Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-24 dan Ke-25

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-24 dan Ke-25

880
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiyah
Sambungan Tafsir Ayat ke-23

وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ
dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya,

Ada manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah. Apabila diberi nasihat dia tidak mahu mendengar dan akan pekakkan telinga sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Bukan dia tidak tahu, cuma dia tidak mahu dengar. Dia mungkimereka hanyalahn ada terdengar ceramah agama, dengar khutbah Jumaat dan dengar kata-kata nasihat di TV dan radio, tetapi apa yang disampaikan oleh ceramah dan nasihat itu tidak masuk dalam hatinya.

Apabila telah sampai satu tahap, Allah ﷻ ‘kunci hati’ mereka dari menerima kebenaran. Dalam hati mereka, tidak ada keinginan hendak belajar agama dan mengubah cara hidup. Malah yang hairannya, yang sudah tua begitu juga. Kita sangkakan, kalau sudah pencen dan banyak masa terluang, tentulah mereka hendak belajar agama tetapi tidak.

Mereka bukannya tidak beramal, solat, puasa, dan sebagainya. Semua itu mereka buat, tetapi setakat itu sahaja. Mereka hanya buat amal ibadat luaran sahaja. Ini kerana bagi mereka apabila sudah membuat amal ibadat luaran itu, kewajipan sudah dilakukan.

Padahal Islam bukanlah berkenaan dengan ibadat luaran sahaja kerana banyak lagi perkara yang perlu dilakukan. Ini adalah peringkat terakhir dari kesesatan manusia yang dinamakan ‘Khatmul Qalbi’. Mereka yang telah dikunci mati hati mereka oleh Allah ﷻ, tidak ada harapan lagi untuk menerima hidayah. Walau apapun telah diberitahu, mereka tidak akan mendengar.

وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً
serta dijadikan penutup atas penglihatannya

Dia sudah nampak kebenaran (kerana sudah ada orang sampaikan), tetapi dia tidak mahu ikut juga kerana penglihatannya telah ditutup. Walaupun kebenaran itu di depan matanya dia tidak nampak. Dia akan buat tidak nampak. Ini dinamakan Khatmul Qalbi di mana hatinya telah tertutup langsung dari terima kebenaran.

فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللهِ
Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah?

Allah ﷻ tanya: selepas Dia telah buat keputusan untuk menutup pendengaran, hati dan penglihatan mereka itu, siapa lagi yang boleh beri hidayah kepadanya? Orang yang sudah sesat, kalau Allah ﷻ tidak memberi hidayah, siapa lagi yang boleh hidayah kepada mereka?

Tidak ada sesiapa lagi kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh hidayah kepada makhluk. Kita hanya boleh sampaikan sahaja, tetapi kalau Allah ﷻ tidak membuka pintu hati seseorang dari menerima hidayah, mereka tidak akan dapat terima.

Jadi, kalau Allah ﷻ sudah buat keputusan untuk tidak beri hidayah lagi kepada orang itu, maka tidaklah dia ada harapan lagi. Mereka yang jenis begini tidak akan bertaubat sendiri kerana mereka sangka mereka buat benda betul. Mereka juga sudah tidak kisah dengan syurga, neraka dan dosa lagi.

Kalau orang buat dosa dan dia sedar itu adalah perkara salah, mungkin dia akan bertaubat di masa hadapan. Namun, kalau dia tidak sangka dia buat salah, adakah dia akan bertaubat?

Begitulah yang terjadi dengan ramai orang yang buat amalan bid’ah di negara kita ini. Mereka sangka amalan mereka itu benar, dapat pahala, ada pula ustaz yang ajar itu adalah Bid’ah Hasanah, maka berterusanlah mereka mengamalkan benda yang salah.sangkaan Pada mereka, buat apa hendak bertaubat?

Dalam ayat ini, disebut ‘pendengaran’ dahulu sebelum ‘penglihatan’ kerana ada kepentingan dalam pendengaran. Untuk mendapat nasihat agama, mestilah melalui pendengaran dahulu, bukan? Dari pendengaranlah yang membawa mesej agama itu ke hati.

Kalau pendengaran juga sudah ditutup, harapan untuk mendapatkan nasihat agama adalah amat tipis. Lalu baDan apabila dibacakangaimana hendak buat dengan mereka? Kita hanya boleh doakan mereka sahaja dan kalau mereka mahu, kita suruh berdoa sendiri kepada Allah ﷻ supaya diberikan kebenaran kepada mereka.

Suruh mereka berdoa: “ya Allah, tunjukkan kebenaran kepada aku.”

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Oleh itu, mengapa kamu tidak ambil peringatan?

Peringatan yang kita boleh ambil, antaranya: ilmu sahaja tidak cukup untuk melawan kehendak nafsu. Kena ada rasa takut kepada Allah ﷻ dan kena ada harapan kepada akhirat. Kedua-dua perkara ini amat penting.

Kalau ada ilmu sahaja, tahu mana salah dan mana betul, tetapi tidak ikut, tidak berguna juga. Berapa ramai dalam dunia yang tahu perkara yang mereka lakukan itu salah, tetapi mereka masih buat juga? Terlalu ramai, bukan?

Tafsir Ayat ke-24

Ayat Syikayah (rungutan dari Allah ﷻ). Ini pula adalah tentang mereka yang berpegang pada materialistik. Mereka yang hanya mementingkan keduniaan sahaja. Apa yang mereka kata?

وَقالوا ما هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا نَموتُ وَنَحيا وَما يُهلِكُنا إِلَّا الدَّهرُ ۚ وَما لَهُم بِذٰلِكَ مِن عِلمٍ ۖ إِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا
Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini.

Mereka rasa hanya ada kehidupan di dunia sahaja dan tidak ada kehidupan di akhirat. Oleh kerana ada pegangan begini, hidup mereka akan dipenuhi dengan perkara keduniaan sahaja untuk memenuhi kehendak nafsu yang ada. Mereka hendak memuaskan nafsu sebelum mati.

Inilah mereka yang menggunakan motto: “Hidup hanya sekali” (We only live once). Maka, mereka katakan akan buat segalanya supaya tidak menyesal sebab tidak sempat buat itu dan ini, pergi ke sana dan ke sini.
Maka, masa mereka terbuang di situ sahaja. Perbuatan itu sampai boleh menyebabkan mereka melanggar syarak Allah ﷻ atau melanggar hukum alam. Mereka tidak akan takut untuk melakukan apa-apa sahaja kerana tidak percaya bahawa perbuatan salah akan dibalas di akhirat nanti. Malah perasaan takut dengan balasan azab akhirat juga tidak ada kerana tidak percaya adanya azab neraka itu.

نَمُوتُ وَنَحْيَا
Kita mati dan kita hidup;

Disebut ‘mati’ dahulu kerana ‘mati’ bermaksud ‘tiada nyawa’. Maknanya, sebelum kita hidup di dunia, kita dalam keadaan ‘mati’ kerana kita tidak ada nyawa waktu itu. Itulah semasa kita di alam roh.

Mereka sebut ‘mati’ dahulu kerana itulah sahaja yang mereka nampak di hadapan mereka dan tidak lebih dari itu. Mereka tahu akan mati, dan rasa sebelum mereka mati, mereka hendak menikmati kehidupan ini.

Inilah sebabnya ada yang menggunakan slogan: YOLO – You Only Live Once. Inilah slogan hidup yang menyebabkan mereka buat macam-macam supaya tiada kerugian dalam menikmati hidup. Sebelum mati, mereka hendak mencuba macam-macam.

وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ
dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran masa.

Pada mereka, kita manusia tertakluk dengan masa sahaja. Sampai masa, kita akan matilah. Inilah akidah puak Athies, iaitu mereka yang tidak percaya dengan Allah ﷻ.

Mereka juga digelar ‘free thinker’ dan mengamalkan konsep Hedonisme iaitu mencari-cari kegembiraan sahaja. Mereka hendak ‘enjoy’ sahaja hidup ini. Mereka hendak membuat apa yang disukai dalam masa yang terhad ini.

Pada mereka yang berfahaman begini, sama ada atheis atau tidak, Muslim atau tidak, kematian itu adalah kematian biasa sahaja. Ia kerana peredaran zaman, iaitu mati kerana tua sahaja.

Mereka tidak terima bahawa iaitu dimatikan oleh Allah ﷻ, yang kehidupan dan kematian ditentukan oleh Allah ﷻ. Sedangkan ‘masa’, ‘zaman’ itu semuanya adalah Allah ﷻ – ini adalah mafhum dari hadis. Allah ﷻ lah yang membuat zaman dan masa itu. Jadi, kalau kita kata masa yang mematikan kita, sebenarnya Allah ﷻ lah juga yang mematikan kita sebenarnya.

لا تسبوا الدهر، فإن الله هو الدهر
“Jangan kamu mencela ad-Dahr (masa), kerana Allah adalah ad-Dahr (masa).”
(Hadis Riwayat Ahmad, 15/70, no. 9137. Muslim, 11/313, no. 4169)

Oleh kerana masa itu adalah Allah ﷻ , maka jangan kita keji, hina, cela masa itu. Ini ramai antara kita yang tidak perasan. Mereka akan marah kepada zaman/masa. Sebagai contoh, mereka kata: “kita sekarang hidup ‘zaman maksiat’, itulah sebabnya kita susah nak buat ibadat”. Itu bermaksud mereka menyalahkan Allah ﷻ juga, kerana Allah ﷻ lah yang telah memasukkan kita dalam zaman ini.

Nota: Bukanlah salah satu nama Allah ﷻ adalah ad-Dahr pula. Allah ﷻ bukanlah ‘masa’ tetapi Allah ﷻ yang menjadikan masa.

Adakah Allah ﷻ bersalah? Tentu tidak, apa sahaja yang Allah ﷻ buat adalah benar belaka, tidak akan ada perkara yang Allah ﷻ salah buat pula. Jadi kenalah kita berhati-hati dengan apa yang kita katakan dengan mulut kita. Satu lagi contoh apabila kita salahkan hujan turun – ini tidak patut kerana hujan itu Allah ﷻ yang turunkan.

Kalau marah kepada hujan, maknanya kita marah kepada Allah ﷻ. Maka, jangan kita kata juga: “ini sudah nasib”. Ini salah kerana Allah ﷻ yang buat segala perkara. Jangan kita jadi seperti Musyrikin Mekah yang memang tahu Allah ﷻ yang jadikan mereka tetapi tidak terima Allah ﷻ yang uruskan semua sekali perkara dan kejadian setiap saat.

Tidak ada yang di luar takdir dan kuasa Allah ﷻ. Maka, kalau terjadi sesuatu perkara yang kita suka atau tidak suka, kita kena sebut qaddarallah (ini qadr Allah ﷻ).

وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ
Mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu;

Mereka berkata begitu dengan tidak ada dalil dari Al-Quran atau hadis. Tidak ada juga hujah kalau menggunakan akal pun. Mereka sangka sudah pandai ilmu sains, tetapi mereka tidak ada bukti yang kukuh pun bahawa alam ini terjadi dengan sendiri.

Cuba bayangkan, takkanlah kehidupan kita terjadi begitu sahaja? Begini punya hebat alam ini, ia terjadi dengan sendiri? Takkanlah pula, kan? Jadi, ini sahaja sudah menjadi hujah yang cukup kuat. Yang menolaknya adalah kerana menolak akal mereka sahaja.

إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ
mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Yang mereka ada hanyanya teori khayalan sahaja. Tidak ada bukti yang kukuh bagi menyokong pendapat dan pegangan mereka. Mereka berusaha untuk mengelabui mata mereka yang bodoh dengan mengatakan yang alam ini boleh terjadi sendiri, tetapi itu semua adalah sangkaan-sangkaan belaka.

Tafsir Ayat ke-25:

Ini adalah syikayah lagi. Allah ﷻ merungut dengan memberitahu apakah akidah dan pemahaman mereka yang salah itu. Oleh kerana gersang ilmu, mereka akan katakan macam-macam perkara yang karut.

Maka kena belajar tafsir sampai habis 30 juzuk dan sibukkan diri kita dengannya. Apabila sudah habis belajar tafsir 30 juzuk maka teruskan mengkaji dan mengkaji Al-Quran ini kerana tidak akan habis kajian tentang Al-Quran sampai mati.

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّنٰتٍ مّا كانَ حُجَّتَهُم إِلّا أَن قالُوا ائتوا بِئآبائِنا إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata (mengenai soal hidup semula sesudah mati), tidaklah ada hujah mereka (untuk menolak kebenarannya) selain daripada berkata: “Bawakanlah datuk nenek kami (hidup semula) kalau betul kami orang-orang yang benar!”

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءآيٰتُنَا بَيِّنٰتٍ
Dan apabila dibacakan ke atas mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata

Ayat-ayat Al-Quran telah banyak memperkatakan mengenai soal hidup semula sesudah mati, dengan hujah-hujah yang jelas. Berkali-kali diulang-ulang dalam Al-Quran. Telah dibentangkan bahawa Allah ﷻ lah yang menentukan segalanya.

Apa yang disampaikan itu adalah jelas. Tidak ada alasan untuk mereka kata yang ia tidak jelas. Ini kerana yang tidak nampak hanya untuk mereka yang tidak belajar sahaja, sombong untuk belajar.

Allah ﷻ memberitahu yang Al-Quran ‘dibacakan’ kepada mereka. Ini kerana mereka tentunya tidak akan membaca Al-Quran sendiri.

Maka, kitalah yang kena bacakan kepada mereka. Namun apabila sudah dibacakan pun, mereka tidak terima juga. Ini adalah kerana mereka itu degil. Apakah pula hujah penolakan mereka?

مَّا كَانَ حُجَّتَهُمْ إِلَّا أَن قَالُوا ائْتُوا بِئآبَائِنَا
tidaklah ada hujah mereka selain daripada mereka berkata: “Bawakanlah datuk nenek kami

Mereka memang tidak ada hujah, jadi hujah bodoh sahaja yang mereka ada. Mereka suruh Nabi Muhammad ﷺ menghidupkan balik tok nenek mereka yang sudah lama mati itu.

Ini kerana bila Nabi ﷺ kata yang kita semua akan dihidupkan semula, mereka hendak tengok sendiri dengan mata mereka bagaimana orang yang mati boleh dihidupkan kembali dan beritahu berita tentang kematian dan kehidupan semula itu.

Ini kerana mereka kata, mereka ikut amalan tok nenek dari dulu lagi. Maka, bawakanlah tok nenek itu semula, supaya mereka boleh beritahu yang amalan mereka selama mereka hidup di dunia itu memang salah, dan mereka telah kena azab dalam kubur.

Bila Nabi ﷺ tidak boleh hidupkan balik mereka yang telah mati, kerana memang kita tidak boleh pun, mereka gembira kerana hujah itu mereka sangka kuat, sebab baginda ﷺ tidak boleh hendak memberi apa yang mereka hendak.

Inilah sahaja hujah mereka. Padahal, Allah ﷻ dan Nabi ﷺ tidak pernah mengatakan yang makhluk akan dihidupkan semula dalam dunia ini, tetapi hanya pada Hari Kiamat sahaja.

Jadi, apa yang kita tidak boleh buktikan bukanlah apa yang dikatakan oleh ayat-ayat Al-Quran. Ayat Al-Quran hanya mengatakan yang makhluk akan dihidupkan semula hanya apabila Kiamat, bukannya zaman sekarang.

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ
kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

Inilah antara hujah-hujah bodoh yang dikeluarkan oleh mereka yang jahil. Walaupun begitu, kita masih terpaksa menghadapi mereka. Mungkin mereka tidak akan beriman selepas kita sampaikan dakwah kepada mereka pun, tetapi manfaat dakwah itu akan dapat kepada kita yang berdakwah.

Kita akan dapat pahala menyampaikan dakwah kalau kita menyampaikan dakwah itu walaupun mereka tidak terima.

Sebagai contoh, tidakkah Allah ﷻ tahu bahawa Firaun tidak akan beriman? Tentu Allah ﷻ tahu kerana semua perkara dalam ilmu Allah ﷻ. Namun kenapa Allah ﷻ hantar juga Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun untuk berdakwah?

Ini kerana ada kelebihan dalam memberi dakwah itu. Dengan berdakwah, dapat meningkatkan kekuatan iman Nabi Musa عليه السلام dan memberi pahala kepada baginda kerana usaha baginda itu. Begitu jugalah dengan kita – kalau kita berdakwah sahaja, kita akan dapat pahala samada orang itu terima atau tidak.

Maka jangan segan nak dakwah. Jangan rasa ia tidak bermanfaat kerana orang yang tolak dakwah itu mungkin tidak dapat manfaat, tetapi kita yang berdakwah ini akan dapat manfaatnya.

Kadang-kadang orang yang kita dakwahkan itu tidak mahu terima, tetapi ada kalanya orang yang mendengar perbincangan itu pula yang beriman.

Lihatlah bagaimana Nabi Musa عليه السلام yang berdakwah kepada Firaun, tetapi yang beriman itu bukannya Firaun, tetapi orang lain yang mendengar.

Antaranya adalah seorang Lelaki Mukmin dan kemudian ahli-ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام. Begitu juga dengan kita, kadang-kadang kita berdakwah dengan orang di kedai kopi – orang yang kita dakwah itu tidak terima, tetapi ada pula orang lain yang mendengar di belakang yang terima.

Maknanya Allah ﷻ telah beri pahala kepada kita kerana dakwah, dan Allah ﷻ juga memberi pahala tambahan dengan ada orang lain yang beriman kerana dakwah kita itu. Maka berilah sahaja dakwah itu. Bukan banyak modal pun untuk berdakwah kerana kita cakap sahaja.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Jatsiyah ( Sambungan ayat ke-23 dan ayat ke-24)
📍Apakah rasa takut kepada Allah ﷻ itu disebut sebagai taqwa?
🔵 Takut adalah salah satu dari sifat taqwa. Maka kena takut dulu baru sanggup hendak taat.

📍Orang yang sudah sesat, kalau Allah ﷻ tidak memberi hidayah, siapa lagi yang boleh hidayah kepada mereka? Apakah ini seperti banyak ditemui di kalangan para penagih dadah ‘hardcore’? Mereka berputus asa selepas mereka terpaksa “bernafas” demi dadah kerana kecewa kononnya Allah ﷻ tidak bantu keluar dari ketagihan yang luar biasa.
🔵 Allah ﷻ tidak pernah zalim. Mereka yang salah sendiri.

📍Apakah maksudnya selepas kita buat perkara wajib, maka kita mesti juga banyak melakukan perkara sunat?
🔵 Maksud saya, mereka ‘hamba’ Allah ﷻ masa ibadah sahaja. Luar ibadah sudah tidak taat perintah Allah ﷻ. Sedangkan perintah Allah ﷻ bukan bab ibadah sahaja. Bab adil, bab tadbir dan lain-lain lagi.

📍Ada berapa peringkat bid’ah? Adakah bid’ah hasanah itu ciptaan manusia dan tiada dalam ajaran Nabi kita?
🔵 Bid’ah banyak jenis. Bid’ah hasanah nama yang direka manusia sahaja. Bolehlah juga tetapi ia bab kehidupan sahaja. Nabi Muhammad ﷺ tidak naik kereta. Kita naik kereta, itu bid’ah hasanah lah.
📍 Ada orang pernah kata dia tidak berapa suka dengan perkataan takut pada Allah ﷻ tetapi dia lebih selesa dengan perkataan cinta kepada Allah ﷻ kerana tujuan sama akan melakukan yang diperintahkan. Apakah boleh pemahaman seperti ini?

🔵 Kena ada khauf dan raja’. Takut dan harap. Kena seimbang. Macam dua sayap burung. Kalau takut sahaja, maka sudah hidup. Kalau berharap sahaja, releks sangat. Cinta pun kena ada tetapi takut juga kena ada. Macam kita cinta ayah kita. Takut pun ada juga. Takut dia sebat dan dia marah dekat kita.

📍Adakah ayat ini di turunkan ketika awal kemunculan Islam iaitu musyrikin Mekah ,zaman Jahilliah kerana tidak percaya pada hari akhirat?
🔵 Ya. Semua ayat Hamim turun di Mekah. 2/3 ayat Al-Al-Quran turun di Mekah.

📍Boleh jelaskan beza antara takut khauf, khash’yah dan taqwa?
🔵 Maksudnya:
▪️Khauf Ini adalah perasaan takut yang dirasai oleh manusia kalau dia rasa akan ada kesakitan pada tubuhnya. Mungkin takut kenal pukul, contohnya.
▪️Khash’yah– Ini adalah takut kepada sesuatu kerana kebesaran atau hebatnya sesuatu kejadian itu.
Sebagai contoh, apabila kita sudah baca ayat-ayat Al-Quran tentang kehebatan dan kesusahan yang besar di akhirat kelak, maka inilah perasaan takut itu.
▪️Taqwa– Salah satu dari maksud taqwa adalah takut tetapi ia takut kepada kesan dari perbuatan kita. Oleh itu, orang yang taqwa, mereka akan jaga perbuatan mereka kerana mereka takut segala perbuatan mereka itu akan dibalas di akhirat nanti. Mereka akan takut hendak buat amalan dan perbuatan yang salah dan berdosa. Oleh itu, mereka akan berjaga-jaga dan berhati-hati dalam perbuatan mereka.

📍 Bagaimana hendak mendidik hati kita bila sebut nama Allah ﷻ rasa gementar dan gerun?
🔵 Kenal Allah ﷻ dengan tadabbur Al-Quran. Perasaan itu datang kerana kenal akan Allah ﷻ.

📍Bagaimana sehabis lembut bicara untuk menjaga adab? Adakalanya kita beritahu yang benar dia anggap kita maki, padahal berterus terang itu adalah yang terbaik dan peringatan untuk diri sendiri juga. Adakah manusia itu tidak sukakan kebenaran?
🔵 Beberapa perkara yang boleh saya pesankan:
1️⃣ Bukan kita yang buka hati manusia, tetapi Allah ﷻ. Sudah tentu Nabi Muhammad ﷺ pendakwah terbaik, tetapi masih ramai juga lagi yang tolak. Biasalah tu.

2️⃣ Yang penting kita jaga adab kita dalam bercakap. Dakwah macam bunuh ular dengan tongkat: ular mati tetapi tongkat tidak patah. Ular itu adalah syirik dan bid’ah yang kita hendak hapuskan.
Tongkat itu pula adalah hubungan kita dengan yang didakwah. Biar selepas dakwah itu, sama ada dia terima atau tidak, masih boleh berjumpa lagi. Tidak patah/putus hubungan. Sebab kita tetap hendak kena jumpa dia lagi. Mungkin dia saudara mara kita.

3️⃣ Jangan orang menyampah dengan cara kita (walaupun benar) sampai dia tengok muka kita pun tidak. Waktu itu dia bukan sahaja marah dengan kita, malah dengan agama. Mungkin dalam hati dia berkata: [hah, gitulah orang agama ni.. perasan diri pandai jer!]

4️⃣ Nasihat kita kepada orang kadangkala tidak sampai kerana ‘rapport’ kita dengan tidak baik. Dia pun tidak pandang hormat pada kita. ‘Rapport’ ini dibina atas kepercayaan dia kepada kita. Sebelum ini kita telah tolong dia, kita tidak pernah buat salah kepada dia, kita selalu bercakap baik dengan dia. Maka bila ‘rapport’ itu tinggi, maka dia senang hendak terima. Atau kalau tidak terima pun, tidaklah dia tolak dengan kasar dan kita pun tidak terasa.

5️⃣ Masa memainkan perasan dalam dakwah. Ada masa yang orang boleh terima kita dengan mudah. Maka kena cari peluang itu. Ini dinamakan Tahayyun. Begitulah Nabi pun ada buat. Ada yang Nabi tunggu petir sabung menyabung baru pergi kepada seseorang hendak dakwah dia, semoga dia ketika dalam keadaan takut itu senang hendak terima.

Maka, kita pun carilah waktu yang baik. Mungkin selepas kita bagi pinjam duit dekat dia, selepas dia jatuh bankrup, selepas dia jatuh sakit, iaitu masa yang dia tidak ego sangat. Begitulah serba sedikit.

📌Tambahan yang saya pernah tulis. Latihan dakwah:
1️⃣ Kalau orang tidak faham apa kita cakap, jangan salahkan dia sahaja. Mungkin kita yang tidak pandai sampaikan. Bahasa kita gunakan dia tidak faham kerana mungkin didikan dia lain dari didikan kita.

Masalahnya, kita selalu marah orang: “aku cakap dah berbuih dah.. tak faham-faham jugak! 😡” Itu sebab kita guna bahasa yang dia tidak faham. Kekurangan pada kita sebenarnya.

Maka kita ubah cara penyampaian. Ubah bahasa, ubah cerita, ubah terma, ubah itu dan ini.. Sampai dia dapat ‘Aha Moments’ kita panggil.. dia jadi: “owhhhhh, baru aku faham.. tadi kau citer aku tak faham.. sekarang kau citer macam ni baru aku faham… ok, aku setuju dengan kau!”.

2️⃣Jangan marah kalau orang marah dengan kita. Releks dan tarik nafas sebelum balas.

Pepatah Arab ada mengatakan:
الإنسان عدو ما يجهل
Manusia musuh sesuatu yang dia tidak tahu.

Dalam bahasa kita: Tidak kenal maka tidak cinta.

Kebanyakan masyarakat kita tidak kenal sunnah lagi. Ini kerana budaya ilmu di negara ini baru sahaja meningkat. Bayangkan, pakai tudung tahun 90an baru ramai yang mula pakai. Itu pun sampai sekarang masih ramai lagi selamba sahaja tidak pakai tudung. Jadi, jangan hairan kalau pengetahuan agama kurang dalam masyarakat. Ia semakin meningkat tetapi ambil masa baru semakin ramai.

Maka kerana tidak kenal sunnah, mereka akan marah kita yang hendak sampaikan sunnah. Ini kerana amalan yang kita tegur, telah lama mereka lakukan. Saham sudah banyak mereka isi dalam amalan itu dan ia diamalkan oleh hampir keseluruhan masyarakat. Pulak tu, bukan orang lain yang ajar, tetapi diajar oleh golongan ustaz dan kita orang Melayu memang hormat lain macam dengan ustaz.

Maka, kalau mereka marah, itu normallah. Jangan hairan dan kena sabar sahaja. Ini kerana mereka masih tidak tahu. Oleh kerana itulah kita jangan kata: “ini tak boleh”, “ini haram”, “ini bid’ah” tanpa diberikan dengan maklumat tambahan: kenapa haram dan kenapa bid’ah. Kena jelaskan.

Janganlah mereka marah, kita marah mereka balik. Kena faham kenapa mereka marah. Pada mereka, kitalah yang pelik, kitalah yang sesat, kitalah yang memandai-mandai. Maka, kena rendahkan diri, walaupun kita yang berilmu.

Kita ini hanya beruntung kerana Allah ﷻ taqdirkan tahu dulu dari mereka, bukan ada lebih apa pun. Dulu kita sama sahaja dengan mereka, tetapi Allah ﷻ selamatkan dengan beri ilmu. Beza kita dengan mereka adalah dari segi masa sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan