ترى الطهر قبل ذلك، فتغتسل و تصلي

Para ulama’ dalam kalangan sahabat Nabi ﷺ, tabi’in dan generasi setelah mereka telah sepakat, bahawa wanita-wanita yang mengalami nifas, meninggalkan salat selama 40 hari kecuali apabila dia mendapati dirinya suci sebelum waktu itu, maka dia mandi kemudian salat.
(Hasyiah Raudhah Al Murbi’ 1/403).

Inilah pendapat majoriti fuqaha.

✍🏻Hal ini berdasarkan hadith daripada Ummu Salamah رضي الله عنها, beliau pernah menceritakan:

كانت النفساء تقعد على عهد النبي صلى الله عليه وسلم أربعين يومًا

“Para wanita yang mengalami nifas di zaman Nabi ﷺ, duduk (tanpa salat) selama 40 hari. ”
(HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).

Batas minima tidak ada. Jadi tidaklah ‘cuti’ diberikan sehingga 40 hari. Kalau telah suci awal daripada tempoh tersebut, maka hendaklah mandi dan salat/puasa.

Benar. Pendapat mazhab Syafie 60 hari berlainan daripada pendapat jumhur. Ini hasil kajian beliau sendiri melihat kebiasaan wanita zaman itu.

C. Hukum yang berlaku pada nifas, berlaku juga pada haidh

Nifas menghalang hal-hal yang terhalang disebabkan oleh darah haidh seperti salat dan puasa. Sama sahaja hukum bagi keduanya. Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ menyamakan haidh dan nifas.

D. Hal-hal yang diharamkan bagi wanita yang sedang haidh dan nifas

Hanya empat (4) perkara ini sahaja yang perlu diperhatikan oleh wanita apabila mereka di dalam haidh/nifas.

Selain dari perkara ini tidak dihalang dari wanita untuk melakukannya.

1. Salat

✍🏻Hal ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah رضي الله عنها, beliau pernah menceritakan:

كانت النفساء تقعد على عهد النبي صلى الله عليه وسلم أربعين يومًا

Para wanita yang mengalami nifas di zaman Nabi ﷺ, duduk (tanpa salat) selama 40 hari. ”
(HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).

2. Tawaf

Pendapat jumhur, wanita dalam haidh tidak boleh melakukan tawaf.

✍🏻Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ ، فَاقْضِى مَا يَقْضِى الْحَاجُّ ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ

Haidh adalah kondisi yang Allah ‎ﷻ takdirkan untuk puteri Adam. Lakukan seperti yang dilakukan jemaah haji, hanya saja jangan melakukan tawaf di Ka’bah.
(HR. Bukhari 294 & Muslim 2976).

Cuma seperti yang telah disebut dalam bab mandi dan wuduk, ada pendapat yang mengatakan tetap boleh tawaf dalam haidh.

3. Puasa

Ini berdasarkan hadith Riwayat Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda kepada para wanita yang bertanyakan tentang maksud kurangnya agama mereka:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِ وَلَمْ تَصُمْ؟ قُلْنَ: بَلَى. قَالَ: فَذلِكَ مِنْ نُقْصَانِ دِيْنِهَا

“Bukankah wanita itu bila haidh dia tidak salat dan tidak puasa?” Para wanita menjawab, “Ya.” Rasulullah ﷺ berkata, “Maka itulah dari kekurangan agamanya.”
(HR. Al-Bukhari no. 304)

✍🏻Namun, wanita wajib mengqadha’ puasanya dan ini berdasarkan kenyataan ‘A’isyah رضي الله عنها:
Apabila yang demikian itu (haidh) menimpa kami, maka kami disuruh (oleh Rasulullah ﷺ) mengqadha puasa namun tidak disuruh untuk mengqadha’ salat.”
(Shahih Muslim­ – no: 335 (Kitab al-Haid)

4. Bersetubuh

✍🏻Ini berdasarkan [ Baqarah: 222 ]

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّابينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: “Haidh itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah ‎ﷻ kepadamu. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.

Tafsir:
Maksud ‘menjauhkan’ adalah jangan jimak dengan wanita yang sedang dalam haidh.

E. Hal yang dibolehkan oleh Lelaki terhadap wanita dalam Haidh

Dibenarkan mencumbui isteri dalam haidh. Waktu haidh tidaklah menghalang seorang suami untuk bermesraan dengan isterinya.

✍🏻Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah رضي الله عنها.

Jika salah satu dari kami (isteri Nabi ﷺ) ada yang didatangi haidh, dan Rasulullah ﷺ ingin mencumbuinya, baginda menyuruh isterinya yang haidh itu untuk memakai kain sarung, kemudian baginda mencumbuinya.”
(HR. Bukhari).

✍🏻Dalam hadis lain yang diriwayatkan Anas رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ sempat ditanya tentang hukum mencumbui perempuan haidh. Ini dibandingkan orang Yahudi yang terlalu ketat dengan perempuan haidh. “.. Rasulullah ﷺ bersabda, “Lakukan segala yang kau mahu kecuali nikah (hubungan badan).”
(HR Muslim).

F. Kaffarah bagi orang yang menyetubuhi wanita haidh

Seperti yang telah disebut, haram bagi suami menjimak isterinya di kala isterinya itu dalam haidh. Tetapi bagaimana kalau terlajak?

Kalau terlajak, maka suami wajib (atau ada yang mengatakan ia adalah sunat) bersedekah sebanyak satu dinar atau setengah dinar. Harus dikira berapa nilai satu dinar pada zaman sekarang.

1 Dinar syiling emas bersamaan dengan 4.25 gram emas 916. Kalau sekarang, nilainya sekitar RM 900.

✍🏻Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas رضي الله عنه:

إِذَا وَاقَعَ الرَّجُلُ أَهْلَهُ وَهِيَ حَائِضٌ إِن كَانَ دَمًا أَحْمَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِدِينَارٍ وَإِن كَانَ أَصْفَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِنصْفِ دِيْنَارٍ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya sedangkan dia sedang haidh, jika darahnya berwarna merah maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar dan jika darahnya kekuningan maka hendaklah dia bersedekah dengan separuh dinar.
(Riwayat Abu Daud. Al-Hakim mensahihkannya).

Bayaran itu hendaklah dibayar oleh si suami dan bukan si isteri kerana lelaki itu yang menyetubuhi. Begitu juga jika dia bersetubuh apabila berhentinya darah haidh tetapi belum mandi, maka keadaan wanita itu dianggap sama seperti yang keluar darah kekuningan. Ertinya, sunat dibayar denda separuh harga dinar.

G. Bilakah boleh menyetubuhi wanita haidh yang telah suci?

Bagi Mazhab Hanafi, apabila isteri telah kering sahaja haidhnya, sudah boleh dukhul (kita pakai bahasa lembut lah sedikit). Dukhul maksudnya ‘masuk’. Boleh faham yer? Boleh mubasharah, tetapi tidak boleh dukhul.

Namun, bagi Mazhab Syafi’iy, isteri hanya boleh didatangi selepas isteri telah mandi. Barulah dikira telah suci dan inilah pendapat yang kuat.

✍🏻Dalilnya boleh dilihat dalam [ Baqarah: 222 ]

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad ﷺ), mengenai (hukum) haidh. Katakanlah: “Darah haidh itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudharat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haidh itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ kepada kamu. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Tafsir:

Lihat pada kalimat: حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ. Keduanya bermaksud ‘suci’.

Kalimah يَطْهُرْنَ yang pertama adalah apabila haidh telah kering. Maka ini suci peringkat pertama. Kalimah تَطَهَّرْنَ yang kedua pula, apabila sudah mandi. Maka dari ayat ini dan susunannya, ulama’ berpegang bahawa sebenar-benar suci adalah apabila sudah mandi.

Maka, bawa bersabar dahulu para suami sekalian. Bagi peluang kepada isteri untuk mandi.

Komen dan Soalan