BroSyarief:
asSalaamu ‘Alaikum. Nota seterusnya telah siap. Semoga bermanfaat.

#300517 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.16 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

ZIYAADAH ATS-TSIQAH FIL-MATAN (زيادة الثقة في المتن)

Dari sudut bahasa, perkataan ats-Tsiqah (الثقة) merujuk kepada sifat seseorang yang beramanah dan boleh dipercayai.

Adapun secara istilah, ia adalah penilaian bagi seseorang yang terhimpun padanya sifat al-‘Adalah (العدالة) dan ad-Dhobt (الضبط). *Rujuk Nota 02.05.03(sila klik)

Ziyadah ats-Tsiqah (زيادة الثقة) berlaku apabila beberapa orang periwayat yang Tsiqah meriwayatkan hadits yang sama melalui beberapa jalan periwayatan, namun pada riwayat salah seorang dari mereka terdapat tambahan yang tidak terdapat pada riwayat periwayat-periwayat yang lain.

Ataupun, seorang periwayat meriwayatkan hadits yang sama beberapa kali melalui jalan yang berbeza, dan pada salah satu riwayat tersebut terdapat tambahan pada matan, yang tidak terdapat pada jalan periwayatan yang lain.

Hukum penambahan pada riwayat tersebut diperselisihi oleh para ulama sama ada untuk menerima atau menolaknya:

Pandangan 01: Diterima secara mutlaq, sama ada tambahan itu datang dari periwayat yang sama atau tidak, atau sama ada ianya sekadar berbeza lafaz atau berbeza makna sekaligus. Ini adalah pandangan jumhur ulama hadits dan fiqh (kerana periwayatnya tsiqah).

Pandangan 02: Tidak diterima. Ianya merupakan pandangan sebahagian ulama hadits.

Pandangan 03: Diterima sekiranya ianya datang dari periwayat yang lain, dan tidak diterima jika ianya dari periwayat yang sama.

Pandangan 04: Ini merupakan pandangan Ibn as-Solah (w.643H), di mana dia membahagikannya kepada 3 bahagian:

(i) Tambahan yang tidak menyelisihi asal kandungan hadits tersebut, iaitu apabila seorang periwayat bersendirian meriwayatkan tambahan pada matan yang tidak bercanggah dengan baki matan hadits yang asal, sama ada ia membawa kepada hukum yang baru ataupun tidak.

(ii) Tambahan yang menyelisihi apa yang diriwayatkan oleh ramai periwayat yang tsiqah, maka ianya dihukum sebagai syaz dan ditolak. *Rujuk nota 02.12.06(sila klik)

(iii) Tambahan yang bersifat tidak jelas, kelihatan berada di antara bahagian (i) dan bahagian (ii). Tambahan jenis ini tidak dihukum oleh Ibn as-Solah sebagai diterima atau ditolak, malah diserahkan penilaiannya kepada mujtahid.

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi, Cet. ke-6, m/s 246.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Komen dan Soalan