Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-57 hingga Ke-59

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-57 hingga Ke-59

352
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-57

Ini pula adalah kata-kata penyesalan seorang yang telah cuai dalam agama, tetapi kali ini semasa dia di Mahsyar.

أَو تَقولَ لَو أَنَّ اللَهَ هَدٰني لَكُنتُ مِنَ المُتَّقينَ

Atau berkata: `Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa !

أَوْ تَقُولَ لَوْ أَنَّ اللَهَ هَدٰنِي

Atau dia berkata: Kalaulah Allah beri hidayah kepada aku dahulu.

Mereka hendak berkata yang mereka tidak mendapat hidayah pula. Padahal, Allah ﷻ telah memberi petunjuk kepada mereka banyak kali semasa mereka di dunia. Al-Qur’an itu sentiasa sahaja ada cuma mereka sahaja yang tidak mahu belajar walaupun sudah ada orang yang mengajak mereka belajar.

Dan memang al-Qur’an ini banyak orang Islam buat tidak endah sahaja. Walaupun di masjid terdapat banyak al-Qur’an, tidak ramai yang membaca al-Qur’an. Yang selalu kita lihat, masyarakat kita lebih suka dan lebih banyak berzikir. Padahal, membaca al-Qur’an adalah lebih afdhal dari berzikir.

Jika mereka baca pun, walaupun mereka memang percaya bahawa al-Qur’an itu daripada Allah ‎ﷻ, tetapi masih tidak mahu belajar tafsir al-Qur’an sampaikan mereka tidak faham apakah suruhan Allah ‎ﷻ dalam ayat-ayat yang mereka baca itu.

Itulah punca masalah kebanyakan manusia yang beragama Islam. Ramai tidak teringin pun untuk belajar tafsir al-Qur’an. Mereka tidak nampak kepentingan untuk memahami al-Qur’an.

Ingatlah bahawa ia adalah satu dosa besar kalau tidak mahu belajar tafsir al-Qur’an, iaitu kalau dia sengaja tidak mahu belajar. Sebagai contoh ada yang sudah tahu ada kelas tafsir, tetapi dia tidak mahu lagi pergi belajar. Macam-macam alasan akan diberikan untuk tidak pergi ke kelas pengajian.

Jadi, dalam ayat ini, orang itu menyalahkan Allah ‎ﷻ sebab tidak memberikan hidayah kepadanya. Dia berkata Allah ‎ﷻ yang telah takdirkan dia tidak menjadi orang beragama.

Maknanya dia hendak menyalahkan Allah ‎ﷻ pula. Dia berkata begitu semasa di dunia dan semasa di akhirat dia akan cakap macam itu juga. Ini adalah hujah dari akal yang tidak waras, akal yang jahil.

لَكُنْتُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

tentu aku jadi orang yang bertaqwa,

Dia kata kalaulah dia diberikan petunjuk semasa di dunia, dia akan jadi macam orang lain yang alim. Dia berkata tentu dia akan menjadi orang bertaqwa. Padahal, kesalahan itu adalah daripada dirinya sendiri.

Hidayah ada di mana-mana, mereka sahaja yang tidak mahu membuka hati mereka untuk menerimanya. Mereka yang menutup hati mereka dari menerima kebenaran. Alasan mereka ini tidak akan diterima langsung.

Tafsir Ayat Ke-58

Ini pula adalah selepas dibicarakan dan sudah sedia untuk masuk neraka. Lihatlah apa yang mereka akan katakan:

أَو تَقولَ حينَ تَرَى العَذابَ لَو أَنَّ لي كَرَّةً فَأَكونَ مِنَ المُحسِنينَ

“Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!”

أَوْ تَقُولَ حِينَ تَرَى الْعَذَابَ

Atau berkata satu jiwa ketika melihat azab neraka

Lihatlah apa yang mereka akan katakan apabila mereka sudah melihat azab yang mereka akan dimasukkan. Waktu itu mereka tidak meminta ampun lagi kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak meminta ampun kerana mereka tahu bahawa tidak ada gunanya lagi kalau meminta ampun.

Tidak ada satu ayat al-Qur’an atau hadis yang mengatakan yang orang yang sudah mati akan meminta ampun. Bila mati, inilah apa yang mereka mohon daripada Allah ‎ﷻ:

لَوْ أَنَّ لِي كَرَّةً

Kalaulah aku boleh kembali semula.

Sekarang, apa yang dia pohon adalah kesempatan untuk pulang semula ke dunia. Sebab dia sudah menjadi alim, sudah tahu bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan memberikan keampunan kepada orang yang mati. Mereka sudah tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu benar, syurga dan neraka itu benar. Mereka juga tahu bahawa sia-sia sahaja waktu itu untuk meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka tahu bahawa ia sudah terlambat untuk meminta ampun. Mereka tahu bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan. Oleh itu, yang mereka minta waktu itu adalah ingin kembali ke dunia, sebab mereka ingin menjadi orang baik pula sekarang.

Mereka kata mereka ingin kembali ke dunia kerana hendak mengamalkan tauhid, mereka hendak mengamalkan amalan yang soleh, tidak mahu berbuat amalan bid’ah lagi.

Mereka sudah beriman bersungguh-sungguh waktu itu kerana mereka sudah melihat kebenaran di hadapan mata mereka. Bayangkan mereka sudah nampak neraka! Tetapi waktu itu iman mereka sudah tidak berguna sama sekali.

فَأَكُونَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

tentulah aku akan jadi orang yang baik.

Dia berkata kalaulah dia dapat balik ke dunia tentulah dia akan berbuat amal mengikut sunnah. Tidak meninggalkan solat, tidak meninggalkan puasa, tidak membuat perkara syirik. Tidak menzalimi orang lain lagi. Mereka hendak menghabiskan masa dengan beribadat sahaja tanpa henti.

Itulah harapan mereka pada waktu itu. Namun itu semua sudah terlambat.

Dan dalam ayat yang lain, Allah ‎ﷻ ada memberitahu kita, kalaulah mereka dikembalikan ke dunia pun, mereka akan membuat perkara salah yang sama:

{وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ}

Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakan­nya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka. [ Al-An’am: 28 ]

Tafsir Ayat Ke-59

Apa Tuhan akan jawab? Allah tidak jawap semasa mereka berkata macam-macam semasa di dunia. Tetapi Allah hanya akan jawap di akhirat kelak.

بَلىٰ قَد جاءَتكَ ءآيٰتي فَكَذَّبتَ بِها وَاستَكبَرتَ وَكُنتَ مِنَ الكٰفِرينَ

(Kata-kata yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firman-Nya): “Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjuk-Ku (melalui Rasul-Ku), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!”

بَلَىٰ قَدْ جَاءَتْكَ ءآيٰتِي

Bahkan sudah datang kepada kamu ayat-ayatKu,

Alasan mereka untuk kata mereka tidak mendapat hidayah dulu ditolak dalam ayat ini. Sebenarnya hidayah telah sampai kepada mereka, mereka sahaja yang tidak mahu terima.

Amat senang sekali untuk kita mendengar al-Qur’an itu. Di mana-mana ada orang baca. Di masjid, di tv, di suratkhabar, majalah, malah sekarang dalam phone kita pun sudah boleh dimuatkan dengan al-Qur’an.

Senang sahaja untuk manusia mendapatkan maklumat al-Qur’an. Kalau hendak belajar baca al-Qur’an pun senang, hendak belajar tafsir kandungan al-Qur’an pun senang juga. Tidak ada alasan lagi bagi manusia untuk mengatakan mereka tidak ada peluang untuk membaca al-Qur’an.

فَكَذَّبْتَ بِهَا

kamu sengaja dusta kepadanya

Kalau ada orang sampaikan maksud wahyu, kamu kata orang itu dusta; atau kamu dusta dengan tidak mahu untuk belajar.

Maknanya, kalau tidak belajar pun, itu pun sudah dikira dusta juga. Mereka berkata “takkanlah begini, takkanlah begitu”. Mereka tolak dengan cara yang lembut tetapi ia tetap dikira sebagai dusta juga.

Mereka tidak mahu terima hujah dari al-Qur’an, tetapi mereka sanggup terima hujah dari guru-guru mereka yang mengajar ajaran yang karut yang bukannya datang dari al-Qur’an. Mereka tidaklah tolak ayat al-Qur’an mentah-mentah kerana mereka terima ayat al-Qur’an itu daripada Allah, tetapi mereka kata penafsiran yang diberi oleh guru tafsir itu yang salah.

Ingatlah bahawa ayat-ayat al-Qur’an itu adalah penapisan kepada kita semua. Ia untuk menapis sama ada amalan dan akidah kita selama ini adalah benar atau tidak. Maka kerana itu penting untuk belajar.

Ada ayat al-Qur’an yang akan kena kepada diri kita sendiri, menegur amalan dan fahaman kita. Memang ayat-ayat al-Qur’an itu akan menunjukkan mana-mana perbuatan kita dahulu yang salah.

Kalau ada amalan kita yang bertentangan dengan al-Qur’an, apa yang perlu kita buat adalah minta ampun kepada Allah sahaja. Terimalah yang amalan kita buat itu sudah salah dan minta Allah ampunkan.

Dan tinggalkan perbuatan salah yang kita telah buat itu. Itulah yang Allah mahukan daripada kita. Tidak perlu untuk cerita kepada orang lain kesalahan kita dahulu. Simpan untuk diri kita sendiri sahaja. Sebab Allah pun tidak suka kita cerita kepada orang lain.

وَاسْتَكْبَرْتَ

dan kamu sombong

Ini adalah sombong tidak mahu belajar. Mereka rasa mereka sudah pandai tentang hal agama.

Sebab itu amat susah untuk dakwah tauhid kepada mereka yang sudah belajar agama seperti belajar di pondok-pondok dan universiti. Mereka rasa mereka sudah masak dan mahir dengan agama Islam.

Apabila kita bawa dalil dari wahyu yang bertentangan dengan fahaman mereka, mereka akan tolak kerana mereka tidak rasa mereka bersalah – mereka sombong. Mereka rasa tentulah mereka yang benar.

Sedangkan, walaupun kita telah belajar agama, kita hendaklah periksa sama ada pemahaman kita tentang agama itu benar atau tidak. Kerana banyak sekali ajaran-ajaran yang salah dalam dunia ini, jadi ada kemungkinan, pembelajaran kita yang selama ini kita telah belajar itu, salah juga.

Dan mereka tetap sombong dengan fahaman mereka, kerana selepas diberitahu tentang ayat-ayat Qur’an, mereka pergi periksa kepada guru yang mereka sudah biasa belajar. Padahal guru itu mungkin tidak belajar pun tafsir al-Qur’an.

Jadi, ustaz itu pun tidak tahu tentang ajaran-ajaran dalam al-Qur’an. Mereka tidak belajar, tetapi mereka pula yang kata apa yang kita sampaikan tentang al-Qur’an itu salah. Mereka tetap sombong dengan ilmu yang mereka ada.

وَكُنْتَ مِنَ الْكٰفِرِينَ

dan kamu ketika itu jadi seorang yang kafir.

Maknanya, tidak belajar tafsir itu sudah kufur. Realitinya sekarang, ustaz yang sekarang ini banyak mengajar agama di masjid-masjid dan di surau-surau pun tidak belajar lagi tafsir Qur’an. Padahal dia mengajak orang lain kepada Islam.

Maka kita pun tidak tahu apakah ajaran yang akan diberikan kepada masyarakat kalau dia sendiri pun belum tentu betul kerana dia tidak belajar tafsir al-Qur’an lagi.

Mereka yang tidak mahu belajar tafsir al-Qur’an ini dikatakan ‘kafir’ setelah diberi peluang untuk belajar berkali-kali. Kita tidak boleh terus mengatakan seseorang itu kafir. Sudahkah kita ajak dia belajar tafsir al-Qur’an? Syaratnya jadi kafir ialah setelah diberi peluang berkali-kali. Iaitu setelah diajak berkali-kali masih tidak mahu belajar, maka barulah dia menjadi kafir. Kerana memang dia telah degil dengan ayat Allah.

Dan memang akan ada masalah kalau kita tidak belajar tafsir. Kalau sesiapa yang tidak belajar tafsir, dia tidak akan ada peluang untuk masuk syurga. Kerana dia jahil tentang tauhid dan hukum, dan syaitan akan ambil peluang itu untuk menyesatkan orang itu.

Syaitan akan membisikkan perkara-perkara dan fahaman yang salah, dan mereka terima bisikan syaitan itu kerana mereka tidak ada ‘penilai’ untuk menilai sama ada fahaman itu benar atau tidak.

Sedangkan, kalau mereka telah belajar tafsir al-Qur’an, mereka akan tahu bahawa itu adalah fahaman yang salah. Maka syaitan akan tipu dia sampai dia masuk ke dalam neraka. Itulah bahayanya kalau tidak belajar tafsir al-Qur’an.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan