Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat ke-17 hingga ke-20

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat ke-17 hingga ke-20

497
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat ke-17

Ayat Tabshir (berita gembira) pula diberikan setelah diberikan dengan ayat-ayat takhwif. Apabila sudah belajar dan amalkan amalan yang soleh, inilah yang akan diberikan kepada mereka yang mengamalkannya.

وَالَّذينَ اجتَنَبُوا الطّٰغوتَ أَن يَعبُدوها وَأَنابوا إِلَى اللهِ لَهُمُ البُشرىٰ ۚ فَبَشِّر عِبادِ

Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan; oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu

وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطّٰغُوتَ

Dan orang orang yang menjauhi taghut

Bila sudah dengar ayat-ayat takhwif itu, patutnya takutlah dan jauhilah taghut itu. ‘Taghut’ itu adalah apa sahaja yang dipuja dan disembah selain Allah ﷻ. Perkataan الطَّاغُوتَ itu berasal dari kata tagha yang bermaksud ‘menentang’.

Kalimah الطَّاغُوتَ itu merujuk kepada sesuatu yang hidup, bukanlah macam jenis patung berhala yang tidak bernyawa. Ia adalah sesuatu yang boleh berkomunikasi dengan manusia dan yang mengajak manusia untuk menentang hukum-hukum Allah ﷻ.

Ada jenis الطَّاغُوتَ yang boleh dilihat seperti Firaun, pemimpin-pemimpin masyarakat dan pemimpin-pemimpin agama – iaitu mereka yang ada kuasa atas kita atau mereka yang boleh menguasai pemikiran kita. Satu lagi kriteria taghut itu adalah mereka mempunyai kuasa ke atas makhluk.

Namun, ada juga jenis الطَّاغُوتَ yang tidak boleh dilihat seperti sifat tamak, nafsu, kemalasan dalam diri kita dan sebagainya yang juga mengajak kita untuk tidak turut kepada Allah ﷻ.

Maka, jauhilah taghut dan sebaliknya tuju kepada Allah ﷻ. Kena kenalpasti dulu manakah taghut dalam hidup kita. Kena tengok apakah yang menjauhkan kita dari Allah ﷻ?

أَنْ يَعْبُدُوهَا

dari menyembah padanya.

Menjauhi dari menyembah dan menyeru dan percaya dan sebagainya – jauhkan sungguh-sungguh dari taghut. Janganlah kita sembah taghut. Ada manusia yang menjadikan taghut-taghut itu sebagai perantara antara mereka dan Allah ﷻ.

Maka, untuk menjadikan mereka sebagai perantara, mereka akan menyembah taghut itu. Itu adalah perbuatan kufur. Oleh itu, jangan bertawasul dalam doa. Kalau kita pernah buat sebelum ni, maka berhentilah daripada terus melakukannya lagi.

Doa kena terus kepada Allah ﷻ sahaja. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh mendengar doa kita dan boleh memakbulkan doa kita. Tidak perlu buat ibadat kepada selain Allah ﷻ dengan harapan untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ.

وَأَنَابُوا إِلَى اللهِ

dan mereka ingin kembali kepada Allah.

Kemudian mereka mencari dan mendekati Allah ﷻ. Inilah manusia yang ada inabah dalam diri mereka iaitu ada keinginan dalam diri mereka untuk kembali kepada Allah ﷻ.

Maknanya bukan sahaja kena tinggalkan taghut, tetapi kena diteruskan dengan kembali kepada Allah ﷻ. Kena ada nafi dan ithbat. Maksudnya kena tolak sesuatu dan tetapkan sesuatu.

Seperti kita mengucap la ilaaha illa Allah. Tolak ilah-ilah selain Allah ﷻ dan tetapkan hanya Allah ﷻ sahaja ilah (inilah nafi dan ithbat). Jadi ayat ini mengajar kita mesti tinggalkan yang buruk dan buat yang baik pula.

Jangan tinggalkan taghut tetapi tidak buat apa-apa pula dalam menuju kepada Allah ﷻ. Maka kepada mereka yang dapat menolak taghut-taghut itu, Tuhan berfirman kepada mereka:

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ

hanya bagi mereka berita gembira,

Iaitu apabila mereka dibangkitkan selepas mati, mereka dapat keampunan dan masuk syurga dan mereka berpeluang untuk bertemu dengan Allah ﷻ.

Kalau ada terniat dalam hati kita hendak bertaubat, tetapi tidak lafazkan lagi pun Allah ﷻ sudah ampunkan. Kemudian Allah ﷻ memberi pahala lagi sebab bertaubat.

فَبَشِّرْ عِبَادِ

Oleh itu, gembirakanlah hamba-hambaKu.

Allah ﷻ menyuruh Nabi Muhammad ﷺ untuk memberi berita gembira kepada hamba-hamba-Nya yang ada sifat baik itu.

Tafsir Ayat ke-18

Siapakah yang akan mendapat berita gembira itu? Sifat mereka disebut dalam ayat ini:

الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ

Yang mendengar perkataan

Pendapat yang kuat mengatakan ‘perkataan’ yang dimaksudkan adalah Al-Quran.

Jadi berita gembira diberikan kepada mereka yang mampu menumpukan perhatian kepada Al-Quran yang dibacakan kepadanya. Ini kerana kalimah الْقَوْلَ ditafsirkan sebagai Al-Quran. Mereka tawajjuh apabila Al-Quran dibacakan.

Untuk memahami Al-Quran, kenalah belajar tafsir Al-Quran dahulu. Ini kerana kalau setakat dengar bacaan sahaja tetapi tidak faham langsung apa yang dibaca, maka ini tidaklah menepati kehendak Allah ‎ﷻ.

Marilah belajar tafsir kerana bukan susah pun untuk memahami Al-Quran ini. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak kita faham apa yang kita dengar. Maka Allah ‎ﷻ akan permudahkan urusan kita untuk memahami Al-Quran ini kalau kita ada usaha untuk memahaminya.

Kalimah الْقَوْلَ juga boleh ditafsirkan untuk perkataan lain juga. Contohnya, ia boleh bermaksud dakwah dari pendakwah-pendakwah. Mereka yang beriman akan mendengar dengan teliti dakwah yang disampaikan dengan fikiran yang waras dan iman yang sedia.

Amat penting kita mendengar ajaran dari manusia dengan fikiran yang kritis. Tidaklah kita hanya ikut sahaja apa-apa yang disampaikan tanpa usul periksa.

Maka orang yang mendapat berita gembira itu tidak taqlid buta sahaja seperti kebanyakan dari masyarakat Islam kita: apa sahaja kata dari ustaz, mereka terus terima sahaja tanpa usul periksa. Ini kerana mereka sangka, ustaz itu tentulah betul sedangkan tidaklah semestinya begitu.

فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ

lalu mereka menurut yang terbaik;

Maka selepas dia mendengar الْقَوْلَ itu, dia mengikuti apa yang terbaik dari kata-kata itu tetapi apakah yang terbaik itu?

Ini kerana kalimah أحسن digunakan dalam ayat ini. Satu pendapat mengatakan semua di dalam Al-Quran itu adalah baik, maka semua ayat Al-Quran. Ini kerana ayat-ayat Al-Quran disebut sebagai أحسن الحديث di dalam ayat yang lain.

Namun begitu ada juga pendapat yang lain, iaitu dia mendengar ayat-ayat Al-Quran dibacakan, dia ikut pula yang ‘terbaik’ daripada ayat-ayat itu. Ada ulama’ mengatakan ia bermaksud ayat-ayat tentang tauhid, kerana itulah yang terbaik sekali yang ada di dalam Al-Quran.

Selain tentang tauhid, terdapat lagi ayat-ayat lain tentang perkara-perkara sunat dan tentang amalan-amalan fardhu dan sebagainya. Mereka memilih yang ‘terbaik’ kerana anjuran di dalam , Al-Quran ada yang berbentuk memberi pilihan kepada umat Islam.

✍🏻Sebagai contoh, lihat [ Nisa: 25 ]

وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُم مِّن فَتَيَاتِكُمُ الْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَانِكُم بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ مُحْصَنَاتٍ غَيْرَ مُسَافِحَاتٍ وَلَا مُتَّخِذَاتِ أَخْدَانٍ فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَاحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنَاتِ مِنَ الْعَذَابِ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنكُمْ وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba – abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ memberi pilihan dalam ayat ini di mana disebut di hujungnya وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ (dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu). Maka ada pilihan di situ.

Termasuk juga dalam hal ini adalah tentang halal dan haram – dan banyak lagi perkara lain yang terdapat dalam Al-Quran itu – Untuk mengetahuinya, kenalah kita membacanya dan memahaminya dengan belajar tafsir.

Apabila kita sudah memahaminya, bukanlah kita setakat faham sahaja, tetapi hendaklah kita mengamalkannya dalam kehidupan kita. Kita hendaklah mencuba sedaya upaya kita untuk mengamalkan perkara yang kita sudah tahu. Allah ‎ﷻ mengira mengikut usaha kita.

Makna kedua dari ayat ini, kita hendaklah memilih kata-kata yang baik dari segala kata-kata yang kita dengar. Kita akan banyak mendengar dari guru-guru tentang pelajaran agama. Ada yang masuk dalam suratkhabar dan TV, malah ada yang ustaz mengajar di surau-surau dan masjid kawasan kita.

Berbagai-bagai jenis ustaz dan guru yang ada dan kadang kala apa yang mereka ajar itu berlawanan antara satu sama lain. Ada yang benar dan mungkin ada yang tidak benar. Jadi, mana satu yang hendak kita ikut?

Kita faham bahawa masyarakat kita yang kurang ilmu agama akan mudah keliru kerana percanggahan pengajaran yang ada dalam kuliah ustaz-ustaz itu. Kita hendaklah pandai memilih yang ‘terbaik’ dari semua ajaran-ajaran itu. Kalau benar kita terima, kalau tidak benar, maka wajib kita tolak.

Untuk kita tahu manakah yang benar dan manakah yang salah, maka kita hendaklah menambah ilmu kita. Maka ilmu yang terbaik sekali adalah ilmu Al-Quran dan Hadith sahih. Secara asasnya, kalau guru yang mengajar itu membaca dalil dari Al-Quran dan Hadith sahih, maka itu boleh diterima. Namun, kalau mereka mengajar dengan mengambil dalil dari bukan Al-Quran dan Hadith, maka kita kenalah berhati-hati.

Maka, inilah salah satu maksud ayat ini, iaitu kita hendaklah pandai memilih manakah kebenaran. Cuma yang kita takut adalah: masyarakat awam yang sampai menolak kesemua sekali. Mereka mungkin melihat ada percanggahan antara ‘orang-orang agama’ itu dan mereka membuat konklusi bahawa di kalangan ahli agama pun tidak sekata, maka mereka tolak semua. Ini adalah sesuatu yang amat bahaya sekali. Janganlah kita jadi begitu.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدٰهُمُ اللَهُ

mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah

Kalau mereka boleh berbuat seperti yang telah disebut di atas, maka ini menunjukkan yang mereka telah mendapat hidayah. Kita selalu meminta hidayah dalam solat kita apabila kita membaca Al-Quran – maka Allah ‎ﷻ menjawab di dalam ayat ini bahawa hidayah itu adalah dalam Al-Quran. Maka, kenalah kita belajar Tafsir Al-Quran dengan sebaik-baiknya.

وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبٰبِ

dan mereka itulah orang-orang yang berakal waras.

Sekali lagi disebut tentang ulul albab. Mereka adalah orang-orang yang berfikiran waras, pandai, bijaksana kerana pandai memilih manakah yang benar dan manakah yang salah. Mereka menapis perkataan orang lain dengan Al-Quran dan Hadith yang sahih.

Tidaklah mereka mengikut sahaja apa kata orang lain, tidaklah juga mengikut sahaja amalan tok nenek mereka sahaja, tetapi mereka menggunakan akal mereka untuk membezakan manakah yang benar dan mana yang salah.

Mereka ini bukan jenis ikut sahaja tetapi ikut dengan akal. Mereka menggunakan akal mereka untuk membuat keputusan.

Tafsir Ayat ke-19

Bandingan kedua dan takhwif ukhrawi.

أَفَمَن حَقَّ عَلَيهِ كَلِمَةُ العَذابِ أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النّارِ

Maka adakah orang yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab (disebabkan kekufurannya, sama seperti orang yang dijanjikan bergembira dengan balasan imannya? Sudah tentu tidak! Oleh itu adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam neraka?

أَفَمَنْ حَقَّ عَلَيْهِ كَلِمَةُ الْعَذَابِ

Apakah sama satu orang yang telah ditetapkan oleh Allah akan diberi azab,

Ini adalah soalan perbandingan lagi yang ditanya oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah stail surah ini. Ada soalan tetapi tidak diberikan jawapannya kerana Allah ‎ﷻ hendak kita memikirkan jawapannya sendiri.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Adakah sama orang itu dengan orang yang dijanjikan kegembiraan dengan balasan amal mereka? Tentulah tidak. Ayat ini adalah ayat Tasliah untuk Nabi ﷺ dan penyebar agama iaitu ayat untuk memujuk hati Nabi ﷺ dan penyeru tauhid.

Nabi Muhammad ﷺ berasa sedih kerana ada yang tidak menerima dakwah baginda. Maka Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa ada manusia yang telah ditaqdirkan memang akan memasuki neraka.

Nabi ﷺ tidak dapat mengubah mereka walau bagaimana pun baginda dakwah kepada mereka. Nabi ﷺ sedih kerana setelah berbagai cara baginda lakukan untuk dakwah kepada kaumnya, namun masih ramai lagi yang tidak mahu beriman.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk memberi hidayah kepada mereka. Hidayah itu hanya datang dari Allah ‎ﷻ. Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah. Kita pun tidak dapat memberi hidayah kepada orang lain – termasuk mereka yang kita sayang. Kita hanya boleh menyampaikan dakwah sahaja.

Namun begitu, hendaklah kita ingat, kita tidak tahu siapakah yang akan diberi hidayah oleh Allah ‎ﷻ. Jangan kita lihat seseorang itu teruk sangat, sampai kita buat keputusan orang itu tidak akan mendapat hidayah. Oleh kerana kita tidak tahu sama ada dia akan mendapat hidayah ataupun tidak, kenalah kita terus memberi dakwah kepadanya.

Kemungkinan awalnya, orang yang didakwahkan itu tidak mahu mendengar dan menerima dakwah kita, tetapi mana tahu, lama kelamaan Allah ‎ﷻ akan buka hatinya. Hendaklah kita ingat kisah Abu Sufyan. Lihatlah bagaimana bertahun-tahun dia menentang Nabi ﷺ, tetapi akhirnya dia telah masuk Islam.

أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النَّارِ

apakah kamu boleh menyelamatkan orang yang ditakdirkan masuk api neraka?

Bolehkah kita menyelamatkan orang itu yang telah ditaqdirkan akan masuk neraka? Tentu tidak boleh, walau Nabi ﷺ sekalipun tidak ada qudrat untuk mengubahnya. Apatah lagi kita, lagilah langsung tidak ada kekuatan dan usaha. Kita bukannya menjaga syurga dan neraka.

Bukan kita yang membuat keputusan sama ada orang itu masuk syurga ataupun neraka. Kita cuma boleh menasihati sahaja kepadanya semasa kita hidup di dunia. Kita tidak berupaya untuk beri hidayah. Nabi ﷺ sendiri pun tidak boleh memberi hidayah. Perkara yang hanya boleh Nabi ﷺ dan kita buat adalah menyampaikan ajaran agama sebenar-benarnya.

Namun, ayat ini bukanlah untuk menghalang kita dari berdakwah kepada seseorang. Jangan pula kita membuat keputusan yang orang itu sudah ditaqdirkan masuk neraka jadi buang masa sahaja kalau kita dakwah kepadanya.

Kita kena faham yang kita tetap kena dakwah kepada semua orang. Jangan pilih-pilih kerana kita tidak tahu siapa yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan masuk neraka. Ini adalah perkara ghaib yang Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu.

Malah, kalaupun orang itu sudah ditaqdirkan masuk neraka dan tidak akan beriman walau kita dakwah bagaimana cara sekalipun, kita tetap mendapat pahala apabila kita berdakwah kepadanya. Sama ada dia terima ataupun tidak, kita tetap dapat pahala.

Bukan sahaja kita akan mendapat pahala, ia akan memberi kekuatan tambahan kepada kita. Ini kerana setiap kali kita berdakwah, kita akan diberikan dengan pemahaman tambahan, kekuatan tambahan. Memang tidak rugi berdakwah kalau begitu.

Tafsir Ayat ke-20

Ayat Tabshir

لٰكِنِ الَّذينَ اتَّقَوا رَبَّهُم لَهُم غُرَفٌ مِّن فَوقِها غُرَفٌ مَّبنِيَّةٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ وَعدَ اللهِ ۖ لا يُخلِفُ اللَهُ الميعادَ

Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.

لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ

Akan tetapi, bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka,

Taqwa adalah menjaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Untuk mengetahui hukum, kenalah belajar dahulu dan tahu apa yang Allah ‎ﷻ kehendaki dari kita.

Selain itu kena belajar tafsir Al-Quran dan kemudian belajar sunnah. Ramai yang kata mereka bertaqwa, tetapi adakah mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan?

لَهُمْ غُرَفٌ مِّنْ فَوْقِهَا

bagi mereka tingkatan-tingkatan di atasnya

Allah ‎ﷻ menjanjikan mahligai untuk mereka yang bertaqwa. Mereka akan diberikan mahligai istana yang hebat dan tinggi bertingkat-tingkat. (Dalam riwayat ada disebut ia setinggi 70 batu tingginya dan bertingkat-tingkat bilik-bilik itu).

Semua bilik itu untuk ahli syurga. Perkara ini kita boleh bayangkan sekarang kerana sudah banyak bangunan yang bertingkat-tingkat tinggi, bukan? Bagi orang Mekah waktu itu, mungkin susah untuk bayangkan, jadi ini adalah kelebihan pada kita.

غُرَفٌ مَّبْنِيَّةٌ

tingkat-tingkat yang dibina kukuh

Tentulah kualiti mahligai pemberian Allah ‎ﷻ itu begitu hebat sekali, tidak dapat dibayangkan. Tidaklah seperti istana di dunia ini. Betapa hebat pun, tentu ada kelemahan dan kekurangan.

تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai

Sungai-sungai yang mengalir mengikut perintah penghuni syurga itu, dia boleh susun aliran air sungai itu mengikut kemahuannya. Sama ada dia hendakkan air sungai itu mengalir mengikut dari atas turun ke bawah, keluar ke bawah dan sebagainya.

Sungai itu pula berjenis-jenis. Dalam ayat lain ada disebut sungai itu ada empat jenis: sungai dari madu, dari arak, dari susu dan dari air. Teringin minum sahaja, sudah ada di bawah kaki kita, pakai ambil sahaja.

وَعْدَ اللهِ ۖ

Inilah janji Allah.

Allah ﷻ telah menjanjikan kepada mereka yang bertaqwa untuk memberi semangat kepada manusia. Janji Allah ‎ﷻ bukan seperti janji manusia. Kalau manusia berjanji, belum tentu lagi dia akan tunaikan.

Ada yang tidak tertunai janjinya. Sama ada dia memang tidak mahu menunaikan janjinya itu, atau kalau dia mahu tunaikan, dia tidak mampu untuk melakukannya kerana qudrat bukan di tangannya.

لَا يُخْلِفُ اللَهُ الْمِيعَادَ

Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji

Allah ‎ﷻ tidak akan memungkiri janji-Nya, asalkan kita berpegang kepada janji kita untuk taat dan bertaqwa kepada-Nya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan