Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ahqaf – Tafsir Ayat Ke-6 hingga Ke-8

Tafsir Surah Al-Ahqaf – Tafsir Ayat Ke-6 hingga Ke-8

293
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf
Tafsir Ayat ke-6

وَإِذا حُشِرَ النّاسُ كانوا لَهُم أَعداءً وَكانوا بِعِبادَتِهِم كٰفِرينَ
Dan apabila manusia dihimpunkan (di akhirat), menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui penyembahan mereka kepadanya.

وَإِذا حُشِرَ النّاسُ
Dan apabila manusia dihimpunkan

Iaitu apabila manusia dikumpulkan di Mahsyar nanti untuk dihitung amalan mereka. Mereka dikumpulkan dari merata tempat, tidak kira do mana mereka mati.

Bagi yang dipuja dan yang memuja akan dikumpulkan sekali pada satu tempat. Ini kerana Allah ﷻ hendak menghakimi mereka atas perbuatan yang dilakukan di dunia dahulu.

كانوا لَهُم أَعداءً
menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya,

Mereka yang menyembah ilah-ilah selain Allah ﷻ itu sangka yang sembahan-sembahan itu akan menjadi penolong, penyokong yang akan menyelamatkan mereka. Kononnya sudah ada ‘peguam’ yang akan jadi pembela mereka. Namun, sebaliknya yang terjadi; mereka yang disembah itu menjadi musuh pula bagi mereka.

Ini amat mengejutkan sekali kerana orang yang kita sangka kawan kita, jadi lawan pula. Kalau di mahkamah, katakanlah kita ada saksi yang kita telah pilih sebagai penyokong kita, tetapi tiba-tiba dia menentang kita pula.

Malah dia menjadi saksi kepada pendakwaraya yang mendakwa kita! Tentu kita terkejut yang amat sangat.

وَكانوا بِعِبادَتِهِم كٰفِرينَ
dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui penyembahan mereka kepadanya.

Bagi yang disembah akan dikatakan bahawa mereka tidak pernah suruh manusia menyembah mereka dahulu dan tidak redha dengan penyembahan yang dilakukan itu.

Malah, mereka sendiri tidak tahu yang ada manusia yang menyembah mereka dan mereka sudah tiada lagi di alam dunia kerana telah lama mati.

Apabila mereka telah mati, telah terputus hubungan dengan dunia kerana itu mereka tidak mendengar seruan-seruan manusia. Ini kerana alam yang berbeza iaitu di Alam Barzakh.

Tafsir Ayat ke-7

Ayat Syikayah. Apakah tuduhan Musyrikin Mekah terhadap Al-Quran?

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّنٰتٍ قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلحَقِّ لَمّا جاءَهُم هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

Dan apabila dibacakan kepada mereka (yang kafir) ayat-ayat Al-Quran kami yang jelas nyata, berkatalah mereka terhadap kebenaran (Al-Quran) bila sahaja disampaikan kepada mereka: “Ini ialah sihir yang nyata!”.

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّنٰتٍ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Al-Quran kami yang jelas nyata,

Nabi Muhammad ﷺ telah membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada musyrikin Mekah. Begitu juga akan ada penyebar tauhid yang akan membacakan dan menjelaskan makna ayat-ayat dalam Al-Quran kepada manusia zaman berzaman.

Mereka yang menentang tauhid itu sudah dengar ayat-ayat itu dan apakah maksudnya. Pengajaran tauhid dalam wahyu Allah ﷻ adalah amat jelas kepada mereka yang membuka hati mereka dan belajar. Cuma yang tidak jelas adalah kerana mereka tidak belajar, atau tidak membuka hati kepada kebenaran.

Apakah alasan mereka hendak menolak ajaran Al-Quran?

قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلحَقِّ لَمّا جاءَهُم
berkatalah orang-orang kafir terhadap kebenaran (Al-Quran) bila sahaja disampaikan kepada mereka

Apabila mereka telah dengar kata-kata yang haq dari ayat-ayat Al-Quran itu, mereka tidak dapat menerimanya. Malah, mereka akan menentang dan memberikan berbagai-bagai alasan. Maka sekarang akan diberitahu apakah salah satu alasan itu.

هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ
Ini ialah sihir yang nyata!

Ini adalah salah satu dari tuduhan mereka selepas mereka mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu orang gila, penyair dan pengikut ajaran agama lain. Itu telah disebut dalam ayat-ayat yang lain.

Hati mereka tidak dapat terima ajaran Al-Quran kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Mereka akan menentang, tetapi apa yang mereka akan katakan?

Mereka tuduh yang ayat-ayat Al-Quran itu adalah sihir semata-mata. Beginilah yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah dahulu. Ini adalah tuduhan kosong sahaja kerana mereka tidak ada hujah lain lagi, maka mereka menggunakan hujah ‘sihir’.

Ini kerana pada mereka, sihir adalah sesuatu yang luar biasa yang tidak dapat dijelaskan. Mereka tidak dapat hendak kategorikan Al-Quran ini sebagai apa sama ada hendak katakan syair atau cerita dongeng kerana keduanya pun bukan. Maka, mereka tuduh ia adalah sihir sahaja.

Tambahan pula, apabila masyarakat Arab mendengar sahaja ayat-ayat Al-Quran dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat, ramai yang terpesona dan masuk Islam. Jadi, penentang tauhid akan kata bahawa mereka yang masuk Islam itu telah kena sihir oleh Nabi ﷺ dan para sahabat baginda.

Masyarakat sekarang turut menolak juga, tetapi mereka menggunakan gelaran-gelaran yang lain mengikut kesesuaian zaman. Kalau zaman sekarang, mungkin kita boleh katakan yang mereka menggunakan label ‘Wahabi’ sahaja untuk menolak sunnah.

Mereka sudah tidak tahu hendak memakai alasan apa lagi, jadi yang senang pada mereka, tuduh sahaja bagi yang hendak berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah itu sebagai golongan Wahabi.

Apabila ditanya apakah Wahabi, mereka sendiri tidak dapat menjawab. Memang ia akan datang dari mereka yang jahil, tidak tahu apakah yang mereka kata.

Tafsir Ayat ke-8

Syikayah kedua dan jawapan balas.

أَم يَقولونَ افتَرَىٰهُ ۖ قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَلا تَملِكونَ لي مِنَ اللهِ شَيئًا ۖ هُوَ أَعلَمُ بِما تُفيضونَ فيهِ ۖ كَفىٰ بِهِ شَهيدًا بَيني وَبَينَكُم ۖ وَهُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
(Bukan setakat itu sahaja mereka katakan) bahkan mereka menuduh dengan berkata: “Muhammad telah merekakan Al-Quran itu.” Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau aku merekakan Al-Quran itu (maka tentulah aku tidak terlepas dari azab kesalahan itu) kerana kamu (dan juga yang lain daripada kamu) tidak berkuasa memberikan daku sebarang perlindungan dari (azab) Allah. Allah lebih mengetahui akan (tuduhan-tuduhan yang tidak berasas) yang kamu perkatakan itu; cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

أَم يَقولونَ افتَرَىٰهُ
bahkan mereka menuduh dengan berkata: “Muhammad telah mereka Al-Quran itu.

Satu lagi alasan yang mereka gunakan adalah: Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang buat ayat-ayat Al-Quran itu. Ini tidak dapat diterima akal, kerana takkan manusia biasa boleh buat ayat-ayat Al-Quran sebegitu rupa.

Ia amat indah, sampaikan membungkamkan mereka yang mahir dalam bahasa pada zaman itu. Sedangkan mereka sendiri tahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca dan menulis.

Masyarakat kita tidak boleh hendak tuduh penyebar tauhid sebagai mereka-reka ayat-ayat Al-Quran pula. Namun, mereka akan kata tafsir yang disampaikan itulah yang direka-reka dan kata kita sendiri yang mereka tafsir itu. Sedangkan mereka sendiri tidak belajar.

Apabila kita tanya mereka balik, apakah maksud ayat-ayat itu, mereka tidak dapat menjawab dan hanya mahu menolak sahaja. Kalau kita salah tafsir, maka beritahulah apa maksudnya yang sebenar tetapi tidak boleh pula.

قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَلا تَملِكونَ لي مِنَ اللهِ شَيئًا
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau aku merekakan Al-Quran itu, kamu tidak berkuasa memberikan daku sebarang perlindungan dari (azab) Allah sedikit pun.

Nabi Muhammad ﷺ diajar bagaimana menjawab tuduhan mereka itu. Nabi ﷺ suruh mereka berfikir: kalaulah baginda ﷺ mereka sendiri ayat-ayat itu, kemudian kata ia dari Allah ﷻ, maka tentulah Allah ﷻ tidak akan membiarkan baginda begitu sahaja.

Tentu baginda ﷺ telah lama mati kerana Allah ﷻ tentu tidak akan membiarkan baginda ﷺ terus berdusta atas nama-Nya kalau benar telah berdusta. Baginda ﷺ juga tentu tidak dapat menyelamatkan diri, dan kalau bangsa Arab semua bersatu untuk menyelamatkan baginda ﷺ pun tidak boleh.

✍🏻Ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ :

{وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الأقَاوِيلِ. لأخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ. ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ. فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ}
Seandainya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu [ Al-Haqqah: 44-47) ].

Jadi, apabila Nabi Muhammad ﷺ masih hidup, tidak dimatikan, tidak diberi azab oleh Allah ﷻ apabila mengatakan yang wahyu yang disampaikan itu datang dari Allah ﷻ, maka itu sebagai bukti bahawa apa yang baginda ﷺ sampaikan adalah benar.

هُوَ أَعلَمُ بِما تُفيضونَ فيهِ
Allah lebih mengetahui akan yang kamu perkatakan itu;

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ ingatkan mereka yang Allah Maha Mengetahui akan tuduhan-tuduhan dan tohmahan mereka itu. Allah ﷻ mendengar dan melihat. Maknanya, kalau Dia tahu, Dia akan hukum mereka atas tuduhan tidak berasas mereka itu.

كَفىٰ بِهِ شَهيدًا بَيني وَبَينَكُم
cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu,

Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat hendak pertahankan diri baginda melainkan dengan hujah-hujah yang Allah ﷻ telah berikan kepada baginda ﷺ. Selain dari itu, baginda ﷺ hanya berserah sahaja kepada Allah ﷻ .

Allah ﷻ lah yang jadi saksi bahawa apa yang baginda sampaikan itu adalah kebenaran. Maka baginda ﷺ tidak risau dengan kata-kata mereka, kerana kalau Allah ﷻ sendiri yang jadi saksi, itu lebih dari cukup.

وَهُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
dan Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Kata-kata mereka itu adalah tuduhan yang mengundang dosa dan neraka tetapi kalau mereka bertaubat, Allah ﷻ masih boleh terima lagi taubat mereka asalkan mahu mengubah cara hidup dan mula menerima tauhid.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan