Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-20 dan Ke-21

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-20 dan Ke-21

1358
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiyah

Tafsir Ayat Ke-20

Kesimpulan dari Dakwa Surah.

هٰذا بَصٰئِرُ لِلنّاسِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّقَومٍ يوقِنونَ

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).

هَٰذَا بَصٰئِرُ لِلنَّاسِ

Ini adalah pandangan jelas bagi manusia,

‘Ini’ yang dimaksudkan adalah Al-Quran. Al-Quran itu memberi pandangan yang jelas kepada manusia. Hanya dengan memahami Al-Quran, akan memberikan kepada kita pandangan yang benar tentang agama, kehidupan di dunia dan akhirat.

Digunakan kalimah بَصَائِرُ (dari kalimah ب ص ر yang bermaksud pandangan) kerana ia adalah dalil yang boleh difahami oleh akal kita.

Kalau kita dapat pandang sesuatu, barulah ia jelas bagi kita, bukan? Maka, hujah dari Al-Quran ini adalah hujah yang jelas, bukannya jelas hujah yang ‘kena percaya’ sahaja, tetapi dapat difahami dan dijelaskan oleh akal. Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Al-Quran ini ditujukan kepada seluruh manusia.

Al-Quran ini membawa mesej universal yang memberi kebaikan kepada semua, bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Sepatutnya setiap manusia mengkaji Al-Quran itu tetapi sekarang ini yang hanya mengambil perhatian adalah orang-orang Islam sahaja. Itu pun bukan semua.

Ramai yang mengaku Muslim, tetapi tidak menggunakan Al-Quran sebagai panduan hidup mereka. Amat jarang sekali orang yang mahu belajar dan memahami Al-Quran. Bilangan yang membaca Al-Quran memang ramai, tetapi yang memahami Al-Quran, amat kurang. Mereka berasa asing dengan Al-Quran.

Pada mereka, ia sesuatu yang tidak akan dapat difahami, melainkan oleh mereka yang ‘istimewa’ sahaja. Maka, kalau Al-Quran ini untuk semua manusia, kita yang kenal Al-Quran inilah yang kena sampaikan kepada mereka.

Oleh kerana mereka lahir dalam keluarga kufur, maka tentu tidak akan dapat memahami Al-Quran kalau kita tidak sampaikan kepada mereka. Apabila Al-Quran dikatakan sebagai ‘pandangan’ kepada manusia, itu bermaksud tanpa Al-Quran, kita seperti buta.

Apabila kita tidak dapat melihat, tentu kita tidak dapat menemui jalan dan akan tersesat. Begitu jugalah, jika kita tidak mempunyai panduan hidup, pasti akan tersesat di jalanan, bukan?

Maka panduan Al-Quran ini sangat penting agar kita tidak tersesat di dalam kehidupan. Sekiranya kita sesat, pasti di akhirat kelak kita akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam.

وَهُدًى وَرَحْمَةٌ

dan petunjuk serta rahmat

Kita sudah tahu bagaimana Al-Quran itu adalah petunjuk. Ia adalah sumber ilmu untuk membezakan mana yang benar dan salah, antara haq dan bathil.

Al-Quran juga mengajar kita apa yang perlu dilakukan semasa di atas muka bumi ini. Kalau tidak belajar, tentu ramai yang terkeliru dan senang kena tipu oleh syaitan dari kalangan jin dan syaitan dari kalangan manusia.

Selain dari petunjuk, Al-Quran itu juga akan menjadi sumber rahmat kepada mereka yang mengikutinya. Ia akan memberi rahmat kepada kita kalau kita mengamalkannya. Namun, untuk menggunakannya, kenalah kita belajar. Kalau setakat membaca sahaja, rahmat itu tidak sempurna kerana tidak tahu apakah yang dibaca.

لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

bagi kaum yang meyakini.

Al-Quran itu untuk semua manusia, tetapi yang boleh mengambil manfaat darinya adalah mereka yang ‘mahu’ menyakini sahaja iaitu mahu yakin dengan kebenaran yang Al-Quran bawa.

Bukanlah semua manusia terus yakin dengan Al-Quran kerana keyakinan tidak dapat terus, kena ada usaha – dimulai dengan keinginan dulu. Apakah yakin yang dimaksudkan? Yakin bahawa Allah ﷻ itu Tuhan kita dan kita adalah hamba-Nya.

Jadi, kalau seseorang itu lahir dalam keluarga bukan Islam, tetapi kerana ada keinginan dalam hatinya kepada kebenaran, Allah ﷻ akan heret mereka kepada cahaya keimanan sampai yakin bahawa Islam inilah agama yang benar.

Dari ayat ini, kita boleh tahu bahawa boleh mendapat hidayah dan rahmat kalau yakin. Itulah syaratnya tetapi tentulah tidak semua bermula dengan yakin. Maka, kita hendaklah bermula dengan kehendak kepada kebenaran. Dalam jiwa kita, kita mahu ditunjukkan manakah jalan yang benar.

Tafsir Ayat ke-21:

Ini adalah ayat Zajrun.

أَم حَسِبَ الَّذينَ اجتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَن نَّجعَلَهُم كَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَواءً مَّحياهُم وَمَماتُهُم ۚ ساءَ ما يَحكُمونَ

Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ

Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka

Kalimah اجْتَرَحُوا dari kata dasar ج ر ح yang antaranya bermaksud ‘luka’. Maka kalimah تجترح boleh bermaksud ‘melukakan orang lain’. Jadi dalam ayat ini, ia bermaksud melakukan sesuatu dengan anggota badan, mulut dan kata-kata.

Selain itu ia juga boleh bermaksud mereka melukakan diri sendiri dengan perbuatan dosa-dosa. Perbuatan dosa-dosa itu akan menyebabkan kesusahan dan menyakitkan mereka nanti. Mungkin bukan di dunia, tetapi sudah pasti di akhirat mereka akan menerima kesannya.

Kalimah السَّيِّئَاتِ pula bermaksud amalan yang bercanggah dengan syariat. Maknanya mereka melukakan diri sendiri dengan perbuatan buruk dan berdosa. Mereka telah banyak berbuat dosa, tetapi mereka ada sangkaan yang salah. Apakah sangkaan mereka itu?

أَن نَّجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ ءآمَنُوا

bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman

 Orang yang melakukan dosa-dosa itu tentulah tidak sama dengan orang yang beriman. Oleh itu, adakah patut kalau mereka hendak Allah ﷻ layan mereka sama seperti Allah ﷻ akan layan orang-orang yang beriman? Adakah mereka sangka yang mereka akan selamat? Mereka sangka diri mereka siapa?

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan beramal soleh,

Seseorang itu bukan sahaja perlu beriman, tetapi juga kena melakukan amal yang soleh. Ini kerana iman itu bukan hanya di hati sahaja tetapi perlu ditunjukkan dalam perbuatan. Jadi kalau tidak membuat amalan agama yang daripada syariat, bagaimana mereka sangka akan selamat?

Amalan itu juga hendaklah amalan yang ‘soleh’. Apakah amalan yang ‘soleh’ itu? Itulah amalan yang ada dasarnya dari ajaran Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat.

Bukanlah amalan-amalan yang bid’ah. Ini kerana amalan bid’ah bukan dari ajaran Nabi ﷺ dan ia tidak dikira sebagai amalan yang ‘soleh’. Jadi, adakah sama orang yang berbuat dosa dengan orang yang beriman dan beramal soleh? Tentulah tidak sama. Jadi, adakah patut mereka mengharap Allah ﷻ akan memberi layanan yang sama kepada mereka?

سَوَاءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ

dengan menyamakan keadaan semasa mereka hidup dan semasa mereka mati?

Tidak akan Allah ﷻ samakan mereka yang baik dengan mereka yang jahat? Mereka hendak diberikan sama sahaja balasan seperti yang diberi kepada orang yang beriman dan beramal soleh, walaupun apa sahaja yang mereka lakukan di dunia.

Ini tidak mungkin sedangkan amalan mereka di dunia berlainan dengan amalan orang mukmin. Maka, tidak mungkin balasan akan boleh sama juga.

Khitab ayat ini mulanya kepada Musyrikin Mekah. Mereka sangka kalau mendapat kebaikan di dunia ini, tentunya mereka dapat kebaikan di akhirat (kalau ada – kerana mereka tidak mempercayai kepada kebangkitan di akhirat). Ini adalah pengharapan yang salah.

Namun, ia membawa fahaman yang universal. Kita boleh melihat bagaimana ada orang yang tidak takut akhirat kerana tidak nampak akhirat itu. Mereka tidak yakin yang akhirat itu ada hingga sanggup melakukan dosa, kezaliman, penipuan dan segala macam lagi perkara yang salah di dunia ini.

Oleh itu walaupun mereka melakukan jenayah, kezaliman, penindasan dan sebagainya, mereka selamat sahaja di dunia. Mereka juga mungkin lebih kaya lagi dari orang yang baik. Ini adalah kerana mereka sudah ikut undang-undang, maka peluang mereka membuat duit lagi banyak kerana memang tidak kisah dari sumber mana wang itu datang.

Maka tidak akn mereka itu diberi dengan balasan yang sama? Jadi, ini tentu tidak adil. Mereka mendapat segala kesenangan di dunia, tetapi tidak dikenakan dengan balasan buruk di akhirat? Lalu apa kelebihan kepada mereka yang melakukan kebaikan dan menjaga diri dari melakukan dosa? Tentu tidak patut kalau sama sahaja balasan yang diberikan kepada orang yang jahat.

Maka, ini adalah hujah bahawa syurga dan neraka itu pasti ada kerana dunia ini tidak memberi balasan setimpal kepada mereka yang baik dan tidak memberi balasan buruk yang setimpal kepada pelaku kejahatan. Maka balasan yang sempurna tentunya di akhirat kelak.

سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.

Buruk sungguh anggapan mereka terhadap keadilan Allah ﷻ. Adakah mereka sangka yang Allah ﷻ tidak membalas kesalahan mereka? Adakah mereka sangka yang Allah ﷻ tidak pandai membalas kebaikan yang dilakukan manusia dan membalas dengan azab kepada kejahatan yang dilakukan oleh mereka?

Kalau begitu, mereka tidak faham dengan maksud keadilan dari Allah ﷻ. Memang itu yang dialami kerana mereka (musyrikin Mekah) sudah lama tidak ada Nabi yang menyampaikan ajaran agama yang benar kepada mereka. Begitu juga, orang yang jahil agama zaman sekarang juga tidak tahu perkara ini kerana jauh dari agama.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Al-Jathiyah (Ayat ke20- dan ke-21)

📍Adakah benar pandangan mengatakan bila sudah belajar ayat-ayat al-Quran ini, kita kena amalkan semua. Jika 1 ayat tidak diamal maka, Allah ﷻ akan tanya kelak?

🔵 Pertama, semua ayat kena terima dan kena amal dan tidak boleh tolak dan tidak boleh kata tidak mahu amal pula. Kedua, tetapi ada yang kita tidak mampu lagi. Maka terus kita berazam hendak amal dan terus minta ampun kerana tidak mampu lagi hendak amal. Doa supaya Allah ﷻ beri kekuatan dan taufik untuk kita amalkan. Inilah sikap kita dalam belajar tafsir dan mendampingi Al-Quran.

Namun, ramai saja kan yang mengukur redha Allah ﷻ dengan kebendaan yang bersifat duniawi. Dalam ceramah motivasi juga selalu dengar begitu .Orang yang Allah ﷻ sayang akan diberi bahagia, kaya , berjaya. Orang yang Allah ﷻ benci akan sentiasa ditimpa bala dan kegagalan.

Ini memang banyak disentuh dalam Al-Quran. Sebab manusia memang salah faham kesenangan dunia dengan kaitkan dengan akhirat antaranya kisah lelaki kaya dalam surah Kahfi. Ini juga adalah fahaman salah satu mazhab dalam Kristian. Mereka suruh penganut dapatkan kesenangan hidup, kononnya tanda Tuhan sayang. Kalaulah kesenangan dunia tanda Allah ﷻ sayang, maka tentulah semua para Nabi kaya raya belaka.

📍Memang semua Nabi hidup susah dan penuh ujian. Ramai yang kata orang yang banyak ditimpa ujian sebab dia banyak dosa dengan Allah ﷻ.

🔵 Bukan semua Nabi hidup susah. Nabi Daud عليه السلام dan Nabi Sulaiman عليه السلام hidup senang. Kena faham konsep ini:

Susah itu ujian dan senang juga ujian. Dua-dua dugaan untuk manusia dan dugaan kesenangan lagi bahaya. Ramai dapat senang dan gagal. Hidup susah bukan tanda Allah ﷻ benci atau tanda dia dosa. Itu hanya ujian sahaja. Kalau dia redha maka dia akan dapat pahala yang banyak.

📍Orang yang baik tu lebih berat ujiannya Allah ﷻ beri berbanding dengan ujian orang yang kurang baik. Ada yang berpandangan sebegini.

🔵 Kedudukan atau maqam manusia akan menyebabkan dia dapat ujian yang lebih berat. Oleh kerana itu para Nabi ujian mereka berat dan paling berat menerima ujian adalah Nabi Muhammad ﷺ kerana kedudukan baginda.

📍Ini sudah kebiasaan atau sudah lali didengar. Tertimpa musibah dan sakit semua beri ulasan atas dosa yang dilakukan. Alhamdulillah ala kulli hal. Bila belajar Al-Quran dan As-Sunnah, kita boleh fahami, ujian Allah ﷻ di dunia ini untuk menguji ketaqwaan manusia sebenarnya.

🔵Ya, benar.

📍Selalunya orang akan kaitkan ujian dengan dosa yang dibuat. Orang tidak diuji berat macam tidak ada dosa.

🔵 Ini salah faham.

📍Orang kaya raya yang jarang susah pun satu ujian juga. Lagi menakutkan, bimbang kesenangan dunia tanpa ujian adalah istidraj.

🔵 Ujian berat, lagi bahaya, disangkakan Allah ﷻ sayang, tetapi sebenarnya istidraj. Allah ﷻ tarik sedikit demi sedikit ke arah kehancuran. Dia dibuai dengan kesenangan, sangka diri selamat, tetapi sebenarnya menuju neraka.

📍Ujian berat dalam nikmat?

🔵 Ya, berat. Sebab itu ulama’ kata, orang kaya yang bersyukur lebih tinggi pahala dari orang miskin yang sabar. Sebab memang susah sangat hendak bersyukur.

📍Memang begitu mentaliti majoriti masyarakat kita. Apabila ada yang ditimpa ujian yang teruk, mereka akan kaitkan dengan dosa.

🔵 Ini di sebabkan majoriti adalah jahil.

📍Teringat kisah Qarun di zaman Nabi Musa عليه السلام , Qarun menjadi kaya raya hingga dia lupa itu semua pemberian dari Allah ﷻ. Dia mengatakan kekayaan dia itu dari usahanya sendiri bukan pemberian dari Allah ﷻ, hingga akhirnya Allah ﷻ turunkan bala ke atas Qorun, dan Qorun mati di kambus tanah dalam keadaan dia kufur.

🔵 Ya betul tu. semoga kita dapat belajar nanti kisah Qarun dalam Al-Quran, menarik.

📍Kalau redha itu maksudnya dia tidak perlu keluar dari ujian dan perlu sabar dan redha sahaja?

🔵 Kita ahli sunnah duduk di tengah-tengah. Usaha dan redha tetapi tidaklah redha sahaja. Namun, berusaha untuk keluar, berusaha untuk tidak kena masalah, tetapi bila kena juga, dia sabar dalam redha dan berusaha dalam redha.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan