Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat ke-16 hingga ke-19

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat ke-16 hingga ke-19

351
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-16:

Tabshir Ukhrawi

أُولٰئِكَ الَّذينَ نَتَقَبَّلُ عَنهُم أَحسَنَ ما عَمِلوا وَنَتَجاوَزُ عَن سَيِّئَاتِهِم في أَصحٰبِ الجَنَّةِ ۖ وَعدَ الصِّدقِ الَّذي كانوا يوعَدونَ

Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

أُولٰئِكَ الَّذينَ نَتَقَبَّلُ عَنهُم أَحسَنَ ما عَمِلوا

Mereka ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan,

Allah ﷻ akan terima segala amalan mereka dan akan balas segala perbuatan baik mereka. Namun, Allah ﷻ akan beri gandaan mengikut kiraan amalan ‘terbaik’ mereka.

Sebagai contoh, kita telah melakukan seratus solat tetapi tidaklah semua solat kita itu markah penuh belaka. Ada yang kita lakukan secara sambil lewa sahaja. Allah ﷻ, dengan segala rahmat-Nya, akan kira seratus solat itu dengan mengikut kiraan markah yang paling tinggi sekali.

وَنَتَجاوَزُ عَن سَيِّئَاتِهِم

dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya;

Kesalahan yang banyak kita lakukan itu akan diampunkan semuanya. Kalimah وَنَتَجاوَزُ dari ج و ز yang bermaksud ‘abaikan’. Macam kita lalu satu kawasan tetapi kita tidak beri perhatian. Maka kalau Allah ﷻ kata Dia abaikan, maknanya Dia tidak hukum kita. Memang ada kesalahan dan dosa kita, tetapi Allah ﷻ abaikan sahaja.

Inilah yang kita harapkan sangat kerana kita dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa kita. Kalau tidak ada dosa, maknanya kita akan masuk syurga. Asalkan kita tidak melakukan dosa syirik.

في أَصحٰبِ الجَنَّةِ ۖ

dalam kumpulan ahli Syurga,

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini, kerana ayat ini nampak macam tidak lengkap sahaja. Maksudnya, mereka akan dimasukkan menjadi ahli syurga dengan mendapat segala nikmatnya.

وَعدَ الصِّدقِ الَّذي كانوا يوعَدونَ

sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

Semua itu Allah ﷻ beri kerana Allah ﷻ telah berjanji akan memberikannya kepada mereka yang taat, dan Allah ﷻ tidak memungkiri janji-Nya.

Ayat-ayat yang Allah ﷻ berikan kepada kita di atas adalah satu contoh keluarga yang baik. Inilah tauladan yang kita kena ikut. Ibu bapa yang mukmin, anak turut mukmin juga. Maka hendaklah kita berdoa semoga kita dimasukkan dalam kalangan mereka. Ameen.

Selepas ini Allah ﷻ akan beri contoh keluarga yang tidak baik pula. Maka dua-dua kita kena belajar. Satu kita kena ikut dan satu lagi kita kena tolak.

Tafsir Ayat ke-17

Ayat Syikayah

Sebelum ini telah disebut contoh ibu bapa dan anak yang baik. Sekarang diberikan contoh anak yang tidak baik pula. Ibu bapanya mengamalkan tauhid tetapi anaknya tidak beriman dengan tauhid dan mengamalkan syirik.

Jadi, ini adalah contoh seorang anak yang derhaka kepada ibu bapanya. Kita juga tahu teruknya orang begini kerana tidak mengenang jasa ibubapa sendiri. Allah ﷻ hendak mengajar kita, kalau degil dengan ibu bapa sudah teruk, maka degil dengan Allah ﷻ lagilah teruk kerana Allah ﷻ lebih banyak jasa-Nya kepada kita.

وَالَّذي قالَ لِوٰلِدَيهِ أُفٍّ لَّكُما أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ وَيلَكَ ءآمِن إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): “Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua! Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, padahal berbagai umat sebelumku telah berlalu (masih lagi belum kembali)? ” Sambil mendengar kata-katanya itu – ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah (menyelamatkan anak mereka) serta berkata (kepada anaknya yang ingkar itu): “Selamatkanlah dirimu! Berimanlah (tentang hidup semula menerima balasan amal)! Sesungguhnya janji Allah tetap benar”. Lalu ia menjawab (dengan angkuhnya): “Semuanya itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”

وَالَّذي قالَ لِوٰلِدَيهِ أُفٍّ لَّكُما

Dan orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya: “Ah! Bosan kamu berdua!

Kata-kata ini dikeluarkan oleh seorang anak kepada ibu bapanya. Dia kata dia sungguh bosan kerana dia rasa serabut mendengar nasihat agama daripada mereka berdua. Asyik-asyik kena nasihat, kena tegur apabila dia buat salah. Apabila dia tidak suka, keluarlah kata-kata kurang ajar itu.

Itu adalah kata permulaan bagi derhaka. Ibu bapa bagi nasihat tetapi dia tidak mahu terima. Sedangkan ibu bapa itu memberi nasihat kerana dia telah buat kesalahan dalam agama. Memanglah patut ibu bapa itu menasihatkan dia, tetapi dia pula yang tidak suka. Kalau ibu bapa pun tidak boleh nasihat, siapa lagi yang boleh nasihat?

Nota:
Tidak pasti siapakah individu yang dimaksudkan dalam ayat ini. Tafsir Ibn Kathir ada meriwayatkan beberapa riwayat yang menyebut salah satu pendapat yang mengatakan bahawa individu yang dimaksudkan adalah anak Saidina Abu Bakar رضي الله عنه, tetapi Ibn Kathir menolak hujah itu kerana ia tidak kuat. Jadi, kita gunakanlah ayat ini sebagai makna yang umum, tidak tertakluk kepada mana-mana individu. Tidak perlu kita kaitkan kepada mana-mana individu.

أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ

Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur,

Ini anak yang tidak percaya kepada kebangkitan semula. Walaupun ibubapa dia mengingatkan dia kepada hari akhirat, dia tidak percaya dan tidak suka diperingatkan. Ini adalah jenis ibu bapa yang baik, kerana mereka ingatkan anak tentang akhirat dan kepentingan agama.

Ibu bapa yang soleh tidak kisah hal lain, asalkan anak dia jadi baik dalam agama. Mereka tidak risaukan tentang kerja anaknya itu kerana tidak mengharapkan anaknya akan menanggungnya bila sudah tua nanti; atau jenis ibu bapa yang berbangga kalau anak mereka berjaya dalam kerjaya, kehidupan dan rupa kerana mereka hendak berbangga dengan anaknya itu.

Hanya yang mereka lebih pentingkan adalah agama anaknya itu. Biarlah tidak berjaya dalam kerjaya, asalkan berjaya dan faham dalam agama. Tentunya berlainan sekali dengan kebanyakan fahaman ibu bapa di dunia ini yang mahukan anak berjaya dalam dunia supaya mereka turut dapat hidup senang.

وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي

padahal berbagai generasi sebelumku telah berlalu?

Anak itu pun memberi alasan dan dia rasa pandai dengan hujahnya itu, tetapi bodoh sebenarnya. Dia kata orang sudah banyak yang lama mati, tetapi tidak ada pun yang hidup semula dan beritahu yang memang akhirat itu ada?

Ini adalah hujah yang bodoh kerana Allah ﷻ tidak pernah kata yang orang yang mati akan dihidupkan semula dalam dunia ini, tetapi kehidupan semula itu adalah selepas Hari Kiamat dan setelah alam bumi ini hancur.

وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ

ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah

Ibu bapanya berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberi taufiq untuk anak mereka. Mereka sudah tidak tahu hendak buat apa lagi dengan anak mereka itu.

Sudah nasihat banyak kali, tetapi kalau sudah jenis anak tidak mahu mendengar nasihat, memang tidak boleh buat apa. Maka mereka berharap kepada Allah ﷻ sahaja.

Ini mengajar kita, kita tidak boleh hendak mengubah pendirian seseorang. Kadang kala kita sudah berhujah dan banyak kali beri dalil, tetapi orang yang didakwah tidak dengar juga.

📍Maka waktu itu kita hanya berdoa kepada Allah ﷻ sahaja untuk membuka pintu hati mereka. Serahkan kepada Allah ﷻ sahaja.

وَيلَكَ ءآمِن إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

Bahaya kamu! Berimanlah! Sesungguhnya janji Allah tetap benar”.

Ibu bapa itu tetap memberi nasihat kepada anaknya itu di samping marah. Maksud وَيلَكَ – ‘bahaya kamu’. Ibu bapa mengingatkan anaknya itu berjaga-jaga dengan apa yang dia katakan. Kalau hendak selamat, berimanlah!

Maknanya, ibu bapa itu suruh anaknya itu perbetul akidahnya dahulu. Bahaya kalau anaknya itu berterusan dengan akidah itu kerana Allah ﷻ sudah janji hendak azab dan kekalkan pengamal syirik dalam neraka selama-lamanya. Allah ﷻ pasti akan tunaikan janji-Nya itu.

فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Lalu dia menjawab: “Semuanya ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”

Anaknya itu masih tidak percaya dengan apa yang disampaikan oleh ibu bapanya itu. Ini adalah alamat seorang ahli neraka. Dia kata semua yang diberitahu tentang agama itu adalah perkara dongeng orang dahulu kala sahaja.

Ini selalu terjadi kepada mereka yang rasa mereka pandai, terutama pandai dalam sains. Mereka kononnya mahu perkara-perkara yang dikatakan dalam agama itu kena ada bukti dalam sains, baru mereka hendak percaya. Kalau tidak ada bukti, pada mereka itu kisah dongeng sahaja.

Mereka tidak kisahkan agama kerana hendak hidup ikut nafsu mereka sahaja. Ini kerana kalau kena terima agama, mereka rasa susah sebab kena kekang nafsu mereka.

Mereka tidak mahu kekang nasfu kerana mereka hendak segalanya dengan segera. Mereka telah terikat dengan nikmat dunia yang segera.

Tafsir Ayat ke-18

Takhwif Ukhrawi. Ini adalah natijah kalau tidak ikut nasihat.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ

Mereka yang bersifat seperti itu telah tetap keputusan ke atas mereka (azab)

Telah tsabit taqdir Allah ﷻ untuk penuhkan golongan seperti mereka dalam neraka. Mereka jenis macam itu adalah salah seorang dari mereka yang akan masuk neraka.

Allah ﷻ sudah membuat keputusan atas mereka. Mereka itu tunggu mati sahaja untuk dikenakan dengan azab.

في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ

bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia;

Mereka akan masuk neraka bersama dengan orang-orang yang terdahulu dari mereka yang juga telah ditakdirkan masuk neraka. Bukan mereka sahaja yang baru buat kerja tolak wahyu ini, tetapi sudah banyak lagi dari golongan terdahulu.

Semuanya nanti boleh berjumpa dalam neraka dan berkenalan. Bukan manusia sahaja yang tolak wahyu, ada kalangan jin juga termasuk yang tolak wahyu. Sama-sama akan masuk neraka.

إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

sesungguhnya mereka telah menjadi orang-orang yang rugi.

Sungguh rugi sekali nasib mereka. Semua itu kerana kesalahan mereka juga, bukan kerana Allah ﷻ tidak memberi peluang kepada mereka.

Mereka rugi kerana tidak ambil peluang semasa hidup di dunia dahulu. Mereka rugi dengan sebenar-benar rugi.

Tafsir Ayat ke-19

Ahli neraka dan syurga ada darjat mereka dalam neraka dan dalam syurga. Tidak sama kedudukan semua orang.

Kedudukan itu bergantung kepada keburukan dan kebaikan mereka. Semakin teruk, maka semakin rendah darjat mereka dalam neraka dan an semakin baik seseorang itu dalam amal, maka semakin tinggi kedudukannya dalam syurga.

وَلِكُلٍّ دَرَجٰتٌ مِّمّا عَمِلوا ۖ وَلِيُوَفِّيَهُم أَعمٰلَهُم وَهُم لا يُظلَمونَ

Dan bagi mereka masing-masing (dari puak jin dan manusia – yang berbuat baik dan yang berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan) yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan (ketetapan yang demikian ialah) supaya Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka, sedang mereka tidak dirugikan (sedikitpun).

وَلِكُلٍّ دَرَجاتٌ مِّمّا عَمِلوا ۖ

Dan bagi mereka masing-masing berbagai peringkat yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan,

Ada yang duduk di tingkatan rendah dalam syurga. Ada yang duduk di tingkatan tinggi. Bergantung kepada amalan mereka di dunia dahulu. Bagi yang beramal banyak, akan mendapat kedudukan yang lebih tinggi.

Begitu juga dalam neraka, ada tingkatan. Keburukan yang manusia lakukan tidak sama; ada yang lagi teruk dari orang lain.

Orang yang menyembah patung sekali, tidak sama dengan orang yang menyembah berhala sepanjang hidup dia.

Maka, yang paling teruk akan duduk di tingkatan yang paling rendah dan mereka mendapat azab yang paling teruk.

وَلِيُوَفِّيَهُم أَعمٰلَهُم

Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka,

Allah ﷻ akan balas dengan sempurna. Amalan yang baik dibalas dengan baik dan yang jahat akan dibalas dengan buruk.

Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim. Segala balasan yang Allah ﷻ berikan adalah adil dan sempurna.

وَهُم لا يُظلَمونَ

mereka tidak dizalimi

Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim dalam memberi balasan. Tidak ada yang rugi kerana tidak dibalas amal kebaikan mereka.

Tidak ada juga yang diberi balasan buruk pada perkara yang mereka tidak pernah buat. Kalau mahkamah dunia, ada juga manusia yang salah hukum – mereka tidak buat jenayah tetapi kena masuk penjara juga. Mahkamah Allah ﷻ tidak begitu.

Yang buat amal kebaikan, semuanya akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikit pun. Kalau kita buat kerja lebih di dunia, mungkin majikan kita tidak beri imbuhan lebih pun, kerana dia tidak tahu yang kita buat kerja lebih.

Namun, Allah ﷻ maha tahu segalanya, jadi Dia akan balas tanpa tertinggal satu pun. Malah Allah ﷻ akan balas lebih lagi dari apa yang dilakukan oleh manusia.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat ke-16 hingga ke-19 )

📍Adakah berdosa jika anak berasa marah terhadap ibubbapa yang suka mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya?

🔵 Tidak boleh. Anak kena sabar. Hormat anak kepada ibubapa bukan kerana mereka baik terhadapnya tetapi kerana mereka itu ibu bapa.

📍Jika ibu bapa itu suruh berbuat maksiat atau syirik baru kita boleh marah?

🔵 Kedudukan ibu bapa adalah istimewa. Andai disuruh buat salah pun tidak boleh marah cuma jangan ikut sahaja. Nabi Ibrahim tidak marah pun ayah dia.

📍Jin dan manusia yang ingkar itu akan bercampur sekali masuk neraka?

🔵 Tiada dalil pasti. Saya pakai pendapat yang katakan ada syurga lain. Maknanya ada dua jenis syurga. Allahu a’lam.

📍Adakah benar pendapat yang kata di akhirat nanti jin tidak nampak kita tetapi kita yang nampak dia?

🔵 Dulu ada dengar semasa kecil. Setakat ini tidak jumpa lagi dalilnya. Jadi tidak dapat saya pastikan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan