Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.18 AL-MUSOHHAF

02.18 AL-MUSOHHAF

543
0
Iklan

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum, saya kongsikan nota seterusnya..

#040717 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.18 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

AL-MUSOHHAF (المصحَّف)

Dari sudut bahasa, ia berasal dari perkataan at-Tashif (التصحيف) iaitu mengubah perkataan pada bacaan atau tulisan.

Ada yang mengatakan bahawa ia merujuk kepada perubahan kedudukan huruf, atau perubahan salah satu huruf kepada huruf lain yang menyerupainya yang berpunca dari kesilapan ketika membacanya.

Adapun secara istilah, ia bermaksud apa-apa perkataan atau huruf yang berubah, dalam keadaan bentuk tulisannya tidak jauh berbeza. Ia boleh berlaku pada sanad dan juga matan.

Contoh:

‘Abdullah meriwayatkan daripada ayahnya, Ahmad ibn Hanbal, (katanya:)

حدثنا أبو قطن عن شعبة عن العوام بن مراجم فقال له يحيى بن معين إنما هو بن مزاحم

Abu Qatn memberitahu kami, (riwayatnya) daripada Syu’bah, daripada al-‘Awwam ibn Muraajim.

Lalu Yahya ibn Ma’in menegurnya menyebut: Dia adalah Ibn Muzaahim.

فقال أبو قطن عليه وعليه أو قال ثيابه فيء المساكين إن لم يكن بن مراجم

Abu Qatn menyebutkan bahawa pakaiannya akan menjadi harta orang miskin, sekiranya namanya bukan Ibn Muraajim.

فقال يحيى حدثنا به وكيع وقال بن مزاحم فقلت أنا حدثنا به وكيع فقال بن مراجم فسكت يحيى

Kemudiannya Yahya menyebutkan: Waki’ telah menceritakan riwayat ini kepada kami dan dia menyebutkan Ibn Muzaahim.

Lalu aku menjawab: Waki’ juga telah telah menceritakan riwayat ini kepada kami, malah dia menyebutkan Ibn Muraajim.

Yahya pun diam.

قال أبي حدثنا يحيى عن شعبة عن العوام بن مراجم وهو الصواب

(Abdullah menyambung) Ayahku berkata: Yahya menceritakan kepada kami daripada Syu’ab, daripada al-‘Awwam ibn Muraajim, dan (sebutan) itulah yang benar.

[al-‘Ilal wa Ma’rifatir-Rijal]

Di atas ini merupakan contoh tashif yang berlaku pada sanad, yang merupakan kesilapan oleh periwayat sendiri.

Adapun contoh tashif yang berlaku pada matan, adalah pada hadits berikut,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ شَيْئًا مِنْ شَوَّالٍ

Perkataan asalnya adalah سِتًّا telah tertukar oleh salah seorang periwayat, Abu Bakr as-Shuli, menjadi شَيْئًا.

Hukum hadits Mushohhaf:

Tidak dibenarkan sengaja melakukan tashif terutama pada matan hadits kerana ia mengubah makna hatta mempengaruhi ketetapan hukum.

Sekiranya ia berlaku tanpa disengajakan oleh seseorang periwayat dan jumlah tashif yang sangat sedikit, maka kredibiliti inteleknya tidak ditolak atau direndahkan, kerana tiada periwayat yang selamat dari kesilapan-kesilapan kecil.

Adapun sekiranya ia berulang kali berlaku dengan banyak, maka penilaiannya dari sudut kredibiliti intelek dan hafalannya direndahkan sebagai lemah.

Ibn Katsir (w.774H) menyebutkan:

وأكثر ما يقع ذلك لمن أخذ من الصحف، ولم يكن له شيخ حافظ يوقفه على ذلك

Kebanyakan yang tersilap melakukan tashif ini adalah yang mengambil dari kitab-kitab hadits secara langsung dalam keadaan dia tidak mempunyai guru yang hafiz untuk dia periksa hadits-hadits yang diriwayatkan.

[al-Baa’its al-Hatsis]

Di antara penulisan yang menyentuh khusus tentang perbuatan tashif ini:

* Tashifaat al-Muhadditsin, karangan Abu Ahmad al-‘Askari (w.382H)
* Islah Ghalath al-Muhadditsin, karangan al-Khatthaabi (w.383H)
* at-Tashif, karangan ad-Daraquthni (w.385H)

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi, Cet. ke-6, m/s 250-251.

__

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Komen dan Soalan