Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat ke-21 hingga ke-23

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat ke-21 hingga ke-23

1666
2
Iklan

Tafsir Ayat ke-21

Dalil Aqli. Allah ‎ﷻ suruh kita lihat alam ini sebagai tanda kepada Qudrat-Nya.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللَهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَسَلَكَهُ يَنٰبيعَ فِي الأَرضِ ثُمَّ يُخرِجُ بِهِ زَرعًا مُّختَلِفًا أَلوٰنُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَجعَلُهُ حُطٰمًا ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِأُولِي الأَلبٰبِ

Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu menjadi kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai. Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan bagi orang-orang yang berakal sempurna.

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Tidakkah kamu perhati bahawa Allahlah yang menurunkan kepada kamu air hujan dari langit,

Allah ‎ﷻ suruh kita perhatikan alam ini. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita lihat dan memikirkan kepada air hujan yang turun dari langit. Dalam Al-Quran selalu disebut tentang air hujan dari langit yang memberi isyarat kepada rezeki dari Allah ‎ﷻ.

Negara kita Malaysia ini banyak hujan, jadi selalunya kita tidak mengharapkan sangat kepada hujan, sampaikan kadang-kadang ada yang marah pula kalau hujan turun sebab mengganggu program yang dirancangkan.

Namun, ingatlah yang Al-Quran ini pertama kali dibacakan kepada Arab Mekah yang tidak banyak turunnya hujan di kawasan mereka. Jadi, ia adalah satu rahmat yang mereka pandang tinggi, bukan seperti kita.

فَسَلَكَهُ يَنٰبِيعَ فِي الْأَرْضِ

Dia memperjalankan air itu sehingga menjadi mata-mata air di bumi

Lihatlah bagaimana air hujan itu turun dan Allah ‎ﷻ takdirkan yang air itu merebak ke tempat lain dan berkumpul menjadi mata air. Dari mata air itulah nanti yang akan menjadi sumber kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan di dunia ini

Ini nikmat tambahan dari air hujan tadi. Allah ‎ﷻ bukan sahaja menurunkan hujan tetapi Allah ‎ﷻ membina sistem distribusi air itu. Ini kerana bukanlah kita boleh tadah sahaja hujan itu untuk kegunaan kita. Tidak sempat untuk kita tadah sentiasa.

Maka Allah ‎ﷻ menjalankan dan menyimpan air hujan dalam tanah dan dikeluarkan dalam bentuk sungai dan mata air yang manusia boleh gunakan bila perlu. Ada yang Allah ‎ﷻ simpan dalam bentuk salji di pergunungan dan turunkan dalam bentuk sungai kepada manusia.

Selain itu air ada disimpan dalam tanah dan manusia boleh berusaha gali untuk mendapatkannya dalam bentuk telaga. Maka, kalau kita fikirkan dan renungkan, hebat sekali rahmat Allah ‎ﷻ kepada kita. Ini baru kita tengok air sahaja.

ثُمَّ يُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا مُّخْتَلِفًا أَلْوٰنُهُ

kemudian Dia keluarkan dengan air yang satu jenis itu, berbagai jenis tanaman yang berbagai warna;

Lihatlah betapa hebatnya Allah ‎ﷻ: Dari air yang satu sahaja, boleh mengeluarkan berbagai-bagai jenis tanaman. Kalau makhluk yang buat, mestilah untuk satu pokok, sejenis air sahaja. Contoh seperti kita buat minyak untuk kereta: satu minyak untuk enjin, satu minyak untuk brek, satu minyak untuk jalankan kereta dan sebagainya. Namun, bagi Allah ‎ﷻ hanya menggunakan satu jenis air sahaja untuk semua tumbuhan.

Pelbagai warna tumbuhan dalam alam ini. Kita pun terhibur dengan melihat berbagai-bagai warna yang ada kerana manusia memang sukakan keindahan alam. Bukan itu sahaja, satu jenis pokok pun kadangkala berubah-ubah warna dari satu keadaan ke satu keadaan. Jadi mereka yang tinggal di kawasan banyak musim dapat melihat perubahan warna pada tumbuh tumbuhan itu.

ثُمَّ يَهِيجُ

kemudian pokok itu bergerak;

Kalimah ه ي ج bermaksud bergerak iaitu bergerak dari batangnya dan putus. Pada asalnya tanah-tanah itu kering, pokok pun layu, tetapi apabila mendapat air sahaja, pokok itu boleh bergerak segar. Kemudian, lama-lama ia akan menjadi layu balik setelah sampai masanya. Inilah perjalanan kehidupan tumbuh tumbuhan.

فَتَرٰهُ مُصْفَرًّا

kemudian kamu lihat ia bertukar jadi kuning;

Iaitu pokok yang asalnya segar, lama-lama akan menjadi kering dan berwarna kuning sebab sudah reput.

ثُمَّ يَجْعَلُهُ حُطٰمًا

kemudian Dia menjadikannya hancur berkecai;

Kemudian, lama kelamaan tanaman itu akan hancur. Inilah perjalanan hidup tanaman di mukabumi. Perkara ini memang sentiasa terjadi dan kita pun melihatnya. Semua ini adalah dalam taqdir Allah ‎ﷻ juga.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِأُولِي الْأَلْبٰبِ

Sesungguhnya pada kejadian itu adalah sebagai peringatan kepada orang yang berakal waras.

Sebagai peringatan kepada kita yang perkara ini tidaklah terjadi dengan sendirinya tetapi Allah ‎ﷻ yang menjadikannya begitu. Orang yang mempunyai akal waras akan nampak perkara ini dan Allah ‎ﷻ suruh kita lihat supaya kita tahu yang kehidupan kita pun begitu juga. Mula-mula kecil, kemudian membesar dan kemudian akan jadi tua dan akhirnya mati.

Peringatan itu diberikan kepada semua, tetapi yang boleh terima hanyalah orang yang berakal waras sahaja iaitu mereka yang menggunakan akal dan memikirkan untung nasib mereka. Mereka dapat memikirkan masa hadapan dan tidak hanya lihat masa sekarang sahaja.

Peringatan yang boleh diambil lagi dari ayat ini adalah Allah ‎ﷻlah yang menghidupkan tanaman-tanaman itu dan Allah ‎ﷻlah juga yang boleh menghidupkan dan mematikan manusia.

Allah ‎ﷻsahaja yang ada Qudrat itu dan kerana itu sembahlah Dia sahaja, jangan sembah dan buat ibadat kepada selain dari-Nya. Ini kerana selain dari-Nya tidak mungkin ada yang mampu membuat segala perkara itu.

Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Ayat sebelumnya menceritakan tentang tumbuh-tumbuhan di syurga. Di dunia ini juga ada tumbuh-tumbuhan tetapi tumbuhan di dunia ini tidak kekal. Setelah sampai waktunya, ia akan mati.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita, kalau kita hendakkan sesuatu yang kekal, hendaklah cari di syurga kerana di syurga, semuanya kekal abadi. Maka, jangan berikan tumpuan kepada dunia, tetapi kenalah beramal dan bersedia untuk menyediakan tempat kita di syurga.

Tafsir Ayat ke-22

Kita masuk ke Ruku’ ke-3 dalam surah ini. Ini adalah perbandingan yang ketiga.

Ini pula adalah tentang orang yang mudah faham agama. Kemudian ada yang tidak boleh menerima langsung walaupun telah diberikan pelbagai dakwah dan dalil kepada mereka. Sememangnya manusia tidak sama.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini yang ahli syurga senang untuk menerima wahyu yang disampaikan kepada mereka. Namun ada yang telah dengar pun, tetapi masih tidak faham-faham atau berpura-pura tidak faham.

Mereka tidak ada minat untuk mendekati dan memahami wahyu ilahi dan kerana itu mereka tidak dapat hendak faham. Ini kerana mereka menutup hati mereka dari mencari kebenaran.

أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلٰمِ

Apakah sama satu orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk memahami Islam?

Ada muqaddar dalam ayat ini: Apakah sama orang itu berbanding dengan orang yang tidak dilapangkan dadanya? Tentulah tidak sama.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang apabila diajar tentang agama, dia boleh faham. Bukan sahaja dia boleh faham, tetapi dia boleh ‘terima’ apakah yang disampaikan. Allah ‎ﷻ telah melapangkan dadanya untuk ‘selesa’ dengan apa yang disampaikan.

Apa-apa sahaja suruhan Allah ‎ﷻ dalam wahyu itu, dia boleh amalkan dan tidak ada masalah untuk dirinya. Ini kerana ada orang yang apabila telah disampaikan ajaran dari Al-Quran, tetapi mereka berasa tidak selesa. Mereka tidak dapat untuk menerima arahan yang Allah ‎ﷻ berikan. Mereka ingin menggunakan akal juga sampai mereka mempersoalkan wahyu pula, sedangkan wahyu itu dari Allah ‎ﷻ.

Apakah maksud لْإِسْلَامِ? Islam adalah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Ia bukannya nama sahaja, tetapi sifat. Kalau nama sahaja orang Islam, tetapi tidak serah diri, bukanlah dia muslim sejati. Maknanya terima bulat-bulat apa yang disampaikan tanpa meninggalkan satu pun.

Adakah kita serahkan hati kita kepada Allah ‎ﷻ segala-galanya? Ada yang tidak terima semua. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah berikan pembahagian harta pusaka dalam Al-Quran. Namun, ada yang tidak terima, mereka kata lebih molek kalau dibahagikan sama rata antara lelaki dan perempuan. Ini jenis mereka yang Allah ‎ﷻ tidak lapangkan dada mereka. Ada sahaja alasan untuk menolak ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

Memang ada tempat yang menyebabkan kita tidak selesa dan ada tempat yang menyebabkan kita rasa selesa sangat, seperti rumah kita. Apabila kita berada di rumah kita, kita rasa lega dan kita rasa aman, bukan? Kalau duduk dalam rumah orang lain, walaupun tuan rumah itu kata: “Buatlah macam rumah sendiri”, tetapi kita tidak dapat rasa ia seperti rumah kita. Inilah perbandingan yang boleh kita gunakan.

Orang-orang yang rasa selesa dengan Islam akan mudah untuk beramal seperti yang Allah ‎ﷻ suruh, seperti solat. Mereka suka untuk solat, dan ringan badan untuk solat, tidak solat dengan malas atau dengan perasaan terpaksa.

Kalau mereka tertinggal solat, mereka akan gelabah. Itu adalah penilaian yang kita boleh lihat dan bandingkan dengan diri kita, kita jenis yang mana? Begitu juga dalam ibadat-ibadat lain.

Ayat ini memberi penjelasan kepada kita, kenapa apabila belajar tafsir Al-Quran, ada orang yang boleh faham dan terima, tetapi ada orang yang tidak faham dan tidak selesa untuk terima. Bagi yang tidak dapat terima itu adalah kerana hati mereka tidak terbuka. Cara untuk faham dan terima Al-Quran adalah kena ada niat hendak mencari kebenaran, baru boleh senang untuk faham.

Kalau hanya masuk ke kelas pengajian hanya untuk dengar-dengar sahaja, ingin tengok-tengok sahaja, seseorang itu tidak akan faham. Oleh itu, kenalah datang belajar dengan niat untuk tahu wahyu Allah ‎ﷻ dan hendak tahu kebenaran.

Kalimah شَرَحَ bermaksud ‘buka’, ‘kembangkan’, ‘besarkan’. Ini bermaksud Allah ‎ﷻ boleh besarkan hati manusia untuk menerima ajaran dari wahyu. Bukannya susah untuk terima dan faham. Dengan melihat tanda-tanda pada alam dan pada ayat-ayat Al-Quran dan kemudian memikirkan tentang tanda-tanda itu, manusia mampu untuk memahaminya.

فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّنْ رَّبِّهِ

maka dia berada di atas cahaya iman daripada Tuhannya.

Orang yang dibukakan hatinya akan mendapat ‘nur’ dari Allah ‎ﷻ. ‘Nur’ di dalam ayat ini bermaksud: Al-Quran iaitu dia berada di atas landasan Al-Quran yang datangnya daripada Allah ‎ﷻ. Dia belajar dan mendapat hidayah daripada Al-Quran.

Perumpamaan ayat ini adalah: cahaya Islam masuk ke dalam dada seseorang itu. Sudahlah dadanya dikembangkan, dimasukkan cahaya pula. Cahaya itu adalah cahaya hidayah.

Sepertimana kita memerlukan cahaya dalam alam ini untuk melihat, kita juga memerlukan cahaya hidayah untuk melihat kebenaran. Namun, kalau hati telah keras, cahaya itu tidak dapat masuk. Ini disebut selepas ini jenis orang yang keras hatinya.

فَوَيْلٌ لِّلْقٰسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِّنْ ذِكْرِ اللهِ

Maka celakalah barangsiapa yang keras hati dia dari memahami Al-Quran Allah.

Ada dua terjemahan kepada kalimat ذِكْرِ اللهِ. Terjemah biasa: zikir kepada Allah ‎ﷻ. Namun sebenarnya, apabila ingat kepada Allah ‎ﷻ adalah ingat kepada pengajaran dalam Al-Quran iaitu zikir dalam tauhid. Kalau zikir biasa sahaja, tetapi dalam masa yang sama dia masih buat perkara syirik, itu adalah zikir yang sia-sia.

Terjemahan kedua bagi ذِكْرِ اللهِ atau ‘Kitab Allah’ iaitu Al-Quran. Celakalah orang yang tidak memahami Al-Quran iaitu celaka di akhirat kelak. Ertinya orang yang apabila diajak belajar tafsir Al-Quran, dia tidak mahu atau, bila dia belajar isi kandung Al-Quran, dia tidak faham.

Dia tidak faham itu kerana hatinya keras untuk memahami Al-Quran. Itu terjadi kerana hati dia tidak mahu mendengar isi kandung Al-Quran ataupun dia malas untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Ingatlah, zikir yang paling bagus adalah dengan baca Al-Quran. Memang ada zikir yang diajar oleh Nabi ﷺ, tetapi baginda sendiri paling banyak berzikir dengan membaca ayat Al-Quran.

Maka, membaca ayat Al-Quran itu jauhlah lebih baik dari mengamalkan zikir-zikir yang diajar oleh guru-guru tarekat dan para Habib. Sudahlah amalan zikir mereka itu direka, ditambah pula dengan khaifiat dan khasiat yang entah datang dari mana. Itu bukannya akan dapat pahala, malah mendapat dosa pula.

Kita kena faham bahawa Al-Quran itu adalah mukjizat. Ia boleh membuka hati manusia yang gelap kepada cahaya terang. Ia bukan seperti kitab yang lain. Kalau kitab sehebat Al-Quran pun tidak boleh diterima, maka itu menunjukkan yang hatinya telah keras dan tidak ada harapan lagi kerana mukjizat yang ada dalam dunia sekarang hanya Al-Quran sahaja. Hendak cari mukjizat mana lagi?

Maka celakalah dia yang tidak dapat menerima wahyu Al-Quran. Sedangkan Saidina Umar رضي الله عنه yang keras kepala pun boleh terima Al-Quran apabila dibacakan kepadanya. Bayangkan betapa kerasnya dia, dia seorang sahaja yang berani untuk bunuh Nabi Muhammad ﷺ secara terus. Musyrikin Mekah yang lain bising-bising tidak suka kepada baginda, Umar رضي الله عنه sahaja yang berkata: “Elok bunuh sahaja Muhammad itu, selesai masalah.” dan beliau telah pergi pun untuk membunuh baginda! Kisah ini terdapat dalam sirah.

أُولَٰئِكَ فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

Orang-orang itu duduk dalam sesat yang nyata.

Ini kerana bila dia tidak mahu belajar, dia tidak akan tahu yang mana yang dituntut untuk diikuti dan yang mana yang dilarang. Lebih-lebih lagi yang dilarang itu adalah tentang perkara syirik kepada Allah ‎ﷻ. Contohnya, kerana tidak tahu, maka dia mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ dan menghalalkan mana yang diharamkan seperti dalam perkara pantang memantang.

Selalunya, dalam masyarakat Melayu, apabila seseorang ibu sudah bersalin, mereka akan diberikan pantang larang dalam makanan. Makanan itu ini tidak boleh dimakan. Itu sebenarnya adalah ‘mengharamkan yang telah dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ’.

Dia tidak tahu yang perbuatan itu adalah kufur kepada Allah ‎ﷻ. Ada banyak lagi perkara tentang tauhid yang mereka tidak tahu. Mereka merasakan mereka dalam keadaan beriman, tetapi sebenarnya mereka di dalam kesesatan.

Mereka ingat apabila mereka telah mengucap, mereka solat, puasa, tidak berzina dan lain-lain ibadat yang mereka lakukan, mereka telah selamat. Belum tentu lagi. Kita hendaklah belajar tafsir Al-Quran ini supaya kita boleh faham apakah kehendak Allah ‎ﷻ kepada kita dan kita boleh menurut kehendak Allah ‎ﷻ itu.

Tafsir Ayat ke-23

Ini adalah i’adah (pengulangan) kepada dalil wahyu. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita yang Dia lah yang turunkan Al-Quran.

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ هُدَى اللهِ يَهدي بِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

اللَهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ

Allahlah Dzat yang menurunkan kepada kita sebaik-baik perkataan;

Lafaz ‘sebaik-baik perkataan’ itu adalah Al-Quran iaitu firman Allah ‎ﷻ. Ini dibandingkan dengan hadith, lebih-lebih lagi kalau dibandingkan dengan kata-kata makhluk yang lain.

Sebelum ini dalam ayat ke-18 telah diberitahu bahawa berita gembira diberikan kepada mereka mendengar kata-kata dan memilih yang terbaik darinya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa kata-kata terbaik itu adalah Al-Quran.

Kalimah حديث bermaksud kata-kata atau kejadian yang disebut. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam banyak-banyak perkataan dan kejadian yang disebut-sebut, Al-Quran lah yang terbaik sekali.

Selepas ini Allah ‎ﷻ sambung dengan menyebut beberapa sifat Al-Quran.

كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا

Sebuah kitab yang serupa kalimah-kalimatnya;

Iaitu perkataan jenis ‘kitab’ – Al-Quran. Jadi yang dimaksudkan ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Qur’an. Kalimah متشبه bermaksud sama satu sama lain. Maksudnya: sama sahaja risalah yang disampaikan di dalam Al-Quran ini. Sama sahaja perkara yang dibawa oleh Al-Quran itu.

Perkara utama yang disentuh adalah tentang tauhid, risalah kenabian dan akhirat selain dari perkara-perkara lain-lain. Sentiasa sahaja ada tiga perkara ini dari awal sampai akhir. Kerana inilah tiga perkara utama dalam Al-Quran.

Jadi ada persamaan antara topik-topik yang disentuh dalam Al-Quran dan saling menguatkan di antara satu sama lain. Maklumat yang disampaikan dalam Al-Quran sama sahaja dari mula sampai akhir. Tidaklah satu bahagian kata kena amalkan tauhid, tetapi di tengah atau di hujungnya kata boleh berbuat syirik pula. Itulah maksud ‘serupa’. Tidak berlawanan antara ayat-ayat itu.

Sama sahaja perkara yang dibincangkan tetapi dengan cara-cara yang berbeza. Ada dalam bentuk soalan, ada dalam bentuk pemberitahuan dan ada dalam bentuk cerita dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻ berikan berbagai-bagai cara supaya tiada alasan manusia tidak faham lagi kerana sudah bermacam cara telah Allah ‎ﷻ sampaikan.

Begitulah banyak surah yang ada ayat yang hampir serupa dalam surah-surah lain. Satu ayat memperkuatkan ayat yang lain. Ada ayat Al-Quran yang memperjelaskan maksud ayat-ayat yang lain.

مَّثَانِيَ

yang berulang-ulang;

Sudahlah perkara yang sama ada di tempat lain, dan ia berulang-ulang pula. Juga berulang-ulang pengajaran yang dibawa. Diulang-ulang pengajaran yang sama kerana ia penting.

Perkara yang sama tetapi disebutkan dalam cara yang berbeza-beza supaya meneguhkan hati-hati manusia, supaya kemas pemahaman kita dan tidak ada alasan lagi untuk kata kita tidak faham dan supaya lekat di hati. Bila selalu dibaca maka akan terpahat di minda.
تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ

Akan gementar kulit-kulit orang-orang yang takut dengan Tuhan mereka.

Ini adalah kesan kepada pembaca Al-Quran. Mereka merasa gementar apabila ayat-ayat itu dibacakan kepada mereka atau apabila mereka membacanya sendiri. Mereka jadi gementar kerana mereka takut kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka sudah kenal Allah ‎ﷻ dan sudah faham siapakah Allah ‎ﷻ.

Mereka dapat merasai bahawa bacaan Al-Quran itu adalah Allah ‎ﷻ berkata-kata terus dengan kita. Kalau hendak bayangkan, ingatkah kalau kita berjumpa orang yang kita takut? Kita akan berasa lain macam apabila berhadapan dengan orang itu. Kadang-kadang muka kita sampai pucat. Itu baru dengan manusia, bagaimana pula dengan Allah ‎ﷻ?

Apabila mereka takut, maka tentulah mereka akan memperbaiki amalan dan perbuatan mereka. Inilah yang kita kehendaki. Bukan kita hendak berasa takut dan gementar sahaja, tetapi kita mahu ada perubahan dalam diri kita.

Namun, perasaan itu hanya akan dapat apabila kita faham apa yang kita baca selepas kita belajar tafsir. Kalau tidak belajar tafsir, maka akan baca ‘kosong’ sahaja. Orang yang tidak faham apa yang mereka baca, mereka akan sibuk dengan menjaga tajwid dan lagu sahaja, tetapi pengajaran yang disampaikan dalam Al-Quran itu tidak diambil peduli.

Oleh sebab itulah, sama sahaja intonasi mereka yang sebegitu semasa mereka membaca Al-Quran. Ada orang yang mungkin tidak pandai tajwid, tidak pandai melagukan bacaan Al-Quran, tetapi kerana mereka faham apa yang mereka baca, maka kita yang mendengar bacaannya pun, akan turut terkesan.

Kita sepatutnya sedar yang apabila kita baca Al-Quran, sebenarnya Allah ‎ﷻ sedang mendengar apa yang kita baca itu. Jadi, kalau kita dapat sematkan dalam hati kita yang kita sedang membaca *kepada* Allah ‎ﷻ, pembacaan itu akan menjadi lebih berkesan.

Untuk kenal Allah ‎ﷻ adalah dengan belajar kitab Allah ‎ﷻ iaitu Al-Quran. 80% daripada ayat-ayat dalam Al-Quran adalah untuk mengenali / mentauhidkan Allah ‎ﷻ dan 20% lagi adalah untuk kenal hukum-hakam.

Untuk kenal Tuhan, kitab Allah ‎ﷻlah yang paling mudah sekali untuk kita mengenali-Nya. Akal kita tidak akan dapat sampai ke tahap mengenali Allah ‎ﷻ tanpa bantuan dari Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu dalam Al-Quran, kita tidak akan tahu.

ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللهِ

Kemudian akan jadi tenang kulit-kulit mereka dan hati mereka kepada mengingati Allah.

Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran yang berbentuk nikmat dan rahmah Allah ‎ﷻ kepada mereka, mereka akan menjadi tenang pula. Masa ayat-ayat takhwif mereka jadi takut, dan semasa baca ayat-ayat tabshir, mereka jadi tenang pula.

Orang yang belajar tafsir sahaja yang boleh dapat menghayati ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayah Allah ‎ﷻ.

Ayat-ayat ‘tabshir’ adalah ayat-ayat tentang syurga, ayat-ayat yang memberi harapan kepada kita, tentang sifat Allah ‎ﷻ yang pemurah, pemaaf dan sebagainya iaitu ayat-ayat yang menggembirakan kita dan memberi ketenangan kepada kita.

ذَٰلِكَ هُدَى اللهِ

itulah hidayah dari Allah.

Kalau ada perasaan mahu taat kepada Allah ‎ﷻ, itulah hidayah dari Allah ‎ﷻ. Maka untuk tahu apakah yang perlu ditaati, kenalah belajar wahyu terutama sekali Al-Quran itu.

Al-Quran itulah hidayah dari Allah ‎ﷻ untuk memandu kita. Kita setiap hari akan meminta hidayah dari Allah ‎ﷻ dalam bacaan Fatihah dalam solat. Allah ‎ﷻ telah beritahu yang hidayah yang kamu minta itu ada dalam Al-Quran, maka kenalah belajar tafsir Al-Quran.

Kita selalu ingatkan belajar tafsir Al-Quran dalam penulisan ini kerana belajar tafsir tidak sama dengan belajar baca Al-Quran. Baca Al-Quran semua orang boleh buat dari kanak-kanak lagi tetapi itu belum bermaksud kita telah melakukan kewajipan untuk belajar Al-Quran. Kita kena belajar sampai kita faham apakah yang disampaikan dalam Al-Quran itu.

يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ

Allah akan memimpin dengan Al-Quran itu sesiapa yang Dia kehendaki.

Allah ‎ﷻ akan memimpin manusia kepada kebenaran dan kepada syurga dengan Al-Quran itu. Melalui belajar tafsir Al-Quran 30 juzuk ini akan mendorong mereka untuk belajar 6 kitab besar hadith (kutubus sittah).

Maka, dengan belajar Al-Quran dan kitab-kitab hadith ini, mereka sudah belajar kebanyakan daripada agama Islam. Mereka akan faham 99% daripada agama Islam.

Adapun orang-orang yang tidak belajar tafsir Al-Quran dan hanya belajar hadith sikit-sikit, maka mereka ini apabila menjadi ustaz, hanyalah tazkirah dan motivasi sahaja yang mereka boleh beri dan akan banyak pula buat silap dalam memberi tazkirah dan penyampaian ilmu.

Kesilapan yang dilakukan oleh anak murid mereka, mereka sendiri pun tidak tahu. Sepatutnya, merekalah yang memberitahu kesilapan yang telah dilakukan oleh anak-anak murid, tetapi kerana mereka tidak tahu, maka mereka tidak dapat memberitahu kepada jemaahnya.

Jadi bagaimana seorang ustaz itu hendak mengajar kalau dia sendiri pun tidak belajar Al-Quran? Tidak belajar tafsir 30 juzuk dan Sunnah? Kebanyakan mereka hanya belajar Al-Quran sikit-sikit dari pembacaan sahaja dan sikit-sikit hadith Nabi ﷺ yang kebanyakannya mereka tafsir sendiri sahaja.

Mereka tidak bersungguh dalam belajar agama, iaitu belajar yang mana yang mereka berkenan sahaja. Jadi mereka hanya boleh memberi tazkirah ataupun motivasi sahaja.

وَمَنْ يُضْلِلِ اللَهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada lagi kuasa lain lagi yang boleh beri hidayah kepada orang itu.

Ini adalah peringkat ‘Khatmul Qalbi’ – penutupan hati, iaitu apabila sudah sampai kepada peringkat Allah ‎ﷻ mengunci mati hati mereka dari menerima hidayah.

Apabila sudah sampai ke peringkat keempat ini, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh mengembalikannya kepada kebenaran. Tidak kira sama ada orang itu adalah tok guru atau tok wali atau sesiapa pun mahupun apa-apa kuasa lain yang boleh memberi hidayah kepada mereka, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja.

Allahu a’lam

2 KOMEN

  1. Assalamualaikum, adakah contoh mengharamkan apa yang dihalal seperti berpantang makanan selepas bersalin boleh di halusi ataupun diperbaiki kerana ada rasa keliru sedikit, sebab makanan yg di pantang semasa berpantang adalah diniatkan untuk mengelakkan kemudaratan seperti memakan makanan yg Sejuk seperti timun atau makanan berais untuk mengelak kan rasa Sejuk yang melampau . Begitu juga berpantang untuk tujuan kesihatan seperti pantang bagi orang kencing manis Dan darah tinggi.Bagi saya contoh paling terdekat mengharamkan apa yang halal ialah memilih cara hidup vegan, sedangkan haiwan boleh dimakan , tidaklah kita menzalimi binatang seperti diwar warkan veganlifestyle , dan tidak semata memakan sayuran sahaja.

Komen dan Soalan