Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ahqaf – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-5

Tafsir Surah Al-Ahqaf – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-5

299
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf
Tafsir Ayat ke-3

Dalil Aqli kepada Tauhid. Allah ﷻ suruh kita lihat pada alam ini sebagai dalil. Ayat ini juga ada mengandungi Zajrun.

ما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ وَالَّذينَ كَفَروا عَمّا أُنذِروا مُعرِضونَ
(Ingatlah), tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu (yang padanya dijalankan pembalasan); dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.

ما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ
Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar.

Tidaklah Allah ﷻ jadikan alam ini sia-sia sahaja. Allah ﷻ jadikan alam ini untuk zahirkan kebenaran yang Allah ﷻ sahaja pencipta, tempat puja dan seru dalam berdoa.

وَأَجَلٍ مُّسَمًّى
dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu

Allah ﷻ telah tetapkan yang alam ini akan musnah juga akhirnya apabila telah sampai masa. Masa itu telah Allah ﷻ tetapkan, tetapi Dia sahaja yang tahu. Alam ini adalah tempat ujian sahaja bagi makhluk dan apabila telah selesai ujian untuk manusia, ia akan dihancurkan.

Macam juga pencawang pada bangunan yang digunakan semasa membina bangunan. Apabila bangunan sudah siap, pencawang itu semua akan dimusnahkan kerana tidak ada gunanya lagi.

Apabila sampai waktu Qiyamah dan masa bumi dihancurkan, tidak akan ada penangguhan lagi walau sesaat. Ia tidak terjadi lebih awal daripada yang ditentukan Allah ﷻ.

وَالَّذينَ كَفَروا عَمّا أُنذِروا مُعرِضونَ
dan orang-orang yang ingkar, apabila diberi peringatan, mereka sentiasa berpaling

Ini adalah ayat Zajrun. Manusia yang ingkar dan tidak endah kepada peringatan dan ancaman yang diberikan kepada mereka. Walau berkali-kali disampaikan kepada mereka, mereka tidak mahu mendengar dan taat kepada arahan Allah ﷻ.

Mereka itu tidak kisah kepada ancaman hari Qiyamah yang pasti akan datang itu. Apabila diajak kepada tauhid, mereka sentiasa sahaja menolak (bukan sekali tetapi setiap kali).

Mereka itu nanti adalah antara yang amat-amat rugi di akhirat kelak kerana tidak membuat persiapan untuk menghadapi akhirat. Sebaliknya mereka buat amalan yang salah, antaranya seru kepada selain dari Allah ﷻ dalam doa mereka.

Tafsir Ayat ke-4:

Tuntutan dan cabaran kepada golongan musyrik untuk mengemukakan bukti.

قُل أَرَءيتُم مّا تَدعونَ مِن دونِ اللهِ أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّمٰوٰتِ ۖ ائتوني بِكِتٰبٍ مِّن قَبلِ هٰذا أَو أَثٰرَةٍ مِّن عِلمٍ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): “Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Quran ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!

قُل أَرَءيتُم ما تَدعونَ مِن دونِ اللهِ
Katakanlah: “Adakah kamu fikirkan tentang makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah?

Allah ﷻ mengajar Nabi untuk bertanya dan berhujah dengan puak yang menentang ajaran tauhid. Gunakanlah akal. Kalau hendak seru sesiapa: sama ada wali, Nabi, malaikat atau jin, tanya sama ada mereka ada jasa.

أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ
Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini?

Adakah mana-mana tempat yang wali, Nabi atau malaikat itu ada mencipta sesuatu dari tidak ada kepada ada? Tentu tidak ada kerana kuasa mencipta dan menjadikan hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Musyrikin Mekah pun tahu perkara ini.

أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّمٰوٰتِ
Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit?

Atau adakah sembahan-sembahan selain Allah ﷻ itu ada menolong Allah ﷻ membuat langit atau bumi itu, kalau pun dia tidak membuat semuanya. Adakah turut berkongsi membuat dengan Allah ﷻ? Tentu juga tidak ada. Ini kerana Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa pun untuk bantu Dia.

ائتوني بِكِتٰبٍ مِّن قَبلِ هٰذا
Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) sebelum dari Al-Quran ini,

Atau, kalau memang mereka tidak boleh mencipta atau berkongsi dalam mencipta, tunjukkan kitab wahyu sebelum Al-Quran yang menyatakan seru selain Allah ﷻ itu boleh. Bawalah apa-apa sahaja Taurat atau Injil sebab kamu Arab Mekah tidak menerima AlQuran kan?

أَو أَثٰرَةٍ مِّن عِلمٍ
atau sebarang keterangan dari ilmu

Atau bawakan ke mari saki baki peninggalan ilmu wahyu yang boleh dijadikan hujah yang mengatakan boleh seru selain Allah ﷻ. Kenalah bawa cebisan ilmu yang boleh dipercayai – jangan bawa kisah dongeng pula.

Kalau sebutir kitab lengkap tidak ada kerana sudah dimakan anai-anai, sekurang-kurangnya, bawa sehelai pun jadi lah. Bolehkah?

إِن كُنتُم صٰدِقينَ
kalau betul kamu orang-orang yang benar

Kamu kuat sangat hingga berkata boleh seru selain Allah ﷻ, maka bawalah dalil yang kamu ada atau kamu hanya bercakap kosong sahaja? Apakah kamu dapat ilmu itu dari tok nenek kamu sahaja atau kamu yang reka? Jika tidak boleh membawa dalil, maka tentunya itu adalah fahaman sesat.

Tafsir Ayat ke-5

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ
Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari Qiyamah, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari permohonan mereka.

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ
Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang selain dari Allah,

Ada lagikah yang lebih sesat daripada orang yang menyeru selain daripada Allah ﷻ? Tidak ada. Merekalah yang paling sesat sekali. Allah ﷻ amat marah kepada mereka yang menyeru selain Allah ﷻ.

مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ
yang tidak dapat menyahut hinggalah ke hari Qiyamah,

Mereka yang diseru itu tidaklah dapat menyahut seruan mereka yang menyeru itu sampai ke hari Qiyamah pun. Mereka yang menyeru itu sebenarnya bertepuk sebelah tangan sahaja. Serulah banyak mana pun, yang diseru tidak akan sahut, kerana mereka telah mati.

Kalau malaikat, bukan kerja mereka untuk mendengar permintaan dari manusia. Orang yang mati tidak boleh mendengar seruan orang yang hidup. Kalau malaikat mendengar pun, mereka tidak boleh menolong manusia yang menyeru, kerana mereka hanya taat kepada suruhan Allah ﷻ.

Kalau Allah ﷻ tidak benarkan atau arahkan mereka berbuat apa-apa, mereka tidak akan buat. Mereka yang diseru itu sudahlah tidak mendengar, dan kalau mereka mendengar pun, mereka tidak dapat tolong buat apa pun.

وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ
dan makhluk-makhluk yang mereka seru itu tidak menyedari permohonan kepada mereka.

Allah ﷻ menjelaskan dalam ayat ini, mereka yang diseru itu: sama ada Nabi, wali atau malaikat, tidak menyedari pun seruan yang diberikan kepada mereka.

Mereka itu telah tiada di dunia ini dan tidak dapat mendengar (mereka dalam alam Barzakh), dan malaikat tidak dijadikan untuk menyahut seruan bagi yang menyeru mereka.

Malaikat hanya mendengar arahan dari Allah ﷻ sahaja. Oleh itu, yang menyembah itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat ke-3 hingga ke-5 )

📍Amalan bid’ah biasanya orang akan cakap ”benda baik apa salahnya”. Jika kita sudah tegur berkali-kali tetapi masih tidak mahu berubah, kita akan terlepas dari soal jawab?
🔵 Ya, kerana sudah ada alasan di hadapan Allah ﷻ. “Aku sudah sampaikan”.

📍Ramai yang masih bertawassul menggunakan selawat kepada Nabi antaranya ketika hendak makan ubat, berurut dan memasak makanan akan baca selawat. Amalan begini tidak bolehkan?
🔵 Tidak boleh. Itu tawassul dengan Nabi Muhammad ﷺ dan salah. Namun, benda halus ini bila kita tegur, dia akan kata: selawat pun tidak boleh ke?

📍Setiap ayat Al-Quran ada roh dan kesan tersendiri. Justeru, benarkah selawat merupakan ayat penyejuk jiwa?
🔵 Selawat bukan ayat Al-Quran. Selawat itu mendoakan Nabi ﷺ. Kita selawat kerana hendak selawat dan bukan kerana itu dan ini.

📍Amalan berselawat ketika awal berdoa atau akhir berdoa dan adakah dikira tawassul juga?
🔵 Ini bab halus sebab susah orang hendak faham. Saya cuba jelaskan. Sewaktu dalam doa boleh selawat kerana selawat itu ibadat. Selawat itu ibadah, bukan kerana Nabi Muhammad ﷺ.
Kita berdoa supaya Allah ﷻ berikan keberkatan dan kedudukan baik kepada baginda ﷺ berharap Allah ﷻ beri kebaikan kepada baginda. Ini kerana baginda sudah berkorban mengajar agama kepada kita. Oleh sebab itu kita berselawat ke atasnya.
Namun, kalau hendak makan ubat selawat, basuh sayur dan nasi hendak juga selawat maka, ini ada masalah. Ini kerana yang melakukannya mengharapkan keberkatan dari baginda. Malah, ini adalah syirik. Halus sangat perkara ini. Kena duduk fikir lama sedikit.

📍Boleh kah kita berdoa setiap kali selesai membaca Al-Quran?
🔵 Boleh. Memang molek.

📍Ada seorang ustaz cakap, bila kita berselawat kepada Nabi ﷺ (hanya berselawat kepada Nabi ﷺ bukan selawat berdoa buat tawassul) Nabi ﷺ mendengar selawat kita kerana malaikat telah menyampaikan selawat kita kepada baginda di alam berzakh sana. Adakah ini benar?
🔵Ya. Malaikat akan sampaikan dan bukan baginda ﷺ dengar sendiri.

📍Kalau kita banyak berselawat kepada Nabi ﷺ, adakah baginda akan memberi syafaat kepada kita di hari akhirat nanti?
🔵 Ya, salah satu punca boleh dapat syafaat tetapi bab syafaat ini panjang perbincangannya. Ia disebut dalam banyak ayat berlainan. Semoga nanti kita dapat jumpa dan memahaminya kerana banyak salah faham masyarakat kita bab syafaat ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan