Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Perbincangan: Perlukah berwudhu’ untuk memegang Mushaf Al-Quran

Perbincangan: Perlukah berwudhu’ untuk memegang Mushaf Al-Quran

901
0
Iklan

PERBINCANGAN PERLUKAH BERWUDHU’ UNTUK MEMEGANG MUSHAF AL-QURAN?

Ini adalah satu perbincangan yang banyak di kalangan umat Islam. Jadi, ada baiknya kita bincangkan di sini. Pertama, perlu dijelaskan dahulu apakah yang dimaksudkan dengan ‘mushaf’ itu sendiri.

Ia adalah Al-Quran tanpa terjemahan (Al-Quran semata). Maka, Al-Quran yang ada terjemahan, tidak termasuk dalam perbincangan ini kerana ia memang boleh dipegang walaupun tanpa wudhu’ dan ia tidak dikira sebagai mushaf. Ini kerana tulisan bukan Al-Quran lebih banyak dari tulisan Al-Quran. Jadi perbincangan kita adalah tentang mushaf sahaja.

📍Ulama’ berbeza pendapat sama ada perlu berwudhu’ untuk memegang mushaf. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa tanpa wudhu’ dilarang memegang mushaf. Ini berdasarkan hadith:

✍🏻Rasulullah ﷺ bersabda;
“Tidak boleh menyentuh Al-Quran itu orang yang dalam keadaan haidh atau pun dalam keadaan yang berjunub.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Syarah:
Hadith ini dikritik oleh sebahagian daripada ahli ilmu tentang kedudukan dan kesahihannya. Ada di antara mereka berpendapat boleh beramal dan ada yang berpendapat tidak boleh beramal dengannya. Perselisihan ini berlaku di kalangan ulama’ ahli sunnah yang disebut sebagai khilaf.

✍🏻Ada juga yang berdalil dengan ayat Al-Quran bermaksud;
“Tidaklah boleh menyentuhnya melainkan makhluk yang disucikan.”
[ Al-Waqiah: 77 ]

Tafsir:
Penggunaan dalil ini juga dikritik kerana dhamir nya itu tidak kepada Al-Quran tetapi kepada Lauhul Mahfuz. Dan ‘mutahharun’ yang dimaksudkan adalah ‘para malaikat’. Lagi pun, ayat ini adalah ayat khabar, bukan ayat perintah. Maknanya, kalimah ‘la’ dalam ayat ini bermaksud ‘tidak’, bukannya ‘jangan’.

Ini kerana kalau kita katakan ia bermaksud ‘jangan’, maka ramai sahaja yang tidak akan ambil peduli dengan arahan ini, kerana mereka orang kafir, contohnya.

Selain itu tidaklah ayat ini mengatakan manusia yang tidak suci, tidak mampu menyentuh Al-Quran. Kalau begitu, ayat ini tidaklah benar, kerana ramai orang kafir yang senang sahaja kalau mereka hendak menyentuh Al-Quran.

Maka seperti yang kita sebutkan sebelum ini, yang tidak boleh disentuh adalah kitab Lauhul Mahfuz dan sesiapa pun tidak boleh menyentuhnya melainkan para malaikat yang menguruskannya.

✍🏻Ini dikuatkan lagi dengan hadith yang mengatakan orang mukmin tidak najis.

Dalil hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ لَقِيَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي طَرِيقٍ مِنْ طُرُقِ الْمَدِينَةِ وَهُوَ جُنُبٌ فَانْسَلَّ فَذَهَبَ فَاغْتَسَلَ فَتَفَقَّدَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا جَاءَهُ قَالَ أَيْنَ كُنْتَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَقِيتَنِي وَأَنَا جُنُبٌ فَكَرِهْتُ أَنْ أُجَالِسَكَ حَتَّى أَغْتَسِلَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُبْحَانَ اللَّهِ إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَا يَنْجُسُ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه,bahawasanya dia pernah bertemu Rasulullah ﷺ di jalan di kota Madinah ketika dalam keadaan junub, kemudian Abu Hurairah pergi secara sembunyi-sembunyi untuk mandi, maka Rasulullah ﷺ mencarinya. Tatkala Abu Hurairah datang. Rasulullah ﷺ bertanya, “Dari mana engkau, wahai Abu Hurairah?” Abu Hurairah menjawab, “Ya Rasulullah ﷺ ! engkau menjumpaiku ketika aku sedang junub, maka aku tidak ingin duduk bersama engkau sebelum aku mandi.” Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda, “Subhanallah! Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis. “
(Muslim 1/194)

📌Kita sekarang berbincang bab hukum
Adakah boleh memegang mushaf tanpa wudhu’?

Jawapannya:
Boleh, akan tetapi kita amat menganjurkan berwudhu’ sebelum memegang mushaf kerana ada pendapat ulama’ yang mengatakan tidak boleh memegang mushaf tanpa wudhu’ dan kita menghormati pendapat mereka. Selain itu, apabila kita melatih diri untuk mengambil wudhu’ sebelum menyentuh Al-Quran, maka ia juga melatih kita untuk menghormati Al-Quran.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan