Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-9 dan Ke-10

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-9 dan Ke-10

5870
0
Iklan

Tafsir Ayat ke-9

Ayat Tabshir.

Allah ﷻ hendak bandingkan dua jenis kumpulan manusia. Orang syirik ada cara hidup dia dan orang tauhid ada cara hidup dia pula. Tidak sama antara kehidupan mereka. Allah ﷻ memberi berita baik kepada mereka yang berbuat baik. Allah ﷻ memberi semangat itu kepada kita supaya kita amalkan cara hidup tauhid itu.

أَمَّن هُوَ قٰنِتٌ ءآناءَ اللَّيلِ ساجِدًا وَقائِمًا يَحذَرُ الآخِرَةَ وَيَرجو رَحمَةَ رَبِّهِ ۗ قُل هَل يَستَوِي الَّذينَ يَعلَمونَ وَالَّذينَ لا يَعلَمونَ ۗ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Soalan Tuhan kepada kita semua:

أَمَّنْ هُوَ قٰنِتٌ ءآنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ

Apakah satu orang yang bangun berdiri teguh waktu malam, kadang-kadang sujud, kadang-kadang berdiri, kerana takut dia akan akhirat

Stail surah ini adalah Allah ﷻ akan bertanya kepada kita, tetapi Allah ﷻ tidak memberikan jawapannya kepada kita supaya kita boleh mencari jawapan itu sendiri. Kita kena fikirkan dalam-dalam.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ membandingkan seorang yang beribadat pada malam hari dengan orang yang sifatnya telah diterangkan sebelum ini – tidak ingat Allah ﷻ apabila dalam keadaan senang, tetapi apabila susah, barulah kelam kabut hendak membuat ibadat.

Kalimah قانت dalam ayat ini kalau dibandingkan dengan ayat [ Baqarah: 238 ] bermaksud seorang yang khusyuk di dalam solatnya. Dia pandang satu tempat sahaja dan tidak melihat ke kiri kanan. Fikirannya tertumpu kepada Allah ﷻ dan solatnya. Kalimat ءاناء اليل bermaksud sebahagian dari malam sama ada awal, pertengahan atau hujungnya.

Allah ﷻ membandingkan dengan sifat seorang mukmin yang sentiasa ingat dan beribadat kepada Allah ﷻ, sama ada dalam keadaan senang atau susah. Dia bermunajat kepada Allah ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah diejek golongan kuffar untuk bergembiralah selagi mereka boleh. Maka, sekarang Allah ﷻ hendak tanya kepada mereka, kamu baikkah atau orang-orang yang akan disebut nanti? Kenapa Allah ﷻ sebut ‘sujud’ dahulu sebelum qiyamullail dalam ayat ini? Ini kerana hamba paling hampir dengan Allah ﷻ dalam solat adalah semasa sujud. Maka didahulukan yang utama dahulu.

Allah ﷻ juga tidak sebut apakah kesan dari amalan orang itu. Ini kena diisikan oleh pembaca Al-Quran. Ulama tafsir mengatakan maksud Allah ﷻ adalah: mereka yang berdiri mendirikan solat pada malam hari itu akan masuk syurga cuma tidak disebutkan dalam ayat ini. Kita kena faham sendiri berdasarkan pemahaman dari ayat-ayat yang lain.

Dia beribadat kerana dia takut. Kenapakah orang yang mendirikan solat pada malam hari itu takut? Apakah yang dia takut? Dia takut azab dari Allah ﷻ sekiranya dosa dia tidak diampun kerana kita sendiri tidak pasti sama ada dosa yang kita lakukan itu Allah ﷻ akan ampunkan atau tidak. Memang kita sudah minta ampun, tetapi adakah Allah ﷻ akan terima taubat kita itu?

Kita tidak pasti kerana itu adalah perkara ghaib dan kita tidak tahu perkara ghaib. Ini kerana kalau Allah ﷻ tidak terima, alangkah malangnya kita nanti kerana akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu – tidak tahu berapa lama.

Perumpamaannya kalau kita bawa kereta di kawasan yang kita tahu ada kamera yang akan ambil gambar kereta yang laju. Maka dalam keadaan begitu, tentulah kita akan memandu dengan berhati-hati dan tidak bawa dengan laju, bukan? Maka begitulah kalau kita sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita – kita tentu tidak berani hendak membuat dosa dan buat salah.

Oleh itu, ayat ini mengajar kita bahawa dalam kehidupan kita, hendaklah kita ada rasa takut kepada akhirat. Sentiasa kita ingat bahawa kita akan mati dan akan dibangkitkan kelak. Kalau kita rasa senang hati sahaja, tentu kita tidak bersungguh dalam beramal ibadat dan menjaga agama kita.

وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

dan dia mengharap rahmat Tuhan

Dalam masa yang sama, dia berharap semoga dia dapat masuk syurga. Ini kerana kita tidak dapat masuk syurga dengan amalan ibadat kita tetapi dengan rahmat Allah ﷻ sahaja. Alamat orang yang hampir dengan Allah ﷻ adalah dia akan berharap kepada Allah ﷻ.

📍Jadi ada dua sifat yang telah disebut: takut dan harap (khauf dan raja’). Dua sifat ini selalu disebut berulang-ulang dalam Al-Quran kerana ia amat penting. Dua-dua perkara ini kena ada dalam jiwa kita. Jangan salah satu terlebih dan terkurang. Kena seimbang.

Dalam ayat ini ada soalan yang dihazafkan: adakah sama orang yang buat begitu dengan orang yang tidak buat begitu? Tentulah tidak sama.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Katakanlah: adakah sama seorang yang mengetahui dengan seorang yang tidak tahu?

Ini adalah satu lagi soalan yang Allah ﷻ tanya tetapi Allah ﷻ tidak jawab, maka kita kena jawab sendiri. Adakah sama orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu? Tahu apa? Dalam tafsir, disebut ‘tahu’ yang dimaksudkan adalah ‘tahu tentang Allah ﷻ’.

Oleh kerana tahu tentang Allah ﷻ lah yang menyebabkan manusia boleh buat amal dan dalam hati dia ada takut dan harap, dan manusia juga tahu tentang wahyu. Mereka tahu kerana mereka belajar, bukannya buat-buat tidak tahu sahaja. Tentulah tidak sama orang yang belajar Al-Quran dan hadith dan orang yang tidak belajar.

Ini kerana orang yang tahu wahyu akan tahu tentang Hari Akhirat. Maka orang yang tahu tentang Hari Akhirat tidak sama dengan orang yang tidak tahu. Ini kerana apabila kita tahu sesuatu perkara itu benar dan besar, tentulah kita akan mengambil tindakan. Tentulah orang yang tahu dan yakin tentang akhirat akan buat persediaan kepada akhirat itu.

Sebagai contoh, kalau kita dapat tahu dari media bahawa kawasan tempat kita akan banjir, tentulah kita akan ambil tindakan – mungkin kita akan pindah. Begitu juga dengan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat. Mereka akan mengambil tindakan untuk menjalani kehidupan di dunia ini mengikut lunas-lunas Islam.

Kepada mereka yang tidak tahu, atau hanya tahu sedikit sahaja, mereka tidak buat apa-apa, macam Hari Kiamat itu tidak akan terjadi sahaja atau mereka rasa mereka akan selamat sahaja, padahal belum tentu lagi.

Jadi, secara lebih khususnya, ayat ini adalah berkenaan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat dan mengambil tindakan untuk menyelamatkan diri mereka. Tidak sama antara mereka yang tahu dan mereka yang tidak tahu.

إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Yang hanya akan menerima peringatan ini hanyalah orang yang otak waras sahaja.

Orang yang mempunyai akal yang waras dan cerdik sahaja yang boleh terima peringatan dari Allah ﷻ. Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang tidak guna Al-Qur’an dan hadith dalam menjalani kehidupan mereka adalah orang yang tidak berakal waras. Ini kerana mereka tidak menggunakan akal untuk mencapai satu keputusan yang benar dan akan menyelamatkan diri mereka.

Tafsir Ayat ke-10

Ayat Tabshir. Setelah tahu kelebihan beramal ibadat, maka buatlah sesuatu. Kena ikhtiar kerana kejayaan tidak datang dengan mudah, dengan begitu sahaja.

قُل يٰعِبادِ الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقوا رَبَّكُم ۚ لِلَّذينَ أَحسَنوا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرضُ اللهِ وٰسِعَةٌ ۗ إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas).

Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

قُلْ يٰعِبَادِ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman,

Ini adalah perintah Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada orang-orang yang beriman dan kepada mereka yang telah beriman atas akidah tauhid.

اتَّقُوا رَبَّكُمْ

bertaqwalah kamu semua kepada Tuhan kamu semua,

Orang-orang yang telah beriman disuruh pula untuk bertaqwa. Ini menunjukkan bahawa iman dan taqwa itu tidak sama. Kalau seseorang itu beriman, belum tentu dia juga seorang yang bertaqwa. Namun, gunakanlah asas iman yang dia telah ada itu untuk naik lagi ke tahap taqwa.

Maksud bertaqwa itu adalah ‘jaga hukum Tuhan’. Ikut apakah suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.’ Termasuk dalam taqwa ini adalah takut kepada Allah ﷻ tetapi bukanlah bertaqwa itu hanya ‘takut’ sahaja. Malah lebih lagi kerana kalau ‘takut’ sahaja, perkataan ‘khauf’ lebih tepat.

Oleh itu, bertaqwa itu adalah sedar bahawa Allah ﷻ sentiasa melihat kita. Maka kerana kita yakin Allah ﷻ sedang melihat kita, maka kita akan berhati-hati dalam tindakan kita setiap hari. Kita akan jaga hukum dengan baik kalau tahu yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita.

Jika hendak buat apa-apa pun, kita akan tanya kepada diri kita: apa hukum perbuatan ini? Maknanya, dia jaga sungguh syariat yang Allah ﷻ telah sampaikan. Sama ada berkenaan hubungan dengan Allah ﷻ dan juga hubungan dengan manusia lain.

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا

bagi orang-orang yang berbuat baik,

Tanda seseorang itu bertaqwa adalah mereka juga akan menjalankan amal kebaikan yang disuruh dilakukan oleh Allah ﷻ. Mereka akan mengisi hidup mereka dengan amal ibadat.

Mereka mengelokkan amal mereka supaya jadi betul balik. Mana-mana kesilapan yang mereka telah lakukan dahulu, mereka buang dan mereka mengaku bahawa apa yang mereka lakukan dulu adalah salah berdasarkan Al-Quran dan hadith. Apa sahaja kebaikan yang mereka buat, mereka akan tambahbaik lagi ke arah kesempurnaan.

Jangan kita degil dengan Tuhan. Kalau sudah tahu bahawa sesuatu amalan dan fahaman itu salah, maka tinggalkan sahaja. Malangnya, ada yang masih berdegil walaupun mereka sudah tahu kesilapan mereka akan mengundang malapetaka di akhirat.

Perkataan ‘ihsan’ juga ditafsirkan sebagai maksud ‘ikhlas’ dalam ertikata, kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah ﷻ sahaja – kerana mengharapkan balasan dan kerana suruhan dari Allah ﷻ sahaja, dan bukan sebab lain.

فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ

Dalam kehidupan dunia ini, dia akan dapat kebaikan

Apabila seseorang Muslim itu berbuat kebaikan di dunia ini, dia akan mendapat kebaikan untuknya semasa di dunia lagi. Dia juga akan mendapat kebaikan untuknya di akhirat.

Allah ﷻ akan melapangkan dadanya dan memberikan ketenangan dalam dirinya. Dia akan tenang sahaja menjalani kehidupan dunia ini. Kebaikan di dunia ini bukanlah bermaksud kekayaan sahaja kerana kalau kaya harta tetapi tidak beriman, itu tidak baik sama sekali.

وَأَرْضُ اللهِ وٰسِعَةٌ

Dan bumi Allah itu luas,

Ayat ini merujuk kepada sahabat Nabi ﷺ yang tidak mahu berhijrah walaupun mereka telah ditindas di Mekah. Ia juga merujuk kepada muslim yang duduk dalam kawasan orang kafir, tetapi tidak mahu berpindah.

Kenapa Allah ﷻ sebut bumi-Nya luas? Kalau kita rasa sudah tidak boleh hendak membuat amal ibadat, maka eloklah kita pindah ke tempat lain yang lebih sesuai. Janganlah kita terpedaya dengan harta sampai menyebabkan tidak mahu pindah.

Janganlah kita terkenang sangat kepada kampung halaman sampai tidak mahu tinggalkannya untuk mencari kebaikan. Kadangkala tempat tinggal kita tidak kondusif untuk mengamalkan Islam dengan sempurna. Maka kenalah berpindah.

Ini penting kerana ada orang yang kalah dengan suasana sekeliling sampai tidak boleh beramal ibadat. Jangan jadikan suasana sebagai alasan tidak dapat beramal. Kalau guna alasan itu, tidak akan diterima.

Ayat ini sudah memberi isyarat kepada muslim di Mekah bahawa mereka akan berhijrah ke tempat lain. Ayat ini adalah isyarat kepada kebenaran untuk hijrah ke Habshah. Ini kerana kalau duduk di Mekah, tidak dapat mengamalkan agama dengan bebas.

Memang tidak ada ayat jelas suruhan dari Allah ﷻ untuk berhijrah, tetapi diberikan dengan isyarat sahaja. Oleh itu, beberapa sahabat telah berhijrah ke Habshah diketuai oleh Saidina Uthman رضي الله عنه.

Jadi, kalau kita duduk dalam kawasan yang tidak mengizinkan kita mengamalkan Islam dengan sempurna, maka kita kena tinggalkan tempat itu dan cari tempat lain.

Jikalau sudah duduk dalam kawasan orang Islam, kena hidupkan suasana Islam. Kena mulakan pengajian tafsir Al-Quran di tempat itu kerana umat Islam kena faham apakah yang disampaikan dalam Al-Quran.

Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana kalau kita tidak dapat mengamalkan agama kerana tempat kita tinggal itu tidak membenarkan, kita akan dipersalahkan dan tidak boleh menggunakan alasan itu untuk melepaskan diri.

Begitulah firman-Nya:

✍🏻Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu. (An-Nisa: 97)

Bagaimana pula dengan kita sekarang yang tinggal di Malaysia ini – hendak hijrah ke mana pula? Hijrah ke masjid kerana keburukan yang banyak terjadi itu adalah di luar rumah dan luar masjid. Maknanya, tempat yang terkawal adalah di rumah kita dan di masjid. Kalau di luar ada banyak sangat masalah, maka duduk di rumah sahaja, jangan duduk lepak di luar sangat.

Kalau di rumah dan di masjid juga tidak selamat, maka kenalah cari tempat lain pula – sepertimana juga orang Mekah kena hijrah ke Habshah dan juga ke Madinah kerana hendak menjaga agama mereka. Carilah kawasan banyak orang-orang baik yang dapat beri semangat kepada kita untuk beramal dengan sempurna.

إِنَّمَا يُوَفَّى الصّٰبِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Sesungguhnya akan dibalas orang-orang yang sabar dalam amal ibadat mereka tanpa hisab.

Kalau kita sabar, susah letih dalam amalkan agama itu, terutama dalam hijrah itu, akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah ﷻ. Jika kita hendak mengamalkan Islam dengan sebenarnya, memang akan terima tentangan dari mereka yang tidak sedia menerimanya.

Allah ﷻ memberitahu kita dalam ayat ini bahawa perjuangan dalam Islam adalah berat – memerlukan kesabaran yang tinggi dan ketabahan yang tidak kurang tetapi kesabaran mereka itu amat berbaloi.

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua:

Ada juga hadis yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka.

Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Jadi kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan dari Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu. Namun, balasan kesabaran tidak ada kadar dan kerana itu dibalas dengan mengalir terus balasannya tanpa kiraan.

✍🏻Riwayat itu dari Anas bin Malik:

“Sehingga berkeinginanlah orang-orang yang sihat-sihat sahaja di dunia kalau kiranya dulu badannya digergaji dipotong-potong, setelah mereka lihat bagaimana kelebihan dan keistimewaan yang akan diterima oleh orang-orang yang sabar menderita itu.”

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan