Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah: Tafsir Ayat Ke-22 dan Ke-23

Tafsir Surah Al-Jathiyah: Tafsir Ayat Ke-22 dan Ke-23

1273
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiyah
Tafsir Ayat ke-22

Ini adalah dalil aqli. Ingatlah bahawa Allah ﷻ akan membalas perbuatan buruk mereka.

وَخَلَقَ اللَّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ وَلِتُجزىٰ كُلُّ نَفسٍ بِما كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ
Dan (ingatlah), Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat (untuk membuktikan keesaan-Nya dan keadilan-Nya), dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau jahat), sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

وَخَلَقَ اللَّهُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ
Dan Allah menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran,

Allah ﷻ yang menjadikan alam ini. Tujuan dijadikan langit dan bumi ini ialah sebagai tempat ujian. Mereka yang melepasi ujian adalah yang berbuat kebaikan, iaitu yang mengikuti syariat Allah ﷻ .

Mereka yang gagal pula adalah yang melakukan dosa-dosa sepanjang hidup mereka di dunia. Dalam ayat sebelum ini, mereka hendak dibalas sama dengan orang yang beriman dan beramal soleh. Itu adalah sebab mereka tidak faham apakah tujuan dunia ini dijadikan. Mereka sangka hidup main-main sahaja di dunia.

Alam ini dijadikan dengan ada tujuan, bukan suka-suka. Kalau alam ini dijadikan dengan tujuan, takkan kejadian manusia tidak dijadikan dengan tujuan juga?

Tidak mungkin Allah ﷻ menjadikan manusia sia-sia sahaja dan hidup untuk makan, minum, kerja dan membuat anak? Tentu tidak, bukan?

Tentu ada tujuan kehidupan ini. Kalau kita semua ada tujuan hidup, takkan sama mereka yang memenuhi tujuan hidup dengan mereka yang tidak memenuhi tujuan hidup.

وَلِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ
dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan,

Jangan manusia sangka yang mereka boleh hidup di dunia ini tanpa dipersoalkan tentang apa yang mereka telah lakukan. Ingatlah bahawa apa sahaja yang kita lakukan sama ada besar atau kecil akan dihisab dan akan diberi dengan balasan yang setimpal.

Ingatlah yang dunia adalah tempat untuk mengumpul dosa dan pahala.

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
sedang mereka tidak dizalimi.

Balasan yang Allah ﷻ berikan adalah amat adil. Tidak ada sesiapa yang akan dizalimi. Keadilan Allah ﷻ akan diiktiraf oleh semua makhluk. Kita tidak dapat membayangkan bagaimana keadilan Allah ﷻ itu tetapi bayangkan, jikalau kita melakukan kebaikan, Allah ﷻ akan balas berganda-ganda.

Jikalau kita melakukan kejahatan, kita dibalas sama sahaja dengan kejahatan itu. Adakah itu tidak adil namanya? Kita juga tidak akan dipersalahkan atau diazab dengan perkara yang tidak kita lakukan. Kita semua akan diadili dan segala perbuatan akan dipersembahkan kepada kita.

Kita akan diberikan dengan bukti-bukti dan saksi-saksi seperti anggota badan kita yang akan menjadi saksi untuk mengatakan bahawa kita memang ada melakukan kesalahan-kesalahan itu.

Jadi tidak ada harapan hendak kata Allah ﷻ tidak adil kerana semua bukti akan dipersembahkan. Selain itu tidak akan ada amalan baik kita yang tidak dibalas nanti. Semuanya akan diambil kira dan akan dibalas melebihi dari apa yang kita telah lakukan – kita akan dibalas berkali-kali ganda.

Tafsir Ayat ke-23

Ayat Zajrun dan Khatmul Qalbi. Ramai manusia yang mengikut hawa nafsu mereka. Sampaikan nafsu mereka sudah mengganti tempat Tuhan. Bagaimana pula menjadikan nafsu sebagai ilah? Ia apabila bertembung antara wahyu dan nafsu, mereka menolak wahyu dan menggunakan nafsu.

Waktu itu, nafsu yang menjadi ilah bagi dia sedangkan Allah ﷻ kata hanya Dia sahaja ilah yang sebenar. Allah ﷻ suruh amalkan fahaman tauhid, tetapi nafsu mahu kepada syirik.

Begitu juga dalam amal ibadat, hanya mengikut hawa nafsu mereka. Ramai yang tetap juga hendak membuat amalan bid’ah, walaupun tidak ada dalil dalam syariat. Seolah-olah amal yang berlandaskan syariat sudah habis dilakukan sampai mereka ada banyak masa untuk membuat amalan bida’ah pula.

Begitu juga dengan hukum: ada larangan Allah ﷻ tetapi mereka tetap hendak buat juga kerana mengikut keinginan nafsu untuk melakukannya. Maka mereka telah jadikan nafsu sebagai ilah.

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka, siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

أَفَرَءيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوىٰهُ
Apakah engkau memikirkan tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah?

Nabi Muhammad ﷺ ditanya adakah baginda pernah melihat dan memikirkan tentang mereka yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah? Sepatutnya manusia ikut syariat daripada Allah ﷻ sebagai ilah, tetapi ramai yang mengambil nafsu dan guna pakai sebagai ilah mereka pula.

Hawa nafsu bermaksud keinginan daripada seseorang yang sampai boleh ‘menjatuhkan’ dirinya. Itu akan terjadi jikalau seseorang tidak dapat mengawal keinginan hawa nafsunya.

Semua orang ada hawa nafsu dan keinginan tetapi bahayanya adalah apabila tidak dapat mengawalnya. ‘Jatuh’ itu pula bermaksud dia jatuh pada pandangan Allah ﷻ.

Apakah maksud seseorang itu menjadikan hawanya sebagai ilahnya? Itu terjadi apabila seseorang itu melebihkan hawa nafsunya dari perkara lain.

Di dalam membuat keputusan di dalam hidupnya, dia mengikut kehendak hawa nafsunya dan bukan kehendak Allah ﷻ. Dia langgar hukum yang ditetapkan oleh Allah ﷻ.

Bukan kehendak Allah ﷻ sahaja yang dia langgar, tetapi akalnya yang waras juga dia langgar. Apa yang dia hendak buat, dia akan buat tanpa usul periksa. Selain itu dia tidak memikirkan apakah kesannya kepada dirinya dan kepada orang lain.

Sebagai contoh, dia tahu bahawa dia sepatutnya dia kena bangun awal untuk pergi kerja esoknya, tetapi kerana mengikut kehendak hawa nafsunya yang hendak terus berjaga malam (mungkin kerana hendak main game), dia tidur lewat dan akhirnya esok pagi dia bangun lambat juga.

Dia juga pentingkan dirinya sahaja. Makanannya, pakaiannya, segala perhiasan dan kesukaan yang hendak dilakukannya, akan dilakukan sebab dia hendak buat apa sahaja yang dia suka.

Semuanya berkenaan dirinya sahaja dan apa yang dia suka. Wangnya mungkin tidak cukup untuk membeli segala kemewahan itu, tetapi dia beli juga kerana itulah kehendak nafsu dia. Mungkin dia terpaksa berhutang untuk mendapatkannya.

Bahayanya apabila berhutang, dia sudah kena pakai sistem riba pula dan itu bermakna dia melanggar hukum Allah ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ ditanya pernahkah baginda melihat orang yang sebegitu? Pernahkah kita sendiri lihat? Tentu pernah, bukan? Berlambak jenis orang sebegini yang kita boleh lihat. Malah, kadangkala kita pun begitu agaknya.

Satu lagi adalah jenis orang yang hanya mementingkan keduniaan sahaja. Kerjanya hanya bekerja sahaja, berniaga dan mengumpul harta. Dikira-kira hartanya itu semakin banyak dan semakin banyak.

Selain itu, belajar agama tidak mahu, buat ibadat pun tidak, hanya ingin puaskan nafsunya hendak melihat wangnya yang semakin banyak dan banyak.

Malangnya, inilah agenda hidup kebanyakan manusia. Mereka membuat sesuatu hanya mengikut hawa nafsu mereka sahaja. Kalau mereka teringin untuk buat sesuatu, barulah mereka akan buat.

Mereka dipandu oleh perasaan dan hati mereka sahaja. Kalau kita minta dia buat benda yang baik, tetapi hawanya tidak mahu buat, dia tidak buat.

Padahal, dalam agama ini ada perkara yang kita kena buat walaupun kita tidak suka.

Sebagai contoh, mungkin kita kepenatan tetapi apabila masuk waktu solat, kita kena tunaikan. Bukannya kita solat bila senang dan bila kita suka sahaja.

Ini adalah sesuatu yang tidak patut dilakukan oleh manusia kerana seperti telah disebut dalam ayat sebelum ini, kita semua ada tujuan hidup kita. Tujuan hidup kita adalah untuk menghambakan kepada Allah ﷻ dan bukannya memuaskan hawa nafsu kita.

Kalau kita hanya mengikut hawa nafsu kita sahaja, maka kita akan gagal dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Nafsu tidaklah salah semuanya kerana kalau tidak ada nafsu, tidaklah kita ini menjadi manusia. Memang Allah ﷻ telah letakkan nafsu dalam diri kita, maka kita tidak boleh membuang nafsu itu. Bukan semua kehendak nafsu itu salah.

Sebagai contoh, nafsu untuk makan perlu ada untuk kelangsungan hidup kita. Kalau tidak ada nafsu makan, macam mana pula? Namun, kehendak nafsu itu hendaklah dikawal supaya jangan berlebihan. Maka, kena kawal nafsu makan untuk makan makanan yang halal seperti yang Allah ﷻ suruh, dan janganlah makan berlebihan sampai memudharatkan diri kita.

Ayat ini juga sebagai penerangan kepada kita, bahawa bukanlah ilah itu benda yang disembah sahaja. Tidaklah kita solat kepada nafsu kita, membaca doa kepada nafsu kita, sedekah Fatihah atau sebagainya.

Namun, apabila mengikut kehendak nafsu kita dan ia berlawanan dengan kehendak syarak, maka itu bermakna kita menjadikan nafsu pula sebagai ilah.

Maknanya, antara salah satu perkara yang kita lakukan dengan ilah kita adalah kita taat kepadanya. Jadi, kalau Allah ﷻ lah ilah kita, maka hendaklah kita taat kepada Allah ﷻ dan bukan nafsu kita itu.

وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ
dan dia disesatkan oleh Allah atas ilmu

Ada dua ‘wajah’ berkenaan maksud ‘ilmu’ dalam ayat ini. Maksudnya ada dua tafsir.

Pertama:
Allah ﷻ tahu dengan ‘Ilmu-Nya’ yang orang itu memang akan sesat dari azali lagi. Maka Allah ﷻ menyesatkan orang itu atas Ilmu-Nya. Allah ﷻ sendiri tahu kenapa orang itu sesat dan Allah ﷻ sahaja yang tahu kenapa dia disesatkan. Kita tidak dapat tahu kerana ilmu kita terhad.

Oleh kerana Allah ﷻ mempunyai pengetahuan yang tidak terbatas itu, maka layaklah Allah ﷻ menyesatkan mereka. Hanya Allah ﷻ sahaja yang berhak buat keputusan ini dan kita tidak ada hak untuk mempersoalkannya.

Cuma, jangan kita salah faham pula. Bukanlah Allah ﷻ sengaja menyesatkan orang itu, tetapi orang itu sesat kerana kehendaknya sendiri. Selepas dia tidak mahu terima kebenaran setelah diajak berkali-kali, barulah Allah ﷻ sesatkan dia terus.

Kedua:
Ilmu yang dimaksudkan dinisbah kepada orang yang sesat itu. Orang itu sesat walaupun dia ada ilmu. Selalunya manusia akan ikut kehendak hawa nafsunya apabila mereka tidak tahu dan tidak ada ilmu. Sebagai contoh, seorang yang makan makanan yang buruk kerana dia tidak tahu ia tidak elok tetapi kalau dia tahu ia tidak baik, dia tidak akan makan.

Namun, yang lagi teruk adalah mereka yang tahu makanan itu buruk lagi busuk, tetapi masih juga makan makanan yang tidak elok itu. Sebagai contoh, seseorang itu tahu yang makanan itu tidak elok untuk kesihatan tetapi dia makan juga.

Bagaimanakah lagi kita hendak menolong orang-orang yang sebegini? Mereka menolak akal mereka yang waras. Orang yang sebeginilah yang Allah ﷻ sesatkan mereka. Ini kerana mereka itu sudah tahu apakah kebenaran, tetapi tetap juga menolak kebenaran itu.

Bagaimana pula dengan seseorang yang telah tahu syariat dan hukum Allah ﷻ tetapi mereka masih juga hendak melanggarnya? Kenapakah mereka sanggup buat begitu? Ini kerana mereka hanya mengikut hawa nafsu sahaja. Sepatutnya mereka mengikut perintah Allah ﷻ.

Apabila ‘taat’ kepada hawa nafsu, bermaksud kita telah menjadikan hawa nafsu kita itu sebagai ilah. Nauzubillah min za lik!Jika begini, tidak perlu sembah berhala lagi kerana ini lagi teruk dari berhala.

Jika berhala, kita boleh pecahkan tetapi bagaimana hendak pecahkan hawa nafsu yang berada dalam diri kita? Kita tidak nampak dia, minta doktor bedah tolong buang keluar juga tidak boleh.

Ayat ini memberitahu kita bahawa tidak cukup jikalau seseorang itu hanya tahu tentang syariat. Selain daripada itu, dia juga perlu mengawal hawa nafsunya. Ilmu sahaja tidak cukup.

Sebab itu banyak kita dengar bagaimana ‘orang agama’ juga turut terjerumus dalam kancah maksiat dan dosa. Tidak kiralah sama ada dia itu ustaz, guru agama, kerja di JAKIM, JAIS dan sebagainya. Ada pengetahuan agama tidak semestinya sudah menyelamatkan seseorang daripada melakukan maksiat kerana mereka masih boleh kalah dengan keinginan hawa nafsunya.

Apakah yang boleh kita gunakan untuk melawan kehendak nafsu kita? Hanya dengan adanya rasa takut kepada Allah ﷻ sahaja baru kita boleh melawan nafsu. Kalau hendak lawan dengan menggunakan akal sahaja tidak cukup kerana hawa itu berada dalam diri kita dan rapat sangat dengan kita.

Keduanya, kena ada harapan kepada akhirat iaitu dia percaya yang kalau dia tidak ikut nafsunya yang buruk, dia akan dibalas dengan baik di akhirat nanti. Dia kena yakin bahawa dengan menahan keinginannya yang tidak patut itu semasa di dunia, dia akan mendapat balasan yang lebih baik di akhirat kelak.

Sebagai contoh, dia yakin bahawa kalau dia menahan dirinya dari berzina di dunia, dia akan mendapat bidadari syurga untuk dia memuaskan nafsunya di syurga nanti; kalau dia menahan dirinya dari minum arak di dunia, dia akan dapat minum arak di syurga nanti.

Arak di syurga itu lebih banyak dan jauh lebih sedap dari arak di dunia. Hanya perlu menahan sekejap sahaja di dunia, akan dapat menikmati nikmat yang selamanya di akhirat kelak yang tidak ada halangan dan batasan.

Kalau dikira-kirakan dengan akal yang waras, tentu itulah yang sepatutnya, menahannya dari mengikut hawa nafsu. Namun, kenalah yakin sepenuhnya bahawa akhirat itu ada.

Masalahnya apabila ramai manusia yang tahu tetapi tidak yakin sebab kalau kita tanya dia percaya kepada akhirat tidak? Mereka akan jawab: Ya. Namun, dari cara kehidupan mereka, nampak jelas mereka hidup seolah-olah akhirat itu tidak ada kerana tiada keyakinan mengenainya.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Jathiyah (Tafsir ayat ke-22 dan ayat ke-23)

📍Apa yang dimaksudkan “dengan kebenaran”?
🔵 Untuk memberitahu yang Allah ﷻ lah Pencipta alam ini dan alam ini adalah tempat ujian untuk mengeluarkan kebenaran. Dunia ini tempat kita diuji.

📍Adakah jika kita ikut nafsu kita itu telah menjadikan nafsu itu sebagai ilah?
🔵 Ya, jika ikut nafsu MELAWAN kehendak Allah ﷻ. Kalau setakat ikut nafsu dalam hal yang halal, boleh sahaja. Jadi, kena bezakan.

📍Melawan kehendak Allah ﷻ itu adakah melawan hukum dan syari’at yang Allah ﷻ perintah?
🔵Ya, benar.

📍Maksudnya setelah orang tersebut asyik menuruti hawa nafsunya lalu Allah ﷻ pun menyesatkan mereka? Sebab mustahil orang yang menuruti hawa nafsu ini bersikap seperti orang yang di atas jalan yang benar.
🔵 Ya, Allah ﷻ buat keputusan untuk menyesatkan dia terus. Ini kerana Allah ﷻ sudah tahu yang dia ini memang takkan boleh berubah lagi.

📍Sesat di sini hanya Allah ﷻ dan hamba-Nya yang benar sahaja dapat tahu dan kenal? Maksudnya sekalipun orang itu bagaikan warak berilmu bagi orang jahil dan bathil tetapi sebenarnya mereka adalah golongan yang disesatkan oleh Allah ﷻ?
🔵 Manusia tidak tahu. Hanya Allah ﷻ sahaja. Nabi juga tidak tahu, apatah lagi orang lain. Maka jangan kita kata: “alaahhh, dia tu Allah dah sesatkan dahhh…. ” Jangan ambil kerja Allah ﷻ.

📍Bagaimana kaedah kita untuk meneladani atau mentahdzir masyarakat daripada mereka?
🔵 Melalui dengan memberi nasihat, mengajar dan berdakwah.

📍Ramai yang lalai dengan perhiasan dunia?
🔵 Dunia ini menarik sebab itu banyak ayat dalam Al-Quran Allah ﷻ menceritakan hakikat dunia kerana ramai terpedaya dengan dunia.

📍Orang yang jadikan hawa nafsunya sebagai ilah, adakah telah mengikut taghut?
🔵 Nafsu bukan taghut.

📍Adakah benar jika letakkan dunia di tangan sahaja?
🔵 Ya benar, jangan bawa ke hati. Kalau rosak atau hilang, jangan terkesan sangat dan kalau tidak dapat, biarlah… itu barang dunia sahaja.

📍Kalau contoh kita memberi nasihat orang untuk solat jangan tinggalkan tetapi orang yang dinasihat balas baik, ” tak perlu nak ajar orang atau masuk campur” . Adakah ini bererti Allah ﷻ tidak bagi hidayah kepada orang itu?
🔵 Ini orang yang degil. Dia BELUM dapat hidayah lagi kerana belum masa dia lagi. Kita nasihat lagi lain kali. DAN buat muka manis semanis gula dan tinggalkan dia dulu. Esok lusa cakap lagi kerana kita tidak tahu bila masa dia akan tersentak dengan nasihat. Terus mendoakan orang itu.

📍Taghut itu benda yang jelas macam habib, nabi dan lain-lain?
🔵 Taghut itu benda luar macam syaitan, ahli sihir, berhala, sistem, manusia dan lain-lain lagi.

📍Maqam zuhud sukar dicapai apabila hati masih dengan dunia.
🔵 Sudah makna zuhud pun tidak terikat dengan dunia. Hendak menjadi zuhud kena sedar apakah dunia itu. Namun susah hendak sedar sebab dunia depan mata dan akhirat tidak nampak lagi.

📍Sistem yang bagaimna di sebut thaghut?
🔵Sistem menolak Tuhan. Macam komunisme. Juga sekularisme yang hendak asingkan Tuhan.

📍Bagaimana jika kita berputus asa sebab sudah bagi nasihat dengan cara baik tetapi semakin melawan? Bukan sehari dua tetapi sudah bertahun.
🔵 Putus asa adalah talbis iblis. Tai’is. Senjata iblis ni. Putus asa bukan sifat-sifat mukmin. Setiap kali ajak dia, dapat pahala. Bukan percuma sahaja. Dia ikut ke tidak ikut, kita sudah dapat pahala.

📍Orang yang ikut kayu ukur selain kayu ukur Allah ﷻ adakah itu bertuhankan nafsu?
🔵Ya

📍Macam sikit saja perbezaan antara bertuhankan hawa nafsu ( ikut kayu ukur selain kayu ukur Allah ﷻ) dengan ikut sistem sekularisme.
🔵 Ada sama dan ada beza. Halus bezanya jadi kena fikir panjang

Doa berkaitan hawa nafsu
Dari Ziyad bin ‘Ilaqoh dari pamannya, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam membaca do’a,

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ
“Allahumma inni a’udzu bika min munkarotil akhlaaqi wal a’maali wal ahwaa’ [Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari akhlaq, amal dan hawa nafsu yang mungkar].”
(HR. Tirmidzi no. 3591, shahih)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan